Bisikan Cinta : Bab 10

Teratak pena | 7:57 PM | Be the first to comment!
BAB 10


Maya dan Sofiah berlari menuju ke pantai apabila mereka terlewat untuk acara seterusnya.  Acara inilah yang paling dinanti-nantikan oleh Maya.  Acara pantai.  Kunci bilik ditinggalkan di kaunter pertanyaan.  Daniel selaku pengerusi bagi lawatan tersebut memang sengaja mencari hotel yang menghadap pantai.  Sekurang-kurangnya aktiviti mereka dapat diisi.  Sampai saja di pantai, dilihatnya sudah ramai yang sedang menanti.  Daniel dan Hafiz sedang rancak berborak.  Entah apa yang diboraknya pun tak tahu.  Tapi.. ke mana pulak perginya Rozita?  Tak nampak pun batang hidung dia. Takkan dia dah mabuk kot?  Kalau tidak dia dengan si Hafiz macam belangkas.  Ke hulu ke hilir asyik berdua.  Nak cari publisitilah tu.  Kononnya merekalah pasangan yang paling ideal.  Sudah sah dua-dua perasan!
            Maya menghampiri Emma yang sedang bermain dengan ombak di gigi pantai.  Emma mesti tahu ke mana Rozita pergi. Sebab mereka satu bilik. 
            “Emma, Ita mana?” Tanya Maya.  Tangannya sempat bermain dengan ombak.  Matanya tidak lepas memandang ke arah laut yang luas terbentang.
            “Dia tak sihat.  Katanya kepala dia sakit.”  Hah?  Kepala sakit?  Tadi tengok bukan main lagi dengan Encik Hafiz. Bisik hati Maya.
            “Dia macam mana sekarang?  Nak ubat ke?”
            “Tak payah.  Encik Hafiz dah berikan dia ubat.  Mungkin lepas berehat, sihatlah dia tu.”  Maya mengangguk tanda setuju.  Dia kemudiannya kembali ke arah Sofiah yang sedang meneliti jadual di samping Daniel.  Nak kacau daun ke?  Tak perlulah.  Nanti kalau dah bertiga orang kata semak.  Maya mencari kelibat Hafiz.  La.. itu dia tengah lepak atas batu rupanya. 
            “Encik Hafiz! Mana pergi teman wanita Encik Hafiz?  Dah pengsan ke?”  Sengaja Maya ingin menyakitkan hati Hafiz.  Hafiz yang terasa menjeling tajam. Dia ni ada yang kena humban dalam laut.  Hafiz tidak bersuara sebaliknya dia memandang ke arah laut yang tenang.
            “Encik Hafiz, janganlah macam ni.  Nanti tak laku.  Marilah.  Acara dah nak mula.  Tu, adik Encik Hafiz dah panggil.” Ajak Maya.  Dilihatnya Daniel sudah melambaikan tangan supaya datang ke arahnya.
            “Marilah Encik Hafiz.  Nanti, kalau saya datang seorang apa pulak kata orang.  Seorang setiausaha tidak pandai nak kendalikan majikannya sendiri.  Marilah, mereka semua dah tunggu.”  Maya menarik tangan Hafiz.  Hafiz dengan separuh terpaksa akur dengan tindakan Maya.
            Sampai saja di sana, Daniel dan Sofiah yang menjadi dalam bahagian permainan pantai memberikan jadual tentang perlawanan berkayak  yang akan diadakan sebentar lagi.  Setiap kayak akan dikendalikan oleh dua orang.  Mereka akan berkayak dari pantai hingga ke bendera merah yang telah ditandakan, kemudian mereka akan berkayak semula ke pantai untuk menentukan juara.
            “Baiklah, sekarang kita akan undi siapa yang akan menjadi pasangan masing-masing.”  Laung Daniel.  Maya tekun mendengarkan setiap butir bicara yang disampaikan oleh Daniel.
            “Encik Hafiz, saya rasa Encik Daniel dengan Sofiah memang secocok.  Apa pulak pendapat Encik Hafiz?”
            “Sudah saya beritahu pada awak Maya.  Kalau awak suka melaga-lagakan orang, buka saja syarikat agen cari jodoh.”  Maya panas dengan kata-kata Hafiz itu.  Maya senyap.  Dia tahu, Hafiz ketika itu usah ditegur.  Kalau salah cakap, ada juga yang kena campak dalam laut.
            “Cik Maya Izatti!”  Maya yang berada sedikit belakang menjengahkan muka.
            “Dia akan berpasangan dengan Encik Hafiz!” Laung Sofiah.  Maya antara dengar atau tidak terduduk.  Satu bala lagi yang datang.  Imiginasinya kini sudah terserlah, yang dia pasti akan terjun laut.
            “Baiklah, kalau semua sudah sedia kita akan mulakan sekarang.  Semua peserta dikehendaki ke pantai dan bersedia di kayak masing-masing.”  Maya yang sudah berada di kayak menggarukan kepala.  Aku nak duduk mana ni?  Depan ke atau pun belakang?
            “Apa yang awak menungkan?  Duduklah” Arah Hafiz.  Maya berpaling memandang ke arah Hafiz.
            “Saya nak duduk di mana?”
            “Pasangan Encik Hafiz dan Maya Izzati sila duduk di tempat masing-masing.”  Laung Daniel yang sudah pun bersedia dengan bendera kecil untuk melepaskan peserta.
            “Tak apalah.  Awak duduk di depan.  Biar saya di belakang.” Maya akur.  Dia segera masuk ke kayak dan segera memegang pedal untuk memulakan pertandingan.
            “Baiklah, kegarisan….. sedia… mula….”  Kesemua kayak yang memasukki pertandingan itu berlepas.  Ada lebih kurang 15 kayak yang ambil bahagian.  Pada ketika ini, Emma dan Lim masih lagi mendahului peserta yang lain.  Maya dan Hafiz yang menduduki tempat kedua sedaya upaya untuk memotong Emma dan Lim.  Setelah melepasi bendera merah, kayak Hafiz mula membuat pusingan.  Tetapi… entah kenapa, Maya yang berada di hadapan tidak dapat mengawal kayaknya.  Hafiz yang duduk di belakang cuba untuk menyelamatkan keadaan namun gagal.  Kayak mereka terbalik.  Hafiz sempat naik semula ke kayak.  Maya yang masih berada dalam air cuba meminta bantuan.
            “Maya, capai tangan saya.”  Hafiz mula memberikan bantuan.  Maya yang masih lagi tercungap-cungap cuba mencari tangan Hafiz.  Apabila berjaya, Maya dengan sekuat hati memegang tangan Hafiz.  Hafiz berusaha menarik Maya naik ke kayak tetapi semua itu sia-sia belaka.  Keadaan fizikal Maya membuatkan Hafiz memerah tenaga dengan sepenuhnya.
            “Kau ni berat sangatlah Maya. Cuba naikkan salah satu kaki awak.  Senang saya nak naikkan awak.” Maya berusaha menaikkan kaki kanan.  Akhirnya dengan usaha Hafiz, Maya dapat diselamatkan. 
            “Awak tak ada apa-apa Maya?”  Maya menggeleng.  Suaranya ibarat tersangkut di kerongkong. Pada saat itu, pandangan mata mereka bertentang.  Maya berpaling.  Tidak sanggup dia menatap wajah Hafiz ketika itu. Maya dan Hafiz akhirnya sampai ke garisan penamat dengan tempat yang terakhir.  Itu pun gara-gara kayak mereka terbalik.
            “Kau macam mana Maya?” Tanya Sofiah seraya Maya sampai di pantai.
            “Aku okey.  Aku tak ada apa-apa.”
            “Aku risau betul tengok kau jatuh tadi.  Nasib baik ada Encik Hafiz.  Kalau tidak, tak tahulah aku nak cakap.  Maya… Maya… hey, kenapa ni?”  Sofiah tersentak apabila melihat butir-butir jernih mula menghiasi pipi halus milik Maya.  Sofiah terkedu sebetar. 
            “Encik Hafiz!”  Entah kenapa nama itu yang dilaung oleh Sofiah.  Hafiz yang baru saja mengeringkan rambut berlari ke arah Sofiah.
            “Kenapa?” Pertanyaan Hafiz disambut oleh dengan wajah cemas Sofiah.  Hafiz memandang ke arah Maya.
            “Maya, kenapa ni?  Cuba cakap dengan saya.”  Hafiz mula memujuk.  Maya masih lagi senyap.
            “Sofiah, ambilkan saya air.”  Sofiah berlari meninggalkan Maya bersama-sama dengan Hafiz.  Hafiz merenung ke arah Maya.  Jelas kelihatan raut wajahnya yang masih lagi dalam ketakutan.
            “Maya masih takut lagi ke?”  Maya menggangguk.  Hafiz menyeka air mata Maya yang masih lagi mengalir.
            “Sudahlah tu.  Bukankah saya sudah selamatkan awak?  Maya jangan menangis lagi. Kalau awak tak berhenti menangis apa pula kata orang nanti.  Seorang majikan membuli pekerjanya.”  Hafiz tidak berputus asa untuk memujuk.  Seketika itu Maya mula mempamerkan satu senyuman.  Dia lega dengan pujukan Hariz itu.  Sofiah kemudiannya sampai dengan membawa mineral water yang di ambilnya dari peti simpanan air. 

            “Sofiah, bawa Maya naik ke bilik.  Dia sebenarnya masih lagi takut tentang tadi.” Maya dan Sofiah mula beredar meninggalkan  Hafiz keseorangan.

