Cerpen: Dia Bukan Miliku....

Teratak pena | 11:06 PM | Be the first to comment!


Qistina berlari mendapatkan Iskandar apabila sahabatnya itu mula melambai. Dia tersenyum dan segera membalas kembali lambaian itu. Iskandar yang enak duduk di atas motor menanti Qistina dengan penuh debaran.

“Macam mana? Dah sampaikan ke? Dia ada cakap apa-apa? Dia pesan apa?” Pelbagai persoalan meluncur dari bibir Iskandar. Qistina yang baru sahaja sampai tercungap-cungap kerana berlari.

“Kau ni kalau ye pun bagilah aku ni bernafas dulu. Aku ni penat tau. Bukannya nak kesian. Bagilah peluang aku ni rehat sekejap. Tak pun belanja aku ni aiskrim dulu. Panas ni.” Bebel Qistina sambil bercekak pinggang.

“Banyak sangat cakaplah kau ni. Cepatlah cakap.” Qistina menggeleng. Iskandar menggeluh perlahan. Inilah orang perempuan tak habis-habis nak disogok. Iskandar cuba memaksa namun Qistina lebih pandai menyimpan rahsia.

“Yelah… yelah… aku belanja kau aiskrim. Tapi lepas ni kau kena beritahu aku kesemua sekali. Setiap patah kata Farhana tu.” Akhirnya Iskandar akur dengan kehendak Qistina.

Qistina tersenyum meleret. Dia segera menarik tangan Iskandar dan segera ke kiosk Baskin Robin’s. Iskandar menggelengkan kepala. ‘Kopak duit aku’. Qistina melabuhkan punggung dan menikmati aiskrim dengan tenang. Namun tidak kepada Iskandar. Dia masih lagi tertanya-tanya apakah yang telah diamanahkan oleh Farhana.

“Hah, rehat sudah cukup aku bagi. Aiskrim sudah aku beli. Yang mahal pulak tu. Apa lagi? Tak reti-reti nak beritahu ke?” Qistina tersenyum lagi. Sengaja dia mengenakan Iskandar. Biar lelaki itu tidak keruan.

“Dia cakap yang dia rindukan kau. Dah lama tak dengar khabar berita.”

“Itu je?” Qistina mengangguk.

“Itu je.”

“Takkan tak ada yang lain? Macam I love you ke?”

“Terima kasih…..”

“Aku bukan cakap pasal kau. Aku cakap pasal Farhana. Engkau ni pun satulah. Aku cakap serius kau pula yang main-main.” Saat itu Qistina menahan tawanya apabila melihatkan wajah Iskandar yang sudah berubah.

“Itu saja yang dia beritahu dengan aku. Yang lain tak ada. Kau ni pun satu. Dah tahu minat dengan dia, terus-terang sajalah. Ini tidak. Aku pula yang jadi mangsa. Aku juga yang jadi posmen yang tak bergaji. Kalau kau terus-terang tak adalah kau asyik nak tertanya-tanya. Nak aku aturkan pertemuan dengan Farhana ke?” Iskandar menggeleng.

“Bukan masanya sekarang ni. Aku bukan apa, aku seganlah.”

“Apa jenis lelakilah kau ni. Sejak kau nak berkenalan, sampai sekarang aku juga yang jadi mangsa. Kalau terus macam ni nampaknya aku terpaksalah menetapkan harga setiap kiriman yang kau berikan.” Iskandar tersenyum sinis.

“Banyak cantik. Sudah, cepat habiskan aiskrim tu. Lepas ni aku hantar kau balik.” Qistina akur. Dia segera menghabiskan sisa aiskrim dan bangkit menuju ke motor Iskandar. Helmet yang sedia ada dipakai.

Sampai sahaja di rumah, kelihatan Arfaizah sedang enak menonton drama cina kegemarannya. Qistina melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan dengan Arfaizah.

“Baru balik dari jumpa buah hati ke? Seronok?” Qistina mengeluh. Kusyen kecil untuk perhiasan sofa dipeluk erat.

