Cerpen: Kerongsang Baldu Songket Biru

Teratak pena | 8:27 PM | 1 Comment so far
KERONGSANG BALDU SONGKET BIRU

Syafika berlalu dari satu bangunan ke bangunan untuk sampai ke kelas. Sebelum itu sempat juga dia singgah di kantin untuk membeli kuih kegemarannya iaitu karipap. Sungguh pun dia sudahpun menjamu selera dengan nasi lemak namun karipap adalah desertnya setiap pagi. Syafika akhirnya sampai ke kelas dan yang pastinya dia terus melakukan tugasan seperti biasa. Walau pun bukan dia yang bertugas hari itu, namun dia selalu ringan tulang untuk memastikan kelasnya sentiasa bersih. Syafika mencapai penyapu dan lantas menyapu lantai bermula dari meja guru. Walau bagaimana pun karipap yang berada di tangan masih lagi tidak dilepaskan. Mulutnya sentiasa menguyah.

Keriuhan kelas akhirnya membuatkan Syafika merasa rimas. Mahu tidak, lantai yang tadinya bersih tiba-tiba dipenuhi dengan sampah dan kertas. Rasanya mahu saja dia menjerit meluahkan rasa geramnya. Siapa yang tidak marah kalau kita penat-penat buat kerja orang lain pula yang buat onar. Syafika memandang ke arah Syafiq yang sedang mengunyah gula-gula getah sambil membuang sampah ke atas lantai. Sambil itu Syafiq tertawa mendengarkan cerita yang dibawa oleh Firdaus, merupakan tok dalang di dalam kelas tersebut. Mulutnya tidak pernah berkunci. Ada saja cerita yang dibawanya. Manakala Syafiq pula merupakan pelajar paling pintar di dalam kelas tersebut dan juga pelajar yang paling nakal. Selalu sahaja dia mengusik Syafikah. Ada saja jalannya untuk menyakat Syafika.

Syafika berdiri di hadapan Syafiq sambil bercekak pinggang. Mahu sahaja dia menjerit kepada Syafiq betapa kurang ajarnya dia. Hinggapkan sampah dalam mulut dia bagus juga ni…

“Hah, ‘doouble Mozza’ kenapa dengan kau ni? Tak cukup lagi ke karipap di tangan sampai kau tenung aku macam nak makan? Maaflah ye. Kalau kau nak ratah aku pun tulang saja. Mana cukup untuk badan kau yang bagai dipam-pam tu. Kalau dah lapar sangat, makan saja penyapu tu. Lagi kenyang.” Seloroh Syafiq.
Namun wajah Syafika masih lagi masam. Mahu saja dia menghinggapkan penyapu yang dipegangnya di muka kacak Syafiq itu. harap saja muka cantik. Tapi perangai macam hantu!

“Kau tahu tak apa yang kau dah buat?” Tanya Syafika sambail mengutip sampah yang bertaburan di atas lantai. Syafiq senyap seola-olah kata-kata Syafika itu bagaikan angin lalu.

“Syafiq! Aku tanya kau ni. Kau ni tak dengar ke atau dah pekak? Tak sangka pula muka cantik tapi pekak badak.” Sengaja Syafika menaikkan darah Syafiq.

“Aku bukan tak dengar, tapi ada daya aku… aku ni tak layak nak buat kerja kutip sampah seperti mana yang kau buat sekarang ni. Lagi pun bila masa lagi awak tu nak kuruskan badan. Aku peliklah. Semakin banyak yang kerja yang awak buat makin gemuk pula aku tengok kau. Yelah, bila dah penat makan pun dua tiga pinggan dah tak kisah. Ala… bukan berat sangat pun sampah yang aku buang ni. Kalau rasa malas nak kutip jangan kutip. Apa susah.”

“Syafiq, engkau ni kalau satu hari tak susahkan hidup aku tak boleh ke? Cuba satu hari kau senangkan hidup aku. Bukan susah sangat nak buang sampah. Lagi pun tong sampah bukannya jauh sangat dari tempat kau.” Bebel Syafika lagi.