Cerpen: Nasi Lemak Kari Ayam

Teratak pena | 9:42 PM | Be the first to comment!
NASI LEMAK KARI AYAM


Hariz menuang air ke dalam gelas yang masih berbaki. Ketawanya pecah lagi. Mendengarkan cerita yang dibawa oleh Fariz begitu mencuit hatinya. Begitu juga dengan Firdaus dan juga Azim. Cerita yang mereka lakarkan dan nostalgia semasa mereka dibangku sekolah begitu menggelikan hati mereka. Mahukan tidak, kenangan semasa dibangku sekolah jika dikenangkan memang banyak cerita-cerita yang begitu melucukan hati.


“Kau nak air lagi?” Soal Hariz yang masih memegang jug berisi air Teh ‘o’ kepada Firdaus setelah gelasnya juga sudah hampir kosong. Setelah penat memasak di khemah belakang, mereka melepaskan lelah sebentar untuk berehat. Mereka tidak sangka majlis perkahwinan Suraya telah menemukan mereka yang sudah lama tidak bertemu. Maka, tatkala sudah bertemu maka bertalulah cerita yang hendak dibawa.


“Aku tak sangka kau begitu berani, Hariz.” Suara Firdaus. Hariz mengerutkan keningnya. Tidak faham dengan kata-kata Firdaus itu. Berani? Apa yang dimaksudkan oleh Firdaus itu?


“Maksud kau?”


“Meminang Fazleen.” Senyum Hariz mula bertamu dibibirnya. Fazleen. Nama yang selama ini sering meniti di bibirnya. Namun hampir 15 tahun dia tidak bertemu dengan Fazleen. Ya, memang dia berani meminang Fazleen. Gadis itu telah banyak memberi dorongan dan semangat untuk dirinya. Saat dia jatuh gadis itu juga yang menjadi tongkatnya. Dia memang banyak terhutang budi dengan Fazleen.


“Kenapa? Salah ke? Bukannya aku meminang lelaki.” Tegas Hariz. Cuba untuk mencari jawapan dari Firdaus.


“Yelah…. Kau dah 15 tahun tak jumpa dia. Macam mana kau nak tahu dia tu macam mana?” Firdaus terfikir sendiri. Erm…. Apa yang aku soal ni?


“Engkau ni, tak salah rasanya kalau aku nak meminang si Fazleen tu. Lagi pun setahu aku Fazleen tu pun belum ada yang punya. Bukan tunangan orang atau pun isteri orang. Lagi pun sebelum aku meminang dia aku dah bertanya dengan mak dan ayah dia. Takkan aku nak pinang anak dara orang main sergah macam tu je.” Terang Hariz.


“Kau tak tertanya ke kenapa dia tak kahwin lagi.” Azim pula yang cuba menyelami.


“Habis tu, kenapa kau tak tanya si Suraya tu kenapa baru sekarang dia nak kahwin. Sedangkan dulu semua budak lelaki dok syok kat dia. Termasuklah kau sekali.” Tuding Hariz kepada Azim. Azim berdehem. Cuba memandang sekeliling. Buatnya keluarga Suraya tahu mahu naya dibuatnya. Hish! Si Hariz mulut tu tak boleh nak control.


“Mula-mula aku ada tanya dengan mak aku. Hariz atau Fariz yang nak kahwin dengan Fazleen. Bila kali ketiga mak aku kata Hariz, baru aku percaya. Tambahan pula aku dapat kad jemputan dari kau. Aku memang tak sangka dengan kau.” Sambung Azim.


“Yelah…. Dulu masa kita sekolah rendah dulu…. Kalau sebut nama pelajar yang paling kita suka… nama Fazleen tu tak pernah berada dalam carta kau.” Sambut Azim.


“Aku pun tak tahu macam mana kau boleh nak pinang si Fazleen tu. Bukan ke masa kecik dulu kau anti dengan dia. Kau selalu buli dia. Kau selalu cari gaduh dengan dia. Hish! Aku memang tak faham.” Ujar Firdaus.


Dia memang tidak mengerti. Bagaimana Hariz boleh meminang Fazleen. Sedangkan sewaktu kecil dahulu, Hariz dan Fazleen tidak pernah nak berbaik. Bagaikan anjing dengan kucing. Tapi…. Kalau Fariz yang masuk meminang memang tidak boleh disangkal lagi. Sebab? Fariz dan Fazleen bagaikan belangkas. Kemana sahaja mereka memang berdua. Di mana ada Fariz, di situ juga ada Fazleen Isya. Tapi…. Hariz dan Fazleen? Bagaikan langit dan bumi.


************************************************************************


“Oi! Janganlah buat aku macam ni! Bagilah balik bekal aku tu.” Jerit Fariz sambil berlari cuba mendapatkan nasi lemak yang sering bertukar tangan. Saja Hariz mempermainkan Fariz. Seronok dia melihatkan Fariz yang berlari cuba mendapatkan nasi lemaknya. Air muka Fariz mula berubah. Air matanya mula bergenang. Hariz memang suka bila melihat Fariz menangis. Bila Fariz menangis, dia merasakan amat puas.


“Marilah dapatkan nasi lemak ni. Kau ni lembik sangatlah, Fariz. Nama je lelaki.” Acah Hariz lagi. Kali ini bekal nasi lemak Fariz bertukar tangan lagi. Kali ini di tangan Azim pula. Hariz pula masih lagi mengusik dan mempermainkan Fariz.


“Oi! Kau orang jangan ganggu dia!” Lantang suara yang membuatkan Hariz, Azim dan Firdaus berpaling. Sudah sampai ‘baju kebal’ dia. Dengar suaranya pun dah tahu macam mana saiz badannya. Besar….. mak ai tak boleh nak cerita.


“Buah hati pengarang jantung dia dah sampai dah….”


“Eh, Hariz! Kenapa dengan kau ni. Kalau satu hari kau tak usik si Fariz ni memang tak sah. Kau bagi balik bekal dia tu. Kalau tidak penumbuk sulung ni hinggap kat mata kau tu.” Berubah wajah Hariz saat dia digertak sebegitu.


“Nasib kau baik, Fariz. Nah kau ambik bekal nasi lemak yang buah hati kau bagi ni. Lepas ni bolehlah kau jadi macam badan dia.” Usik Azim pula. Dengan perlahan Azim menghulurkan bekalan. Namun belum sempat Fariz mencapai bekalan itu, Azim pindahkan bekalan itu ke tangan Hariz. Hariz gelak melihatkan Fariz yang terkulat-kulat.


“Apalah sedap sangat dengan nasi lemak sampai hari-hari kau usung ni, Fariz?” Hariz melabuhkan punggungnya sambil membuka bekalan Fariz. Nasi lemak dengan kari ayam itu benar-benar menusuk ke hidung. Fariz dan Fazleen cuma menjadi pemerhati.


“Tak adalah sedap sangat pun. Macam manalah kau boleh bawak bekal nasi lemak ni.” Bebel Hariz. ‘Ermmm boleh tahan sedap. Patutlah Fariz selalu makan nasi lemak ni.’


“Oi Hariz, kalau tak sedap kau bagilah baik kat dia tu. Yang kau sental sampai licin tu kenapa?” Geram Fazleen melihatkan gelagat Hariz itu.


“Ala…. Rezeki…. Takkan aku nak buang kot? Ala…. Fariz, kau pandai-pandailah cari makanan lain ye.” Burrpp! Kenyang!


“Sampai hati kau, Hariz. Kau buat aku macam ni.” Hariz tidak mendengarkannya. Sebaliknya bekalan itu dibiarkan sahaja di atas meja.


“Tak apalah Fariz. Awak makanlah bekalan saya ni.” Fazleen menghulurkan bekalannya. Fariz menyambut dengan serba-salah.


“Ambillah… esok kita bawak extra. Mana tahu ‘hantu’ ni rembat makanan kau.” Bagai hendak terkeluar biji mata Hariz mendengarkan sindiran itu.


“amboi…. Mulut tak ada insuran langsung. Tak padan dengan badan saiz 6XL. Ada hati lagi nak mengata orang tu. Ha….. elok sangat le kau bagikan bekalan kau pada Fariz. Biar dia naik badan sama dengan kau. Barulah padan. Bak kata orang sama cantik sama padan. Bagai pinang di belah dua.” Berderai tawa Hariz, Azim dan Firdaus.


“Yang sebenarnya kau jelous sebab aku bawak bekalan untuk Fariz, kan? Tak pe… esok aku suruh mak aku masak satu tong dram bagi kau makan. Ada puas hati? Aku nak tengok kalau badan kau jadi macam badan aku…. Kau tahulah rasa dia macam mana.”


“E….. seramnya…. Takut aku!” Tersirap darah Fazleen melihat wajah tak bersalah Hariz itu. O….. nanti kau. Lepas ni kau rasa penangannya.


“Hariz, kau tak sakit tekak ke dok mengata aku? Ni air ni kau tak nak sekali ke?” Fazleen mendekati Hariz. Dia cuba menghulurkan cawan tetapi…. Splash! Sengaja Fazleen mencampakkan air ke muka Hariz. Padan muka! Rasakan!


Fazleen tidak menunggu lama. Dia lari bersama-sama dengan Fariz. Kali ini ketawa Fazleen pula yang berderai.


“Kurang asam kau Fazleen! Kau tunggu!” Cahaya wajah Hariz berubah. Masam! Habis bajunya basah dek air sirap. Dan kali ini Azim dan Firdaus mentertawakan Hariz. Tak apa….ada ubi ada batas. Ada hari aku balas apa yang kau buat pada aku.


****************************************************************************


Hariz tersentak dengan suara tawa Azim. Baru dia sedar dia mengelamun jauh. Mengenangkan cerita silam. Walau pun sudah bertahun-tahu berlalu, ianya tetap segar di kotak fikirannya. Entah mengapa, saat dia meminang Fazleen hatinya terpaut rasa debaran yang amat sangat. Dia tekad untuk meminang Fazleen kerana hatinya mula terpaut. Nampak macam gila kan? Itulah kata orang, membenci ada batasnya. Kerana kelak di satu hari nanti anda akan pasti menyukainya.


“Erm…. Termenung ingatkan tunang kesayangan le tu.” Usik Fariz tiba-tiba. Ah. Malulah pulak bila dia diusik sebegitu. Dia tahu, saatnya akan tiba. Tidak lama lagi. Kurang dari sebulan bulan dia akan menikahi Fazleen. Dan semenjak Fazleen berpindah ke bandar dia tidak mendengar khabar berita. Sehingga ibunya membuka cerita. Dan saat nama Fazleen meniti dibibir orang tuanya, tanpa berfikir panjang dia menyampaikan hasrat untuk memperisterikan Fazleen. Saat itu juga dia merindukan telatah dan juga nasi lemak kari itu!


“Kau memang tak ada berjumpa dengan Fazleen ke, Hariz?” Hariz menggeleng.


“Sekali pun tak?” Hariz menggeleng lagi.


“Biasanya kami berbual dalam telefon je. Masa tunang pun aku bukannya ada. Gambar bertunang pun aku tak tengok. Bolehkan sorang pun tak ambik gambar. Kau orang tak pelik tu? Aku berserah jelah… walau bagai mana pun rupa dia, aku dah pilih dia sebagai teman hidup aku sepanjang hayat.” Senyum Hariz. Hariz tersentak apabila kelihatan tangan seorang gadis di belakangnya yang menghulurkan kuih. Dia berpaling.


“Terima kasih.” Sambut Hariz. Gadis tersenyum dan mempelawa mereka makan. Akhirnya gadis itu berlalu pergi dengan rasa penuh tanda tanya.


“Anak Pak Hamid ke tu?” Tanya Firdaus sambil matanya tidak kelip memandang gadis itu. Setahu mereka Suraya tiada adik-beradik perempuan yang lain.


“Sedara mara dia kot?” Sampuk Azim.


“Tadi tak nampak pun. Tetiba je ada. Hish! Meremang pula bulu roma aku ni. Malam-malam buta macam ni ada gadis cantik macam tu.” Adoi! Azim mengaduh.


“Kau mulut tu jangan cakap yang bukan-bukan tau!” Hariz tidak menghiraukan gelagat rakan-rakannya. Namun fikirannya masih lagi mengenangkan Fazleen yang masih lagi belum bertentang mata.


“Berbalik dengan cerita kau Hariz. Habis tu? Mesti ada sesuatu yang mak kau sembunyikan dengan kau. Entah-entah badan dia dua kali ganda masa dia sekolah tak? Sebab itu mak kau tak tunjukkan gambar tunang kau.” Firdaus mengubah tajuk.


“Tapi yang aku pelik juga bila mak aku suruh beli cincin. Bila aku tengok cincin tu tak adalah besar sangat.”


“Boleh percaya ke?”


“Entahlah…. Tapi aku yakin dengan jodoh aku. Rupa paras tak penting lah bro. Yang penting hati!” Fariz meletakkan tangan di dahi Hariz.


“Hai doc, demam ke? Tak pernah kau cakap macam ni. Kau ni belajar medical jurusan apa ye? Sampai Hariz dulu dan sekarang dah berubah.” Hariz tersenyum dengan kata-kata Fariz. Lantaklah korang nak cakap apa. Apa yang penting sekarang ni dia bakal memperisterikan Fazleen.


“Pentingnya aku dah ikat Fazleen. Kali ni biar aku buli dia pulak.” Azim dan Firdaus berpaling. Tak faham dengan sikap Hariz.


“Kau orang ni, aku cakap macam tu pun kau orang ambil port. Aku nak buli dia panggil aku ‘abang’. Korang tak ingat ke selama ni masa kat sekolah dia panggil aku apa?”


“Hantu!” seretak ketiga-tiga sahabat itu menyambut.


******************************************************************************


“Oi hantu! Mana kau sorokkan selipar aku?” Tinggi suara Fazleen apabila melihatkan seliparnya tinggal sebelah. Turun sahaja dari rumah Imam Husin suara Fazleen sudah memetir. Fazleen memandang tajam kepada Hariz. Malang sungguh nasibnya hari ini. Sudahlah datang keseorangan, sebab Fariz demam. Sekarang, seliparnya pula disorokkan orang. Kalau tahu siapa yang buat tahulah nasib dia nanti.


“Kau ni main sedap mulut je tuduh aku yang bukan-bukan. Kau ada bukti ke yang aku sorokkan selipar buruk kau tu?” kali ini mereka bertegang leher. Memang dia yang menyorokkan selipar Fazleen. Di mana? Dia bawah pasu bunga milik Imam Husin. Merata Fazleen mencari seliparnya.


“Kalau kau tak sorokkan selipar aku tolonglah cari sekali.” Tegang sahaja suara Fazleen.


“Ada aku kisah?” Berhentak kaki Fazleen mendengarkan jawapan dari Hariz itu. Dia terus mencari seliparnya yang hilang. Dan Hariz hanya tersenyum sambil memandang. Puas hatinya apabila melihatkan Fazleen yang terbongkok-bongkok mencari selipar. ‘Hah! Rasakan. Hari tu kau simbah air kat aku. Inilah balasannya.’ Di dalam gelap Fazleen mencari. Berpeluh juga dia mencari. Tetapi tidak lama kemudian….


“Mak! Sakitnya!” Laung Fazleen. Imam Husin yang berada di rumah segera berlari keluar. Kedengaran suara Fazleen itu memeranjatkannya.


“Kenapa Fazleen?” Tanya Imam Husin melihatkan Fazleen keluar dari bawah rumah dengan kaki yang sakit. Berderai air mata Fazleen menahan sakit.


“Tok…. Sakit…. Bisa….” Fazleen terduduk di atas tangga. Berubah wajah Hariz melihatkan Fazleen yang sedang menahan sakit.


“Masyaallah…. Kau kena gigit lipan ni. Apa yang kau buat bawah rumah atok ni. Dalam gelap pulak tu. “


“Fazleen cari selipar. Selipar Fazleen hilang sebelah.” Air mata Fazleen kian deras. Dia tidak dapat menahan bisa lipan itu. Hariz? Dia merasakan ada benda yang tersekat dikerongkongnya. Perit dan pahit. Dia tidak menyangka di dalam dia ingin mengenakan Fazleen, Fazleen benar-benar terkena. Rasa bersalah mula menyelubungi dirinya.


“La… Hariz! Yang kau tengok tu kenapa? Pergilah tolong carikan selipar si Fazleen ni. Lepas tu kita pergi klinik. Cepat!” bagai lipas kudung Hariz apabila mendengarkan arahan dari Imam Husin. Secepat kilat dia pergi mendapatkan selipar Fazleen di bawah pasu bunga.


“Kamu yang sorokkan selipar dia ni, Hariz?” Kali ini wajah Hariz benar-benar pucat. Ah! Dia terkena lagi! Dia merasakan jelingan Fazleen benar-benar seperti harimau yang ingin menerkam mangsa. Kalau tidak Fazleen menahan bisa lipan sudah tentu dia dilipat lapan oleh Fazleen.


“Maaf tok. Tak sengaja.” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Hariz. Hariz kelihatan tidak keruan. Semuanya serba tidak kena. Akhirnya dia mendekati Fazleen. Teragak-agak untuk dia mengucapkan kata maaf.


“Maafkan aku, Fazleen. Aku salah.” Fazleen tidak menjawab sebaliknya dia bangkit dan tidak memandang ke arah Hariz. Hariz memandang dengan rasa hati yang benar-benar bersalah. Jika dia tahu Fazleen akan di gigit lipan sumpah hidup mati pun dia tidak akan menyorokkan selipar Fazleen itu.


“Tak apalah Fazleen, aku bawak kau balik. Nanti basikal kau aku suruh Azim atau Firdaus bawak balik rumah kau.” Hariz mempelawa untuk menutup rasa salahnya.


“Aku gemuk. Nanti kau tak larat. Tak apa. Aku boleh balik sendiri.” Fazleen seolah menjauhkan diri. Dia menahan sakit yang amat sangat. Kalau boleh terbang, dia sudah terbang ke rumah. Namun dia aku dengan kakinya yang kian sakit. Berpuluh kali Imam Husin berpesan untuk ke klinik. Dia mengangguk dan faham.


“Naiklah jelah. Lagi pun kaki kau sakit. Aku mana larat nak dukung kau. Badan kau bukannya ringan. Serupa bulldozer tau.” Firdaus sudah pun mencapai basikal Fazleen. Dan Fazleen dalam keterpaksaan dia membonceng Hariz. Walau bagaimana pun mulut Fazleen di sepanjang perjalanan tidak pernah sunyi. Kaki sakit, tetapi mulutnya memang susah nak kunci. Dan di dalam kepekatan malam itu Hariz hanya melayani sahaja akan bebelan Fazleen itu.


