Lirik Lagu: Gemuruh - Faizal Tahir

Teratak pena | 7:31 PM | Be the first to comment!
Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda
Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa
Bila bertalu rentak di kalbu
Hasrat yang tersirat semakin ku buru
Bila bergema laungan gempita
Harapan bernyala nadiku berganda
Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa
Ungkapan ini bukan sekadar mimpi
Segalanya pastikan terbukti nanti
Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa


Novel: Bisikan Cinta Bab 6

Teratak pena | 11:19 PM | Be the first to comment!

BAB 6


            Sofiah melabuhkan punggung di atas meja Maya.  Maya yang sedang menulis tiba-tiba terhenti.  Alamak, apa pulak yang minah seorang ni nak dari aku?  Harap pesonaliti saja yang berubah peragai macam tu juga.
            “Oi, anak dara tak baik duduk atas meja.”  Tegur Maya.  Sofiah tersenyum.  Tidak sekali menampakkan wajah salahnya.  Pen di atas meja Maya dimain.  Dipusing-pusingkan dan kemudiannya mengetuk-ngetuk meja Maya.
            “Hah, ada apa kau datang nak jumpa aku? Kalau setakat nak suruh aku buat kerja kau, baik kau serahkan saja.  Aku ada kerja yang nak disiapkan cepat  Kalau lambat, kau tahu sajalah bos kita tu bila dah mengamuk.  Bagai nak runtuh bangunan ini dibuatnya.  Suara dia mengalahkan tarzan dalam hutan.  Kalau dah pekik, macam gajah naik minyak.  Hah, mana kerja yang nak suruh aku buat?  Aku tengok kau berlenggang je.”  Tanya Maya sambil memandang tangan Sofiah di kiri dan kanan.  
            “Aku bukan nak bagi kau kerja.  Tapi…. Kau nak tahu cerita tak pasal bos kita?  Hari tu masa kau keluar, aku tengok dia bukan main mesra dengan seorang  perempuan.  Aku ingat itu mesti makwe dia.  Kau tahu, cantik betul teman wanita dia.  Sampai aku pun sekarang ni dah gigit jari.  Baru nak masuk jarum, yang kita berkenan dah ada buah hati. Itu yang aku frust.  Walau bagai manapun aku tetap aku.”
            “O… itu yang kau nak beritahu pada aku.  Aku ingatkan apa tadi.  Confrim ke?  Atau entah-entah teman kenalan dia.”
            “Kalau teman kenalan takkan sampai berpegang tangan?  Itu yang aku benggang.  Tak apa.  Nasib baik aku masih belum sempat nak simpan perasaan serius terhadap dia.  Kalau tidak naya je.”
            “Nasib baik kau berpijak di bumi nyata.  Itulah, dari dulu aku dah beritahu pada kau.  Kau juga yang tak nak dengar.  Nasib baik kau tak kembali kepada pakaian seksi kau tu.  Ala….. nanti satu hari kau juga akan bertemu cinta sejati.  Hah, macam aku ni.  Tak lama lagi aku akan naik pelamin kau tahu?”  Sofiah terkejut dengan pengakuan Maya.
            “Ye ke Maya?  Seronoknya.  Tak sangka betullah kau ni.  Nak kata kau ni solid, cantik lagi aku.  Tapi kau yang jalan dulu.  Bertuah betullah kau ni.  Eh, bila kau nak kahwin?”  Sofiah seperti tidak sabar untuk mengetahui perkara selanjutnya.
            “Cuti sekolah bulan lima nanti.  Nampaknya nanti bila aku cuti kahwin kau kena ambil alih kerja aku.  Aku kalau boleh nak ambil cuti sebulan.”  Sofiah membeliakkan mata apabila mendengarkan saranan Maya itu.
            “Kau gila ke?  Mana ada orang ambil cuti kahwin sampai satu bulan?  Ini bukan syarikat kau.”
            “Yelah. Mana masa aku nak buat bunga telur, mana masa aku nak jahit langsir, nak tempah mak andam, nak beli barang, nak bulan madu, semuanya aku dah senarai.  Lepas sepuluh bulan pulak aku dah bersalin.  Tambah dua bulan lagi.  Aku harap dari saat ini kau belajarlah kerja aku ni sedikit demi sedikit.  Nanti masa aku naik pelamin tak adalah kau nak ganggu aku.  Macam man nak kira ini, macam mana nak buat itu, ala…  kalau susah sangat aku suruhlah Encik Hafiz buat kerja aku.  Kau rasalah dia nak tak buat kerja kerani ni?”
            “Cik Maya, nak saya buat kerja tukang sapu pun boleh.”
            “Hah, bukankah aku dah cakap.  Dia mesti nak.  Ala… dia duduk kat dalam tu bukannya ada buat kerja pun.  Setakat pegang pen dua tiga minit lepas tu bergayut.  Bukan aku tak tahu kerja dia dalam tu.  Eh, kalau aku duduk dalam tu ada gaya tak?”
            “Ada, macam anak gajah duduk dalam sarkas.”
            “Hah..”  Maya tidak jadi sambung.  Dia tahu, dia sudah terlepas cakap. Dia tahu yang menyampuknya tadi adalah Hafiz.  Wajah Maya berubah.  Dia menelan air liur yang tersekat di kerongkong.  Perit dirasakan.  Alamak, macam mana aku boleh terlepas cakap.  Itulah, kata orang ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’. 
            “Maya, Sofiah, masuk bilik saya sekejap.”  Arah Hafiz.  Sofiah dan Maya tersentak.  Alamak…. Kenapa hah?  Dia nak bagi surat amaran ke?  Habislah macam ni.  Itulah, lain kali jangan buat pekerjaan macam ni lagi.  Sekarang siapa yang susah.
            “Itulah kau.  Cakap tak nak memandang.”  Bisik Sofiah ke telinga Maya.
            “Aku mana tahu yang dia tiba-tiba muncul.  Aku pun pelik.  Tiap kali aku mengumpat mesti dia dengar.  Dia ni ada pasang bomoh ke?”  Sampuk Maya.
            “Hish! Kamu ni.”
            “Sudah habis bercakap?”  Maya dan Sofiah terdiam.  Hafiz yang duduk berhadapan dengan Maya dan Sofiah kelihatan bersahaja.  Masing-masing kelu untuk berkata-kata.  Maya yang duduk bersebelahan dengan Sofiah mengambil kesempatan melihat dengan jelas wajah Hafiz yang sememangnya kacak itu.  Patutlah Sofiah perasan bagai nak gila.  Raut wajah ala-ala cina dengan rambut ikal dan dibiarkan sedikit menjamah dahinya membuatkan hati bergolak tika memandangnya.  Kening yang separa lebat dengan bibirnya yang merah sudah pasti membuatkan perempuan yang memandang pasti tidak tidur malam.  Sudah pasti bibir yang merah itu tidak pernah menjamah batang rokok yang menjadi simbol kepada kaum lelaki. 
            Tanpa disedari Maya terlentok tatkala memandang ke arah Hafiz. 
            “Kenapa dengan awak ni Maya?  Kalau nak tidur pun bukan di sini.”  Maya tersentak dengan teguran Hafiz.  Sofiah yang berada di sisi berkerut dahi.  Dalam masa macam ni si Maya nak bergurau lagi ke?
            “Encik Hafiz, saya nak minta maaf.  Saya janji lain kali saya akan ikut segala araha yang Encik Hafiz berikan.  Saya janji saya tidak akan buat lagi.  Tolonglah.  Janganlah beri saya surat amaran.  Kalau saya digantung kerja apa saya nak makan nanti?”
            “Siapa yang nak gantung awak kerja?  Saya panggil ni pun bukan sebab itu. Oh ya, apa yang saya tahu Maya ada  ijazah dalam perakaunan.  Betul ke?”  Maya sedikit tersentak.  Macam mana dia ni boleh tahu?  Fikiran Maya berputar mencari mereka yang cuba membocorkan rahsianya.  Maya memandang ke arah Sofiah. 
            “Sorry Maya.  Aku tak sengaja.  Janganlah marah.”
            “Perkara dah lepas.  Nak hentam kau pun dia dah tahu.”  Selamba saja Maya menjawab.
            “Saya nak buat pertukaran.”  Kata-kata Hafiz itu membuatkan Maya dan Sofiah terkejut.
            “Maksud Encik Hafiz, saya kena buat kerja Maya ke?” Tanya Sofiah.
            Hafiz menggeleng.  “Bukan itu maksud saya.”  Maya dan Sofiah membisu.
            “Tidak lama lagi kita akan menerima pengurus bahagian Marketing.  Dia juga merupakan adik saya.  Dia akan datang dalam masa satu minggu.  Oleh itu memandangkan saya yang menjaga akaun bagi syarikat ini, ingin menarik Maya dan Sofiah saya akan letakkan di bawah jagaan adik saya Daniel.  Saya harap tiada masalah antara kamu berdua.” 
            “Kenapa saya pula?  Tak ada orang lain ke Encik Hafiz nak pilih?”  Ujar Maya seperti tidak berpuas hati.
            “Maya ada ijazah dalam perakaunan.  Sebab itu saya pilih awak.  Tentang pemasaran Daniel boleh ajar Sofiah.  Lagi pun bahagian pemasaran taklah susah sangat.  Cuma saya bimbangkan bahagian saya ini.  Bukan senang nak buat kira-kira.  Saya tahu, awak boleh buat Maya.”
            “Itulah Sofiah.  Aku dah cakap jangan beritahu orang lain.  Sekarang siapa yang susah?  Aku juga yang susah.  Aku bukan apa, dah lama aku tinggalkan ilmu kira-kira ni.  Dulu aku ikut buku, pakai teori.  Sekarang nak kena buat praktikal.  Hish, kau ni betul-betul menyusahkan oranglah Sofiah.  Apa yang aku nak buat sekarang ni?”  Bebel Maya.  Hafiz yang tahu akan perangai Maya cuma menggelengkan kepala.  Mulut macam burung cabut ekor.  Tak pernah senyap.
            “Janganlah melenting, Maya.  Sayakan ada.  Saya boleh bantu.”  Celah Hafiz.  Maya ketawa.  Sudah, apa pulak sekarang ni?
            “Encik nak bantu saya?  Boleh ke? Tak percayalah saya.  Nanti silap hari bulan bukan Encik Hafiz ajar saya, tapi saya yang akan ajar Encik Hafiz pulak.”  Hafiz menggelengkan kepala apabila mendengarkan Maya yang banyak cakap.  Macam manalah laki nak tahan kalau mulut macam ni.
            “Apa?  Awak ingat saya ni teruk sangat ke?  Saya tak kira.  Lagi pun keputusan ini bukannya atas pilihan saya, tapi atas arahan Dato’ Khalil berkuatkuasa minggu depan.  Kalau awak berdua tak puas hati boleh buat aduan pada dia.  Lagi pun saya bukannya nak sangat setiausaha macam anak gajah ni.  Oleh sebab dah pilihan ayah saya terpaksalah saya akur.  Lagi pun nanti tak adalah orang buat warong kopi dalam pejabat ni.”  Terasa pedih mendengar sindiran Hafiz itu.  Maya mengetap gigi menahan marah.
            “Saya harap kalau saya terima pun janganlah anggap saya suka bekerja di bawah Encik Hafiz tetapi dengan arahan Dato’ Khalil.  Nasib baiklah saya bekerja nak cari rezeki.  Kalau Malaysia sekarang ni senang nak cari kerja, dah lama saya berhenti.  Tak apalah.  Kalau itu sudah keputusan dia, saya ikut saja.”  Ucap Maya.  Sofiah yang masih setia di sisi Maya cuma membatu.
            “Sofiah, saya akan berikan tempat baru untuk awak.  Nanti akan saya kenalkan kepada awak bos yang baru iaitu Encik Daniel.  Sudah, lepas ni awak berdua bolehlah berkemas.  Surat kenaikan pangkat awak Maya, nanti akan menyusul.  Bukankah awak juga yang pernah berkata awak pernah menjawat jawatan setiausaha.  Sekarang, saya nak tengok sejauh mana kehebatan awak.”
            “Ala… Encik Hafiz, bukannya susah sangat nak jadi setiausaha ni.  Telefon berbunyi, ambil nota.  Tiap pagi bacakan jadual bos.  Cukup masa, pergi makan. Apa bos cakap semuanya kena tulis.  Bos kata A, setiausaha kena ikut. Kacang je.  Bukannya susah sangat.  Setakat kerja macam tu, sekelip mata saya oleh buat.”  Ujar Maya bangga. 
            “Yelah.  Bukan itu saja, bila ada mesyuarat, awak kena ikut saya.  Bila saya buat laporan, awak juga kena buat.  Bila saya ada masalah, awak juga yang akan kena.  Bila saya nak itu, awak kena ikut.  Bila saya suruh ini, awak kena turut.  Dan yang paling penting, saya akan jadi bos awak nanti.”  Hafiz tersenyum sinis.  Dibiarkan wajah Maya berubah.  Biar dia tahu betapa susahnya menjadi seorang setiausaha yang berjaya.
            “Baiklah, sekarang awak berdua boleh keluar.  Saya ada banyak kerja lagi.  Al-maklumlah.  Seperti ada orang kata, saya ni kaki gayut.  Jadi sekarang ni saya nak bergayut dengan ayah saya tentang keputusan ini.  Jadi, apa tunggu lagi?”  Maya dan Sofiah bangun.  Kaki yang dipijak seperti tidak bermaya.  Terkejut dengan segala keputusan yang mengejut.
            “Oh ya, Sofiah.  Sebelum awak keluar kalau Rozita berjumpa dengan saya suruh dia tunggu. Okey?”  Sofiah mengangguk.  Tak lama lagi, tak dapatlah aku tengoknya muka hari-hari.  Usik hati Sofiah.
            “Itulah Sofiah.  Lain kali mulut tu jangan nak pandai buat cerita.  Sekarang ni aku ke mana, kau ke mana.  Aku bukan apa, aku malaslah nak kerja bawah dia.  Dia tu banyak perangai.  Gerenti aku perang dengan dia setiap hari.”  Luah Maya selepas mereka keluar dari bilik Hafiz.
            “Aku pun dah tak boleh buat apa.  Nampak gayanya tak adalah peluang kita nak berborak lagi.  Kalau abang dah perangai macam tu, aku tak tahu macam manalah perangai adik dia.  Aku harap dia tidak seperti Encik Hafiz.”
            “Entah-entah lagi teruk tak?”  Serkap Maya. 
            “Engkau ni janganlah fikir yang bukan-bukan.”  Mereka kemudiannya ketawa.  Beberapa orang pekerja yang berada di dalam pejabat itu, cuma tercenggang.   Biarlah. 
            Tiba-tiba ketawa Maya terhenti.  Begitu juga dengan Sofiah.  Wajah Maya nampak terkejut.  Dia tidak menyangka, Rozita yang disebut oleh Hafiz tadi adalah rakannya.
            “Ita, apa kau buat kat sini?”  Sofiah juga terkejut.  Maya kenal dengan perempuan ni?
            “Cik, Encik Hafiz ada?  Saya nak berjumpa dengan dia.” Ujar Rozita kepada Sofiah tanpa menjawab pertanyaan Maya.  Malahan Rozita juga sedikit pun tidak memandang ke arah Maya.  Maya terkedu. 
            “Sekejap ye Cik.  Saya panggilkan dia.”  Sofiah berlalu meningalkan Maya dan Rozita.
            “Ita, apa kau buat kat sini?”
            “Aku punya sukalah.  Kau jangan nak ganggu aku.  Dan ingat, Maya.  Kita di sini anggap saja tidak pernah kenal antara satu sama lain.”
            “Hai sayang…”  Hafiz yang muncul dari dalam bilik kini melangkah menuju ke arah Rozita.  Rozita kemudiannya memaut lengan Hafiz dengan manja sambil memandang sinis ke arah Maya.  Meluatnya aku.  Maya yang melihatkan adegan itu mencebikkan bibir.
            “Hai… macam mana?  Perut ni dah laparlah.”  Renggek Rozita. 

