Showing posts with label jalinan cinta. Show all posts
Showing posts with label jalinan cinta. Show all posts

Novel: Jalinan Cinta Bab 2

Teratak pena | 9:12 PM | Be the first to comment!
BAB 2

            Borhan memberhentikan motornya di hadapan kedai Leha. Leha yang sedang menimbang tepung untuk Lebai Hamzah terkejut.  Dengan wajah bengis Borhan membuatkan Leha menjadi takut.  Dia tahu akan kedatangan Borhan ke kedainya. Sudah tentu akan perihal hutangnya yang kini sudah tinggi menggunung.  Borhan menongkat motornya dan bergegas menuju ke arah Leha.  Kehadiran Lebai Hamzah sedikit pun tidak memberikan  rasa takut atau segan di hati Borhan.  Dengan keringat yang membasahi wajahnya itu, dia segera mendapatkan Leha.  Lebai Hamzah yang melihatkan gelagat Borhan yang agak kelam-kabut itu cuma mampu menggelengkan kepala. 
Sudah berkali dia berjumpa Borhan bermain judi di bawah pohon ketapang di hujung kampung.  Setiap kali dia menegur, setiap kali itu dia diherdik.   Walau pun sering kali diejek dikalangan mereka, namun Lebai Hamzah tetap meneruskan  usahanya suapaya gejala yang buruk  ini akan tidak akan berlarutan hingga ke anak muda remaja kampung itu. Borhan diibaratkan sebagai contoh yang tidak baik dalam masyarakat kampung yang masih lagi tinggi dengan adat dan budaya.
            “Oi,  Leha!  Kau dengar sini baik-baik.  Sekali lagi aku tahu kau tak berikan barang dapur pada bini aku, engkau dengan kedai ini sekali aku bakar nanti.  Kenapa kau berani tak nak berikan barang dapur pada bini aku?” Pertanyaan dari Borhan itu tidak disambut oleh Leha.  Dia membatu dan takut.
            “Takkan kau buka kedai ni semata-mata untuk jadi muzium?  Aku beri kau peringatan sekali lagi.  Faham!  Kalau dah kedekut sangat jangan nak berniaga.  Engkau dengan laki kau sama je.  Kalau tak beri susah orang memang tak sah.”  Suara kasar Borhan membuatkan Lebai Hamzah dan Leha terkejut.
            “Borhan, kenapa dengan kau ni?  Cubalah bawa bertenang. Bawa mengucap. Kalau ada apa-apa masalah, kita bincang sama-sama.  Janganlah menengking orang tanpa usul periksa.  Cubalah cerita masalah kau, Borhan.  Manalah tahu kita boleh sama-sama selesaikan.”  Celah Lebai Hamzah dengan nada yang tenang. 
Borhan berpaling ke arah Lebai Hamzah dengan bingkisan mata yang merah.  Ternyata kehadiran Lebai Hamzah itu sedikit sebanyak membuatkan dia merasa tidak  senang hati.  Leha yang masih membatu terhenti untuk membungkus tepung gandum buat Lebai Hamzah.  Hatinya pada ketika itu hanya tuhan saja yang tahu.  Dia takut apa yang dikatakan oleh Borhan itu tadi akan menjadi satu kenyataan.  Dia kenal sangat dengan panas baran Borhan.  Bukan sekali dua Borhan mengugut untuk membakar kedainya.  Sudah berkali-kali dia mendapat peringatan.
            “Lebai jangan nak jaga tepi kain saya.  Sebelum nak menasihatkan orang, tengok diri sendiri.  Lebai jangan nak susah dengan cara hidup saya ni.  Lebai buat je kerja lebai.  Lubang kubur saya, pandailah saya nak jaga.  Lebai tu, tolong jaga lubang kubur sendiri.”  Lebai Hamzah beristifar. 
Tidak sangka sampai begitu sekali Borhan sanggup berkata sedemikian.  Padanya dia bukanlah untuk menjaga tepi kain orang, tetapi sebagai rakan masyarakat dan seagama dia mesti menegur mana yang tidak baik.  Dia sedar, dirinya sendiri pun belum tentu seorang manusia yang sempurna.  Namun sebagai manusia, sifat tegur-menegur adalah penting untuk membentuk sahsiah peribadi.