****************************************************************************


“Aku peliklah Fariz. Kenapa tak engkau saja yang masuk meminang si Fazleen tu. Mati-mati aku ingatkan kau bertunang hari tu tau.”


“Ala Zim, apa kau ingat aku ni berkawan dengan si Fazleen tu aku akan berkahwin dengan dia? Apa sempit fikiran kau ni.” Senyum Fariz. Memang selama ini dia memang berkawan dengan Fazleen. Namun itu hanya sedakar teman. Tidak lebih dari itu. Memang dia pernah memberitahu akan perihal hati dan perasaannya. Namun dia digelak oleh Fazleen. Kata Fazleen, sekolah mana rock nak main cinta. Kalau nak bercinta tunggulah lepas sekolah nanti. Masa kerja. Nak pinang anak dara orang mesti ada kerja. Takkan nak makan pasir pulak nanti.


Fariz memegang kata-kata Fazleen itu. Dan akhirnya perasaan itu hilang dengan tiba-tiba. Dan perasaan itu bertukar kepada sahabat dan kawan. Walau pun dia hilang perhubungan saat dia berpisah dengan Fazleen, Fariz yakin bahawa sahabatnya itu tidak akan melupakan. Dan sehingga Hariz meminang Fazleen, saat itu dia merasa syukur Fariz yakin akan jodoh Fazleen dan Hariz. Fariz memandang kepada Hariz yang tersenyum sambil merenung cawan dihadapannya.


“Nampaknya sahabat kita ni dah jauh berangannya.” Usik Fariz. Ternyata Hariz tersentak. Hilang wajah Fazleen yang montel. Wajah ketika Fazleen di zaman kanak-kanak. Dan Hariz seringkali tertanya akan perihal Fazleen ketika ini. Dan saat ibunya galak bercerita tentang Fazleen, dia dengan hati terbuka menerima Fazleen.


“Orang dah tak lama lagi nak naik pelamin memang gitu le gelagatnya. Selagi tak kahwin selagi itulah kalau boleh tembus dinding pun dia tak kisah.” Hariz senang dengan usikan itu. Kalau dulu…. Bila sebut sahaja nama Fazleen, dialah yang paling dulu melenting.


“Eh, engkau ni memang betul ke nak kahwin dengan Fazleen ni?” Entah berapa kali soalan yang sama meniti di bibir sahabat-sahabatnya itu. Hariz tidak menyalahkan mereka kerana selama ini dia dan Fazleen ibaratkan anjing dan kucing. Kalau berjumpa mesti nak gaduh. Tetapi dia tahu, dengan pergaduhan itu tercetusnya perasaan yang tidak boleh diungakai. Dan perasaan itu membawa kepada perasaan kasih, sayang dan cinta.


“Engkau orang ingat kahwin ni perkara yang boleh buat main-main ke? Memang aku meminang Fazleen. Memang aku nak buatkan dia sebagai isteri aku. Memang itu hasrat aku. Memang aku sayang dengan dia. Memang aku cintakan dia. Ada puas?” Pengakuan jujur itu membuatkan khemah menjadi bising seketika.


“O…oh…. Aku tak sangka kau macam tu sekali dengan si Fazleen tu. Aku tabiklah dengan kau sebab berani nak meminang dia. Fazleen …. Si budak….”


“Tembam!” sambut Hariz dalam senyuman.


***************************************************************************


“Oi Tembam! Kau sini sekejap!” Laung Hariz lantang. Fazleen yang sedang berjalan menuju ke pintu kelas terhenti. Fazleen berpaling. Aduh! Hantu ni! Kalau satu hari tak kacau memang tak senang hidup dia agaknya.


“Hah, hantu. Kau nak apa? Kalau setakat nak kacau aku baik kau cari orang lainlah.” Fazleen mengelap peluh yang mula menghiasi wajahnya. Fariz yang berada di sisinya hanya menjadi pemerhati. Dia tidak mahu nanti dia pula yang menjadi mangsa kepada Hariz. Budak tu bukan boleh buat main. Ada pulak yang bertelur di dahi.


“Eh, Fariz…. Kau ni tak ada orang lain ke yang kau nak buat kawan. Dengan budak tembam ni juga yang kau nak menempel.”


“Engkau ni tak baik tau kata si Fazleen macam tu. Dia pun manusia juga. Ada hati dan perasaan. Sungguh dia tembam tapi dia pandai. Tak macam kau. Harap je muka cantik, pelajaran ke mana perangai lagilah hancur.” Bergetar hati Hariz mendengarkan kata-kata Fariz itu.


“Eh kau dah pandai nak kurang ajar ye. Yelah…. Ada buah hati yang tolong back up. Mesti kau berani. Kalau si Fazleen ni tak ada…. Pijak semut pun tak mati. Eh tembam! Aku panggil kau ni.” Keras sahaja nada Hariz. Fazleen masih membatu. Jelingannya seperti biasa. Tajam.


“Nantilah dulu. Aku bawa masuk bekal dengan beg aku ni.”


“Tak payah. Hal kecemasan ni. Kau sini jelah. Nak minta tolong.”


“O…. jangan Fazleen. Aku tak percayakan dia. Mesti ada sesuatu yang dia nak buat tu. Kau jangan layan sangatlah dia tu. Bukan kau tak kenal dengan dia.” Halang Fariz. Kali ini wajah Hafiz mula membakar. Budak ni…. Ada yang kena makan kasut nampak gayanya.


“Eh, aku bukan cakap dengan kaulah…. Aku panggil si tembam tu. Yang kau beria-ia sangat tu kenapa? Sinilah cepat.” Lambai Hariz. Kali ini Fazleen akur. Dia mendekati Hariz. Namun belum sempat Fazleen berkata apa, Hariz lebih dulu bertindak. Tudung ditarik kebelakang dan bekalan Fazleen dirampas.


“Hariz! Hantu kau!” Fazleen cuba mengejar namun tidak sampai sepuluh langkah dia terhenti. Hariz lagi laju darinya. Bagai ingin dia mengalirkan air mata apabila dia diperlakukan sedemikian.


“Sabar jelah Fazleen. Biar dia buat kita. Nanti satu hari dia akan kena juga. Kau sabar ye.” Nasib baik Fariz berada di sisinya. Jika tidak memang dia akan mengalirkan air mata. Fazleen mengetap gigi menahan marah. Marah yang amat sangat. Nak makan apa rehat nanti? Takkan air kosong je…. Tak apa…. Tunggu! Tahulah apa yang aku nak buat.


Tengahari itu Hariz menantikan Fazleen di pintu pagar sekolah. Bekalan yang dibawa oleh Fazleen masih lagi ditangan kanannya. Dia menantikan Fazleen dengan penuh sabar. Tatkala terlihatkan kelibat Fazleen dan Hafiz dia melemparkan senyuman seolah-olah tiada apa yang terjadi. Bekas kosong dilambai ke arah Fazleen.


“Nah, ambil balik bekal kau ni. Nasi lemak ni memang tak sedap. Ada ke patut nasi lemak dengan kari ayam. Patutlah badan kau macam ni. Banyak sangat kolestrol dengan lemak. Mana tak tembam.” Hariz menghulurkan bekas kosong kepada Fazleen namun Fazleen menyambutnya dengan kasar. Gara-gara bekalannya dirampas oleh Hariz, dia rehat hanya menikmati kuih karipap sahaja. Huh! Tak bernafsu langsung.


“Aku gemuk ke, tembam ke ada aku kisah? Badan aku kan? Bukan badan kau. Yang kau kisah tu kenapa? Aku tak ada kacau kau pun,kan?” Namun pertanyaan dari Fazleen itu disambut dengan senyuman sinis dari Hariz.


“Bukan apa, semak mata aku ni bila tengok kau. Penuh ruang mata aku ni tau.”


“Eh, mulut kau tu boleh jaga sikit tak? Suka hati je kau kata dia. Kau ni ada perasaan tak? Ke kau ni perasaan kayu.” Hati Fariz juga terbakar dengan kata-kata Hariz itu. Dia memandang ke arah wajah Fazleen yang merona merah.


“Tak apalah Hariz. Kalau nak bertekak dengan kau pun bukan ada faedah. Aku tahu. Kau suka dengan nasi lemak aku, kan? Sebab itu nasi lemak aku habis kau bedal.” Kali ini Hariz pula yang hilang kata. Namun egonya masih lagi menebal.


“Bukan aku yang makan. Si Azim yang tolong licinkan.” Hariz gagap. Tidak berani untuk dia bertentang mata dengan Fazleen. Dan kali ini masa Fazleen untuk berbalas kata.


“Aku nampak kau sental nasi lemak aku dekat kantin tadi. Tak sedap konon. Sampai jilat jari pun tak nak mengaku lagi tu. Tak pe. Mulai esok aku akan bawakan bekal untuk kau. Biar badan kau sama saiz dengan badan aku. Lagi pun Fariz bukan makan sangat nasi lemak tu. Okey, mulai esok kau jumpa aku. Aku berikan bekalan untuk kau. Assalamualaikum.” Fazleen dan Fariz terus berlalu. Meninggalkan Hariz dengan keadaan terpinga-pinga.


“Engkau ni, jangan nak bagi muka sangat dengan si hantu tu. Kalau nak diikutkan hati tadi mahu sahaja aku cincang dia sampai halus. Nasib baik engkau ada. Kalau tidak…..” Fariz menumbuk keras tangannya tanda tidak puas hati.


