Cerpen Romantik Komedi: JENAB SAYANG ABANG

Teratak pena | 10:50 PM |




JENAB SAYANG ABANG

“Jebam! Kau keluar! Jebam!” Suara Kudin terus ke high volume. Tiada gear satu, terus ke gear tinggi.
Terbakar hati Kudin apabila melihat buah hatinya sudah tidak jadi rupa. Berkali-kali dia menepuk dahi sambil melompat geram. Hatinya panas. Sakit. Bagai ditikam bertubi-tubi hati ini.
“Jebam! Kau keluar! Kau tengok apa kau dah buat dengan bini aku ni.” jerit Kudin lagi.
Tiada reaksi. Rumah Jenab yang berada di sebelah rumah dipandang dengan perasaan marah yang meluap-luap. Ada kena kokak rumah si Jenab ni. Kudin tidak puas hati. Dia melompat geram lagi. Macam nak pecah tanah dibuatnya. Hampir sahaja dia mahu mengalirkan air mata sebab terlalu marah. Marah dengan jiran sebelah.
“Jebam!” Nah! Bagai nak terkeluar anak tekak Kudin menjerit. Lepas ini, kalau si Jenab tak keluar, tak tahulah.
Nafas Kudin turun naik menahan marah. Namun tidak lama. Saat melihat pintu terbuka dia menghela nafas lega. Tapi… Ala... Lain yang dipanggil, lain pula yang terpacul. Sekali mak dia da...
“Mak Kiah,” tegur Kudin.
“Kau kenapa Kudin, pagi-pagi dah jerit nama anak dara Mak Kiah.”
“Mak Kiah, tengok apa yang Jebam dah buat dengan buah hati saya. Sampai hati dia buat macam ni. Mana dia Jebam, Mak Kiah?”
“Jenab, bukan Jebam.”
“Tak kisahlah Mak Kiah. Hey, Jenab Tembam! Mana kau menyorok? Mak Kiah, tolong angkat tangan kejap.”
Bagai kerbau dicucuk hidung, Mak Kiah mengangkat kedua-dua tangan ke atas.
“Mak Kiah tak salah, Kudin.”
“Saya tak kata Mak Kiah salah. Saya nak tengok, mana tahu si Jebam tu menyorok bawah ketiak Mak Kiah. Hurm… tak ada pulak.” Kudin mengurut dagunya yang licin sambil memandang kepada Mak Kiah.
“Tadi kau kata si Jenab tu tembam. Takkan muat dia menyorok bawah ketiak aku ni. Korang berdua ni, tak habis-habis nak gaduh. Ada yang aku kahwinkan kau berdua ni nanti.”
Terbuntang mata Kudin. Amboi! Gurau kasar nampak. Kali ini, geram dengan Jenab mula surut, geram dengan Mak Kiah pula yang menyinggah.
“Tak nak saya dengan anak dara Mak Kiah tu. Tembam!”
“Ha... Eloklah tu. Dia tembam macam dipam-pam, kau tu kurus kering macam tebu. Muka dia macam pau, muka kau macam tempe.”
Okey, kali ini Kudin rasa nak keluar air mata. Why! Why always me. Ah! Di manakah keadilan di dunia ini....
“Tolonglah Mak Kiah...  Banjir kampung ni dengan air mata saya kalau tak jumpa dia. Ni antara hidup dengan mati saya.” rayu Kudin. Perasaan marah tadi terus menjadi sedih yang amat sangat.
“Okey, nanti Mak Kiah panggil Pak Usop kamu.”
“La... Kenapa pulak nak panggil Pak Usop. Saya bukan nak jumpa Pak Usop.”
“Mak Kiah bukan apa, senang nanti terus nikahkan kamu dengan si Jenab tu.” Mak Kiah terus berlalu dengan diiringi senyuman di bibir. Senang hati dia mengusik Kudin.
Sekali lagi anak mata Kudin bagai mahu terkeluar.
“Mak Kiah! Saya tak nak kahwin dengan Jebam!” Benci! Benci! Benci!
Tidak lama kemudian, Kudin dapat melihat wajah Jenab terlukis di ruang mata. Orang yang dinanti akhirnya munculkan diri. Panas hati Kudin apabila melihat Jenab tersengih seperti tiada apa yang berlaku. Memang minta kena kerate minah ni.
“Abang Kudin panggil Jenab ke? Rindu la tu...” Berkedip-kedip Jenab memandang Kudin.
Eh! Berjangkit pula. Kudin pun sama nak kerdipkan mata. Pantas Kudin tersedar.
“Apa kau dah buat dengan ‘bini’ aku?” Suara Kudin tegang.