            “Saya bukan nak jaga tepi kain kamu, jauh sekali saya nak hal rumah tangga kamu.  Tapi kalau boleh, janganlah dengan cara begini.  Tentu ada sebab kenapa Leha tak berikan pinjam barang dapur kepada isteri kamu.  Kalau boleh cubalah bawa toleransi sikit.  Kita ni orang islam.  Ada tatacara untuk kita menyelesaikan masalah.  Bukan cara begini.  Ni, hah!  Leha.  Kenapa kau tak berikan barang dapur pada si Timah?”  Persoalan Lebai Hamzah beralih kepada Leha. 
            “Er…. Er… sebenarnya Lebai, saya pun serba salah juga.  Murad, suami saya tak benarkan saya berikan  hutang pada Timah.  Katanya, dah banyak sangat hutang mereka pada kami.  Kami pun nak cari makan.  Kalau hari-hari minta hutang, lingkuplah perniagaan saya nanti.  Orang kampung pulak yang susah.  Nak ke pekan membeli barang keperluan.” Terang Leha dalam nada perlahan.  Tidak berani untuk dia bersemuka dengan Borhan. 
            “Kau dengar tu Borhan?  Bukan mereka sengaja tak berikan isteri kau barang dapur.  Begini sajalah.  Kebun aku tu nak pakai orang.  Kalau kau berminat, bolehlah kau kerja dengan aku.  Tentang upah kau jangan bimbang.” Borhan senyap dan matanya terus memandang ke arah Lebai Hamzah.
“Aku akan berikan kau upah ikut hari.  Sekurang-kurangnya kau boleh beli barang dan bayar hutang mereka sekali.  Aku rasa lebih baik kau kerja, Borhan.  Tolong isteri kau tu.  Tanggungjawab kau sebagai suami adalah menjaga dia.  Kadang-kala kesian pulak aku tengok si Timah tu kerja seorang.  Kau sebagai suaminya seharusnya memberi nafkah zahir dan batin untuk isteri.  Bukan isteri kau yang menanggung semuanya.”  Borhan gelisah. 
Leteran dari Lebai Hamzah membuatkan dia merasa tidak senang.  Dia tahu, lebih lama dia disitu, makin banyaklah leteran yang akan diterimanya nanti.  Borhan tidak mahu tunggu lama.  Dia ambilnya tepung di tangan Leha dan beberapa barang dapur yang lain.  Leha kaget.  Dia tidak tahu untuk berbuat apa dan membiarkan saja Borhan mengambil barang tanpa membayar.
            “Engkau dengar sini Leha.  Hey, aku tak kisah dengan hutang kau yang sebesar kuman tu.  Tunggu satu hari nanti, aku akan bayar balik hutang kau tu.  Dan pada masa tu kau jangan mimpi aku nak beli barang dari kau.”  Borhan ingin berlalu namun langkahnya terhenti.
“Dan satu lagi, bang lebai oi!!! Siapa lebai nak nasihat saya?  Saya tak hairan dengan ceramah percuma lebai tu.  Lebai buat kerja lebai, dan saya akan buat kerja saya sendiri.  Dan semolek-moleknya, lebai jangan nak ganggu saya.  Rumahtangga saya, tahulah saya nak uruskan.  Nak aman ke nak terlingkup ke bukan rumahtangga bang lebai.  Baru pakai serban sejengkal ada hati nak nasihat orang konon.”  Borhan terus berlalu meninggalkan Lebai Hamzah dan Leha.  Lebai Hamzah menggelengkan kepala melihatkan sikap Borhan yang semakin menjadi-jadi. 
            “Saya bukan apa, lebai.  Kesian saya tengokkan si Timah tu. Ada laki serupa macam tak ada.  Semua duit Timah habis dikerjakan oleh si Borhan tu.  Kalau bekerja tu tak mengapa juga, ini tidak.  Makan pakai Borhan pun Timah yang kena tanggung.”  Lebai Hamzah menggangguk dan memahami.  Sudah lama dia memerhatikan Borhan yang kaki judi itu.  Bukan sekali dua dia menasihati Borhan, namun ibarat mencurah air di daun keladi sahaja.  Nasihat orang lain langsung tak pernah dengar.
