JODOH TIGA DARA - BAB 1

Teratak pena | 8:51 PM | 1 Comment so far


BAB 1

            Mak Senah membuka selak pintu dapur apabila salamnya tidak disambut.  Peluh yang menitik di wajahnya yang melepasi separuh abad itu dilap dengan lengan bajunya.  Cuaca panas hari itu usah dicerita.  Sempat juga dia menikmati teh o ais sebelum dia balik dari kedai Mak Lijah tadi.  Amboi, nikmatnya tak boleh nak dicerita.  Sampaikan Mak Temah, janda vogue pun boleh tumpang sekaki.  Alasannya nak singgah saja, tapi singgah ada maksud si Temah vogue tu.  Apa lagi kalau bukan nak cerita hal orang lain. Mak Senah dengan Mak Lijah dengarkan je.  Bukan dia tak tahu dengan Mak Temah tu.  Semua kisah orang habis nak dicerita. 
            “Kasih!!!”  Laung Mak Senah yang masih lagi mencari kelibat anaknya. Hish!  Mana pulak perginya anak dara ni.  Takkan kena culik dengan alien pulak.  Habis segenap rumah Mak Senah teroka mencari Kasih. Pelik!  Tadi masa tinggalkan dia okey je.  Elok pulak anak dara tu tengah memasak. 
            “Kasih!!”  Mak Senah cuba tinggikan volume suaranya.  Dalam bilik?  Tak ada.  Ruang tamu?  Kosong.  Hai, mana pulak perginya dia ni.
            “Ka…”
            “Kasih sini mak!”  Mak Senah mengurut dada perlahan.  Nasib baik anak aku ni ada lagi. 
            “Mana kau pergi Kasih?  Puas mak panggil kau.  Bukannya kau nak nyahut.  Kau buat apa kat belakang tu?” 
            “Ambil daun pisanglah mak.  Bukan ke mak yang beria-ia nak makan ikan bakar.  Takut betul mak Kasih tak ada ye.”  Usik Kasih tersenyum.
            “Hish!  Kau tu anak dara.  Rumah ni tak ada orang jantan.  Kau ingat mak tak risau?”  Kasih tersenyum lagi bila mendengarkan bebelan Mak Senah itu.
            Ada masa Mak Senah risau juga dengan kesemua anak daranya.  Kasih yang sulung umurnya sudah menginjak ke angka 32 tahun.  Masih tak ada calon untuk jadikan suami.  Begitu juga dengan Hani, anaknya yang kedua.  Umur dah sampai ke angka 28 masih lagi menunggu pinangan orang.  Yang ketiga, Eisya.  Walau pun dia paling muda, namun usianya sudah pun mencapai ke angka 26 tahun.  Ada masa Mak Senah terfikir siapalah jodoh anak-anaknya.  Anaknya semuanya perempuan dan menantikan pinangan orang.  Namun dia sedar, anaknya tiada istimewanya.  Walau bagaimanapun, sebagai ibu setiap kali selepas solat dia seringkali memanjatkan doa untuk anak-anaknya itu. 
            “Mak…. Mak…. Sampai kat luar Kasih dengar mak menjerit.  Kasih menyahut mak tak dengar.”  Ulas Kasih.
            “Lambat lagi kamu nak habis masak?”
            “Tinggal ikan bakar je mak.  Sambil masak, Kasih siapkan kuih untuk tok penghulu.  Kalau buat lepas masak nanti takut tak sempat pulak.”  Mak Senah menepuk dahi.  Terlupa sekejap dia dengan tempahan kuih tok penghulu.  Itulah dia, leka sangat berborak dengan Mak Lijah tadi masa nak ambil kuih.  Nasib baik Kasih yang sudah pun tahu tugasnya.
            “Ye tak ye juga.  Tok penghulu nak kuih dia bila?”
            “Petang mak.  Talam keladi Kasih dah kukus dah.  Cuma yang tinggal kuih koci aje.”  Mak Senah mengangguk.  Kembang hatinya bila Kasih sudah pun meletakkan kuih talam dalam tempat kukus.  Ha, kurang sikit kerjanya.  Tapi, kasihan pula dengan Kasih yang dari tadi masih belum berehat.
            “Tak apalah, biar mak sambung.  Kamu tu, dah mandi ke belum?”  Kasih menggelengkan kepala.  Dari pagi dia sibuk didapur dan bilik air.  Habis sahaja menjemur kain terus dia memasak untuk tengahari.
            “Patutlah masam.  Dah, pergi mandi.”
            “Sikit je lagi mak.”
            “Eh, budak ni.  Aku kata pergi mandi!” 
            “Yelah….”  Mencicit Kasih tinggalkan dapur dan terus menuju ke bilik.
            Selesai sahaja dia membersihkan diri, Kasih kembali semula ke dapur.  Ikan bakar sudah pun siap dimasak.  Kali ini dia membantu ibunya membungkus kuih koci. 
            “Mak makanlah dulu.  Biar Kasih buat semua ni.” Ujar Kasih sambil menyusun lauk di atas meja makan.  Mak Senah melabuhkan punggung di kerus sambil matanya tidak lepas memandang kepada lauk di atas meja.
            “Ikan bakar mana?”  Tanya Mak Senah sambil memandang kepada Kasih.  Kasih menggarukan kepala.
