Novel KESUMA JIWA Terbitan CUTE Publication November 2017

Teratak pena | 10:57 PM | Be the first to comment!


Al-hamdulillah.... 

Syukur kepada Allah.  Novel saya yang ke-3 untuk tahun ini (2017)  telah pun berjay diterbitkan di bawah Cute Publication.  Buat masa sekarang ini, Pre order dibuka sehingga hujung November.  Novel ini akan keluar bersama-sama dengan Novel Serakah oleh penulis Yin Yen.  Rasa tidak percaya, untuk tahun ini 3 novel telah berjaya diterbitkan.  Terharu?  Saya speechless sebenarnya.  Dan saya benar-benar bersyukur kepada Allah.  

Okey, novel untuk kali ini lebih santai dan penuh dengan lawak jenaka.  Heronya pun budak kampung.  Tak ada cerita pasal CEO atau anak orang kaya.  Tak percaya?  Boleh baca teaser di bawah ni. 

HARGA BUKU : RM 40.00 Termasuk Pos. 
Sebarang pertanyaan boleh terus ke CUTE Publication atau Penerbitan CUTE untuk pesanan.  Kalau nak kombo pun boleh.  Kalau Kombo RM 68.00

Jom layan sikit cerita yang bak kata EDITOR saya cerita sengal. he...he...he...

“Mak juga suruh Jiwa kahwin. Kata suruh dengar cakap mak.”

“Yelah, bab kahwin kamu telan semuanya apa yang mak cakap. Tapi kalau nak suruh kerja, alasan kamu dah macam gerabak keretapi.” Jiwa tersenyum. Alahai mak aku ni. Makin marah makin comel pulak.

“Mak ni, janganlah cakap kuat sangat. Kalau orang kampung dengar, malu Jiwa nanti.”

“Ha, eloklah tu. Kalau nak ikutkan hati mak ni, mahu mak jerit satu kampung ‘anak teruna aku malas kerja’.”

“Nanti mak juga dapat malu.”

“Baguslah, tak ada kamu tu memujuk mak masuk meminang si Juwita tu.”

“Yelah….yelah…. Jiwa pergilah tolong abah ni.” Jiwa bangkit dari katil sambil menggosok matanya berkali-kali. Sesekali dia memandang kepada ibunya, Mak Kiah. Hai, mak ni sekali pandang macam Marilyn Monroe. Tapi dua kali tengok dah macam Tina Turner pulak. Eh, walau macam mana pun, mak memang tetap win. You're simply the best better than all the rest better than anyone…. Haish! Best juga layan lagu Tina Turner ni. Aw! Okey! Masa untuk mandi! Jiwa terus berlalu meninggalkan biliknya dan menuju ke dapur untuk ke bilik mandi. Sempat dia menggeluh perlahan. Ah, malasnya nak pergi kebun.

Mak Kiah menggelengkan kepala. Dia mengeluh sambil menurunkan lengan bajunya. Tadi saja dia menaikkan lengan bajunya kalau Jiwa tidak bangun. Boleh juga dia bagi satu atau dua smack down. Baru dia tahu penangannya macam mana. Pening juga dia dengan perangai anak bujang trang tang tang yang seorang ni. Agaknya terlebih minum susu lembu sebab itu liat nak dengar cakap orang. Nasib baik seorang. Kalau 10 orang, mahu berkedut awal pada muka ni.

“Jiwa!!!” Laung Mak Kiah sambil mencapai selimut anak bujangnya.

“Selimut ni basuh!” Jerit Mak Kiah lagi.

“Maklah basuh. Mak basuh wangi.” Sambut Jiwa yang sudah hampir melangkah ke anak tangga terakhir untuk menuju ke dapur.

“Eh, bertuah punya budak. Aku suruh dia, aku balik yang kena suruh.” Bebel Mak Kiah menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Dalam erti kata dia membebel, selimut Jiwa itu dibawa juga ke bilik air.

Sampai sahaja di pintu bilik air, Mak Kiah bercekak pinggang. Pintu bilik air berkunci. Namun dia masih lagi belum mendengar bunyi air dari dalam. Sah, si Jiwa ni tengah berangan. Mak Kiah bercekak pinggang dengan selimut yang masih di tangan. Dia mengetuk pintu bilik supaya Jiwa mengambil selimutnya, namun tiada suara. Hai, tidur balik ke budak bertuah ni?

“Jiwa, buka pintu. Ambil kain selimut ni. Basuh kejap. Dah macam roti kirai dah mak tengok. Warna pun dah macam belacan. Belacan pun cantik lagi warna dia.” Bebel Mak Kiah di depan pintu. Senyap. Hai, bernyawa ke tidak anak aku ni?

“Jiwa! Mak buat lap kaki tau kain selimut busuk kamu ni.” Jerit Mak Kiah lagi. Sepantas kilat pintu bilik air itu terbuka. Cuma wajah Jiwa sahaja yang terpacul.

“Mak ni kan, Jiwa baru je nak simpan tenaga nak tolong abah mak dah suruh Jiwa basuh kain. Orang potong masa tolong abah baru mak tahu.” Ujar Jiwa dengan wajah yang tidak bersalahnya.


“Yelah tu Jiwa. Nanti mak bagi tahu ya dengan abah kamu. Kamu tu pun mak suruh potong upah kamu. Dah, melayan kamu ni semua kerja mak tak siap. Macam mana? Ada berani nak bayar upah masa mak mengejutkan kamu?” Jiwa menggarukan kepala. Hai, mak aku ni. Pandai juga nak mengenakan orang. Jiwa kalau dengan emaknya memang dia kalah. Dia tidak boleh nak lawan emaknya itu. Lagi pun kalau lawan tak bau syurga pula nanti.

Tiga Jodoh -Teaser 3 Hani dan Daniel

Teratak pena | 2:08 PM | Be the first to comment!

PUAN SIAH dan keluarganya sudah sampai ke rumah Suraya.  Betapa riang hati Mak Temah apabila menerima kunjungan keluarga itu.  Manis mulut Mak Temah mengajak Puan Siah sekeluarga masuk ke rumah.  Puan Siah sekeluarga juga merasa senang dengan keramahan Mak Temah itu.

 “Terima kasihlah sebab bertandang rumah kak Temah ni.”  Sengih Mak Temah sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Daniel yang segak berbaju t-shirt ungu dan berseluar jeans.  Boleh tahan juga budak ni.  Bisik hati Mak Temah.

 “Yang ini, anak ke?” Tunding Mak Temah pada Daniel.

 “Yang ini anak sulung saya, kak. Namanya Daniel.”

 “Ooh... kenapa datang tak bawa isteri?”

 “Macam mana nak ada isteri kak, kalau tak kahwin lagi.” Jawab Puan Siah dalam tawa.  

 “Kerja apa anak ni?”

 Belum sempat Puan Siah menjawab, Daniel sudah menyampuk dulu.
 “Kerja driver aje, makcik.”  

Eleh!  Driver ke?  Panjang muncung Mak Temah bila mendengar status pekerjaan Daniel.  Puan Siah memandang geram wajah Daniel.  Dia dapat melihat perubahan pada wajah Mak Temah. Sementara Daniel pula cuma mempamerkan wajah yang selamba sambil tersengih.

 Risau pula hati Mak Temah kalau kedatangan Puan Siah menyimpan hajat untuk meminang anaknya.  Apa kelas nak kahwin dengan driver.

 “Driver low class je makcik.  Bolehlah kais pagi makan pagi, kais malam makan malam.”  

Daniel mula berani bersuara.  Geli hati pula dia melihat wajah Mak Temah yang sudah tidak senang hati.  Sarah berpaling memandang Daniel.  Jelingannya seribu makna.  Ada juga kena bebel dengan umi dalam kereta nanti.  

 “Ya ke? Suraya pun tak lama lagi dah nak bertunang dah.”  

Sarah memandang Daniel.  Ini apa cerita pula?  Tiba-tiba sebut pasal tunang?

 “Ya ke, makcik?  Suraya tak beritahu pun yang dia nak tunang.”  Tanya Sarah dalam keadaan terkejut.  Setiap hari dia berjumpa dengan Suraya, tetapi tak ada pula Suraya bercerita tentang dia nak bertunang.  

 “Ala… baru semalam pihak lelaki masuk meminang.  Dia kerja gaji besar, rumah pun besar. Maaflah, Daniel terlambat sikit.”  Sengih Mak Temah.
  
Daniel tersedak.  Wajah uminya dipandang terkejut.  Ini mesti Mak Temah ingat keluarganya nak pinang anak dara dia.  Namun pandangan terkejut Daniel tu dibalas dengan senyuman manis Puan Siah.  

 “Kami ni singgah sebab Suraya kenal dengan Sarah.  Saja je kami nak singgah sebab nak berkenalan dengan keluarga Suraya.  Kami tak ada niat apa-apa pun.”  Terang Puan Siah.  

