Cerpen: Kalau Dah Jodoh

Teratak pena | 10:27 PM |

#Cerpen ini adalah berkisar kisah benar.. :)
KALAU DAH JODOH

            Aku memandang kepada mee goreng yang masih lagi belum terusik.  Nani yang berada di hadapan sudah pun separuh pinggan mee dihabiskan.  Hesy, tak ada seleralah pulak.  Sejak akhir-akhir ini, aku selalu bermimpi.  Mimpinya pula bersambung-sambung.  Hati ni melonjak untuk tahu di sebalik mimpi itu.  Mimpi yang pertama, dia melihat masjid yang baru didirikan dengan dijaga oleh dua orang lelaki yang berbadan sasa.  Masa itu aku hanya memerhatikan dari jauh.  Ketika mimpi pertama itu, aku dah mula rasa pelik. Kemudiaannya aku bermimpi lagi.  Kali ini sudah nampak bentuknya.  Sebelum ini aku pernah bermimpi, tapi tak adalah sampai macam ni aku rasakan.
            “Kau kenapa tak makan?  Bukan ke kau suka mee goreng abang Senin ni?” 
            Aku tak bersuara.  Sebaliknya aku menguis sahaja mee goreng di hadapan. Aku kemudiannya mengeluh.  Rasa malas pula aku nak bercerita dengan Nani  Mesti dia kata ‘Ala…. Mainan mimpi aje tu.’
            “Cepatlah makan, Shimah.  Dah nak masuk kerja ni.”  Bebel Nani dengan mulutnya masih lagi menguyah.
            “Yelah…. Abang Senin, bungkus mee goreng ni.”  Oleh sebab aku tak ada selera nak makan, aku minta mee goreng itu dibungkus.
            Abang Senin yang sedang menggoreng menjengahkan mukanya.  Memandangkan mee goreng aku yang tidak terusik, dia mula bersuara.
            “Eh, kau tak sihat ke?  makan pun tak.” 
            Aku cuma senyum.
            “Kenyanglah bang.”  Bohong aku.  Sebenarnya, fikiran aku ni dah tak boleh nak masuk lagi.  Mimpi tu asyik nak berjoget chacha dalam kepala ni.  Boleh berserabut dibuatnya.
            Abang Senin tidak bersoal jawab lagi dan terus membungkuskan mee goreng buat aku. Selesai membayar harga makan, aku dan Nani pulang ke pejabat dan mulakan tugas.  Sebaik sahaja aku duduk di meja, Kak Hasnah mula datang merapat.
            “Kenapa kak?  Nak saya saya tolong akak ke?”  Tanya aku apabila melihatkan wajah Kak Hasnah yang tersenyum makna.
            “Kau ni Shimah, macam tahu-tahu aje.  Ala, yang itu kemudian-kemudian pun boleh.  Ini…” 
            Aku memandang kepada Kak Hasnah dan aku terus memotong kata-katanya.
            “Akak, kalau pasal nak carikan jodoh untuk saya, taknaklah.”  Aku menggeleng pantas.
            Kak Hasnah bercekak pinggang.  Dia pandang aku dengan rasa tidak puas hati.  Aku pulak, masa itulah aku tunjukkan gigi aku.  Senggeh ajelah aku memandang kepada dia.  Aku tahu niat dia baik.  Tapi aku segan bercampur dengan takut sebenarnya.  Sebelum ini, bukan main lagi dia regukan aku dengan budak posmen.  Sampai aku malu nak jumpa dengan budak tu.  Selamba saja dia dengan Kak Chen test market dengan budak posmen.  Alih-alih budak tu dah bertunang.  Malu wei!  Mesti dia ingat aku ni gatal.  Tapi semua tu idea Kak Hasnah dengan Kak Chen. 
            “Budak tu baik, Shimah.  Berkenalanlah dulu.  Mana tahu boleh pergi jauh.” Ujar Kak Hasnah beria-ia.