Syafiq tidak mengendahkan Syafika sebaliknya dia terus berborak dengan Firdaus. Kata-kata Syafika itu bagaikan angin lalu yang singgah cuma seketika di cuping telinganya. Shafika mengeluh keras. Dia tahu tiada guna untuk bertegang leher dengan Syafiq kerana yang pasti dia juga yang akan menjadi mangsa.

Syafika kembali di tempat duduknya apabila semua kerja sudah diselesaikan. Yang pasti dia berpuas hati dengan kerjanya. Syafika mencapai karipap yang disimpannya di dalam meja. Selepas penat dia menyapu sampah, tibalah masanya untuk dia mencari semula tenaga yang sudah hilang tadi. Yati yang berada di sebelah dipelawa juga untuk menikmati karipap yang dibelinya tadi. Namun Yati menggelengkan kepala.

“Macam manalah nak kurus badan tu kalau asyik nak makan je. Badan pun dah macam kayu balak. Besar. Siapalah yang malang kawan dengan dia selalu nak belanja makan.” Masih lagi ada sisa-sisa kritikan dari Syafiq. Syafika membatukan diri sebaliknya dia meneruskan makan. Peduli apa aku.

“Hah, kau tengok tu macam mana dia makan karipap. Macam tak jumpa makan setahun. Punyalah besar dia nganga-nganga. Oi, Yati! Kau tak nak jadi macam kawan sebelah tu ke? Aku rasa kalau si Syafika tu jalan mahu saja bergegar bangunan ni dibuatnya.” Syafiq masih lagi mengusik Syafika. Kali ini Syafika hilang sabar. Dia meletakkan karipap dan terus ke meja Syafiq.

“Yang kau bising sangat ni kenapa? Badan aku. Bukannya badan kau. Yang kau susah sangat kenapa? Biarlah aku nak gemuk ke, nak bulat ke, kau peduli apa? Ada aku ganggu hidup kau ke? Dari ganggu hidup orang ada lebih baik jaga diri tu sendiri. Diri sendiri pun tak terurus ada hati nak mengutuk orang. Jaga diri tu sikit. Harap muka je kacak tapi otak tak tahu letak mana.”

“Ala….. janganlah kau marah. Kalau kau marah lagi naik badan kau tu nanti. Silap haribulan mahu meletup nanti. Yang ambil hati sangat ni kenapa? Betul apa yang aku cakapkan. Aku bukan cakap kosong. Memang betul badan kau gemuk.” Berbular biji mata Syafika mendengarkan butir bicara dari Syafiq. Kurang ajar. Mulut tak ada insuran langsung.

“Eh, dahlah. Dari aku melayan kau ada lebih baik aku layan tembok tu. Kalau cakap pun tak adalah buat sakit hati.” Syafika berlalu apabila Syafiq mula mentertawakan dirinya. Dia kembali di tempat duduk dan hanya memendam rasa. Pedih hatinya dengan usikan dan gurauan Syafiq yang keterlaluan itu. Dia juga punya hati dan perasaan. Hati siapa yang tidak sakit kalau saban hari disindir dan diejek.

“Dahlah tu, Fika. Biarlah dia tu. Jangan dilayan sangat dengan perangai dia. Kau bukan tak tahu dia tu. Ada saja yang dibangkangnya.” Pujuk Yati perlahan. Mahu sahaja air mata Syafika mengalir namun dia menahan. Dia tidak mahu Syafiq menganggap dirinya lemah. Dia sedar siapa dirinya. Namun dia pasrah dan perjuangannya belum selesai. Perjuangannya bukan mencari gaduh dengan Syafiq tetapi perjuangannya untuk mengapai impian untuk menjadi seorang pendidik.

“Bukan sehari, bukan sebulan dia mengutuk aku, Yati. Sudah bertahun. Sejak aku masuk ke sekolah ni. Aku tak tahu apa dosa aku pada dia sampai begini dia buat pada aku. Aku tak ada ejek dia. Aku tak ada kutuk dia.” Nafas Syafika terhenti seketika.

“Aku tak tahu apa yang perlu aku buat, Yati. Aku buntu. Bila aku kenangkan balik mahu sahaja aku kerat dia sampai empat puluh empat biar dia rasa. Tapi… nanti kena masuk penjara. Aku tak sabar nak ambil PMR dan aku nak segera pindah dari sekolah ni. Aku dah tak tahan nak bersemuka dengan dia. Tapi… kena tunggu tahun depan. Aku dah tak tahan lagi, Yati.” Luah Syafika.