Pantas Jenab memandang kepada basikal yang terletak di bawah pokok mangga. Jenab senyum meleret. Dia kemudiannya ketawa apabila melihatkan Kudin menggarukan kepala sambil memandang basikal kesayangannya.
“Jenab kan sayang abang. Itu yang Jenab tolong abang.”
“Ini bukan tolong. Ini nak menjahanamkan namanya.”
Kudin terduduk sambil merenung kepada basikal yang berada di hadapannya. Alahai...  Kesiannya kau basikal. Jenab perlahan melangkah ke arah Kudin. Dia membongkok dan turut memandang basikal Kudin.
“Kan cantik ni, bang. Abang patutnya suka.”
“Dah tak boleh nak suka. Rasa nak nangis.”
“Bertabahlah, bang. Jenab buat sebab nak buat abang gembira tau.”
Kudin sentap. Dia menumbuk tanah tanda tidak puas hati. Aduh! Sakit. Nak cekik minah di sebelah nanti mati siapa yang susah? Menahan rasa sajalah.
“Kau kalerkan basikal aku dengan kaler pink? Semua sekali dengan tayar pun sama?” Rasa seperti mahu keluar air mata darah.
“Ala, tayar sebesar dua jari Jenab pun abang nak ungkit. Warna ni bukan orang lelaki suka ke? Jenab tahu, abang mesti suka sampai nak nangis, kan?”
Memang pun. Kali ini Kudin sudah hilang kata. Tangannya menuding ke arah nombor plat di belakang. Dia melirik kepada Jenab yang masih lagi belum hilang senyumannya. Senyuman itu bagaikan menghiris jiwa dan kalbu Kudin. Rasa terseksa batinnya.
“O... Nombor plat tu? Bukan setiap kenderaan kena ada nombor plat ke? Cantik tak nombor plat yang Jenab letak? JSA 2506. Abang jangan buang tau.” ingat Jenab.
Kali ini Kudin merasakan kesabarannya terus hancur. Dia bangkit dan mencabut nombor plat. Kemudiannya dia mematahkan nombor plat itu. Betul di hadapan mata Jenab. Terkebil-kebil Jenab dengan tindakan Kudin.
Jenab melihat nombor plat yang bertaburan di atas tanah dengan yang turut patah juga. Dia memandang Kudin sekilas. Hatinya berkecai bagaikan serpihan plat yang berada di atas tanah. Namun dia cekalkan hati untuk tidak meluahkan perasaan melalui riak wajahnya.
“Tak apa... Jenab ada simpan banyak kat rumah. Nanti Jenab pasang balik.” sengih Jenab. Di dalam hatinya tidak boleh dibendung perasaan sedih yang amat sangat.
Kudin bercekak pinggang. Dia merenung kepada Jenab. Jenab pun sama ambil bahagian nak merenung anak mata Kudin. Bagai halilintar memecah bumi, burung-burung terbang berselerakan, bagai bintang tidak bertemu langit mereka terus bertentang mata.
Bam! Terus terputus hubungan eye contact mereka.
Kudin buat muka marah. “Kenapa kau buat aku macam ni?”
“Sebab Jenab sayang abang.” sengih Jenab.
“Eh, tak ada masa tau aku nak layan sayang kau ni. Aku nak kau buat balik basikal aku ni macam yang asal.”
“Tapi...”
“Tak ada tapi-tapi. Kau kata kau sayang aku, kan? Aku nak basikal aku yang asal. Dengan bunga kau selit sana sini. Apa? Kau ingat aku ni mamat bunga ke?”
“Ala, bang. Jenab mana ada cat kaler hitam. Pink banyak.”
“Engkau ni kalau tak buat orang sakit jiwa memang tak sah kan?”
“Yalah, kan Jenab dah kata yang Jenab sayangkan abang. Abang sayang Jenab tak?”
Kudin merengus kasar. Sudah cukup kesabaran dia mahu melayan kerenah Jenab.
“Jebam, kau boleh tak jangan nak kacau aku. Aku nak basikal aku balik! Aku nak pergi berniaga ni. Kat kedai orang dah tunggu aku. Malulah kalau aku pergi macam ni.”
“Ha! Macam ni. Apa kata abang bawak aje basikal ni. Kalau abang malu, pakailah topeng. Pakai topeng Hulk! Mesti handsome.”
Okey! Kali ini Kudin mati kata. Tidak tahu apa lagi ayat yang perlu dia katakan. Makin dilayan, makin menjadi pula panas hatinya.
“Layan kau ni memang tak ada faedah! Dahlah, baik aku pergi daripada darah aku kering tengok perangai kau ni.”
