Showing posts with label Bisikan Cinta. Show all posts
Showing posts with label Bisikan Cinta. Show all posts

Bisikan Cinta: Bab 14

Teratak pena | 4:24 PM | Be the first to comment!

BAB 14
           
Maya merehatkan diri sambil membaca novel yang baru dibelinya semalam.  Hari sabtu begini membuatkan dia menghabiskan masa dengan membaca.  Tiba-tiba Maya dikejutkan dengan  bunyi loceng pintu yang bertalu-talu.
            “Hish! Siapa pulak yang ganggu aku ni?  Tak senang betul aku nak membaca.  Cubalah bawa berehat hujung minggu ni.”  Maya bangkit.  Dia kemudiannya mencapai kunci rumah yang berada di atas meja.  Sebelum membuka pintu sempat juga Maya mengintai dari jendela.  Maya terkejut apabila melihat Bakhtiar sedang tercegat di hadapan pintu.  Maya mengerutkan dahinya.  Apa pula dia buat di sini?  Pelik.  Tak pernah datang, hari ini tiba-tiba muncul depan pintu rumah.  Apa agaknya dia mimpi malam tadi?
            “Hah, abang.  Buat apa kat sini?” Itulah pertanyaan yang pertama yang ditanya oleh Maya apabila melihat wajah tunangnya.
            “Kenapa?  Tak boleh ke?” Suara Bakhtiar seakan keras. 
            “Bukanlah tak boleh.  Tapi selalunya kalau abang nak datang, abang telefon Maya dulu.  Ini tidak, tiba-tiba datang. Mana Maya tak terkejut.  Kenapa?  Abang nak bawa keluar ke?  Kalau nak bawa keluar abang kena tunggu sekejap.  Maya pun belum mandi lagi.”
            “Bukan, sebenarnya abang datang ni ada hal sikit. Abang nak jemput Maya dan kawan-kawan Maya ke rumah abang malam ni.  Ada jamuan sikit.  Kalau boleh Maya bawalah semua sekali housemate Maya.”
            “Malam ni?  Pukul berapa bang?”
            “Pukul 9.00 malam.  Jangan lupa.  Mak dan ayah abang akan tunggu Maya.  Eh, abang sebenarnya nak cepat. Ada hal lagi.  Abang kena pergi dulu.  Okeylah, kita jumpa malam nanti.”  Bakhtiar segera berlalu tanpa memberi ruang untuk Maya berbicara lanjut. Maya menutup pintu dengan perlahan sambil fikirannya jauh melayang.  Jamuan?  Hish! Apa yang aku nak pakai malam nanti?  Maya tidak tunggu lama. Dia segera ke bilik untuk melihat segala pakaian yang ada di dalam alamari.  Sambil itu dia cuba mengacukan pakaian di tubuhnya.  Dia mahu memberikan penampilan yang terbaik buat Bakhtiar.  Dia tidak mahu Bakhiar memandang rendah kepadanya.  Biarkan Bakhtiar sedar akan kehadirannya nanti.
            Malam itu, seperti yang dijanjikan Maya, Maria, Shikin dan Rozita bersama-sama akan menghadiri majlis jamuan makan malam di rumah Bakhtiar.
            “Wah, kau Maya.  Bukan main cantik lagi.”
            “Yelah, nak pergi rumah bakal mak mertua. Mesti kena pakai yang cantik.” Usik Shikin.  Maya tersenyum.  Baju kurung sutera Thai berwarna biru laut yang dikenakan dengan kerongsang nyonya menyerlahkan kecantikan Maya walau pun tubuhnya sedikit gempal. 
            “Dah, kau jangan nak sakat aku.  Jom kita pergi sekarang.  Nanti lambat pula kita sampai di sana.”  Ujar Maya yang ingin menutup topik sahabatnya itu. Dia tahu, selagi dia tidak berganjak sahabatnya itu pasti akan terus mengusik. 
            Sampai saja di rumah Bakhtiar, Maya mula mencari kelibat tunangnya.  Rozita yang datang bersama-sama dengan mereka hilang entah ke mana.  Maya tersenyum apabila Bakhtiar mula menghampirinya.  Tapi… dia seakan-akan kenal dengan dua insan di sisi Bakhtiar.  Encik Hafiz dan Encik Daniel?  Apa dia mereka buat di sini?
            “Abang,”  Tegur Maya.  Bakhtiar melemparkan satu senyuman kepada Maya.  Mata Maya tidak terlepas kepada pandangan Hafiz dan Daniel. 
            “Ini abang kenalkan kawan abang.  Ini Hafiz dan ini adiknya Daniel.  Hafiz, Daniel ini aku kenalkan tunang aku Maya.”  Hafiz yang masih dalam keadaan terkejut sempat juga menghulurkan tangan.  Maya menyambutnya walau pun hatinya dilanda gelisah. 
            “O….. ini tunang kau rupanya.  Pandai kau simpan dia.  Bila kau nak makan nasi minyak?” Usik Hafiz.  Sambil itu dia sempat menjeling tajam ke arah Maya.  Maya yang tidak tahu untuk berkata apa, cuma menjadi peneman kepada tunangnya itu.
            “Tak tentu lagi. Eh, jom kita ke sana.  Mak dan ayah nak jumpa Maya.  Mereka ada di sana.  Marilah.”  Maya akur.  Hatinya kini tidak tenteram. Ah, apakah yang dilakukan oleh Bakhtiar? Mengapakah jawapan itu bukan apa yang diharapkan?
            Maya bersalaman dengan Salina dan Taufik dengan penuh sopan. 
            “Datang juga Maya rumah Mak Alang.  Ingatkan tak sudi.”
            “Tak adalah Mak Alang.  Maafkan Maya.  Maya sibuk sikit. Mak Alang dengan Pak Alang apa khabar?  Sihat?”
            “Terima kasih, Maya.  Kami sihat.  Oh ya, nanti sekejap. Pak Alang nak buat satu pengumuman sekejap.” Taufik melangkah beberapa tapak.
            “Para hadirin-hadirat yang dihormati sekalian.  Dengar sini semua,”  Lantang suara Taufik membuatkan orang ramai di situ memerhatikan ke arah Taufik.
            “Kemari, Bakhtiar.”  Bakhtiar akur.  Dia berdiri di sisi ayahnya sambil melemparkan senyuman kepada para hadirin.
            “Suka saya menyatakan bahawa anak saya, Andy Bakhtiar akan mengambil alih perniagaan saya berkuat-kuasa pada bulan hadapan.  Begitu juga dengan tarikh pernikahan akan saya akan saya jalan pada bulan Mei nanti.  Dengan ini saya…”
            “Saya bantah perkahwinan ini.”  Suasana senyap.  Kesemua tetamu memandang ke arah Bakhtiar.  Maya mendengarnya tersentak.  Dia segera berpaling ke arah Bakhtiar seolah-olah mencari jawapan yang sebenar.  Apakah yang didengarnya sekarang ini adalah benar atau pun sekadar mimpi?
            “Saya tidak mahu berkahwin dengan pilihan keluarga saya.  Terus-terang saya katakan saya tidak menyintai dia.  Dia tidak layak untuk saya.  Saya lebih menyintai Rozita. Dialah yang layak untuk saya dan dia juga bakal saya peristerikan.” Maya terkejut.  Begitu juga dengan Hafiz. 
Bagaikan sembilu menikam jiwa di rasakan oleh dua insane yang tidak bersalah itu.  Hafiz berpaling kea rah Maya yang masih lagi dalam terkejut.  Hafiz merasakan tiada gunanya untuk dia berada lebih lama di situ.  Cinta yang dianyam selama ini rupanya adalah cinta palsu milik Rozita yang hidup penuh kepura-puraan.  Hafiz merenung ke arah Rozita yang tersenyum bangga.  Seolah-olah tidak merasa berdosa dengan apa yang telah dilakukan terhadap dirinya.
            Mata Maya mula berkaca. Dia mencari kelibat Rozita.  Ah! Dia begitu gembira dengan perpisahan ini.  Dada Maya sebak.  Tanpa menghiraukan orang lain Maya berlari meninggalkan majlis itu.  Hatinya kini pilu.  Bagaikan dihiris sembilu. Dia tidak menyangka dia akan diperlakukan sedemikian. Dia malu apalagi pertuangannya diputus dengan saksi orang ramai.  Dirasakan dirinya kerdil dikalangan tetamu yang datang malam itu.  Air mata mula mengalir menghiasi wajahnya.  Dia tidak sanggup berada lebih lama lagi.  Dia mahu meninggalkan majlis itu dengan secepat mungkin.
            Oh, mengapakah ini harus terjadi?  Apakah salahku?  Mengapakah dihukum sebegini?  Salahkah aku menyintai dia?  Salahkah aku meminta seulas kasih sayang seorang kekasih? 
            “Maya,”  Maya berpaling.  Wajah Shikin dan Maria ditatap.  Maya kemudiannya memeluk erat dua sahabatnya itu.  Tidak terbendung rasa sedihnya.  Shikin dan Maria yang tahu kesedihan Maya turut mengalirkan air mata. Dia tidak sangka, rakan yang selama ini dianggap seperti keluarga sanggup menikam sahabat dari belakang.
            “Sabarlah Maya.  Mungkin tiada jodoh kau dengan dia.  Mungkin ada rahmatnya kau berpisah dengan dia.  Atau mungkin kau akan bertemu dengan insan yang lebih baik dari dia.  Aku tahu, kau amat terluka sekarang.  Sudahlah.  Jangan diingat lagi.  Mari, kita balik.”  Ajak Shikin.  Tanpa berpaling lagi, Maya meninggalkan majlis itu tanpa sebarang keizinan dari kedua-dua bakal mertuanya.  Biarkan.  Biarkan mereka tahu betapa terluka hatinya sekarang ini. 