            “Mari, kita pergi makan.”  Ajak Hafiz.  Maya dan Sofiah yang melihat adegan mesra itu bagaikan nak termuntah.  E…. meluat sungguh.  Maya menghantar pasangan itu dengan ekoran mata dan seribu rasa kasihan kepada Hafiz.  Padan dengan muka kau, Hafiz.  Memang dah kena masuk perangkap nampak gayanya. 

Puisi: Pantun Cinta

Teratak pena | 12:20 AM | Be the first to comment!
Anak Penghulu cantik melaram,
Bersubang gading keliling kota,
Mengapa hati tidak tenteram,
Adakah ini tandanya cinta.

Pohon mengkudu di pinggir kota,
Pohon Kepayang si buah keranji,
Menganyam rindu membenih cinta,
Bersulam sayang bersemaikan janji.

Rindu sayang menjadi buruan,
Belaian kasin meruntun jiwa,
Hati gelisah tidak keruan,
Di manakah hati ingin dibawa.

Janji seia harus di kota,
Membawa hati tidak keruan,
Menyemai kasih menyemai cnta,
Hati rindu tidak keruan.

Bila sudah bertentang mata,
Hati gelisah ingin bersua,
Indah sungguh dilamun cinta,
Pinggan dan cawan serupa juga.

Baik-baik memasang pelita,
Api yang ada usah terkena,
Apakah ini tandanya cinta,
Mandi tak basah, tidur tak lena.

Tak tumbuh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata,
Saat kita bertentang mata,
Lidah kelu tidak terkata.

MELODI CINTA Edisi 3: Cerpen Kuih Koci Pulut Hitam

Teratak pena | 8:08 PM | Be the first to comment!
Al-hamdullilah....



Segala rezeki datangnya dari Allah.  Sememangnya tidak menyangka akan cerpen ni boleh melepasi seisi penilaian dari Penulisan2U.  Inilah kali pertama cerpen saya diterbitkan dan sesungguhnya memberi semangat untuk saya terus berkarya.  Buku ini bakal dilancarkan semasa Pameran Buku Antarabangsa 2016 yang akan berlangsung selama dua minggu.

Buku antologi cerpen ini boleh diperolehi di sana dengan harga RM 16.00. Jom layan sedikit coretan dari Cerpen KUIH KOCI PULUT HITAM.

            “Saya ni hantu kuih koci.  Tambah lagi kuih koci pulut ni.  Yang lain tak berapa sangat.  Tapi…. Tak apalah.  Bungkuskan saya talam berlauk tu seringgit.  Tak pernah pula saya makan kuih ni.”  Riang sahaja Ihsan menyambutnya.            “Eh, kau ingat makan kuih koci macam makan nasi ke Ihsan.  Banyak sangat ni. Aku tahulah kau suka dengan kuih ni tapi takkan banyak macam ni.” Tegur Rahim.            “Jangan risaulah.  Aku boleh habiskan. Betul tak Kasih?”  Kasih tersentak.  Wajah Kasih berubah.  Pertanyaan Ihsan tidak dijawab.            “Kasih?” Kasih tersentak.
            Ihsan memandang kepada Kasih.  Perubahan wajah Kasih itu benar-benar memberikan tanda tanya buat dirinya.  Tiba-tiba dia bertanya kepada dirinya sendiri.  Ah, adakah tersalah cakap atau kurang ajar perilakunya sehingga menyebabkan Kasih yang rasa gelisah?  



Berbanyak terima kasih yang tidak terhingga kepada Penulisan2U dan juga Karyaseni yang telah memberi peluang kepada saya untuk menjadi salah seorang penulis di dalam Antologi cerpen MELODI CINTA edisi 3.  Kepada yang berminat, boleh dapatkannya di Pesta Buku Antarabangsa 2016.