 “Fuh!  Nasib baik.  Kalau tidak, memang tak makanlah anak aku nanti.” Bebel Mak Temah perlahan.  

 “Apa dia kak?”

 “Err... tak ada apa, cuma kami ni sebenarnya nak keluar. Ada hal sikit.” 

Puan Siah mengangguk.  “Kami mengganggu Kak Temah sekeluarga ke?  Maaflah kalau datang tak beritahu.  Kami pun tak boleh singgah lama.  Nak ke rumah keluarga Hani pulak.”  

Mak Temah mengurut dada.  Lega mendengar rancangan Puan Siah. Fuh!  Selamat aku.  

 Perbualan dengan Puan Siah antara nak dengan tidak sahaja.  Hati Mak Temah mula berdoa agar keluarga Sarah cepat-cepat beredar.  Melihat perubahan layanan Mak Temah, akhirnya Puan Siah mengalah.  Dia kemudiannya meminta izin untuk pulang.  

 Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta, Puan Siah memandang Daniel.  Betapa dia terasa ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada anaknya itu.  Daniel telah membuatkan dia ‘lebih kenal’ akan keluarga Suraya.  Lebih-lebih lagi ketika Mak Temah tahu yang Daniel bekerja sebagai driver. Automatik layanan yang diterima selepas itu seperti terpaksa sahaja. 

 “Umi nampak, kan?  Bila sebut driver je, terus muncung sedepa mak si Suraya tu.  Dia layan kita pun nak tak nak aje.  Kalau Daniel bagitahu Daniel kerja tukang sapu, entah-entah dia dah halau kita keluar tadi. Daniel nak cari isteri, umi.  Bukannya bini.”

Puan Siah terdiam mendengar kata-kata Daniel. Fikirannya melayang sehingga dia tidak sedar mereka sudah sampai ke rumah Mak Senah.  Sarah yang menaiki kereta lain bersama suaminya, terus keluar dari perut kereta dan memberi salam.  Tidak sabar rasanya untuk dia memperkenalkan keluarganya kepada keluarga Hani. 

 “Eh, dah sampai pun tetamu kita.  Jemputlah masuk.”  Ajak Mak Senah dengan penuh senyuman.  

 Puan Siah melangkah anak tangga dan bersalam dengan Mak Senah.  Kemudian diikuti Sarah dari belakang. Encik Hamdan, Daniel dan Aidil sekadar memberikan senyuman. Mereka melangkah masuk bersama-sama dan bersila di atas tikar.  

 “Maaflah, rumah kecil je.”  Mak Senah merendah diri.

 “Ala... tak apa kak.  Janji ada tempat berlindung.”  

 “Terima kasihlah sebab sudi datang rumah ni.  Hani pesan banyak kali dengan akak yang Puan Siah…”

 “Tak payah nak puan sangat kak.  Panggil Siah je. Memang saya ada beritahu dengan Hani yang kami nak datang. Kebetulan kami ni nak ke Batu Pahat, nak kenalkan menantu kami ni.”  Puan Siah menunding ibu jarinya ke arah Aidil.  Aidil hanya sekadar tersenyum. 

 “Ini Daniel, kan?” Tanya Mak Senah ramah.  Dia cuma bertemu dengan Daniel hanya sekali namun dia masih dapat mengingati wajah itu.

 “Sayalah makcik.”  Sambut Daniel.

 “Hari tu pun jumpa tak sempat nak borak sangat.  Kalut nak jumpa kawan.”  

Daniel mengangguk sambil tersenyum. “Makcik tak nak tanya kerja saya ke?” 

Aidil menyiku Daniel.  Hai, dia ni agak-agaklah.  Ini namanya berani tak kena tempat.  Puan Siah menjeling tajam. Geram pula dia dengan Daniel yang ‘terlebih’ ramah itu.

 “Ala… makcik dah tahu.  Hani ada kata yang Daniel kerja driver.  Kenapa?”  
Daniel terkejut.  Tidak sangka Mak Senah tahu tentang perkara tersebut.  

 “Kak Senah tahu?” Tanya Puan Siah.

 “Hani ada cerita yang abang Sarah kerja driver.  Siah sekeluarga pun baik dengan dia.  Tak apa Daniel, kerja apa pun, yang penting itu berkat.  Lagi pun kerja halal. Tak payah nak segan.” Ujar Mak Senah. 

Daniel tersenyum mendengar kata-kata Mak Senah.  Dia tunduk sambil mengangguk dengan senyuman terlorek di bibirnya. Puan Siah sempat melihat gelagat Daniel.  Dia juga turut tersenyum penuh makna.

 “Hani mana Kak Senah?”  Tanya Puan Siah dengan pandangan yang meliar.

 “Ada kat dapur, tengah tolong kakak dia memasak. Dah alang-alang sampai ni, makan rumah akak jelah ya.”
  
 “Tak payah kak.  Kami dah makan tadi dah.” Tolak Puan Siah lembut.

 “Akak masak banyak tu.  Dah, makan sini sebelum pergi.  Sayang kalau tak ada siapa nak makan nanti.  Duduk dulu, akak siapkan semua.”  Mak Senah berlalu meninggalkan keluarga itu seketika. 

 Melihat Mak Senah berlalu ke dapur, Daniel bangkit dan duduk di samping ibunya.  Puan Siah memandang pelik dengan gelagat Daniel itu. Kelihatan Daniel seperti ada sesuatu yang ingin dikatakan pada Puan Siah dan Encik Hamdan.

 “Kamu dah kenapa ni Daniel?”

 “Umi, nak cakap sikit kat luar. Dengan abah sekali.” Pinta Daniel.

Enekdot Cik Ponti dan Encik Pocho - Cerita 6

Teratak pena | 3:09 PM | Be the first to comment!

Ketika malam bulan mengambang, Cik Ponti dan Encik Pocho seperti biasa bertenggek di dahan pokok sena yang besar sambil memandang ke langit.
"Pocho.... kalau aku jadi bulan kau nak jadi apa? "
" Biarlah aku jadi langit. Selalu ada dengan kau. "
" Kalau aku jadi pokok? "
" Aku akan jadi tanah untuk sokong kau. "
" Kalau aku jadi hantu? "
" Aku jadi matahari. Biar kau terbakar. Tak payah kalau jadi hantulah ponti. Kau dah memang hantu pun. " Encik Pocho gelak besar.

Tidak lama kemudian kedengaran Encik Pocho menjerit apabila ditolak sekali lagi oleh Cik Ponti