            Maya memerhatikan hujan yang turun melalui jendela biliknya.  Hujan yang turun memberikan ibarat hatinya yang kini dirundung kedukaan.  Hati yang menangis kini kian merintih sebak.  Maya memerhatikan gambar Bakhtiar yang berada di atas meja solek.  Ah, mengapa kau sanggup buat begini padaku Bakhtiar?  Apa salah aku?  Adakah aku melukan hatimu sehinggakan kau menghukumkan aku begini?  Tiadakah ruang untukku di hatimu?  Fikiran Maya kini berputar resah mengigatkan wajah Rozita yang pasti kini sedang ketawa melihat dirinya.  Kenapa Rozita? Kenapa kau sanggup membelakangi sahabatmu sendiri?  Kenapa Bakhtiar juga yang kau pilih?  Kenapa tidak Hafiz?  Kenapa Bakhtiar juga yang kau inginkan?  Kenapa tidak Hafiz untuk bakal suamimu?  Bukankah kau tahu Bakhtiar adalah milikku?  Maya berlari menyembamkan mukanya di bantal. Wajah Rozita kini membuatkan dia merasa benci yang selama dianggap kawan.  Aku tidak akan maafkanmu, Rozita.  Pasti satu hari kau akan pasti menerima nasib yang sama seperti diriku.  Maya tidak mahu mengenangkannya lagi.  Dia mahu segala kenangan diantara dirinya dengan Bakhtiar hilang dibawa hujan malam.  Biarkan ia meresap ke dalam bumi dan tidak akan kelihatan lagi.

Novel: Bisikan Cinta Bab 13

Teratak pena | 8:54 AM | Be the first to comment!
BAB 13

            Setelah dua hari berada di Langkawi hati mula terpaut.  Maya dan Sofiah ibarat belangkas.  Ke mana-mana sentiasa berdua.  Di sini, Maya dan Sofiah lebih mengenali antara satu sama lain.  Di sini juga kasih Daniel mula berputik.  Daniel yang mula mencari jalan untuk memenangi hati Sofiah terpaksa menempuhi banyak dugaan memandangkan Maya yang senantiasa berada di sisi Sofiah.  Bukan tak kenal dengan Maya si mulut becok.  Buatnya dia tahu hal sebenar, susah nak tutup mulut dia.  Kalau macam tu, lebih baik bergerak dalam senyap.  Bak kata orang tua, ibarat menarik rambut dalam tepung.  Rambut tak putus, tepung tak berselerak.     
            Maya mengangkat beg yang sarat ke dalam bas.  Ini yang malas.  Bila sudah seronok di sini, rasanya macam nak tinggal di sini.  Kalau nak balik memang payah.  Kebanyakkan penumpang sudah pun berada di dalam perut bas.  Maya yang masih lagi tercari-cari tempat duduk merungut apabila terpaksa memikul barang yang banyak.
            “Setahu aku, masa aku datang kat sini tak adalah banyak sangat barang aku.  Masa nak balik pulak macam nak patah pinggang aku memikulnya.  Oi!  Sofiah!  Marilah tolong aku angkat beg ni.”  Sofiah yang berada di tempatnya segera bangkit. 
            “Itulah, membeli tak ingat dunia.  Aku dah beritahu kau awal-awal lagi.  Jangan beli banyak sangat.  Kalau jadi macam ni, aku juga yang jadi mangsa.” Ngomel Sofiah sambil membantu Maya mengangkat barang.
            “Engkau ni Sofiah nak membebel ke atau nak tolong aku?  Cepatlah sikit.  Berat ni. Kalau nak jadi anak murid aku pun tunggulah sampai KL nanti.  Masa inilah kau nak berleter.  Cepat!” Laung Maya.  Sofiah segera mencapai beg di tangan kanan Maya.
            “Oi!  Ini bukan tempat duduk aku.  Hari tu aku duduk sana.”
            “Cik Maya, kerja dah habis.  Sekarang boleh duduk bersama.”
            “Sudah, jangan nak mengada.  Kau duduk sebelah Encik Daniel.  Macam mana pergi, begitulah juga balik.  Aku nak duduk dengan Lim.  Hah, si Lim mana pulak dia pergi?  Apek!”
            “Oi! Aku di sini.”  Sambut Lim.  Maya yang melihat kelibat Lim segera melabuhkan punggung.  Barang-barang tadi diletakkan di bawah kaki. 
            “Inilah yang aku benci.  Orang perempuan kalau belanja macam nak beli satu kedai.  Nasib baik kau duduk sebelah aku.  Kalau tidak, aku rasa dua-dua duduk atas barang.”
            “Sudah, jangan nak bising.  Ambil ni.  Aku bagi rasuah pada kau.” Maya menghulurkan buah limau kepada Lim.  Lim sambut dengan muka yang agak mencuka.  Geram dia melihat perangai Maya.
            Sofiah yang berada disamping Daniel cuma mendiamkan diri.  Dia masih lagi terkenangkan peristiwa malam semalam di mana Daniel cuba mencurahkan perasaannya.  Pada ketika ini, dia tidak betah untuk bertentang mata dengan Daniel kerana masih lagi disaluti perasaan malu.
            “Macam mana Sofiah? Sudah fikirkan apa yang saya katakan tempoh hari? Atau pun masih lagi meminta izin menambahkan waktu untuk berfikir?  Saya bukan memaksa. Cuma saya berharap yang Sofiah sudi menerima saya.  Saya tidak pernah bercinta selama ini.  Saya minta maaf sekiranya apa yang saya lakukan ini tidak begitu menyenangi Sofiah.  Apa yang saya harapkan akan datang, tiada lagi berencik dengan saya kecuali di pejabat.  Saya benar-benar iklas, Sofiah.”  Bisikan Daniel itu membuatkan Sofiah menambahkan lagi keyakinan kepada apa yang sedang difikirkan kini.  Ya, dia tahu Daniel kini sudah jatuh cinta.
            “Kenapa? Kenapa Sofiah senyap?  Saya bukan nak makan awak sampai awak membisu seribu kata.  Saya kata yang benar.  Bukan cerita bohong.” Sofiah memandang ke arah luar jendela.  Dia tidak tahu untuk berkata apa lagi. Sememangnya dia malu untuk menyatakan hasratnya.  Nanti apa pula kata Daniel.  Tidak dapat abang, adik pun dia hendak.
            “Saya tahu apa yang Sofiah fikirkan.”  Sofiah berpaling ke arah Daniel.  Hai, takkan Daniel pun ada simpan bomoh juga?  Macam nujum pak belalang.  Belum cakap sudah tahu cerita.
            “Saya tahu apa yang berlaku kepada Sofiah dengan abang saya.  Saya tahu Sofiah sukakan abang saya.  Tapi… semuanya sudah berakhir apabila Sofiah mendapat tahu yang abang saya sudah ada teman wanita. Saya tak kisah semua itu. Saya sukakan Sofiah.  Tak salahkan, kita memulakan cinta yang baru?  Adat orang bercinta, Sofiah.  Ada yang merana dan ada yang bahagia.  Apa salahnya Sofiah mencipta kembali cinta di hati Sofiah untuk orang lain.  Peristiwa yang lama usah dikenang lagi. Kelak Sofiah juga yang merana.”
            “Saya hanya menyukai Encik Hafiz.  Tidak lebih dari itu.  Kerana saya tidak sampat untuk menaburkan rasa cinta saya padanya.  Nasib baik saya sedar, saya mula berpijak di bumi yang nyata.  Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi, Encik Daniel.  Sesungguhnya saya bernasib baik.  Kalaulah saya meluahkan hati pada Encik Hafiz, sudah tentu saya juga yang malu.”  Daniel tersenyum dengan kata-kata Sofiah itu.  Ah, ada peluang nampaknya.  Bisik hati Daniel. 
            “Tolong simpankan rasa cinta dan sayang Sofiah untuk saya.  Manalah tahu Sofiah sudi untuk menerima saya.  Saya akan senantiasa bersedia memenuhi ruang hati Sofiah.  Saya tahu, Sofiah sudah mula menyimpan perasaan suka terhadap saya.”
            “Satu saya nak tahu tentang Encik Daniel.  Tapi kalau saya tanya jangan pulak marah.  Saya cuma sekadar bertanya.”
            “Ye ke?  Apa dia?  Saya tak kisah.  Berapa banyak Sofiah nak tanya?  Persilakan.  Mana yang boleh saya jawab, saya akan jawab.”
            “Encik Daniel ni keturunan nujum Pak Belalang ke?”
            Daniel mengerutkan dahi.  “Kenapa?”
            “Sebab Daniel tahu apa yang saya fikirkan.  Encik Daniel dan Encik Hafiz sama saja.”
            “Saya ni Sofiah kalau awak nak tahu, bukan saja expert dalam bidang marketing tetapi juga dalam bidang psikologi.  Lagi pun Hafiz abang saya.  Darah yang mengalir di dalam tubuh saya adalah sama.  Tak salah kalau kami mempunyai perwatakan yang sama.”
            “Tapi Encik Daniel dan Encik Hafiz berbeza.  Encik Daniel lebih banyak berlembut.  Tidak Encik Hafiz.”
            Daniel tersenyum.
            “Sofiah, Hafiz adalah abang saya. Seorang abang mempunyai tanggungjawab yang besar. Apa lagi dia adalah anak sulung di dalam keluarga kami.  Sebab itulah dia bersikap dingin di pejabat. Sungguh pun dia seorang yang tegas, tetapi dia juga seorang yang penyayang. Dia adalah seorang insan yang paling saya sayang.  Dia seorang abang yang hebat.” Pujian itu membuatkan Sofiah terkedu.
“Encik Daniel,  emm… semalam..”
“Sudah saya katakan jangan panggil encik dengan saya.  Kalau Sofiah nak panggil abang pun  tak seronok sikit.”  Usik Daniel membuatkan Sofiah malu.
“Ini…. Baju… Daniel… Daniel lupa nak ambil balik.  Nasib baik saya buat bodoh je bila Maya tanya baju sejuk ni.  Kalau tidak sudah tentu hari ini semua yang ada dalam bas ceritakan perihal kita.