“Aku tipu dia lagi.”

“Lagi? Sampai bila Qistina? Bukankah Farhana tu memang tak suka dengan Iskandar. Hadiah yang Iskadar berikan pada Farhana sampai bila kau nak simpan? Aku takut nanti apa pula kata Iskandar kalau kau buat dia macam ni?”

“Aku bukan apa Eyja, aku cuma tak nak dia bersedih. Aku tahu yang Farhana tak suka dengan Iskandar. Hadiah yang Iskandar berikan pun dia buang dalam tong sampah. Aku tak sampai hati kalau Iskandar kecewa.”

“Salah tindakan kau tu. Kalau Iskdandar tahu macam mana? Dia akan lebih kecewa kalau kau menyembunyikan kebenarannya.” Qistina senyap.

“Mungkin dia tidak berjumpa dengan Farhana. Namun kalau dia tahu yang Farhana tidak menyukainya mungkin dia akan menganggap kau telah mempermainkan dia. Sampai bila kau nak merahsiakan? Sampai Iskandar tahu dari mulut orang lain?” Kata-kata Eyja itu membuatkan Qistina mati kata-kata.

Bukan niatnya untuk menipu Iskandar. Namun dia terpaksa kerana tidak mahu Iskandar menderita walau pun dia tahu Iskandar hanya bertepuk sebelah tangan.

“Kau sayang Iskandar tak?” Pertanyaan dari Eyja itu membuatkan Qistina terkejut. Sayang? Ah, dia terlupa akan perkataan itu di dalam hidupnya. Namun ya. Sayang sebagai kawan.

“Kenapa tidak kau saja yang mengisi kekosongan Iskandar? Engkau dengan Iskandar sudah lama bekawan. Takkan tiada rasa sayang dan cinta?” Qistina memandang ke arah Eyja. Dia cuba untuk mengumpul jawapan namun dia tidak tahu apakah yang perlu diperkatakan.

“Entahlah…. Aku pun tak tahu.” Akhirnya itulah yang meluncur dari bibir Qistina.

“Aku tahu kau sayang Iskandar. Mulai sekarang kau perlu memberitahu akan kebenarannya kerana aku takut satu hari nanti dia tidak akan percaya dengan kau lagi. Aku yakin apabila kau beritahu dengan dia mungkin dia akan faham.”
Ada benarnya kata-kata Qistina itu. Namun dia tidak pasti sama ada dia sudah bersedia atau pun tidak. Dia takut. Andai kata Iskandar akan mentafsirkan dirinya yang bukan-bukan.

Qistina melabuhkan punggung dan segera memesan air tembikai. Baru saja dia mendapat SMS dari Iskandar supaya berjumpa dengannya seberapa segera. Entah mengapa hati Qistina berdebar. Sambil menantikan Iskandar dia membelek menu yang tersedia di atas meja.

“Hai, dah lama tunggu?” Qistina berpaling dan melemparkan sebuah senyuman kepada Iskandar.

“Kenapa nak jumpa?”

“Apa lagi kalau bukan nak minta tolong. Kali ini aku nak kau tolong aku.”
“Hai, selama ini aku tak tolong kau ke? Apa hal yang penting sangat ni? Aku tengok macam urgent sangat. Apa yang boleh aku tolong kau? Pasal Farhana ke?” Iskandar senyum. Ah, dia sudah dapat menganggak.

“Pandai kau. Kali ini pertolongan aku ni berat sikit. Aku harap kau boleh tolong aku.”

“Sebelum aku tolong kau, aku ada satu perkara nak cakap dengan kau ni. Aku harap kau tak ambil hati dengan apa yang aku cakapkan.” Per;lahan sahaja kata-kata Qistina. Dia tunduk dan tidak betah untuk bertentang mata dengan Iskandar.

“Apa maksud kau?”

“Ini mengenai Farhana.”

“Kenapa dengan dia? Apa yang dah terjadi pada dia? Cuba beritahu dengan aku.”