“Berapa sangatlah duit yang Timah dapat untuk jual nasi lemak tu.  Saya bukan tak kesiankan Timah, lebai.  Tapi apa daya saya, sikap Borhan tu yang buatkan saya tak nak beri hutang dengan dia.  Biar dia rasa.”  Leha meluahkan apa yang terbuku di lubuk hati.
            “Aku faham, Leha.  Aku tak tahu nak cakap apa lagi.  Puas aku nasihatkan dia. Jangan kata nak dengar, marah kita lagi adalah.  Saya pun kesiankan dengan Timah tu.  Dia seorang isteri yang baik.  Cuma sikap Borhan tu yang membuatkan Fatimah aku tengok makin lama makin tak bermaya.”  Lebai Hamzah cuba berfikir, mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang melanda Fatimah.
“Begini sajalah, aku rasa baik kau berbincang dengan Hasan dan Timah mengenai hutang kamu tu.  Suruh Hasan tolak duit nasi lemak barang sepuluh ringgit. Aku rasa Hasan dan Timah tak ada masalah.  Tapi dengan syarat kau jangan pulak beritahu dengan Borhan.  Nahas kamu nanti.”
            “Emmmm….. elok juga cadangan lebai.  Nantilah.  Kalau senang saya beritahu dengan mereka.  Oh ya, ada apa-apa lagi yang lebai nak beli?”  Leha memasukkan tepung gandum ke dalam plastik. 
            “Itu sajalah Leha.  Kalau ada apa-apa aku datang lagi.  Eh, aku balik dulu.  Lama pulak tunggu si Zainab kat rumah tu.  Nanti kamu berbincanglah ye.  Kalau ada apa-apa beritahu dengan aku.  Baiklah, aku balik dulu. Assalamualaikum.” 
            “Waalaikumsalam.”
            Fatimah yang sedang melipat telekung terkejut melihatkan suaminya tiba-tiba muncul di depan pintu.  Riak wajah Borhan yang kelihatan bersahaja sedikit pun tidak memberikan apa-apa perasaan kepadanya.  Dia kemudiannya kembali ke dapur dan sedikit terkejut dengan apa yang dibawa oleh Borhan tadi.  Ringan saja mulutnya untuk bertanya, namun dimatikan di situ juga.  Takut dikatakan suka mengambil tahu.  Fatimah mencapai ubi kayu yang terletak di atas para.  Dikopeknya tanpa berpaling ke arah Borhan yang sibuk memerhatikannya sejak tadi. 
            “Itu, abang dan belikan barang dapur.  Adalah sikit untuk alas perut.  Nanti kau masaka sedap-sedap ye.”  Perkataan ‘beli’ yang terkeluar dari bibir Borhan membuatkan Fatimah merasa tidak senang hati.  Beli?  Beli dengan apa?  Dengan duit haram?  Fatimah bersumpah walau kering lapar bagaimana pun dia tidak akan menerima barang sebutir nasi dari duit haram itu.
            “Timah, malam nanti kau ikut abang ye.  Dah lama kita tak keluar sama.  Nanti Timah pakailah baju cantik sikit.  Boleh?”  Tanya Borhan lantas menuju ke arah Fatimah.  Fatimah tersentak.  Mimpi apakah suaminya itu dengan tiba-tiba saja ingin mengajaknya keluar.  Kali terakhir dia keluar dengan suaminya adalah ketika baru sahaja melangsungkan perkahwinan sepuluh tahun yang lalu.  Kini, dengan tiba-tiba saja dia mengajak keluar. 
            “Nak buat apa? Tak payahlah bang.  Lagi pun banyak lagi kerja yang perlu Timah buat.  Esok pagi-pagi nak perg hantar nasi lemak.  Lepas tu nak ke bendang.  Tijah dah berapa kali mengajak.  Tanah bendang kita masih lagi belum berusik.  Kalau dah keluarkan hasil, boleh kita dapat duit sikit.  Timah minta izin dengan abang.  Timah tak nak pergilah bang.  Abang pergi sorang jelah.”  Fatimah cuba untuk mencari alasan. Entah mengapa hatinya merasa tidak tenteram.