“Anggap saja ini hadiah pertama dari Daniel.  Ambillah.  Daniel ikhlas.” Sofiah diam.  Dia tidak mahu berkata apa lagi. Dia kemudiannya melemparkan pandanganya kembali ke luar.  Dalam diam, Sofiah mula menganyam rasa cintanya kepada Daniel.  Sofiah memandang ke arah Maya yang sedang rancak berbual dengan Lim.  Dalam diam dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabatnya itu. Kalau bukan kerana Maya mungkin dia tidak bersama-sama dengan Daniel sekarang ini.  Ah, Maya kau tahu apa yang tersirat di hati ini.  Kemudiannya Sofiah memandang ke arah Daniel.  Terima kasih atas kesudianmu untuk menyambut cinta ini.  Aku akan cuba memberikan apa yang termampu dan membina tugu cinta kita berdua.

Bisikan Cinta : BAB 12

Teratak pena | 9:28 PM | Be the first to comment!
BAB 12

            Sofiah melabuhkan punggung berhadapan dengan Daniel.  Hatinya tiba-tiba bergelora.  Dia tidak tahu kenapa apabila dia bertentang mata dengan Daniel hatinya mudah bergelora.  Ah, apakah tandanya ini?
            “Kenapa Encik Daniel panggil saya?  Kalau tentang tugasan tu saya sudah pun siapkan.  Cuma tunggu untuk aktiviti esok saja.”  Sofiah terkejut dengan kehadiran majikannya tadi.  Difikirkannya Maya.  Namun wajah Daniel yang menerpa.  Entah apa mimpi, Daniel mengajaknya makan malam.  Ada hal penting katanya.  Sebagai setiausaha dia pelu patuh dengan arahan itu selagi ianya tidak melanggar tatasusila sebagai pekerja.
            “Lepas makan nanti kita bincang.”  Daniel melambai ke arah pelayan yang lengkap memakai seragam.  Dia kemudiannya memesan makanan dan Sofiah yang masih dalam tanda tanya hanya akur dengan keputusan Daniel.  Daniel meletakkan garfu dan sudu di dalam pinggan.  Dia sendawa kecil.  Keyang dirasakan pada saat itu.  Menikmati makan malam bersama Sofiah dirasakan satu detik yang begitu bermakna buat dirinya. 
            “Kita pergi ke pantai sekejap.”  Ajak Daniel.  Sofiah tersentak.  Sudah, apa pulak ni?  sampai ke pantai nak bincangkan hal kerja?  Sofiah agak sangsi dengan majikannya.  Dia takut andai kata ajakkan itu ada muslihat yang tidak dia ketahui.  Maklum sajalah zaman sekarang ni orang yang kita sangka baik kadang-kala musuh dalam selimut.
            “Tak boleh ke kita cakap di sini saja?”  Sofiah cuba mencari alasan.  Dia merasakan satu debaran yang kian kencang.
            “Maaf, Sofiah.  Kalau boleh kita bincangkan di tempat lain.  Di sini ramai sangat.”   Ajak Daniel.  Sofiah bangkit walaupun dia masih lagi dalam keadaan ragu-ragu. 
            Daniel dan Sofiah beriringan menyusur pantai di waktu malam.  Air laut yang menyapa tubuh Sofiah membuatkan dia memeluk tubuh. Sejuk bagaikan menusuk ke tulang hitam. Dia menyalahkan diri kerana tidak memakai baju sejuk.  Daniel merenung ke arah Sofiah.  Dia segera meletakkan baju sejuknya atas bahu Sofiah.  Sofiah tersentak.
            “Saya tahu, Sofiah sejuk.”  Ujar Daniel.  Sofiah tunduk.  Tidak sanggup rasanya untuk dia bertentang mata dengan Daniel ketika ini.  Seperti biasa hatinya bergelora.  Dicuba untuk menepis segala rasa gelodak di jiwa tetapi hampa.  Setiap kali bersama, perasaan itu dengan tiba-tiba menerpa.
            “Maafkan Daniel kalau Daniel menyusakahkan Sofiah.”  Daniel?  Sofiah terkejut dengan bicara yang baru saja dilafazkan oleh Daniel.  Tidak pernah dia mendengar Daniel menggelarkan dirinya dengan nama.
            “Apa ni Encik Daniel?  Saya tak faham.”  Sofiah cuba berlagak selamba walaupun debaran hatinya kian kencang.
            “Saya tahu Sofiah merasa kekok sekarang ini.  Bersama-sama dengan majikan sendiri apa lagi di tempat sebegini.  Tentu Sofiah merasa  tidak senang hati.”  Sofiah mengakui akan kebenaran kata-kata Daniel itu.  Dia merasa kekok sekarang ini.  Hatinya juga tidak tenang seperti di lautan yang terbentang luas.  Sofiah melemparkan pandangan ke pantai.  Dia kaku untuk bersuara.  Sofiah menantikan apa saja yang diperkatakan oleh Daniel. 
            “Kenapa dengan Sofiah ni?  Senyap je dari tadi.”  Daniel cuba menyelongkar hati Sofiah.
            “Tak ada apa-apa Encik Daniel.  Encik Daniel cakap saja. Saya dengar.”  Sofiah sedar ketika ini bukan masanya untuk dia berkata apa.  Dia akan cuba menyelami apa yang tersimpan di hati majikannya.
            “Cuba Sofiah tengok lautan di sana.  Betapa setianya mendamparkan diri di pantai.  Setianya pantai dan laut tidak boleh dipisahkan.  Saya ingin sekali menjadikan panduan kasih sayang saya kepada ibarat laut dan pantai.”
            “Tapi, sesekali lautan yang tenang akan pasti melalui ombak yang ganas. Begitu juga dengan pantai.  Sekali air bah, sekali pantai akan berubah.”
            “Yang berubah hanya pada fizikalnya, Sofiah.  Memang adat hukum alam.  Itu memang kita tidak boleh menafikan.  Ibarat hidup kita juga.  Ada kala kita berada di dalam kegembiraan dan ada kalanya kita akan disalut kelukaan.  Tapi, walau bagai manapun pantai dan laut tidak pernah terpisah walau pun apa yang terjadi. Begitu juga dengan lumrah hidup dalam bercinta.  Saya mahu mencari cinta seperti laut dan pantai. Seiring bersama walau apa yang berlaku.  Tapi, ah! Entahlah.  Mungkin pada Sofiah adalah cerita yang amat membosankan.  Sebab itu saya berat hati untuk membicarakan hal yang saya rasa tidak pernah masuk dek akal.” Lembuat saja kata-kata yang diucapkan oleh Daniel membuatkan Sofiah merasa tenang mendengarkannya.
            “Tidak salah untuk meluahkan, Encik Daniel.  Saya tahu, Encik Daniel ingin jadikan pantai dan laut sebagai lambang dalam percintaan Encik Daniel.  Tapi, kita tidak boleh lupa dengan karang dan ikan yang berada di perutnya.  Begitu juga dengan pohon dan jeti yang menjadi perhiasannya.  Kalau hanya laut dan pantai tanpa semua itu, hidup tidak akan menjadi menarik.  Begitu juga dengan cinta.  Cinta mesti bersulam dengan kasih dan sayang.  Ini semua mestilah seiring agar kemudi kehidupan yang kita layarkan akan bertambah bermakna.”
            “Pandainya Sofiah.”  Sofiah tunduk malu.  Dia tersipu-sipu dengan pujian yang dilemparkan oleh Daniel sebentar tadi.
            “Tapi itu semua tidak akan menjadi kenyataan sekiranya lautan bersendirian dan kasih sayang yang cuba dicipta hanya sebagai mimpi apabila yang dinanti tidak pernah menyatakan hasrat hatinya.”