Cerpen: Menantu-Menantu Mak Senah

Teratak pena | 9:49 PM | 1 Comment so far


Menantu Mak Senah
                        Mak Senah menyusun semua bekas kuih dan diletakkan di satu tempat.  Kuih koci dan karipap yang masih berbaki dikeluarkan dari bekas.  Dia menyeluk kocek bajunya dan mengeluarkan buku 555 untuk dia menulis keuntungan pada hari itu.  Melebar senyuman Mak Senah melihatkan hanya berbaki tiga ketul sahaja yang tinggal.  Al-hamdulillah rezeki hari ini. Mak Senah memandang kepada Mak Limah tuan kedai tempat dia meletakkan kuihnya. 
            “Tak banyak yang tinggal, Limah.  Bolehlah aku menyimpan.”  Tegur Mak Senah sambil tersenyum. 
            “Hari ni pun aku tak menang tangan.  Ramai sangat.  Maklumlah cuti sekolah.  Itu yang ramai makan luar.  Eh, Sarah mana?  Biasanya dia yang datang ambil bekas-bekas tu.”  Mak Limah mencari.
            “Ada kat rumah tu.  Tengah siapkan tempahan tok penghulu.  Katanya ada tetamu hari ni.  Dia minta buatkan bakar berlauk dengan seri muka.  Itu yang aku datang tu.  Kalau lupa mana aku nak sumbat kuih aku esok ni.” Mak Limah tertawa.
            “Siapa yang nak datang?”
            “Entah, katanya kawan anaknya yang tinggal kat KL.  Saja nak datang bercuti.”
            “Oooo….” 
            Tiba-tiba pandangan mata Mak Limah terlihatkan Mak Temah yang sedang jalan berlenggang sambil membawa payung.  Di tangan kanannya penuh dengan barang.  Sambil berjalan dia menyanyi riang.
            “Amboi Temah bukan main senang lagi kamu hari ni.” Tegur Mak Limah sambil matanya ralit memandang barang yang sarat di tangan kanannya.
            “Marilah singgah.” Mak Temah menyimpang menuju ke gerai Mak Limah.  Cuaca panas macam ni kalau pekena teh ‘o’ ais ni boleh jugak.  Tekak dah kering ni.  sudahlah penat mengangkut barang dari kedai si Husin tu. 
            “Banyak barang kau bawak, Temah.  Kamu nak buat kenduri ke?” Kali ini Mak Senah pula yang bersuara. 
Melihatkan penampilan Mak Temah itu membuatkan Mak Senah agak terpinggir.  Baju kebaya bersulam kalau tidak main ratus bukan sulam namanya.  Barang kemas?  Usah cerita.  Kalau tidak sampai lengan atau rantai sampai ke pinggang bukan Temah namanya.  Tak takut kena samun agaknya si Temah ni.
            “Adalah sikit.  Panas betul hari ni.  Eh, kamu berikan aku teh ‘o’ ais satu.  Dahaga pulak rasanya.”  Mak Limah masuk ke dalam dan membuat air untuk Mak Temah.  Mak Senah melabuhkan punggung di hadapan Mak Temah sambil melemparkan senyuman.
            “Barang untuk seminggu ke Temah?”
            “Tak adalah Senah.  Barang untuk masak esok nanti.”
            “Banyak sangat ni.  Macam nak buat kenduri satu kampung.” Ujar Mak Senah.
            “Hish! Tak adalah Senah.  Tapi kalau jadi insyaallah aku jamu satu kampung.”  Mak Temah menyinsing lengan baju sambil mengibaskan tangannya.  Mengerlip barang kemas Mak Temah.  Silau setaman!
            “Habis tu?”
            “Tak, si Seri tu esok ada orang datang merisik.   Itu yang aku beli barang sikit.  Maklumlah nak jamu orang bandar.  Bakal besan aku tu duduk rumah besar. Seganlah aku kalau aku nak hidangkan dia orang tu ikan masin.” Huh!  Tak tanya pun!
            “Untunglah kau Temah.  Muda-muda lagi anak kau dah ada jodoh.” Ada masa Mak Senah cemburu juga dengan Mak Temah.  Namun dia sedar ada jodoh dan rezeki untuk anak-anaknya.
            “Siapa yang tak kenal dengan anak Mak Temah?  Satu kampung tau beratur nak pinang anak aku.  Cuma aku je yang tolak.  Takkan nak tengok anak kita makan pasir.  Tak gitu Senah?” Mak Senah mengangguk.
            “Anak kau bila lagi, Senah?” Soalan cepu emas itulah yang membuatkan Mak Senah kunci mulut.  Dia sendiri tidak tahu akan jawapannya.
            “Entahlah Temah.  Aku tak tahulah diaorang tu.  Mungkin belum masanya untuk dia orang kahwin.”
            “Takkan nak suruh anak kau tu jadi anak dara tua?  Cubalah kau ikhtiar sikit.  Ini kau simpan je si Sarah tu kat dalam rumah.  Zaman sekarang bukan macam kita dulu.”
            “Anak-anak aku tu bukannya lelaki yang boleh pergi masuk meminang.  Anak-anak aku tu perempuan. Dia orang tunggu pinangan je.  Lagi pun tak manis kalau perigi yang cari timba.”  Mak Senah agak kurang senang dengan kata-kata Mak Temah itu. 
            “Ala zaman sekarang ni dah tak kira siapa cari siapa.  Kau tu, tak terigin ke nak timang cucu?” 
            “Bodohlah aku kalau aku kata aku tak nak.  Aku yakin ada jodoh anak-anak aku tu.  Cuma lambat je.  Aku dah tak kisah siapa yang akan jadi suami pada mereka tu. Yang penting boleh bahagiakan mereka.”
            “Itu aku tahu.  Tapi kalau buat tak tahu sampai bila pun jodoh tak sampai.” Mak Senah tersentak dengan kata-kata Mak Temah itu.
            “Amboi, bukan main rancak lagi berborak.” Mak Limah keluar membawa teh ‘o’ ais seperti mana yang pesan oleh Mak Temah.  Di kiri pula dia sediakan the panas untuk Mak Senah. 
            “Tak…. Ini aku tanya pada si Senah.  Dia tak teringin ke nak timang cucu.  Kalau dia simpan je anak dara tu macam mana dia nak dapat cucu.  Ye tak Limah?” Berubah wajah Mak Senah bila mendengarkan sindiran dari Temah itu.
            “Kau ni janganlah buat si Senah ni pening kepala.  Ada jodoh anak-anak dia tu. Cuma lambat je. Mana tahu jodoh dia dengan orang yang kita tak sangka.  Kau banyak sabarlah Senah.”
            “Tapi kalau tak berusaha nak dapatkan menantu mana boleh?”
            “Siang malam aku berdoa, Temah.  Aku tahu yang Allah akan dapatkan jodoh untuk anak-anak aku tu.”
            Mak Temah tidak bersuara lagi.  Dia meneguk air sambil memandang kepada Limah dan Senah.  Dia segera menghabiskan air dan mula bangkit.
            “Aku nak balik dululah.  Banyak lagi kerja yang aku kena buat.  Nak melayan korang ni memang satu kerja pun tak jalan.  Nanti kalau jadi aku ajak kau datang rumah.  Lepas ni giliran anak aku yang bongsu pula.”
            Mak Senah dengan Mak Limah hanya memerhatikan sahaja lenggang Mak Temah yang sudah meninggalkan gerai.  Ada masa Mak Senah agak terasa dengan kata-kata Mak Temah.  Namun dia telankan jua kerana dia yakin setiap yang hidup di dunia ini berpasang-pasangan. 
            Kemudiannya Mak Senah pula yang meminta izin untuk pulang.  Sudah tentu Sarah ingin pergi ke rumah Tok penghulu untuk menghantar kuih.  Mak Senah balik ke rumah dengan hati yang sedikit terguris.  Masakan dia tidak kasihankan Sarah.  Umurnya sudah meningkat mencecah ke angka 30 tahun.  Aisyah dan Rohaya juga yang selang setahun masih belum bertemu dengan jodoh mereka.  Namun Sarahlah yang paling kasihan.  Dia hanya tinggal dikampung dan membuat kuih untuk membantunya.
            Sarah memanjangkan lehernya.  Sudah dua kali dia memberi salam, namun salamnya tiada disambut.  Tanganya penuh dengan kuih bakar berlauk dan kuih seri muka seperti mana yang diminta oleh Tok penghulu.  Akhirnya dia tersenyum apabila salamnya yang kali ketiga disambut.  Namun dia sedikit terkejut apabila sambutnya itu bukanlah insan yang dia kenal.
            “Ye, ada apa?” Tanya pemuda itu yang membuatkan Sarah kelihatan gelisah. 
            “Er…. Nak hantar kuih. Tok penghulu ada?”
            “Oh, nak hantar kuih.” Iskandar memandang kepada Sarah dengan tidak berkelip.  Betapa cantiknya gadis yang berada di hadapannya.
            “Pakcik, ada orang hantar kuih.”  Kelihatan Tok penghulu menjengahkan mukanya di jendela.
            “La…. Sarah.  Masuklah.  Dah siap kuih tu ye.”  Sarah masuk dan dia tunduk saat melintas di hadapan Iskandar. 
            Iskandar mengikut Sarah dari belakang. 
            “Marilah saya tolong awak bawa kuih tu.” 
            “Eh, tak apalah.  Bukan berat sangat pun.” Tolak Sarah. Dia segera ke dapur dan kehadiran Iskandar itu membuatkan dia tidak senang hati.
            Sampai sahaja di dapur Sarah terus bertemu dengan Mastura, anak Tok penghulu.  Sarah dan Mastura adalah sahabat baik dari kecil lagi.  Namun nasib menyebelahi Mastura dan Mastura mendapat pekerjaan yang baik dan sudah berkahwin.
            Betapa dia gembira saat dia berjumpa dengan Mastura.
            “Dah nampak besar dah perut kau ni.” Tegur Sarah.
            “Dah masuk lapan bulan, Sarah. Engkau bila lagi nak kahwin?” Pertanyaan dari Mastura itu tidak segera dijawab.  Dia cuma tersenyum tawar.  Soalan itu memang sukar untuk dia jawab.  Jodoh bukan perkara yang mudah bukannya perkara yang boleh di buat main. 
            “Aku ni tunggu pinangan orang je Mas.  Orang macam aku ni siapalah yang nak.  Aku bukan bekerja.  Setakat tolong mak aku buat kuih je.” 