            “Aku kata, ikut! Ikut sajalah.  Yang kau banyak sangat cari alasan kenapa?  Orang nak ajak berjalan pun tak nak?  Sudah, aku tak nak dengar apa-apa lagi alasan.  Malam nanti lepas maghrib aku tahu kau dah siap.  Jangan nak banyak cakap lagi.  Sudah!  Aku nak keluar.  Jangan lupa.  Aku jemput kau lepas maghrib.
            Fatimah merasa janggal bersama-sama dengan suaminya di dalam rumah tumpangan itu.  Dia tidak tahu apakah tujuan sebenar suaminya untuk ke sini.  Fatimah memerhatikan sekelilingnya.  Begitu asing baginya.  Fatimah mencari kelibat suaminya.  Hampa. 
            “Timah,”  Fatimah terkejut apabila disergah.  Ternyata wajah suaminya itu membuatkan dia hilang semangat sebentar tadi.
            “Kenapa bang?  Ada apa yang tak kena?  Marilah kita balik bang.  Timah rasa tak sedap hatilah duduk lama-lama kat sini.  Bang, Timah balik dulu boleh tak?”  Fatimah cuba meminta izin untuk pulang.  Namun itu semuanya tidak membuahkan realiti apabila Borhan menarik tangannya.  Fatimah cuba untuk melepaskan diri tapi dia tidak betah.  Kudrat Borhan lebih kuat daripadanya.
            “Kau jangan bising.  Kau masuk dalam bilik ni.  Kejap lagi aku datang.”  Borhan menarik Fatimah masuk ke dalam sebuah bilik dikuncinya dari luar.  Fatimah cuba untuk melepaskan diri.  Dia hampa.  Dia tidak tahu apakah muslihat suaminya sehingga sanggup meninggalkan dirinya di bilik yang asing buat dirinya. 
            Tidak lama kemudian, Fatimah mendengarkan pintu biliknya dibuka.  Disangkakan suaminya, tetapi tidak!  Tiga orang asing yang tidak pernah ditemuinya berlegar di ruang mata.  Fatimah mencari kelibat suaminya, walau bagaimanapun ianya tiada.  Yang hanya kedengaran adalah suara milik suaminya di luar bilik.
            “Engkau orang santaplah puas-puas.  Yang pasti hutang aku dengan kamu semua kira jelas.”  Fatimah dapat memerangkap suara suaminya di luar bilik.  Dia tidak sangka sampainya hati Borhan memperdagangkan isteri sendiri.

            “Amoi jangan marah ye…. Ini malam tidur dengan kami semua, esok jangan bimbang pasal hutang lu punya suami.  Kasi langsai semua.”  Kata lelaki asing berbangsa cina membuatkan Fatimah sedar akan kedudukan dirinya kini.  Dia dijadikan barang dagangan oleh suaminya yang selama ini amat dicintainya.  Fatimah akhirnya terjaga apabila dia dihimpit oleh tiga lelaki yang  telah melayani nafsu buas mereka.  Fatimah menangisi dirinya sendiri.  Ya Tuhan!  Kau ampunkanlah dosa ku.  Fatimah menangis semahunya.  Entah bagaimanakah dia harus untuk meneruskan hidupnya yang kini bagaikan gelap tiba-tiba.

Novel : Jalinan Cinta - Bab 1

Teratak pena | 8:21 PM | Be the first to comment!
BAB 1

            Fatimah bersimpuh sambil menuangkan teh untuk  suaminya, Borhan.  Suasana petang yang damai dengan hembusan angin lembut membuatkan Fatimah terleka sejenak.  Kuih seri muka yang dibuatnya tadi dihidangkan bersama.  Fatimah memandang ke arah baruh.  Padi yang menguning minta dituai.  Tidak lama lagi dia harus ke bendang. Ini membuatkan perniagaan nasi lemaknya akan dihentikan buat sementara waktu.  Awal pagi semalam Tijah sudah mula bersuara untuk bersama-sama ke bendang. Cuma dia saja yang tidak memberikan kata putus.  Takut untuk bersetuju dengan tiada pesetujuan dari suaminya. 