            “Apa maksud Encik Daniel?  Saya memang tak faham.  Kenapa?  Encik Daniel sudah dikecewakan atau pun takut untuk menyatakan hasrat hati?  Kalau dikecewakan, susahlah saya nak tolong.  Kalau susah nak menyatakan hasrat hati bolehlah saya bantu.  Saya ini pun bukannya pandai sangat. Kenapa?  Ada sesiapa yang berkenan di hati?  Boleh saya tahu siapa dia?”  Sofiah mula berani untuk bersuara.  Dia tahu majikkkannya perlukan bantuan.  Dia sebagai seorang pekerja bawahan cuba untuk selesaikannya.
            “Maya.”  Sofiah terkejut.  Ah, adakah Daniel menyukai dan menyintai Maya?
            “Tapi… dia sudah ada yang punya.  Berdosa kalau kita menyeksa pantai dengan lautan yang bergelora.  Kelak pantai akan pasti merana.  Biarlah ianya beralun dengan perlahan agar tidak memberikan kesan yang mendalam walaupun hati bagaikan disayat pilu.”  Daniel tergelak.  Sofiah tercenggang.  Ah, permainan apakah yang ingin dimainkan oleh Daniel?
            “Saya tak katakan yang saya sukakan Maya atau menyintai dia.  Saya masih sedar, Sofiah. Dia sudah menjadi milik orang.”
            “Kalau begitu, apakah yang membuatkan Encik Daniel resah begini?”
            “Kerana Maya, saya bertemu dengan pantai.  Kerana Maya, saya mula membuka mata.  Mengenali cinta dan mendalami rasa kasih dan sayang.”  Sofiah memandang ke arah Daniel.  Dia begitu tidak mengerti dengan penjelasan Daniel.  Daniel menggenggam erat tangan Sofiah.  Sofiah tersentak.  Dia tidak sangka dengan tindakan Daniel.  Namun begitu, dia tidak dapat mengelak rasa debaran yang kian kencang. 
            “Saya sebenarnya takut untuk berterus-terang. Saya takut kalau saya sampaikan hasrat di hati, dia tidak sudi.  Bukankah malu nanti.  Mana saya nak sorokkan muka saya ni?”
            “Tidak salah mencuba Encik Daniel.”  Daniel senyap.  Dia cuba mengumpul kata-kata.  Sofiah senyap menantikan butir-butir bicara Daniel.  Hatinya kini tidak tenang.  Dia dapat merasai seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh Daniel.  Daniel memandang ke arah Sofiah.  Dia sedaya upaya untuk memberitahu perkara yang sebenar kepada Sofiah. 
            “Encik Daniel seperti ada sesuatu yang hendak disampaikan.”  Akhirnya Sofiah mengalah dengan tindakan Daniel yang seriba bahasa itu.
            “Er… saya tahu, saya masih baru lagi di syarikat.  Tapi tak salahkan kalau kita mengenali antara satu sama lain?”
            “Tak salah Encik Daniel.  O…. ini dia susah sangat nak cakap.  Bukankah kita sudah mengenali antara satu sama lain.”  Sofiah tergelak kecil.
            “Maksud saya mengenali lebih dari seorang majikan.  Seorang kekasih kepada kekasih. Itu yang saya maksudkan.  Saya minta maaf kalau saya ini terburu-buru.  Tapi saya takut. Takut apa yang saya harapkan akan terlepas ke tangan orang lain.  Terus-terang saya ingin katakan pada Sofiah yang saya sudah mula jatuh hati dengan Sofiah.  Kalau boleh saya nak mengenali Sofiah lebih dari seorang kawan atau majikan.”  Ucap Daniel jujur.  Sofiah merenung ke arah anak mata Daniel.  Namun tidak lama.  Dia terleka dengan renungan manja Daniel.
            “Bukan saya tak sudi, Encik Daniel.  Tapi, kita mesti fikirkan darjat dan pangkat.  Saya ibarat pipit, Encik Daniel ibarat enggang.  Saya bagaikan bumi, tapi Encik Daniel bagaikan langit.  Kita tak sama, Encik Daniel.  Saya tak mahu apa kata orang tua Encik Daniel nanti.”  Daniel tersenyum. 
            “Rupanya Sofiah masih belum kenal saya dan keluarga saya lagi.  Sungguh pun saya dan keluarga adalah dalam kalangan orang yang berada, tapi kami tidak pernah lupa dengan adat serta tempat lahirnya kami.  Kami semua anak desa.  Saya juga dilahirkan di desa.  Bermain di bendang, mandi di sungai.  Namun  itu bukan masalah kami untuk berjaya.  Walau pun ayah saya seorang anak desa, tetapi dia mempunyai semangat juang yang tinggi.  Walau pun sudah mendapat pengkat sebagai Dato’, namun dia tidak pernah lupa menjenguk datuk kami di kampung.  Hati kami tetap di desa.  Setiap pada hari raya kampung juga tempat kunjungan pertama kami.  Cuma di sini, kehidupan kami berbeza.  Saya tahu, terlalu awal buat Sofiah.  Namun Daniel tidak memaksa untuk terima Daniel.  Sofiah fikirkan dulu.  Walau bagai mana pun Daniel tetap menantikan Sofiah.” Sofiah senyap.  Dia tidak tahu apakah jawapan yang sewajarnya yang harus diberikan kepada Daniel.
            “Berilah Sofiah masa, Encik Daniel.  Saya takut antara kita akan terluka.”
            “Biarlah terluka sekarang jangan sudah menyimpan perasaan tetapi tidak kesampaian itu sudah menjadi satu kedukaan yang akan memberikan kesan yang mendalam.  Tak mengapalah.  Kalau itu yang Sofiah pinta.  Tetapi… apa yang Daniel harapkan adalah jawapan yang baik dari Sofiah.”  Genggaman Daniel semakin erat.  Pada saat ini, Sofiah sudah dapat merasakan bunga-bunga jawapan kepada persoalan Daniel.
            Sofiah kembali ke bilik apabila jam tangannya sudah mencecah ke angka 12.00 tengahmalam.  Dengan perlahan Sofiah membuka pintu biliknya.  Tidak mahu dia mengejutkan Maya yang mungkin sudah tidur.  Namun, itu semua andaiannya saja. Maya sedang menantinya.
            “Hah, baru sekarang kau balik. Mana kau pergi?  Puas aku tunggu kau.”  Sofiah serba-salah dengan pertanyaan Maya itu. Ah, perlukah aku memberitahu hal yang sebenarnya?
            “Aku pergi makan sekejap.”  Jawab Sofiah yang tidak pasti bahawa jawapan itu akan mempercayakan Maya.
            “Hai, sudah 12.00 tengahmalam baru kau nak makan. Kau makan nasi ke atau kau makan angin.  Aku tak percayalah.  Baik kau beritahu dengan aku.  Kau pergi mana.  Kalau kau tak beritahu aku, tak apa.  Akan tahu juga.  Kau bukan tak tahu, aku kalau nak tahu cerita-cerita sensasi aku akan mendapatkannya walau apa yang terjadi.  Aku tahu apa yang terjadi dengan kau.  Kau jangan nak merahsiakan dari aku. Aku tahu kau berjumpa dengan siapa. Walau bagai mana pun aku akan tetap tahu dari mulut kau sendiri satu hari nanti.  Tapi apa yang aku tahu sudah tentu kau berjumpa dengan Encik Daniel.  Kalau tidak macam mana baju sejuk dia ada pada kau?”  Sekap Maya.
            “Sudahlah Maya.  Kau jangan banyak sangat membebel. Aku malas nak dengar. Dahlah, aku nak tidur.  Nanti kau tolong padamkan lampu.  Okey, selamat malam.  Aku tidur dulu.”  Sofiah sudah pun menarik selimut.  Tak kuasa dia mendengarkan leteran Maya pada malam-malam begini. 
            “Sofiah, dengarlah cakap aku ni.  Sofiah!” Maya mengoncangkan badan Sofiah.  Sofiah membatu.  Maya mengalah.  Mulutnya tidak berhenti.  Masih lagi membebel.

