Teaser 3 : ALAHAI CINTA

Teratak pena | 9:47 PM | 2 Comments so far



Zalikha berada di kaunter saat melihatkan Hariz yang sedang memunggah ikan untuk di masukkan ke dalam bekas.  Senyuman Zalikha bertamu.  Wajah Hariz yang tenang itu ditatap.  Hai, kenapalah jantung ini tidak berhenti mengepam laju saat dia melihat Hariz.  Kalau bertentang mata, nafasnya bagaikan terhenti.  Tapi itulah, Hariz susah nak tersenyum.  Kalau dia senyum, lesung pipit di pipi Hariz sering kali membuatkannya terleka.  Masalahnya senyuman Hariz bukan untuknya.  Tapi pada Mak Konah, Pak Mail, Mak Temah atau Pak Karim yang selalu berbelanja di kedai itu.  Alahai, kalaulah senyuman Hariz dihadiahkan buat dirinya, sah dia tidak tidur malam.                       
“Abang tak nak berhenti makan ke?”  Jerit Zalikha kuat.
Hariz tidak mengendahkan suara Zalikha sebaliknya dia meneruskan kerja.  Hai, muka kacak.  Tapi pekak.  Zalikha mengeluh.  Nasib badan kalau betul, dapat suami pekak.  Ah, pekak pun pekaklah.  Janji sayang!
“Abang,”  Makin jelas Zalikha menguatkan suaranya. 
“Hish, suara sumbang mana ni.  Sibuk aje orang nak buat kerja.”
Zalikha mencebik.  Geram pula dia dengan Hariz.  Okey, kali ini Zalikha tekad.  Dia membuka bekal yang dibawa dan dia melangkah menuju ke Hariz.
“Abang!”
Hariz terkejut.  Habis semua ikan melompat tinggi.  Wajah Zalikha berubah apabila dia bermandikan ikan.  Busuknya! Macam mana ni? Habis bekal yang dibawa dihiasi cantik seekor ikan kembung yang masih segar. 
“Salah awak.  Siapa suruh awak sergah.”      
Zalika melirik kepada Hariz hanya dengan ekoran matanya.  Sudahlah kena siram dengan ikan, kena marah pula tu.  Malang sungguh nasib diri hari ini.  Zalikha kemudiannya memandang kepada bekal di tangan.  Entah mengapa hatinya menjadi sebak dengan tiba-tiba.  Air matanya hampir mahu mengalir tetapi dia cuba untuk menahan.  Sayang, nasi di dalam bekal itu tidak boleh nak dimakan.  Zalikha tidak menyambut kata-kata Hariz sebaliknya dia berpaling dan berlalu dari situ.  Zalikha menyambung kerja yang terhenti sambil dia cuba menahan bau busuk yang mencucuk rongga hidungnya.  Hariz memandang kepada Zalikha.  Wajah suram Zalikha tidak sedikit pun membuatkan hati lelaki Hariz kalah.  Dia membiarkan Zalikha di situ dan dia meneruskan kerjanya yang tertangguh.
Hariz tersenyum.  Gelihati dia dengan Zalikha yang bermandikan ikan tadi.  Itulah, siapa suruh kacau orang tengah bekerja.  Dah terkena, mulalah nak berlinang air mata.  Tangan Hariz tiba-tiba berhenti.  Dia berpaling dan kelihatan Zalikha sedang membersihkan bajunya.  Namun dia dapat melihat baju Zalikha yang sudah basah terkena air ikan. 
Hariz menapak kepada Zalikha.  Wajah muram gadis itu dipandang seketika.  Dia menggarukan kepala.  Kalau berhadapan dengan Zalikha lidahnya menjadi kelu.  Dia berat untuk bersuara.  Bagaikan ada sebongkah emas yang nak dikeluarkan.  Melihatkan kehadiran Hariz itu, Zalikha menarik muka masam.  Memang bukan salah Hariz pun.  Salah dia yang volume suaranya terus meninggi.  Masalahnya, tadi bukannya nak memujuk.  Elok saja buat tak tahu.  Bukan nak tanya kita ni okey ke tidak. 
“Awak pergilah balik dulu. Busuklah.”  Tegur Hariz.
“Abang yang buat Ika macam ni.   Siapa suruh abang siram ikan pada Ika?”
“Awak nak balik ke tidak? Kalau tak nak balik, membusuklah kau kat situ.”
“Hai, kena marah lagi?”         
“Saya cakap sekali aje.  Nak balik boleh balik.  Kalau tak nak balik duduk situ jangan pergi mana-mana.  Kalau pelanggan lari, tanggunglah rugi nanti.”
