Cerpen : Calon Mertua

Teratak pena | 10:47 AM | Be the first to comment!

CALON MERTUA
            Reisya menuruni anak tangga satu persatu dengan langkah yang perlahan.  Dia melirik ke arah jam di tangan kirinya.  Sudah hampir ke angka 730 pagi.  Hari itu dia manis berbaju kemeja merah jambu dengan dipadankan dengan seluar berwarna hitam.  Reisya tersenyum sendiri apabila aroma nasi lemak sudah mula menyapa rongga hidungnya.  Amboi,  sedapnya bau.  Ini yang tak sabar nak makan ni.
            “Assalamualaikum Mak Leha.” Tegur Reisya sambil memeluk erat pembantu rumahnya yang sudah dianggapnya sebagai seorang ibu.  Di melemparkan senyuman untuk wanita yang sudah hampir menginjak ke angka 60 tahun itu.
            “Waalaikumsalam….Wah, nampak cantik Reisya hari ni. Macam nak pergi jumpa dengan buah hati je Mak Leha tengok.” Puji Mak Leha jujur.
            “Mak Leha ni…. Mana ada.  Baju lama ni.  Ini je yang Reisya capai.”
            “Ala… orang kalau dah cantik pakai baju apa pun tetap cantik.” Puji Mak Leha lagi. 
            “Mak Leha ni…. Ada-ada je. Buat Reisya malu je.”  Reisya sudah malu bila dia puji seperti itu.
            Mak Leha tersenyum.
            “Marilah makan sementara masih panas ni.” Ajak Mak Leha sambil menarik kerusi buat Reisya.  Dia kemudiannya menyenduk nasi untuk majikannya. 
            “Marilah makan sama Mak Leha.”  Ajak Reisya.  Dia kemudiannya memaut mesra tangan Mak Leha. 
            “Tak apalah.  Reisya makan dulu ye.  Reisya dah nak pergi kerja.  Nanti-nanti sajalah Mak Leha makan. Mak Leha nak kemaskan dapur dulu.”  Reisya akur.  Dia kemudiannya menikmati hidangan sambil ditemani Mak Leha. 
            “Dah lama tak merasa nasi lemak Mak Leha ni.”  Ujar Reisya jujur. 
            Tangan Reisya pantas menyenduk sambal ikan bilis yang dari tadi begitu mengugat nafsu makannya.  Setelah itu dia mencapai timun dan ikan bilis untuk diletakkan di dalam pinggan.
            “Nanti Resiya nak bawa bekal boleh?” Mak Leha tersenyum dan lantas mencapai bekal yang sudah pun berisi nasi lemak. 
            “Mak Leha macam tahu je.”   Senyum Reisya. 
            “Ini yang buat Reisya bertambah sayang dengan Mak Leha.”  Kembang kempis hidung Mak Leha mendengakan kata-kata Reisya itu.
            Memang dari tadi Mak Leha sudah pun menyediakan bekal untuk Reisya.  Reisya sudah dianggapnya seperti anak.  Sejak kecil lagi Mak Leha sudah mengasuh Reisya memandangkan Reisya sudah kehilangan ibu semenjak usianya 4 tahun lagi.  Penderitaan Reisya tiada akhirnya apabila dua tahu lepas ayahnya, arwah Dato’ Muzaffar menghembuskan nafasnya yang terakhir.
            “Mak Leha nak bertanya dengan Reisya boleh tak?” Reisya sedikit tersentak.  Dia berpaling dan memandang ke wajah Mak Leha dalam dan penuh pengertia. 
            “Mak Leha tengok Reisya sejak akhir-akhir ni macam susah hati je.  Kenapa?  Boleh Mak Leha tau?”
            Mak Leha sering tidak sedap hati bila melihatkan Reisya yang selalu termenung dan murung.  Selalu sahaja gadis itu menyendiri.  Sehinggakan hatinya selalu tertanya-tanya.  Sihat ke tidak Reisya tidak pernah untuk meluahkan.
            “Mak Leha ni.  Mana ada.  Bukan apa, urusan pejabat tu tak habis-habis.  Reisya dah letihlah Mak Leha.”  Ujar Reisya. Sebolehnya dia cuba untuk berselindung dengan apa yang bakal terjadi kepada diriya. 
            “Kerja tu kerja juga.  Rehat kena cukup.  Sejak akhir-akhir ni Mak Leha tengok Reisya selalu je balik lambat.  Lepas ni termenung sana, termenung sini.  Bimbang Mak Leha tengok.” Kepritahinan Mak Leha itu disambut oleh senyuman dari  Reisya. 
            “Mak Leha ni…. Janganlah bimbang.  Reisya tak apa-apa. Mak Leha ni risau sangat. Reisya okey.”  Mak Leha mengangguk sahaja.  Namun di dalam hati tersirat dengan perasaan tanda tanya.  Kerana sebelum ini Reisya merupakan seorang gadis yang ceria dan suka bercerita.  Namun sekarang ini gadis itu seolah hilang semangat. 
            Reisya tersenyum kepada Mak Leha.  Namun yang tersirat dihatinya penuh dengan rasa getar dan resah. 
            “6 bulan lagi masa yang tinggal, Cik Reisya.  Cik Reisya mesti menunaikan wasiat yang ditinggalkan oleh arwah Dato’ Muzaffar.  Kalau tidak semua harta akan jatuh ke tangan lembaga pengarah yang lain.  Begitu juga dengan syarikat kecil Dato’ yang lain.  Ianya akan jatuh kepada tangan orang lain. Namun wasiat dan kehendak yang diperlukan untuk Cik Reisya terima segala harta adalah Cik Reisya perlu mencari calon mertua.” Masih terngiang-ngiang akan kata-kata Rafiq yang juga peguam kepada keluarganya. 
            Dia yakin sebelum Dato’ Muzaffar menghembuskan nafas terakhir dia tidak mahu perniagaan keluarganya itu jatuh ke tangan orang lain.  Namun wasiat dan kehendak yang diperlukan amat berat ditunaikan.  Mencari calon mertua.
            Reisya merasa tidak puas hati dengan apa yang perlu dilakukan kini.  Namun  dia perlu akur dengan pesanan akhir ayahnya. Masakan dia perlu untuk mencari calon mertua.  Dia perempuan.  Apalah sangat yang boleh dia lakukan. 
            “Carilah calon mertua yang baik kerana ia lorong kepada melahirkan anak yang baik.  Darjat dan pangkat bukan ukuran.  Harta dan kekayaan bukan timbangan untuk melahirkan sebuah ikatan. Ingat pesan ayah.”
            Fikirannya Reisya jauh melayang.
            “Reisya…”  Kali ini Reisya tersentak buat kali kedua.
            Reisya berpaling kepada Mak Leha.  Dia melemparkan senyuman untuk wanita itu.  Hilang sekejap anganya.
            “Makan pun nak berangan juga ke?” Usik Mak Leha lembut.  Reisya menggelengkan kepala dan dia kemudiannya meneruskan hidangan sarapan pagi itu. 
            Kalaulah Mak Leha tahu, mahu dia bimbang nanti.  Walau pun dia rapat dengan Mak Leha ada juga perkara yang tidak pernah diluahkan kerana tidak mahu wanita itu bimbang akan tentang dirinya.
            “Reisya pergi dululah Mak Leha.  Nanti lambat pulak.  Oh ye,  nanti Mak Leha tak perlulah masak.  Takut Reisya balik lewat lagi.  Kalau Mak Leha nak balik dulu baliklah.  Tak perlu nak tunggu Reisya.”  Ujar Reisya sambil menyalam wanita yang dianggapnya ibu itu.
            “Janganlah balik lewat lagi.  Nak suruh Pak Malik kamu jadi driver Reisya tak nak.  Tapi Reisya nak juga bayar gaji Pak Malik.” Pak Malik yang juga suami kepada Mak Leha sudah 35 tahun berkhidmat dengan keluarga itu.  Ada masa Mak Leha segan bila suaminya itu menerima gaji bulanan sedangkan Reisya yang beria-ia untuk memandu sendiri. 
            Sehinggakan Pak Malik kadang-kala menjadi pengintip takut-takut Reisya memerlukan bantuan.  Ada kala juga Pak Malik bersifat degil dan menghantar Reisya ke pejabat.  Pak Malik tidak mahu dikatakan sebagai makan gaji buta sahaja.  Kadang-kala Pak Malik juga membawa Reisya berjalan untuk menghilangkan tekanan kepada Reisya.  Pak Malik tahu, dengan umurya yang muda dan tanggungjawabnya yang besar sudah tentu berat tekanan yang dihadapi oleh Reisya.
            “Reisya, Mak Leha suruh Pak Malik hantar ye?  Kalau nak balik nanti Reisya telefon Pak Malik.  Kesian Reisya nak memandu sorang-sorang.  Anak dara pulak tu.” Pesan Mak Leha beria-ia. 
            “Reisya okey, Mak Leha.  Janganlah risau.” Pujuk Reisya pula.  Dia memeluk lengan Mak Leha dengan manja.  Reisya tersenyum dengan keprihatinan wanita itu.
            “Itulah… baik Reisya kahwin cepat.  Boleh jaga Reisya.”  Reisya terkedu saat Mak Leha menerbitkan kata ‘kahwin’ dari bibirnya.  Lantas ingatan kepada wasiat ayahnya terus terlayar.  Ah!  Mak Leha ni buat orang teringat pulak.
            “Siapa yang nakkan saya ni Mak Leha.  Orang nak pandang sebelah mata pun tak ada.” Ucap Reisya. 
            “Habis Johan tu?  Tak nak suruh dia masuk meminang ke? Reisya bukan ke dah lama kawan dengan dia. ”  Johan?  Ah!  Mengapa aku boleh lupa? Tapi… adakah memenuhi kateria yang aku perlukan?  Mertua yang baik?
            “Hish!  Mak Leha.  Ke situ pulak.  Reisya ni perempuan Mak Leha.   Takkan Reisya nak paksa dia masuk meminang.”
            “Ala… kalau tanya tak salah. Kawan lama-lama pun bukannya elok sangat.” Nasihat Mak Leha yang ada masa sangsi dengan perhubungan Reisya dan Johan.
            Namanya bercinta, tetapi nak keluar sama memang susah nak tengok.  Agaknya zaman sekarang ni bercinta dalam gajet agaknya. Telahan Mak Leha.
“Dahlah Mak Leha.  Layan Mak Leha ni lewat pulak saya pergi kerja.  Mak Leha jangan bimbang.  Reisya akan balik awal.” Janji Reisya.  Dia mengangkat tangan.  Dia tidak mahu membimbangkan wanita itu.  Kalau tidak mahu juga dia dibebel kerana pulang lewat.
            “Yelah tu… awal dia pukul sepuluh malam.” Reisya tersenyum dan lantas meninggalkan Mak Leha. 
            Reisya memandu dengan tenang.  Namun ketenangan tidak memihak kepada hati dan perasaannya.  Perasaannya berbaur.  Dia tidak tahu apa yang akan terjadi untuk masa akan datang jika dia tidak boleh memenuhi akan wasiat ayahnya.  Namun dia tekad walau apa yang tejadi dia akan tetap menyokong sebarang keputusan yang bakal diterima.
            Di pejabat juga Reisya banyak termenung.  Dia sering memikirkan hal yang perlu diselesaikan.  Dia tahu mencari calon mertua bukan seperti mencari calon suami.  Buatnya calon mertua tak terima kita alangkah malunya.  Bukankah restu ibu dan bapa adalah yang paling penting di dalam mencipta sebuah ikatan perkahwinan? Lamunan Reisya terhenti apabila pintu biliknya diketuk.  Wajah Liana terus menghiasi ruang matanya.
            “Masuklah Liana.”  Sambut Reisya perlahan.  Liana menggelengkan kepala saat melihatkan wajah Reisya yang tidak bermaya dan tidak ceria itu.  Dia tahu ada sesuatu yang membuatkan sahabatnya itu bertindak sedemikian.
            “Kenapa dengan kau ni Reisya? Aku tengok kau ni asyik termenung je.  Kau masih teringatkan dengan wasiat arwah ayah kau lagi?” Reisya mengangguk. 
            Reisya tersenyum tawar.  Dia sudah buntu untuk memikirkan rancangan yang perlu dilakukan.  Teringatkan kata-kata Mak Leha pagi tadi dia teringatkan akan Johan yang sudah lama tidak bertemu.  Hanya wassup, FB dan juga wechat penyambung hubungannya kini.
            “Aku faham dengan perasaan kau, Reisya.  Aku yakin akan jodoh kau.  Mungkin belum sampai masanya lagi.” Reisya mengeluh kecil. 
            “Sampai bila Liana?  Masa sudah suntuk buat aku.” Keluh Reisya. 
            Reisya sedar, jodoh dan maut di tangan yang Esa.  Cinta dan sayang tak boleh dipaksa.  Pernikahan adalah ikatan yang suci yang tidak boleh dibuat main.  Mungkin kita sudah menemui akan calon mertua.  Tetapi kalau calon suami pula yang menolak?  Ah, susah macam ni.
            “Aku tahu, Reisya.  Kau sabarlah ye.  Apa kata kau hilangkan runsing kau tu dengan datang rumah aku malam ni. Aku suruh mak aku masak sedap-sedap.  Bukan ke kau suka makan masak lemak cili api.” Pujuk Liana yang mahu mengambil hati  Reisya.  Dia juga risau dengan tingkah laku Reisya yang banyak termenung.
            “Kau ni…. Asyik  nak makan di rumah kau je.  Malulah aku.  Tak nak aku.  Nanti apa pulak kata mak kau nanti.  Macam aku ni tak ada rumah je.”
            “Ala… Mak aku tak kisah semua tu.  Lagi pun dah lama kau tak datang rumah aku.  Bukan sebelum ni kau selalu datang makan rumah aku? Saja kau ni…. Sekaranglah rasa segan.  Potong hidung tu baru tahu.”
            “Mak kau terlalu baik, Liana.” 
            “Itulah dia dah pun anggap kau sebagai sebahagian dari keluarga kami. Dia selalu tanya dengan aku bila kau nak datang rumah.” Ujar Liana bersungguh-sungguh.
            “Tak naklah Liana.  Nanti esok lusa aku datang.  Aku rasa nak balik awallah hari ni.  Mak Leha tu…. Bimbang sangat dengan aku. Pagi tadi bukan main lagi dia membebelkan aku.” Reisya menolak lembut pelawaan Liana itu. 
Liana merupakan sahabat baiknya sejak di bangku sekolah lagi.  Liana sering menjadi pendengar dan penasihat yang setia.  Kerana itu setiap apa yang berlaku dia banyak menceritakan kepada sahabatnya itu.
“Yelah… mahu dia tak membebel dengan kau. Engkau tu kuat sangat bekerja. Sampai nak pergi dating pun tak sempat.”
            “Liana….” Panggil Reisya perlahan. 
            “Ye?”
            “Kenapa kau tak ada abang?”
            “Hish!  Soalan  maut kau bagi kat aku?  Kau tanyalah mak aku.” Sambut Liana tersenyum.  Ada ke patut tanya soalan yang tak boleh nak jawab. Budak ni terlebih makan ubat ke apa?
            “Yelah… keluarga kau baik terhadap aku.  Aku nak sangat keluarga seperti kau.”  Reisya kadang-kala cemburu dengan Liana  yang mempunyai keluarga yang begitu bahagia.  Punyai ayah dan ibu.  Dan ada masanya dia teringin mempunyai keluarga seperti itu.
            “Kau tak nak berjumpa dengan keluarga Johan?  Lagi pun aku rasa kau belum berjumpa dengan keluarga dia.”  Reisya bepaling.  Johan?  Sekali lagi nama itu disebut.  Kali ini dari mulut Liana pula.