Cerpen: RENDANG HATI LADA HITAM

Teratak pena | 9:17 PM | 1 Comment so far

Rendang Hati Lada Hitam

            Nek Piah merenung ke luar jendela sambil termenung panjang.  Curahan air hujan di malam itu bagaikan hujan di dalam hatinya.  Walau pun air matanya sudah kering namun di dalam hatinya sering kali merintih.  Bukan satu jangka masa yang pendek dia merindui akan segalanya.  Doanya tidak pernah putus agar kebahagiaan akan dapat dikecapi walau pun hanya seketika. Sudah cukup dia menderita selama ini.  Sudah cukuplah air matanya tumpah dengan kerinduan yang masih lagi belum terlerai.
            Nek Piah berkalih sedikit.  Lenguh pula dia bersimpuh terlalu lama.  Ingatannya tidak pernah terlepas dari arwah suaminya dan juga Sarah anak perempuannya yang sudah lama tidak bersua muka.  Sudah tiga puluh tahun Sarah meninggalkannya tanpa sebarang berita.  Entah hidup atau mati.  Hatinya sering kali mendoakan kesejahteraan anaknya itu.  Tipulah kalau dia tidak rindu dengan anaknya.  Hati seorang ibu, berapa lamalah boleh bertahan marahnya itu.  Sudah lama dia memaafkan Sarah dan dia yakin yang anaknya itu juga merindui akan dirinya. 
            ‘Sarah…. Pulanglah nak.  Mak rindukan kamu….’
            Nek Piah tersentak apabila mendengarkan suara orang memberi salam.  Dengan perlahan dia bangkit dan menuju ke pintu.  Terus rasa sedihnya bertukar dengan senyuman apabila melihatkan wajah yang memenuhi ruang matanya.
            “Nek…” Nek Piah tersenyum meleret melihatkan Mastura yang sudah tegak berdiri di halaman rumah.  Mastura, itulah gadis yang menjadi tempat dia menumpang  kasih dan manja.  Anak itu sudah pun dianggap seperti cucunya sendiri.
            “La…. Mas.  Nenek ingatkan siapa tadi.  Dalam hujan kamu datang, Mas.” 
            “Nenek tak nak jemput Mas masuk ke?  sejuk ni.”
            “Eh, masuklah.  Kamu ni macam tak biasa pulak.”  Mastura melangkah masuk dan bersalam dengan Nek Piah.  Apabila melihatkan wajah Nek Piah yang muram dan suram itu membuatkan Mastura berkerut dahi seribu. 
            “Kenapa muka nenek tu?  Macam ada orang masalah je.”
            “Hish!  Mana ada.  Nenek tak ada apa-apa.”  Bohong Nek Piah.  Sudah cukup dia menyusahkan Mastura dengan cerita dan harapan yang mungkin tidak akan menjadi satu kenyataan.
            “Nenek…. Jangan nak tipu Mas tau.  Sekilas wajah nenek tu, Mas tahu yang nenek ada masalah.  Mas bukannya kenal dengan nenek sehari dua.”
            “Ye…. Nenek tak ada apa-apa.  Mas tu yang fikirkan yang bukan-bukan.” 
            Mastura mengeluh.  “Itu yang malas nak tinggalkan nenek sorang-sorang.  Kerja berangan aje nenek ni.”
            Nek Piah ketawa.  Tehibur dia  dengan usikan Mastura itu.  Namun di dalam hatinya masih lagi bersisa rasa sedih yang dari tadi sudah mula bertandang.
            “Ada apa Mas datang ni?” Nek Piah mula mengubah tajuk.  Tidak mahu terus disoal jawab dengan Mastura.
            “Nak temankan nenek tidurlah.  Nenek tu, termenung sana termenung sini apa yang okeynya.  Ini mesti nenek ada ingatkan apa-apa ni.  Kalau tidak, nenek tak adalah termenung panjang kat jendela tu.”  Nek Piah tersenyum kecil. Hai, macam tahu sahaja apa yag terdetik dihatinya.
            “Kamu ni Mas, ada-ada sajalah.”
            “Yelah…. Kesian dengan nenek sorang-sorang.”
            Nek Piah tersenyum dan mengangguk.  Mastura anak jiran disebelah rumahnya yang sudah dianggap sebagai cucunya sendiri.  Mastura lah tempat dia meluahkan segala rasa kasih dan sayang.  Mastura juga lah penemannya sewaktu dia susah dan senang.
            “Ala Mas, nenek dah biasa sorang-sorang.  Dah nasib nenek macam ni.”  Terbit rasa kasihan di lubuk hati Mastura. 
            “Dah, nenek jangan nak fikir banyak.  Nanti sakit datang balik susah nanti.  Apa yang penting sekarang ni nenek kena berehat cukup-cukup.  Demam tu baru je nak kebah.” Pujuk Mastura lembut.
            “Kamu ni Mas, kan nenek dah kata yang nenek ni tak ada apa-apa.  Tak payahlah risaukan sangat pasal nenek ni.” 
            “Nek, kesihatan tu kena jaga juga.  Kalau nenek sakit macam mana nak jumpa dengan anak nenek tu.  Bukan ke nenek nak jumpa dengan anak nenek.”  Nek Piah memandang kepada Mastura.  Pelik dengan anak gadis itu yang tahu apa yang terbuku di ruang hatinya.
            Nek Piah mengeluh perlahan seolah menangisi akan apa yang terjadi terhadap dirinya. 
            “Nek, Mas yakin yang anak nenek akan balik semula ke pangkuan nenek.  Nenek banyak-banyak doa ye.” 
            “Nenek pun harap macam tu juga, Mas.  Dah lama nenek tak jumpa dan beraya dengan dia.  Dah lama juga dia tak merasa rendang hati lada hitam nenek.  Nenek nak sangat nak makan sama-sama dengan dia rendang yang nenek buatkan untuk dia.”
            “Erm…. Rendang hati lada hitam…. Siapa yang boleh lawan rendang nenek yang tip top tu.”  Terbayang pula rendang hati lada hitam penangan Nek Piah.  Hai, Nek Piah ni.  Masa inilah dia ingatkan tentang rendang tu.
            “Ala…. Mas pun dah pandai buat, kan?”
            “Tapi tak sama dengan nenek buat.  Nenek buat lagi sedap.”  Puji Mastura ikhlas.
            Nek Piah tersenyum.  Kembang pula hatinya dengan pujian dari Mastura itu.  Ingatannya segera kepada Sarah.  Anaknya itu suka dengan rendang hati lada hitam hasil dari air tangannya.  Setiap tahun bila tibanya hari raya, hidangan itulah yang sering dinantikan oleh Sarah.  Semenjak Sarah meninggalkan kampung 30 tahun lalu, setiap tahun Nek Piah akan menyediakan rendang hati lada hitam kerana dia yakin yang Sarah akan pulang kepangkuannya.  Setiap tahun juga Nek Piah berharap pertemuan itu akan terjadi.
            Nek Piah tahu, rajuk seorang ibu dan anak tidak akan berpanjang.  Dia tahu Sarah keluar dari kampung kerana mengikutkan perasaannya yang panas.  Seorang remaja yang penuh dengan impian dan harapan sanggup mengenepikan hati seorang ibu pada suatu masa dulu membuatkan hatinya sedih dan sakit.  Namun lama-lama kelamaan rasa sakit dan sedih itu kemudiannya bertukar kepada rasa rindu yang amat sangat. 
            “Nenek,”  Nek Piah tersentak.  Wajah manis Mastura ditatap. 
            “Tengok tu.  Termenung lagi.” Usik Mastura lagi.
            “Dah, jom masuk tidur.  Dah malam ni.”  Ajak Nek Piah tersenyum. 
            Mastura akur.  Dia kemudiannya memeluk erat Nek Piah sambil membawa masuk Nek Piah ke dalam bilik.  Mastura tersenyum manja.  Betapa dia sayangkan Nek Piah.  Dia menganggap Nek Piah seperti neneknya sendiri.  Jika ada masa lapang, rumah Nek Piahlah tempat dia menghabiskan masa.  Semenjak kecil dia dimanjakan oleh Nek Piah.  Kasih sayang Nek Piah membuatkan Mastura sayangkan wanita itu. 
            Mastura membulatkan mata saat jam loceng di telefon bimbitnya berbunyi nyaring.  Dia kemudianya bangkit dengan perlahan dan lantas menuju ke dapur.  Hajat hati ingin menyediakan hidangan untuk sahur, namun dia melihatkan Nek Piah sudah dulu berada di dapur.
            “La… awalnya nenek bangun.”  Tegur Mastura saat melihatkan Nek Piah yang menumbuk bawang.
            “Tadi lepas nenek sembahyang tahjud nenek terus ke dapur.  Tak sampai hati pulak nenek nak kejutkan Mas.”
            “Dahlah nek.  Tak payah nak susah-susah.  Biar Mas je yang buat semua dia.  Nenek duduk aje teman Mas.” 
            “Ala… nenek dah biasa.  Rimaslah kalau tak ada buat apa-apa ni.”  Ujar Nek Piah sambil menarik kerusi untuk dia labuhkan punggung.
            “Itu masa Mas tak ada.  Ini Mas ada, biar Mas yang buat semuanya.”  Mastura mencapai bawang yang sudah siap ditumbuk dan segera menumis di dalam kuali yang sudah panas.  Nek Piah tersenyum betapa dia merasa bahagia kerana ada yang sudi memberikan kasih sayang kepadanya. 