            “Jauh sampai mana tu kak?  Sampai Antartika?”
            “Kamu ni, main-main pulak.  Akak dah selidik.  Dia tak kahwin lagi.  Kawan Kak Nor kau.  Tapi, itulah.  Dia kerja kapal.  Sekarang ni dia tengah cuti.  Kalau Shimah nak jumpa, akak boleh cakapkan dengan Kak Nor kau.” 
            Aku tidak bersuara.  Sebaliknya aku mengoyakkan kertas telegram yang panjang berjela itu. Lama juga aku biarkan Kak Hasnah berdiri.  Alahai, kesianlah pulak.  Kali ini aku menggarukan kepala yang tidak gatal.  Aduh!  Susah betul nak bagi kata putus. 
            “Akak, saya tak naklah.  Akak lupa ke apa yang dah jadi hari tu.  Malulah saya kak.” 
            “Akak gerenti, dia ni belum bertunang.  Nama dia Arshad Bin Hambali.  Dia memang sesuai dengan kamu.  Badan dia pun cuby macam kamu juga.  Memang ngamlah.”
            Aku ketawa apabila dia memperkenalkan lelaki itu.  Nampaknya beria-ia benar Kak Hasnah nak cari jodoh untuk aku. 
            “Sejak bila akak  jadi ajen cari jodoh ni?”  Aku mendongak dan bertanya.
            “Aku bukan apa, akak kesian dengan kau.  Orang semua ada mata air.  Kamu aje yang tak ada.  Kau tengok Nani, satu pejabat lagi.  Takkan kau tak nak ada pakwe, Shimah?”
            “Akak, saya ni dahlah gemuk.  Harta tak ada.  Muka tak cantik.  Nani tu selim melim.  Mana nak lawan dengan saya.” 
            Kedengaran Kak Hasnah mengeluh.  Mungkin dia rasa yang aku ni merendahkan diri sangat.  Tapi, memang betul apa yang aku cakap.  Aku tak ada harta, tak ada rupa dan ketinggian aku pun tak cukup!  Kak Hasnah mula mengalah dan berlalu meninggalkan aku.  Aku senyum sendiri.  Kak Hasnah… Kak Hasnah…. Risau betul dia dengan jodoh aku. 
            Ketika sedang aku uruskan telegram, terbuntang aku dengan nama penerima yang tertera di atas telegram itu.  Terus aku memberitahu kepada Kak Hasnah dan Kak Nor.  Berubah juga muka mereka ketika itu.  Berita apa, biarlah aku sahaja yang tahu.  Nampak gayanya memang bukan jodoh aku.  Lebar senyuman aku apabila hajat Kak Hasnah tidak kesampaian.  Itulah… nak sangat carikan jodoh untuk aku.  Dua-dua kantoi.
            Ah, lupakan soal jodoh.  Aku tak kisah kalau mana-mana rakan aku yang akan bertemu jodoh walau pun mereka lebih muda dari aku.  Kalau itu sudah jodoh dia, takkan aku nak halang pulak, kan.  Takkan aku nak cakap ‘oi!  Korang tunggu aku ada mata air, baru korang boleh bercinta.’ Nanti tak pasal-pasal  putus sahabat pulak.
            Tak lama kemudian, aku mengalami mimpi yang kurang sama.  Masjid yang baru nak dibina sekarang sudah separuh siap.  Dua orang lelaki yang menjaga kiri kanan masjid itu masih ada lagi.  Kali ini aku lebih dekat lagi dengan masjid itu.  Aku cuba untuk masuk, tapi tak boleh.  Maklumlah belum siap lagi.  Akhirnya apabila aku sedar dari tidur, aku termenung panjang.  Rasa seram satu badan apabila aku dapat mimpi itu.
            Pada suatu pagi ahad yang indah, aku pergi kerja seperti biasa.  Walau pun agak berat, tapi aku tetapkan juga untuk pergi kerja.  Kali ini aku pergi bersama-sama dengan adik aku yang bongsu.  Maklumlah dia ada kelas tambahan di bandar.  Dalam perjalanan untuk menunggu bas, aku melalui akan rumah nenek saudara.  Maklumlah, kami ni kalau nak ikutkan satu kampung ada bau-bau bacang.  Kebanyakkannya saudara.  Bila aku berjalan, aku terpandangkan sepupu mak yang aku panggil dengan panggilan makngah. 
            Aku terus mendapatkannya dan bersalam.  Aku memandang kepada pakngah yang sedang mencuci kereta.  Namun aku pelik, aku pandang abang Aris yang duduk di atas tembok yang ketika itu memandang aku sekilas.  Lepas pandang aku, boleh pulak dia tunduk macam nak pecah lantai rumah nenek dia.  Ah, malas aku nak fikir, aku teruskan juga berjalan.  Di hadapan berandar rumah, aku lihat abang Aziz pula yang duduk termenung sambil merokok.
            “Hai, nak pergi kerja ke?”  Abang Aziz bertanya. 
            “A’ah.  Pergi dulu abang Aziz.”
            “Baik-baik jalan.” Pesan dia. 
            Dalam perjalan, aku masih lagi tertanya-tanya.  Pelik pula aku dengan abang Aris yang tiba-tiba balik kampung.  Dia tu, kalau tak beria, memang susah nak balik kampung.  Kalau bukan raya, tak ada kenduri, jangan harap muka dia nak tayang kat kampung.  Lagi satu, biasanya kalau dia balik kampung mesti dia bawa motor besar TZM dia.  Tadi, tak nampaklah pulak.  Hurm….
            “Dik, tadi kau perasan kan abang Aris?” Aku bertanya pada Nurul.
            “Ada. Kenapa long?”
            “Along peliklah.  Apa pasal dia balik kampung?  Nenek long nak buat kenduri ke?”
            “Apa yang nak pelik, long.  Kan raya haji dah dekat.  Lagi dua hari lagi kut.”
            “Kata tak balik.” 
            “Mana tahu ada cuti.”
             Ya tak ya juga.  Ala… lagi pun dah kampung dia.  Takkan tak boleh nak balik pula.  Ah, malas pula nak layan soal jawab pasal abang Aris.  Aku matikan sahaja peristiwa itu dan membuat kerja seperti biasa.  Tepat jam satu, aku balik kerja sendirian memandangkan Nurul sudah pulang lebih awal lagi.  Seperti biasa, aku balik aku akan melalui rumah nek long aku.  Sekali lagi aku nampak abang Aris di tembok rumah.  Masa ni aku tengok dia sedang termenung.  Apabila dia perasan ada orang melalui di hadapannya, kemudian dia berpaling.  Tak lama kemudian, dengan tiada senyum atau teguran dia tunduk semula.  Haish!  Dia ni dah kenapa?  Macam takut tengok aku pulak.  Bukan ke sebelum ni dia banyak buli aku.  Tambahan lagi masa aku hingusan lagi. 
            Walau pun aku tertanya-tanya pasal abang Aris, aku buat tak kisah aje.  Lagi pun aku tak ada masalah pun dengan dia.  Walau pun kami ni bersaudara, tapi aku jarang sekali nak berborak dengan dia.  Yalah, dia duduk Kuala Lumpur sedangkan aku kat Melaka.  Tapi, nampak pelik perangai dia hari ni. 
Petang itu, mak ajak aku dan adik-adik ke bandar.  Saja jalan nak cuci mata.  Apa lagi, pucuk dicita ulam mendatang, kami pun bergerak ke Melaka jam 2.30 petang.  Balik sahaja dari bandar, masa itu jam dah menunjukkan ke angka 5.30 petang.  Aku tengok rumah nenek sudah ramai orang.  Hesy, dah kenapa pulak ni.  Nek long pun ada sama.  Aku terus mendapatkan mak saudara aku yang berada diberandar. 
            “Mak Ita, kenapa ramai-ramai ni?”  Tanya aku pelik.