Fatimah mengeluh kecil.  Kuih seri muka yang dibuatnya pagi tadi dijamah.  Sesekali Fatimah memandang ke arah suaminya.  Terasa takut untuk menyatakan apa yang terbuku di hati. Namun seandainya tidak diberitahu dia juga yang akan terjerat nanti. Masakan dia perlu untuk melakukan dua kerja dalam masa yang sama.  Dia tekad. Dia tidak mahu Borhan selamanya menerima makan dan minum hasil titik peluhnya.  Biarlah rezeki sesuap nasi itu datangnya dari tulang empat kerat suaminya itu. 
Semenjak dia mendirikan rumahtangga dengan Borhan, suaminya itu tidak pernah bekerja.  Segala makan dan pakai ditanggung olehnya.  Namun dia bersyukur kerana Hasan memberikannya peluang untuk dia menjual nasi lemak.  Jika tidak, di manakah harus untuk dia mencari sesuap nasi? Ingin mengharapkan suaminya sehingga sekarang nafkah zahir tidak pernah dilaksanakan.
            “Kenapa dengan kau ni?  Macam ada yang tak kena je.  Kau ada masalah ke?”  Borhan mula bersuara memecah keheningan petang itu apabila terpandangkan Fatimah yang sentiasa merenung ke arahnya. 
Fatimah tidak segera menjawab malah pandangannya dilepaskan ke arah bendang.  Seolah-olah inginkan pengertian dari suaminya. Borhan yang tidak mengerti mencapai kuih seri muka yang sedia terhidang dan menjamahnya sedikit.  Anak matanya kemudian memandang ke arah Fatimah. Hati Fatimah masih lagi berdebar-debar dari tadi.  Perasaan takut masih bersarang di dalam dinding hatinya.
            “Kau ada duit?” 
Pertanyaan dari mulut Borhan membuatkan Fatimah tersentak.  Dia memandang ke arah Borhan.  Cuba mencari kepastian.  Borhan memandang tepat ke anak mata Fatimah. Fatimah kelu dengann kata-kata. Tidak cukupkah wang diberikannya semalam?  Wang yang diberikan memang cukup untuk mengenyangkan perut untuk sebulan.  Setakat menjual nasi lemak berapa sangatlah untung yang dia dapat.  Setakat untuk lepaskan rasa lapar pun sudah dikira beruntung. Ingin bermewah memang jauh sekali.  Setiap kali dia mendapat wang dari Hassan suaminya itu lebih dulu menuntut.
            “Semalam bukankah Timah dah berikan pada abang.  Takkan dah habis.  Abang buat apa dengan duit tu?” Borhan diam.  Dia masih lagi memandang keras ke  arah Fatimah.
            “Masih tak cukup lagikah?  Lima puluh ringgit bang.  Nilainya bukan sedikit.  Kenapa abang nak duit lagi?” Fatimah mula bersuara.
            “Kita bukannya berharta, bang.  Nak makan seharian pun kita tak mampu.  Abang nak buat apa dengan duit tu?”   Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Fatimah.  Walau bagaimana pun nada suaranya masih lagi dengan nada yang perlahan. 
            “Itu semalam.  Hari ni kau belum bagi lagi.  Kau jangan nak kedekut sangat.  Kalau cukup tak ada aku nak minta dengan kau.  Apalah bodoh sangat kau ni.  Berkahwin dengan kau bukan nak bagi senang aku.”
            “Abang, apa yang abang cakapkan ni? Timah tidak pernah berkira dengan abang.” 
“Dari dulu sampai sekarang selalu menyusahkan aku.  Bukan banyak yang aku nak.  Berapa yang kau ada kau bagi saja.  Esok lusa aku gantilah balik.”  Nada Borhan sedikit meninggi. Fatimah tunduk. Ada rasa sesal yang bertandang di hatinya.  Mengapakah suaminya itu tergamak berkata demikian.