            “Untung Rizal dapat kamu, Mas.” Mendengarkan nama Rizal dari bibir Nek Piah membuatkan segala kerja Mas terhenti.  Berubah wajah Mastura saat itu.  Ah, mengapa nama itu juga yang meniti dari bibir Nek Piah.  Dia tidak menyalahkan Nek Piah kerana dia tahu yang Nek Piah tidak tahu akan hal yang sebenarnya. 
            “Kenapa Mas? Nenek ada salah cakap ke?”
            Mastura menggelengkan kepala.  Dia kemudiannya menyambung semula kerja-kerja dapur dengan senyuman yang kelat.  Kalau boleh dia tidak mahu menceritakan tentang lelaki itu apa lagi untuk mengingatkan.  Perit hatinya tidak terbendung dengan apa yang telah dilakukan oleh Rizal kepadanya.  Namun Nek Piah telah membuka cerita dan menambahkan lagi rasa luka di hati yang sudah sedia terhiris.
            Nek Piah memandang kepada Mastura dan cuba untuk menyelami dengan apa yang telah dilalui oleh gadis itu.  Seolah ada sesuatu yang telah disembunyikan oleh Mastura.  Pasti ada yang telah terjadi yang membuatkan Mastura sedih dan hilang ceria di wajahnya.
            “Dahlah nek.  Malaslah Mas nak fikirkan lagi.  Buat sedih hati je.”
            “Nak nak kongsi dengan nenek ke?”
            Mastura berpaling.  Tidak sampai hati untuk dia terus dengan melayani perasaan.  Mastura sempat lagi menyusun lauk sebelum dia sempat menjawab akan pertanyaan Nek Piah tadi. 
            “Perkara dah lepas nek.”
            Nek Piah memandang terus kepada Mastura dengan perasaan penuh simpati.  Hatinya masih belum puas selagi dia tidak tahu akan perkara yang sebenarnya.  Mastura melabuh punggung.  Dia kemudiannya menceduk nasi dan diletakan di dalam pinggan Nek Piah.  Nek Piah sabar menanti dan dia pasti Mastura akan menceritakan segala kepadanya.
            “Cuba cerita dengan nenek.”
            “Dah tak ada jodoh Mas dengan dia, nek.”
            Ternyata Nek Piah terkejut dengan kata-kata Mastura itu. 
            “Bila?”
            “Sebelum puasa lagi nek.  Keluarga dia sendiri datang minta putus.”
            Nek Piah memandang kepada Mastura dengan perasaan yang sayu.  Ah, betapa ruginya Rizal meninggalkan gadis sebaik Mastura.  Mastura adalah gadis yang lemah lembut, sopan santun dan hormatkan orang tua.  Nek Piah tidak faham apakah yang ingin dicari oleh Rizal sehingga sanggup memutuskan tali pertunangan.
            “Nenek tak faham kenapa yang dia nak minta putus pulak.  Bukan ke dia yang beria-ia masuk meminang kamu? Hai, budak-budak muda zaman sekarang ni bukan nak fikir panjang.”  Ikut hati saja.” 
            Mastura tersenyum kelat.  Nasi yang dijamah bagaikan pahit dirasakan.  Air matanya sudah kering untuk mengenangkan apa yang telah berlaku. 
            “Entahlah nek.  Mas pun tak faham. Alasan yang abang Rizal bagi yang dia nak cuba nasib kat bandar.  Dia masih belum sedia lagi.  Mas tahu nek, Mas ni bukannya pandai macam dia.  Mas ni cuma tolong mak berniaga kedai je.  Mas sedar siapa diri Mas.” 
            Suapan Nek Piah terhenti.  Melihatkan wajah Mastura yang sugul itu hatinya turut terasa.  Dia tahu, betapa sakitnya hati anak gadis itu.
            “Nenek rasa itu bukan alasan dia.”
            Mastura tersentak. 
            “Apa maksud nenek?”
            “Baik Mas ceritakan hal yang sebenarnya.” 
            Mastura tunduk apabila Nek Piah mula memandang kepadanya.  Mastura melepaskan satu keluhan yang kecil.  Hai, susah betul kalau bercerita dengan orang yang sudah makan garam dari kita.  Memang perit dirasakan di hati Mastura untuk menceritakan akan perihal yang sebenarnya.
            “Abang Rizal akan bertunang lepas raya ni, nek.  Tapi bukan dengan Mas.”
            “Kenapa boleh jadi macam tu?”
            “Dahlah nek.  Kita cerita yang lain pulak boleh tak?  Kita cerita pasal rendang hati lada hitam yang meletup tu.  Tahun ni Mas bolehlah tolong nenek lagi.”
            “Mas,”
            “Sabar ye.  Nenek pasti ada hikmah disebalik apa yang dah berlaku.  Allah itu maha adil.  Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.”
            “Nek…”
            “Yelah… makan…makan… nanti terlepas pulak waktu sahur.  Layan perasaan ni memang seronok.”  Seloroh Nek Piah.  Tersenyum Nek Piah bila melihatkan Mastura yang sudah pun tertawa kecil.
            “Lepas ni bolehlah nenek turunkan sepenuhnya pada Mas cara nak masak rendang tu.”
            “Itulah nek.  Puas Mas belajar dengan nenek.  Nak sama rasa dengan nenek memang tidaklah.  Jauh panggang dari api.”
            Nek Piah tersenyum.  Rendang hati lada hitam itu suatu masa dulu pernah memberi ikatan kasih sayang buat dirinya.  Resepi yang dipelajari dari ibu mertuanya begitu menjadi idaman buat arwah suaminya dan anaknya, Sarah.  Saban tahun dia tetap dengan hidangan itu demi mengingati insan yang tersayang.  Mungkin tiada keturunanya yang boleh menyambung  resepi itu namun dengan keikhlasan Mastura dan Mastura juga yang gemarkan hidanganya itu membuatkan hati Nek Piah merasa bangga.  Dia yakin yang gadis itu pasti boleh menyambung resepi rendang hati lada hitam itu. 
            SARAH membuka pintu pagar dan melangkah masuk ke perkarangan rumah sambil diekori oleh Iskandar dari belakang.
            “Mama nak duduk sini sekejap.” Ujar Sarah perlahan.  Dia menarik kerusi dengan disusuli satu keluhan.  Iskandar tidak jadi masuk ke rumah sebaliknya dia menemani ibunya.  Iskandar memandang kepada ibunya dengan perasaa kasih.  Wajah yang dulunya ceria kini tampak jauh berbeza.  Sarah pula sejak akhir-akhir ini dia sering berperang dengan perasaannya sendiri.  Dia tidak tahu kemana untuk dia luahkan hati dan akhirnya badan sendiri yang merana.
            Iskandar turut melabuhkan punggung di kerusi yang menghadap taman itu.  Dia kemudiannya meletakkan songkok di atas meja.  Entah apa angin ibunya hari ini, pulang dari sembahyang terawikh terus  ingin menikmati pandangan alam. 
            “Mama okey?” Tanya Iskandar perlahan.  Hanya segaris senyuman yang dilempar oleh Sarah.  Iskandar tahu, sejak ibunya menghidapi penyakit jantung semenjak setahun yang lalu membuatkan wajah ibunya kian hilang serinya.  Ada masanya rasa bimbang Iskandar bertambah-tambah. 
            “Mama penat sikit, Is.” 
            “Itulah, Is dah kata.  Mama buat je terawikh kat rumah, tapi mama tak nak.  Nak ikut juga Is ke surau tu.”
            “Ala… badan ni bukannya boleh dimanjakan sangat.  Nanti lagi teruk sakit tu.”
            “Tapi kan mama, Is tengok mama macam ada masalah je.  Kalau mama ada masalah, ceritalah pada Is.  Mana tahu yang Is boleh tolong mama.”
            Sarah memandang sekilas kepada Iskandar.  Dia yakin yang dia perlu memberitahu akan hal yang sebenarnya kepada Iskandar.  Adalah tidak adil untuk dia terus merahsiakannya.  Iskandar berhak tahu yang dia masih mempunyai seorang nenek. 
            “Mama….”  Entah mengapa perasaan yang dipendamkan selama 30 tahun akhirnya air mata menjadi permulaan kata.
            “Are you okey, mama?” Bergetar hati Iskandar apabila melihatkan air  mata ibunya. 
            “Mama…. Mama nak minta maaf dengan Is.” 
            “Apa maksud mama?  Is tak faham.”
            “Mama banyak simpan rahsia dan mama juga dah banyak berdosa dengan Is.”
            Iskandar berkerut dahi.  Cuba untuk memahami akan setiap maksud yang disampaikan oleh ibunya.
            “Mama jangan buat Is takut boleh tak?  Mama ada penyakit lain selain penyakit jantung mama tu ke?”
            Sarah menggeleng.
            “Merahsiakan penyakit boleh mama tanggung lagi, Is.”
            “Cuba mama ceritakan. Ada perkara apa yang mama rahsiakan dari Is? Mama dah carikan calon untuk Is ke?”
            Sarah menggeleng lagi.