            “Kau ni janganlah cakap macam tu.  Nampak sangat mengalahnya.” Ujar Mastura yang bersimpati dengan sahabatnya itu.
“Sekarang ni lelaki  cari orang perempuan yang bekerja.  Hish, malas aku nak fikirkan pasal jodoh ni.  Ada jodoh adalah.”  Ujar Sarah perlahan.
            “Ehemmm.”  Tersentak Sarah dan Mastura.  Erm, tak perasan pulak ada orang yang ketiga. 
            “Oh, lupa pula aku nak kenalkan.  Ini Iskandar, kawan abang aku masa U dulu.  Dia saja datang sini sambil nak cari rumah sewa katanya.”  Sarah mengangguk tanpa memandang kepada Iskandar.
            “Abang Is,  ini Sarah kawan baik Mas dari kecik lagi.  Dia masih single dan available tau.”  Usikan dari Mastura itu membuatkan Sarah menghinggap satu cubitan kepada Mastura.  Hish!  Buat malu kaum je.  Nak menjaja sampai begitu sekali.
            “Ye ke?”
            “Mas,  aku balik dulu.  Mak aku tinggal sorang kat rumah tu.  Nanti kita jumpa lagi.” Sarah berlalu meninggalkan Mastura dan Iskandar.  Iskandar tersenyum penuh makna.  Kelibat Sarah dihantar sehingga hilang dari pandangan matanya.
********************************************************************
            Aisyah melabuhkan punggung di hadapan Suzana dan Azizah.  Mereka berbual sambil menikmati hidangan tengahari itu.  Suzana yang juga anak kepada Mak Temah adalah teman serumah kepada Aisyah.  Manakala Azizah adalah sahabat mereka semenjak 5 tahun lalu dan mereka sering kali bertemu jika ada masa kelapangan.
            “Aisyah, Ana… aku teringinlah nak pergi kampung kau.  Korang selalu cerita macam-macam pasal kampung.  Kalau aku datang kampung kau boleh tak?”
            “Ala… tak ada istimewanya kampung aku tu, Azie oi. Peliklah kau ni Azie, orang semua nak keuar kampung kau pulak nak masuk kampug.” Sambut Suzana.
            “Kau ni Ana, tak baik tau kau cakap macam tu.  Sungguh pun kampung, tempat itulah kau dilahirkan tau.  Tempat macam tulah yang banyak memberikan ketenangan.” Aisyah tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Suzana itu.
            “Yelah Ana.  Kau sepatutnya bangga ada kampung tau.  Tak macam aku ni. Hari-hari menghadap bandar yang hiruk-pikuk ni.  Boleh jadi stress tau tak.   Family aku pun dah lama teringin nak ke  kampung kau.  Kalau aku datang dengan family korang sambut aku tak?”  Aisyah mengangguk. 
            “Kau jangan risaulah mesti aku sambut.  Kau nak kompang sekali ke?”
            “Kalau macam tu aku kena pinang salah sorang dari koranglah.”  Usik Azizah.  
            “Gila kau nak pinang perempuan.” 
            “Bukan untuk akulah.  Untuk abang aku yang liat nak kahwin tu.” Aisyah dan  Suzana tertawa. 
            “Bila kau nak datang kampung kita orang?” Pertanyaan dari Suzana disambut dengan mengangkat keningnya.  Anytime my friends.
            Perjalanan ke kampung yang memakan masa hampir 2 jam itu membuatkan Azizah merasa tidak sabar untuk bertemu dengan sahabatnya.  Dia mengambil keputusan untuk bertandang ke rumah Suzana terlebih dahulu.  Halaman luas dengan suasana rumah yang bersih cantik membuatkan Azizah terkesima sebentar.  Ah, tenang dan nyaman pula rasanya. Tambahan pula dengan pohon mangga yang redup dan rendang.
            Azizah memberi salam dan ternyata salamnya bersahut.  Suzana dengan riang menerima kunjungan rakannya yang datang bersama keluarga.  Azizah bersalaman dengan Mak Temah dan Mak Temah begitu menyenangi akan keluarga yang baru bertandang itu.
            “Masuklah.  Buat macam rumah sendiri.” Pelawa Mak Temah.  Azizah begitu senang dengan layanan keluarga Suzana.  Mak Temah mengerling kepada pemuda yang agak segak dan menawan di antara keluarga Azizah itu.  Erm, ada peluang ni.  Apa lagi kalau bukan nak masuk jarum menjodohkan anaknya Suzana. 
            “O…. Azizah kawan Ana di bandarlah ye.  Tak sangka sudi singgah rumah mak cik ni.  Terima kasih Puan Siah sudi datang.”
            “Tak payahlah nak panggil puan.  Panggil Siah dah cukup kak.  Yang ini saya kenalkan anak lelaki saya yang sulung.  Daniel namanya.” Daniel tersenyum dan tidak bersuara.
            “Kerja apa anak bujang ni?”
            “Kerja driver, makcik.”  Jawapan dari Daniel itu sudah cukup membuatkan Mak Temah lemah semangat.  Driver?  Ah, apa kelas nak kahwin dengan anak aku?  Mulalah muncung  Mak Temah panjang sedepa. 
            Daniel yang memandang kepada Mak Temah tersenggeh seperti kerang busuk.  Mak Temah tidak senang duduk.  Buatnya dia orang ni datang nak meminang kes haru ni.  Mak Temah cuba untuk mencari alasan. E…. tak naklah berbesan dengan mereka ni.
            “Anak perempuan Kak Temah manis orangnya.”  Nah!  Mak Temah menelan air liur yang tersekat di kerongkong. 
            “Siapa?  Ana?  Dia dah ada calon dah.  Esok lusa dah nak bertunang pun.”
            “Hah?  Ana tak pernah cakap pun dengan saya yang dia nak bertunang.”  Azizah terkejut dengan kata-kata Mak Temah itu.  Mustahil kawannya itu merahsiakan darinya.
            “Baru semalam orang tu datang meminang.  Mak cik dah terima pinangan tu. Ana tak tahu lagi.   Bukan calang-calang orangnya.  Kerja kat bandar.  Dah pulak tu, ada syarikat sendiri.”   Beritahu Mak Temah dengan riak.
“Bukan apa Siah, sekarang ni kalau gaji kecik macam mana nak sara anak dara orang, ye tak?” Puan Siah mengangguk mengerti.  Dia memandang kepada Daniel yang memperlihatkan wajah yang tidak bersalah.  Mak Temah tersenyum puas dengan perubahan kepada wajah Puan Siah.  Ala, bohong sunat apa salahnya.  Takkan nak kahwinkan dengan driver? 
            Azizah seperti tidak puas hati.  Kelibat Suzana cuba dicari.  Dia perlukan kebenaran.  Mustahil Suzana tidak memberitahu akan berita yang penting itu.  Azizah memandang kepada Mak Temah yang tersenyum sinis. Huh!  Pandang abang macam orang kerja kuli je!
            Encik Hamdan tidak bersuara.  Dia menyiku kepada anak lelakinya.  Daniel mematungkan dirinya.  Dia tidak memberi reaksi kepada isyarat yang diberi oleh Encik Hamdan itu.
            “Yang sebenarnya Daniel ni…”
            “Eh, lupa pulak saya.  Yang sebenarnya saya ni nak keluar.  Ada hal sikit.  Er….”  Encik Hamdan mengerti.  Orang tak ingin takkan kita nak terhegeh-hegeh? 
            “Yang kami ni pun sebenarnya nak ke rumah kawan Azizah yang seorang lagi tu.  Kami ni datang sebenarnya saja je nak berjalan.  Nak tengok kampung orang.  Alang-alang kami nak ke Batu Pahat sebab ada urusan.”  Mak Temah mengangguk dan mengurut dada lega. Fuh!   Ingat datang nak meminang. 
            Keluarga Azizah turun dari rumah Mak Temah dengan hati yang sedikit kecewa.  Pada mulanya layanan yang diberi memang cukup baik.  Bila dengar sahaja kita dari orang yang kurang berada terus buat tak peduli.  Hidang air pun tidak!
            Kemudiannya mereka menuju ke rumah Mak Senah yang berada tidak jauh dari rumah Mak Temah.  Mujur Mak Senah ada di rumah yang sedang sibuk di dapur.  Apabila Azizah mula memperkenalkan dirinya barulah Mak Senah mempelawa keluarga itu masuk.
            “Maaflah.  Akak ni tak kenal dengan kawan Aisyah.  Aisyah ada kat dapur tengah masak dengan kakaknya.”  Puan Siah tersenyum dengan kata-kata Mak Senah itu.  Dia berharap mereka tidak dihalau seperti tadi.
            “Kami yang sepatutnya minta maaf sebab datang macam tu je.”
            “Eh, tak apa. Terima kasihlah kerana sudi datang rumah buruk kami ni.”  Puan Siah tersenyum lagi.
            “Kalau tak keberatan jemputlah makan sini.  Tak ada lauk sedap mana pun.  Lauk kampung je.”
            “Tak payahlah susah-susah.  Kami dah makan dah.”  Encik Hamdan menolak.
            “Tak ada  susahnya.  Akak tahu semua belum makan lagi.” 
            “Ala kak, kami ni datang bukan nak makan cuma singgah sekejap sebab si Azizah ni beria-ia nak singgah rumah kawannya.”  Ujar Puan Siah.
            “Dah nak siap dah tu.” 
            Mak Senah mengajak keluarga itu ke dapur untuk menikmati hidangan tengahari itu.  Menu ala kampung yang dihidangkan oleh Mak Senah itu sudah cukup keluarga Azizah menikmati hidangan dengan begitu selera.  Pucuk pegaga masak lemak dengan keledek, sambal belacan, ikan masin dengan ikan masak pindang membuatkan Daniel bertambah.  Puan Siah membulatkan matanya kepada Daniel dengan isyarat supaya menjaga tatatertib. Ala dah lapar!  Sudahlah tadi bukan kata biskut kering, seteguk air pun tak dihidangnya.
            “Biarlah dia Siah.  Sedaplah pada dia tu.”  Ujar Mak Senah. Dia sebenarnya senang hati jika dapat menjamu hidangan kepada tetamu.