“Er…. Er…..”

“Qistina.” Keras suara Iskandar. Qistina sedikit tersentak. Dalam erti kata untuk menyatakan kebenaran ada rasa sisa rasa bersalah. Namun dia perlu menghadapi apa saja yang akan berlaku.

“Aku minta maaf apa yang akan aku katakan ini akan membuatkan kau terluka.” Iskadanr mengerutkan kening. Dia bagaikan tidak puas hati selagi dia tidak tahu apa yang ingin dikatakan oleh Qistina.

“Cuba kau terangkan pada aku.”

“Yang sebenarnya, apa yang kau impikan bukan seperti apa yang kau harapkan.” Akhirnya kata-kata itu terluah jua.

“Apa maksud kau? Aku tak faham.”

“Sebenarnya, setiap kali kau kirimkan salam kepada Farhana ibarat angin lalu. Setiap kali kau menghadiahkan barang, setiap kali itulah dia tidak pernah memandang walau sebelah mata. Malahan hadiah yang pernah kau berikan kepada dia semuanya dibuang. Aku minta maaf Iskandar. Bukam niat aku untuk membohongimu. Namun aku terpaksa. Aku terpaksa kerana kau sahabat aku.” Penjelasan yang diberikan oleh Qistina itu membuatkan Iskandar terdiam. Qistina tunduk.

“Tidak aku tidak percaya. Kau tipu aku. Aku tahu Farhana tidak seperti itu. Hanya kau saja yang buat cerita. Katakan itu adalah dusta. Aku tahu kau senjaga mengadakan cerita.”

“Untuk apa Is? Untuk apa? Aku tahu sepatutnya aku memberitahu dengan lebih awal. Tetapi aku tidak sampai hati.”

“Dan kau sampai hati untuk menipu aku. Aku tidak sangka.” Kali ini Iskandar tekad untuk meninggalkan Qistina.

Qistina berpaling disaat Iskandar meninggalkannya. Di kala itu air mata Qistina mula mengalir. Hatinya berbaur. Di ketika itu dia terlihatkan kotak kecil baldu merah berada di atas meja. Kini baru dia sedar bahawa Iskandar mahu melamar Farhana.

Setelah apa yang berlaku, Qistina tidak pernah berjumpa dengan Iskandar lagi. Dia cuba menelefon Iskandar namun hampa. Tiada siapa yang menjawabnya. Untuk dia menelefon di pejabat, setiausahanya sentiasa memberikan alasan yang sama. ‘Encik Iskandar sedang sibuk. Dia tidak mahu diganggu.’ Di tempat kerja juga Qistina mula tertekan. Melihatkan Farhana yang berlagak tenang membuatkan dia rasa marah dan juga cemburu. Dia tidak tahu apa yang menariknya Farhana di mata Iskandar. Dia tahu Farhana cantik. Namun Farhana juga seorang yang agak sosial.

“Ana… minta maaf kalau Qistina nak bertanya sedikit.” Tegur Qistina di satu petang ketika bebanan kerja sudah berkurangan.

“Kenapa?”

“Apa kurangnya Iskandar sehingga sekarang kau tidak dapat menerimanya? Dia begitu mengharap. Dia terlalu menyayangi kau, Ana. Kau beruntung kerana Iskandar adalah seorang lelaki yang baik. Kau bertuah kalau memilikinya.”

“Qistina, sudah berapa kali aku beritahu dengan kau aku tidak suka dengan dia. Dia bukan lelaki impian aku. Mungkin kau saja yang boleh mengisi kekosongan di hati dia.”

“Itu kata kau. Tapi Iskandar lebih menyayangi kau.”

“Qistina, cinta tidak boleh di paksa. Buat apa kita memaksa diri kita kalau kita tidak menyanyangi seseorang itu. Bukankah kau sudah lama berkawan dengan dia? Kenapa tidak tukarkan saja hubungan kawan itu menjadi hubungan sepasang kekasih?”