Fatimah merenung ke arah suaminya.  Tidak tahu apakah yang perlu dia katakan. Ingin dituruti badan menjadi mangsa.  Meninggi suara pula ibarat menderhaka kepada suami.  Walaubagaimanapun sudah sekian lama dia berkahwin dengan Borhan selama itulah dia sering makan hati dengan perangai suaminya yang suka berjudi.  Keluar pagi, malam barulah pulang.  Itu pun dengan maki hamun dan cacian.  Kadang-kala air mata Fatimah bagaikan sudah kering bila mengenangkan untung nasibnya.  Gerbang perkahwinannya penuh dengan cabaran buat dirinya.  Kenangan manis tidak pernah singgah di ruang kehidupannya sekarang ini.
            “Maafkan Timah, bang.  Timah tak ada duit nak bagi pada abang sekarang.  Duit simpanan Timah semuanya dah berikan pada abang.  Yang ada pun tinggal untuk beli barang dapur.  Beras, gula, garam untuk nasi lemak nak juga dibeli.  Nanti kalau ada Timah bagilah pada abang.” Fatimah sedaya untuk memujuk suaminya itu.
            “Bukankah semalam Timah dah bagi abang lima puluh ringgit.  Takkan tak cukup lagi?  Berjimatlah sikit bang. Kita pun bukannya orang yang senang.”  Perlahan saja suara yang dilontarkan oleh Fatimah.  Cuba untuk menasihati suaminya itu.  Dia tunduk memerhatikan tikar mengkuang yang separuh abad itu. Tidak berani untuk dia bertentang mata dengan suaminya.
            “Siapa kau nak nasihatkan aku?  Suka hati akulah nak buat apa dengan duit tu. Yang kau bising-bising kenapa?  Nak merasa lagi pelempang aku?” 
Fatimah menggeleng.
“Sudah aku cakap tadi, nanti aku gantilah balik.  Yang kau takut sangat kenapa?  Mana duit untung jual nasi lemak semalam?  Mana kau letak?  Cakap!”  Merah mata Borhan membuatkan Fatimah takut untuk bertentang mata dengan suaminya. 
Hati Fatimah berbelah bagi.  Antara hidupnya dan juga kerakusan judi suaminya.  Di dalam genggamannya cuma ada tiga puluh sahaja.  Itu pun untuk membeli keperluan dapur.  Tapi andai kata duit itu tidak diberikan ke tangan suaminya sudah pasti dia akan ditampar atau diherdik. 
            “Maaf  bang, Timah tak dapat nak berikan apa abang.  Begini sajalah.  Semalam Tijah sudah beritahu dengan saya tentang bendang kita tu.  Dia ajak kita sama untuk menuai.”
            “Jadi maksud kau?”
“Timah rasa lebih baik abang menuai dulu.  Kalau ada rezeki lebih, bolehlah abang gunakan duit tu.  Timah boleh teruskan jual nasi lemak.  Macam mana fikiran abang?  Timah rasa sudah masanya abang bekerja.  Selama ini pun Timah yang menanggung makan pakai abang. Timah harap abang faham.”  Borhan mendengus keras mendengarkan cadangan dari Timah.  Pada Borhan, kerja tiada dalam kamus hidupnya.  Sebelum kahwin pun dia  hanya sekadar untuk mencuri perhatian dari Fatimah agar gadis pujaannya sanggup sehidup dan semati dengannya.
            “Malaslah aku.  Bukankah kau ada.  Apa yang susah sangat?  Pagi kau boleh jual nasi lemak, petang kau boleh turun ke bendang.” Ujar Borhan tegas. Kali ini dia pula yang member cadangan. 
“Pasal aku jangan kau bimbang.  Banyak lagi urusan yang aku nak buat di pekan sana.  Kau apa tahu?  Kalau setakat nak nasihatkan aku, lebih baik jangan nak berkahwin dengan aku.” Pandangan Borhan dilepaskan ke arah Fatimah.
  “Kau kena ingat.  Aku adalah suami kau.  Kau tak boleh ingkar dengan setiap apa yang aku arahkan.  Sekali lagi aku tanya mana  duit yang kau dapat semalam?  Sebelum tangan aku naik, bagi kau berikan.” Borhan sudah pun meninggikan suaranya. Panas baran Borhan memang sukar untuk dibendung.  Fatimah faham benar dengan perangai buruk suaminya itu. Fatimah terdiam.  Perlahan di bangkit menuju ke bilik.
            Fatimah menggenggam erat not sepuluh ringgit dua keping yang diperolehi dari Pak Hasan.  Hatinya sayu.  Dia buntu.  Ya Allah, apakah yang perlu kulakukan?  Dalam diam Fatimah menyorokkan sepuluh ringgit di bawah bantal.  Dia tidak mahu untuk berhutang lagi dengan Leha.  Dia malu, setiap kali dia ke kedai, dia akan berhutang. Dia tidak mahu setiap hutangnya dihitung dikemudian hari.  Fatimah kemudiannya  keluar menuju ke arah Borhan.  Dihulurkan dua puluh ringgit.  Namun Borhan kelihatan tidak puas hati.  Dia memandang tepat ke anak mata Fatimah untuk mencari kejujuran.
            “Takkan ini saja yang kau dapat?  Kau jangan nak tipu aku.  Mana lagi kau simpan duit hah?  Sudah aku beritahu dengan kau jangan nak tipu aku.  Kau nak merasa lagi penampar aku ni?” Borhan bangkit.  Matanya bertentang dengan Fatimah.   Fatimah tunduk.  Dia tidak tahan untuk bertentang mata dengan Borhan.  Setiap kali dia bertentang mata dengan Borhan hatinya sering kali berdebar kerana dia tahu, setiap renungan suaminya pasti akan berakhir dengan makian atau penampar di pipi.
            “Maaf bang, ini saja yang boleh saya berikan pada abang.  Semua simpanan Timah sudah pun Timah berikan pada abang.  Yang tinggal cuma dua puluh ringgit saja.  Abang ambillah.  Nanti kalau ada wang lebih Timah akan berikan pada abang.”  Fatimah cuba memujuk suaminya.  Borhan masih lagi tidak puas hati.  Dia tahu Fatimah cuba untuk berbohong.  Dari riak wajah Fatimah ianya telah mengambarkan segalanya.  Fatimah tidak pandai menipu. 
            “Aku tahu, kau tipu aku.  Aku sudah cakap tadikan, jangan nak tipu aku.  Aku tahu kau ada simpan wang di dalam.  Cepat!  Bagi aku semuanya!”  Herdik Borhan. Fatimah tersentak.  Fatimah kaget bila Borhan mula bertindak kasar.  Ditariknya tangan Fatimah keras menuju ke bilik. 
            “Timah cakap yang betul, bang.  Ini saja yang Timah ada.  Tolonglah bang.  Janganlah buat Timah macam ni.  Abang…  nanti kalau ada Timah berikanlah pada abang.  Timah merayu pada abang.  Tolonglah bang.  Sakit bang.” Fatimah mula merayu.  Namun Borhan tidak mengendahkan rayuan tersebut sebaliknya menghempaskan tubuh Fatimah ke atas katil.
            “Tahu pula kau sakit.  Kalau tak nak sakit, cepat beritahu aku mana kau simpan duit hah?!”  Tanya Borhan sambil menyelongkar almari baju.  Borhan hampa.  Tiada sesen pun di dalam almari tersebut. 
Sekali lagi soalan yang sama ditanyakan kepada Fatimah.  Fatimah menggeleng.  Borhan kemudiannya menuju ke katil.  Sarung bantal di buka dan dicampakkan ke bawah.  Ternyata Fatimah terkejut apabila wang yang disimpannya terjatuh di atas lantai.  Borhan tersenyum apabila terlihatkan not sepuluh ringgit di kakinya.
            “Dari tadi aku tahu kau tipu aku.  Sekarang ni aku tanya, ada lagi tak kau sorokkan duit?  Cepat!  Cari!”  Jerkah Borhan.  Dia masih belum berpuas hati dengan apa yang diperolehinya.  Tabiat berjudi kian beratapak di hati hitamnya.  Fatimah menangis dengan rintihan yang tiada kesudahan.  Hatinya remuk dan hancur mengenangkan perangai suaminya.
            “Sudah tak ada lagi, bang.  Ini saja yang Timah ada.  Timah minta maaf  bang.  Bukan niat Timah untuk menipu abang.  Duit ini sajalah buat Timah beli barang keperluan dapur.”
            “Arghhh.”