“Jangan nak marah sangatlah Fariz. Engkau ni belakang dia je berani. Cuba kat depan dia. Kalau lantai tu boleh tembus sampai pusat bumi dah lama kau sampai kat situ. Mak aku pesan…. Kalau orang yang macam tu kita ikut je cakap dia. Nanti senyaplah dia. Ala…. Kau jangan risau. Nanti lama-lama bila dia penat nanti dia senyaplah.” Fazleen yakin.


Bermula keesokkan harinya Fazleen membawa bekalan untuk Hariz. Setiap hari dia akan menantikan Hariz di pintu pagar atau di pintu kelas untuk memberikan bekalan itu. Namun itu bukan bermakna kegiatan Hariz akan terhenti. Hariz seperti selalu akan mengusik dan mengejek Fazleen. Kini, Fazleen kian lali dan setiap kali dia di usik dan dikata hanya satu yang meniti di bibirnya. ‘Al-hamdullillah’…


“Kau katalah lagi. Aku dah tak kisah. Aku tahu kau mesti suka kat aku. Sebab itu kau suka usik aku. Tak sangka dalam ramai aku juga yang kau nak kacau. Kesian kau kan?” Hariz mendengarkan kata-kata Fazleen itu disambut dengan hati yang membengkak. Dia memandang Fazleen dengan pandangan besar dan kecil. Nak telan serupa gajah. Akhirnya dia memandang Fazleen dengan perasaan geram.


******************************************************************************


Hariz tersenyum apabila Azim menyakatnya lagi. Maklumlah dia kini berdarah manis dan tidak lama lagi akan mendirikan rumah tangga. Lagi pula dengan Fazleen yang pernah menjadi usikan Hariz di bangku sekolah. Mahu tidak teruk dia dikata.


“Cuba kau ceritakan pada aku macam mana kau boleh meminang Fazleen tu. Dan yang peliknya, macam mana kau boleh jatuh cinta dengan dia tu.” Permintaan dari Firdaus itu disambut dengan senyuman panjang.


“Hati…. Kita tak boleh nak jangka. Macam aku juga. Dulu masa aku sekolah memang aku suka nak usik si Fazleen tu. Mana tahu aku akhirnya akan mendirikan rumah tangga dengan dia.” Sambut Hariz.


“Jadi macam mana dengan Fazleen. Diakan mengajar kat johor. Sedangkan kau kat sini.”


“Permohonan dia untuk bertukar dah diluluskan. Baru minggu lepas dia beritahu dengan aku. Erm… tak sabar rasanya nak kahwin.” Pengakuan dari Hariz itu membuatkan Fariz, Firdaus dan Azim tertawa.


“Aku tak sangka sampai begini teruk perasaan kau pada si Fazleen tu. Aku tak sangka dalam gaduh-gaduh waktu kecik dulu dah besar boleh kahwin pulak. Engkau memang betul ke nak kahwin dengan dia? Atau kau saja nak usik dia macam mana kau usik dia masa kecik dulu?”


“Fir, sekarang bukan zaman usik mengusik. Zaman tu dah berlalu. Kita dah dewasa. Engkau pun dah anak dua, kan? Agak-agak kau aku ni mengumpul duit semata-mata nak mempermainkan perasaan orang lain ke?” Hariz agak terasa dengan kata-kata Firdaus itu. Perasaannya terhadap Fazleen bukan mainan. Perasaannya terhadap Fazleen adalah tulus. Dia benar-benar ikhlas di dalam memperisterikan Fazleen.


“Tapi macam mana pulak kau boleh pinang si Fazleen tu. Bila masa kau jumpa dengan dia?” Azim mula mengubah tajuk apabila melihatkan suasana yang mula agak tegang itu. Si Firdaus ni agak-agaklah bila nak bercakap dengan orang. Nasib baiklah si Hariz tu tak ada angin kus-kus hari ini. Kalau tidak mahu teruk si Firdaus ni kena dengan Hariz.


“Kau orang bukan tak kenal mak aku dengan mak si Fazleen tu kawan baik. Walau pun berpisah mak aku selalu juga hubungi keluarga dia. Entah macam mana gatal mulut mak aku tanyakan si Fazleen tu. Bila dia dapat tahu yang si Fazleen tu tak sesiapa yang masuk meminang, mulalah mak aku tanyakan aku. Masa tu aku rasa macam bulan jatuh ke riba.” Masih segar difikirannya bila mendapat tahu Fazleen masih belum berkahwin. Dengan seberapa segera dia menyuruh ibunya meminang Fazleen.


“Itu tak apalah juga. Yang si Fazleen tu terima pulak pinangan kau. Memang dah jodoh agaknya kau dengan dia.” Ulas Fariz. Hariz mengangguk. Pada mulanya dia merasa sangsi untuk meminang Fazleen kerana dia takut akan Fazleen akan menolak peminangannya. Namun apabila ibunya memberikan keputusan yang menggembirakan dia benar-benar memanjat rasa syukur kerana segala apa yang dia doakan selama ini termakbul. Apabila saat peminangannya diterima oleh Fazleen, dia mengumpul segala harapan. Harapan untuk membahagiakan gadis idamannya itu. Itu janjinya untuk Fazleen.


“Sebelum mak aku meminang dia aku takut juga kalau Fazleen tak terima aku. Bila dah sah menjadi tunang aku, rasa dunia ini aku yang punya tau!” Hariz bangga apabila menceritakan detik bagaimana dia ingin meminang Fazleen. Kalau boleh diulang bagaimana ibunya menyampaikan berita gembira itu, mahu sahaja dia ulanginya dan menyimpan di dalam CD dan direkod berulang kali.


“Macam mana kau boleh jatuh hati dengan Fazleen, Riz?” Pertanyaan dari Azim itu membuatkan Hariz hilang dengan kata-kata. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh jatuh hati dengan Fazleen. Apakah perasaannya hadir saat di waktu kecil atau ianya hadir saat dia berjauhan? Dia sendiri pun tidak pasti semuanya. Namun saat dia mendengarkan nama Fazleen dari bibir ibunya hatinya bergetar dan berdebar. Dia sedar saat itu hatinya milik gadis itu.


“Entahlah Zim. Aku pun tak tahu. Tapi yang pasti hati aku dah diikat dengan dia. Perasaan sayang dan cinta tu datang dengan sendiri. Bukan aku yang menjemput. Bila ianya datang dengan sendiri, aku pun serahkan hati aku pada dia. Ternyata aku tak bertepuk sebelah tangan.”


“Maksud kau?”


“Maksud aku…. Sebelum aku bertunang sempat juga aku minta nombor telefon dengan mak aku. Aku sendiri bertanyakan perasaan dia tentang aku. Dan jawapan yang aku terima membuatkan aku melompat gembira.” Jawab Hariz dengan megah.


“Sudah… memang rosak doktor kita ni. Apa yang dia kata sampai kau tak ingat dunia ni?” Azim seolah tertarik dengan cerita Hariz. Sahabatnya yang selama ini membenci Fazleen akhirnya bakal bersatu.


“Dia kata bahawa dia memang menantikan peminangan aku. Selama ini dia memang menunggu aku. Mahu aku tak menjerit bila cakap macam tu. Kau bayangkan orang yang selama ini kau simpan perasaan berperasaan sama dengan kita. Macam dapat bonus sepuluh bulan aku rasa.” Luah Hariz. Azim senyum dengan kata-kata Hariz itu. Fariz turut dapat merasakan betapa bahagianya Hariz ketika ini.


“Entah-entah dia saja tak nak kenakan kau. Mana tahu dia nak balas dendam dengan apa yang dah kau buat pada dia masa sekolah dulu.” Firdaus masih lagi tidak berpuas hati. Dia merasakan ada yang tidak kena dengan perhubungan Hariz itu.


“Aku yakin Fazleen bukan macam tu. Aku dah kenal lama dah dengan dia. Masa sekolah pun memang Hariz banyak mengusik dan membuli Fazleen. Namun dia tak pernah nak ambil hati. Kalau dia dikenakan dia habiskan disitu juga. Dan kadang kala aku ni pulak yang geram sebab dia buat tak tahu je bila Si Hariz ni rembat makanan dia. Kalau bukan nasi lemak kari ayam tu.”


Hariz memandang kepada Fariz seolah-olah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabatnya itu. Selain Fazleen, Fariz juga sudah banyak membantu. Apa lagi setelah Fazleen berpindah. Kalau bukan sebab Fazleen dan Fariz sudah tentu dia tidak menjadi manusia seperti sekarang ini. Dan dia sepatutnya berbangga kerana telah memenuhi impian keluarganya untuk menjadi seorang doktor.


“Nasi lemak kari ayam…. Aku mengaku aku dah jadi ketagih dengan nasi lemak dia. Kalau dia tak datang sekolah, mahu tak keruan aku dibuatnya. Bila aku dapat nasi lemak kari ayam tu aku senyum sampai ke telinga. Cuma Fazleen yang tak sedar semuanya. Sengaja aku tak tunjukkan pada dia. Dan sekarang aku memang teringin nak makan nasi lemak kari ayam dia.” Hariz tersenyum. Serta-merta nasi lemak kari ayam menerjah di fikiran nostalgianya. Aroma nasi lemak dan kari ayam itu memang membuatkan dia terbayang-bayang.