            “Hish!  Kamu ni Kasih, belum tua dah lupa.”  Usik Mak Senah.
            “Dah tua dah mak.  Umur pun dah 32.”  Sambut Kasih tersenyum.  Hai, menjawab je kerjanya budak bertuah ni.  Mak Senah tidak mahu tunggu lama dan terus menikmati hidangan tengahari itu.
            “Betul kamu nak hantar kuih-kuih tu semua Kasih?”  Tanya Mak Senah dihujung suapannya. 
            “Yelah mak.  Biar Kasih je yang hantar kuih-kuih tu.  Mak rehat je kat rumah.” 
            “Kalau kau nak hantar tu elok-elok sikit.”
            “Menurut perintah, bondaku.”  Senyum Kasih.
            KASIH mengayuh basikal dengan perlahan.  Mana tahu kuih dalam bakul boleh terjatuh kalau dia tidak berhati-hati.  Mana nak buat balik, dah pulak tu nak pergi membeli satu hal.  Bukannya pakai air liur je.  Segala lubang dielak dengan perlahan.
            “Ha…. Nak pergi mana tu…. Nak pergi mana tu…” Hampir terbabas Kasih bila dia disergah dari belakang.  Bunyi motor lagenda dari belakang tidak dihiraukan.  Malas dia nak layan lelaki yang dibelakangnya.  Kasih tidak memandang belakang.  Sebaliknya dia menyorong basikal yang hampir terbabas tadi.
            “Nak pergi mana ni Kasih sorang-sorang.”  Kasih diam. Sepatah pun dia tidak menjawab.  Berpaling pun tidak. 
            “Sombongnya.  Kalau nak pergi mana-mana boleh abang tolong temankan.  Banyak sangat barang yang dibawanya tu.  Bagi abang separuh.”  Borhan tersenggeh sambil memperlahankan motosikalnya sambil bergandingan dengan Kasih.
            Kasih memandang ke sekeliling.  Mana tahu ada insan yang boleh diminta tolong.  Atau pun dia takut orang akan salah faham dengannya.  Dia tidak mahu dicop sebagai perempuan gatal yang suka nak melayan suami orang.  Kasih berdoa agar Borhan cepat berlalu dari situ kalau dia tidak gatal melayannya.
            “Kau ni kan Kasih, makin sombong makin abang suka.  Eh, Kasih.  Kau kahwin dengan abang nak?”  E…. geli geleman bila Kasih mendengarkan perkataan kahwin dari mulut Borhan.  Kalau nak diikutkan hatinya mahu sahaja dia bagi satu smackdown pada Borhan.  Tapi bila mengenangkan yang dia anak dara dan keseorangan pulak tu, dia matikan niat.  Geram dan menyampah pula tengok mamat gatal  melebih ni.
            “Kasih…. Kau dengar tak apa yang abang  cakap ni?  Kau jangan nak sombong sangatlah Kasih.  Kalau kau sombong sangat, sampai bila-bila pun kau jadi anak dara tua tau.”
            Kasih buat tak dengar apa yang dikatakan oleh Borhan.  Dia dah lali semua tu.  Ramai orang kampung bercerita tentang umurnya.  Ah, ada dia kisah?  Bukan dia kacau orang pun.  Tapi apa yang paling dia takut adalah Mak Temah vogue tu.  Kalaulah dia nampak dia berdua-duaan dengan Borhan sekarang ni, naya je mak kena umpat nanti.  Habis satu kampung dia jajakannya.
            “Abang tolong jangan kacau Kasih.  Kasih nak cepat ni.” 
            “Kau nak cepat nak pergi mana Kasih?  Marilah temankan abang.” 
Hati Kasih sudah mula rasa tak senang.  Seram sejuk dia melihatkan Borhan yang seperti hilang pertimbangan itu.  Dari jauh dia terpandangkan rumah tok penghulu.  Kasih mengatur langkah dengan lebih laju lagi.  Makin dia laju, makin laju juga Borhan mengejarnya dari belakang.
“Marilah sayang, kita kahwin.”
“Jangan ganggu oranglah.”  Hati Kasih kian tenang bila dia sudah pun menghampiri perkarangan rumah tok penghulu.  Belum sampai di rumah tok penghulu, Kasih sudah pun menjerit memberi salam.
            “Assalamualaikum!!!! Tok!!! Tolong tok!!!” Jerit Kasih lantang.  Air mata Kasih hampir mengalir bila Borhan masih mengejarnya. 
            “Tok!!!”  Kasih menarik nafas lega bila pintu rumah dibuka.
            “Tolong saya, tok!  Abang Borhan kejar saya.”  Pandangan Kasih masih lagi kepada Borhan. 
            “Hey!”  Ternyata Borhan terkejut.  Dia kemudiannya menghidupkan enjin motor dan berlalu dari situ.  Bila melihatkan Borhan hilang dari pandangan mata, barulah Kasih boleh menghela nafas lega.
            “Terima kasih tok…”  Alamak!  Bukan tok penghulu! Siapa pulak mamat ni?  Tak pernah nampak pun.  Nak kata anak tok penghulu takkan kot.  Semua anak tok penghulu dia kenal.
            “Maafkan saya.”
            “Hai, atok pun atoklah.” Lelaki itu tersenyum apabila melihatkan Kasih yang masih lagi terpinga-pinga. 
            “Tok penghulu ada?”
            “Pakcik, ada orang nak jumpa.”  Jengah lelaki itu ke dalam rumah.  Tidak lama kemudian tok penghulu mula menjegahkan muka.
            “Tok…”
            “La… dah sampai kamu Kasih.  Kuih dah siap ye.  Marilah masuk.  Mastura ada kat dalam tengah tunggu. Dari tadi asyik bertanya bila kamu nak datang.” Ujar tok penghulu dengan mempelawa Kasih masuk.
            “Marilah saya tolong bawakan.”  Pelawa lelaki itu.
            “Tak apa, tak berat sangat.”  Tolak Kasih perlahan.  Dia dia kemudiannya menuju ke dapur apabila mendengarkan Mastura sedang menantikannya.
            “Kasih!!”  Menjerit Mastura apabila melihatkan Kasih yang masuk ke dapur.  Kasih terus meletakkan kuih di atas meja dan memeluk kemas rakan baiknya.
            “Kenapa muka kau pucat semacam je?”
            “Abang Borhan kejar aku.  Seram satu badan dibuatnya.”
            “Hai, bukan ke abang Borhan tu dah kahwin anak tiga.”  Kasih menganggat bahu.  Dia sendiri tidak tahu kenapa Borhan suka sangat nak mengorat.  E…. selisih dapat lelaki buaya darat macam tu.  Kalau kat rumah bukan main lagi.  Pijak semut pun tak mati.  Luar rumah?  Macam cacing kepanasan.
            “Wah, kau.  Bila nak bersalin ni?” Tanya Kasih apabila melihatkan perut Mastura yang kian membesar.  Dia cuba untuk mengubah tajuk.  Malas dia nak layan kisah mamat buaya darat itu.
            “Tiga bulan lagi.” 
            “Untung kau.  Diam-diam je anak kau dah dua.” 
            “Ala… rezeki…. Kau pun boleh.”
            “Nak boleh macam mana?  Kahwin pun tak.”  Rajuk Kasih. 
            “Ala…. Janganlah macam tu.  Ada jodoh kau.  Cuma cepat dan lambat je.”
            Kasih mengeluh.  Bila cerita tentang jodoh, wajah ibunya sering bertandang.  Bukan dia tidak mahu kahwin, tapi…. Mungkin belum sampai jodohnya nak buat macam mana.  Dia perempuan, yang menunggu pinangan orang.  Takkan dia nak jadi perigi pulak.  Ada pulak dikatakan anak dara tak tahu malu.  Kalau boleh dia tak nak menconteng arang dimuka ibunya.  Tak bau syurga nanti.
            “Ehem….” Perbualan mereka terhenti.  Kasih dan Mastura berpaling.
            Pandangan mata Kasih terarah kepada lelaki yang telah menyelamatnya tadi.  Senyumannya mak ia, mungkin ramai yang boleh tergoda.
            “Kasih, ini aku kenalkan kawan baik along aku.  Nama dia Anas Rizal.  Dia ni tengah cari rumah sewa kat kampung ni.  Maklumlah senang ke tempat kerja katanya.”
            “Abang Anas, ini Mas kenalkan kawan baik Mas. Nama dia Kasih.  Dia ni masih single and available.”  Pantas tangan Kasih mencubit lengan Mastura.  Mastura mengaduh kecil.  Malu pula dia dengan seisi perkenalan itu.
            “Kasih…” Anas Rizal senyum.  Kasih tunduk malu. Hish!  Kenapalah dia pandang aku? 
            “Er…. Mas, aku kena balik dulu. Kesian mak tinggal sorang.  Nanti kalau ada masa aku datang.” Yang sebenarnya Kasih tidak mahu lama di situ.  Debaran semasa Anas Rizal berada di situ tak boleh nak diukur.  Wahai hati…. Tenanglah kau.
            “Saya temankan awak balik.”
            “Eh, tak payah.”  Terus tegak kepala Kasih bila mendengarkan pelawaan Anas Rizal itu.  Jangan buat pasal.  Ini kampung, nanti ada saja wartawan yang tak bertauliah sampaikan gossip sensasi.
            “Nanti kalau lelaki tadi kacau awak macam mana?”
            “Tak apa.  Saya okey. Mas, aku balik dulu.”  Kasih memeluk erat sahabatnya itu.  Anas Rizal memandang dengan ekoran mata.  Namun dia dalam hati dia masih lagi diulit rasa bimbang.
            “Mas, Iskandar mana?”
            “Along ada dalam bilik dia.  Kenapa bang?”
            “Nak ajak dia ikut Kasih dari belakang.  Mana tau kalau lelaki tadi kacau dia balik.  Nak abang pergi sorang ada pulak kena cangkul dengan orang kampung.  Abang pergi dulu.” Anas Rizal berlalu meninggalkan Mastura yang tersenyum simpul.  Hai, Kasih…. Nampaknya ada juga lepas ni cinta berputik.
            “Mas….”  Mastura tersentak.  Wajah suaminya di muka pintu dapur dipandang.

            “Kenapa dengan Anas tu?  Macam orang tak tentu arah je.”  Mastura senyum tidak menjawab soalan suaminya itu.  

CINTA KAU DI MANA - BAB 1

Teratak pena | 8:24 PM | Be the first to comment!


Salam Readers semua....

Nak belanja semua Bab 1 dari Novel Cinta Kau Di Mana.

Novel ni dah ada di pasaran Februari 2017 di  bawah naungan KAKI NOVEL.

BAB 1

            Suraya keluar dari biliknya setelah selesai  solat subuh.  Derapan kakinya memenuhi heningan subuh itu.  Walau pun ibu dan adiknya telah pun berjaga namun dengan suasana hening begitu jelas kedengaran kakinya melangkah ke dapur.  Suraya sempat berdiri di ruang pintu sebelum dia menuruni anak tangga untuk ke dapur.  Kelihatan Hamdan, adiknya masih lagi berselubung dengan kain pelikat.  Adiknya yang berumur 16 tahun itu tersenggut di meja makan yang sudah kelihatan usang.  Pandangan Suraya berkalih kepada ibunya, Mak Siah yang sedang leka mengacau sambal di atas dapur.  Aroma nasi lemak jelas menyinggah di rongga hidungnya.  Erm…. Sedapnya bau.
            Suraya menarik kerusi dan melabuhkan punggung di hadapan Hamdan yang masih lagi terpisat-pisat itu.  Suraya mencapai kertas surat khabar yang sudah dikerat dan sehelai daun pisang diletakkan di hadapannya.  Nasi lemak yang masih lagi panas disendukkan dan diletakkan di atas daun pisang.  Sambil menantikan sambal masak, dia meletakkan telur dadar yang telah dikerat 8 di sisi.  Kemudian dia mencapai ikan bilis goreng bersama dengan kacang tanah goreng diletakkan di sebelah telur dadar itu.  Melihatkan Hamdan yang masih berselubung itu, Suraya mula mengambil peluang.  Kaki adiknya ditendang.
            “Aduh!  Kakak ni.  Sakitlah.”  Kedengaran suara serak-serak basah milik adiknya itu berbunyi.
            “La… kakak ingatkan tak sedar tadi.”  Tangan Suraya sempat mencapai timun yang siap dihiris dan di letakkan di disebelah kacang. 
            “Kakak ni,  janganlah kacau.  Hamdan mengantuk ni.”  Hamdan yang masih lagi berselubung dengan kain pelikat itu bersuara.  Mengantuk matanya usah nak diceritakan.  Sudahlah dia lewat tidur kerana mengulang kaji, kini kakaknya itu sudah mula mengusiknya.
            “Bangunlah Hamdan.  Dah sembahyang subuh ke belum ni?”  Tanya Suraya dengan suara yang kian meninggi.
            “Sudahlah kak.  Orang mengantuklah kak.  Bagi Hamdan tidur sekejap.  Sepuluh minit jadilah.”  Ujar Hamdan dengan matanya yang masih lagi tertutup. 
            Suraya tersenyum sambil menggeleng.  Kalau dah kata namanya Hamdan, kalau mana-mana pun dia boleh layan tidurnya.  Atas meja makan pun jadi.  Kalau di bilik, lagilah pula.  Nak mengejutkan punyalah payah.  Suraya menantikan Mak Siah siap memasak sambal.  Dia kemudiannya menyiapkan nasi untuk kali kedua.  Nanti senang cuma nak letak sambal saja di atas nasi. 
            “Kakak, janganlah tarik kain ni. Orang nak tidur ni.  kacau jelah.”  Hamdan menarik semula kain pelikat bila kain ditarik dari badannya. 
            “Kakak….”  Bila kali kedua kain pelikat ditarik, Hamdan mula bangkit.  Namun belum sempat dia bangun, dia tersenyum meleret.
            “Mak,”  Hamdan tersenggeh mempamerkan barisan gigi yang masih belum digosok lagi. Tawa Suraya meledak saat ibunya sudah mencekak pinggang.