“Tak apa, darah Jenab banyak. Nanti Jenab transfer.”
Kudin tidak mengendahkan kata-kata Jenab sebaliknya dia menyorong basikal dan meninggalkan Jenab sendirian. Jenab tersenyum. Tangan diangkat dan dia melambai. Sebelum Kudin hilang dari pandangan mata, dia sempat menjerit.
“Hati-hati, bang! Jenab sayang abang!” Itulah ayat yang selalu digunakan kalau dia bertemu dengan Kudin. Walau pun Kudin buat tak tahu, tapi Jenab tak kisah semua tu. Sebab Jenab sayangkan Kudin.
KUDIN yang sedang meragi kacang soya untuk membuat tempe terganggu kerjanya apabila ada yang datang mengacau. Mak Timah yang sedang membungkus tempe menjerit mengatakan ada seseorang yang ingin bertemu dengannya. Setelah dia membasuh tangan, terus sahaja dia menuju ke muka pintu dan ternyata dia terkejut dengan kehadiran Jenab. Pantas dia memandang ke kiri dan ke kanan.
“Abang cari apa?”
“Kau buat apa kat sini? Kau datang dengan siapa? Macam mana kau boleh ada kat sini?”
Jenab sengih. Tangan kanan diangkat. Bekalan yang berada di tangan kanan kemudiannya dihulurkan kepada Kudin. Jenab masih lagi tersengih.
“Jebam, aku tanya dengan kau ni. Kau dengar ke atau kau ni spesis telinga kuali?”
“Saya jenis telinga piring, bang. Semua siaran boleh dengar. Ala... abang risaukan Jenab, kan? Sebab itu abang tanya macam-macam. Mesti abang sayang Jenab.” sengih lagi.
Kudin bercekak pinggang. Sakit hati dengan gadis itu belum surut lagi, sekarang ini sudah menjadi berlipat kali ganda. Macam mana hati nak tenang kalau hidupnya macam tongkah pecah. Terus lintang-pukang apa yang tersusun di dalam dadanya.
“Masalahnya, kenapa kau datang sini? aku ada suruh tak?”
“Memang tak ada. Tapi entah kenapa, angin bayu memanggil-manggil pula suruh datang sini. Nah! Jenab ada bawa bekal untuk abang makan nanti. Ambiklah. Nanti kebulur pulak.”
Kudin menggeleng.
“Aku dah makan. Engkau ni kan, spesis muka kulit kayu ke? Boleh tak jangan nak menyibuk hal orang lain.”
“Tapi... Jenab sayang abang.”
“Kau balik sekarang!” Suara Kudin kuat.
“Abang ambiklah dulu bekal ni. Nanti bagi Jenab balik.” Jenab masih lagi boleh mampu tersenyum.
Kali ini wajah Kudin mula berubah. Jelas riaknya begitu marah. Dia merenung kepada Jenab. Melihatkan wajah Kudin yang merah menahan marah, barulah Jenab tunduk.
“Aku kata tak nak! Kau ni tak faham bahasa ke? Kau tahu tak yang aku benci kau!”
“Tapi... Jenab sayang abang.” Bergetar suara Jenab. Dia masih lagi tunduk.
“Buanglah sayang kau tu. Dengar sini! Aku bagi kau amaran terakhir.”
Kali ini Jenab mendongak. Memandang kepada Kudin. Wajahnya muram.
“Amaran pertama kedua tak ada terus amaran terakhir?”
“Ya! Amaran terakhir. Aku tak nak muka kau ada depan aku. Aku tak suka kau!”
“Tapi...”
“Aku benci kau! Kau berambus sekarang dan berambus dalam hidup aku!”
Kali ini Jenab kalah. Air mata Jenab perlahan mengalir di pipi. Dia masih memandang kepada Kudin. Dia merasa sebak. Ayat terakhir Kudin benar-benar membuatkan dia terasa hati.
“Tapi Jenab sayang abang.” Jenab bersuara dalam sendu.
“Aku kata pergi! Aku lagi suka yang kau ni tak wujud.”
Jenab tersentak apabila ditengking oleh Kudin. Longlai segala tubuhnya. Jenab tunduk semula. Dengan bekal di tangan, Jenab mula berpusing dan melangkah pergi. Hati Jenab terus berlagu sedih. Jiwanya terus dihentak dengan perasaan kecewa yang amat sangat.
PETANG itu, sewaktu Kudin pulang ke rumah, dia melihat rumah Jenab penuh dengan orang kampung. Basikal pink yang diwarnakan oleh Jenab pagi tadi disandarkan di pokok mangga. Pantas kakinya menuju ke rumah sebelah. Sampai sahaja di rumah Jenab, dia melihat Mak Kiah sudah menangis di anak tangga sambil ditenangkan oleh Mak Konah. Sudah! Apa yang pulak yang dah jadi?