“Erm…. Patutlah kau datang sekolah mesti kau tunggu kat pintu pagar sekolah. Sampai kita orang ni masuk kelas dulu. Rupanya kau tunggu dia. Patutlah kau suka rembat bekal dia. Rupanya kau suka dengan nasi lemak dia.” Azim mengusik. Ada benarnya kata-kata Azim itu. Ah, adakah nasi lemak kari ayam itu yang menjalinkan sebuah ikatan?


“Bukan aku rembat tau. Dia yang nak bawak sendiri untuk aku. Orang kata rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Bukan salah aku pun. Dia suka rela nak bawak.”


“Yelah… dah hari-hari kau kebas makanan dia. Sampai dia minum air kosong je tau. Kau ingat dia bawa duit ke sekolah? Dia kata duit tu dia nak simpan untuk dia belajar. Sebab itu dia bawa bekal kat sekolah. Sebab itu dia bawakan bekal untuk kau.” Hariz ternyata terkejut dengan kata-kata Fariz itu. Dia sendiri tidak tahu akan perihal itu. Sungguh dia tidak tahu. Kalau dia tahu mungkin dia tidak akan berebut bekal dengan Fazleen.


“Tapi aku sedar bila dah hari-hari kau makan nasi lemak tu kau macam dah kurang mengusik si Fazleen tu. Sampai kita orang pun pelik.” Hariz tersenyum.


“Bukan sebab itu sahaja. Ada sebab lain yang aku mula berubah.” Kali ini Hariz mahu menceritakan segalanya. Tentang peristiwa yang disimpan sekian lama dan tiada siapa yang tahu.


“Sebab apa?”


******************************************************************************


“Oi gemuk!” laung Hariz. Fazleen memandang sekeliling. Hanya dengar suara. Namun orangnya tiada. Tapi…. Macam pernah dengar je suara tu. Macam selalu dengar. Itu macam suara…


“Gemuk!” Fazleen mencari kelibat suara itu. Ke kanan ke kiri dan kemudiannya dia mendongak. La…. Budak tu atas pokok rupanya.


“Eh hantu! Apa yang kau buat atas pokok tu? Kau curi buah rambutan Tok Imam ye. Nanti aku beritahu dengan Tok Imam yang kau curi rambutan dia.” Jerit Fazleen dari bawah.


“Ada aku kisah? Lagi pun Tok Imam bukannya ada kat sini. Mengadulah… aku tak takut pun.” Amboi! Berlagaknya. Fazleen memandang sekeliling. Nampaknya ‘hantu’ ni keseorangan.


“Eh, mana yang lain? Tak nampak pun Azim dengan Firdaus. Bukan ke kau bertiga memang tak boleh berenggang. Dah macam three stooges je aku tengok.” Hariz masi lagi setia di atas pokok sambil menikmati buah rambutan. Kulitnya? Dia lemparkan ke arah Fazleen. Huh! Tak bertamadun sungguh.


“Dia orang ada lawan bola. Perut aku lapar pulak. Sebab itu aku rehat sekejap.”


“Kenapa kau tak main bola sama? O…. kau tak reti main bola ye. Mesti kau ni kaki bangku.” Ejek Fazleen sambil ketawa. Saat mendengarkan kata-kata Fazleen itu hati Hariz mula membakar. Alih-alih dia juga yang terkena.


“Yang kau tu…. Nak cakap aku. Yang belangkas kau sorang lagi mana?”


“Kalau dia main bola pun bukannya aku boleh masuk. Aku kan perempuan. Bukan macam kau. Lelaki tapi tak pandai main bola.” Ejek Fazleen lagi. Kali ini Hariz sudah hilang sabar. Dia mencapai beberapa tangkai dan segera untuk turun. Namun belum sampai ke tanah dia telah terpijak dahan mati dan akibatnya dia terjatuh. Macam nangka busuk! Fazleen yang melihatkan Hariz yang telah mendarat di atas tanah terkejut. Dia tidak menunggu lama dan segera mendapatkan Hariz yang mula mengadu sakit. Dia cuba untuk bangun namun gagal.


“Engkau tak apa-apa ke, Hariz?” Fazleen cuba untuk membantu namun ditepis keras oleh Hariz.


“Jangan kacaulah. Sebab kau aku jatuh tau!” Jerkah Hariz.


Entah mengapa air mata Fazleen mengalir di pipi. Reaksi itu membuatkan Hariz terkejut. Fazleen mengelapkan air mata yang kian laju.


“Aku minta maaf, Hariz. Kau sakit ke? Aku tak berniat nak buat kau sakit. Aku tolong kau. Nanti aku panggil Tok Imam.” Fazleen mula berpusing untuk meninggalkan Hariz. Namun ditegah oleh Hariz.


“Jangan! Tak apa. Aku boleh balik sendiri.” Halang Hariz. Dia tidak mahu Imam Husin tahu dia berada di pohon rambutan itu kerana dia memanjat tanpa kebenaran. Dalam diam dia menyalahkan dirinya sendiri. Inilah akibatnya kalau mencuri! Bila dah sakit, tanggunglah sendiri.


“Takkan kau nak duduk sini je. Kaki kau sakit tu. Tak pun aku papah kau balik.” Lembut sahaja kata-kata Fazleen. Dia sudah pun duduk menghadap Hariz dan melihat sendiri kaki Hariz yang terseliuh. Air mata Fazleen masih lagi mengalir. Tak sanggup pula dia melihat Hariz ketika itu.


“Kenapa kau menangis?” Kali ini getaran suara Hariz mula kendur. Dia melihatkan Fazleen yang membelek kakinya dengan berhati-hati. Air mata yang masih lagi menghiasi di raut wajah rakannya itu membuatkan hatinya mula diulit rasa serba salah.


“Kau kawan aku. Aku sedih kalau kau macam ni. Aku janji aku takkan buat kau sakit lagi. Aku janji.” Fazleen mengangkat tangan.


“Dahlah…. Jangan nak menangis lagi. Buruk muka tu kalau kau nangis. Dahlah badan kau macam ni. Aku tak ada apa-apalah. Cepatlah kesat air mata tu. Aku lelaki. Takkan benda kecik macam ni aku nak menangis kot. Peliklah kau ni. Aku yang jatuh engkau pulak lebih.” Hariz cuba menutup rasa salahnya.


“Kau boleh bangun tak?” Hariz cuba bangkit namun dia jatuh semula. Dengan perlahan Fazleen memapah Hariz ke basikal. Di dalam diam Hariz mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Fazleen. Kalau Fazleen tiada waktu dia jatuh dari pokok entah bagaimana untuk dia pulang ke rumah.


“Itulah kau. Kalau nak makan rambutan tu mintalah izin dulu. Ini tidak, main ambik je tak beritahu dulu. Nasib Tok Imam tu baik. Kalau tidak teruk kau dikerjakan.” Bebel Fazleen sepanjang jalan sewaktu menghantar Hariz pulang ke rumah. Menanah telinganya di saat dia dipaksa untuk berhadapan dengan Tok Imam memberitahu akan perihal yang sebenarnya.


“Jangan takut mengaku salah. Orang takut mengaku salah tu pengecut. Itu kata mak aku.” Bebel Fazleen lagi. Hariz hanya mendiamkan diri tidak bersuara. Entah mengapa lidahnya menjadi kelu. Dia senyap seribu bahasa. Kata-kata Fazleen itu dibiarkan berlagu ditelinganya.


Semenjak dari itu, Hariz sudah kurang mengusik Fazleen. Walau pun Azim dan Fidaus sering mengusik Fazleen namun dia tidak pernah mengambil pusing semua itu. Bila didesak oleh Firdaus dan Azim bermacam-macam alasan yang diberikan. Fariz juga menyedari akan perubahan Hariz itu, Puas dia bertanyakan pada Fazleen. Namun jawapan yang diberi ‘tak tahu’. Masakan pokok bergoyang kalau tak ada angin? Fariz tahu, ada sesuatu yang telah terjadi yang membuatkan Hariz berubah. Walau bagaimana pun Fazleen seperti biasa. Membawa bekalan untuk Hariz dan saat Hariz membuka bekalan itu, bibirnya tidak lekang dengan senyuman.


Dalam Hariz ingin menjalinkan persahabatan, Fazleen berpindah sekolah. Pada saat itu Hariz seperti kekosongan. Telatah dan keletah Fazleen seringkali menghiasi ruang lamunannya. Dan yang paling penting dia merindui akan nasi lemak kari ayam yang sering di bawa oleh Fazleen. Apa yang dia tahu nasi lemak itu dimasak sendiri oleh Fazleen. Cuma kari ayam sahaja ibunya yang memasak. Tapi… kalau nasi lemak pun dah sedap dah pasti satu hari nanti Fazleen mampu masak kari ayam macam ibunya juga.


Namun sebelum pergi Fazleen banyak berpesan dengannya agar lebih berusaha untuk menjadi yang terbaik dan berjaya di dalam hidup. Berpegang dengan pesanan itu, Hariz berusaha merubah hidupnya. Perubahan itu akhirnya melibatkan Azim dan Firdaus, dan siapa sangka mereka menjadi kawan baik kepada Fariz yang dulu merupakan musuh mereka.


Dan kini….. ternyata mereka semuanya sudah berjaya dalam pelajaran dan juga dalam kehidupan.