            “Bertuah punya anak bujang.  Bukan dia nak menolong kita.”  Mak Siah memperlihatkan wajah bagai ibu tiri saat Hamdan tersenyum bagaikan orang yang tidak bersalah. 
            Mak Siah meletakkan sambal yang sudah siap di atas meja.  Dengan tidak menunggu lama Suraya mencapai sambal dan diletakkan di atas nasi.  Setelah cukup semua bahan, dengan pantas dia membungkus  nasi lemak dengan kemas.  Nasi lemak yag siap dibungkus di letakkan di tepi.  Senang untuk di masukkan ke dalam bakul.
            “Orang tengah tolonglah ni mak.”  Hamdan menggosok matanya sambil menguap.
            “Dia tolong apa mak?  Tolong buat tahi mata adalah.”  Hamdan menjelirkan lidah bila kakaknya itu mula bersuara. 
            “Kakak cemburulah tu.  Tak boleh nak buat tahi mata.”
            “Sekurang-kurangnya kakak dah dapat bungkus nasi lemak, tau.”
            “Ala… setakat lima bungkus apa ada.  Nanti, sekejap lagi hero datang lebih dari tu Hamdan boleh buat.”  Hamdan mendabik dada.  Sengaja untuk mengusik Suraya.
            “Cakap dengan air liur bolehlah.  Cepatlah.  Pukul berapa nak siap kalau tercegat lagi kat situ.  Nanti nak hantar kat kedai Pak Usop lambat pulak.”  Bebel Suraya sambil tangannya berjalan menyiapkan bungkusan nasi lemak.
            Hamdan menggarukan kepala.  Susah betullah kena bebel pagi-pagi buta ni. Buat rezeki lari je.   Hamdan tidak tunggu lama.  Dia segera masuk semula ke bilik dan mengambil tuala untuk mandi.  Tinggallah Suraya dan Mak Siah yang menyiapkan bungkusan nasi lemak.
            “Hari ni kamu nak keluar juga ke Suraya?”  Tanya Mak Siah memecah keheningan pagi itu.
            “Entahlah mak.  Macam dah putus asa rasanya nak minta kerja.  Puas dah Su tanya kerja kosong.  Temuduga dah banyak pergi. Satu pun tak sangkut, mak.”  Keluh Suraya perlahan.
            Semenjak Suraya berhenti kerja ekoran dari gara-gara kegawatan ekonomi kini dia menjadi penganggur.  Puas sudah dia menadah muka untuk mencari kerja, namun semuanya sia-sia sahaja.  Banyak tempat yang dia sudah jalani temuduga namun satu pun yang tidak dipanggail untuk lapor diri.  Akhirnya dia membantu ibunya menjual nasi lemak.  Namun, sampai bila dia boleh bertahan.  Keluarganya perlukan kewangan yang kukuh memandangkan Hamdan akan menghadapi peperiksaan penting tahun depan.  Sekiranya ada rezeki, jika Hamdan dapat melanjutkan pelajaran sudah tentu dia perlukan wang.  Suraya tekad.  Sekiranya tiada rezeki di tempat kelahirannya, dia ingin keluar dari kampung untuk mencari rezeki yang tetap.
            “Kamu tak tanya dengan Zulaika kalau-kalau tempat dia nak pakai orang.”  Suraya menggeleng.
            “Sudah, mak.  Dia kata tak ada.  Su pergi pun dia kata dia dah tak ambil orang lagi.”  Zulaika yang menjadi kerani di kilang electronic turut menjadi mangsa kaunter pertanyaan oleh Suraya.  Namun jawapan yang diberikan oleh Zulaika itu benar-benar mengecewakan hatinya. 
            “Dengan Zahid?  Sudah kamu bertanya dengan dia?” Kali ini nama Zahid pula dikaitkan. 
            “Agak-agaklah mak.  Bengkel motor tu.  Takkan Su nak kerja kat sana.  Mak nak tengok Su ni macam orang jantan ke? Silap hari bulan tayar ke mana, ekzos ke mana.”
            “Hish!  Ke situ pulak kamu ni.  Manalah tahu kalau dia orang nak pakai kerani.  Takkanlah mak nak kamu repair  motor tu.”  Suraya tertawa dengan kata-kata ibunya itu.  Betapa jauh fikiran orang tua itu.