“Timah merayu pada abang.  Tolonglah berikan duit itu semula bang.  Timah dah malu untuk berhutang dengan Leha bang.”  Rayu Fatimah dalam tangisan.  Dia tahu, walau dia mengalir air mata darah sekali pun, duit di dalam genggaman Borhan tidak akan diperolehinya semula.  Pang!  Fatimah tersungkur.  Dia meraba pipi kanannya.  Dia pasrah.  Dia menangis teresak-esak dalam keperitan diri yang masih belum berakhir. 
            Borhan meninggalkan Fatimah seorang diri tanpa pesan.  Dicapainya baju kemeja yang tersangkut di belakang pintu.  Dia segera menghidupkan motor buruk kesayangannya.  Dalam tidak berapa lama dia sudah meninggalkan halaman rumahnya.  Yang pasti hatinya tiada lagi di rumah kecuali di meja judi.  Wajah Ah Meng, Yazid, Maniam dan beberapa orang lagi rakannya menjadi santapan ruangan mata.  Tinggallah Fatimah melayani perasaan pilu yang tidak pernah terucap.
            Malam itu, pukul 12 tengahmalam barulah Borhan menampakkan wajanya yang bengis itu.. Dengan tiada rasa bersalah dalam diri, Borhan terus ke dapur melihatkan hidangan yang ada.  Namun, dalam sekelip mata angin Borhan mula naik.  Yang ada cuma  tudung saji yang kosong!  Perutnya yang lapar sejak tadi menjadi kenyang.  Dengan amarah yang bertapak di hati wajah Fatimah mula dicari.
            “Bertuah punya betina.  Bukan nak siapkan makan minum aku, dia sibuk membuta dalam ni.  Hey!  Perempuan.  Bangun!  Kau tak ada kerja lain ke selain nak membuta.  Dari tadi apa yang kau buat hah!”  Tengking Borhan.  Suara lantang milik suaminya membuatkan Fatimah terjaga. 
            “Mana nasi?  Mana lauk?”  Rambut Fatimah menjadi mangsa.  Sekali lagi, Fatimah merayu.  Minta dilepaskan. 
            “Tolonglah abang.  Jangan buat Timah macam ni.  Beras dan lauk semuanya habis.  Lauk tengahari pun dah tak ada lagi.  Nasi lemak untuk esok pun saya tak boleh sediakan.  Timah minta ampun bang.”  Rayuan Fatimah itu sedikit pun tiada mengundang rasa kasihan di hati Borhan.  Sebaliknya tangan panas Borhan singgah di pipi kanan Fatimah.  Fatimah tersungkur.  Dia meraba pipinya yang sakit.  Dia mengalirkan air mata namun tiada sedikit pun rasa kasihan di hati Borhan. Bagaikan air mata itu tiada erti dalam hati dan naluri lelakinya.
            “Dah tahu  semuanya dah habis, takkan  tak pergi beli.  Habis apa guna kedai tu kalau tak boleh nak membeli.  Takkan nak buat perhiasan je.  Kau dengar sini, sekali kali kau buat macam ni, lagi teruk aku kerjakan kau.  Faham!” Borhan melepaskan Fatimah sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Fatimah yang tidak terurus itu.
            “Timah minta maaf bang.  Bukan Timah tak nak beli, tapi Timah tak ada duit.  Hutang Timah dengan Leha pun dah banyak.  Nanti Timah takut dia tak nak beri hutang lagi.  Hutang lama pun tak habis bayar lagi bang.” Luah Fatimah dalam sendunya.  Borhan seoalah-olah tidak memahami akan kata-kata isterinya.

            “Itu aku tak peduli.  Tugas kau adalah menjaga makan minum aku.  Bukan nak jaga tepi kain aku.  Habis kau nak suruh aku buat apa?  Nak bagi balik duit yang sudah kau berikan tadi?  Sudah aku habiskan.  Jangan kau nak tanya lagi.”  Borhan berlalu.  Dia akhirnya membentang tikar di ruang tamu.  Dan Fatimah hanya menjadi pemerhati dan dihatinya tidak pernah berhenti berdoa agar suaminya berubah.  Walau itu hanyalah satu mimpi yang akan tinggal satu impian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page