Novel: Bisikan Cinta Bab 9

Teratak pena | 7:33 PM |
BAB 9

            Maya yang duduk bersebelahan dengan Sofiah tidak berhenti bercakap. Ada saja cerita yang dihebahkan.  Sofiah yang sudah tahu akan perangai Maya cuma membatukan diri.  Sekali-sekala dia menyampuk juga.  Di sebelah tempat duduk mereka kelihatan Daniel dan Lim asyik dengan melayani perasaan masing-masing.  Perjalanan ke Langkawi mengambil masa yang panjang membuatkan ramai penumpang lebih suka bersendiri.  Manakala Hafiz pula duduk di belakang dengan siapa lagi kalau bukan buah hatinya si Rozita.  Bukan main lagi mereka.  Dari naik bas tak henti-henti dengan senda gurauan.  Sehinggakan Maya yang berada di hadapannya sudah mula meluat dengan gelak tawa mereka.
            “Orang lain pun bercinta juga.   Tapi tak adalah sampai macam ni teruk. Mereka ingat dia orang je yang bercinta.  Ala… setakat dating dalam bas bukannya bagus sangat pun.  Benci pulak aku tengok mereka berdua tu.  Macamlah dunia ni dia yang punya.  E… meluat betul.”  Adu Maya.  Sofiah yang merenung ke luar jendela bas segera berpaling.
            “Biarlah mereka.  Apa yang kau susah sangat.  Aku tahu kau tu sebenarnya cemburu sebab tunang kau tak nak ikut sama.” Usik Sofiah dalam nada gurauan.  Maya senyap.  Entah kenapa, bila Sofiah menyebut tentang Bakhtiar, dia merasa sebak tiba-tiba. Adakah kerana keengganan Bakhtiar mengikuti rombongannya atau layanan yang diberikan sejak akhir-kahir ini.
            “Nak air?”  Maya tersentak.  Segera dia berpaling ke arah Daniel.  Daniel yang memegang dua tin air berperisa Coca-cola tersenyum.  Maya menyambut senyuman Daniel dengan disulami tangan kanannya menyambut pemberian Daniel.  Maya menghulurkan satu tin kepada Sofiah.  Namun sebaliknya Sofiah menggeleng. 
            “Kenapa?  Kau pun tak ada mood?”  Tanya Maya cuba mengambil berat.  Pelik juga dia melihatkan Sofiah yang hari ini tidak berteman.  Mahu juga dia bertanyakan pada Sofiah, namun mulutnya bagaikan berat untuk berkata-kata.
            “Bukanlah, aku tak biasa dengan air bergas ni.”  Terang Sofiah lemah.  Maya kembali berpaling ke arah Daniel yang sedang enak mengunyah.
            “Encik Daniel, setiausaha Encik Daniel tak minum air ni.  Saya pulangkan balik satu tin ni.”  Maya menghulurkan tin coca-cola kepada Daniel dengan satu senyuman. 
            “O… tak minum.  Tak apalah.  Ambil air saya ni.  Saya pun belum minum lagi.”  Daniel segera menghulurkan air kotak kepada Maya.
            “Tuan Puteri, ini air awak.”  Sofiah menyambut dengan satu senyuman.  Dia kemudiannya melemparkan satu senyuman kepada Daniel.
            “Terima kasih, Encik Daniel.”  Ucap Sofiah. 
            “Untung kau dapat bos macam Encik Daniel, Sofiah. Eh, kau tak nak tackle dia ke?”  Tanya Maya berbisik.  Sesekali dia menjeling ke arah  Daniel.  Dia takut kalau perbualannya didengar.  Walau bagaimanapun Daniel yang berada di sebelah khusyuk dengan kertas kerja yang di bawanya dari pejabat. 
            “Gila kau. Dia majikan aku.  Aku tak nak terjadi macam dulu.  Eee…. Selisih.  Nanti aku juga yang dapat malu.  Kalau kau nak tahu, sampai sekarang ni aku punya badi dah susah nak hilang.  Dulu boleh juga aku ajak Jeffry ke, Fezly ke, sekarang habuk pun tak ada.  Semuanya melepas gara-gara aku mengorat abang dia. Tak naklah aku.  Apa?  Kau ingat aku ni kempunan sangat ke sampai tak dapat abang, adik pun aku nak sapu?” Sofiah tidak senang dengan kata-kata Maya.  Dia tahu, bukan senang untuk dia mendampingi Daniel.  Dia takut akan bayang-bayangnya sendiri.  Dia malu orang akan kata bagaikan hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong.  Dia sedar dia hanya seorang pekerja bawahan.