Kudin menghampiri Pak Usop. Dia melihat wajah Pak Usop begitu sugul sekali.
“Pak Usop, apa dah jadi ni?” Tanya Kudin yang cuba mahu mengambil berat.
“Jenab, Kudin. Jenab.”
“Kenapa dengan Jenab, Pak Usop? Dia makan tercekik tempe ke?”
Pak Usop terus meraung. Serba-salah pula Kudin melihatkan Pak Usop yang sedih dan pilu. Sah! Dia tersalah cakap. Haish! Apa pulak si Jenab ni dah buat? Pantas Kudin berpaling memandang ke rumahnya. Mana tahu kalau Jenab buat onar kat rumahnya. Sempat juga dia menghela nafas lega. Kalau dibuatnya Jenab warnakan rumah dengan merah jambu, dia tidak teragak-agak kejar Jenab satu kampung.
“Pak Usop, apa dah jadi?”
Pak Usop tidak mahu bercerita. Dia menghulurkan sepucuk surat kepada Kudin. Perlahan Kudin membuka surat itu dan terus membaca.
“Mak... Abah... Maafkan Jenab. Jenab rasa terseksa bila Jenab berada di sini. Jenab nak bawa diri. Di dalam bilik yang sempit dan hanya Jenab saja yang berada di situ. Mak... Abah... Tolonglah bawa rasa seksa Jenab ini.”
Kudin melipat semula surat itu. Dadanya tiba-tiba berombak. Bergetar dan berdebar. Serta-merta wajah Jenab terbayang di ruang mata Kudin. Masih jelas kedengaran kata-kata Jenab yang kerap diungkapkan. 'Jenab sayang abang.' Perasaan bersalah terus memanjat hatinya. Takut? Kini terus beraja di dalam jiwa. Takut akan kehilangan Jenab. Dia banyak melukakan gadis itu. Malah, apa yang dia katakan kepada Jenab tadi terus menghantui.
Apabila dia mengamati surat Jenab itu, dia terus memikirkan yang bukan-bukan. Takkan Jenab marahkan dia dan mahu cari alternatif nak hilangkan nyawa? Macam mana kalau dia... Tidak sempat nak minta maaf? Tak boleh jadi. Kudin mula tidak keruan. Dia kena cari Jenab juga. Tidak boleh tidak!
Perasaan takut mula bertukar menjadi sedih. Membahang seluruh tubuh seandainya Jenab betul-betul tidak ditemui. Semuanya salah dirinya. Itu lah, orang dah sayang kita pula nak jual mahal. Sekarang, bila tak ada depan mata, mulalah nak mencari dan rindu. Kudin tidak boleh menidakkan perasaanya. Ya! Dia sebenarnya sayang dengan Jenab. Dia pulak yang melebih mahu melihat sejauh mana Jenab boleh tahan dengannya. Tapi, tak sangka pula begitu drastik tindakan Jenab yang mahu meninggalkannya.
“Kudin, tolong cari Jenab. Pak Usop risau. Tadi, masa Pak Kudin pergi kedai dengan Mak Kiah kamu, dia menangis macam orang gila. Tak pernah Pak Usop tengok dia macam tu. Tolong ya, Kudin.” ujar Pak Usop.
Kudin tergamam. Sah! Mesti Pak Usop terserempak dengan Jenab menangis disebabkan dia. Tapi, Jenab tidak bercerita dengan apa yang dah jadi. Kudin menggarukan kepalanya yang tidak gatal Ke mana pula dia harus mencari Jenab? Menyesal pula dia mengherdik Jenab tadi. Melihat wajah Pak Usop dan Mak Kiah yang sedih, hati Kudin terus gelisah. Maafkan abang, Jenab!
Kudin tidak menunggu lama. Dia mesti mencari Jenab sebelum malam. Kalau dah malam, memang susah nak mencari. Kudin menggumpul orang kampung dan terus menyusun strategi untuk mencari Jenab. Kudin bertekad, dia akan mencari Jenab sampai jumpa. Bernyawa dan lengkap tubuh badan. Tidak sanggup dia mahu melihat Pak Usop dan Mak Kiah menangis sampai bengkak mata semata-mata sebab Jenab. Jenab itulah satu-satunya anak mereka.
“Pak Usop memang tak tahu dia pergi mana?” tanya Kudin kepastian.