            “Daniel kerja kat mana?” Mak Senah cuba untuk beramah mesra.
            “Kerja driver je makcik.  Tak besar mana pun.”
            “Ala janji halal, nak.  Biar berkat gaji walau pun sedikit.”  Daniel mengangguk. 
            Daniel menikmati hidangan dengan tenang.  Dalam diam dia sudah pun dua kali tambah.  Dia yang memang menggemari masakan kampung tidak sedikit pun terusik dengan jelingan tajam yang dihadiahkan oleh Puan Siah itu.  Namun sesekali dia sempat juga melirik kepada Aisyah yang sedang rancak melayani adiknya.
            Mak Senah menghantar pulang keluarga itu dengan rasa syukur dan gembira.  Bertambahlah rakannya kini.  Azizah juga begitu peramah dan santun.  Encik Hamdan dan Puan Siah pula merasa gembira dengan layanan yang diberikan oleh keluarga itu.  Daniel sejak keluar dari pintu rumah Mak Senah senyumannya tidak lekang dari bibirnya. 
            Seminggu semenjak dari kedatangan Puan Siah ke rumah Mak Senah, kedatangan untuk kali kedua dari keluarga Puan Siah benar-benar membuatkan Mak Senah terkejut.  Kedatangan kali ini bukanlah seperti kedatangan yang sebelum ini.  Kedatangan kali ini telah merubah hidup Mak Senah.  Kedatangan Puan Siah penuh bermakna.  Anaknya Aisyah kini disunting.  Namun hatinya bagaikan berbelah bagi.  Bukan kerana dia tidak sudi, namun anaknya Sarah masih belum berkahwin lagi membuatkan dia merasa serba salah. 
             “Akak tak kisah, tapi….”
            “Tapi apa kak?” Puan Siah berharap rombongan peminangannya tidak ditolak. 
            “Kakak Aisyah masih belum berkahwin lagi.  Akak kena tanya dengan Sarah dengan  Aisyah dulu.”
            “Saya faham, kak.” Mak Senah berlalu dan berjumpa dengan Sarah yang baru selesai menunaikan solat Zuhur.  Mak Senah memandang ke arah Sarah dengan hati penuh rasa kasihan.
            “Sarah, mak nak beritahu dengan kamu ni.”            
            “Apa dia mak?”
            “Ada orang masuk meminang Aisyah.  Mak rasa….”
            “Kenapa?  Mak kesiankan Sarah?  Mak,  jodoh dan maut di tangan Allah.  Apa yang mak nak runsingkan kalau Aisyah yang kahwin dulu?  Sepatutnya mak rasa gembira tau sebab mak bakal terima menantu.  Pasal Sarah janganlah mak risaukan.”
            “Tapi…”
            “Kenapa?  Mak takut dengan mulut orang kampung?  Yang anak mak ni melangkah bendul? Biarlah mereka tu mak.  Apa yang mak nak takutkan?  Takkan nak tunggu Sarah kahwin baru adik-adik boleh kahwin?”  Mak Senah terdiam.
            “Mak, sekarang sudah sampai masanya Aisyah berkahwin.  Mak patut bersyukur.  Tentang Sarah janganlah mak risau.” Pujuk Sarah.
            “Kalau adik kamu tu tak setuju pulak?”  Hish!  Pening juga.  Buatnya Aisyah nak juga tunggu kakaknya kahwin tak ke naya namanya?
            “Mak jangan risau.  Aisyah mesti dengar cakap mak.  Mak beritahulah dengan Asiyah yang Sarah setuju dengan peminangan ni.”
Mak Senah memandang sayu kepada Sarah.  Air matanya mula mengalir.  Sarah mencapai telefon bimbitnya dan segera mendail nombor Aisyah.  Dia kemudiannya menyampaikan berita baik buat adiknya itu. 
Pada mulanya Aisyah berat untuk menerima pinangan dari Daniel itu.  Namun setelah mendapat restu daripada ibunya dan kakaknya Sarah akhirnya dia bersetuju juga.  Namun di dalam hati Aisyah terselit juga rasa bersalah.  Mana mahu untuk dia merasa bahagia sedangkan kakaknya masih lagi sendiri.
Tersenyum lebar Puan Siah saat Mak Senah memberitahu akan berita gembira itu.  Tidak sabar rasanya untuk dia menerima menantu.  Sudah puas dia menasihati Daniel untuk berkahwin.  Namun hampa.  Bila balik dari rumah Mak Senah, Puan Siah dapat merasakan perubahan kepada anak terunanya.  Telahannya benar.  Daniel bersedia untuk berkahwin dan calonnya adalah Aisyah.  Gembira Azizah apabila mendengarkan berita yang disampaikan oleh abangnya itu. 
            Berita pertunangan cepat tersebar di seluruh kampung.  Tambahan lagi dengan loud speaker dari Mak Timah yang suka sangat mencanang berita sensasi itu.  Mak Senah membuat persediaan dengan kadar yang mampu.  Segalanya Puan Siah beria-ia untuk melaksanakan majlis besar itu. 
            Betapa megahnya Mak Temah mencanang akan kerja bakal menantu Mak Senah.  Dikatakan Driver Low Class. Mak Senah pendamkan sahaja perasaan.  Memang tak ada insuran langsung mulut Mak Temah ni!
            Majlis pertunangan Aisyah berlangsung dengan meriah.  Mak Senah semenjak pagi senyumannya tidak lekang dari bibir.  Doa dan harapan untuk salah seorang anaknya kian tercapai. 
            “Kita tak payah nak tunang budak ni lama-lama kak.  Cukup tiga bulan kita nikahkan mereka.”
            Mak Senah keberatan dengan cadangan yang diusulkan oleh Puan Siah.  Namun Puan Siah beria-ia untuk melangsungkan perkahwinan dengan secepat mungkin.
            “Pasal belanja janganlah akak risau.  Saya akan uruskan semuanya.”
            “Tak payahlah susah-susah.  Kesian Daniel nak kena tanggung semuanya.  Lagi pun hantaran tu dah lebih dari cukup untuk buat majlis kat sini.”  Ujar Mak Senah yang berbelah bagi dengan cadangan untuk membuat majlis di dewan.
            “Tak ada susahnya, Kak.  Lagi pun Aisyah saya dah anggap dia seperti anak saya sendiri.  Akak jangan risau.  Daniel yang beria-ia nak buat kat dewan.”
            “Ala… berapa sangatlah gaji si Daniel tu.  Tak payah nak membazir Siah.”
            “Siapa?  Daniel?  Erm…. Akak dengarlah dia cakap tu.  Daniel tu memanglah kerja dia driver kak.  Tapi bukan driver kereta atau pun bas.  Dia tu driver kapal terbang.”  Mak Senah terkejut dengan pengakuan Puan Siah itu.  Menantu aku Pilot?
********************************************************************
            Rohaya mengetuk pintu bilik Ihsan sambil membawa fail untuk majikannya itu.  Saat dia mendengar akan suara Ihsan barulah dia masuk ke dalam bilik sambil melemparkan senyuman untuk majikannya itu. 
            “Ini fail yang Encik Ihsan nak. Semuanya saya dah siapkan.  Cuma perlukan tanda tangan Encik Ihsan saja.”  Rohaya meletakkan fail di atas meja Ihsan.
            “Encik Ihsan ada apa-apa lagi ke?” Tanya Rohaya sambil tanganya mencapai mug kosong di atas meja. 
            “Rohaya, kalau saya tanya awak jangan marah boleh?”  Rohaya mengerutkan keningnya.  Sudah, bos aku ni dah kenapa?  Tak pernah pulak nak buat muka macam orang tak siap.
            “Er…. Awak ada tunang?”  Rohaya menggeleng.
            “Pak we?” Rohaya menggeleng.
            “Bos ni dah kenapa?  Tanya saya soalan tu?” Ihsan tersenyum dengan penuh makna.
            “Kalau tak ada bolehlah saya nak buat projek.”
            “Hah!  Apa?  Bos!  Apa ni?”
            “Awak ni lain pulak dia fikir.  Itulah orang perempuan.  Cepat sangat fikirkan yang bukan-bukan.”
            “Yelah…. Cara Encik Ihsan cakap tu macam nak tercabut jantung saya ni.  Kalau mak saya dengar ni mahu dia parangkan Encik Ihsan sekarang juga.”  Ihsan ketawa. 
            “Bukan…. Macam ni.  saya nak minta tolong awak minggu ni. Awak tidur rumah saya.”  Terbuntang mata Rohaya mendengarkan kata-kata Ihsan itu. Meletus lagi tawa Ihsan.  Melihatkan perubahan Rohaya itu sudah cukup untuk dia merasa kasihan.
            “Awak jangan nak takut sangatlah.  Bukan apa, saya perlukan pertolongan awak untuk temankan ibu saya.  Bukan nak temankan saya.” Rohaya mengurut dadanya.  Hish!  Bos ni suka sangat nak buat jantung ni bumping tau!
            “Kenapa?”
            “Awak pun tahu kan saya kena pergi outstation sabtu dengan ahad ni.  Kebetulan orang gaji saya pulak balik kampung.  Ibu saya tak berapa sihat.  Risau pulak kalau saya tinggalkan dia sorang-sorang.”
            “O…. Encik Ihsan nak minta tolong saya temankan ibu bos ke?”  Ihsan mengangguk.
            “Boleh… tak ada masalah.”  Ihsan tersenyum dengan jawapan yang dilemparkan oleh Rohaya itu. 
            “Terima kasih. Esok pagi-pagi saya akan jemput awak.  Awak bawalah dua tiga helai baju.”  Kali ini Rohaya pula yang sudah berjangkit dengan burung belatuk.  Dia menggangguk tanpa suara.
            Keesokkan harinya Ihsan menjemput Rohaya sebelum dia pergi ke out station.  Tergugat hati Rohaya saat dia melihatkan Ihsan hanya berpakaian santai dengan mengenakan t-shirt dan jeans.  Dia kelihatan lebih kacak berbanding dengan pakaian formal.
            “Awak ada nak beli apa-apa tak?” 
            “Tak payahlah Encik Ihsan.”
            “Tak apa. Awak cakap saja apa yang awak nak.  Nanti saya belikan.”