            “Mama takut kalau mama ceritakan hal yang sebenarnya akan buatkan Is bencikan mama.  Tapi selagi mama tak ceritakan pada Is selagi itulah hati mama tak tenteram.”
            “Macam serius je bunyinya mama.  Kalau mama tak ceritakan pada Is macam mana mama tahu yang Is akan bencikan mama?  Try me mama.” 
            Sarah memandang kepada Iskandar.  Dia sedaya upaya untuk mengumpul kekuatan untuk menceritakan akan rahsia yang terpendam selama ini.  Dia bukan sahaja takut akan Iskandar akan membencikannya namun dia juga takut sekiranya Iskandar akan meninggalkan dirinya.
            “Mama…. Mama…..”
            Iskandar masih setia menanti.  Melihatkan air mata ibunya membuatkan hatinya kembali bergolak.  Pelbagai perasaan yang singgah dihatinya kini. 
            “Mama masih ada keluarga, Is.” Akhirnya terluah juga rahsia yang selama ini dipendam.  Tersentak Iskandar mendengarkan pengakuan itu. 
            “Maksud mama?”
            “Is masih ada nenek lagi.”
            “Is….Is…. ada nenek, mama?  Tapi bukan ke mama kata yang mama anak yatim piatu?”
            “Mama tahu, mama berdosa rahsiakan semua ini dari Is.  Maafkan mama.”
            “Habis papa?  Mama pun rahsiakan juga dari arwah papa?”
            “Selepas sepuluh tahun berkahwin barulah mama berani ceritakan pada papa kamu.  Masa tu mama takut sangat nak ceritakan pada papa sebab mama takut yang papa akan tinggalkan mama.  Tapi papa ajak mama balik kampung tapi mama tak nak.  Mama takut nak balik kampung.”
            “Kenapa mama?  Jadi selama ini mama memang tak pernah balik kampung jumpa dengan nenek?” Sarah menggelengkan kepala. 
            “Semenjak mama keluar dari kampung mama tak pernah balik kampung.  Sebab mama takut yang nenek tak boleh terima mama. Mama banyak berdosa dengan nenek, Is.  Mama banyak lukakan hatinya.  Mama banyak ingkar cakap nenek.”
            Air mata Sarah mengalir laju.  Saat itu dia mengeluh dengan perlahan.  Bagaikan ada batu besar yang telah berjaya dilempar dari dadanya. 
            “Jadi selama ini Is ada nenek?” Sarah mengangguk.
            “Kalau Is nak marahkan mama, marahlah.  Mama rela dengan apa yang telah mama lakukan.  Maafkan mama, Is.”
            Hati Iskandar bagaikan sayu melihatkan ibunya bagaikan terseksa menahan rasa selama ini.  Iskandar sedar, ini bukan masanya untuk dia menghukum.  Iskandar melemparkan senyuman kepada Sarah.  Dengan perlahan dia menyeka air mata ibunya. 
            “Mama tahu tak?  Mamalah ibu yang paling Is sayang.  You are the wonderful woman in my life. Mama juga isteri yang paling sempurna buat papa.  Mama, kalau Is benci atau marah sekali pun pada mama itu bukan caranya untuk selesaikan masalah.”
            “Maksud Is?”
            “Mama, walau pun apa pun  Is tetap sayangkan mama.  Tiada siapa yang boleh gantikan tempat mama.   Is pun bukannya anak yang sempurna kalau Is nak menghukum mama.”
            “Is tak marah?”
            “Nak buat apa Is marah?  Perkara yang telah terjadi tak boleh nak diundur lagi, mama.  Sekarang ni Is gembira sebab Is ada nenek.”
            Tidak sangka akan reaksi yang diterimanya dari Iskandar.  Sudah puas dia berfikir cara untuk dia memberitahu kepada Iskandar.  Namun bila anaknya itu terima dengan seadaanya membuatkan dia rasa bersyukur.
            “Mama…. Sudah masanya Is nak kenal dengan nenek.”
            “Is nak jumpa dengan nenek?”
            Iskandar mengangguk.
            “Tapi mama takut, Is.  Mama takut kalau nenek kamu tidak akan terima mama.”
            Sarah memandang kepada Iskandar seolah mencari jawapan di wajah anaknya itu.  Iskandar menggenggam tangan Sarah erat. 
            “Perkara yang baik tak baik kita tangguh, mama.  Esok kita pergi ye, mama.  Is akan ambil cuti sehari dua.  Is akan balik semula raya nanti.  Kalau mama nak tinggal sana buat sementara waktu, Is tak kisah.”  Sarah senyum dengan cadangan itu.  Betapa dia rasa tenang dengan kata-kata Iskandar itu. 
            “Betul ni?”
            “Betul.  Is pun tak sabar nak jumpa dengan dia.  Mesti dia manjakan Is, kan mama?”
            Sarah tertawa dengan kata-kata Iskandar itu.  Walau bagaimana pun hati Sarah masih lagi dilanda dengan rasa yang amat berat sekali.  Dia takut kehadirannya tidak akan diterima. 
            “Is…”
            “Ye mama,”
            “Kalau Is nak tahu, rendang hati lada hitam neneklah yang paling sedap tau. Lagi sedap dari mama.” 
            “Ye ke?  Ini yang buatkan Is tak sabar nak balik kampung.  Dah, mama jangan banyak sangat fikir.  Mama fikirkan sahaja yang baik-baik.  In sha Allah…. Nenek boleh terima kita.  Kalau mama banyak sangat fikir terganggu pulak kesihatan mama nanti.” 
            Sarah mengangguk sambil tersenyum.  Namun di dalam hatinya bertandang debaran yang tidak boleh disingkirkan lagi.  Dia tidak pasti keputusan Iskandar untuk pulang ke kampung adalah keputusan yang tepat atau tidak. 
            NEK PIAH melangkah perlahan menuju  pintu saat mendengarkan orang memberi salam.  Setelah membuka pintu, Nek Piah tergamam.  Tubuhnya kaku.  Matanya tidak berkelip melihatkan insan yang berdiri dihadapannya.  Dia tidak tahu sama ada dia bemimpi atau pun tidak saat itu.
            “Mak…”  Sarah terlebih dahulu mengalirkan air mata.  Terus sahaja dia memeluk tubuh Nek Piah dengan erat. 
            “Maafkan Sarah, mak.” 
            “Sarah?”  air mata Nek Piah kini mengalir.  Pelukan Sarah disambut dengan rasa syukur yang tidak terkata.
            “Ye mak.  Ini Sarah, mak.  Mak…. Ampunkan Sarah, mak.  Sarah dah banyak buat salah pada mak. Mak…” 
            “Sarah anak mak? Anak mak dah balik?  Mak tak mimpi kan?”
            Sarah meleraikan pelukan dan menyeka air mata Nek Piah.  Dia menggelengkan kepala.
            “Tak…. Mak tak mimpi.  Memang ini Sarah, mak.  Anak mak yang dah lama tak balik.  Anak mak yang banyak menyusahkan mak.”
            Iskandar yang masih setia sisi Sarah juga tidak dapat menahan rasa getar saat itu.  Mahu sahaja dia memeluk kedua-dua wanita itu.  Betapa dia juga sedih dengan pertemuan itu.  Dia juga merasa syukur yang pertemua itu bakal mengeratkan kembali hubungan sudah lama terputus. 
            “Maafkan mak, nak.”
            “Tak…. Mak tak salah.  Sarah yang salah.  Sarah tak dengar cakap mak.  Sarah tinggalkan mak seorang.  Sarah bukan anak yang baik, mak.” 
            “Al-hamdulillah…. Doa mak telah dimakbulkan oleh Allah.  Mak rindukan Sarah.”
            “Sarah pun rindukan mak.”
            “Maafkan Sarah, mak.”
            “Mak dah lama maafkan Sarah.  Dahlah tu.  Marilah masuk rumah kamu ni.”  Ajak Nek Piah.  Namun belum sempat dia mengajak masuk, matanya terpandangkan kepada pemuda di sebelah anaknya.
            “Ini siapa Sarah?”
            Sarah tersenyum.
            “Mak, ini Sarah kenalkan cucu mak.  Iskandar.”
            “Mak ada cucu?” Sekali lagi air mata Nek Piah tumpah. 
            Sarah mengangguk.
            “Mak ada cucu?  Sarah tak tipu?”
            Iskandar terus menyambut tangan Nek Piah dan bersalam dengan wanita itu.  Nek Piah lantas memeluk erat cucunya itu dengan linangan air mata kesyukuran.
            “Maafkan Sarah, mak.  Sarah dah banyak buat mak merana.”
            “Sudahlah tu.  Mari masuk, cu.  Jangan malu.  Buat rumah sendiri.”
            Riang rasa hati Nek Piah sewaktu berbuka.  Walau pun hanya dengan berlaukkan ikan sepat masin dan gulai nangka namun sudah cukup membuatkan hati Nek Piah gembira. Tambahan dengan kehadiran insan yang tersayang membuatkan senyuman dibibirnya tidak lekang dari tadi. 
            “Dulu arwah abang Zaidi selalu sajak Sarah balik kampung.  Cuma Sarah saja yang tak nak.  Sarah takut.”
            “Nak takut apa?”