            Aku tengok Mak Ita bukan main lebar dia tersenyum.  Aku mula rasa tak sedap hati.  Kenapa hari ini aku jumpa semua orang perangainya pelik-pelik.  Aku pandang nek long bukan main lagi berborak. Tok ayah dengan nenek pun sama.  Siap gelak lagi.  Aku tak puas hati aku tanya lagi dengan Mak Ita.
            “Mak Ita, ada apa-apa yang menarik ke?”  Tanya aku sekali lagi.
            “Tak lama lagi ada orang nak makan nasi minyak.”  Terus lebar aku tersenyum. 
Masih terbayang lagi wajah mak saudara aku yang masih belum berkahwin lagi.  Aku dengan Mak Lah beza lebih kurang 5 tahun.  Dia pun baru putus tunang.  Kalau sudah jodoh dia, al-hamdulillah….
“Untuk Mak Lah ke Mak Ita?”
Aku tengok Mak Ita tersenyum lagi.  Bukan dia nak jawab, boleh pulak dia tinggalkan aku terpinga-pinga.  Hesy, Mak Ita ni.  Tak menjawab soalan langsung.  Oleh sebab aku malas nak fikir dan malas nak masuk campur dalam urusan orang tua, aku terus masuk ke rumah.  Uh!  Pergi mandi lagi best!
Malam itu, aku duduk di ruang tamu sambil tangan ligat mengayam ketupat.  Maklumlah, dua hari lagi nak sambut hari raya Aidiladha.  Bersama-sama dengan aku masa tu, mak yang sedang melipat kain.  Tiba-tiba mak bersuara.
“Long, kau tak ada pakwe tak?” 
            Aku tersentak.  Terus mati tangan aku mengayam ketupat.  Mak memang tak teragak-agak bagi aku soalan maut macam tu.  Mahu aku tak keras kejung dengan soalan mak tu. 
            “Ala mak, siapa yang nakkan saya ni.  Dahlah gemuk.  Rupa pun tak ada.”  Hurm… ayat merendah diri aku dah keluar. 
            “Mak tanya, kau ada pakwe tak?”  Aku pandang mak.  Amboi, mak memang straight to the point.
            “Tak ada.” Perlahan aje aku menjawab.
            “Mak bukan apa, makngah tanyakan kau.” 
            Aku terus terkedu.  Makngah tanyakan aku?
            “Kenapa pulak makngah tanyakan saya? Apa kena-mengena pulak saya dengan dia?”  Aku pula pelik. 
            Lama juga mak diam.  Aku pun diam.  Aku masih lagi tertanya-tanya maksud mak tadi.
            “Bukan apa, makngah tanyakan kamu.”  Okey, baru aku faham.  Kali ini, bergetar semua tubuh aku sekali dengan tulang-temulang.  Katakan ini bukan mimpi.
            Aku pandang lama pada mak.  Kalau makngah tanyakan aku, tapi untuk siapa?  Anak dia ada tiga orang.  Semuanya lelaki dan belum berkahwin.  Tapi aku syak bukan yang bongsu sebab yang bongsu tu dah bertunang.  Lagi pun aku dengan si Rizal tu kawan baik masa kecik kut.  Sebab dia sebaya dengan aku dan sekelas pula tu.  Persoalannya antara dua.  Abang Aziz atau abang Aris. 
            “Semua ni, nek long yang buka cerita.  Tok yah dengan nenek dah setuju.  Adik-adik mak pun semua dah setuju.  Mak, lagi mak suka.  Bukan orang lain.  Lagi pun kita kenal latar-belakang dia.” 
            Aku masih lagi tidak memberikan jawapan.  Sebaliknya aku menantikan apa yang mak nak katakan.
            “Lagi pun mak ngah kamu yang beria-ia.  Macam mana?”
            “Mak pulak?”
            “Mak tak kisah.  Mak pun suka.  Semua setuju dengan jodoh ni.  Cuma tunggu kamu aje.” 