Pak Usop menggeleng. “Ke mana lagi dia nak pergi, Kudin. Dia tu pun bukannya bijak sangat nak ke Kuala Lumpur. Ke pekan pun nak ajak kita orang ni. Pak Usop tahu, mesti ada benda buruk yang dah jadi.”
“Tapi Pak Usop, ayat Jenab memang power. Dia google ke ayat-ayat mantap macam tu?”
Pak Usop pantas memandang kepada Kudin, Alahai, waktu genting macam ni, ada juga yang buat lawak kampung.
“Orang, kalau dah sedih satu buku dia boleh tulis. Cepatlah, Kudin. Kau cari si Jenab tu.”
“Yalah, Kudin nak pergi carilah ni. Tapi, Pak Usop tahu tak Jenab pergi mana?”
“Kalau aku tahu, tak adalah aku suruh kau cari. Apa cerdik kamu ni?”
“Yalah, kalau Pak Usop tahu dia pergi mana senanglah saya nak cari dia.”
Makin kuat Pak Usop berteriak. Ingatkan boleh dapatkan pertolongan dengan Kudin. Alih-alih, dia pula yang terkena sampuk sakit jantung. Memang kenalah si Jenab ni dengan Kudin. Dua-dua sengal. Ke...
“Kau ada buat apa-apa dengan si Jenab ke Kudin? Kau cakap dengan Pak Usop.”
Pantas sahaja Kudin menggeleng. Pekung di dada, takkan dia mahu nak membawang. Ada kena ketuk dengan orang tua Jenab. Nak mati?
“Mana ada Pak Usop. Nak sentuh dia pun haram. Mana mungkin saya nak apa-apakan dia.”
“Nak buat apa-apa tak semestinya kau sentuh dia. Mana tahu kau ada sakitkan hati dia.” tebak Pak Usop.
Gulp! Bagai ada batu sebesar bola pingpong tersekat di anak tekak. Air liur Kudin langsung tak cecah ke perut. Tak sanggup rasanya mahu memandang kepada Pak Usop. Kalaulah Pak Usop boleh mencium apa yang telah terjadi tadi, mahu kena ikat dia di pokok mangga rumahnya.
“Tak ada... tak ada...” Kudin pantas menggeleng.
Kudin tidak boleh lama di situ. Kalau lebih lama lagi, dirasakan renungan Pak Usop itu boleh membunuh hatinya.
“Er... Kudin pergi cari Jenab, Pak Usop. Kudin yakin 200% Jenab mesti ada kat sini-sini aje. Jenab nak tinggalkan Kudin? Kudin yakin tak.”
“Tinggi angan kau, Kudin. Bukan ke kau tak suka dengan si Jenab tu?”
“Ala... Mulut aje cakap tak suka. Tapi hati, berbunga-bunga tau kalau Kudin jumpa dengan dia.”
Yolah tu. Kau ingat Pak Usop percaya?”
“Kalau Pak Usop tak percaya, Kudin pergi cari dia. Kalau Kudin cari, mesti dia keluar.” Bukan main lagi Kudin bersemangat.
Pak Usop mencebikkan bibirnya. Boleh percaya ke? Bukan dia tak tahu dengan Kudin. Ada saja yang tak kena dengan Jenab. Suka sangat nak bagi Jenab terasa hati. Jenab pun satu. Suka sangat nak sakat Kudin.
Aktiviti mencari Jenab bermula. Beberapa orang kampung mencari Jenab di seluruh kampung. Kudin hanya mencari dekat sekitar rumah. Manalah tahu kalau Jenab ada menyorok di atas pokok kelapa atau pun berada di dalam semak.
“Jenab! Keluarlah Jenab!” Teriak Kudin kuat dan lantang. Dia memanjangkan leher untuk mencari kelibat Jenab.
Namun hampa. Walau macam mana pun, Kudin tidak mahu berputus asa. Dia akan mencari Jenab sampai bertemu. Hati Kudin masih tidak hilang dengan perasaan takut. Takut akan kehilangan Jenab. Nanti siapa pula yang ungkapkan sayang untuk dirinya?
“Jenab... mana kau Jenab. Janganlah buat abang macam ni.” Akhirnya! Kudin kalah. Dia berteriak apabila tiada suara Jenab didengari.
“Kamu ni, janganlah menangis. Buruk kalau lelaki menangis.” sampuk Pak Usop sambil menggeleng kepala.
“Tak boleh nak kawal Pak Usop.”
“Kalau kau menangis macam ni, macam mana nak jumpa dengana anak aku?” Mata Pak Usop meliar tanpa memandang kepada Kudin.
Kudin pantas mengelap air mata yang mengalir di pipi.