            “Mak ni kan, macamlah dia tu buka syarikat besar.  Kalau ada dah lama Su minta.  Sekarang ni susah nak cari kerja mak.  Itulah, Su ingatkan….” Kata-kata Suraya mati dengan tiba-tiba.
            Mak Siah yang sedang membungkus nasi lemak juga terhenti dengan tiba-tiba.  Matanya melekat memandang kepada Suraya yang sudah tunduk memandang meja.  Ah, sudah.  Jangan pulak dia minta buat kerja yang bukan-bukan.  Siaplah kalau dia minta kerja yang bukan-bukan.  Satu Malaysia dia akan kejar anak daranya itu.
            “Su jangan nak buat hal ye.  Banyak lagi kerja halal yang boleh buat.  Nak mak sirakan kamu dengan cili, silakanlah buat yang bukan-bukan.” 
            Pulak!  Suraya memandang kepada Mak Siah.  Merah mata Mak Siah membuatkan Suraya tertawa buat kali kedua. Entah apa pula fikiran ibunya kini.  Dia sendiri tidak menyalahkan ibunya untuk berfikir yang bukan-bukan.  Maklumlah dia anak dara yang tidak punya ayah.  Mesti ibunya risau dan fikirkan yang bukan-bukan.
            “Mak ingat Su nak buat apa?”
            “Keldai dadah.”  Kali ini benar-benar membuatkan Suraya ketawa.
            “Mak ni banyak sangat tengok TVlah.  Keldai dadah.  Tak ada kerja lain ke yang mak nak fikirkan.  Buat Su pecah perutlah.”  Ujar Suraya yang masih bersisa tawanya. 
            “Siapa yang nak jadi keldai dadah?”  Kali ini suara Hamdan mula menerpa.  Hamdan yang sudah siap berbaju sekolah menarik kerusi untuk membantu menyiapkan nasi lemak.  Dia juga handal di dalam membungkus nasi lemak.  Semenjak dia berumur sepuluh tahun Mak Siah sudah pun mengajarnya membungkus nasi lemak.
            “Tak, mak ni….. dia ingat kakak nak jadi keldai dadah.” 
            “Siapa?  Kakak?  Bila masa pulak dia nak keluar negara mak.  KL pun susah dia nak lepas.  Inikan pulak nak pergi ke luar negara.” 
            Mak Siah tidak bersuara.  Sebaliknya dia meneruskan membungkus nasi lemak. Sesekali dia memandang kepada Suraya dan Hamdan.  Jauh di sudut hati dia begitu kasihan dengan kedua-dua anaknya itu.  Suraya seorang yang cerdik.  Namun dia hanya mampu menampung Suraya hanya sehingga STPM.  Setelah Suraya berjaya menerima berita baik akan permohonan Suraya ke menara gading akhirnya anak itu mematikan angan-angan dan semangat belajar semata-mata mahu membantunya.
“Er… Su rasa kalau Su tak dapat kerja kat sini Su rasa Su nak ke Kuala Lumpur.”
Terhenti kerja-kerja Mak Siah sekali lagi.  Mak Siah memandang kepada Suraya.  Cuba untuk mencari akan kebenaran dari kata-kata anaknya itu. Hamdan juga turut terkejut dengan kata-kata Suraya itu.  Suraya sudah banyak berfikir semenjak akhir-akhir ini.  Seandainya sudah tiada rezekinya di tanah kelahiran, dia perlu melangkah untuk mencari rezeki di tempat lain.
“Mak tak mimpi ke?”
            “Tak, mak.  Su rasa memang dah tak ada rezeki Su kat sini.” Ujar Suraya dengan penuh nada pasrah.  Bukan dia tidak mencari kerja, namun semuanya tidak memihak kepadanya.  Kini, dia mula mengalah.  Akhirnya ini sajalah jalan yang terlintas di fikiran.
            “Su nak tinggalkan mak ke?” Ada nada getar dalam suara Mak Siah. 
            Suraya sudah mengagak akan reaksi ibunya. Sudah tentu selepas ini air mata ibunya pasti tumpah.  Bukan niatnya untuk meninggalkan ibunya, namun dia sudah membuat timbangan untuk memajukan juga dirinya.