“Sudahlah tu. Aku yakin lama-kelamaan dia akan berhenti mengejek kau. Nanti dia penatlah nak kutuk kau. Biar dia. Kalau kau layan dia lagi suka dia mengejek kau. Kalau kau buat diam nanti tak adalah dia kutuk kau lagi. Yang penting kau sabar jelah.” Pujuk Yati.

“Tapi sampai bila? Sampai bila Yati? Aku dah buntu untuk fikirkannya. Sampaikan nak belajar pun kadang-kala aku teringat dengan kata-kata ejekannya.”

“Entah-entah dia minat demgan kau tak Fika? Orang lelaki ni dia tak suka terus-terang. Dia asyik nak usik kau saja, entah-entah dia ada hati dengan kau.”

“Cis! Tak ingin aku dengan dia tu. Perangai macam hantu. Kalau ada dia suka dengan aku lebih baik aku berkawan dengan ‘Pian Skema’ tu. Ada juga faedahnya. Dari berkawan dengan budak pelesit tu. E…. selisih. Englau ni jangan cakap yang bukan-bukan.” Yati ketawa apabila mendengarkan kata-kata Syafika itu.

Waktu Sains sudah pun tamat. Pelajar-pelajar Tingkatan 2 Bistari kembali semula ke kelas setelah selesai pembelajaran di makmal. Syafika menarik kerusi dan kemudiannya dia melabuhkan punggung. Namun malang tidak berbau kerusi yang bakal diduduki patah menyebabkan Syafika terjatuh. Hampir satu kelas mentertawakannya terutama sekali Syafiq.

“Oi! Semua tengok mak gajah jatuh kerusi. Macam nangka busuk. Tengoklah kawan-kawan. Kelakar betul.” Wajah Syafika berubah. Syafiq masih lagi mentertawakan Syafika.

“Itulah, gemuk sangat sampai kerusi pun dah tak sudi. Balik beli kerusi besi lagi elok. Tak adalah merosakkan harta benda sekolah.” Syafika membetulkan bajunya.
Dia merenung ke arah seluruh kelas yang masih lagi mentertawakannya. Yati yang bersimpati apa yang berlaku terus mendapatkan kerusi yang lain untuk Syafika. Kali ini Syafika sudah tidak dapat membendung lagi air matanya. Akhirnya dia tewas. Dia menangis semahu-mahunya. Dia malu. Air mukanya tercalar. Tambahan pula kata-kata pedas yang didengarinya dari Syafiq.

Yati mententeramkan Syafika. Namun air mata Syafika terus berlinang. Dia tidak tahu bagaimana untuk dia berhadapan dengan rakan-rakan untuk hari yang seterusnya. Syafiq yang melihatkan air mata Syafika berlinang terdiam. Dia tidak menyangka Syafika yang sebelum ini tabah orangnya akhirnya mengalirkan air mata.

“Sudah puas hati semua?” Syafika bangkit. Merenung setiap penjuru kelas. Air matanya masih lagi mengalir.

“Saya sedar, saya ini adalah alat untuk ditertawakan. Alat untuk dihina dan diejek. Saya sedar siapa saya. Saya gemuk. Saya berjalan macam gergasi. Tapi saya juga ada hati dan perasaan. Hati dan perasaan saya bukannya kayu. Kadang-kala saya sedih dan ada juga kadang-kala saya gembira. Saya gembira dengan hidup saya sekarang ni. Tapi saya sedih bila ada yang menghina dan mengejek saya. Saya bukan alat untuk dijadikan bahan sindiran. Cukuplah saya diejek. Berilah peluang untuk saya menjadi diri saya yang sebenarnya.” Syafika duduk kembali. Kata-kata Syafika itu membuatkan semua pelajar terdiam.

Syafiq yang kelihatan serba-salah terduduk. Air mukanya berubah. Dia memandang kembali kepada Syafikah yang telah pun memandang ke hadapan. Hati Syafiq mula terdetik. Perasaannya berbaur.