            Aku terdiam.  Terus terkunci mulut aku nak berkata-kata.  Aku memandang pada mak sekilas.  Memang dah lama mak nak sangat aku berkahwin.  Aku pun dari dulu memang tak ada buah hati.  Macam mana mak tak risaukan jodoh aku.  Bila pandang muka mak, aku rasa kasihan pula.  Bila mengenangkan kata-kata mak dan restu semua orang, aku mula tekad.
            “Ikutlah, kalau mak rasa baik saya terima aje.”  Boleh pula aku jawab macam tu.  Mak apa lagi?  Bukan main senyum sampai telinga aku tengok.
            “Al-hamdulillah….  Nanti makngah kamu kata bulan empat dia datang merisik.”  Gulp!  Terus tertelan air liur aku.  Terus bergetar tubuh aku. 
            Terus terbayang peristiwa-peristiwa yang aku selalu kena buli dengan abang Aris.  Wa…. Tak dapat bayangkan yang aku kena kahwin dengan dia.  Peristiwa yang buat aku takut dengan dia masa kecil dulu adalah kenakalan dia membaling mercun katak pada aku.  Dia baling mercun tu sambil dia gelak besar.  Mahu aku tak melompat kalau dia baling mercun tu kat aku.  Sampai menangislah aku dibuatnya.
            Selain itu juga, aku pernah kena buli dengan dia kalau main polis sentry atau main galah panjang.  Asyik aku aje yang kena.  Tahulah dia kuat lari sebab tinggi dan aku ni langkah pendek sebab rendang.  Semua tu buatkan aku nak sangat jadi anak keladi dalam semua permaianan yang dia main.  Bila aku kata nak jadi anak keladi, bukan main lagi dia gelak nak terguling.  Habis kalau kahwin kena buli lagi macam mana? 
            Peristiwa itu aku tak cerita pun pada teman pejabat.  Yalah, nanti macam-macam pula dia orang tanya.  Apa yang bestnya, Kak Hasnah bukan main lagi test market kat orang lain.  Suruh berkenalan dengan budak teknikallah, budak posmenlah, tapi aku senyum aje.  Tak dapat aku bayangkan macam mana kalau dia orang tahu dah ada orang yang nak merisik aku
01 April 2001
            Aku masih ingat, tarikh itulah makngah datang merisik aku.  Masa tu abang Aris tak ada.  Dia akan datang kemudian, selepas majlis selesai.  Masa tu, penuh jugalah rumah mak.  Saudara mara aku dengan saudara mara dia bukan orang lain pun.  Masing-masing semua saudara.  Kalau raya pun muka yang sama datang rumah.  Nak kata tak berkembang, aku yakin itu bukan landasan untuk aku tidak boleh perolehi kebahagiaan.  Ianya ada pro dan kontra.
            Sebaik selesai majlis menyarung cincin merisik, saat semua saudara mara sebelah abang Aris balik maka jantung aku ni dah tak henti bergedang.  Ha, itu dia.  Bukan main lagi dia datang dengan bapa saudara dia yang aku panggil pak uda.  Bila dia masuk ke rumah, mak suruh aku hidangkan makanan untuk dia.  Semua badan aku dah keras kejung.  Aku menggeleng. 
            “Kau nak malu apa?  Bukannya kau tak biasa dengan dia.” 
            Yalah… memang dah biasa.  Sekarang ni nak jadi luar biasa.  Macam mana aku tak seram satu badan.  Akhirnya apabila dia desak dengan mak, aku akur juga hidangkan makanan pada dia.  Itupun aku letak dulang, tak pandang dia dan terus pergi.  Langsung aku tak ajak dia makan.  Bukan aku marah, tapi aku segan! Dia pulak?  Tengok pun macam malu-malu.  Nasib baik ada pak uda.  Kalau tidak, sah dia makan nasi tak ikut mulut. 