*******************************************************************


“Tak sangka akhirnya kita dah jadi kawan baik. Siapa sangka budak Fariz yang selalu kena buli dah jadi kawan kita.” Terang Azim. Fariz mengangguk tanda setuju. Semenjak Fazleen berpindah, Hariz beria-ia ingin menjadi sahabat. Akhirya dia akur. Dia tahu, Hariz merindui sahabatnya itu, Fazleen. Di dalam diam, dialah yang menjadi pengantara. Kalau bukan sebab dia sudah tentu mereka tidak bertunang. Sebab dia jugalah ibu Hariz meminang Fazleen. Fariz tahu, Fazleen juga menantikan kehadiran lelaki yang bernama Hariz itu. Kalau tidak, takkan setiap kali dia berhubung Hariz juga yang ditanya.


“Hariz, kalau kau diberi peluang untuk berjumpa dengan dia apa yang kau nak katakan pada dia?” Hariz diam. Yang sebernarnya cuma satu ayat yang memang ingin disampaikan untuk gadis idamannya. Dan ayat yang selama ini masih utuh belum terluah olehnya adalah “AKU CINTA PADAMU”. Memang dia pernah menghubungi Fazleen. Namun dia masih belum dapat meluahkan kata itu. Dia yakin saat dia bertentang mata nanti dia akan menyatakan apa yang terpendam selama ini.


“Kalaulah Fazleen badannya sama seperti dulu…. Apa yang kau nak cakap dengan dia?”


“Dah banyak kali kau tanya soalan yang sama. Keputusan aku tak akan berubah. Aku tetap menyayangi dan memperisterikan dia.” Tegas Hariz.


“Memang sah kau dah angaukan si Fazleen tu. Apa yang istimewa sangat pun aku tak tahu.” Kali ini Firdaus seperti bermain dengan kata. Menggali apa yang tersirat di dalam hati Hariz.


“Dia memang istimewa buat aku. Dia juga yang merubah aku menjadi seorang insan. Kalau bukan kerana semangat dan kata-kata dia sudah tentu aku tidak menjadi seorang doktor. Aku berjaya kerana dia.”


Tiba-tiba datang seorang gadis yang bertubuh gempal menghampiri meja sambil menatang air untuk digantikan dengan teh ‘o’ yang hampir kosong jugnya. Hariz memerhatikan gadis itu. Macam pernah dia nampak gadis itu. Ah, mungkinkah dia Fazleen? Gadis yang selama ini didambakan. Firdaus dan Azim juga memerhatikan tanpa berkelip matanya.


“Hah, apa lagi Hariz. Bagilah tau apa yang kau nak cakapkan sangat tu.” Hariz bangkit. Hatinya mula berdebar. Semakin hampir gadis itu semakin kuat debarannya. Bila saat tiba di meja, Hariz tidak menunggu lama. Segala yang terbuku dihamburkan.


“Fazleen, I Love U.” Gadis itu terpinga-pinga. Hariz menantikan jawapan. Dia membuka mata untuk melihat reaksi. La…. Kenapa senyap?


“Eh, abang ni kenapa? Ini bukan Fazleenlah…. Ini Yana.” Hariz menepuk dahi. Malunya usah dicerita. Kalau boleh mahu sahaja dia menyorok di belakang salah seorang sahabatnya. Aduh! Salah orang. Sekali bakal adik iparlah. Hariz terduduk saat dia ditertawakan.


Tidak lama kemudian, aroma nasi lemak melintasi di rongga hidungnya. Dia merhatikan dulang yang berisi nasi lemak. Kari ayam? Hariz merhatikan tangan yang menyendukkan nasi untuknya. Dia kenal akan cincin yang terlekat di jari manis gadis itu.


“Sayang?” Secara spontan panggilan itu meluncur di bibirnya.


“Makan bang. Fazleen masak untuk abang.” Suara lembut itu membuatkan Hariz terkesima. Dia berpaling. Ya! Memang Fazleen.


“Fazleen?” Fazleen menganguk sambil tersenyum. Senyuman manis itu disambut oleh Hariz. Azim, Firdaus dan Fariz tercenggang. Fazleen? Memang mereka tak mempercayainya. Cantik. Namun tiada siapa yang boleh menandingi nasi lemak kari ayam Fazleen. Itu memang benar dia.


“Fazleen dah dengar segalanya, bang. Abang mesti tak perasan Fazleen duduk kat belakang tu. Sebab abang tak kenal Fazleen. Tapi sekarang, Fazleen yakin dengan abang.” Kata-kata itu membuatkan Hariz terdiam. Dia seolah-olah malu sendiri.


Yang lain juga terdiam. Mereka memang tidak kenal dengan Fazleen yang sekarang ini. Fazleen sekarang ini dah tak comot lagi, tak gemuk lagi dan yang penting Fazleen kini lebih cantik seperti yang difikirkan.


“Yang lain ni kenapa tak makan lagi?” tersentak dibuatnya Azim, Firdaus dan Fariz. Fazleen benar-benar sudah jauh berubah. Ketiga-tiga sahabat itu sudah hilang kata.


Fazleen melabuhkan punggung disebelah Hariz. Dia mengambil kari ayam dan meletakkan di dalam pinggan Hariz. Hariz ingin memulakan suapan namun terhenti. Dia berpaling ke arah Fazleen dan tersenyum.


“Abang nak cakap sesuatu dengan Fazleen ni.” Sengaja dia menukarkan panggilan itu. Malu pula untuk dia memanggil ‘sayang’ dihadapan sahabatnya. Nanti mahu pecah balai dibuatnya. Yang penting dia tidak mahu membuatkan Fazleen malu. Fazleen menantikan dengan penuh debaran.


“Abang sayangkan Fazleen, dan abang cintakan Fazleen. Abang janji akan jaga Fazleen selagi ada nyawa abang.” Fazleen tunduk malu. Berubah wajahnya dengan pengakuan Hariz itu. Berani betul dia. Depan orang pula tu.


“Oi, Bro! itu bukan satu ayat. Itu dah lebih tu. Ha, nak mengayat le tu.” Usik Fariz. Akhirnya tawa mereka memecah.


“ini yang buat aku tak sabar nak kahwin ni.” Ujar Hariz mengusik sambil menjeling manja. Dan Fazleen tersipu malu.





Itulah dia, dua hati menjadi satu. Musuh menjadi sahabat, dari sahabat menjadi teman sehidup dan semati. Sesungguhnya bagi Hariz tiada yang terindah disaat bertemu dengan Fazleen. Dan Nasi Lemak Kari Ayam itu menjadi pengikat kasih antara mereka. Di saat terikatnya menjadi isteri, janji Hariz kian diikat. Dialah sahabat, pelindung, kekasih kepada insan yang bernama Fazleen.