            “Encik Ihsan selamat pergi selamat balik pun dah cukup baik.”
            “Erm…. Sayang juga awak dengan saya.”
            “Tak ada maknanya Encik Ihsan.  Kalau Encik Ihsan tak ada macam  mana saya nak dapat gaji?  Kesian mak dengan kakak saya kat kampung tu.”
            “Boleh percaya ke dengan alasan tu?”
            “Terpulanglah.”  Ihsan tersenyum.   Dia kemudiannya membelok ke perkarangan rumah tiga tingkat milik keluarganya.  Kedatangan mereka disambut oleh Datin Rubiah. 
            “Assalamualaikum, Datin.” 
            “Masuklah Rohaya.  Buat macam rumah sendiri.”  Pelawa Datin Rubiah.  Perasaan Rohaya agak kekok untuk berhadapan dengan Datin Rubiah.  Kerana dia sedar akan dirinya sendiri.  Kalau bukan kerana Ihsan adalah majikannya memang sudah tentu dia tidak mahu berada di situ.
            “Ibu, Ihsan pergi dulu ye.  Jaga diri elok-elok.  Kalau ada apa-apa telefon Ihsan tau.”
            “Yelah sayang oi.  Tak payah nak bimbang sangat.  Ibu dah sihat sikit.  Lagi pun Rohaya ada temankan ibu.  Jalan elok-elok tau.”  Pesan Datin Rubiah.
            “Esok Ihsan balik ye bu.  Kalau cepat habis cepatlah Ihsan balik.” Datin Rubiah mengangguk sambil menyambut tangan Ihsan yang ingin bersalam dengannya.
            Datin Rubiah mengajak Rohaya masuk ke dalam rumah.  Debaran dan rasa kekok di dalam diri Rohaya masih belum hilang lagi walau pun Datin Rubiah hanya bersikap tenang.   Relaks Rohaya… Datin ni bukannya makan orang. 
            “Rohaya tak payahlah panggil datin.  Panggil mak cik je. Rasa janggal pulak Rohaya panggil datin.”
            “Eh, mana boleh datin.  Datin majikan saya.”
            “Itu kalau kat pejabat.  Kat sini tak payahlah nak panggil datin, ye.”  Rohaya mengangguk. 
            “Dah masuk tengahari ni makcik.  Biar Rohaya masak dulu.  Encik Ihsan kata makcik tak sihat.  Rohaya masakkan makcik bubur.”
            “Rohaya pandai masak?”  Pertanyaan dari Datin Rubiah disambut dengan senyuman yang meleret.
            “Sikit-sikit bolehlah makcik.  Kalau nak buat kenduri satu taman tak adalah.” 
            “Tak sabar nak merasa masakan Rohaya.  Sedap ke tidak.” 
            “Makcik ni ada-ada saja.” Rohaya masuk ke dapur dan mula memasak.  Dia tidak menyagka kehadirannya itu disambut baik oleh Datin Rubiah.
            Keesokkan harinya Rohaya bersama-sama dengan Datin Rubiah sibuk berada di dapur.  Datin Rubiah gembira dengan kehadiran Rohaya di dalam rumah itu.  Seperti mereka sudah lama kenal. 
            “Sedap semalam bubur yang Rohaya masak.”
            “Mak yang ajar makcik.  Biasanya kalau kami tak sihat dia buatkan bubur dengan sup.  Letakkan halia banyak-banyak.”
            “Hari ni nak masak apa ye Rohaya?”
            “Terpulanglah pada makcik nak masak apa.  Rohaya ikut je.”
            “Kita masak ayam masak lemak.  Kalau Ihsan balik mesti dia suka.” La…. Macam mana boleh lupakan Ihsan ni?  Dia balik hari ni.  Baru teringat.
            “Tapi dia balik selalunya malam nanti.  Rohaya tidurlah barang semalam lagi kat sini.” Pelawa Datin Rubiah.
            “Esok saya kerjalah makcik.  Lagi pun saya mana bawa baju banyak.  Terima kasihlah makcik.”
            “Tak pe.  Esok makcik suruh Ihsan bagi cuti kat Rohaya.  Bab baju tu janganlah risau.  Baju makcik banyak.”  Sebenarnya dia sudah suka dengan anak gadis itu.  Kalaulah dia punya anak gadis sudah tentu dia akan menghabiskan masa dengan anak gadis itu.  Rohaya mula rasa serba salah.
            “Nanti Rohaya fikirkan macam manalah makcik.”  Datin Rubiah tersenyum sambil memandang kepada Rohaya.
            “Makcik pergi sembahyang dulu.  Lepas sembahyang bolehlah kita makan.”  Ujar Datin Rubiah dengan mengangkat punggungnya.  Rohaya mengangguk faham.  Lagi pun dia sudah pun selesai memasak.  Cuma untuk dihidangkan sahaja.
            Rohaya leka menghidangkan makanan di atas meja.  Dia kemudianya tersenyum puas dengan hidangan tengahari itu.  Kini cuma menunggu Datin Rubiah turun dari biliknya.  Sambil dia menghidangkan makanan dia menyanyi kecil.  Namun semasa dia menghidangkan makanan dia tidak menyedari akan kehadiran seseorang.
            “Assalamualaikum,”  Tersirap darah Rohaya.  Dia berpaling. Ihsan!
            “Mak!!!!”  Rohaya berlari terus ke dalam biliknya.  Dia tidak tahu di mana untuk dia sorokkan mukanya. 
            “La… kenapa Rohaya menjerit tu?” Tanya Datin Rubiah yang sudah pun turun dari biliknya.
            Ihsan tersenyum.
            “Mahunya dia tak menjerit bu, dia tak berhijab.  Erm…. Cantik juga dia kan ibu.”  Puji Ihsan.  Masih terbayang lagi wajah Rohaya di ruang matanya apabila setiausahanya itu tidak bertundung.
            “Patutlah dia berlari.  Yang kamu ni pun satu.  Masuk rumah tak beri salam lagi.”
            “Dah rumah sendiri. Takkanlah….”
            “Yelah…. Bukankah ada tetamu.  Itu mahu lama memerap dalam bilik dia.”  Ihsan tersenyum. Dia tidak boleh lupa bagaimana Rohaya menjerit bila dai melangkah masuk ke dalam rumah itu.
“Awal anak ibu balik.  Dah settle semuanya?” Ihsan mengangguk.
            Mahu tidak mahu Rohaya akhirnya keluar untuk makan tengahari.  Di dalam hati dia mengutuk sekeras-kerasnya apa yang telah berlaku tadi.  Ihsan tersenyum penuh makna saat dia melihatkan Rohaya yang sudah duduk bertentang denganya.  Rohaya tidak betah untuk mengangkat mukanya.  Sisa malu tadi masih belum hilang lagi. 
            “Lauk kegemaran Ihsan ni ibu.  Nampak macam sedap ni.”
            “Rohaya yang masak.  Sedap tau.”  Rohaya sudah mati dengan kata-kata.  Dia membiarkan dua beranak itu bercerita.
            “Untunglah siapa yang dapat berkahwin dengan awak ni Rohaya.”  Oksigen please!  Bagai terhenti nafasnya bila Ihsan berkata begitu.  Bos ni tak ada tapis langsung nak bercakap.  Depan mak dia pulak tu.
            “Itulah Ihsan.  Kalau dapat anak perempuan macam Rohaya ni memang mak suka.”  Terbuntang mata Rohaya mendengarnya.  Mak dengan anak sama saja!
            Datin Rubiah menghantar Rohaya dengan perasaaan yang sedih.  Walau pun hanya dia mengenali anak itu dalam masa dua hari dia sudah merindui Rohaya.  Dia melambai kepada Rohaya sehingga kereta Ihsan hilang dari pandangan matanya.
            “Terima kasih kerana sudi menjaga ibu saya sehingga sihat.” 
            “Tak ada apalah Encik Ihsan perkara kecil je.”
            “Pada awak perkara kecil.  Pada saya besar maknanya.”
            “Dahlah Encik Ihsan.  Jangan nak emo sangat.  Ini…. Kita nak kemana? Simpang rumah saya dah terlepas dah.” Rohaya memandang sekilas kepada Ihsan yang masih tenang dalam pemanduannya.
            “Kita pergi ke satu tempat.  Ada perkara yang saya nak berbincang dengan awak.”
            “Saya ada buat salah ke Encik Ihsan?”
            “Ye memang.  Awak ada buat salah.  Sampai melibatkan saya.”  Ah sudah!  Rohaya menelan air liur namun tersekat di kerongkong.  Diberhentikan kerja ke?  Rohaya membilang kesalahan yang dilakukan.  Rasanya tak ada pulak yang melibatkan kerugian syarikat.  Hati Rohaya mula dilanda kegelisahan. 
            Rohaya dan Ihsan membisu.  Ketenangan tasik membuatkan mereka tidak bersuara.  Rohaya lagilah tidak mahu membuka mulut.  Kata-kata Ihsan tadi sudah cukup menyeramkan.  Rohaya sabar untuk menantikan apa yang bakal dikatakan oleh Ihsan.
            “Apa salah saya, Encik Ihsan?”
            Rohaya sudah tidak boleh sabar lagi.  Kebisuan Ihsan membuatkan dia merasa geram.  Akhirnya dia pula yang bersuara.
            “Awak sudah mencuri hati ibu saya.”  Rohaya menghela nafas.
            “La…. Ingatkan apalah Encik Ihsan ni.  Okeylah tu.  Lagi pun datin tak ada anak perempuan.  Kenapa?  Encik Ihsan cemburu ye.” Ihsan berpaling kepada Rohaya.  Betapa gadis itu begitu jujur dan polos. Ihsan seperti mati dengan kata-kata. 
            “Relakslah Encik Ihsan.  Ibu Encik Ihsan sebenarnya dia sunyi.  Encik Ihsan kena banyak meluangkan masa dengannya.  Kalau Encik Ihsan ada masa dengan dia mesti dia rasa gembira.”
            “Masalahnya bukan hati ibu saya saja yang awak dah curi.” Perlahan sahaja bicara yang dilontarkan oleh Ihsan.
            “Maksud Encik Ihsan?  Saya tak faham.”  Ihsan memandang kepada Rohaya.  Okey…
            “Encik Ihsan jangan kata yang…”
            “Ye!  Awak sudah curi hati saya!” Kali ini Rohaya pula yang mati kata-kata.  Dia ni betul ke tidak? Ke saja nak buat lawak antarabangsa kat sini?
            “Encik Ihsan dah gila agaknya.  Jomlah hantar saya balik.” Rohaya bangkit.  Dia tidak mahu berpaling kepada Ihsan.  Dia tidak sanggup.