            “Su rasa ada rezeki Su di sana.  Lagi pun bila Hamdan berjaya SPM nanti sekurang-kurangnya ada simpanan kita untuk lihat Hamdan berjaya.” Kali ini nama Hamdan pula dijaja. 
            Hamdan terhenti dengan tiba-tiba.  Dia memerhatikan Suraya dengan rasa kasih.  Selama ini dia mengakui kakaknya itu banyak membantu keluarga itu.  Namun dia tidak menyangka kakaknya itu ingin melangkah jauh lagi.  Pandangan Hamdan kemudiannya berpaling kepada ibunya, Mak Siah.  Keputusan dari ibunya masih lagi dinanti.
            “Tapi kenapa KL?  Bukan ke banyak kerja kat sini.” 
            “Mak, apa yang Su perlukan adalah restu dari mak.  Su berharap sangat yang mak akan doakan Su berjaya.  Bukan niat Su nak tinggalkan mak.  Su sayangkan mak. Sebab itu Su nak sangat kerja yang boleh membahagiakan mak.  Kerja yang boleh berikan kejayaan buat Hamdan.”
            Kata-kata Suraya itu bagaikan mencuit rasa keibuan Mak Siah.  Dia bagaikan belah-bagi dengan keputusan anaknya itu.  Namun jawapannya hanya dua. ‘Ya’ atau ‘tidak’.  Mak Siah mengakui perjalanan keluarga itu masih jauh lagi.  Suraya masih belum berkahwin dan Hamdan masih lagi dibangku sekolah. 
            Mak Siah mengeluh perlahan.
            “Hamdan rasa mungkin ada betul keputusan yang kakak buat, mak.  Kakak perlukan perubahan.  Kesian kakak.  Bukan maksud Hamdan yang buat nasi lemak ni tidak berikan kita nafkah, tapi kakak perlukan kerja yang tetap, mak.”  Mak Siah memandang kepada Hamdan dengan melihat wajah anaknya itu. 
            “Kalau boleh, Su nak tengok mak senang.  Su sedih bila tengok mak bangun pagi-pagi bungkus nasi lemak semata-mata nak lihat kami berjaya.  Kali ini Su perlukan berkat dari mak untuk Su mencari rezeki di tempat lain.”  Suraya mencapai tangan Mak Siah dan menggenggamnya erat.
            Bukan senang untuk Mak Siah melepaskan Suraya pergi.  Bermacam-macam yang bermain difikirannya.  Kuala Lumpur, sudah bermacam-macam dia dengar.  Bukan cerita yang baik, namun kebanyakkan cerita-cerita buruk yang menjerut tangkai hatinya.  Takkan mahu dia menghulurkan leher sedia dihukum.  Mak Siah tidak segera menjawab.  Sebaliknya dia termenung sebentar sebelum dia meletakkan nasi lemak di dalam bakul.
            “Tentang nasi lemak, janganlah mak bimbang.  Hamdan ada boleh bantu mak.”  Kali ini Hamdan beria-ia untuk membantu kakaknya itu merealisasikan impian.
            “Mak bukan tak nak bagi, cuma mak takut nak lepaskan Su.  KL tu…. Hish!  Kecut perut mak dengar macam-macam.” Terang Mak Siah.
            “Apa penting, doa dan restu mak.  Mak, Su perlukan semua tu.  Mak doakan yang Su berjaya dan tidak berubah. Mak, bahaya tu ada kat mana-mana.  Yang penting doakan yang Su seperti Su sekarang ni.”  Suraya cuba memujuk ibunya. 
            Keluhan Mak Siah kian keras.  Apakah patut untuk dia menahan akan cita-cita anaknya demi melihat anaknya di depan mata?  Selama 25 tahun dia tidak pernah berenggang dengan Suraya.  Dan kini?  Dia perlu melepaskan pergi anaknya itu demi mencari sesuap nasi?  Mak Siah membisu lagi.  Fikirannya melayang.  Dia tidak tahu akan apa jawapan yang perlu diberi.  Namun jauh di sudut hati dia bagaikan merelakan. 
            “Mak….”
            Mak Siah berpaling.
            “Baiklah.  Mak izinkan.  Tapi….”
            “Terima kasih, mak.”