            “Sarah takut yang mak takkan akan terima Sarah dengan apa yang telah Sarah lakukan.”
            Nek Piah tersenyum.
            “Rajuk mak tak lama, Sarah.  Setiap hari mak selalu doakan yang Sarah balik berjumpa dengan mak.  Setiap tahun juga bila raya mak tak lupa buatkan rendang hati lada hitam.  Takut-takut kalau kamu balik raya.”
            Bagaikan sayu akan rasa hati Sarah mendengarkan kata-kata Nek Piah itu.  Kalau dia tahu ibunya sudah lama memaafkan dirinya dari dulu lagi dia akan pulang ke kampung.  Nasib baik dia terima akan pujukan Iskandar.  Kalau tidak sudah tentu dia akan menyesal seumur hidupnya. 
            “Rindu nak makan rendang hati lada hitam mak.” Akui Sarah.
            “Mama kata rendang nenek lagi sedap dari rendang mama. Tak sabarnya Is nak rasa rendang nenek.”  Sampuk Iskandar gembira.
            “Boleh…. Nanti nenek buatkan khas untuk Is.” Senyum Nek Piah. 
            “Bila kamu nak bermenantu, Sarah.”  Hampir tersedak Iskandar dengan pertanyaan dari Nek Piah.  Mulalah suapannya menjadi lemah. 
            “Siapa?  Iskandar ni?  Tak ada maknanya mak.  Hidupnya dengan kerja je.  Puas dah saya pujuk minta kawin.  Tapi itulah… tak jalan langsung.  Apa kata mak je yang nasihatkan dia.  Mana tahu boleh dengar kata.”
            “Mama….” Iskandar menjeling manja kepadanya Sarah. 
            “Betul apa yang mama kata. Tak payah nak pandang mama sangat.  Mama suruh kahwin kamu tak nak.  Umur mama dengan nenek bukan panjang lagi.  Dan kamu pun umur bukan lama makin muda.  Mama yakin yang nenek pun nak tengok kamu naik pelamin.” 
            Iskandar tersenyum.
            “Itulah dia, mak.  Bila Sarah cakap senyum je memanjang.  Bukan nak menjawab.”
            “Ala…biarlah dia.  Nak cari sendirilah tu.”
            “Entah bila jumpa pun tak tahu, mak.”  Keluh Sarah.
            “Nek, esok Is dah nak balik.”  Serta-merta wajah Nek Piah berubah.  Baru sahaja dia ingin menumpang kasih sayang cucunya Iskandar, cucunya itu pula mahu pulang ke Kuala Lumpur.
            “Sarah?”  Pandangan Nek Piah berpindah kepada Sarah.
            “Sarah tak balik, mak.  Cuma Is sorang je.  Ini rumah Sarah.  Sarah nak tinggal dengan mak.  Sarah nak tembus semuanya, mak.” 
            Dada Nek Piah merasa sebak dengan tiba-tiba.  Ya Allah… kau telah mendengarkan rintihan hambamu ini Ya Allah…Aku bersyukur dengan Ramadhan yang telah kau berikan kepadaku. 
            “Nenek jangan risau. Nanti lagi 2 hari lagi nak raya Is balik kampung.  Paling lewat  pun malam raya nanti.  Sekarang ni Is dah ada kampung.  Bila orang tanya tu bangga jugalah kata nak balik kampung.” Ucap Iskandar.
            Berderai tawa Nek Piah dan Sarah mendengarkan kata-kata Iskandar itu.  Sesungguhnya malam itu begitu bermakna buat ketiga-tiga insan itu.  Sepanjang malam mereka hanya bercerita tanpa menyedari malam yang kian larut.
            NEK PIAH dengan perlahan menutur daun pisang untuk dibuat kuih petang nanti.  Senyumannya terukir apabila melihatkan Mastura datang menghampirinya.
            “Mas dari mana?” Tegur Nek Piah.
            “Dari rumahlah nek.  Dah lama sangat tak jumpa dengan nenek. Rasa rinduk pulak.  Ini Mas ada bawakan ikan untuk nenek.  Mas tahu nenek suka makan ikan cencaru ni.  Hari ni Mas akan tolong nenek masak.”
            “Terima kasihlah Mas.  Mari ke rumah nenek.”  Ajak Nek Piah.  Mastura akur dan mengekori Nek Piah dari belakang. Sempat juga dia membantu membawa daun pisang yang telah siap ditutur.
            “Banyak nenek ambik daun pisang ni.  Nak buat apa ni nek?”  Tanya Mastura.
            “Nak buat kuih. Ingat nak bawak sikit kat surau.” 
            “O….”
            “Ini nek, Mas nak tanya dengan nenek. Hari tu Mas nampak ada kereta kat halaman rumah nenek.  Ada orang cari nenek ke?” Tanya Matura yang sebolehnya ingin mengambil berat. 
            “Hish!  Kamu ni.  Banyak sangat tanyanya.”
            “Nenek ni, orang risaukan dia.”
            “Ala….nenek tak ada apa-apa.”
            Mastura mengekori Nek Piah dari belakang sehingga ke pintu dapur Nek Piah.  Terkejut Mastura apabila melihatkan pintu dapur yang terbuka dan ada kelibat orang di dapur. 
            “Nek, ada oranglah nek.  Kenapa nenek tak kunci pintu tadi?”
            “Memanglah ada orang dalam tu.”
            “Ada orang nek?  Siapa dia nek?”
            “Nanti Mas akan tahu juga.”
            Mastura mengekori Nek Piah sampai ke dapur dengan hati penuh dengan tanda tanya.
            “Sarah….”
            “Eh, mak dah balik?”  Ternyata Sarah terkejut apabila melihatkan ada insan lain disamping Nek Piah.
            “Mas, kalau Mas nak tahu inilah anak nenek.  Anak nenek yang nenek sayang.” 
            “Anak nenek yang dah lama tak jumpa tu ke nek?  Dia dah balik?”  Mastura yang tidak tunggu lama terus mendapatkan Sarah dan bersalam dengan wanita itu. 
            “O…. inilah Mastura yang mak ceritakan tu.  Cantik orangnya.” 
            “Dialah yang banyak luangkan masa dengan mak.”
            “Terima kasih, Mas.  Sebab menjagakan nenek.”
            “Tanggungjawab saya, makcik.  Lagi pun saya dah anggap Nek Piah macam nenek saya sendiri.  Walau macam mana pun saya gembira bila makcik balik semula ke sini.”  Senyum Mastura.  Lantas Sarah memeluk erat tubuh Mastura tanda terima kasih yang tidak terhingga.
            “Dah, mak rasa cukup kot daun pisang yang mak ambik ni.  Kalau tak cukup boleh ambik lagi.  Ini, Mas ada bawa sekali ikan untuk kita.  Kita bakar sajalah.” Ujar Nek Piah yang mematikan adegan sayu itu. 
            Betapa gembira ketiga-tiga wanita itu memasak sambil bercerita.  Mastura juga tidak kekok berbual dengan Sarah.  Bagaikan dia sudah lama mengenali akan wanita itu.  Malam itu, Mastura turut berbuka puasa bersama-sama.  Malam itu juga Mastura mengambil keputusan untuk bermalam di rumah Nek Piah setelah dipujuk berkali-kali oleh Sarah.
            Mastura menatang dulang berisi air kopi dan sisa kuih koci yang dibuat siang tadi. Kemudiannya dijamu kepada Nek Piah dan Sarah.  Sarah menyambut dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.  ‘Kalau jadi menantu bagus juga ni.’ Detik hati Sarah.  Semenjak dia bertemu dengan Mastura siang tadi, dia sudah pun berkenan dengan Mastura.  Tidak sabar pula rasa hatinya untuk bercerita dengan Iskandar tentang Mastura.  Moga-moga Iskandar terbuka hati untuk berumah tangga.
            “Jemput minum nek, makcik.” Pelawa Mastura sambil meletakkan cawan di hadapan Nek Piah dan Sarah.
            “Mas pun sama minum dengan kami.”  Ajak Sarah pula.  Mastura akur.  Dia melabuhkan punggung di hadapan Nek Piah.
            “Mas,”
            “Ye nek,”
            “Tahun ni nenek rasa tak payahlah Mas tolong nenek masak.”  Mastura tersentak.  Dia berpaling kepada Nek Piah.  Setiap tahun dia akan membantu Nek Piah di dapur kerana dia tahu Nek Piah tidaklah sekuat dulu.  Namun Mastura tahu, mungkin ini masanya untuk Nek Piah ingin menghabiskan masa bersama-sama dengan anaknya, Sarah.
            “Yelah, nenek dah ada makcik Sarah kan?” Sarah tersenyum.  Entah mengapa sepanjang dia berada di sisi ibunya hati Sarah menjadi tenang.  Hilang semua rasa kekosongan yang kian lama bersemadi di hatinya.  Di sini juga dia merasai kedamaian yang selama ini dicari. 
            “La… janganlah merajuk.  Nenek bukan apa.  Yang sebenarnya nenek nak minta tolong dengan Mas.”  Sarah dan Mastura terus memandang kepada Nek Piah.
            “Nenek nak suruh Mas buat apa?”
            “Nenek nak Mas buatkan nenek rendang hati lada hitam untuk nenek, boleh?”
            “Hah?  Rendang hati lada hitam?”
            “Mas tahu ke buat rendang tu, mak?”
            “Dah banyak kali ajar.  Dari dia kecik lagi dah tolong mak buat rendang tu.”
