Seri Suri Hatiku: Teaser 1
Teratak pena | 10:51 AM |
Kali ini Datin Rosiah kalah. Perlahan air matanya menghiasi pipi. Walau pun bibirnya terkunci, namun hatinya terbuka dengan rasa sebak yang terus menginjak perasaannya. Hatinya mula bimbang. Rayqal tidak pernah hidup susah. Dia risau akan Rayqal akan terus tenggelam. Dia akan cuba untuk menghalang, namun Datin Rosiah tahu kedegilan Rayqal untuk terus mengikut perasaan sendiri. Penuh dengan rasa marah dan benci. Walau apa pun keputusan, dia sentiasa berdoa akan kesejahteraan dan anaknya itu sentiasa di lindungi Allah. Datin Rosiah memandang kepada Datuk Zamani ibarat memberi tanda agar suaminya itu menghalang Rayqal agar terus keluar. Namun, hampa. Datuk Zamani membiarkan sahaja dengan wajah yang begitu tenang.
“Biar dia, Siah. Biar dia berdikari. Dia ingat, hidup di Kuala Lumpur tu senang? Biar dia rasa bagaimana seksanya kat sana. Sekarang ini pun kita dah bagi dia senang. Tinggal di kampung yang tak perlu nak fikirkan apa-apa. Cuma fikirkan cara untuk nak menyambung hidup.”
Rayqal tidak mempedulikan Datuk Zamani sebaliknya dia keluar dari rumah itu. Namun sebaik sahaja dia keluar dari rumah, sekali lagi dia terlanggar dengan Seri. Rayqal mengeluh keras. Hai, kenapalah dia boleh bertemu lagi dengan minah ni. Tajam renungan Rayqal kepada Seri.
“Hey, kau lagi… buat apa kat sini?”
Seri tidak menjawab sebaliknya dia memandang sekeliling.
“Apa yang kau cari?”
“Lembu. Encik cari lembu, kan?” Walau pun nada Seri tenang dan perlahan, namun berjaya membuat hati Rayqal mendidih.
Rayqal memicingkan mata kepada Seri dengan perasaan tidak puas hati. Ada yang kena minah ni. Rayqal masih lagi memandang kepada Seri yang masih lagi tercari-cari.
“Saya cakap dengan awak!”
Seri tersentak dan perlahan memandang kepada Rayqal yang seperti tikus mondok! Ek ele… mamat ni. Cubalah cakap baik-baik. Ini mengalahkan petir dengan guruh bunyi serentak. Seri tunduk. Tidak berani dia mahu memandang kepada lelaki di hadapannya.
“Maafkan saya, encik. Nama saya bukan awak.” Seri menggeleng.
Makin berubah wajah Rayqal. Seolah dirinya dipermainkan.
“Melawan, ya!”
“Maaf…”
“Awak ni spesis apa sampai asyik nak langgar orang?”
Rayqal masih tidak puas hati dengan Seri. Matanya tepat merenung kepada Seri. Ternyata gadis yang berada di hadapannya tidak berani mahu bertentang mata. Tahu takut!
Seri pula yang terpinga-pinga. Dia sendiri tidak faham kenapa perlu naikkan suara. Mamat ni terlepas dari pasar borong agaknya. Memanjang nak menengking. Bingit juga Seri mendengarkan suara Rayqal.
“You…”
Pulak dah….
“Saya bukannya ikan yu. Saya ada nama. Nama saya Seri.”
Kejujuran yang meluncur dari bibir Seri membuatkan Rayqal naik darah. Bulat mata dia memandang Seri. Gadis jujur itu telah membuatkan meter marahnya terus mencanak.
“Saya tak tanya nama awak. Awak ni saja nak stalk saya ke?”
Kali ini Seri mendongak memandang Rayqal. Hurm… boleh tahan rupanya. Kacak tetapi sombong. Hidung tinggi. Macam manalah mamat ni boleh datang kat kampung ni. Buat kecoh tak tentu pasal.
“Stalk mak tok. Saya datang bukan nak cari encik. Saya nak jumpa dengan Mak Leha, nak pulangkan bekas ni.”
Seri menunjukkan bekas kepada Rayqal. Rayqal mati kata. Namun wajahnya masih lagi masam dan tidak puas hati. Rayqal memandang kepada Seri yang ternyata nampak lebih tenang berbanding dengan dirinya. Walau pun Seri membidas setiap kata-katanya dengan tenang, namun memberi impak kepada perasaannya. Terus berdesup perasaan marahnya. Dia pun tak faham macam mana Seri boleh bertindak tenang seperti itu.
“Mak Leha! Ada perempuan gila cari Mak Leha.” Jerit Rayqal daripada halaman rumah.
Terbuntang mata Seri apabila Rayqal menggelarnya perempuan gila. Habis dia tu apa? Alim sangat? Mamat torpedo. Asyik nak marah saja. Mesti dia ni ada penyakit darah tinggi. Nak kata ada kencing manis, tak ada pulak tanda-tanda kemanisan pada muka tu. Seri hanya sekadar memandang kepada Rayqal yang berlalu meninggalkannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment