Bisikan Cinta: Bab 14

Teratak pena | 4:24 PM |

BAB 14
           
Maya merehatkan diri sambil membaca novel yang baru dibelinya semalam.  Hari sabtu begini membuatkan dia menghabiskan masa dengan membaca.  Tiba-tiba Maya dikejutkan dengan  bunyi loceng pintu yang bertalu-talu.
            “Hish! Siapa pulak yang ganggu aku ni?  Tak senang betul aku nak membaca.  Cubalah bawa berehat hujung minggu ni.”  Maya bangkit.  Dia kemudiannya mencapai kunci rumah yang berada di atas meja.  Sebelum membuka pintu sempat juga Maya mengintai dari jendela.  Maya terkejut apabila melihat Bakhtiar sedang tercegat di hadapan pintu.  Maya mengerutkan dahinya.  Apa pula dia buat di sini?  Pelik.  Tak pernah datang, hari ini tiba-tiba muncul depan pintu rumah.  Apa agaknya dia mimpi malam tadi?
            “Hah, abang.  Buat apa kat sini?” Itulah pertanyaan yang pertama yang ditanya oleh Maya apabila melihat wajah tunangnya.
            “Kenapa?  Tak boleh ke?” Suara Bakhtiar seakan keras. 
            “Bukanlah tak boleh.  Tapi selalunya kalau abang nak datang, abang telefon Maya dulu.  Ini tidak, tiba-tiba datang. Mana Maya tak terkejut.  Kenapa?  Abang nak bawa keluar ke?  Kalau nak bawa keluar abang kena tunggu sekejap.  Maya pun belum mandi lagi.”
            “Bukan, sebenarnya abang datang ni ada hal sikit. Abang nak jemput Maya dan kawan-kawan Maya ke rumah abang malam ni.  Ada jamuan sikit.  Kalau boleh Maya bawalah semua sekali housemate Maya.”
            “Malam ni?  Pukul berapa bang?”
            “Pukul 9.00 malam.  Jangan lupa.  Mak dan ayah abang akan tunggu Maya.  Eh, abang sebenarnya nak cepat. Ada hal lagi.  Abang kena pergi dulu.  Okeylah, kita jumpa malam nanti.”  Bakhtiar segera berlalu tanpa memberi ruang untuk Maya berbicara lanjut. Maya menutup pintu dengan perlahan sambil fikirannya jauh melayang.  Jamuan?  Hish! Apa yang aku nak pakai malam nanti?  Maya tidak tunggu lama. Dia segera ke bilik untuk melihat segala pakaian yang ada di dalam alamari.  Sambil itu dia cuba mengacukan pakaian di tubuhnya.  Dia mahu memberikan penampilan yang terbaik buat Bakhtiar.  Dia tidak mahu Bakhiar memandang rendah kepadanya.  Biarkan Bakhtiar sedar akan kehadirannya nanti.
            Malam itu, seperti yang dijanjikan Maya, Maria, Shikin dan Rozita bersama-sama akan menghadiri majlis jamuan makan malam di rumah Bakhtiar.
            “Wah, kau Maya.  Bukan main cantik lagi.”
            “Yelah, nak pergi rumah bakal mak mertua. Mesti kena pakai yang cantik.” Usik Shikin.  Maya tersenyum.  Baju kurung sutera Thai berwarna biru laut yang dikenakan dengan kerongsang nyonya menyerlahkan kecantikan Maya walau pun tubuhnya sedikit gempal. 
            “Dah, kau jangan nak sakat aku.  Jom kita pergi sekarang.  Nanti lambat pula kita sampai di sana.”  Ujar Maya yang ingin menutup topik sahabatnya itu. Dia tahu, selagi dia tidak berganjak sahabatnya itu pasti akan terus mengusik. 
            Sampai saja di rumah Bakhtiar, Maya mula mencari kelibat tunangnya.  Rozita yang datang bersama-sama dengan mereka hilang entah ke mana.  Maya tersenyum apabila Bakhtiar mula menghampirinya.  Tapi… dia seakan-akan kenal dengan dua insan di sisi Bakhtiar.  Encik Hafiz dan Encik Daniel?  Apa dia mereka buat di sini?
            “Abang,”  Tegur Maya.  Bakhtiar melemparkan satu senyuman kepada Maya.  Mata Maya tidak terlepas kepada pandangan Hafiz dan Daniel. 
            “Ini abang kenalkan kawan abang.  Ini Hafiz dan ini adiknya Daniel.  Hafiz, Daniel ini aku kenalkan tunang aku Maya.”  Hafiz yang masih dalam keadaan terkejut sempat juga menghulurkan tangan.  Maya menyambutnya walau pun hatinya dilanda gelisah. 
            “O….. ini tunang kau rupanya.  Pandai kau simpan dia.  Bila kau nak makan nasi minyak?” Usik Hafiz.  Sambil itu dia sempat menjeling tajam ke arah Maya.  Maya yang tidak tahu untuk berkata apa, cuma menjadi peneman kepada tunangnya itu.
            “Tak tentu lagi. Eh, jom kita ke sana.  Mak dan ayah nak jumpa Maya.  Mereka ada di sana.  Marilah.”  Maya akur.  Hatinya kini tidak tenteram. Ah, apakah yang dilakukan oleh Bakhtiar? Mengapakah jawapan itu bukan apa yang diharapkan?
            Maya bersalaman dengan Salina dan Taufik dengan penuh sopan. 
            “Datang juga Maya rumah Mak Alang.  Ingatkan tak sudi.”
            “Tak adalah Mak Alang.  Maafkan Maya.  Maya sibuk sikit. Mak Alang dengan Pak Alang apa khabar?  Sihat?”
            “Terima kasih, Maya.  Kami sihat.  Oh ya, nanti sekejap. Pak Alang nak buat satu pengumuman sekejap.” Taufik melangkah beberapa tapak.
            “Para hadirin-hadirat yang dihormati sekalian.  Dengar sini semua,”  Lantang suara Taufik membuatkan orang ramai di situ memerhatikan ke arah Taufik.
            “Kemari, Bakhtiar.”  Bakhtiar akur.  Dia berdiri di sisi ayahnya sambil melemparkan senyuman kepada para hadirin.
            “Suka saya menyatakan bahawa anak saya, Andy Bakhtiar akan mengambil alih perniagaan saya berkuat-kuasa pada bulan hadapan.  Begitu juga dengan tarikh pernikahan akan saya akan saya jalan pada bulan Mei nanti.  Dengan ini saya…”
            “Saya bantah perkahwinan ini.”  Suasana senyap.  Kesemua tetamu memandang ke arah Bakhtiar.  Maya mendengarnya tersentak.  Dia segera berpaling ke arah Bakhtiar seolah-olah mencari jawapan yang sebenar.  Apakah yang didengarnya sekarang ini adalah benar atau pun sekadar mimpi?
            “Saya tidak mahu berkahwin dengan pilihan keluarga saya.  Terus-terang saya katakan saya tidak menyintai dia.  Dia tidak layak untuk saya.  Saya lebih menyintai Rozita. Dialah yang layak untuk saya dan dia juga bakal saya peristerikan.” Maya terkejut.  Begitu juga dengan Hafiz. 
Bagaikan sembilu menikam jiwa di rasakan oleh dua insane yang tidak bersalah itu.  Hafiz berpaling kea rah Maya yang masih lagi dalam terkejut.  Hafiz merasakan tiada gunanya untuk dia berada lebih lama di situ.  Cinta yang dianyam selama ini rupanya adalah cinta palsu milik Rozita yang hidup penuh kepura-puraan.  Hafiz merenung ke arah Rozita yang tersenyum bangga.  Seolah-olah tidak merasa berdosa dengan apa yang telah dilakukan terhadap dirinya.
            Mata Maya mula berkaca. Dia mencari kelibat Rozita.  Ah! Dia begitu gembira dengan perpisahan ini.  Dada Maya sebak.  Tanpa menghiraukan orang lain Maya berlari meninggalkan majlis itu.  Hatinya kini pilu.  Bagaikan dihiris sembilu. Dia tidak menyangka dia akan diperlakukan sedemikian. Dia malu apalagi pertuangannya diputus dengan saksi orang ramai.  Dirasakan dirinya kerdil dikalangan tetamu yang datang malam itu.  Air mata mula mengalir menghiasi wajahnya.  Dia tidak sanggup berada lebih lama lagi.  Dia mahu meninggalkan majlis itu dengan secepat mungkin.
            Oh, mengapakah ini harus terjadi?  Apakah salahku?  Mengapakah dihukum sebegini?  Salahkah aku menyintai dia?  Salahkah aku meminta seulas kasih sayang seorang kekasih? 
            “Maya,”  Maya berpaling.  Wajah Shikin dan Maria ditatap.  Maya kemudiannya memeluk erat dua sahabatnya itu.  Tidak terbendung rasa sedihnya.  Shikin dan Maria yang tahu kesedihan Maya turut mengalirkan air mata. Dia tidak sangka, rakan yang selama ini dianggap seperti keluarga sanggup menikam sahabat dari belakang.
            “Sabarlah Maya.  Mungkin tiada jodoh kau dengan dia.  Mungkin ada rahmatnya kau berpisah dengan dia.  Atau mungkin kau akan bertemu dengan insan yang lebih baik dari dia.  Aku tahu, kau amat terluka sekarang.  Sudahlah.  Jangan diingat lagi.  Mari, kita balik.”  Ajak Shikin.  Tanpa berpaling lagi, Maya meninggalkan majlis itu tanpa sebarang keizinan dari kedua-dua bakal mertuanya.  Biarkan.  Biarkan mereka tahu betapa terluka hatinya sekarang ini. 