“Jenab! Keluarlah! Abang datang ni.” jerit Kudin. Kakinya melangkah perlahan memerhatikan jika ada pergerakan di tepi rumah Pak Usop. Betul di sebelah bilik Jenab.
“Jenab! jangan tinggalkan abang. Abang sayangkan Jenab. Jenab... janganlah buat abang takut. Abang minta maaf dengan Jenab.”
“Janganlah menangis, Kudin. Buruklah.” Tegas Pak Usop lagi.
“Pak Usop boleh menangis, kenapa saya tak boleh?”
“Aku menangis sebab dia tu anak aku. Yang kau menangis dah kenapa? Dia tu bukannya anak kau. Bukannya adik kau. Bukannya bini kau.”
Pergh! Sentap ayat Pak Usop. Menikam ke kalbu.
“Saya menangis sebab saya sayangkan Jenab. Sayang sangat kat dia. Kalau dia tak ada, siapa yang nak sayangkan saya?”
Pak Usop menepuk dahinya yang luas.
“Habis yang ayah dengan mak kau tu tak sayangkan kau ke?”
Kali ini Kudin pula yang mencebik.
“Dia orang tu lain. Tapi, sayang Jenab dengan saya lain, Pak Usop.” luah Kudin. Sayu pula rasanya hati Kudin apabila meluahkan apa yang terpendam. Dalam masa yang sama, dia merasa amat lega. Kalaulah Jenab ada, mesti dia akan beritahu macam mana dia sayangkan gadis itu.
“Jenab... keluarlah. Abang sayangkan Jenab. Jenab! I love you! A million thousand. Kahwin dengan abang, Jenab!” Tu dia! Kudin terus menjerit meluahkan perasaannya. Langsung tidak mempedulikan Pak Usop di sebelah.
“Abang!”
Terkejut Kudin dengan Pak Usop. Melompat mereka sambil berpelukan. Perlahan Kudin dan Pak Usop berpaling. Berubah wajah mereka apabila melihat Jenab bukan main tersengih di muka jendela biliknya.
“Eh! kau ada kat sini, Jenab. Bukannya kau lari dari rumah ke?” Terpinga-pinga Pak Usop apabila melihatkan anak daranya elok tersenyum.
“Bila masa pulak Jenab lari rumah, bah? Abah ni dah tak sayangkan Jenab ke?”
Pak Usop bercekak pinggang.
“Abah sayang anak abah. Kalau abah tak sayang, tak ada lah abah cari Jenab. Tadi Jenab bagi surat kata nak nak bawa diri.”
Terbuntang mata Pak Usop apabila melihat Jenab ketawa berdekah-dekah. Kudin pula sudah mati kata. Tidak percaya orang yang berada di hadapannya adalah Jenab.
“Memanglah Jenab nak bawa diri. Abah tu, macam tak tahu apa yang Jenab tak suka. Sebab itu Jenab duduk dalam bilik. Itu yang Jenab letak surat kat meja depan.” Bibirnya dimuncungkan sedepa.
Kali ini giliran Pak Usop pula yang ketawa.
“Pak Usop, ini drama pukul berapa? Pak Usop nak kenakan orang ke? Kesian orang kampung tengah mencari Jenab. Entah-entah ada pulak yang terjun sungai nak cari anak Pak Usop ni.”
“Ala... Pak Usop lupa.”
“Lupa apanya? Takkan muka anak sendiri Pak Usop boleh lupa?”
Pak Usop sengih.
“Abah! Tolonglah... Terseksa Jenab duduk dalam bilik ni.” rayu Jenab.
“Pak Usop dera Jenab ke? Pak Usop, kalau dah tak nak jaga Jenab, biarlah saya yang jaga dia.” sampuk Kudin.
“Hey! Tak ada maknanya Pak Usop nak dera si Jenab ni. Pak Usop lupa nak alihkan durian tadi. Ada orang bagi durian tadi. Pak Usop lupa nak letak kat luar.”
Kudin memandang kepada Pak Usop dan Jenab silih berganti.
“Apa kena-mengena durian dengan Jenab, Pak Usop?”
“Jenab ni tak boleh bau durian. Kalau nak tengok dia muntah badang, kau hulurlah durian kat muka dia.”
Okey! kali ini Kudin pula yang ketawa. Baru dia tahu, Jenab tidak boleh tahan dengan bau durian. Patutlah Jenab diamkan diri di dalam bilik. Pak Usop pula terlupakan durian berada di dalam rumah. Pak Usop dengan Mak Kiah pulak tak nak mencari si Jenab tu dalam bilik. Habis satu kampung porak dengan kehilangan Jenab. Alahai Jenab, orang lain risaukan dia, boleh pula dia duduk kat bilik bersenang-lenang sambil orang lain mencari dia. Namun, di dalam hati Kudin memanjat perasaan syukur yang amat sangat sebab Jenab dah selamat. Lega hati ini.