            “Apa yang kau nak takutkan?  Belum cuba belum tahu.  Hari tu dia ada cakap yang dia tak ada teman wanita.  Hah, apa lagi?  Kau masuklah jarum kau.  Manalah tahu dia tangkap lentok dengan kau.  Kau juga yang untung.  Dia baik, peramah, dan yang paling penting dia pandai ambil hati.”  Ampu Maya.  Walaupun Daniel bukanlah majiikannya namun dia tahu Daniel adalah seorang yang baik dan sesuai dengan Sofiah.
            “Tak naklah aku.  Lagi pun aku dah lama tinggalkan ilmu mengorat aku tu.  Kalau boleh, biarlah dia datang sendiri Maya.  Aku dah tak larat lagi.  Biar masa yang akan menentukan siapa yang bakal menjadi suami aku.  Kalau dah jodoh ia tidak akan ke mana.  Sampai masa kita akan tahu siapa pasangan kita.  Andai kata jodoh aku dengan dia aku tak boleh buat apa.  Tapi apa yang penting sekarang ni aku nak tumpukan dengan kerjaya aku yang ada sekarang ni.”
            “Kau demam ke Sofiah?”  Maya meletakkan telapak tangan di dahi Sofiah.  Sofiah segera menepisnya. 
            “Apa pulak?  Tak adalah.  Aku bukan demam atau mengigau.  Aku sedar, kalau kita bercinta bagai nak rak pun kalau tak kahwin buat apa?  Mulai saat ini, aku nak belajar biarlah cinta itu datang dengan sendiri bukannya aku mencipta untuknya.”  Sofiah nampak bersemangat.  Maya yang mendengarnya tidak percaya apa yang dikatakan oleh Sofiah itu datangnya dari naluri Sofiah yang sebelum ini dikatakan sebagai wanita penggoda. Namun begitu Maya merasa bersukur yang sahabatnya ini sudah mulai sedar dengan apa yang telah dilakukan pada hari-hari semalam.
            “Tapi Sofiah, tidak salah kalau kita yang mencipta cinta.  Cinta datangnya dari hati.  Aku yakin, satu hari kau akan jatuh hati dan pada ketika itu kau akan mengenali apa itu erti sebenarnya cinta.  Cinta yang dikenali sebagai cinta sejati.  Sesungguhnya apa yang aku harapkan pada kau, janganlah kau  yang memusnahkan cinta itu sendiri seperti mana yang kau lakukan sebelum ini.”  Nasihat Maya.  Walau bagaimanapun dia akur dia juga kini berada di ambang kegagalan bercinta.
            “Aku tahu,  Maya. Aku banyak melukakan hati seorang lelaki.  Sebab itu aku diduga apabila aku dapat merasai bagaimana hati ini terluka.  Oleh sebab aku menyimpan harapan yang tinggi, aku tersungkur.  Kadang-kala aku teringat akan kata orang, jangan terlalu mengharap kerana satu hari nanti kau akan pasti kecewa.”
            “Sofiah.”  Sofiah tersentak.  Raut wajah Daniel direnung.
            “Kenapa Encik Daniel? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
            “Sofiah, mana jadual kita?”  Sofiah yang mengerti akan permintaan Daniel akur.  Dicapainya beg hitam yang menjadi teman setianya di pejabat.  Kesemua jadual dan segala yang berkaitan dengan rombongan itu memang disimpannya di dalam beg tersebut.
            “Ini yang aku malas ni.  Sudah tentu aku yang akan jadi orang tengah.  Suruh hulur itu, suruh bagi ini.  Sudah, aku nak tukar tempat.  Begini sajalah.  Sofiah, kau bangun sekejap.”  Arah Maya.  Maya mengemaskan barang-barangnya.  Semuanya disatukan dan bersedia untuk bangun.
            “La… kenapa pulak?”  Tanya Sofiah acuh tak acuh sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Maya.   Dia tahu ada sesuatu yang ingin dibuat oleh Maya dan apa yang pasti dia sudah dapat fikirkan.
            “Aku cakap kau dengar sajalah.”  Sofiah bangkit.
            “Hah, Lim.  Kau pulak bangun.” 
            “Apa pulak kena-mengena dengan aku?”  Lim yang tidak tahu apa-apa mula bising.  Hilang konsenterasinya mendengar lagu kegemaran yang berkumandang di segenap pelusuk bas.
            “Ini lagi sorang.  Oi apek!  Bangunlah!”  Lim yang tidak mahu bercerita panjang mula mengangkat punggung.  Maya bangkit dari tempat duduknya.  Ditariknya tangan Sofiah supaya keluar. 
            “Lim, kau keluar.  Aku nak masukkan Sofiah kat tempat duduk kau.”
            “O… baru aku tahu.  Kau nak suruh aku jadi partner kau ke?”  Usik Lim sambil tersenyum mengena.  Kadang-kala dia seronok mengenakan Maya yang sememangnya suka bergurau.
            “Sudah, jangan nak mengada.  Sebelum nak jadi partner aku banyak lagi syarat-syarat yang perlu kau penuhi.  Kau duduk sini.  Aku pulak nak duduk sebelah tingkap.  Aku bukan apa, nak bagi Encik Daniel dengan Sofiah tu buat kerja.  Kalau tidak, sudah tentu dia kacau aku.”
            “Apa ni Maya?” Sofiah yang sedang berdiri merasa serba-salah.  Dia takut Daniel akan tersalah anggap tentang dirinya.  Dia tidak mahu Daniel menganggap  semua ini rancangan darinya.
            “Kau jangan banyak cakap Sofiah.  Ikut saja kata aku.  Encik Daniel, boleh bangun sekejap tak?  Bagi laluan bagi tuan puteri kita ni.”  Daniel akur.  Diberikannya laluan untuk Sofiah.  Sedangkan Maya sudah pun tersenyum puas.  Harapan untuk mendekatkan Sofian dan Daniel kini menjadi cita-citanya.
            “Oh ye.  Sofiah,  masuklah.”  Sofiah dengan berat hati menurut.  Wajahnya berubah.  Merah padam menahan malu yang amat sangat.  Tidak pernah dia diperlaku sedemikian. 
            “Apa lagi ni Maya, cubalah duduk.”  Hafiz yang berada di belakang Maya mula bersuara.  Lemas dia dengan kerenah Maya. 
            “Kejap lagilah Encik Hafiz.  Janganlah Encik Hafiz bimbang.  Saya dah buat  susun atur yang baru.  Okey, lepas ni saya tak akan ganggu Encik Hafiz lagi. Hah Lim!  Yang kau tercegat kenapa?  Duduklah.”
            “Macam mana aku nak duduk kalau kau belum duduk.”  Maya senyap.  Ye tak ye juga.  Aku belum duduk macam mana dia nak duduk?
            “Betul juga.  Sorry ye.” Maya menghempaskan badannya di tempat duduk Sofiah.  Manakala tempat duduknya kini dihuni oleh Lim.
            “Em… baru betul.  Sofiah kau kat sana jaga betul-betul Encik Daniel tu, dan Encik Daniel tolong tengok sikit si Sofiah.  Si Sofiah ni ada manja sikit.”  Ujar Maya dengan nada mengusik.  Gelihati dia apabila melihatkan wajah Sofiah yang sudah merona merah.  Sedangkan Daniel berlagak selamba.
            “Maya, kau duduk sebelah aku aku jangan nak membebel.  Aku campakkan kau kat luar tu nanti.”
            “Ala… setakat muka kau ni nak campak aku kat luar?  Suka hati akulah.  Aku pelik betullah tengok kau ni.  Nama saja orang cina tapi kau cakap macam orang melayu.  Itu yang aku keliru.”
            “Maya!!!!” Separuh dari penumpang bas itu menjerit.  Masing-masing tak tahan dengan suara Maya.

            “Opps!  Sorry.”  Maya senyap.  Dia tahu kesalahannya.  Dia terlalu banyak bercakap. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page