            “Tapi Mas takut tak jadi.”
            “Boleh… nenek tahu Mas boleh buat.”
            “Kalau tak sedap nek?”
            “Yang itu belakang cerita.  Nanti kalau Mas dah siap masak bagi kat nenek.  Nenek nak rasa jadi ke tidak rendang hati lada hitam hasil dari air tangan Mas.”
            “Nenek saja kan nak kenakan Mas.”
            “Mana ada.  Nenek dah turunkan semuanya pada Mas.  Nenek yakin yang Mas boleh buat.”
            “Betul ni?”
            “Betul.  kalau sedap bolehlah nenek hidangkan kat tetamu nenek nanti.”
            “Tengok tu.”
            “Tak adalah.  Nenek gurau je.  Boleh tak?”
            Mastura tersenyum.
            “Okeylah.  Demi nenek Mas buatkan untuk nenek.  Tapi kalau tak sedap jangan gelakkan Mas pulak.”
            “Ala… paling kurang pun nenek suruh kamu masuk kelas semula.”
            “Nenek ni kan…”  Nek Piah dan Sarah tertawa apabila melihatkan wajah Mastura yang sudah berubah.
            MASTURA meletakkan barang-barang keperluan di dalam bakul basikalnya.  Lusa Aidilfitri bakal menjelang tiba.  Janjinya kepada Nek Piah tidak pernah dilupakan.  Berdebar pula rasa hati Mastura apabila mengenangkan permintaan Nek Piah yang ingin merasa rendang hati lada hitam hasil air tangannya.  Bohonglah kalau dia tidak takut. 
            Saat dia mahu melangkah pergi, dia melihat akan Suhaila datang menghampirinya.  Melihatkan wajah Suhaila yang berseri-seri itu memberikan rasa keperitan di dalam hatinya. 
            “Mas, banyak beli barang.”  Tegur Suhaila.  Mastura tersenyum.  Namun senyumannya sedikit hambar.  Suhaila adalah sahabatnya dari kecil lagi.  Namun semenjak dua tahun lalu hubungan mereka menjadi renggang.  Pada mulanya Mastura tidak tahu apakah masalah yang dihadapi di dalam perhubungan mereka.  Namun bila dia putus tunang dengan Rizal dan Suhaila menjadi pengganti suri Rizal segalanya sudah terjawab.
            “Adalah sikit, Su.”
            “Kau sihat Mas?”
            “Aku macam nilah Su.  Macam yang kau nampak.”
            “Mas…”
            “Kau ada apa-apa nak cakap dengan aku ke?”
            “Aku nak minta maaf dengan kau, Mas.”
            “Maaf?  Aku tak faham.”
            “Aku yang merosakan perhubungan kau dengan abang Rizal.”
            Mastura tersenyum kelat.  Memang mudah untuk meminta maaf.  Namun dia sedar dia juga manusia biasa.  Walau pun perasaannya terguris namun dia tidak mahu ada rasa dendam di dalam hatinya.  Segala yang berlaku adalah takdir yang maha Esa dan dia tidak boleh menolaknya.  Lagi pun Suhaila adalah sahabatnya dari kecil.  Dia tahu mahu hanya dengan lelaki perhubungannya dengan sahabat baik menjadi keruh.
            “Dahlah Su.  Aku tahu, memamg tak ada jodoh aku dengan abang Rizal.  Dah tertulis jodohnya dengan kau.  Aku tidak pernah salahkan sesiapa pun Su.”
            “Tapi aku yang bersalah, Mas. Kau tolong maafkan aku.”
            “Dahlah tu, Su.  Tak perlu kau nak minta maaf dengan aku.  Aku dah tak boleh nak fikirkan apa-apa lagi walau pun aku agak terasa hati.”
            “Mas….”
            “Aku tahu setiap apa yang terjadi ada hikmahnya.  Dengan putusnya pertunangan aku dengan abang Rizal aku tahu yang dia lebih sayangkan kau dari aku. Walau macam mana pun aku nak ucapkan tahniah kepada kau.”
            “Tapi Mas…”  Suara Suhaila mula bergetar.  Air matanya hampir tumpah.
            “Aku sudah pun maafkan kau, Su.  Aku akan doakan kebahagian kau.  Selamat Hari Raya.”  Mastura sudah tidak dapat menahan rasa.  Sebak dan air matanya mula mengalir.  Dia segera meninggalkan Suhaila tanpa menoleh ke belakang.  Namun belum jauh kakinya melangkah….
            “Ya Allah!”  Mastura menjerit bila dia hampir dilanggar oleh sebuah kereta. 
            “Awak tak ada apa-apa?” Mastura sempat memandang kepada pemuda yang hampir melanggarnya.  Dia menggeleng kepala.  Nasib baik barang-barang tidak terjatuh.  Kalau tidak, sudah tentu dia perlu ke kedai semula.
            “Awak menangis?  Awak okey tak ni?”
            “Maafkan saya.”  Mastura terus berlalu meninggalkan pemuda itu tanpa mengucapkan maaf atau terima kasih.
            Hati Mastura terluka.  Sudah puas dia memujuk hatinya yang lara.  Namun bila wajah Suhaila dan Rizal berada di ruang mata, hatinya mula dilanda rasa kecewa yang amat sangat.  Ya Allah!  Kau tabahkanlah hatiku.  Aku tahu setiap apa yang kau rancangkan ada hikmah disebaliknya.
            Mastura sibuk di dapur sambil diperhatikan oleh ibunya, Halimah.  Mastura terseyum apabila rendang hati lada hitam sudah pun siap dimasak.  Nak sama rasa dengan Nek Piah memanglah jauh panggang dari api.  Tapi hanya Nek Piah sahajalah yang boleh menjadi juri sama ada rendang itu menjadi atau tidak.
            “Dah masak ke rendang tu Mas?”
            “Dah mak.  Mas hantar kat rumah Nek Piah boleh?”
            “Yelah, kirim salam dengan Nek Piah dan makcik Sarah kamu.”
            “Ye, mak.  Mas pergi dulu.”  Senyum Mastura kian melebar.
            Mastura memberi salam dari dapur.  ‘Mesti Nek Piah dengan makcik Sarah tengah masak.’ Bicara hati Mastura.  Tidak lama kemudian Sarah menjengahkan mukanya bila mendengarkan Mastura memberi salam. 
            “Eh, Mas.  Masuklah dulu.  Amboi, dah siap masak dah ke? Ini datang mesti bawa bawakan rendang untuk nenek kan?” 
            “Rendang hati lada hitam macam yang nenek nak tu.  Tapi sedap ke tidak Mas pun tak tahu.  Nenek je yang boleh tahu jadi ke tidak rendang yang Mas masak ni.” Ujar Mastura.
            “Marilah masuk.”  Ajak Sarah sekali lagi.
            “Tak apalah makcik.  Lagi pun Mas ada kerja lagi yang belum siap.  Nanti esok raya Mas datang rumah.”  Tolak Mastura lembut.  Rendang hati lada hitam itu mula bertukar tangan. 
            “Ha, yelah.  Nanti kirim salam dengan mak ye.  Esok kami pun akan datang rumah.  Hish!  Tak sabar nak rasa rendang yang Mas masak ni.” 
            “Ala… makcik.  Mana boleh lawan rendang nenek dengan rendang makcik.  Okeylah.  Mas balik dulu ye makcik.  Assalamualaikum…” Sarah senyum sambil menjawab salam.
            Nek Piah tersenyum dengan rasa tenang. Takbir raya yang sayup kedengaran disambut dengan rasa penuh kesyukuran.  Tahun ini dia dapat merasakan Ramadhan yang amat indah sekali dan aidilfitri yang amat bermakna.  Bersama-sama dengan insan yang tersayang,  ibarat sudah lengkap hidupnya kini.  Sekian lama dia berdoa, akhirnya doanya termakbul.
            Iskandar yang sudah pun selesai solat isya’ terus menuju ke dapur.  Semasa dia berbuka tadi dia hanya menikmati air soya dan kurma sahaja.  Itu sudah cukup untuk dia melalukan solat maghrib.  Iskandar menarik kerusi sambil tangannya sempat membuka tudung saji.
            “Amboi mama sampai tiga jenis rendang lada hitam atas meja ni.”  Tegur Iskandar.
            “Yelah, dah tiga orang yang buat rendang tu.  Mestilah 3 piring atas meja tu.”  Tiga orang?  Iskandar menggarukan kepalanya yang tidak gatal.  Tidak mahu bersoal jawab, dia melabuhkan punggung di kerusi.
            Iskandar tersenyum meleret bila melihatkan hidangan di atas meja itu.  Selain dari rendang hati lada hitam, ada juga kuah kacang, sambal sotong dan kari ayam untuk hidangan sampingan.
            “Bestnya mama.  Dah lama tak merasa gembira macam ni. Is tengok mama pun sejak duduk sini wajah tu makin berseri-seri.” 
            “Ini nak puji mama ke atau nak ampu mama?”
            “Is cakap betullah mama.”  Bidas Iskandar.  Sarah tersenyum.
            “Betul apa yang Is kata tu.  Mama rasa mama dah tak nak balik KL lagi.  Mama nak jaga nenek sini.” 
            “Is ikut je mama.  Elok bagi mama, elok juga bagi Is.  Lepas ni nampaknya Is kenalah makan nasi kedai.”  Ujar Iskandar sambil disambut oleh tawa kecil Sarah.