Novel: Bisikan Cinta Bab 9

Teratak pena | 7:33 PM | Be the first to comment!
BAB 9

            Maya yang duduk bersebelahan dengan Sofiah tidak berhenti bercakap. Ada saja cerita yang dihebahkan.  Sofiah yang sudah tahu akan perangai Maya cuma membatukan diri.  Sekali-sekala dia menyampuk juga.  Di sebelah tempat duduk mereka kelihatan Daniel dan Lim asyik dengan melayani perasaan masing-masing.  Perjalanan ke Langkawi mengambil masa yang panjang membuatkan ramai penumpang lebih suka bersendiri.  Manakala Hafiz pula duduk di belakang dengan siapa lagi kalau bukan buah hatinya si Rozita.  Bukan main lagi mereka.  Dari naik bas tak henti-henti dengan senda gurauan.  Sehinggakan Maya yang berada di hadapannya sudah mula meluat dengan gelak tawa mereka.
            “Orang lain pun bercinta juga.   Tapi tak adalah sampai macam ni teruk. Mereka ingat dia orang je yang bercinta.  Ala… setakat dating dalam bas bukannya bagus sangat pun.  Benci pulak aku tengok mereka berdua tu.  Macamlah dunia ni dia yang punya.  E… meluat betul.”  Adu Maya.  Sofiah yang merenung ke luar jendela bas segera berpaling.
            “Biarlah mereka.  Apa yang kau susah sangat.  Aku tahu kau tu sebenarnya cemburu sebab tunang kau tak nak ikut sama.” Usik Sofiah dalam nada gurauan.  Maya senyap.  Entah kenapa, bila Sofiah menyebut tentang Bakhtiar, dia merasa sebak tiba-tiba. Adakah kerana keengganan Bakhtiar mengikuti rombongannya atau layanan yang diberikan sejak akhir-kahir ini.
            “Nak air?”  Maya tersentak.  Segera dia berpaling ke arah Daniel.  Daniel yang memegang dua tin air berperisa Coca-cola tersenyum.  Maya menyambut senyuman Daniel dengan disulami tangan kanannya menyambut pemberian Daniel.  Maya menghulurkan satu tin kepada Sofiah.  Namun sebaliknya Sofiah menggeleng. 
            “Kenapa?  Kau pun tak ada mood?”  Tanya Maya cuba mengambil berat.  Pelik juga dia melihatkan Sofiah yang hari ini tidak berteman.  Mahu juga dia bertanyakan pada Sofiah, namun mulutnya bagaikan berat untuk berkata-kata.
            “Bukanlah, aku tak biasa dengan air bergas ni.”  Terang Sofiah lemah.  Maya kembali berpaling ke arah Daniel yang sedang enak mengunyah.
            “Encik Daniel, setiausaha Encik Daniel tak minum air ni.  Saya pulangkan balik satu tin ni.”  Maya menghulurkan tin coca-cola kepada Daniel dengan satu senyuman. 
            “O… tak minum.  Tak apalah.  Ambil air saya ni.  Saya pun belum minum lagi.”  Daniel segera menghulurkan air kotak kepada Maya.
            “Tuan Puteri, ini air awak.”  Sofiah menyambut dengan satu senyuman.  Dia kemudiannya melemparkan satu senyuman kepada Daniel.
            “Terima kasih, Encik Daniel.”  Ucap Sofiah. 
            “Untung kau dapat bos macam Encik Daniel, Sofiah. Eh, kau tak nak tackle dia ke?”  Tanya Maya berbisik.  Sesekali dia menjeling ke arah  Daniel.  Dia takut kalau perbualannya didengar.  Walau bagaimanapun Daniel yang berada di sebelah khusyuk dengan kertas kerja yang di bawanya dari pejabat. 
            “Gila kau. Dia majikan aku.  Aku tak nak terjadi macam dulu.  Eee…. Selisih.  Nanti aku juga yang dapat malu.  Kalau kau nak tahu, sampai sekarang ni aku punya badi dah susah nak hilang.  Dulu boleh juga aku ajak Jeffry ke, Fezly ke, sekarang habuk pun tak ada.  Semuanya melepas gara-gara aku mengorat abang dia. Tak naklah aku.  Apa?  Kau ingat aku ni kempunan sangat ke sampai tak dapat abang, adik pun aku nak sapu?” Sofiah tidak senang dengan kata-kata Maya.  Dia tahu, bukan senang untuk dia mendampingi Daniel.  Dia takut akan bayang-bayangnya sendiri.  Dia malu orang akan kata bagaikan hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong.  Dia sedar dia hanya seorang pekerja bawahan.
            “Apa yang kau nak takutkan?  Belum cuba belum tahu.  Hari tu dia ada cakap yang dia tak ada teman wanita.  Hah, apa lagi?  Kau masuklah jarum kau.  Manalah tahu dia tangkap lentok dengan kau.  Kau juga yang untung.  Dia baik, peramah, dan yang paling penting dia pandai ambil hati.”  Ampu Maya.  Walaupun Daniel bukanlah majiikannya namun dia tahu Daniel adalah seorang yang baik dan sesuai dengan Sofiah.
            “Tak naklah aku.  Lagi pun aku dah lama tinggalkan ilmu mengorat aku tu.  Kalau boleh, biarlah dia datang sendiri Maya.  Aku dah tak larat lagi.  Biar masa yang akan menentukan siapa yang bakal menjadi suami aku.  Kalau dah jodoh ia tidak akan ke mana.  Sampai masa kita akan tahu siapa pasangan kita.  Andai kata jodoh aku dengan dia aku tak boleh buat apa.  Tapi apa yang penting sekarang ni aku nak tumpukan dengan kerjaya aku yang ada sekarang ni.”
            “Kau demam ke Sofiah?”  Maya meletakkan telapak tangan di dahi Sofiah.  Sofiah segera menepisnya. 
            “Apa pulak?  Tak adalah.  Aku bukan demam atau mengigau.  Aku sedar, kalau kita bercinta bagai nak rak pun kalau tak kahwin buat apa?  Mulai saat ini, aku nak belajar biarlah cinta itu datang dengan sendiri bukannya aku mencipta untuknya.”  Sofiah nampak bersemangat.  Maya yang mendengarnya tidak percaya apa yang dikatakan oleh Sofiah itu datangnya dari naluri Sofiah yang sebelum ini dikatakan sebagai wanita penggoda. Namun begitu Maya merasa bersukur yang sahabatnya ini sudah mulai sedar dengan apa yang telah dilakukan pada hari-hari semalam.
            “Tapi Sofiah, tidak salah kalau kita yang mencipta cinta.  Cinta datangnya dari hati.  Aku yakin, satu hari kau akan jatuh hati dan pada ketika itu kau akan mengenali apa itu erti sebenarnya cinta.  Cinta yang dikenali sebagai cinta sejati.  Sesungguhnya apa yang aku harapkan pada kau, janganlah kau  yang memusnahkan cinta itu sendiri seperti mana yang kau lakukan sebelum ini.”  Nasihat Maya.  Walau bagaimanapun dia akur dia juga kini berada di ambang kegagalan bercinta.
            “Aku tahu,  Maya. Aku banyak melukakan hati seorang lelaki.  Sebab itu aku diduga apabila aku dapat merasai bagaimana hati ini terluka.  Oleh sebab aku menyimpan harapan yang tinggi, aku tersungkur.  Kadang-kala aku teringat akan kata orang, jangan terlalu mengharap kerana satu hari nanti kau akan pasti kecewa.”
            “Sofiah.”  Sofiah tersentak.  Raut wajah Daniel direnung.
            “Kenapa Encik Daniel? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
            “Sofiah, mana jadual kita?”  Sofiah yang mengerti akan permintaan Daniel akur.  Dicapainya beg hitam yang menjadi teman setianya di pejabat.  Kesemua jadual dan segala yang berkaitan dengan rombongan itu memang disimpannya di dalam beg tersebut.
            “Ini yang aku malas ni.  Sudah tentu aku yang akan jadi orang tengah.  Suruh hulur itu, suruh bagi ini.  Sudah, aku nak tukar tempat.  Begini sajalah.  Sofiah, kau bangun sekejap.”  Arah Maya.  Maya mengemaskan barang-barangnya.  Semuanya disatukan dan bersedia untuk bangun.
            “La… kenapa pulak?”  Tanya Sofiah acuh tak acuh sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Maya.   Dia tahu ada sesuatu yang ingin dibuat oleh Maya dan apa yang pasti dia sudah dapat fikirkan.
            “Aku cakap kau dengar sajalah.”  Sofiah bangkit.
            “Hah, Lim.  Kau pulak bangun.” 
            “Apa pulak kena-mengena dengan aku?”  Lim yang tidak tahu apa-apa mula bising.  Hilang konsenterasinya mendengar lagu kegemaran yang berkumandang di segenap pelusuk bas.
            “Ini lagi sorang.  Oi apek!  Bangunlah!”  Lim yang tidak mahu bercerita panjang mula mengangkat punggung.  Maya bangkit dari tempat duduknya.  Ditariknya tangan Sofiah supaya keluar. 
            “Lim, kau keluar.  Aku nak masukkan Sofiah kat tempat duduk kau.”
            “O… baru aku tahu.  Kau nak suruh aku jadi partner kau ke?”  Usik Lim sambil tersenyum mengena.  Kadang-kala dia seronok mengenakan Maya yang sememangnya suka bergurau.
            “Sudah, jangan nak mengada.  Sebelum nak jadi partner aku banyak lagi syarat-syarat yang perlu kau penuhi.  Kau duduk sini.  Aku pulak nak duduk sebelah tingkap.  Aku bukan apa, nak bagi Encik Daniel dengan Sofiah tu buat kerja.  Kalau tidak, sudah tentu dia kacau aku.”
            “Apa ni Maya?” Sofiah yang sedang berdiri merasa serba-salah.  Dia takut Daniel akan tersalah anggap tentang dirinya.  Dia tidak mahu Daniel menganggap  semua ini rancangan darinya.
            “Kau jangan banyak cakap Sofiah.  Ikut saja kata aku.  Encik Daniel, boleh bangun sekejap tak?  Bagi laluan bagi tuan puteri kita ni.”  Daniel akur.  Diberikannya laluan untuk Sofiah.  Sedangkan Maya sudah pun tersenyum puas.  Harapan untuk mendekatkan Sofian dan Daniel kini menjadi cita-citanya.
            “Oh ye.  Sofiah,  masuklah.”  Sofiah dengan berat hati menurut.  Wajahnya berubah.  Merah padam menahan malu yang amat sangat.  Tidak pernah dia diperlaku sedemikian. 
            “Apa lagi ni Maya, cubalah duduk.”  Hafiz yang berada di belakang Maya mula bersuara.  Lemas dia dengan kerenah Maya. 
            “Kejap lagilah Encik Hafiz.  Janganlah Encik Hafiz bimbang.  Saya dah buat  susun atur yang baru.  Okey, lepas ni saya tak akan ganggu Encik Hafiz lagi. Hah Lim!  Yang kau tercegat kenapa?  Duduklah.”
            “Macam mana aku nak duduk kalau kau belum duduk.”  Maya senyap.  Ye tak ye juga.  Aku belum duduk macam mana dia nak duduk?
            “Betul juga.  Sorry ye.” Maya menghempaskan badannya di tempat duduk Sofiah.  Manakala tempat duduknya kini dihuni oleh Lim.
            “Em… baru betul.  Sofiah kau kat sana jaga betul-betul Encik Daniel tu, dan Encik Daniel tolong tengok sikit si Sofiah.  Si Sofiah ni ada manja sikit.”  Ujar Maya dengan nada mengusik.  Gelihati dia apabila melihatkan wajah Sofiah yang sudah merona merah.  Sedangkan Daniel berlagak selamba.
            “Maya, kau duduk sebelah aku aku jangan nak membebel.  Aku campakkan kau kat luar tu nanti.”
            “Ala… setakat muka kau ni nak campak aku kat luar?  Suka hati akulah.  Aku pelik betullah tengok kau ni.  Nama saja orang cina tapi kau cakap macam orang melayu.  Itu yang aku keliru.”
            “Maya!!!!” Separuh dari penumpang bas itu menjerit.  Masing-masing tak tahan dengan suara Maya.

            “Opps!  Sorry.”  Maya senyap.  Dia tahu kesalahannya.  Dia terlalu banyak bercakap. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page