            “Tak apa, kalau kau tak nak cakap dengan aku aku tak kisah.  Tapi kau akan beritahu juga dengan aku.”  Maya mengalah.

Bisikan Cinta : Bab 11

Teratak pena | 8:22 PM | Be the first to comment!


BAB 11

            Sofiah masih lagi memandang ke arah Maya.  Maya yang masih lagi di atas katil tidak berhenti-henti bersin.
            “Kau ni teruk sangatlah.  Baru jatuh dalam laut nak kena selsema.  Macam mana Encik Hafiz tu memujuk kau tadi?” Sofiah mula mencungkil rahsia Maya.  Ingin saya dia mengetahui apa yang telah dikatakan oleh Maya yang kini dianggapnya sebagai seorang sahabat yang baik.
            “Itu antara aku dengan dia.  Kau tak boleh masuk campur.  Kau jangan lupa, dia sudah ada teman wanita.  Dia memujuk aku kerana aku adalah pekerja dia. Tidak lebih dari itu.  kau bukan tak tahu aku dengan mana boleh jumpa.  Ada je aku nak kutuk dia.  Lagi pun mana ada status aku nak berkawan dengan dia.  Dia langit. Aku bumi. Jauh panggang dengan api.”  Maya merendahkan diri.  Berdamping dengan insan seperti Hafiz bukanlah angan-angannya.  Dia sedar akan taraf dirinya di sisi Hafiz yang jauh lebih darinya.
            “Tapi kau lagakan aku dengan Daniel.”  Sofiah memulangkan paku buah keras.  Dia seolaholah tidak yakin dengan perhubungan sahabatnya dengan Bakhtiar.  Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.
            “Itu sebab kau masih solo dan kau cantik, Sofiah.  Kau memang layak.”  Ujar Maya jujur.  Maya tahu, Sofiah sedikit sebanyak meminati Daniel.  Begitu juga dengan Daniel.  Sejak berada di sini, Daniel selalu saja mencuri pandang ke arah Sofiah.  Dia yakin, Daniel dan Sofiah adalah pasangan yang secocok.  Ah, bukan  macam Hafiz dengan si Rozita tu.  Macam langit dan bumi.  E… perempuan gedek tu.  tak larat aku.
            “Aku pun seperti kau juga.  Cara pertuturannya adalah seperti majikan dan pekerja.  Tapi… cara kau semalam membuatkan aku semakin malu untuk berhadapan dengan Encik Daniel lagi.”  Maya tersenyum dengan kata-kata Sofiah itu. 
            “Tak salah kalau kau luahkan hati kau.”
            “Tak salah kata kau?  Aku takut Maya.  Takut pada diriku sendiri.  Apa kata kalau aku meluahkan rasa hati aku tapi dia menolaknya.  Aku juga yang malu.  Aku tak mahu kalau aku dikatakan perigi mencari timba.  Sudahlah aku setiausaha dia, ada hati nak berkawan dengan majikan sendiri.  Sudahlah Maya, kita jangan bincangkan hal ini lagi.  Oh ya, kau ceritalah tentang tunang kau sekarang.  Kenapa dia tak nak ikut serta dalam program ni?”
            “Siapa?  Bakhtiar?  Emm…. Aku dah tanya dia.  Tapi dia ada hal.  Dia kena ke Sarawak.  Sebab itu dia tak dapat ikut sama.”  Jawab Maya sayu.  Tatkala Sofiah membicarakan tentang Bakhtiar dia rasa sedih. 
            Tiba-tiba kedengaran bunyi loceng pintu membuatkan Maya dan Sofiah berhenti bercerita.  Maya bangkit menuju ke arah muka pintu.  Dilihatnya Hafiz dalam keadaan cemas.
            “Kenapa dengan Encik Hafiz ni?  Macam orang kena kejar hantu je.  Ada masalah negara ke?  Sampai pucat bibir saya tengok.”  Tanya Maya dengan cemas. 
            “Maya, tolong saya.  Awak tengokkan Rozita.   Saya risaulah dengan dia.  Dari tadi asyik terbaring atas katil.  Saya dah bagi Panadol pun macam tu juga.”  Maya mengeluh.  Aku ni setiausaha dia atau pun Rozita.  Maya masuk kembali mengambil baju sejuk yang tergantung di atas kerusi sejak tadi.
            “Sofiah, aku ke bilik Rozita sekejap.  Encik Hafiz tu aku tengok risau semacam je.  Aku pergi jenguk sekejap ye.  Kau tunggu aku.”
            “Hah, yelah.  Kau pun jangan lambat sangat balik.” Maya mengangguk.  Dia kemudiannya hilang bersama-sama denganHafiz.
            Sampai saja di bilik Rozita, dilihatnya Rozita terbaring lesu.  Dia menghampiri Rozita dengan perlahan.
            “Ita, aku ni.  Demam ke?” Maya meletakkan telapak tangan di atas dahi Rozita.  Sejuk.  Eh, tak ada pulak tanda-tanda demam.
            “Hai, kenapa ni?”  Rozita membuka mata  apabila mendengarkan suara Maya.  Rozita tersenyum tawar.  Hanya kepada Maya dia boleh memberitahu hal yang sebenarnya.
            “Aku sakit perut.” Ujar Rozita dengan perlahan.  Barulah Maya faham dengan keadaan Rozita sekarang ini.  Rupanya sakit orang perempuan!
            “O…. Tak apalah Encik Hafiz.  Cik Rozita tak ada apa-apa.  Ini cuma sakit biasa je.”  Terang Maya dengan satu senyuman.  Nampaknya Hafiz terlalu mengambil berat.
            “Sakit biasa awak kata?  Dari petang tadi sampai malam asyik terbaring awak kata sakit biasa?”  Hafiz masih lagi tidak puas hati.  Dari penerangan Maya seolah-olah Rozita tidak apa-apa.
            “Ala orang perempuan.  Nanti kalau Encik Hafiz kahwin tahulah sakit ni.  Setakat ni, janganlah Encik Hafiz bimbang.  Esok dia mesti baik semula.” Terang Maya.  Hafiz tidak senang hati.  Dia segera menghampiri Rozita.
            “Ita, macam mana Ita sekarang? Nak Hafiz bawakan Ita ke hospital?”  Tangan Hafiz erat menggenggam tangan Rozita.  Maya yang melihat adegan itu berundur.  Ah, betapa indahnya kalau aku seperti dia.  Dijaga dan diberi perhatian.  Maya sedar.  Selama ini dia tidak pernah menerima perhatian dari seorang lelaki walau pun dari tunang sendiri.  Dia tahu, Bakhtiar seorang yang romantik dan suka mengambil berat.  Tetapi, semuanya bagaikan satu mimpi sekiranya luahan cinta tidak pernah diucapkan oleh lelaki itu.  Maya tidak mahu tunggu lama.  Dia tidak mahu berada di situ lagi.
            “Encik Hafiz, saya nak balik bilik dulu.”  Maya meminta izin.
            “Tunggu saya.” Hafiz sedar, tidak manis kalau dia berada di dalam bilik itu berdua-duaan dengan Rozita. Dia masih lagi memegang adat timur dan agama. Hafiz bangkit dengan hati yang berat.
            “Ita rehat ye.  Nanti kalau ada apa-apa beritahu dengan Hafiz.” Pesan Hafiz sebelum meninggalkan Rozita. 
            Maya membuka pintu bilik apabila tiada sebarang jawapan ketika dia membunyikan loceng tadi.  Dilihatnya bilik itu kosong.  La…. kemana pulak perginya perempuan ni?  