Zalikha mencebikkan bibirnya.  Sedih tau asyik kena marah saja.  Apa yang paling menyedihkan kalau kena marah dengan orang yang kita sayang.  Sakitnya tidak boleh nak cerita.  Sungguh menusuk kalbu.
“Okey,”
Zalikha mengalah.  Sebenarnya dia sendiri tidak selesa.  Sudahlah kena siram air ikan, busuk pulak tu. Perlahan kakinya melangkah.  Saat dia lalu di hadapan Hariz, matanya sempat menjeling kepada Hariz.  Hariz bertindak tenang.  Walhal dengan jelingan Zalikha itu telah memanah terus ke lubuk hati Hariz. Dup dap dup dap terus berlagu disco.
“Abang, tak jadi balik.”   Zalikha berpusing. 
Hariz melihat Zalikha berlari menuju semula ke kaunter.  Sudah, apa hal pulak ni?  Hariz terpinga-pinga.  Terus dia meliarkan pandangan matanya.  Dia sudah beri kebenaran untuk balik.  Takkan tak nak balik pulak. 
“Orang dah bagi balik tak nak pulak.”
Hariz melihat wajah Zalikha yang pucat.  Dia berdiri tegak.  Hariz tidak segera berpaling.  Kali ini Zalikha berdiri disampingnya. Kemudian Zalikha segera menyorok di belakang Hariz.  Hariz memanjangkan lehernya.  Ingin tahu apa yang ditakutkan oleh Zalikha sekarang ini. 
“Tolong Ika, bang.”
Hariz berpaling.  Patutlah muka Zalikha memutih.  Rupa-rupanya Masri datang bersama-sama dengan rakannya.  Hariz membiarkan Masri masuk ke dalam kedai.  Wajah Hariz berkerut.  Bukan sebab Masri, tetapi bau Zalikha yang begitu menyegat.  Busuknya tidak boleh nak cerita.  Saat Masri mendekat, dia dapat melihat hidung Masri yang bergerak-gerak.  Masri memandang kepada Zalikha yang menyorok di belakang Hariz. 
“Ya Masri, nak beli apa?”  Tanya Hariz ramah. 
Masri tidak menyambut pertanyaan Hariz sebaliknya mata Masri ralit memandang kepada Zalikha.  Setiap kali Masri memandang kepada Zalikha, kepala Hariz turut bergerak.  Dia terus memandang ke anak mata Masri.  Hariz mengangkat keningnya sebelah. 
“Ada apa-apa nak beli ke?”
Masri tersenyum. 
“Yang ini kau jual berapa harganya?”  Tunding Masri kepada Zalikha.
“Yang ini not for sale.”
“O… aku tahu.  Sebab kau bukan tuan badan.  Wahai tuan badan,  berapa harga diri tu?” Tanya Masri kepada Zalikha.
Tersirap darah Zalikha mendengarkan usikan Masri itu.  Dia benar-benar merasa tidak selesa dengan Masri yang suka menggatal dengannya.  Hanya Hariz yang menjadi sandarannya sekarang ini.  Masri mendekatkan dirinya kepada Zalikha sehingga mengundang Zalikha terus melarikan diri dari Masri.
“Busuknya, Ika.  Tapi tak apa lah, busuk pun abang sanggup.  Marilah,  ikut abang.  Kalau kahwin dengan abang Ika tak payah nak kerja kat sini.  Ikut kerja dengan abang.” 
Zalikha menggeleng. 
“Marilah,”  Ajak Masri lantas tangannya menggenggam lengan Zalikha. 
Zalikha menarik kasar tangannya.
“Wah, kasarnya.  Abang suka.”  Masri terus merenug kepada Zalikha. 
“Kau nak apa sebenarnya, Masri?”
Kali ini Hariz bersuara. 
“Aku nak beli dia ni.”
“Sudahlah Masri. Kalau kau tak nak beli apa-apa aku nasihatkan baik kau balik.” 
“Aku takkan balik.”  Pap!  Meja kaunter menjadi mangsa tangan Masri.
 Hariz dan Zalikha terkejut.  Hish, mamat ni memang nak kena. 
“Ika ikut abang balik.  Apa yang Ika dapat kerja kat sini? Dapat busuk adalah.”
Sekali lagi Masri mencekak lengan Zalikha.  Kali ini lebih pejap.  Zalikha cuba meronta untuk dilepaskan.  Namun kudrat Masri melebihi tenaganya.  Masri ketawa besar mengundang rasa takut Zalikha.  Hariz menahan marah dan geram dalam masa yang sama.  Sudahlah datang kedai orang sesuka hati, tak beli barang dan paling win kacau pekerja orang.  Memang nak kena ni.  Kali ini tangan Hariz pejap mencekak tangan Masri.  Masri terkejut dengan tindakan Hariz itu. 


TIPS Menulis Novel

Teratak pena | 6:49 PM | 12 Comments so far


Assalamualaikum Semua...

Semoga sihat dan berbahagia.

Amboi, mukadimah bukan main lagi.  Okeylah, hari ni nak kongsi TIPS menulis novel cara saya.  Saya pun bukannlah penulis yang ternama.  Mana yang saya tahu, saya  akan beritahu.  Ini adalah dari pengalaman saya sendiri.  Kalau ianya membantu, al-hamdulillah.  Okey, nak cerita panjang nanti bosan pula.  Jom kita tengok, apakah tipsnya.

1. Genre
-Kita gali diri sendiri untuk melihat, apakah genre yang sebati dengan kita.  Ada bermacam genre di dalam dunia penulisan ini.  Kalau nak tahu genre yang dekat dengan kita, boleh tengok buku apa yang banyak kita modalkan untuk membeli.  Namun yang paling luas garapannya adalah seram dan cinta.  Bila dah tahu apa yang kita minat, bolehlah mula menulis.

2. Kesesuaian bilangan patah perkataan / Muka surat
-Biasanya 30k Perkataan sudah dikira novel.  Kalau kurang dari itu dikira mini novel.  Namun yang ini bergantung kepada penerbit buku (sekiranya kita ingin hantar karya kita untuk publish).  Biasanya penerbit menetapkan 50k ke atas.  Malah ada juga yang minima 70k atau 80k.  Semuanya bergantung kepada penerbit.  Ada juga penerbit menetapkan jumlah muka surat.  Contohnya 350 muka surat ke atas.  Itu pun sudah dikira satu nakah novel.

3.Mencari Idea dan rangka cerita
-Ini sememangnya masalah yang selalu dihadapi.  Bila sudah kering idea, mood nak menulis pun rasa down.  Namun kena buang semua tu.  Sebenarnya idea tu ada di mana-mana.  Ada kala ianya terjadi kepada kita, mungkin disekeliling kita, malah mungkin dari imaginasi kita.  Cuma kita kena cari cara bagaimana untuk kita garapkan di dalam cerita kita nanti.

Macam saya, semasa menunggu bas saya akan buka FB/wassup taiplah idea apa yang datang.  Sebab apa? Bila sekali idea itu datang, kali kedua sudah jadi lain.  Jadi kalau kat FB tu janganlah pergi post pulak.  Jadikan dia draft.  Macam saya ada dua nombor, dan biasanya saya akan wassup nombor yang satu lagi.  Lepas tu, bolehlah transferkan ke word/boleh jadikan panduan kita untuk manuskrip kita nanti.

4.Bahasa
-Ini penting.  Jangan sesekali gunakan bahasa jagan atau bahasa SMS.  'Jangan' jadi 'jgn' 'saya' jadi 'sy.' Please.... ini yang paling penting.  Kalau hantar ke penerbit, sah awal-awal dah kena. Satu lagi, kalau menggunakan bahasa inggeris, pastikan anda italickan perkataan itu ya sayang.  Biar tahu itu adalah bukan dari bahasa melayu.

5.Tawakal dan Usaha
-Ya, untuk mendapatkan satu manuskrip perlukan usaha yang tinggi.  Tambah lagi kalau kita ni yang jenis bekerjaya.  Contoh:  Macam saya.  Saya menulis hanya di waktu malam atau pun pada hari cuti sahaja.  Ianya memang membataskan namun kita kena usaha.  Walau hanya dapat satu hari tiga muka surat pun tak kisah.  Tapi lagi banyak lagi baik.  Cekalkan hati untuk kita siapkan manuskrip kita sendiri.  Apa yang penting adalah usaha.

6. Pemilihan Tajuk
Ha... ini pun masalah juga.  Ianya masalah besar bagi saya.  Susah betul nak cari tajuk yang sesuai.  Sebelum saya pilih tajuk, saya akan google dulu kalau mana tahu sama dengan novel-novel yang lain. Mungkin takut juga kalau tajuk sama apa pula kata penulis yang sedia ada.  Kalau boleh elakkan.

7.Penghantaran Manuskrip.
-Perlu dingatkan, kalau boleh jangan tersalah hantar penerbit dan yang paling penting jangan hantar satu manuskrip kepada dua penerbit serentak.  Ini akan mengundang manuskrip anda ditolak.  Tambah lagi kalau kedua-duanya menerima manuskrip anda, silap hari bulan boleh kena black list.  Biasanya tengok juga penerbit.  Penilaian antara 3 hingga 6 bulan.  Jika sudah melebihi enam bulan boleh e-mail semula dan bertanyakan tentang status manuskrip anda.  Jika ditolak, barulah kita hantar ke penerbit lain.

Andai kata anda mahu menghantar manuskrip, boleh riki-riki penerbit yang ada.  Di sini saya sertakan penerbit-penerbit yang ada di Malaysia

1.Cute Publication- Penerbit ini menerima semua jenis genre.  Seram/cinta/thriller pun boleh hantar ke penerbit ini.  Anggaran jumlah perkataan adalah 50k-70k.  Masa penilaian adalah 3-6 bulan.

2.Prima / Alaf 21 - Buku Prima kebanyakkannya adalah untuk genre seram.  Yang ini saya tidak pasti berapa minimum untuk jumlah perkataan yang diperlukan.  Kalau untuk Alaf 21 kebanyakkannya more to cintan-cintun.

3.Suara Hati Publication- Untuk penerbit ini, minimum muka surat adalah 350 muka surat A4 paper.  Anggaran perkataan antara 100K.  Masa penilaian adalah 3- 6 bulan

4.Kasih Aries - Penerbit ini menerima manuskrip cinta,misteri, seram, bak kata pelbagai genre.  Anggaran 55k-80k.  Penilaian juga antara 3- 6bulan

5.Fajar Pakeer-Penerbit ini anggaran perkataan adalah 90-120k perkataan.  Genre yang diterima oleh penerbit ini adalah cinta.

6.Love Novel-Genre cinta.  Untuk penghantaran tidak pasti jumlah perkataan yang diperlukan untuk satu manuskrip.  Kalau nak, boleh PM love novel untuk lebih lanjut.


*Namun apa yang penting:
1.Tulisan mesti Times New Roman bersize 123
2.1.5 line spacing.
3.Hindari palagiat.  Tak senang hidup nanti.

#Last.... banyakkan doa dan jangan berputus asa.  Jika Manuskrip anda ditolak jangan cepat nak mengalah.  Ambil komen dari Editor, buat kajian dan cuba untuk memperbetulkan.  Insya Allah... berkat usaha akan boleh berjaya.

#Manuskrip saya pernah ditolak dan direject.  Ya, memang kita rasa sedih dan down.  Tapi saya tak pandang semua itu dan buat semula yang baru.  Ambil komen editor dan cuba ubah cara penyampaian kita sampai manuskrip kita boleh diterima.  (Tapi sampai sekarang manuskrip yang ditolak tu saya buat pekasam. hahaha.... nanti-nantilah saya edit balik)

#Bukan itu sahaja, hasil nukilan saya pun pernah diciplak.  Walau pun hanya secebis cerpen, namun rasa sedih sangat.  Bukan senang untuk kita menghasilkan satu cerita.  Berhempas pulas memerah otak dan tenaga.  Namun begitu, percayalah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.  Oleh itu, tulislah dari hati kita sendiri.  Insya Allah.... segalanya akan berjalan dengan lancar.