“Ana…. Ianya bukan senang yang kau sangka.”

“Walau bagaimana pun keputusan aku adalah muktamad. Iskandar bukanlah lelaki pujaan hati aku. Maafkan aku.” Qistina diam.
"Dan di satu hari nanti kau akan sedar apa yang telah kau lakukan."

Dia mengeluh kecil. Untuk merapatkan hubungan antara Iskandar dan Farhana bukan;ah seperti yang disangka. Pertembungan Iskadar dan Farhana di saat Iskandar menjemput Qistina di tempat kerja telah membibitkan rasa cinta pandang pertama Iskandar. Mulai saat itu Iskandar sering kali menggunakan khidmat Qistina sebagai orang tengah. Qistina sedar Farhana tidak menyukai Iskandar apa lagi untuk menyintai. Dalam diam dia terus memberikan harapan kepada Iskandar kerana tidak mahu sahabatnya itu terluka. Dan kini, dia sedar akan kesalahan yang telah dilakukan.

Akhirnya Qistina akur. Dia mungkin telah dilupai oleh Iskandar. kini sudah hampir tiga tahun Qistina tidak mendengar berita tentang Iskandar. Ah, betapa kerasnya hati kau Iskandar. Qistina memandang ke arah luar tingkap di saat hujan gerimis mula singgah di atap usang milik keluarganya. Sudah seminggu dia di kampung.

Setelah sekian lama dia bekerja kini barulah dia bercuti panjang. Encik Siaful sengaja mahu dia mengambil cuti dua minggu. Kebetulan dia di panggil untuk pulang ke kampung. Harapan kedua orang tuanya untuk dia berumah tangga bagaikan tergiang-ngiang di telinga. Bukan dia membantah pilihan ibunya namun hatinya masih lagi teringat kepada skdandar yang sudah lama tidak dihubungi. Namun dia sedar bahawa dia tidak boleh mengharapkan kehadiran Iskandar untuk mengubati lukanya. Ibunya sekali lagi meminta untuk berjumpa dengan bakal tunangannya. Dia akur dan perjumpaan untuk petang esok pastikan memberikan keputusan untuk dirinya sendiri.

Qistina memandang sekeliling dan cuba mencari lelaki yang disebut-sebut oleh ibunya. ‘Dia pakai baju biru.’ Ingat ibunya sebelum dia bertolak.

“Assalamualaikum…” Qistina berpaling. Dia melemparkan sebuah senyuman dan mengajak lelaki itu duduk.

“Dah lama ke Qistina tunggu saya?”

“Tak adalah. Lagi pun Qistina baru saja sampai. Encik…”

“Panggil saja Ilham. Tak perlulah nak berencik pula. Ibu Qistina ada beritahu yang Qistina sudi nak berjumpa dengan saya. Seronok rasanya. Yelah. Bak kata orang tak kenal maka tak cinta. Kalau dah berjumpa, Ilham boleh bertanya dengan lebih dekat lagi dngan Qistina.” Qistina tersenyum sambil memandang ke arah Ilham.

“Pertama sekali Ilham nak minta maaf kalau cara Ilham ni membuatkan Qistina rasa tak senang. Tetapi Ilham bukan ingin memaksa Qistina, cuma ingin meminta pendapat tentang apa yang telah orang tua kita jalankan. Mungkin Qistina sudah ada yang punya, Ilham boleh menerimanya. Ilham cuma ingin bertanya, adakah Qistina bersetuju dengan pilihan keluarga kita? Ilham ingin dengar dari Qistina sendiri.”

“Maafkan Qistina. Bukan Qistina ingin menolak lamaran Ilham, tetapi entahlah perasaan Qistina berbaur sekarang ni. Tidak tahu mana yang perlu Qistina pilih.”

“Maksud Qistina?”

“Qistina mengaku Qistina punyai sahabat yang bernama Iskandar. Qistina telah melukakan hatinya. Sehingga kini Qistina masih lagi bersalah terhadapnya. Qistina masih lagi merinduinya.” Qistina tunduk. Entah mengapa dia begitu senang untuk bercerita tetang hal peribadinya kepada Ilham.