            “Amboi, anak beranak ni.  Bukan main lagi berborak.  Kenapa tak makan lagi?”
            “Kita orang tunggu neneklah. Nak makan sama-sama.”
            Nek Piah melabuhkan punggung di hadapan Iskandar.  Tiga piring rendang hati lada hitam menjadi tumpuannya. 
            “Is,”
            “Ye nek.”
            “Nenek nak kamu rasa ketiga-tiga piring rendang hati lada hitam ni.  Kalau kamu sayangkan kami, mesti Is tahu siapa yang masak rendang ni.” Iskandar memandang kepada Nek Piah.  Pelik dengan tindakan neneknya itu.
            “Hai, nek.  Dah macam rancangan masterchef pula siap nak rasa semua ni.  Pulak tu nak bagi tahu siapa yang masak.  Hish!  Ini yang buat Is berdebar.”
            Nek Piah dah Sarah tersenyum memandang kepada Iskandar.  Sememangnya Iskandar suka dengan rendang hati ladan hitam.  Saban tahun dia sering merenggek kepada Sarah untuk buatkan rendang hati ladan hitam buatnya.  Kerana dia tidak dapat merasa akan rendang itu di mana-mana kecuali dari air tangan mamanya.
            “Okey, Is rasa yang pertama.”  Iskandar menggosokan tangan tanda bersedia.  Dia meletakkan rendang itu di dalam pinggannya.  Piring pertama dijamah dengan penuh dengan senyuman. 
            “Piring pertama ni adalah hasil air tangan yang telah membesarkan saya dari kecil hingga dewasa.  Piring pertama ni adalah mama yang masak.  Betul tak?”   Sarah menepuk tangan tanda gembira.  Nek Piah pula hanya tersenyum melihatkan gelagat anak dan cucunya. 
            “Pandai anak mama.”
            “Rasa pulak yang kedua ni.”  Nek Piah menghulurkan piring yang kedua.  Kali ini senyuman Iskandar kian meleret.  Dia memandang kepada Nek Piah. 
            “Bila Is rasa rendang yang kedua ni, mengingatkan Is kepada seseorang.  Ada orang tu kata rendang hati lada hitam ibunya lebih sedap dan enak. Yang ni mesti nenek punya.”
            Nek Piah tersenyum.  Kemudiannya dia menghulurkan piring yang ketiga. 
            “Yang nombor tiga ni pulak.”
            Iskandar menyambut piring yang ketiga. Dia merasa sambil berkerut keningnya.  Sekali… dua kali…. Dan berulang kali dia merasa akan rendang hati lada hitam itu.  Sedar-sedar piring itu sudah pun kosong.  Terkejut Nek Piah dan Sarah apabila melihatkan piring yang ketiga itu kosong gara-gara Iskandar yang telah pun menghabiskannya.
            “Yang ini rasa pelik sikit.  Pedas dan sedap.  Yang ini siapa yang masak nek?”
            “Kalau nenek kata nenek yang masak?”
            “Mustahil, sebab piring satu dengan piring dua rasa lebih kurang sama.  Nenek ada simpan orang bunian dalam rumah ni ke?”
            “Hish!  Mulut kamu ni.”
            “Sorry nek.  Gurau je.” 
            “Is suka ke piring yang nombor tiga tu?”
            “Suka, tapi Is nak tahu juga siapa yang masak.”
            “Kalau nenek kata anak dara yang masak?”
            “Kalau anak dara yang masak boleh buat calon menantu kan mama.  Tak payahlah nenek nak ajarkan rendang hati lada hitam lagi.”  Seloroh Iskandar.
            “Anak kamu ni Sarah, macam tahu je anak dara yang masak.  Lepas ni tak adalah nak merasa rendang kita lagi.”  Iskandar menjeling manja kepada neneknya.
            “Ala… tengok tu.  Merajuklah pula.  Is mana tahu siapa yang masak tu.  Itulah, nak sangat main teka-teki dengan Is.  Walau macam manapun rendang nenek dengan mama yang paling hebat.”
            “Yelah hebat.  Rasanya yang nombor tiga paling hebat kan.  Kalau  tidak takkan Is boleh habiskan.  Itulah, kalau Is nak tahu yang buat rendang tu si Mastura.  Dialah yang jaga nenek selama ni.  Tiap tahun nenek ajar Mastura rendang hati lada hitam.  Baru tahun ni dia buat sendiri.  Tapi tak tahu Is suka pulak.”
            “Apa ni mama….”  Hati Iskandar mula rasa tidak senang.  Hai mama ni, macam ada sesuatu je nak beritahu. 
            “Mama berkenan dengan dia, Is.  Manis dan lemah lembut je orangnya.”  Aduh.  Iskandar memandang kepada ibunya.  Lemah rasa bila mamanya bercerita tentang Mastura.
            “Kalau Is nak kenal dengan dia nanti kita boleh beraya rumah dia esok.  Paling tidak pun kita terus merisik.”  Terbutang mata Iskandar dengan candangan yang membina itu.  Hai, kenal pun tidak, terus nak masuk meminang?
            “Mustahillah nenek orang macam tu tak ada buah hati.”
            “Dia baru je putus tunang.  Nenek percaya dia budak yang baik.  Dia selalu ada dengan nenek.  Sakit demam nenek dia yang jaga.”
            “Kalau Is kahwin tak adalah Is nak makan nasi kedai kalau mama tak ada nanti.  Sebab dah ada orang yang masakan.” 
            “Amboi mama, baik punya promote.
            “Bukan macam tu, sesuatu yang baik tak elok kita tangguh.  Mama yakin, kalau Is jumpa dengan dia mesti Is suka.” 
            Iskandar tersenyum sambil memandang kepada kedua-dua wanita yang begitu penting di dalam hidupnya.  Piring ketiga itu dipandang. Ah, adalah ianya menjadi salah seorang insan istimewa di dalam hatinya?  Iskandar yakin, berkat dan restu dari orang tua adalah kunci kepada kebahagiaanya.
Setahun telah berlalu…..
            Iskandar tersenyum dan tenang di dalam pemanduannya. Sesekali dia memandang manja kepada isterinya. 
            “Hai, abang.  Senyum panjang nampak.  Tahulah kita nak balik kampung.”
            “Eh, eh. Senyum pun nak kena beritahu juga ke?”
            “Tidaklah, cara abang senyum tu buat Mas takut tau.”
            Iskandar memandang sekilas kepada Mastura. 
            “Mas tahu tak kenapa abang rasa gembira.”
            Mastura menggeleng.
            “Abang gembira dengan hidup abang sekarang ni.  Abang ada nenek, mama, dan juga sayang.  Siapa sangka rendang hati lada hitam menjalinkan hubungan kekeluargaan yang takkan padam dan dengan rendang hati lada hitam jugalah telah menemukan abang dengan sayang.”
            “Tak sangka pulak abang boleh habiskan rendang yang Mas masak.”
            “Masa nenek cerita tu, abang rasa macam nak terjun tingkap je.  Malu kot abang bila nenek kata yang abang habiskan rendang tu.  Yang mama pun satu.  Dia pulak yang jadi mangkuk tambahnya.”  Bicara Iskandar lagi.
            Mastura tersenyum.  Teringat dia kepada peristiwa hari raya tahun lepas.  Kehadiran Nek Piah, Sarah dan Iskandar telah merubah hidupnya. Siapa sangka kehadiran Nek Piah ke rumahnya bukan hanya untuk berhari raya, malah membawa rombongan untuk meminangnya.  Mastura tidak menyangka yang Nek Piah punya cucu lelaki dan lelaki itulah insan pertama yang merasai masakannya.  Dan insan itulah yang telah hampir melanggarnya.
            “Dan sayang nak tahu? Masa abang hampir nak melanggar sayang dulu abang dah rasa mula jatuh cinta.  Bila bertandang rumah sayang dan dapat tahu yang sayang masak rendang tu, hati abang mula kata mahu tapi malu.  Masa tu juga abang tak fikir panjang lagi terus je abang masuk meminang.”
            Mastura tunduk malu.
            “Kita dah sampai, bang.” Tegur Mastura.
            “Lepas ni kalau dia tengok sayang mesti dia orang bagi pencen sementara masuk dapur.”  Ujar Iskandar kepada Mastura yang kini berbadan dua.  Walau pun berbaki 4 bulan lagi namun sudah cukup untuk menampakkan perutnya yang kian membesar. 
            “Tak apa, nanti balik Mas akan masakan rendang kesukaan abang.”
            “Macam tu lah isteri abang.”
            “Walau macam mana pun rendang nenek dengan mamalah yang paling best.” Iskandar mengangguk tanda setuju. 

            Rendang hati lada hitam, telah merapatkan hubungan yang hampir terlerai.  Rendang hati lada hitam juga menemukan kasih yang kian disemai.  Rendang hati lada hitam juga menjadi lambing kasih sayang di dalam hidup Nek Piah.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page