            “Ye memang!  Saya sudah gila.  Gila pada awak.”
            “Encik Ihsan!  Boleh sedar diri tak?  Saya ni bukan setaraf dengan Encik Ihsan.  Saya cuma pekerja Encik Ihsan saja.”
            “Apa?  Kalau awak pekerja saya tak boleh nak bercinta dengan awak ke? Undang-undang mana yang awak pakai ni?” Rohaya hanya menahan rasa. 
            “Encik Ihsan enggang.  Sedangkan saya ni pipit.  Saya tak layak untuk Encik Ihsan.  Encik Ihsan tak pernah terfikir ke apa yang orang lain kata?  Maaf Encik Ihsan.  Saya tak boleh terima.”   Rohaya mengalirkan air mata.  Dia tidak menyangka di dalam diam majikannya itu menaruh hati terhadap dirinya.
            “Kenapa nak fikirkan semua itu.  Kita ni di sisi tuhan adalah sama. Tiada darjat atau pangkat.  Kita yang manusia ni saja yang buat semua garisan tu.  Ibu saya sudah sukakan awak.   Dia sendiri beritahu dengan saya tadi.  Dan saya sememangnya menyintai awak, Rohaya.”
            “Encik Ihsan tak faham.  Maafkan saya Encik Ihsan.  Saya balik dulu.  Tak perlu risaukan saya.  Saya boleh balik naik teksi.” 
            “Rohaya!”
*******************************************************************
            Betapa gembira hati Mak Senah dan Sarah apabila melihatkan tangan manis Rohaya tersarung cincin belah rotan pemberian orang sebelah.  Air mata Sarah perlahan menghiasi wajahnya.  Dia tidak kisah dengan tomahan orang kampung yang melepaskan adik-adiknya berkahwin kerana dia tahu kerana itu semuanya jodoh yang diaturkan oleh Allah.
            “Malam nanti tunang kamu dan bakal mertua kamu datang rumah.”  Pesan Mak Senah.
            “Eh, yang sarung cincin tadi bukan bakal mertua Rohaya ke mak?”
            “Hish!  Bukan.  Itu bakal sedara kamu.  Dah, jangan nak banyak borak lagi.  Siap sedia untuk malam nanti.”  Rohaya menyalahkan dirinya sendiri.  Aduh!  Macam manalah aku boleh terlupa tanyakan mak siapa tunang aku  Inilah balasan marah sangat dengan orang.  Ambil keputusan terburu-buru.  Padan muka!
            Malam itu Rohaya dengan penuh debaran menantikan kedatangan tunang dan bakal mertuanya.  Rohaya menyiapkan hidangan dan tangannya mula merasai getarannya.  Ah, apakah yang perlu untuk dia memanggil akan tunangannya itu?  Abang?  Malunya…..  Rohaya mula tidak senang duduk bila kedengaran orang memberi salam dari luar.  Dup dap dup dadanya bagaikan motor bot.
            Rohaya menangkap perbualan ibu dan bakal mertuanya berbual.  Kakinya bagaikan terkunci untuk dia keluar dari dapur, sedangkan Sarah sudah pun tersenyum bila melihatkan Rohaya yang tidak senang.
            “Apa lagi?  Pergilah jumpa dengan bakal keluarga.”  Ujar Sarah mengusik.
            “Hish!  Kakak ni.  Jangan buat Rohaya malu boleh tak?  Seganlah kak.”
            “Apa nak segankan?  Esok lusa dah jadi keluarga adik kan?  Masa nilah nak kenal.”  Rohaya menggelengkan kepala. 
            “Dah siap semua?  Kalau dah siap boleh angkat depan.  Kita makan sama-sama.”  Tegur Mak Senah yang masuk ke dapur.
            “Dah kau kenapa Rohaya?  Macam orang berak kapur je?” Tanya Mak Senah.  Sarah ketawa.
            “Apa lagi mak?  Segan katanya.  Macamlah tunang dia tu tak ada muka.”
            “Dah, mari.  Kesian tetamu kita tu tunggu lama-lama.  Rohaya tolong angkat nasi ni.”  Rohaya akur.  Dia tunduk dan mengekori ibunya dari belakang.
            “Amboi sedapnya bau.” 
            Rohaya bersimpuh dan menyendukan nasi ke dalam pinggan.  Saat pinggan dihulur dia dapat menangkap baju melayu biru milik tunangnya.
            “Ayam masak lemak ni memang kegemaran saya.”  Suraya tersentak.  Dia seolah kenal akan suara itu.  Dia mengangkat muka. Ihsan?  Ihsan mengeyitkan matanya.
            “Encik Ihsan?  Apa yang encik buat kat sini?”
            “Eh, Rohaya kenal ke?”
            “Mak,  ini bos Rohaya.”
            “Bos?” Mak Senah terpinga-pinga. 
            “Dah tak boleh panggil Encik Ihsan lagi sayang.  Kena panggil abang tau.”  Teguran dari Datin Rubiah itu benar-benar membuatkan dia terkejut.
            “Hah?”
            “Makanlah dulu.  Sejuk nasi nanti.”  Pelawa Mak Senah yang masih lagi dalam keadaan  tertanya-tanya.  Memang dia tahu yang Ihsan satu tempat kerja dengan Rohaya namun dia tidak tahu yang Ihsan adalah majikan anaknya.
            Selesai makan Mak Senah memberikan keizinan untuk Ihsan bertemu dengan tunangnya, Rohaya.  Debaran Rohaya bagaikan mahu tercabut dari badannya bila Ihsan melabuhkan punggung di sebelahnya. 
            “Maafkan abang.  Ini saja jalan yang abang boleh buat.  Itulah…. Marah sangat dengan abang, kan?  Sampaikan tunang dengan siapa pun tak tahu.”
            Aduh!  Mahu sahaja Rohaya menyorok di belakang pintu.  Ingatkan nak lari, namun sekarang dia pula kena tambat.  Rasa macam nak terjun tingkap je.
            “Kenapa?  Dah tak boleh nak cakap dah?”
            “Malu eh….”
            “Kenapa Encik Ihsan buat macam ni?”
            “Ibu yang beria-ia nak pinang awak.  Saya tepuk tangan je.  Lagi saya suka.  Bak kata orang kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan.  Dah memang saya sayang, suka dan cintakan awak.  Saya tahu awak pun suka dengan saya.”  Rohaya mati dengan kata-kata.  Ah, apakah ini dikatakan jodoh?  Rohaya bermain dengan jari jemarinya.  Seram sejuk mula dirasai.
            “Nasib baik belum halal lagi.  Kalau tak dah lama saya bagi tangan awak tu tak bergerak lagi.”  Usik Ihsan.
            “Encik Ihsan ni!”
            “Abang.  Sekarang kena belajar panggil abang.  Mandatori! Tak ada alasan lagi.”
            “Nanti-nanti boleh tak?  Saya masih terkejut lagi ni.”
            “Nak terkejut apa lagi?  Memang dah betul dah.  Ibu kata cukup bulan kita nikah.”  Zup!  Sepintas kilat Rohaya memandang kepada Ihsan.  Biar betul.
            “Dah!  Jangan nak buat muka cuak sangat.  Minggu depan kita settlekan apa yang patut.  Dan….. untuk permulaan kena belajar panggil ‘abang’. No Encik Ihsan atau bos.”
            “Tapi….”
            “I’m waiting.”  Rohaya serba salah.  Lidahnya kelu untuk memanggil nama keramat itu. Ihsan mengangkat kening.  Sabar menanti.
            “Okey…. Abang.  Puas?”
            “Flat sangat pitching tu sayang.  Bagi low note sikit.  Kalau boleh berirama macam lagu dondang sayang.”
            “Abang…!”
            “Hah!  Macam itulah.”  Rohaya tunduk malu. 
            Di sebalik pintu Mak Senah memanjat rasa kesyukuran yang amat sangat.  Dia tidak menyangka kedua-dua anaknya mendapat jodoh yang baik dan juga besan yang sanggup menerima anak-anaknya.
*************************************************************************
            Mak Senah memerhatikan Mak Temah yang sedang berjalan melaui laman rumahnya.  Dia menegur seperti biasa namun sapaannya tidak disambut.  Sudah, apa pula jin yang merasuk badan si Temah ni?
            “Singgah dulu Temah?” 
            “Tak apalah Senah.  Aku banyak kerja nak buat.”  Mak Senah tidak faham dengan tindakan Mak Temah itu.
            “Kenapa mak?”  Tegur Sarah yang baru datang dengan menatang air dan kuih. 
            “Entah Mak Temah kamu tu.  Bila mak tegur jawab pun macam nak tak nak je.  Bila ajak singgah macam-macam alasan dia.  Dulu boleh pulak duduk borak bawah ni.” 
            “Dia seganlah tu mak.”
            “Dah Kenapa pulak?”
            “Mak Limah cerita, dia segan dengan mak.  Yelah…. Dulu bukan main dia cerita satu kampung yang si Daniel tu driver low class.  Bila dia dapat tahu yang Daniel bawa kapal terbang terus kunci mulut dia.”
            Terkebil-kebil Mak Senah mendengarkan cerita Sarah. Cerita itu memang dia ada mendengarnya dan Mak Temah pernah bercakap sendiri dengannya.
            “Lepas tu dia cerita lagi pasal Ihsan.  Dia kata Ihsan tak setaraf dengan Rohaya.  Dia kata Ihsan kerani cabuk tak setaraf dengan Rohaya yang kerja setiausaha.  Tapi bila dia dapat tahu yang Ihsan bos Rohaya, orang dah dok mengata dia buat mulut langsung dah tak cakap apa.”
            “La… ye ke?”
            “Itu Sarah dengar dari Mak Limah.  Betul tidak Sarah tak tahu.”
            “Tak apalah.  Biarlah dia.  Jangan-jangan pasal kamu pun dia jaja juga tak?”
            “Pasal Sarah ni dah bernanah telinga ni mendengarnya.  Tapi Sarah buat tak tahu je mak.  Malas nak ambil tahu sangat.  Nanti bila dah penat berhentilah dia nak panggil Sarah ni anak dara tua.”  Mak Senah memandang ke arah Sarah.
            “Maafkan mak, Sarah.  Sarah juga yang keseorangan.”  Sarah tersenyum.