“Nasib baik Jenab selamat. Risau abang tau.” tegur Kudin.
Merona pipi Jenab. Tak sangka pula hilang satu jam, terubat sepanjang hidupnya. Selama ini, bukan main lagi Kudin marah-marah dengannya. Sekarang ini, bukan main lagi Kudin bimbang dengan dirinya.
“Abang Kudin sayangkan Jenab?”
Pertanyaan itu terus membuatkan Kudin hilang kata. Dia menjeling kepada Pak Usop yang sudah pun merenung tajam kepadanya. Aduh! Sekali bapak dia ada. Mana nak sorokkan muka? Malulah dengan Pak Usop. Hilanglah ego yang selama ini dia tanam. Ringan mulutnya mahu berkata 'ya'. Tapi bila melihat renungan Pak Usop, rasanya macam sudah kena tambat pula bibir ni nak berkata-kata. Tadi bukan main lagi boleh nak luah kata suka.
“Abang sayang Jenab, tak?”
“Jawablah! Anak aku tanya tu. Tadi bukan main lagi kau.” celah Pak Usop.
Kudin tersipu malu. Lengan baju Pak Usop dipintal-pintal. Dia tersenyum sambil melirik kepada Jenab. Haish! malulah pulak. Kudin yang memintal lengan baju Pak Usop terus mendapat hadiah jelingan maut daripada Pak Usop. Ini, kalau orang kampung nampak dan viral susah nak menjawab nanti. Ada pula yang kata tak cium bau syurga.
“Kau dah kenapa Kudin?” tegang sahaja suara Pak Usop
“Kudin malu, Pak Usop.” Meliang-liuk tubuh Kudin sambil tersipu malu.
“Mengalahkan orang perempuan kau ni. Si Jenab pun tak malu macam kau ni.”
“Sebab Jenab sayang abang Kudin, abah.” Tiba-tiba Jenab menyampuk.
“Hish! kamu ni. Jangan buat malu keluarga kita. Kamu tu perempuan.”
Jenab sengih.
“Abang sayang Jenab tak?” Tanya Jenab lagi.
Kudin masih malu lagi. Dia kemudiannya memandang kepada Pak Usop.
“Pak Usop, panggillah balik orang kampung. Sekejap lagi saya datang rumah. Saya nak balik rumah sekejap. Nanti kita jumpa.”
“Kudin!” Pak Usop melaung apabila Kudin mula berlalu dari situ.
Jenab dan Pak Usop terpinga-pingga apabila kelibat Kudin terus hilang dari pandangan mata. Apa pula yang nak dibuat si Kudin? Ah! pedulilah semua tu. Sekarang ini, Pak Usop kena alihkan durian letak di luar. Nanti sampai ke malam anak daranya tidak akan keluar bilik.
“Abang Kudin nak pergi mana tu abah?” tanya Jenab.
  “Entahlah... abang Kudin nak balik rumah sekejap. Tak payahlah nak fikirkan pasal dia sangat.”
“Abang Kudin tak suka dengan Jenab ke abah?”
“Entahlah, abah pun pening lalat tengok perangai dia. Tambah lagi dengan kamu ni. Orang... Kalau tak nak, cuba jangan paksa.”
Wajah Jenab terus berubah. Sedih dan redup. Mana aci abah cakap macam tu. Tak baik buat anak kecil hati. Tapi, kalau ikutkan kata-kata Kudin tadi ada benarnya juga. Kudin benci dengannya. Kudin dah tak nak tengok muka dia.
“Abah nak pergi alih durian. Nanti ada pulak kamu berakar duduk dalam bilik tu.”
Pak Usop kemudiannya berlalu meninggalkan Jenab yang masih lagi muram wajahnya. Jenab termenung. Macam mana agaknya kehidupannya selepas ini apabila kena 'reject' dengan Kudin. Sudahlah duduk berjiran. Sudah tentu akan berjumpa hari-hari. Susahlah nanti nak move on. Jenab menguis jendela biliknya. Pening dengan Kudin yang terang-terangan tidak suka dengannya.
Lama juga Jenab memerap di dalam bilik. Walau pun abahnya sudah mengalihkan durian, namun ambil masa juga nak hilang semua bau raja buah itu. Jenab keluar juga dari bilik apabila waktu hampir menginjak ke senja. Lagi pun dia sudah tidak tahan mahu terkucil. Nanti ada pula dia terkena jangkitan batu karang. Rugilah nanti. Kahwin pun belum sudah ada penyakit. Walau pun ada sisa bau durian, sudah cukup meloyakan tekaknya. Teruk juga dia menahan nafas untuk pergi ke bilik air. Sebaik sahaja dia membasahkan badan mengambil air wuduk, terus sahaja dia berlari ke dalam bilik sambil menutup hidung.