            DUA hari berikutnya, aku pergi kerja macam biasa.  Tapi aku yakin, pasti orang akan tanya pasal cincin kat jari manis aku ni.  Yalah, aku ni jenis yang jarang pakai barang kemas.  Masa raya atau kenduri kahwin aje aku pakai semua tu.  Aku dah agak, Kak Hasnah nampak jari aku ada emas. 
            “Amboi, cantik cincin.” 
            Aku terkedu.  Aku tak tahu nak cakap apa.  Aku senyum aje.
            “Mana dapat cincin ni?”  Dia bertanya.
            “Er… er…”  Sindrom gagap terus menyusup dalam badan aku.  Aduh!  Nak cakap macam mana ni? 
            “Nor, kau sini kejap.” 
            Ah, bala.  Dengan Kak Nor memang aku tak boleh nak tipu.  Sebab dia ni mahir dalam bab emas.  Sah, lepas ni gerenti meja aku penuh dengan orang. Tidak lama kemudian, betul apa yang aku katakan tadi.  Meja aku penuh dengan rakan sepejabat aku.  Bukan sebab aku jual baju atau tudung, sebab nak tengok cincin kat jari aku.
            “Eh, Shimah.  Mana dapat cincin ni?  kau beli ke ada orang bagi?”  Tanya Kak Nor yang sibuk membelek cincin di jari aku.  Nak atau tidak, aku kena beritahu.  Esok lusa dia orang pasti akan tahu.
            “Er… orang bagi.”  Aku jawab perlahan dan takut. 
            Aku tengok Kak Hasnah bukan main terkejut lagi. 
            “Ada orang masuk meminang ke Shimah?” 
            Aku senggeh. 
            “Siapa Shimah? Cakaplah.  Kali ini Kak Nor pula yang beria-ia.  Aku menggarukan kepala.  Susah nak jawab soalan tu.  Yalah, dia orang tu bukan main lagi melagakan aku dengan orang lain, tiba-tiba aje aku dah ada orang merisik.  Mahu mereka tu tak terkejut.
            “Bukan orang lain, kak.  Saudara juga.  Mak dengan mak sepupu.” 
            “Kau biar betul.”
            “Kak, saya jalan guna kaki lagi kak.  Ala, mak dah suka.  Semua pun suka.  Jadi, saya terimalah.” 
            “Wah… tahniah.  Dalam diam, kau jalan dulu.  Bila nak bertunang?”  Kak Chen bertanya.
            “Raya ketiga nanti.”
            “Eh, tak lambat sangat ke?” 
            “Nak buat macam mana?  Lagi pun saya kat sini.  Dia kat KL.”
            “KL?”  Semua terkejut.  Pulak dah, kenapa semua muka pucat aje? 
            “Jadi nanti kau kena pindah KL lah nanti.” 
            “Nak buat macam mana Kak Hasnah.  Dah kalau itu jodoh saya.” 
            Tak lama kemudian, meja yang penuh tadi mulai kosong.  Seorang demi seorang meninggalkan meja aku dengan ucapan tahniah dari mereka.  Sebenarnya aku pun takut juga.  Aku kenal dengan abang Aris tu sebagai seorang saudara, juga dikenali dengan dua pupu aku.  Aku pun tak tahu macam manalah dia boleh nak masuk meminang aku. 
            Semenjak aku dirisik, aku tidak pernah pun menghubungi abang Aris.  Begitu juga dia.  Semuanya sebab aku malu dan takut.  Aku kan perempuan.  Istilah timba mencari pergi masih menebal dalam hidup aku.  Lebih kurang satu bulan juga aku tidak berjumpa dan menghubungi dia.  Sehinggalah pada satu hari aku dikehendaki menghadiri kursus di Kuala Lumpur.  Masa itu, nak minta tolong dengan dia memang aku segan.  Akhirnya, aku minta tolong mak aku telefon makngah aku. 