“Qistina, maaf jika Ilham melamar Qistina bukan pada masa yang sesuai. Namun apa yang ingin katakan pada Qistina adalah, perkara yang lepas usah dikenang. Mungkin dia sudah memaafkan Qistina. Atau mungkin dia kini sedang mencari Qistina. Ilham tidak mahu hubungan Qistina dengan Iskandar mati di sini sebab Ilham. Ilham tahu, Qistina berhak memilih.” Kata-kata Ilham mati di siti. Cuba melihat akan reaksi Qistina.

“Percayalah kepada hati, Qistina. Kalau hati Qistina untuk Iskandar, teruskan. Ilham sedia menerimanya. Sesungguhnya hati itu suci. Kita yang mencorakkan warna-warni di dalam kehidupan kita. Bersabarlah Qistina. Mungkin satu hari nanti apa yang kita harapkan aka menjadi satu kenyataan.”

Pertemuan dengan Ilham membuatkan Qistina banyak berfikir. ‘percayalah kepada hati.’ Kata-kata itu masih lagi terlekat disudut hatinya. Kini dia perlu membuat pilihan yang tersendiri. Iskandar, nama itu hanya sebagai seorang sahabat atau pun kekasih?

Paluan kompang kedengaran menandakan rombongan pengantin lelaki sudah pun sampai. Qistina yang sudah siap diandam tersenyum. Dia yakin dengan pilihannya kini. Dan selepas ini dia berjanji dengan diri sendiri bahawa dia akan terus menyintai dan menjadi seorang isteri solehah kepada MOHAMAD ILHAM DANIEL. Kenangan bersama Iskandar segera dibuang jauh. Warkah terakhir dari Iskandar menguatkan lagi nalurinya bahawa Iskandar hanyalah untuk menjadi seroang sahabat.

“Assalamualaikum…” Qistina berpaling memandang kepada Ilham yang kini sudah sah menjadi suaminya. Senyuman yang dilemparkan kepada Ilham adalah senyuman bermakna buat Ilham. Ilham melabuhkan punggung di sisi Qistina dan mengucup lembut ubun-ubun isteirnya.

“Qistina tidak menyesal memilih abang sebagai suami?” Kata-kata itu membuatkan Qistina ketawa kecil. Dia menggeleng.

“Tidak sesekali bang. Iskandar cuma sahabat Qistina dan abang adalah kekasih Qistina. Suami Qistina. Walau apa pun kasih Qistina untuk abang."

“Terima kasih, sayang.”

Sajak: Tunas Baru....

Teratak pena | 12:41 PM | Be the first to comment!


Saat ku gah mencapai awan
Senyuman yang terukir pada serat daun
Gah pada seri yang mendokong akar
Namun pada satu saat ku tahu
Aku hanya menumpang
Di tanah yang pastinya
Saki dengan akarnya
Kujatuh rebah dan
Menyembah bumi
Memang itu sudah takdirnya
Dan aku tidak akan terus kalah
Berbaki akar yang ada
Kugapai untuk mencari tunas baru
Agar menjadi pohon yang baru
Agar menjadi diriku yang baru
Dan saat tiba bila
Akan menjadi takdir yang sama
Ku tahu yang aku tidak keseorangan....

Permulaan Dari Pertengahan....

Teratak pena | 10:32 PM | 2 Comments so far

Blog ini sebelumnya dikenali dengan Tinta Pena... URLnya http://teratakp3na.blogspot.com, memang URLnya tidak berubah namun dengan kesilapan segala yang telah tersiar sebelum ini hilang dan terpaksa saya menggunakan blog yang baru...

minta maaf kepada semua yang menjadi follower saya dan saya akan cuba jejaki yang setia dengan saya, dan kepada yang baru sahaja menjejaki link ini terima kasih dan sudi-sudikan...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page