Sekali lagi diberi peringatan... JANGAN sesekali kita ambil usaha orang lain.

Okeylah rasanya macam dah banyak sangat membebel.  Saya pun bukan penulis yang ternama, namun saya kongsi dengan apa yang saya tahu.

Selamat mencuba semua




Teaser: CEO TIDAK DIJANGKA

Teratak pena | 9:18 PM | 3 Comments so far


Selamat malam semua....

Moga sihat hendaknya.  Okey, malam ni nak belanja teaser CEO TIDAK DIJANGKA.  Layankan ajelah ya.

Hadif melangkah masuk ke dalam rumah dengan langkah yang perlahan.  Lampu di ruang tamu juga tidak dihidupkan.  Jam di dinding menunjukkan ke angka 3 pagi.  Meraba juga dia di dalam gelap malam.  Segala barang jualan yang tidak habis diletakkan di atas meja.  Sayur-sayuran perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.  Sebolehnya dia tidak mahu mengejutkan ibunya yang sedang tidur.

“Hadif,”

“Ibu,” Hadif tersengih walau pun dia tahu ibunya itu hanya nampak akan tubuhnya sahaja.

“Kenapa tak tidur lagi?” Tanya Hadif perlahan. Dia melangkah menuju ke arah Puan Julia. 

“Tunggu kamulah.  Takkan nak tunggu menantu pulak.”  Hadif terus menghidupkan lampu ruang tamu.  Hadif menggarukan kepala yang tidak gatal.  ‘Ibu aku ni memang dah kemaruk nak bermenantu agaknya.’

“Ibu ni kan, suka sangat buat lawak.”

“Lawak tu lawak juga, Hadif.  Ibu ni, bila kamu keluar berniaga balik waktu macam ni ingat ibu tak risau ke?”  Puan Julia sudah mula membebel.

“La…. Ibu tak nampak ke yang Hadif ada bawak menantu ni?  Tu…”  Tunding Hadif.

“Hadif!”  Hadif ketawa.  Gelihati dia melihatkan ibunya yang sudah pun berubah wajah.

“Ha, tahu takut.”

“Yelah…. Cantik menantu ibu.  Mana Hadif jumpa?  Kalau macam ni lah menantu ibu, simpan je lah dalam rumah.  Jangan bagi dia keluar siang.  Bagi dia keluar malam macam Hadif.”  Kali ini Puan Julia pula yang cuba mengusik.

Hadif diam. “Ha, jangan pandang belakang.  Nanti lain yang datang.”

“Ibu jangan buat Hadif naik bulu roma.  Sudahlah tadi Hadif dah seram sejuk.”  Serta-merta wajah lelaki yang membiasakan ‘pakcik Hamdan’  segera terbayang di ruang matanya.

“Kenapa?  Hadif jumpa dengan bakal menantu ibu ke? Cantik tak dia?  Ada macam Neeolofa?  Nora Danish?”

“Ibu….”

“Manalah tahu kan, kamu tu penakut dengan perempuan.  Macamlah ibu tak kenal dengan kamu. Kalau jumpa perempuan mahu sebatu kamu duduk.  Bila ibu nak bermenantu macam ni, ibu pun tak tahu.”  Hadif tersenyum sambil memandang kepada Puan Julia.  Segera dia mencubit manja pipi ibunya itu.

“Ibu ni tak ada nak fikir yang lain.  Menantu tak habis-habis.  Ala… sampai masa nanti kahwinlah anak bertuah ibu ni.  Yang nak dirisaukan kenapa?”

“Hadif, umur ibu bukan main lama makin muda.  Macam kamu juga.  Umur kamu tu makin lama makin tua.” Puan Julia menarik lembut telinga Hadif.  Geram pula dia dengan kata-kata Hadif itu.