Semenjak dari peristiwa itu Syafika yang dahulunya suka berjenaka banyak mendiamkan diri. Dia banyak menghabiskan masa dengan membaca atau pun menyiapkan kerja rumah. Walau pun begitu Syafiq masih lagi tidak serik untuk mengusik Syafika. Namun itu tidak mematahkan semangat Syafika. Hubungan Syafika dan Syafiq dingin. Tidak sepatah perkataan yang meluncur dari bibir Syafika untuk Syafiq. Dia tidak pernah bertegur apa lagi untuk berborak. Hatinya kini mula menjadi batu.

Syafika masih lagi menikmati roti sardin yang dibawanya tadi. Namun dia dapat merasakan ada sesuatu yang kurang pada hari itu. Tiada kedengaran suara Syafiq. Syafika memandang ke belakang. Kelibat Syafiq mula dicari. Sakitkah dia? Syafika tahu walau Syafiq agak nakal di sekolah namun dia tidak pernah memonteng sekolah.

“Apa yang kau cari tu?” Tanya Yati sambil matanya sempat memandang ke belakang.

“Aman rasanya bila aku tak dengar suara si Syafiq tu lagi.” Yati tersenyum dengan kejujuran kata-kata Syafika itu. Yati percaya Syafika masih belum tahu akan perihal yang sebenarnya.

“Aku rasa lepas ni tak adalah orang nak ejek dan kutuk kau lagi.” Tersentak Syafika mendengarkan penjelasan Yati itu. Dia memandang ke arah Yati dan sedia menantikan cerita yang selanjutnya.

“Syafiq dah pun pindah. Semalam adalah hari terakhir dia di sekolah ni. Aku ingatkan kau tahu pasal ni.” Syafika menggeleng. Kini barulah dia sedar mengapa Syafiq begitu diam semalam. Kini, dia sudah berada di sekolah yang lain. Menurut Yati Syafiq telah pun berpindah ke luar negara kerana mengikut ayahnya yang bekerja di kedutaan. Syafika memandang ke arah kerusi kosong milik Syafiq. Kini sedar yang dia pastinya rindu dengan usikan Syafiq walau pun kadang-kala menyakitkan hatinya.

“Kenapa aku tak tahu?”

“Macam mana kau nak tahu, asal dia buka mulut kau larikan diri. Asal dia nak cakap kau buat tak tahu. Kesian dia. Dari minggu lepas dia nak cakap dengan kau. Tapi kau buat tak layan je. Hah, sekarang siapa yang mencari? Kau juga yang mencari.”

“Maaflah Yati. Kau pun satu. Tak beritahu dengan aku pun.”

“Sudahlah. Lagi pun dia dah jauh. Entah bila dia akan balik ke Malaysia. Semalam sebelum balik dia ada berikan kau sesuatu. Dia cakap dia akan cari kau kalau dia pulang ke Malaysia kelak. Bukankah aku dah kata. Dia suka dengan kau. Dia usik kau saja nak curi perhatian kau. Ini dia.” Yati mengeluarkan satu bungkusan dan menyerahkan kepada Syafika. Syafika mencapai dan bungkusan biru itu ditatap.

Syafika menghempaskan badannya di atas katil. Dia merenung hadiah pemberian Syafiq dan segera dicapainya. Syaika membuka hadiah tersebut dan mencapai kotak baldu biru yang dibalut kemas. Dia membuka kotak itu dan dia terpesona dengan kerongsang berbaldu biru. Cantik dan menarik. Syafika membuka warkah pemberian Syafiq.

Assalamualaikum…..
Syafika aku minta maaf seandainya aku banyak melukakan hatimu. Aku selalu mengejek dan menghina. Aku sedar yang perbuatan aku ini tidak boleh dimaafkan namun aku terus menggagahkan diri untuk meminta maaf seandainya selama ini aku banyak menyinggung perasaan. Aku akan berpindah ke luar negara dan aku kembali jua ke tanah air ini. Namun hanya masa yang akan menentukan bilakah aku akan pulang. Apa yang pasti setelah aku sampai aku akan mencari kau dan aku akan meminta maaf dengan bersemuka denganmu. Perjalanan kita masih lagi jauh. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh agar apa yang dicapai akan menjadi satu kenyataan. Sesungguhnya, jika ada jodoh kita akan bertemu lagi. Mungkin sebulan, setahun, atau pun mungkin sepuluh tahun? Kita pun tidak tahu. Hanya tuhan yang mengetahuinya. Untuk terakhirnya aku ingin menucapkan semoga berjaya dan berbahagia selalu. Apabila pertemuan kita yang akan datang nanti akan aku hadiahkan pula songket biru untukmu.

Yang Ikhlas,
Syafiq.

Syafika melipat semula surat dan meletakkannya di atas meja. Ingatannya serta-merta teringatkan Syafiq. Ya, Syafiq selalu mengejek dan mengusiknya. Adakala dia gembira dengan usikan Syafiq dan adakala dia terasa dan sedih. Nampaknya, selepas ini tiada siapa yang akan mengusiknya lagi.

Peristiwa itu berlaku sudah tiga belas tahu yang lalu. Namun ingatan Syafika masih lagi kepada Syafiq. Saban hari dia akan memakai kerongsang pemberian Syafiq. Setelah Syafiq berpindah sekolah, dia langsung tidak mendengar berita tentang Syafiq. Syafika pula menanti dengan penuh tanda tanya dan harapan.

Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu persekolahan untuk hari itu tiba pada penghujungnya. Syafika mengemas buku latihan pelajar-pelajarnya dengan rasa malas.

“Hai, Cikgu Syafika dah nak balik ke?” Pertanyaan dari Harnani itu membuatkan Syafika tersentak.

“Engkau ni kalau tak sergah aku satu hari tak boleh ke? Aku belum lagi nak baliklah. Lainlah kau. Bak kata orang tengah menghitung hari untuk naik ke jinjang pelamin. Macam mana dengan persiapan kau? Lagi seminggu kau akan diijab kabulkan. Tak takut?”

“Apa yang nak ditakutkan? Dah sampai masanya untuk aku berumahtangga. Engkau tu, bila lagi nak kahwin? Masih tunggu jejaka idaman ke?”

“Belum ada jodoh aku lagi. Lagi pun siapa yang nakkan aku? Lainlah kau. Kau cantik, baik.”

“Mulalah tu. Kau jangan pula nak samakan dengan aku. Tapi aku peliklah. Kau masih lagi pakai kerongsang baldu biru tu sejak kita berkawan. Dah lama. Tak pernah aku tengok kau pakai kerongsang lain. Dah sampai naik lusuh. Pemberian dari yang teristimewa ke?”

“Mana? Kerongsang ni? Ala… kerongsang masa aku sekolah dulu. Lagi pun elok lagi. Malaslah nak beli yang lain. Engkau ni janganlah fikir yang bukan-bukan.”

“Bukan itu maksud aku. Aku cuma nak tahu. Yelah, kau pakai kerongsang tu tek jemu-jemu. Itu yang buat aku keliru sikit. Nampak sangat value dia tinggi…”

“Cik Harnani, dari awak keliru dengan saya ada lebih baik keliru dengan majlis yang bakal dilangsungkan. Ada juga faedahnya.” Syafika mengubah tajuk. Dia tidak betah bila Harnani bertanyakan tentang kerongsang itu.

“Yelah tu. Eh, nanti kau jangan lupa datang awal sikit je. Bukan ke kau yang akan jadi pengapit aku. Kalau kau lambat aku akan cari orang lain. Lagi pun dengan siapa yang aku akan harapkan kalau bukan dengan kawan baik sendiri. Nanti bolehlah kau berjumpa dengan saudara-mara aku.”

“Insyaallah. Kau janganlah bimbang. Dah lama aku tak berjumpa dengan keluarga kau. Mak dengan ayah kau tentu tengah sibuk. Kalau aku lambat datang jangan pula kau report di balai polis. Maklumlah dah lama aku tak datang rumah kau. Mungkin aku tak jumpa jalan.”

“Ah, kau. Ada-ada saja. Baiklah, aku nak balik dulu. Jangan lupa tau. Aku akan tunggu kau.”

Seperti yang dijanjikan, Syafika bertandang ke rumah Harnani tiga hari sebelum majlis perkahwinan Harnani. Alangkah bahagianya apabila melihatkan rakan baik sudah mendirikan rumahtangga.

“Hah, apa lagi yang termenung tu? Takkan ingat buah hati pula?” Syafika tersentak. Dia tersenyum sendiri.

