Tiga Jodoh -Teaser 3 Hani dan Daniel

Teratak pena | 2:08 PM | Be the first to comment!

PUAN SIAH dan keluarganya sudah sampai ke rumah Suraya.  Betapa riang hati Mak Temah apabila menerima kunjungan keluarga itu.  Manis mulut Mak Temah mengajak Puan Siah sekeluarga masuk ke rumah.  Puan Siah sekeluarga juga merasa senang dengan keramahan Mak Temah itu.

 “Terima kasihlah sebab bertandang rumah kak Temah ni.”  Sengih Mak Temah sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Daniel yang segak berbaju t-shirt ungu dan berseluar jeans.  Boleh tahan juga budak ni.  Bisik hati Mak Temah.

 “Yang ini, anak ke?” Tunding Mak Temah pada Daniel.

 “Yang ini anak sulung saya, kak. Namanya Daniel.”

 “Ooh... kenapa datang tak bawa isteri?”

 “Macam mana nak ada isteri kak, kalau tak kahwin lagi.” Jawab Puan Siah dalam tawa.  

 “Kerja apa anak ni?”

 Belum sempat Puan Siah menjawab, Daniel sudah menyampuk dulu.
 “Kerja driver aje, makcik.”  

Eleh!  Driver ke?  Panjang muncung Mak Temah bila mendengar status pekerjaan Daniel.  Puan Siah memandang geram wajah Daniel.  Dia dapat melihat perubahan pada wajah Mak Temah. Sementara Daniel pula cuma mempamerkan wajah yang selamba sambil tersengih.

 Risau pula hati Mak Temah kalau kedatangan Puan Siah menyimpan hajat untuk meminang anaknya.  Apa kelas nak kahwin dengan driver.

 “Driver low class je makcik.  Bolehlah kais pagi makan pagi, kais malam makan malam.”  

Daniel mula berani bersuara.  Geli hati pula dia melihat wajah Mak Temah yang sudah tidak senang hati.  Sarah berpaling memandang Daniel.  Jelingannya seribu makna.  Ada juga kena bebel dengan umi dalam kereta nanti.  

 “Ya ke? Suraya pun tak lama lagi dah nak bertunang dah.”  

Sarah memandang Daniel.  Ini apa cerita pula?  Tiba-tiba sebut pasal tunang?

 “Ya ke, makcik?  Suraya tak beritahu pun yang dia nak tunang.”  Tanya Sarah dalam keadaan terkejut.  Setiap hari dia berjumpa dengan Suraya, tetapi tak ada pula Suraya bercerita tentang dia nak bertunang.  

 “Ala… baru semalam pihak lelaki masuk meminang.  Dia kerja gaji besar, rumah pun besar. Maaflah, Daniel terlambat sikit.”  Sengih Mak Temah.
  
Daniel tersedak.  Wajah uminya dipandang terkejut.  Ini mesti Mak Temah ingat keluarganya nak pinang anak dara dia.  Namun pandangan terkejut Daniel tu dibalas dengan senyuman manis Puan Siah.  

 “Kami ni singgah sebab Suraya kenal dengan Sarah.  Saja je kami nak singgah sebab nak berkenalan dengan keluarga Suraya.  Kami tak ada niat apa-apa pun.”  Terang Puan Siah.  

 “Fuh!  Nasib baik.  Kalau tidak, memang tak makanlah anak aku nanti.” Bebel Mak Temah perlahan.  

 “Apa dia kak?”

 “Err... tak ada apa, cuma kami ni sebenarnya nak keluar. Ada hal sikit.” 

Puan Siah mengangguk.  “Kami mengganggu Kak Temah sekeluarga ke?  Maaflah kalau datang tak beritahu.  Kami pun tak boleh singgah lama.  Nak ke rumah keluarga Hani pulak.”  

Mak Temah mengurut dada.  Lega mendengar rancangan Puan Siah. Fuh!  Selamat aku.  

 Perbualan dengan Puan Siah antara nak dengan tidak sahaja.  Hati Mak Temah mula berdoa agar keluarga Sarah cepat-cepat beredar.  Melihat perubahan layanan Mak Temah, akhirnya Puan Siah mengalah.  Dia kemudiannya meminta izin untuk pulang.  

 Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta, Puan Siah memandang Daniel.  Betapa dia terasa ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada anaknya itu.  Daniel telah membuatkan dia ‘lebih kenal’ akan keluarga Suraya.  Lebih-lebih lagi ketika Mak Temah tahu yang Daniel bekerja sebagai driver. Automatik layanan yang diterima selepas itu seperti terpaksa sahaja. 