“Dahlah ibu.  Tak payah bincang pasal ni boleh tak?  Ha, tu…. Menantu mak dah lari.”  Sekali lagi bahu Hadif dipukul manja.

“Sakitlah ibu.”

“Kamu main-mainkan ibu ye.”  Hadif tersengih.

Saya dan Karya 2017

Teratak pena | 11:26 PM | 2 Comments so far

Selamat malam semua....

Agak lama juga tak mencoret di dalam teratak ni.  Dah bersawang sangat tanpa update apa-apa.  Sudah satu bulan lebih kita meninggalkan tahun 2017.  Tahun yang banyak memberi rezeki kepada saya sebenarnya.  Pada tahun inilah, tanpa saya menduga tiga karya saya telah berjaya diterbitkan oleh dua penerbit yang berbeza.

Awal tahun 2017, saya menerima mesej dari editor KAKI NOVEL yang karya saya CINTA KAU DI MANA akan diterbitkan.  Masa itu bagaikan rasa satu mimpi, sebab sebelum ini memang saya berangan nak menjadi salah seorang penulis di bawah naungan KAKI NOVEL dan akhirnya impian saya tercapai.  Masa itu bagaikan apa yang telah saya usahakan berbuahkan hasil.  Kerana itulah ia memberikan satu semangat untuk saya terus berkarya.  

Saya juga tidak menyangka pada tahun 2017 juga saya duduk di meja penulis di bawah KAKI NOVEL semasa PBAKL.  Apabila saya terima jemputan dari KAKI NOVEL rasanya bagaikan bulan jatuh ke riba, kerana sebelum saya pernah menanam impian duduk di kerusi penulis.  Perasaan?  Takut ada, berdebar ada, terharu pun ada.  

Perjalanan karya saya kemudiannya dengan CUTE PUBLICATION.  Saya tidak menyangka sama sekali karya saya diterima.  Saya tidak pernah menyimpan apa-apa harapan, kerana saya tahu masih ada yang lebih baik dari saya.  Bila TIGA JODOH diterima, saya tidak menyangka ianya diterbitkan enam bulan selepas CINTA KAU DI MANA.  

Feedback yang saya terima amat terharu.  Saya menerima mesej dan memberitahu cerita TIGA JODOH adalah sebuah cerita yang menarik.  Al-hamdulillah... semuanya berjalan dengan lancar.  TIGA JODOH adalah karya saya yang kedua diterbitkan pada tahun 2017.

Mungkin sudah tiada jodoh saya dengan KAKI NOVEL saat penerbit tersebut mengundurkan diri.  Namun itu tidak sedikit pun mematahkan semangat.  Saya yakin dengan rezeki dari ALLAH.  Semuanya sudah ditetapkan olehNYA.  Kita yang hamba, kena yakin dengan ketentuannya.  Ya, mungkin ada hikmah disebaliknya.  

Tidak lama kemudian, dengan penerbit yang sama, saya menghantar karya KESUMA JIWA.  CUTE PUBLICATION telah meluluskan manuskrip saya dan rezeki saya tertulis dengan kehadiran KESUMA JIWA dengan naskah sebuah novel tiga bulan kemudian.  Ketika ini, saya merasakan ianya adalah hadiah untuk harijadi saya.  Bulan november keluarnya novel KESUMA JIWA yang telah mengusik jiwa saya.

Pada bulan disember sekali lagi saya di meja penulis di bawah nauangan CUTE PUBLICATION.  Perasaan terharu terus melekat di hati saya.  Perasaan gembira saya tidak boleh saya lupakan.  Ianya bagaikan mimpi yang telah menjadi satu realiti.  

Pada tahun 2018, saya masih lagi berkarya.  Saya akan lakukan mana yang saya mampu.  Rezeki?  saya letakkan di tanganNYA.  Hanya Allah sahaja yang mengukir takdir saya.  Satu manuskrip telah pun dihantar.  Jika diberi rezeki, al-hamdulillah.... jika tidak, itu bukan jalan untuk saya mengaku kalah.  Sebab saya pernah melaluinya sebelum ini.  

WISH ME LUCK IN 2018

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page