“Bukanlah. Aku tak tahu apa yang akan terjadi lepas ni. Mungkin aku akan keseorangan memandangkan kau dah berkahwin. Eh, kenapa kau tak siap lagi? Nanti bila pengantin lelaki datang kau tak siap lagi memang nahas kau. Takkan kau nak sarung cincin dengan baju t-shirt ni?” Bebel Syafika yang cuba mengubah tajuk. Entah mengapa hatinya secara tiba-tiba teringatkan Syafiq. Entahlah, bila masa untuk bertemu dia sendiri pun tidak tahu. Atau mungkinkah sudah tiada jodoh?

Paluan kompang bergema menandakan pengantin lelaki sudah pun tiba. Harnani sudah pun cantik didandan. Syafika pula tersenyum simpul berdiri di sebelah Harnani. Sekarang tibalah masa yang dinantikan. Upacara pembatalan air sembahyang. Pengantin lelaki mula melangkah masuk. Tatkala itu lidah Syafika kelu. Matanya tidak berkelip memandang ke arah pengantin lelaki itu. Ya! Wajahnya memang seiras. Seiras wajah Syafiq. Tak mungkin Syafiq. Masakan Syafiq menjadi pengantin Harnani. Ini tidak mungkin. Debaran Syafika kian terasa apabila pengantin lelaki itu mengucup dahi Harnani setelah sahabatnya bersalam. Dunia Syafika bagaikan berputar. Tidak mungkin Syafiq!

Majlis perkahwinan selesai. Harnani masih lagi dikamarnya untuk menukar baju. Syafika masih lagi berada di balai sambil melayani perasaan. Dia masih lagi sangsi dengan wajah seiras suami Harnani. Dia dapat merasakan bahawa wajah seriras itu bukannya Syafiq.

“Assalamualaikum,” Syafika berpaling. Wajah itu mula muncul kembali. Dia mati kata-kata. Dia cuba mengamati wajah itu.

“Ini Syafika ke?” Syafika mengangguk tanpa disuruh. Lidahnya masih lagi kelu. Dia mula rasa tidak selesa. Dia mencari kelibat Harnani.

“Cari siapa?

“Nani mana? Tak manis kalau awak ada di sini. Nanti kalau Nani tahu apa pula kata dia.” Syafika mula menjauhkan diri. Dia tidak mahu Harnani tersalah sangka.

“Dia tak kisah.” Kata-kata itu membuatkan Syafika terkejut. Betapa beraninya dia!

“Maafkan saya.” Syafika mula mengorak langkah namun belum sempat dia meninggalkan tempat itu tangannya digenggam erat. Tatkala itu Harnani muncul dari dalam.

“Nani! Aku tak buat apa-apa. Ini bukan seperti apa yang kau sangkakan. Aku tak kenal dia. Dia yang pegang tangan aku dulu.”

“Habis tu? Kau nak suruh aku buat apa?”

“Kenapa ni sayang?” Syafika terkesima. Dua wajah yang serupa?

“Entah si Syafika ni. Engkau kenapa? Apa kena dengan kau?” Berkerut wajah Harnani melihatkan reaksi Syafika yang terpinga-pinga.

“Ini bukan suami kau ke?” Syafika berpaling. Serta-merta berderai tawa Harnani apabila mendengarkan persoalan Syafika itu.

“Cik akak sayang oi….. suami aku di sebelah nilah. Yang pegang tangan kau tu adalah abang dia. Mereka ni adik-beradik. Memang wajah mereka seiras. Dan aku mula-mula dulu pun pernah tertipu dan sekarang, kau pula. Aku tak tahu, Fika nampaknya dia berminat dengan kau.” Harnani menarik tangan suaminya dan meninggalkan Syafika.

“Syafika masih lagi tidak mengenali saya?”

“Maafkan saya, hati saya adalah milik orang lain.” Syafika mula bertindak keras.

“Adakah ianya orang yang berkait rapat dengan kerongsang baldu biru itu?” Syafika memandang ke arah kerongsang yang terlekat di dada. Dia mengangguk tanpa disuruh.
“Adakah Syafika masih lagi menantikannya dan setia seperti mana ianya tersemat di dada dan di hati?” Syafika memandang ke atas. Dia mengangguk sekali lagi.