Suasana merangkak malam. Jam di dalam dinding bilik sudah menunjukkan jam 9.00 malam. Jenab terkejut apabila pintu biliknya diketuk berkali-kali. Dia pantas melangkah ke pintu dan segera membuka.
“La, mak. Mak nak makan ke? Sekejap lagi Jenab turun panaskan lauk.”
“Dah, tak payah. Mak dah buat semua. Jom, ada tetamu datang. Dia orang nak jumpa dengan Jenab.”
Orang nak jumpa? Terkerut dahi Jenab memikirkan siapa yang mahu berjumpa dengannya malam buta begini. Tak sempat nak tunggu esok ke?
“Cepatlah siap. Kita makan sama.”
“Siapa mak?”  tanya Jenab. Takkan dia mahu lepas macam tu aje. Dia mesti tahu siapa yang datang mahu berjumpa dengannya.
“Mak rasa tak payahlah kamu tu bersiap. Baju kurung kedah dengan kain batik pun dah cukup. Pergi ambik tudung.” arah Mak Kiah.
Jenab akur. Tudung yang terletak di belakang pintu dicapai dan disarung.
Sebaik sahaja Jenab melangkah ke ruang tamu, kakinya mula terpaku. Dia berdiri kaku. Dia tidak menyangka kehadiran tetamu yang datang ke rumahnya.  Pak Mat dan Mak Eton bukan main lagi tersenyum memandang kepadanya. Jenab terus memandang kepada Kudin. Kudin pula tersipu malu sambil tunduk memandang nasi.
“Marilah duduk sebelah Mak Eton ni.” ajak Mak Eton.
Jenab melirik kepada Mak Kiah. Mak Kiah sempat bermain mata dan memberi isyarat supaya akur dengan permintaan Mak Eton.
“Jenab sayang abang Kudin?”
Soalan itu bagaikan soalan cepu emas bagi Jenab. Mana mungkin dia mahu menidakkan. Kali ini lidah Jenab kelu. Dia mengangguk pantas.
“Mak Eton tak dengar.”
“Jenab sayang abang Kudin. Tapi... Abang Kudin tak sayangkan Jenab.” rajuk Jenab.
Tiba-tiba Kudin menyerahkan plat yang telah dipatahkan siang tadi. Plat itu sudah bercantum.
“Abang tahu Jenab sayangkan plat nombor tu. Abang dah sambungkan balik.  Abang minta maaf kalau abang dah banyak buat salah dengan Jenab.” Plat nombor itu diserahkan kepada Jenab.
Jenab menyambut dengan senyuman. Betapa riang hatinya apabila ianya sudah bercantum. Bagaikan hatinya bercantum juga.
“JSA2506 ni... Singkatan Jenab sayang abang.”
“Yang 2506?” potong Kudin.
“Tarikh tu hari lahir Jenab. Lagi pun...”
“Okey, kita kunci tarikh tu. Kita nikah 25 Jun tahun ni juga!” tekad Kudin.
Bulat mata Jenab. Tidak percaya apa yang keluar dari bibir lelaki itu.
“Abang tak main-main?”
Kudin menggeleng. “Abang tak main-main. Abang sayangkan Jenab. Abang tak nak Jenab hilang lagi. Cukuplah satu jam abang rasa bersalah sangat. Itulah, mulut abang celupar sangat.”
Jenab sengih. Dia senyum lebar. Alahai, hatinya mula melonjak riang.
“Abang sayangkan Jenab?”
“Abang sayang Jenab sepenuh hati abang. Abang tak nak marah Jenab lagi. Abang takut Jenab lari. Terima kasih sebab sayang abang.”
“Habis tu, kenapa abang halau Jenab tadi?”
“Itulah, mulut kata tak suka, tapi hati rasa sayang. Abang janji! Abang tak akan cakap yang bukan-bukan lagi. Abang nak cakap yang baik-baik aje. Macam Jenab. Jenab kata, Jenab sayang abang kan? Kali ni biar abang cakap yang abang sayang Jenab setiap masa. Kata-kata itu kan doa?”
Jenab tersipu malu. Akhirnya... Kudin mengaku sayang kepadanya. Sudah nampak sinar bahagia yang akan ditempuhinya akan datang. Jenab terus tersenyum. 'Jenab sayang abang...'

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page