Bisikan Cinta : Bab 10

Teratak pena | 7:57 PM | Be the first to comment!
BAB 10


Maya dan Sofiah berlari menuju ke pantai apabila mereka terlewat untuk acara seterusnya.  Acara inilah yang paling dinanti-nantikan oleh Maya.  Acara pantai.  Kunci bilik ditinggalkan di kaunter pertanyaan.  Daniel selaku pengerusi bagi lawatan tersebut memang sengaja mencari hotel yang menghadap pantai.  Sekurang-kurangnya aktiviti mereka dapat diisi.  Sampai saja di pantai, dilihatnya sudah ramai yang sedang menanti.  Daniel dan Hafiz sedang rancak berborak.  Entah apa yang diboraknya pun tak tahu.  Tapi.. ke mana pulak perginya Rozita?  Tak nampak pun batang hidung dia. Takkan dia dah mabuk kot?  Kalau tidak dia dengan si Hafiz macam belangkas.  Ke hulu ke hilir asyik berdua.  Nak cari publisitilah tu.  Kononnya merekalah pasangan yang paling ideal.  Sudah sah dua-dua perasan!
            Maya menghampiri Emma yang sedang bermain dengan ombak di gigi pantai.  Emma mesti tahu ke mana Rozita pergi. Sebab mereka satu bilik. 
            “Emma, Ita mana?” Tanya Maya.  Tangannya sempat bermain dengan ombak.  Matanya tidak lepas memandang ke arah laut yang luas terbentang.
            “Dia tak sihat.  Katanya kepala dia sakit.”  Hah?  Kepala sakit?  Tadi tengok bukan main lagi dengan Encik Hafiz. Bisik hati Maya.
            “Dia macam mana sekarang?  Nak ubat ke?”
            “Tak payah.  Encik Hafiz dah berikan dia ubat.  Mungkin lepas berehat, sihatlah dia tu.”  Maya mengangguk tanda setuju.  Dia kemudiannya kembali ke arah Sofiah yang sedang meneliti jadual di samping Daniel.  Nak kacau daun ke?  Tak perlulah.  Nanti kalau dah bertiga orang kata semak.  Maya mencari kelibat Hafiz.  La.. itu dia tengah lepak atas batu rupanya. 
            “Encik Hafiz! Mana pergi teman wanita Encik Hafiz?  Dah pengsan ke?”  Sengaja Maya ingin menyakitkan hati Hafiz.  Hafiz yang terasa menjeling tajam. Dia ni ada yang kena humban dalam laut.  Hafiz tidak bersuara sebaliknya dia memandang ke arah laut yang tenang.
            “Encik Hafiz, janganlah macam ni.  Nanti tak laku.  Marilah.  Acara dah nak mula.  Tu, adik Encik Hafiz dah panggil.” Ajak Maya.  Dilihatnya Daniel sudah melambaikan tangan supaya datang ke arahnya.
            “Marilah Encik Hafiz.  Nanti, kalau saya datang seorang apa pulak kata orang.  Seorang setiausaha tidak pandai nak kendalikan majikannya sendiri.  Marilah, mereka semua dah tunggu.”  Maya menarik tangan Hafiz.  Hafiz dengan separuh terpaksa akur dengan tindakan Maya.
            Sampai saja di sana, Daniel dan Sofiah yang menjadi dalam bahagian permainan pantai memberikan jadual tentang perlawanan berkayak  yang akan diadakan sebentar lagi.  Setiap kayak akan dikendalikan oleh dua orang.  Mereka akan berkayak dari pantai hingga ke bendera merah yang telah ditandakan, kemudian mereka akan berkayak semula ke pantai untuk menentukan juara.
            “Baiklah, sekarang kita akan undi siapa yang akan menjadi pasangan masing-masing.”  Laung Daniel.  Maya tekun mendengarkan setiap butir bicara yang disampaikan oleh Daniel.
            “Encik Hafiz, saya rasa Encik Daniel dengan Sofiah memang secocok.  Apa pulak pendapat Encik Hafiz?”
            “Sudah saya beritahu pada awak Maya.  Kalau awak suka melaga-lagakan orang, buka saja syarikat agen cari jodoh.”  Maya panas dengan kata-kata Hafiz itu.  Maya senyap.  Dia tahu, Hafiz ketika itu usah ditegur.  Kalau salah cakap, ada juga yang kena campak dalam laut.
            “Cik Maya Izatti!”  Maya yang berada sedikit belakang menjengahkan muka.
            “Dia akan berpasangan dengan Encik Hafiz!” Laung Sofiah.  Maya antara dengar atau tidak terduduk.  Satu bala lagi yang datang.  Imiginasinya kini sudah terserlah, yang dia pasti akan terjun laut.
            “Baiklah, kalau semua sudah sedia kita akan mulakan sekarang.  Semua peserta dikehendaki ke pantai dan bersedia di kayak masing-masing.”  Maya yang sudah berada di kayak menggarukan kepala.  Aku nak duduk mana ni?  Depan ke atau pun belakang?
            “Apa yang awak menungkan?  Duduklah” Arah Hafiz.  Maya berpaling memandang ke arah Hafiz.
            “Saya nak duduk di mana?”
            “Pasangan Encik Hafiz dan Maya Izzati sila duduk di tempat masing-masing.”  Laung Daniel yang sudah pun bersedia dengan bendera kecil untuk melepaskan peserta.
            “Tak apalah.  Awak duduk di depan.  Biar saya di belakang.” Maya akur.  Dia segera masuk ke kayak dan segera memegang pedal untuk memulakan pertandingan.
            “Baiklah, kegarisan….. sedia… mula….”  Kesemua kayak yang memasukki pertandingan itu berlepas.  Ada lebih kurang 15 kayak yang ambil bahagian.  Pada ketika ini, Emma dan Lim masih lagi mendahului peserta yang lain.  Maya dan Hafiz yang menduduki tempat kedua sedaya upaya untuk memotong Emma dan Lim.  Setelah melepasi bendera merah, kayak Hafiz mula membuat pusingan.  Tetapi… entah kenapa, Maya yang berada di hadapan tidak dapat mengawal kayaknya.  Hafiz yang duduk di belakang cuba untuk menyelamatkan keadaan namun gagal.  Kayak mereka terbalik.  Hafiz sempat naik semula ke kayak.  Maya yang masih berada dalam air cuba meminta bantuan.
            “Maya, capai tangan saya.”  Hafiz mula memberikan bantuan.  Maya yang masih lagi tercungap-cungap cuba mencari tangan Hafiz.  Apabila berjaya, Maya dengan sekuat hati memegang tangan Hafiz.  Hafiz berusaha menarik Maya naik ke kayak tetapi semua itu sia-sia belaka.  Keadaan fizikal Maya membuatkan Hafiz memerah tenaga dengan sepenuhnya.
            “Kau ni berat sangatlah Maya. Cuba naikkan salah satu kaki awak.  Senang saya nak naikkan awak.” Maya berusaha menaikkan kaki kanan.  Akhirnya dengan usaha Hafiz, Maya dapat diselamatkan. 
            “Awak tak ada apa-apa Maya?”  Maya menggeleng.  Suaranya ibarat tersangkut di kerongkong. Pada saat itu, pandangan mata mereka bertentang.  Maya berpaling.  Tidak sanggup dia menatap wajah Hafiz ketika itu. Maya dan Hafiz akhirnya sampai ke garisan penamat dengan tempat yang terakhir.  Itu pun gara-gara kayak mereka terbalik.
            “Kau macam mana Maya?” Tanya Sofiah seraya Maya sampai di pantai.
            “Aku okey.  Aku tak ada apa-apa.”
            “Aku risau betul tengok kau jatuh tadi.  Nasib baik ada Encik Hafiz.  Kalau tidak, tak tahulah aku nak cakap.  Maya… Maya… hey, kenapa ni?”  Sofiah tersentak apabila melihat butir-butir jernih mula menghiasi pipi halus milik Maya.  Sofiah terkedu sebetar. 
            “Encik Hafiz!”  Entah kenapa nama itu yang dilaung oleh Sofiah.  Hafiz yang baru saja mengeringkan rambut berlari ke arah Sofiah.
            “Kenapa?” Pertanyaan Hafiz disambut oleh dengan wajah cemas Sofiah.  Hafiz memandang ke arah Maya.
            “Maya, kenapa ni?  Cuba cakap dengan saya.”  Hafiz mula memujuk.  Maya masih lagi senyap.
            “Sofiah, ambilkan saya air.”  Sofiah berlari meninggalkan Maya bersama-sama dengan Hafiz.  Hafiz merenung ke arah Maya.  Jelas kelihatan raut wajahnya yang masih lagi dalam ketakutan.
            “Maya masih takut lagi ke?”  Maya menggangguk.  Hafiz menyeka air mata Maya yang masih lagi mengalir.
            “Sudahlah tu.  Bukankah saya sudah selamatkan awak?  Maya jangan menangis lagi. Kalau awak tak berhenti menangis apa pula kata orang nanti.  Seorang majikan membuli pekerjanya.”  Hafiz tidak berputus asa untuk memujuk.  Seketika itu Maya mula mempamerkan satu senyuman.  Dia lega dengan pujukan Hariz itu.  Sofiah kemudiannya sampai dengan membawa mineral water yang di ambilnya dari peti simpanan air. 

            “Sofiah, bawa Maya naik ke bilik.  Dia sebenarnya masih lagi takut tentang tadi.” Maya dan Sofiah mula beredar meninggalkan  Hafiz keseorangan.

Novel: Bisikan Cinta Bab 9

Teratak pena | 7:33 PM | Be the first to comment!
BAB 9

            Maya yang duduk bersebelahan dengan Sofiah tidak berhenti bercakap. Ada saja cerita yang dihebahkan.  Sofiah yang sudah tahu akan perangai Maya cuma membatukan diri.  Sekali-sekala dia menyampuk juga.  Di sebelah tempat duduk mereka kelihatan Daniel dan Lim asyik dengan melayani perasaan masing-masing.  Perjalanan ke Langkawi mengambil masa yang panjang membuatkan ramai penumpang lebih suka bersendiri.  Manakala Hafiz pula duduk di belakang dengan siapa lagi kalau bukan buah hatinya si Rozita.  Bukan main lagi mereka.  Dari naik bas tak henti-henti dengan senda gurauan.  Sehinggakan Maya yang berada di hadapannya sudah mula meluat dengan gelak tawa mereka.
            “Orang lain pun bercinta juga.   Tapi tak adalah sampai macam ni teruk. Mereka ingat dia orang je yang bercinta.  Ala… setakat dating dalam bas bukannya bagus sangat pun.  Benci pulak aku tengok mereka berdua tu.  Macamlah dunia ni dia yang punya.  E… meluat betul.”  Adu Maya.  Sofiah yang merenung ke luar jendela bas segera berpaling.
            “Biarlah mereka.  Apa yang kau susah sangat.  Aku tahu kau tu sebenarnya cemburu sebab tunang kau tak nak ikut sama.” Usik Sofiah dalam nada gurauan.  Maya senyap.  Entah kenapa, bila Sofiah menyebut tentang Bakhtiar, dia merasa sebak tiba-tiba. Adakah kerana keengganan Bakhtiar mengikuti rombongannya atau layanan yang diberikan sejak akhir-kahir ini.
            “Nak air?”  Maya tersentak.  Segera dia berpaling ke arah Daniel.  Daniel yang memegang dua tin air berperisa Coca-cola tersenyum.  Maya menyambut senyuman Daniel dengan disulami tangan kanannya menyambut pemberian Daniel.  Maya menghulurkan satu tin kepada Sofiah.  Namun sebaliknya Sofiah menggeleng. 
            “Kenapa?  Kau pun tak ada mood?”  Tanya Maya cuba mengambil berat.  Pelik juga dia melihatkan Sofiah yang hari ini tidak berteman.  Mahu juga dia bertanyakan pada Sofiah, namun mulutnya bagaikan berat untuk berkata-kata.
            “Bukanlah, aku tak biasa dengan air bergas ni.”  Terang Sofiah lemah.  Maya kembali berpaling ke arah Daniel yang sedang enak mengunyah.
            “Encik Daniel, setiausaha Encik Daniel tak minum air ni.  Saya pulangkan balik satu tin ni.”  Maya menghulurkan tin coca-cola kepada Daniel dengan satu senyuman. 
            “O… tak minum.  Tak apalah.  Ambil air saya ni.  Saya pun belum minum lagi.”  Daniel segera menghulurkan air kotak kepada Maya.
            “Tuan Puteri, ini air awak.”  Sofiah menyambut dengan satu senyuman.  Dia kemudiannya melemparkan satu senyuman kepada Daniel.
            “Terima kasih, Encik Daniel.”  Ucap Sofiah. 
            “Untung kau dapat bos macam Encik Daniel, Sofiah. Eh, kau tak nak tackle dia ke?”  Tanya Maya berbisik.  Sesekali dia menjeling ke arah  Daniel.  Dia takut kalau perbualannya didengar.  Walau bagaimanapun Daniel yang berada di sebelah khusyuk dengan kertas kerja yang di bawanya dari pejabat. 
            “Gila kau. Dia majikan aku.  Aku tak nak terjadi macam dulu.  Eee…. Selisih.  Nanti aku juga yang dapat malu.  Kalau kau nak tahu, sampai sekarang ni aku punya badi dah susah nak hilang.  Dulu boleh juga aku ajak Jeffry ke, Fezly ke, sekarang habuk pun tak ada.  Semuanya melepas gara-gara aku mengorat abang dia. Tak naklah aku.  Apa?  Kau ingat aku ni kempunan sangat ke sampai tak dapat abang, adik pun aku nak sapu?” Sofiah tidak senang dengan kata-kata Maya.  Dia tahu, bukan senang untuk dia mendampingi Daniel.  Dia takut akan bayang-bayangnya sendiri.  Dia malu orang akan kata bagaikan hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong.  Dia sedar dia hanya seorang pekerja bawahan.
            “Apa yang kau nak takutkan?  Belum cuba belum tahu.  Hari tu dia ada cakap yang dia tak ada teman wanita.  Hah, apa lagi?  Kau masuklah jarum kau.  Manalah tahu dia tangkap lentok dengan kau.  Kau juga yang untung.  Dia baik, peramah, dan yang paling penting dia pandai ambil hati.”  Ampu Maya.  Walaupun Daniel bukanlah majiikannya namun dia tahu Daniel adalah seorang yang baik dan sesuai dengan Sofiah.
            “Tak naklah aku.  Lagi pun aku dah lama tinggalkan ilmu mengorat aku tu.  Kalau boleh, biarlah dia datang sendiri Maya.  Aku dah tak larat lagi.  Biar masa yang akan menentukan siapa yang bakal menjadi suami aku.  Kalau dah jodoh ia tidak akan ke mana.  Sampai masa kita akan tahu siapa pasangan kita.  Andai kata jodoh aku dengan dia aku tak boleh buat apa.  Tapi apa yang penting sekarang ni aku nak tumpukan dengan kerjaya aku yang ada sekarang ni.”
            “Kau demam ke Sofiah?”  Maya meletakkan telapak tangan di dahi Sofiah.  Sofiah segera menepisnya. 
            “Apa pulak?  Tak adalah.  Aku bukan demam atau mengigau.  Aku sedar, kalau kita bercinta bagai nak rak pun kalau tak kahwin buat apa?  Mulai saat ini, aku nak belajar biarlah cinta itu datang dengan sendiri bukannya aku mencipta untuknya.”  Sofiah nampak bersemangat.  Maya yang mendengarnya tidak percaya apa yang dikatakan oleh Sofiah itu datangnya dari naluri Sofiah yang sebelum ini dikatakan sebagai wanita penggoda. Namun begitu Maya merasa bersukur yang sahabatnya ini sudah mulai sedar dengan apa yang telah dilakukan pada hari-hari semalam.
            “Tapi Sofiah, tidak salah kalau kita yang mencipta cinta.  Cinta datangnya dari hati.  Aku yakin, satu hari kau akan jatuh hati dan pada ketika itu kau akan mengenali apa itu erti sebenarnya cinta.  Cinta yang dikenali sebagai cinta sejati.  Sesungguhnya apa yang aku harapkan pada kau, janganlah kau  yang memusnahkan cinta itu sendiri seperti mana yang kau lakukan sebelum ini.”  Nasihat Maya.  Walau bagaimanapun dia akur dia juga kini berada di ambang kegagalan bercinta.
            “Aku tahu,  Maya. Aku banyak melukakan hati seorang lelaki.  Sebab itu aku diduga apabila aku dapat merasai bagaimana hati ini terluka.  Oleh sebab aku menyimpan harapan yang tinggi, aku tersungkur.  Kadang-kala aku teringat akan kata orang, jangan terlalu mengharap kerana satu hari nanti kau akan pasti kecewa.”
            “Sofiah.”  Sofiah tersentak.  Raut wajah Daniel direnung.
            “Kenapa Encik Daniel? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
            “Sofiah, mana jadual kita?”  Sofiah yang mengerti akan permintaan Daniel akur.  Dicapainya beg hitam yang menjadi teman setianya di pejabat.  Kesemua jadual dan segala yang berkaitan dengan rombongan itu memang disimpannya di dalam beg tersebut.
            “Ini yang aku malas ni.  Sudah tentu aku yang akan jadi orang tengah.  Suruh hulur itu, suruh bagi ini.  Sudah, aku nak tukar tempat.  Begini sajalah.  Sofiah, kau bangun sekejap.”  Arah Maya.  Maya mengemaskan barang-barangnya.  Semuanya disatukan dan bersedia untuk bangun.
            “La… kenapa pulak?”  Tanya Sofiah acuh tak acuh sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Maya.   Dia tahu ada sesuatu yang ingin dibuat oleh Maya dan apa yang pasti dia sudah dapat fikirkan.
            “Aku cakap kau dengar sajalah.”  Sofiah bangkit.
            “Hah, Lim.  Kau pulak bangun.” 
            “Apa pulak kena-mengena dengan aku?”  Lim yang tidak tahu apa-apa mula bising.  Hilang konsenterasinya mendengar lagu kegemaran yang berkumandang di segenap pelusuk bas.
            “Ini lagi sorang.  Oi apek!  Bangunlah!”  Lim yang tidak mahu bercerita panjang mula mengangkat punggung.  Maya bangkit dari tempat duduknya.  Ditariknya tangan Sofiah supaya keluar. 
            “Lim, kau keluar.  Aku nak masukkan Sofiah kat tempat duduk kau.”
            “O… baru aku tahu.  Kau nak suruh aku jadi partner kau ke?”  Usik Lim sambil tersenyum mengena.  Kadang-kala dia seronok mengenakan Maya yang sememangnya suka bergurau.
            “Sudah, jangan nak mengada.  Sebelum nak jadi partner aku banyak lagi syarat-syarat yang perlu kau penuhi.  Kau duduk sini.  Aku pulak nak duduk sebelah tingkap.  Aku bukan apa, nak bagi Encik Daniel dengan Sofiah tu buat kerja.  Kalau tidak, sudah tentu dia kacau aku.”
            “Apa ni Maya?” Sofiah yang sedang berdiri merasa serba-salah.  Dia takut Daniel akan tersalah anggap tentang dirinya.  Dia tidak mahu Daniel menganggap  semua ini rancangan darinya.
            “Kau jangan banyak cakap Sofiah.  Ikut saja kata aku.  Encik Daniel, boleh bangun sekejap tak?  Bagi laluan bagi tuan puteri kita ni.”  Daniel akur.  Diberikannya laluan untuk Sofiah.  Sedangkan Maya sudah pun tersenyum puas.  Harapan untuk mendekatkan Sofian dan Daniel kini menjadi cita-citanya.
            “Oh ye.  Sofiah,  masuklah.”  Sofiah dengan berat hati menurut.  Wajahnya berubah.  Merah padam menahan malu yang amat sangat.  Tidak pernah dia diperlaku sedemikian. 
            “Apa lagi ni Maya, cubalah duduk.”  Hafiz yang berada di belakang Maya mula bersuara.  Lemas dia dengan kerenah Maya. 
            “Kejap lagilah Encik Hafiz.  Janganlah Encik Hafiz bimbang.  Saya dah buat  susun atur yang baru.  Okey, lepas ni saya tak akan ganggu Encik Hafiz lagi. Hah Lim!  Yang kau tercegat kenapa?  Duduklah.”
            “Macam mana aku nak duduk kalau kau belum duduk.”  Maya senyap.  Ye tak ye juga.  Aku belum duduk macam mana dia nak duduk?
            “Betul juga.  Sorry ye.” Maya menghempaskan badannya di tempat duduk Sofiah.  Manakala tempat duduknya kini dihuni oleh Lim.
            “Em… baru betul.  Sofiah kau kat sana jaga betul-betul Encik Daniel tu, dan Encik Daniel tolong tengok sikit si Sofiah.  Si Sofiah ni ada manja sikit.”  Ujar Maya dengan nada mengusik.  Gelihati dia apabila melihatkan wajah Sofiah yang sudah merona merah.  Sedangkan Daniel berlagak selamba.
            “Maya, kau duduk sebelah aku aku jangan nak membebel.  Aku campakkan kau kat luar tu nanti.”
            “Ala… setakat muka kau ni nak campak aku kat luar?  Suka hati akulah.  Aku pelik betullah tengok kau ni.  Nama saja orang cina tapi kau cakap macam orang melayu.  Itu yang aku keliru.”
            “Maya!!!!” Separuh dari penumpang bas itu menjerit.  Masing-masing tak tahan dengan suara Maya.

            “Opps!  Sorry.”  Maya senyap.  Dia tahu kesalahannya.  Dia terlalu banyak bercakap. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page