            “Mak ni… jangan nak fikir sangatlah.  Mak sepatutnya gembira tau yang dua anak mak dah kahwin.”
            “Mak tak akan putus doakan untuk kamu, Sarah.  Esok lusa kalau mak pergi siapa yang nak tengokkan kamu?” Linangan air mata Mak Senah itu membuatkan hati Sarah tiba-tiba meruntun.
            “Mak janganlah cakap macam tu.  Sarah boleh jaga diri Sarah.  Mak ni…. dah, jangan menangis lagi.  Mak menangis tak comellah mak.”  Mak Temah tersenyum dengan pujukan itu.
            “Dahlah mak.  Sarah nak masuk masak tengahari.  Nanti kita makan nasi lauk ikan pekasam ye mak.”  Sarah bangkit.  Namun belum sempat dia melangkah jauh Sarah jatuh tersadung batu. 
            “Mak… sakit mak.”  Rayu Sarah.
            “Hish!  Kamu ni.  Mana kamu letak mata tu.  Mak ni mana larat nak angkat kamu.  Kamu boleh bangun tak?”  Sarah menggeleng.
            “Kamu tunggu situ.  Mak cari orang tolong kamu.  Tak pun mak pergi rumah tok penghulu kamu.” Sarah mengangguk dan air matanya mula mengalir.
            Tidak lama kemudian tok penghulu datang bersama-sama dengan Iskandar.  Ala… mak ni.  Kenapa dia panggil si Iskandar ni sekali?
            “Sarah tak apa-apa ke?”  Sarah menggeleng.  Kalau aku tak ada apa-apa tak adalah aku kat tanah ni. 
            “Awak boleh bangun?”  Sarah menggeleng.  Dia segera melihat kaki Sarah.
            “Kebetulan.  Saya nak ke hospital.  Saya bawa awak sana.  Kita tengok kaki ni.  harap-harap cuma terseliuh je.” 
            “Tak payahlah.  Saya okey ni.” 
            “Dah, jangan nak degil sangat boleh tak?”  Iskandar mencempung Sarah ke dalam kereta.    Mak Senah mengekor dari belakang. 
            “Tak apalah Senah.  Kamu pergi tutup pintu dan tingkap.  Kamu ikut aku je ke hospital.  Si Sarah ni biar Iskandar yang bawa.”  Mak Senah mengangguk setuju.  Dia membiarkan sahaja Iskandar membawa Sarah ke hospital.
            Mak Senah menuju ke wad setelah mendapat tahu Sarah mengalami keretakan di buku lali.  Pintu wad dikuak.
            “Kamu seorang saja ke Sarah?”  Tanya Mak Senah sambil memandang ke sekeliling.
            “Entahlah mak.  Si Iskandar tu.  Tiba-tiba je nurse tu masukkan Sarah dalam wad ni.  Sarah bosanlah mak.  Sarah nak balik.”
            “Ala… duduklah dulu kat sini.  Kaki kamu tu retak.  Bukannya terseliuh.  Nasib baik ada Iskandar yang bawa kamu ke sini.  Kalau tidak tak tahulah mak.”  Sarah diam.  Dia juga sebenarnya berterima kasih kepada Iskandar namun dia tidak mahu akan termakan budi.
            “Tak apalah Sarah.  Esok mak bawa baju kamu.  Kamu tu rehat puas-puas.  Pasal mak jangan kau risau.”
            “Mak temankan saya.”
            “Hish!  Kamu ni.  kamu tu dah besar.  Jangan nak mengada-ngada.  Kat sini ada ramai nurse yang boleh tengok kamu.  Tak pun doktor pun boleh tengok-tengokkan kamu.”  Sarah bagaikan berat untuk berpisah dengan ibunya. 
            Mak Senah berpaling dan kelihatan doktor dan dua orang jururawat melangkah masuk ke dalam bilik itu.  Terkejut Mak Senah melihatkan kelibat doktor itu.
            “La…. Iskandar.  Makcik ingatkan siapa.” Namun bukan Mak Senah sahaja yang terkejut.  Sarah juga terkejut melihatkan Iskandar yang beruniform putih itu.  Mereka tidak menyangka Iskandar adalah seorang doktor.
            “Mak cik jangan risau.  Sarah tak ada apa-apa.  Buku lali dia retak sikit.  Nanti kalau dia tak ada apa-apa esok dia boleh keluar.”  Ujar Iskandar sambil meneliti fail di tangan kanannya.
            “Ha, dengar tu Sarah.  Esok kamu dah boleh keluar.  Ini ha,  si Sarah.  Suruh makcik duduk dengan dia.  Dia kata bosan.  Dah macam budak kecik.”  Cerita Mak Senah yang membuatkan Sarah memandang terus  kepada ibunya.
            “Mak… Apa ni!”
            “Dah kamu yang cakap tadi,kan?” Mak ni…. tak boleh nak cover.
            “Tak apalah makcik.  Makcik jangan risau.  Nanti saya tolong tengokkan dia.”  Mak Senah tersenyum puas.
            “Nasib baik Iskandar ada.  Lega hati makcik.  Esok makcik datang lagi.”  Iskandar mengangguk dan meninggalkan anaknya. 
            “Jangan sedihlah… nanti saya jenguk awak.  Saya habis kerja pukul 11 malam nanti.  Sebelum balik saya lawat awak.  Awak tu, rehat cukup-cukup.”  Sarah tidak memandang kepada Iskandar sebaliknya dia memandang kepada 2 orang jururawat di sebelah Iskadar.  Betapa dia malu apabila Iskandar bersikap mesra dengannya.  Mungkin jururawat itu fikirkan yang bukan-bukan.  Mahu sahaja dia menjerit untuk keluar segera dari situ.
            Keesokan harinya Sarah tabah menantikan ibunya.  Berita dari Iskandar yang mengatakan dia sudah boleh keluar dari hospital membuatkan dia merasa gembira.  Namun pesanan dari Iskandar membuatkan dia gelisah dari tadi.
            “Nanti saya hantarkan awak balik.  Hari ni saya habis kerja 6 petang.  Awak tunggu saya.  Jangan balik dulu.” 
            Sarah memandang kepada jam di dinding wad.  Jam sudah menunjukkan ke angka 4 petang.  ‘Mana mak ni.  Tak datang lagi ni?’  Namun tidak berapa lama kemudian senyuman Sarah bertamu di bibirnya apabila dia didatangi tetamu.
            “Mak!”  Namun bukan Mak Senah sahaja tetamu yang bertandang mengunjunginya namun wajah Aisyah, Rohaya, Ihsan dan Iskandar juga ada bersama.  Seperti semalam Iskandar segak berbaju doktor namun hari ini dia mengenakan baju kemeja merah hati.   Sarah terus memeluk Mak Senah. 
            “Macam tak jumpa setahun je akak ni.”  Tegur Aisyah.
            “Hish!  Mak buyung ni diam boleh tak?”  Sarah menyambut tangan Aisyah untuk bersalam.  Aisyah tersenyum dengan usikan Sarah itu. 
            “Daniel mana?”
            “Terbang ke Jakarta kak.” Sarah mengangguk. 
            “Er…. Kebetulan semua ada kat sini, makcik…. Saya nak cakap sikit.”  Mak Senah berpaling kepada Iskandar. 
            “Kenapa?  Sarah kena tinggal kat hospital lagi ke?”  Iskandar menggeleng.
            “Mungkin apa saya cakapkan ni nampak tidak bersopan.  Namun saya nak minta restu daripada makcik.  Saya nak menjaga Sarah sepanjang hidup saya.”  Mak Senah tersentak.  Begitu juga yang lain.  Sarah memandang kepada Iskandar. 
            “Saya mula suka dengan Sarah semenjak saya pandang dia buat kali pertama.  Saya minta maaf kalau terlalu lama untuk saya ambil keputusan ni.  Saya banyak bertanyakan kepada Pak Mail dan Mastura tentang Sarah.  Saya yakin Sarah masih belum ada yang punya sebab itu saya bertanyakan kepada makcik.” 
            “Saya harap makcik terima akan saya.  Saya sebatang kara.  Saya ingin menumpang kasih seorang ibu dan punya adik-adik, makcik.”  Mak Senah masih membisu lagi.  Dia memandang sekilas kepada Sarah yang masih dalam keadaan terkejut. 
            “Kita ada adat, nak.”
            “Yang itu makcik jangan risau.  Saya akan minta Pak Mail jadi wakil saya.  Hanya Pak Mail saja yang saya kenal.  Saya berharap makcik akan terima saya.” 
            “Makcik tak kisah, nak. Cuma…..” Mak Senah memandang kepada Sarah.  Sarah tunduk.  Dia tidak betah untuk memandang kepada ibunya apalagi kepada Iskandar. 
            “Anggap jadilah Iskandar.  Si Sarah diam tandanya setujulah tu.”  Ujar Mak Senah tersenyum.
            “Lepas ni merasa nasi minyak lagilah kita.”  Usik Rohaya sambil memegang erat tangan kakaknya.
            “Tahniah kak.”  Aisyah memeluk erat kakaknya.
            “Welcome to our family, bro.”  Ihsan menghulurkan tangan dan disambut kemas oleh Iskandar. 
            Mak Senah mengalirkan air mata.  Kini Sarah pula yang bertemu jodoh.  Segala penantiannya kini bakal berakhir.  Berkat doa diyakini akan setiap pasangan di dunia ini akan punya jodoh yang tersendiri.  Sebenarnya dia tidak pernah mengidamkan menantu-menantu yang berstatus atau bekerja besar.  Hanya cukup untuk memberikan kebahagiaanya untuk anak-anaknya.  Namun kehadiran menantu-menantu yang berjaya dipanjatkan syukur yang tidak terhingga. 

            Mak Senah tersenyum gembira.  Kini, Sarah bakal berkahwin dengan Iskandar seorang doktor yang begitu menghormati orang tua.  Aisyah bahagia bersama-sama dengan Daniel yang merupakan seorang juruterbang dan juga peramah orangnya.  Rohaya pula berbahagia bersama-sama dengan Ihsan yang merupakan seorang yang suka mengusik dan suka menyakat, juga merupakan CEO Syarikat Utuh Berjaya.  Tiada lagi yang lebih bahagia di hati Mak Senah bila melihatkan anak-anaknya sudah bertemu jodoh…. Dan kini doanya dipanjatkan agar jodoh itu berkekalan sehingga akhir hayat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page