            “Tapi…. Mak nak tengok macam mana Su sekarang ni, macam itulah Su di sana.  Kalau tidak mak tak teragak-agak untuk Su balik semua ke kampung.”  Suraya tersenyum dengan keputusan ibunya itu.  Suraya merapati Mak Siah dan memeluk ibunya dengan erat dan padu betapa dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

JADUAL PENULIS KAKI NOVEL UNTUK PBAKL 2017

Teratak pena | 9:10 PM | Be the first to comment!


Salam readers....

Lama sangat tak coretkan sesuatu di dalam teratak ni... Minta maaf banyak-banyak.  BZ melanda sejak dua menjak ni.  Alahai.. BZ lah sangat.  Okey, kepada sesiapa yang berkelapangan, boleh terjah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 yang kembali bersiaran di PWTC.  Yeha....

Untuk makluman, saya akan berada di sana pada 30 April 2017 dari jam 2.30 petang sehingga jam 4.00 petang.  Kalau nak berjumpa dengan penulis lain, bolehlah refer jadual yang telah diberikan.

Perasaan?  Gementar yang amat sangat  Rasa macam kecil aje, sebab ramai lagi penulis terkenal dan popular.  Bersama-sama dengan penulis hebat membuatkan saya takut.  Diharap segalanya berjalan dengan lancar.

Kepada peminat novel, rasanya inilah yang dinantikan.  Bukan sahaja dapat berjumpa dengan penulis kegemaran, apa yang penting dapat mendapatkan naskah dengan harga yang berpatutan dan murah.  Apa lagi... jom serbu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page