“Alangkah bertuahnya dia apabila mengetahui Syafika masih lagi setia.”

“Untuk apa awak nak tahu? Hanya dia saja yang mengetahuinya. Dan dia pernah berjanji.”

“Saya pasti yang dia tidak akan memungkiri janji.”

“Siapa awak yang sebenarnya?”

“Saya akan perjelaskan nanti.” Akhirnya Syafika ditinggalkan keseorangan dengan penuh tanda tanya. Tidak lama kemudian dia dikejutkan dengan pemberian hadiah.

“Bukalah, Syafika akan tahu segalanya.” Syafika membuka pemberian itu dengan perlahan. Alangkah terkejutnya apabila dia melihatkan songket biru di tangan kananya. Ya! Hanya Syafiq saya yang mengetahuinya.

“Syafiq! Kau?” Syafiq mengangguk. Air mata Syafika ketika itu murah untuk menghiasi wajahnya. Dia tidak menyangka harapan untuk dia bertemu kembali menjadi satu kenyataan. Betullah tadi itu suami Harnani.

“Maafkan aku, Syafika kerana terlalu lama untuk mencari kau. Aku tahu kau masih lagi setia. Aku menyukaimu sewaktu pertama kali kita bertemu. Mungkin aku keterlaluan ketika itu namun hanya itu saja jalan untuk aku terus rapat denganmu. Dan akhirnya dengan kenakalan aku kau masih lagi ingat pada aku. Kali ini aku pulang adalah untuk selamanya. Aku rindu padamu ketika aku jauh diperantauan. Bila mendengarkan kau adalah rakan kepada bakal adik iparku aku rasa segala impianku akan menjadi kenyataan.” Sekali lagi Syafiq mengeluarkan sebuah kotak kecil dari poketnya. Kotak kecil baldu biru dibuka perlahan.

“Kali ini aku tidak mahu mengusik dan mengenakan kau lagi. Aku meminta izin darimu. Cukuplah aku menderita selama ini. Bukankah kau pernah berkata padaku ‘bilakah masanya untuk aku memberi senang?’ nah, sekarang inilah masanya. Syafikah, dengan setulus hati aku ingin bertanya kepadamu…. Sudikah kau menjadi isteriku?” Syafika memandang tepat ke wajah Syafiq. Wajah itulah yang selama ini dirinduinya. Wajah itu jugalah yang sering dinantikan. Syafiq menggengam erat tangan Syafika. Tangan kasar Syafiq jugalah yang menyeka air mata Syafika.

“Syafiq tak malu ke beristerikan saya? Saya bukankah gemuk?”

“Wajah dan fizikal bukan ukuran. Yang penting adalah hati. Bukankah Syafiq sudah beritahu awal-awal dengan Syafika yang Syafiq mula suka dengan Syafika sejak kita dibangku sekolah lagi? Lagi pun Syafika dah tak gemuk lagi. Masakan wanita cantik ini tidak pernah dipinang selain hatinya sudah dimiliki? Lepas ni saya tak akan lepaskan Syafika dan untuk kali terakhir kalau Syafiq nak buli Syafika boleh?” Berbular biji mata Syafika mendengarkannya.

“Lepas ni Syafiq nak buli Syafika supaya panggil Syafiq ‘abang’. Abang tak kira Syafika nak atau tak nak. Boleh tak?” Syafika tersenyum memandang Syafiq. Dia mengangguk perlahan dan tunduk malu. Harapannya mula berbunga. Impiannya kini menjadi satu realiti. Macam manalah dia tidak perasan nama bapa di dalam kad kahwin Harnani. Mat-mati dia ingat Syafiq yang bersanding. Bodohnya!

“Panggil apa?”

“Abang.”

“Sekali lagi.”

“Abang.”

Sekali lagi.”

“Abang!” kali ini Syafika menghinggapkan satu cubitan di lengan Syafq.

“Aduh! Manjanya dia. Lepas ni abang nak buli sekali lagi.” Renungan Syafiq penuh makna membuatkan Syafika sekali lagi tunduk malu.

“Syafika, terima kasih kerana menerima abang. Abang sayang padamu, hingga keakhir hayat ini.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page