            “Diakan buah hati pengarang jantung kau.  Pergilah berjumpa dengan keluarga dia.  Mana tahu mak dengan ayah dia suka dengan kau.” Cadangan dari Liana ada juga benarnya.  Memang dia tidak tahu akan mana penghujung perhubungannya dengan Johan namun dia berhak untuk diberi peluang.
            “Kau ikut aku?” Berbular biji mata Liana mendengarnya.
            “Tak nak aku.”
            “Ala…. Kau temankanla aku.  Segan             aku nak pergi sorang.  Kalau kau ada tak adalah aku takut sangat.” Liana menggelengkan kepala berkali-kali.  Tak nak!!!!
            “Liana…. Please….”  Reisya memujuk dan terus memujuk. 
            “Kau kawan aku, kan?”
            “Ini ugut ke paksa?”
            “Kau nak cakap apa pun aku dah tak peduli.  Yang pasti aku nak kau ikut aku.” Akhirnya Liana akur memandangkan dia diberi peluang untuk memberikan pendapat.
            “Okey…. Kali ni aku nak kau ikut aku balik rumah.  Kau tidur kat rumah aku.  Nanti aku telefon dengan mak kau dan Mak Leha sekali.  Boleh kita bincang hal ni.”
            “Erm…. Barulah nampak kau tu bersemangat sikit.  Tapi kau jangan terlalu mengharap.  Nanti kalau ianya tidak seperti apa yang kau fikirkan, aku nak kau terima seadanya setiap apa yang berlaku.”
            “Kenapa kau cakap macam tu?”
            “Bukan apa, aku minta maaf kalau aku nak cakap ni.  Sebab aku tengok  Johan tu… entahlah.  Macam-macam aku dengar tentang dia.  Tapi kau janganlah ambil hati dengan apa yang aku cakap ni.”
            Reisya tersenyum kelat. Yang sebenarnya dia juga berperasaan begitu. Sejak akhir-akhir ini Johan seolah menjauhkan dirinya.  Wassup sudah kurang menghiasi telefon bimbitnya.
            “Aku tahu, Liana.  Kau adalah sahabat aku.  Nanti kita tunggu dan lihat, ye.”
            Liana mengangguk.
            “Kau ada rancangan ke?”
            “Sebab aku ada rancanganlah aku suruh kau dok diam-diam je.  Okeylah, malam nanti aku ceritakan semuanya kat kau.  Tapi apa yang pasti aku nak kau buat apa yang aku suruh.  Boleh?”  Reisya mengangguk laju.  Berbunga hatinya mendengarkan kata-kata Liana itu. 
            Malam itu seperti yang dijanjikan, Liana bermalam di rumah Reisya.Betapa gembiranya hati Mak Leha apabila mendapat panggilan telefon dari Reisya yang Reisya akan pulang lebih awal bersama-sama dengan Liana.
            “Lega hati Mak Leha bila Reisya kata nak balik awal.   Tambahan pulak si Liana ni nak temankan Reisya.  Lepas makan ni Mak Leha balik, ye.  Esok pukul 630 Mak Leha datang balik.” Pesan Mak Leha sebelum dia meninggalkan kedua-dua anak gadis itu menikmati hidangan  malam itu. 
            “Mak Leha tahu tak pasal wasiat tu?” Tiba-tiba Liana membuka mulut dan bersuara.  Sambil itu matanya meliar melihat sekiranya ada kelibat Mak Leha.  Reisya menggelengkan kepala. 
            “Hanya kau seorang saja yang tahu.  Aku yakin dengan kau.  Kau takkan bocorkan rahsia ni, kan?”
            Liana menggelengkan kepala.  Dia sudah berjanji tidak akan memberitahu kepada orang lain dengan rahsia yang telah diamanahkan olehnya dari Reisya.
            “Tapi… aku boleh simpan rahsia kau kalau kau ikut rancangan yang aku nak beritahu dengan kau.”
            “Kau yakin ke apa yang aku tengah buat sekarang ni?”  Tanya Reisya seolah-olah dia tidak yakin dengan apa yang dirancangkan.
            “Aku tahu dengan apa yang aku buat.  Wasiat peninggalan arwah ayah kau sebenarnya memberi pelindungan kepada kau, Reisya.  Aku yakin kau bukan sahaja akan mendapat keluarga yang baru malah dengan rancangan ni kau akan tahu akan perangai sebenar Johan.”  Reisya mengeluh keras.  Selama ini dia hanya tahu memekakkan telinga apabila banyak cerita kurang enak yang didengarinya tentang Johan.
            Reisya memandang kepada Liana dan cuba mendapatkan harapan dan kejujuran.
            “Esok kau jangan tersalah cakap pulak. Kita buat ni semuanya adalah untuk kebaikan kau juga.” Reisya mengangguk dan faham.  Dia tekad.  Jika benar khabar angin tentang Johan, dia sendiri akan segera memutuskan hungungan. 
            Keesokkan harinya Reisya dan Liana pergi ke rumah Johan.  Mereka bernasib baik kerana Johan tiada di rumah.  Cuma yang ada Datin Dania yang juga ibu kepada Johan.
            “Assalamualaikum, makcik.”  Reisya dan Liana  bersalaman sambil melemparkan sebuah senyuman.  Namun senyuman mereka disambut dengan senyuman sinis dari Datin.  Melihatkan Reisya dan Liana seperti kekampungan itu membuatkan Datin Dania menjauhkan diri.  Memang mereka sengaja berpakaian begitu demi melihat reaksi keluarga Johan.
            “Boleh saya tahu siapa kamu berdua ni?”
            “Er… maafkan saya, Datin.  Ini kawan saya Reisya.  Dia dengan Johan dah lama kenal.  Jadi dia datang nak berjumpa dengan Johan. 
            “Johan ada makcik?” Tanya Reisya perlahan.  Kadang-kala dia memperbetulkan tudungnya. 
            “Makcik?  Please…. Saya ni datin.  Bukan makcik.  Dengan standard macam kamu ni mana layak nak panggil makcik.  Mak ayah kerja apa?”
            “Kerja kampung je.”
            Berbular biji mata Datin Dania mendengarkan penjelasan Reisya.  ‘Anak aku berkawan dengan anak kampung?’ Sudah gila agaknya dengan si Johan ni.  Getus hati Datin Dania sambil memandang kepada Reisya dengan pandangan yang tajam.  Nama tak serupa dengan darjat.  Nama sedap tapi rupanya anak kampung. 
            “Maaflah.  Johan tak ada. Dia keluar dengan bakal tunang dia, Qistina.  Anak Dato’ Musa.  Harap awak tak ambil hati ye.  Anak saya mana nak kawan dengan anak orang kampung.” Reisya tersentak dengan kata-kata Datin Dania itu. 
            “Tidak lama lagi Johan akan  berkahwin dengan Qistina yang sama pangkat dan sama darjat dengan kami.  Kalau Reisya nak boleh saya jemput nanti.  Duduk kat khemah biasa je lah ye.” Ujar Datin Dania dengan senyum sinis.
            “Tapi… saya cintakan Johan makcik.” Air mata Reisya mula murah untuk menghiasi wajahnya. 
            Ah, dugaan apakah ini?
            “Datin.”  Sekali lagi Datin Dania membetulkan Reisya.  Namun Reisya bertindak tenang dan masih lagi memanggil dengan panggilan ‘makcik’.  Hatinya mula bercampur baur.  Sedih, geram, marah dan semuanya sebati dengan hatinya yang kian luluh. 
            “Cinta tak cukup, Reisya.  Sekarang ni status dan wang yang paling penting.  Sudahlah… baik Reisya balik je.  Nanti saya kirimkan salam ye.” Datin Dania cuba menghalau Reisya dan Liana.
            “Tapi makcik…”
            “Tak faham bahasa ke?  Dah saya kata balik tak tahu nak balik?”  Datin Dania bangkit dan membuka pintu untuk Reisya dan juga Liana.  Tatkala itu juga Johan muncul di muka pintu bersama-sama dengan seorang perempuan.
            “Balik.  Nanti sampai masa saya akan jemput awaklah.”  Tegas suara Datin Dania yang membuatkan Reisya tersentak.
            “Johan?”  Ternyata Johan terkejut dengan kedatangan Reisya yang mengejut itu.  Johan kelihatan serba salah.  Apa lagi kelakuannya yang mesra dengan Qistina.
            “How dare you?”
            “Reisya…. Tolong dengar penjelasan aku.”
            “Cukup Johan.  Selama ini aku percaya dengan kau.  Aku pekak telinga dengan apa yang orang kata.  Ternyata aku ni buta.  Dan sekarang ni aku bersyukur yang aku sudah tahu dengan perangai sebenar kau.  Aku berharap yang akan bahagia.  Kita putus!  Selamat jalan, Johan.  Aku harap kau jangan nak cari aku lagi. We finish!” Reisya menarik tangan Liana dan terus meninggalkan keluarga itu tanpa bersalam dengan Datin Dania. 
            Hati Reisya hancur.  Kini baru dia tahu selama ini berita angin yang dia dengar oleh orang lain adalah benar belaka. 
            “Mama…. Kenapa mama tak beritahu dengan Joe yang Reisya datang?”
            “Nak buat apa?  Lagi pun budak tu tak layak buat Joe.  E… budak kampung.”
            “Apa yang mama cakap ni?  Itu kan anak uncle Muzaffar.”
            “Muzaffar?”
            “Ye!  Dialah antara orang yang paling kaya dalam Malaysia ni mama. Mama ni….lain kali bagilah tahu.  So,  sekarang ni nak buat apa?” Ternyata wajah Johan kelihatan serba salah dan tidak keluarkeruan.
            “Manalah mama tahu.  Lagi pun Joe tak pernah nak bawa dia.  Jangan nak salahkan mama pulak.  Tunggu apa lagi?  Pergilah kejar.”
            “Dah tak ada gunanya mama.  Dia dah putuskan hubungan kami.  Argh!!!”
            “Joe siapa dia tu?”  Qistina yang sekian lama diam mula bersuara. 
            “Er…. Er… tak ada siapa.  Joe hantar Qis balik.”  Johan berlalu dengan Qistina sambil hatinya masih diselubungi rasa bersalah. 
            “Joe bawa Reisya balik.”
            “Joa rasa dia tidak akan kembali lagi, ma.” Itulah ayat  penyata yang membuatkan Datin Dania terkedu. 
            Angin malam yang menerjah di ruang jendela kamar Reisya sedikit pun tidak memberikan rasa dingin di dalam hatinya.   Reisya terkejut, marah dan akhirnya dengan rasa sedikit kesyukuran dia ternyata rela dengan apa yang telah berlaku. Air mata yang sedari tadi menjadi teman setianya telah pun kering. 
            Sudah lama dia menyimpul kasih terhadap Johan.  Begitu juga dengan cinta yang kian lama dijalin.  Namun dia tidak menyangka tuba yang menjadi balasannya.  Jam dinding menunjukkan ke angka 3.00 pagi.  Reisya masih lagi berjaga.  Dia ternyata tidak dapat melelapkan mata setelah apa yang terjadi.  Dia berharap agar perpisahan ini akan menjadi titik tolak dalam mencari erti cinta yang sebenarnya. 
*********************************************************************
            Hari minggu kini tidak bermakna buat dirinya.  Reisya kini lebih gemar menghabiskan masa dengan berehat di rumah.  Mak Leha yang berada di dapur sesekali menjengah ke ruang tamu. 
            “Reisya tidak ada apa-apa ke?” Tegur Mak Leha.  Semenjak tempohari dia dapat merasakan ada sesuatu terjadi kepada Reisya.  Cuma anak gadis itu sahaja yang tidak mahu bercerita.  Reisya terlalu banyak rahsia yang disimpannya. 
            “Tak apa apalah Mak Leha.  Reisya okey.  Lagi pun malaslah nak keluar. Rasa macam nak duduk rumah je.” Sambut Reisya dengan matanya tidak lepas memandang ke kaca televisyen.
            “Sejak Reisya balik dari rumah Johan Mak Leha tengok Reisya asyik termenung je.  Cuba ceritakan pada Mak Leha.  Manalah tahu kalau Mak Leha boleh tolong.  Risau tengok Reisya monyok macam ni.  Atau nak suruh Pak Malik hantar Reisya jalan-jalan?”
            “Tak apalah Mak Leha.  Reisya rasa okey.”
            Mak Leha senyap dan terus berlalu.  Namun belum sempat dia ke dapur kedengaran suara memberi salam dari luar. 
            “Tak apa,  Mak Leha pergi bukakan pintu.”  Reisya menjengahkan muka sekiranya dia mendapat tahu yang bertandang di rumahnya.  Dan dia berharap dianya bukan Johan.  Kerana dia sudah pun menolak Johan di dalam hidupnya.
            “La…. Kenapa tak cakap dengan mak nak balik?” Mak?  Balik?  Reisya bangkit.  Siapa pulak ni?
            “Maafkan Mak Leha, Reisya.  Mak Leha tak tahu pulak si Irfan ni balik hari ni.”  Ujar Mak Leha sambil tidak putus-putus memeluk anaknya yang sudah 5 tahun tidak berjumpa selepas Irfan melanjutkan pelajaran di London.
            “Maafkan Irfan, mak.  Irfan tak sabar rasanya nak jumpa dengan mak.  Sebab itulah Irfan terjah mak kat sini.  Mak marah ke?” Ujar Irfan dengan penuh rasa gembira dan ceria.
            “Tak apalah Mak Leha.  Kalau Mak Leha nak balik pergilah.  Lagi pun hari ni mesti Mak Leha nak bersama-sama dengan keluarga.”  Reisya melemparkan senyuman buat Irfan sebelum dia memberikan keputusan untuk memberi cuti kepada Mak Leha.
            “Tapi…. Macam mana dengan Reisya?” Tanya Mak Leha yang tidak mahu meninggalkan Reisya keseorangan.
            “Reisya tak ada apa-apa.  Mak Leha pergilah.”
            “Reisya jemput datang rumah kami.  Itu pun kalau Reisya sudi.  Lagi ramai lagi meriah.” Tiba-tiba Pak Malik muncul dari muka pintu. 
            “Tak mengapalah Pak Malik.  Tentu banyak yang Pak Malik dan Mak Leha nak bualkan dengan Irfan.  Tak naklah Reisya yang jadi kacau daun.”
            “Siapa cakap Reisya tu kacau daun.  Reisya dah pun kami anggap macam anak kami sendiri.  Marilah…. Kalau tak nak tidur malam nanti Mak Leha suruh Pak Malik hantarkan.  Dari Reisya duduk sorang dalam rumah ni.  Marilah… boleh juga kita berborak.” Pujuk Mak Leha. 
            “Tapi…”  Reisya memandang ke arah Irfan seolah-olah meminta keizinan.
            “Saya tak kisah.” Ujar Irfan sambil tersenyum sambil memperlihatkan lesung pipit di pipi.  Sudah lama dia tidak bertemu dengan Irfan.  Walau pun semasa kecil dia sering bermain bersama namun setelah usia menginjak ke usia remaja hubungannya menjadi regang.  Dan akhirnya dia cuma melihat kelibat Irfan dari balik langsir jendelanya…
            Reisya begitu gembira di samping keluarga Mak Leha.  Walau pun kehidupan mereka sederhana namun mereka hidup dengan gembira.  Tambahan lagi dengan Irfan yang sudah berjaya.  Sudah lama dia tidak merasai gelak  tawa dan keseronokan berkeluarga.  Sesekali dia ingin bercerita namun dia lebih banyak menyepi dari bersuara.  Dia tiba-tiba menjadi malu bila bersama-sama dengan Irfan.
            “Reisya, Pak Malik nak minta sesuatu boleh?” Ujar Pak Malik tiba-tiba.  Reisya memandang ke arah Pak Malik sambil membaca dari raut wajah lelaki itu.
            “Esok Pak Malik tak dapat nak hantar Reisya sebab ada hal yang perlu Pak Malik uruskan.”
            “La…. Ingatkan apa tadi.  Pak Malik ni macam tak biasa je.  Reisya tak kisah.  Reisya boleh pergi sendiri.” 
            “Reisya jangan risau.  Pak Malik dah gantikan tempat Pak Malik dengan Irfan.” Reisya berpandangan kepada Irfan. 
            “Eh, tak payah nak susah-susah Pak Malik.  Lagi pun Irfan baru saja balik.  Dia masih penat tu.  Tentang saya jangalah Pak Malik risaukan.  Pak Malik ni macam tak biasa je. Tahulah Reisya jaga diri. Reisya boleh drive sendiri.”
            “Pak Malik bukan apa, risau dengan Reisya yang pulang lewat malam.  Lagi pun Irfan dah setuju.  Sementara dia belum cari kerja ni.  Nanti kalau dah ada kerja susah pulak Pak Malik nak buat urusan.” 
            “Pak Malik nak pergi mana?  Maaflah kalau Reisya ambil tahu pulak.”  Pak Malik ketawa dengan kata-kata Reisya itu. 
            “Ala…. Pak Malik nak balik kampung sekejap.  Ada hal yang perlu Pak Malik selesaikan.”  Reisya mengangguk walau pun dia tidak tahu apa yang ada disebaliknya.  Dia tidak mahu dilabelkan sebagai perempuan yang suka menjaga tepi kain orang.
            “Mak Leha, tentu seronok kat kampung.  Sepanjang hidup Reisya tak pernah pun jejakkan kaki di kampung.  Apa yang menarik kat sana Mak Leha?”
            Mak Leha tersentak dan terus memandang kepada Reisya dengan rasa penuh kasih sayang.  Dia sudah pun menganggap Reisya seperti anaknya sendiri.  Pengakuan dari Reisya membuatkan rasa kasihan mula menjengah pintu hatinya.
            “Reisya nak balik kampung ke?  Nanti kalau sampai hari raya nanti Mak Leha akan bawa Reisya balik kampung.  Nak tak?” Bagai pucuk dicita ulam mendatang Reisya memeluk erat Mak Leha.
            “Sayang Mak Leha….” Reisya benar-benar merasa bahagia kini.
            Keesokkan harinya Irfan sudah sedia menggantikan ayahnya menjadi pemandu kepada Reisya.  Reisya manis dengan memakai baju kurung berwarna hijau pucuk pisang dipadankan dengan aksesori rantai dan beg tangan terserlah akan keayuannya.  Walau bagaimana pun dia merasa kekok apabila Irfan menjadi pemandunya.  Sedang semasa kecil mereka sering bermain bersama. 
            “Nanti sekejap.  Saya ada barang yang nak kena bawa.”  Reiya berpaling dan  membawa barang yang sarat di kedua belah tangannya.
            “Mari saya tolong.” Tawar Irfan.  Wajah Irfan di pandang sekilas.  Tiada garisan senyuman dan wajah itu sentiasa sahaja tenang.
            “Eh, tak apalah….”  Namun  belum sempat Reisya berkata lagi Irfan  sudah pun mencapai barang yang berisi fail dan dokumen yang dibawa pulang tempoh hari.
            Sampai sahaja di pejabat dia merasa tidak senang dengan pandangan mata nakal para pekerjanya.  Bukan sebab kerana dia segan dengan Irfan yang menjadi pemandunya namun dia segan dengan gaya Irfan yang sudah semestinya mereka anggap yang bukan-bukan.
            “Wah… bukan main lagi kau hari ni. Siap bawa PA lagi.  Bila kau hired dia?”  Usik Liana saat Reisya masuk ke bilik.
            “Engkau ni jangan nak fikir yang bukan-bukan boleh tak? Dia gantikan Pak Malik.  Pak Malik ada hal.” Terang Reisya.
            “Wah, pandai Pak Malik cari pengganti.  Muda dan kacak.  Tak macam driver pun.” Usik Liana.
            “Hello!  Itu si Irfanlah.  Anak Pak Malik.”
            “Hah?  Irfan?  Bila masa dia balik? Nampak lain sangat dia sekarang ni.  Yelah…. Orang belajar luar negaralah katakan. Makin handsome aku tengok dia.” Liana memandang keluar jendela Reisya. 
            Erm… nasib baiklah aku ni dah bertunang.  Kalau tak mahu juga mengorat si Irfan ni.  Makin kacak pulak.
            “Semalam dia sampai.”  Acuh tak acuh sahaja jawapan yang diberikan oleh Reisya.
            Dia sebenarnya juga merasa tidak selesa saat bersama-sama dengan Irfan.  Semua yang di pegang seperti tidak dapat dicapai.  Setiap perkataan yang dilafazkan oleh Irfan bagaikan sayup di cuping telinganya.  Debarannya juga bagaikan mahu tercabut jantung dan organ dalamannya.  Semuanya bergerak pantas. 
            “Wah…. Semalam dah sampai hari ni dah sanggup jadi driver kau? Ini mesti ada apa-apa.  Kau ada sorokkan apa-apa dengan aku tak?”
            “Kau ni…. Aku sebenarnya tak nak mula-mula.  Habis tu dah aku kena desak dengan Pak Malik aku ikut jelah.”
            Liana berpaling kepada Reisya.  Dia kemudiannya tersenyum penuh makna. 
            “Dah engkau kenapa pulak?  Senyum macam kera dapat bunga lak.”
            “Susah-susah sangat kau kahwin sajalah dengan si Irfan tu.  Lagi pun Pak Malik dengan Mak Leha dah sayang sangat dengan kau.  Engkau dengan Irfan pun dah berkawan sejak kecil lagi.” Liana cuba memberikan buah fikiran yang tidak pernah terlinta di fikiran Reisya.
            “Bukan semudah itu, Liana.  Memang Mak Leha dengan Pak Malik sayangkan aku.  Tapi Irfan?  Mana tahu dia sudah ada buah hati kat sana.  Lima tahun bukan jangka masa yang singkat, Liana.  Aku tak tahu sama dia suka aku atau pun tidak.  Perasaan dan hati tidak boleh dipaksa.”  Keluh Reisya.
            “Itu aku tahu…. Tapi tak salah kalau kau cuba dulu. Mana tahu dia tak ada sesiapa lagi. Nah, nak tunggu apa lagi?”
            “Engkau ni bagi buah fikiran yang elok sikit boleh tak?”  Reisya seolah tidak berpuas hati dengan kata-kata Liana itu.
            “Ala… kau ni pasif sangatlah.  Aku gerenti, entah-entah dia tu syok kat kau tak?”
            “Engkau ni…. Takkan perigi nak cari timba pulak?”
            “Reisya, bukankah dulu kau pernah kata yang kau sukakan dia?  sekarang tibalah masanya untuk kau luahkan.” Reisya tunduk menganalisa dengan setiap kata-kata Liana.  Namun dia takut kalau dia mengejar bayang-bayang. Mungkin Irfan sudah ada calon yang tersendiri dan mungkin juga Irfan punyai teman istimewa.
            Reisya terkedu.
            Reisya menutup pintu kereta dan segera mengikut Irfan dari belakang.  Semenjak dari pejabat lagi perutnya mula minta di isi.  Laparnya hanya tuhan sahaja yang tahu.  Usai menantikan Irfan bersembahyang isya’ barulah dia meminta Irfan membawanya pulang.  Di dalam kereta dia cuba untuk menyusun ayat untuk mengajaknya makan.  Namun lidahnya bagaikan terkunci. 
            “Nak makan ke?” Tegur Irfan memecah keheningan.
            Reisya tersentak.
            “Tak payahlah nak buat muka terkejut tu.  Saya tahu Cik Reisya tak makan lagi.”  Belum sempat Reisya berkata apa Irfan sudah memakirkan kereta. 
            Reisya akur.
            Reisya melabuhkan punggung di hadapan Irfan.  Entah mengapa debaran hatinya tidak boleh dikira.  kalau disukat nadi tangan mahu capai 100 denyutan seminit! Sekali lagi Reisya menjadi pemerhati.  Cukup Reisya!  Anak teruna orang tu.
            “Nak makan apa?” Reisya membatu.
            “Nak makan apa?” Kali ini suara Irfan sedikit meninggi. 
            “Hah?”
            “Dah sah melamun.  Cik Reisya nak makan apa?”
            “Oh, nasi goreng USA dengan air tembikai.” Pinta Reisya.  Irfan mengangguk faham dan memanggil pekerja kedai itu. 
            “Reisya!”  Reisya tersentak.  Dia berpaling. 
            “Johan?”
            “Apa kau buat kat sini Johan?”  Reisya agak terkejut dengan kehadiran lelaki itu.
            “Kebetulan aku lalu sini.  Reisya, please…. Dengar penjelasan aku.”
            Johan tidak menghiraukan akan mata-mata yang memandang kepadanya.  Irfan pula yang tidak tahu akan perihal yang berlaku ternyata dia terpinga-pinga.  Johan menggenggam tangan Reisya.
            “Lepaskan aku Johan.  Bukankah aku katakan yang hubungan kita dah putus. Dah putus, Johan.  Kau sendiri yang menyebabkan hubungan kita putus Johan.  Please….. jangan ganggu aku lagi.” Rayu Reisya.
            “Tidak selagi kau tidak kembali kepada aku.” Kali ini genggaman Johan kian pejap. 
            “Sakit, Johan.  Aku merayu….”
            Johan cuba menarik Reisya.  Namun Irfan sudah mendahului menghalang Johan dari membawa Reisya pergi.
            “Relakslah Bro.  Nak bawa mana tu?  Ada orang lagi kat sini tau.” Tenang sahaja kata-kata yang dilemparkan oleh Irfan itu.
            “Kau siapa?  Ini urusan aku antara Reisya.  Kau jangan masuk campur!” 
            “Ho….. Apa?  Bukan urusan aku?  Aku yang bawa dia datang dengan selamat dan aku juga akan bawa dia pulang dengan selamat.”  Irfan memandang tepat kepada anak mata Johan.
            Kali ini Irfan pula yang menggenggam tangan kiri Johan.  Pejap dan kuat.
            “Reisya hak aku.”
            “Sejak bila kau lafazkan akad nikah?”
            “Dia kekasih aku!”
            “Apa buktinya?  Dengan cara kau pegang tangan dia?  Baik kau lepaskan tangan dia sebelum aku hinggapkan penumbuk aku ni.  Jangan sampai kau berdiri tak nampak jalan.” Perlahan dan tegas sahaja kata-kata Irfan itu.
            “Kau siapa yang jaga urusan aku?”
            “Aku siapa kau tak perlu tahu.  Bukankah aku dah kata…. Lepaskan dia.  Kalau penumbuk kali kedua kena kat mata kau, silap hari bulan kau merangkak keluar dari kedai ini.” Sekali lagi Irfan memberi amaran.
            “Reisya!”
            “Johan, lepaskan aku.  Hubungan kita dah berakhir.”  Air mata Reisya mengalir.  Johan berpaling.
            “Jangan buat aku macam ni, Reisya.”
            “Aku rela dengan kebahagiaan kau, Johan.  Please…. Kau jangan lukakan hati Qistina seperti mana kau lukan aku.”
            “Bro, nak lepaskan ke tidak?”
            Akhirnya Johan akur.  Dia merengangkan genggaman tangannya.  Begitu juga dengan Irfan.
            “Aku merayu dengan kau, Reisya.”  Reisya menggeleng.  Dia sudah menetapkan pendiriannya.  Johan tidak akan diterimanya lagi.
            “Pintu aku sudah tertutup untuk kau, Johan.  Tiada apa antara kita lagi.”  Johan memandang kepada  Irfan.
            “Dan aku juga mengucapkan selamat berbahagia kepada kau juga.”  Johan berlalu dengan rasa kecewa.  Dia tidak berpaling lagi.  Dia sedar kekecewaannya itu adalah berpunca darinya sendiri jika dia tidak bermain kayu tiga di belakang Reisya.
            “Kita balik.  Makan kat rumah je.  Nanti saya suruh mak masak.”  Ketegasan Irfan itu membuatkan Reisya akur.  Dia masuk semula ke dalam kereta dan dia masih di dalam rasa terkejut dengan tindakan Johan  itu.
            Di dalam diam Reisya memanjat kesyukuran dengan kehadiran Irfan di sisinya.  Jika tiada Irfan dia tidak dapat bayangkan bagaimana dia akan meloloskan diri dari Johan.
            “Terima kasih.”  Ucapan itu tiada reaksi dari Irfan.  Reisya agak kecewa.  Marahkah dia?
            Akhirnya air mata Reisya kalah sekali lagi.  Sudah tentu Irfan sudah berfikir macam-macam tentang dirinya. 
            MALAM itu sengaja Mak Leha pulang lewat.   Irfan sudah menantinya di luar rumah. Cerita yang dibawa oleh anaknya itu benar-benar memeanjatkan dirinya. Namun begitu dia memanjat rasa kesyukuran kerana Reisya tidak diapa-apakan. 
            “Reisya nak Mak Leha temankan malam ni ke?”  Reisya menggeleng.
            “Tak apalah Mak Leha.  Reisya dah tak ada apa-apa.  Terima kasih sebab ambil berat pasal Reisya.”    Mak Leha tersenyum tawar. 
            Walaupun Mak Leha ingin memegang kata-kata Reisya namun dia sebenarnya merasa bimbang dengan keselamatan Reisya yang tinggal keseorangan.  Kalau Johan ingin buat sesuatu yang tidak baik…. Ah, minta dijauhkan. Mak Leha tekad.  Dia memanggil Irfan yang masih setia di luar rumah. 
            “Irfan, mak rasa kita tidur barang semalam kat sini.  Mak bimbang kalau si Johan tu datang buat tak senonoh dengan si Reisya ni.” 
            “Irfan ikut saja.  Tak apalah.  Mak dengan Cik Reisya pergilah masuk tidur.  Dah lewat ni. Irfan tidur kat sini je.” Mak Leha mengangguk.
            “Mak Leha, Irfan boleh tidur bilik tetamu.  Mak Leha tidur dengan Reisya ye.  Nanti Reisya ambil baju arwah ayah untuk Irfan.” 
            “Tak payah Cik Reisya. Saya boleh tidur sini.  Tak payah nak susah-susah.” Tolak Irfan.  Irfan melabuhkan punggung. 
            “Jomlah Mak Leha.  Nanti Reisya ambil selimut dengan bantal.  Mak Leha berikan pada Irfan.”  Mak Leha mengangguk.  Dia menurut sahaja kata- kata Reisya itu.
            Reisya memandang kepada Irfan yang sudah pun merebahkan badannya dia atas sofa.  Hatinya mula berkata.  Bencikah dia kepada aku?  Mengapa dia bersikap dingin denganku? Di dalam bilik Mak Leha seperti gelisah. Perubahan itu disedari oleh Reisya.
            “Mak Leha kenapa?  Tak selesa ke tidur kat sini?”
Mak Leha menggelengkan kepala.  Sebenarnya berat hati untuk dia menyampaikan keputusan kepada Reisya.  Dia tahu anak majikannya itu bersifat ingin membantu namun pendirian Irfan juga dia tidak boleh membantah.
            “Reisya, Mak Leha nak cakap sikit, boleh?” Reisya yang sudah pun menghulurkan bantal kepada Mak Leha. Reisya tersenyum.  Dia tahu apa yang ingin disampaikan oleh wanita itu.   Dia pernah memberi tahu akan jawatan yang ditawarkan kepada Irfan sebelum dia pulang semalam. Dan dia tahu Mak Leha ingin melemparkan jawapan untuk jawatan itu.
            “Mak Leha minta maaf, Reisya.  Irfan tidak boleh terima tawaran yang Reisya berikan.  Dia kata dia mahu menjawat jawatan dengan usahanya sendiri.  Mak Leha minta maaf banyak-banyak.  Mak Leha tak sampai hati sebenarnya nak beritahu dengan Reisya.” Reisya senyum.  Dia sudah mengagak akan berita itu.
            “Saya tahu Mak Leha.  Saya kenal dengan dia.  Dia akan dapatkan segala impiannya dengan usaha dan keyakinannya.  Tak mengapalah Mak Leha.  Nanti kalau dia perlukan bantuan Mak Leha beritahu dengan saya.”
            “Reisya, kenapa Reisya dan keluarga begitu baik dengan kami?”
            “Saya dah anggap Mak Leha macam ibu saya sendiri.  Saya kini sebatang kara, Mak Leha.  Saya tiada sesiapa.  Setiap malam saya keseorangan.  Cuma Mak Leha dengan Pak Malik tempat saya menumpang kasih.  Saya menyusahkan ke?”  Bergetar suara yang dilontarkan oleh Reisya.  Air mata Mak Leha juga tumpah dengan pengakuan Reisya itu. 
            “Jangan risau, Reisya.  Selagi ada hayat Mak Leha, Reisya tetap Mak Leha sayang.  Sudahlah jangan menangis lagi.  Mak Leha rasa sudah sampai masanya Reisya mencari jodoh.  Sekurang-kurangnya ada yang menjaga dan melindung Reisya.” Nasihat yang tulus dari Mak Leha itu benar-benar menyetuh perasaannya.
            “Mak Leha tak sayangkan Reisya ke?” Ada getaran kepada suara Reisya.  Dia cuba untuk menahan namun getaran itu dapat disedari oleh Mak Leha.
            “Bukan itu maksud Mak Leha.  Kasih seorang ibu, ayah dan suami punya rasa kasih dan sayang yang tersendiri.  Sekurang-kurangnya bila Reisya berkahwin Reisya akan merasai kasih sayang ibu dan ayah mertua.  Reisya berhak menikmati kebahagiaan tu Reisya.”
            “Saya faham, Mak Leha.  Saya pun berharap punyai keluarga seperti keluarga Mak Leha. Tapi Reisya sedar yang Reisya ni perempuan, Mak Leha.  Perempuan.  Reisya cuma menunggu bukannya bertindak.”
            “Mak Leha minta maaf dengan Irfan.  Dia beritahu yang dia ada temuduga dengan MerakSari Sdn Bhd esok.” Mak Leha menukar tajuk.  Dia tidak mahu melukakan hati Reisya lagi. Namun dia merasakan selagi ada hayat dia akan menganggap Reisya seperti anaknya sendiri walau pun dia tidak akan bekerja di rumah itu pada suatu hari nanti.
            “MerakSari?”
            “Kenapa Reisya?”
            “Er… tak ada apa-apa.”
***********************************************************************
            Reisya begitu gembira dengan pelawaan Mak Leha untuk berhari raya di kampungnya.  Sehinggakan dia lupa akan wasiat arwah ayahnya yang tinggal baki satu minggu sahaja.  Kali ini dia tekad dan berserah kepada yang Esa tentang apa yang akan berlaku.  Biarlah jodoh itu datang dengan sendirinya.  Dia ingin manfaatkan cuti ini dengan sebaiknya.  Di dalam kereta dia banyak berbual dengan Mak Leha dan Pak Malik berbanding dengan Irfan.  Walau pun Irfan agak dingin dengannya namun dia tahu Irfan ingin berbual dengannya.
            Sampai sahaja di kampung Mak Leha, masing-masing semua sedang menyediakan juadah untuk hari raya esok.  Rumah tua itu kelihatan meriah dengan berhimpunnya adik-beradik Mak Leha seramai 9 orang itu.  Reisya amat seronok dan selesa saat berada di situ.  Tambahan lagi dengan layanan yang diberikan membuatkan Reisya seperti sudah lama mengenali keluarga itu.
            “Irfan pergilah tolong Reisya isi ketupat tu.”Pinta Mak Leha kepada anak terunanya.  Irfan menggelengkan kepala.
            “Tak naklah mak.  Itu kan kerja orang perempuan.” Sambut Irfan yang sedang membantu sepupunya menghidupkan api.
            “Pergi sajalah…. Kesian dia seorang tu.”  Akhirnya Irfan akur dengan desakan dari ibunya.  Dia menghampiri Reisya yang sedang mengisi beras ke dalam kelongsong ketupat.   Menyedari kehadiran Irfan itu Reisya melemparkan senyuman tanda terima kasih.
            "Saya isikan beras nanti Irfan tolong ukur.  Saya tak pandai nak sukat.” Ujar Reisya.  Irfan akur tanpa suara.
            “Awak jangan fikir yang saya akan berterima kasih dengan apa yang telah awak lakukan terhadap keluarga saya.” Reisya tersentak. Dia merenung ke arah Irfan dan cuba mendapatkan penjelasan.
            “Apa yang Irfan cuba sampaikan ni?  Saya tak faham.”
            “Dengan menolong saya mendapatkan kerja?”
            “Bukan ke Irfan sudah sudah bekerja di MerakSari?”
            “Dengan usaha saya sendiri dan sebelum ini kenapa awak tawarkan jawatan kepada saya?” Begitu keras nada suara Irfan membuatkan Reisya agak terkejut.
            “Saya memandang kelayakan yang ada pada Irfan.  Itu sahaja.”
            “Bukan ke awak kasihan dengan keluarga saya?” kata-kata Irfan itu tepat mengenai hati dan jantungnya.  Perit, pedih dan sedih!
            “Itu dua perkataan yang berbeza, Irfan.  Saya minta maaf kalau saya sudah meyusahkan Irfan.  Kalau Irfan sudah menyalah tafsirkan apa yang Reisya buat, maafkan Reisya.”  Reisya berlalu meninggalkan kerjanya dengan rasa yang amat perit sekali.
            Di malam hari untuk umat islam bergembira, Reisya menangisi tentang nasib yang menimpa dirinya.  Dia keseorangan.  Tanpa ayah dan ibu.  ‘Ibu… ayah…. Reisya rindu….’ Air mata Reisya tumpah lagi. Dia tidak tahu mengapa ini yang terjadi.  Sebelum sempat untuk dia menyapa kebahagiaan duka datang bertalu-talu.  Reisya buntu kepada siapa untuk dia melahirkan rasa kesunyian.
            “Reisya…”  Reisya berpaling.  Raut wajah Mak Leha jelas di ruang matanya.  Reisya menyapu air mata. 
            “Kenapa ni? Irfan ada mengguris hati Reisya ke?” Tanya Mak Leha perlahan.  Dia sedar akan perubahan Reisya setelah Irfan membantu Reisya petang tadi.  Wajah ceria Reisya bertukar menjadi mendung dan sedih.
            “Tak ada apalah Mak Leha.  Reisya tiba-tiba teringatkan ibu dengan ayah.” Bohong Reisya yang cuba menutup akan perasaan sebenarnya.  Dia tidak mahu sebab dia, Irfan akan dimarahi.  Ya, dia kaya.  Tetapi dia miskin dengan kasih sayang.  Itulah yang kini dicari oleh Reisya.  Dia memerlukan kasih sayang saat dia keseorangan kini.
            “Sudahlah Reisya.  Mak Leha tahu. Ada sesuatu yang dikatakan oleh Irfan yang buatkan Reisya sedih macam ni.”
            “Tak Mak Leha…. Betul.  Reisya teringatkan ibu dengan ayah.  Mak Leha. Reisya nak keseorangan sekejap.” Pinta Reisya. Mak Leha bangkit meninggalkan Reisya.  Mak Leha akur dengan permintaan Reisya.  Mak Leha tahu, Reisya begitu merindui keluarganya.  Kata-kata Irfan adalah penambah kepada kelukaan Reisya yang sedia ada. 
            Dengan tiba-tiba Reisya teringatkan akan wasiat peninggalan arwah ayahnya.  Ayah, maafkan Reisya.  Reisya tidak dapat memenuhi impian ayah.  Reisya sudah kalah, ayah.  Air mata Reisya kembali tumpah.  Kali ini dia tertidur betemankan airmata.
            Seminggu sudah berlalu…. Reisya menerima seadanya dengan wasiat yang telah dibentangkan oleh Rafiq sebentar tadi.  Segala harta milik SelayangJuara Sdn Bhd kini menjadi milik Dato’ Razlan.  MerakSari pula kini menjadi hak kepada pengurus besar di sana.  Siapa lagi kalau bukan Irfan.  Irfan yang mendengarnya ternyata terkejut. 
            “Syarikat SelayangJuara adalah perkongsian antara arwah dengan Dato’  Razlan. Manakala MerakSari adalah syarikat kecil milik arwah.  Oleh sebab Cik Reisya tidak dapat menunaikan wasiat arwah untuk mencari calon mertua maka segalanya jatuh kepada Dato’ Razlan dan juga Encik Irfan.  Cik Reisya hanya akan mendapat rumah milik keluarga dan juga villa di Fraser Hill.”  Irfan terduduk di saat Rafiq membaca wasiat itu.  Dia memandang ke arah Reisya yang begitu tenang.  Ah!  Apakah yang telah aku lakukan?
            “Kenapa Reisya buat begini?” Mak Leha bagaikan tidak percaya.  Air matanya cepat mengalir mengenangkan nasib Reisya. 
            “Reisya sudah pun bertemu dengan calon mertua tetapi Reisya tidak boleh memaksa hati dan cinta untuk terima Reisya.  Reisya rela melepaskannya demi keluarga yang telah Reisya temui.  Reisya berharap selepas ini Mak Leha jangan tinggalkan Reisya.”
            “Tidak sayang.  Walau apa yang terjadi Mak Leha akan menjaga Reisya.  Selagi ada hayat Mak Leha.” Mak Leha memeluk erat Reisya dengan deraian air mata.
            “Maafkan saya, Pak Malik.  Saya tak boleh nak menggajikan Pak Malik lagi.  Saya cuma pekerja biasa sahaja.” Ujar Reisya tenang.
            “Reisya anggapa saja Pak Malik hantar Reisya sebagai seorang anak boleh?” Reisya hampir mengalirkan air mata.  Betapa dia bersyukur mendapat keluarga Mak Leha yang sudah menganggapnya sebagai seorang anak.  Reisya berlalu kepada Irfan. 
            “Maafkan Reisya kalau Reisya menyintai Irfan di dalam diam.  Hati dan perasaan tidak boleh dipaksa, kan?” Irfan yang mendengarnya terkedu. 
****************************************************************************
            Angin sepoi bahasa menenangkan jiwa dan perasaan Reisya.  Setelah dia meminta cuti dari Dato’ Razlan, dia meminta kebenaran untuk tinggal di kampung Mak Leha.  Dia mahu menenangkan fikirannya.
            “Assalamualaikum….”  Reisya berpaling.  Merenung wajah lelaki itu.  Benarkah ini?
            “Uncle Razlan?  Apa yang uncle buat kat sini?”  Tanya Reisya yang terkejut dengan kehadiran Dato’ Razlan. 
            “Uncle nak pulangkan wasiat ni.”  Reisya tercenggang dengan kata-kata Dato’ Razlan itu. 
            “SelangJuara hasilnya banyak dari arwah ayah Reisya.  Uncle cuma membantu.  Lagi pun uncle dah ada perniagaan uncle sendiri.  Uncle tiada anak.  Esok lusa kalau uncle dah tak ada?   Reisya saja yang layak mentadbir SelayangJuara.  Lagi pun Irfan kan ada?”  Tersentak Reisya di saat Dato’ Razlan membangkitkan nama Irfan.  Apa kena-mengena Irfan dengan SelayangJuara?
            “Reisya, terimalah segaala yang mendatang.  Segala kesedihan ada titik kegembiraannya.  Faham tu?  Okeylah.  Uncle nak balik dulu.  Sebelum tu uncle nak ucapkan selamat hari lahir.  Uncle ada bawa hadiah untuk Reisya.  Tapi dengan syarat Reisya kena tutup mata sambil kira sampai sepuluh tau.”
            “Uncle ni macam budak-budaklah.” Senyum Reisya berbalas dengan riak wajah Dato’ Razlan yang seakan berkeras.
            “Cepat!”
            “Okeylah…. Satu…. Dua…”
            Setelah mengira sehingga sepuluh Reisya membuka mata dengan perlahan.
            “Assalamualaikum…” Reisya terkejut.  Wajah Dato’ Razlan sudah bertukar milik Irfan. 
            “Apa yang Irfan buat kat sini?”  Matanya meliar mencari Dato’ Razlan.  Ah, mimpikah ini?  Reisya mencubit pipi kanannya.  Aduh, sakit.
            “Bukankan Dato’ Razlan dah beritahu tadi?” Irfan mengenyitkan matanya. Benarkah dihadapannya itu Irfan?  Nak pegang?  Eh, tak boleh.  Anak teruna orang.  Lagi pun haram!
            “Hadiah? Reisya tak faham.”
            “Irfan minta maaf dengan apa yang telah Irfan lakukan.  Irfan sebenarnya takut seandainya Irfan sambut cinta Reisya bagaikan Irfan menumpang tuah milik Reisya.” Irfan memberi pengakuan.
            “Apa yang ada dengan pangakat dan darjat?  Tuhan menjadikan semua manusia sama sahaja.  Yang meletakkan pangkat dan darjat adalah manusia itu sendiri?  Dan pernahkah terfikir pakaian dan tempat tinggal di saat ajal menjemput semuanya sama saja?” Irfan tunduk. 
            “Maafkan abang.”  Reisya berpaling apabila Irfan menggelarkan dirinya ‘abang’.
            Irfan melemparkan senyuman manis buat Reisya.  Senyuman yang sebelum ini sukar untuk Irfan lemparkan. Reisya tunduk dan mengalirkan air mata.  Ya!  Air mata gembira. Apakah ini tanda Irfan sedia menerimanya? Irfan mengeluarkan sebuah kotak kecil dari kocek kanannya.  Dia membuka perlahan.  Kelihatan sebentuk cincin permata yang menghiasi bantal kecil baldu berwarna biru itu.
            “Abang berjanji akan menjaga Reisya seperti mana mak dan abah menjaga Reisya dan abang akan melindungi Reisya seperti nyawa Irfan sendiri.  Mak pesan cincin ni untuk Reisya.  Cuma menantu dia saja yang boleh pakai cincin ni.”
            “Maksud Irfan?”
            “Lepas ni dah tak boleh nak panggil nama lagi.  Kena panggil abang.  Dan abang belajar nak panggil ‘sayang’.  Abang ni bukannya romantik sangat.  Tapi…. tunggulah nanti abang rasa nak picit je hidung sayang tu.  Geram sangat!”
            “Jangan sentuh! Belum boleh lagi.” Reisya menutup hidungnya.
            “Ala…. Abang nak picit hidung tu boleh?”  saja Irfan mengusik Reisya.
            “Abang!”
            “Abang saja je nak uji.  Abang nak dengar sayang panggil nama ‘abang’ tu.  Macam sweet je…. Macam best je…. Macam comel je…”
            “Abang ni!”
            “Terima kasih kerana menerima abang yang tak seberapa ni. Dan terima kasih juga kerana sudi menjadi susuk kiri abang.”
            “Kasih dan cinta Reisya cuma untuk abang.” Air mata kebahagiaan pula yang menghiasi di wajah Reisya.  Dia memadang tepat kepada anak mata Irfan.
            “Begitu juga dengan abang.”
            Irfan tersenyum…. Reisya begitu juga… Dia bahagia kini.  Segalanya adalah miliknya selepas ini.  Terima kasih, ayah dengan apa yang telah kau lakukan.  Kebahagiaan ini akan disemai agar kekal selamanya.  Reisya memandang kepada Mak Leha dan Pak Malik yang sedari tadi menjadi pemerhati.  Dia segera memeluk Mak Leha. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page