            Maya memerhatikan hujan yang turun melalui jendela biliknya.  Hujan yang turun memberikan ibarat hatinya yang kini dirundung kedukaan.  Hati yang menangis kini kian merintih sebak.  Maya memerhatikan gambar Bakhtiar yang berada di atas meja solek.  Ah, mengapa kau sanggup buat begini padaku Bakhtiar?  Apa salah aku?  Adakah aku melukan hatimu sehinggakan kau menghukumkan aku begini?  Tiadakah ruang untukku di hatimu?  Fikiran Maya kini berputar resah mengigatkan wajah Rozita yang pasti kini sedang ketawa melihat dirinya.  Kenapa Rozita? Kenapa kau sanggup membelakangi sahabatmu sendiri?  Kenapa Bakhtiar juga yang kau pilih?  Kenapa tidak Hafiz?  Kenapa Bakhtiar juga yang kau inginkan?  Kenapa tidak Hafiz untuk bakal suamimu?  Bukankah kau tahu Bakhtiar adalah milikku?  Maya berlari menyembamkan mukanya di bantal. Wajah Rozita kini membuatkan dia merasa benci yang selama dianggap kawan.  Aku tidak akan maafkanmu, Rozita.  Pasti satu hari kau akan pasti menerima nasib yang sama seperti diriku.  Maya tidak mahu mengenangkannya lagi.  Dia mahu segala kenangan diantara dirinya dengan Bakhtiar hilang dibawa hujan malam.  Biarkan ia meresap ke dalam bumi dan tidak akan kelihatan lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page