 “Umi nampak, kan?  Bila sebut driver je, terus muncung sedepa mak si Suraya tu.  Dia layan kita pun nak tak nak aje.  Kalau Daniel bagitahu Daniel kerja tukang sapu, entah-entah dia dah halau kita keluar tadi. Daniel nak cari isteri, umi.  Bukannya bini.”

Puan Siah terdiam mendengar kata-kata Daniel. Fikirannya melayang sehingga dia tidak sedar mereka sudah sampai ke rumah Mak Senah.  Sarah yang menaiki kereta lain bersama suaminya, terus keluar dari perut kereta dan memberi salam.  Tidak sabar rasanya untuk dia memperkenalkan keluarganya kepada keluarga Hani. 

 “Eh, dah sampai pun tetamu kita.  Jemputlah masuk.”  Ajak Mak Senah dengan penuh senyuman.  

 Puan Siah melangkah anak tangga dan bersalam dengan Mak Senah.  Kemudian diikuti Sarah dari belakang. Encik Hamdan, Daniel dan Aidil sekadar memberikan senyuman. Mereka melangkah masuk bersama-sama dan bersila di atas tikar.  

 “Maaflah, rumah kecil je.”  Mak Senah merendah diri.

 “Ala... tak apa kak.  Janji ada tempat berlindung.”  

 “Terima kasihlah sebab sudi datang rumah ni.  Hani pesan banyak kali dengan akak yang Puan Siah…”

 “Tak payah nak puan sangat kak.  Panggil Siah je. Memang saya ada beritahu dengan Hani yang kami nak datang. Kebetulan kami ni nak ke Batu Pahat, nak kenalkan menantu kami ni.”  Puan Siah menunding ibu jarinya ke arah Aidil.  Aidil hanya sekadar tersenyum. 

 “Ini Daniel, kan?” Tanya Mak Senah ramah.  Dia cuma bertemu dengan Daniel hanya sekali namun dia masih dapat mengingati wajah itu.

 “Sayalah makcik.”  Sambut Daniel.

 “Hari tu pun jumpa tak sempat nak borak sangat.  Kalut nak jumpa kawan.”  

Daniel mengangguk sambil tersenyum. “Makcik tak nak tanya kerja saya ke?” 

Aidil menyiku Daniel.  Hai, dia ni agak-agaklah.  Ini namanya berani tak kena tempat.  Puan Siah menjeling tajam. Geram pula dia dengan Daniel yang ‘terlebih’ ramah itu.

 “Ala… makcik dah tahu.  Hani ada kata yang Daniel kerja driver.  Kenapa?”  
Daniel terkejut.  Tidak sangka Mak Senah tahu tentang perkara tersebut.  

 “Kak Senah tahu?” Tanya Puan Siah.

 “Hani ada cerita yang abang Sarah kerja driver.  Siah sekeluarga pun baik dengan dia.  Tak apa Daniel, kerja apa pun, yang penting itu berkat.  Lagi pun kerja halal. Tak payah nak segan.” Ujar Mak Senah. 

Daniel tersenyum mendengar kata-kata Mak Senah.  Dia tunduk sambil mengangguk dengan senyuman terlorek di bibirnya. Puan Siah sempat melihat gelagat Daniel.  Dia juga turut tersenyum penuh makna.

 “Hani mana Kak Senah?”  Tanya Puan Siah dengan pandangan yang meliar.

 “Ada kat dapur, tengah tolong kakak dia memasak. Dah alang-alang sampai ni, makan rumah akak jelah ya.”
  
 “Tak payah kak.  Kami dah makan tadi dah.” Tolak Puan Siah lembut.

 “Akak masak banyak tu.  Dah, makan sini sebelum pergi.  Sayang kalau tak ada siapa nak makan nanti.  Duduk dulu, akak siapkan semua.”  Mak Senah berlalu meninggalkan keluarga itu seketika. 

 Melihat Mak Senah berlalu ke dapur, Daniel bangkit dan duduk di samping ibunya.  Puan Siah memandang pelik dengan gelagat Daniel itu. Kelihatan Daniel seperti ada sesuatu yang ingin dikatakan pada Puan Siah dan Encik Hamdan.

 “Kamu dah kenapa ni Daniel?”

 “Umi, nak cakap sikit kat luar. Dengan abah sekali.” Pinta Daniel.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page