            Mula-mula aku bercakap dengan makngah yang bakal menjadi mak mertua aku.  Tidak lama kemudian, dia serahkan telefon kepada abang Aris.  Dadaku macam dah kena pukul gong sebesar alam.  Tangan aku dah sejuk beku.  Nak cakap macam mana ya?  Ah, bantai ajelah.  Aku cuba bersikap seperti biasa dan mohon untuk dia survey Kolej Latihan Telekom. 
            “Tak apa, nanti saya cari.”  Itulah ayat yang terakhir aku dengar dari dia. 
            Semasa aku pergi ke Kuala Lumpur dia mengambil dan menghantar aku ke Kolej Latihan Telekom.  Masa tu, takutnya ya amat sangat.  Yalah, aku bukannya biasa sangat dengan KL ni.  Untuk pengetahuan juga, KL adalah bandaraya yang paling malas aku nak jejak.  Hurm…. Nampaknya lepas ni aku kena biasakan dengan bandar metropolitan ini. 
            Nak tahu pertama kali kami keluar?  Ya, ke KLCC.  Bukan buat apa pun, berborak sambil tengok air pancut.  Masa tu, aku sedang menunggu waktu makngah balik dari tempat kerja untuk bertandang ke rumahnya.  Sampai sahaja aku di rumahnya, aku gembira dengan layanan dari bakal mertuaku dan mereka pun dah anggap aku ni macam anak dia.         
“Dulu, masa adik kau lahir arwah ayah kamu ada luahkan yang dia dapat anak perempuan lagi.”  Bakal mertua aku bercerita.  Hurm… Yalah, adik-beradik aku ketiga-tiganya perempuan.  Memang hajat nak dapat anak lelaki tidak kesampaian. 
            “Pakngah ada jawab, tak apalah Mat.  Nanti dah besar aku jaga anak kau seorang.”  Ya, kata-kata itulah aku ingat sampai sekarang.  Masa itu aku senyum aje.  Tak berani nak cakap lebih-lebih sebab aku pun belum sah jadi isteri abang Aris.  Walau macam mana pun, aku terus sahaja berdoa apa yang dirancangkan ini berjalan dengan lancar.
            Cukup masa, aku bertunang dengan abang Aris.  Masa itu pada hari raya ketiga.  Masa itu, rasa terseksa sebab masing-masing main sorok-sorok barang hantaran.  Bila saudara mara dia datang, kita orang yang sedang membuat hantaran berterabur lari masuk bilik.  Sama juga dengan saudara mara aku.  Mereka sengaja datang waktu malam beraya semata-mata nak tengok hantaran pihak lelaki.  Hai, nak gelak pun ada. 
            Tempoh pertunangan bukannya seindah yang disangka.  Memang benar kata orang, bertunang ini banyak dugaannya.  Termasuklah aku.  Sudahlah kami ni berjauhan, malah jarang sekali berhubung.  Kalau telefon atau SMS memang boleh dikira dengan jari.  Masa itulah, anasir-ansir yang cuba membuatkan aku goyang.  Tapi, aku teruskan juga hadapi semua itu dengan doa yang tidak lepas dihati.
            “Shimah, betul ke tunang kau tu nak kahwin dengan kau.  Akak tengok kau dengan dia macam tak ada apa-apa.  Jangan-jangan dia nak mainkan kau tak?”
            BAM!  Rasa macam kena pukul jantung aku ni.  Bagaikan luruh menyembah bumi.  Aku rasa nak menangis tapi aku cuba menahan.  Jangan kata tak berderai air mata, tapi aku menangis masa orang tak nampak.  Hati aku sentiasa berdoa. ‘Ya Allah, kalau benar ini adalah jodoh aku, kau tetapkanlah iman aku.  Kau berkatilah dan kau berikanlah kekuatan untuk aku tempuhi dugaan ini.’
            Bukan itu sahaja dugaan yang aku kena tempuh, malah ada lagi. Dugaan itu datang bertalu-talu.  Semasa di dalam alam pertunangan, masa itulah ramai sangat yang nak berkenalan.  Walhal selalu sahaja bercakap dan berbual.  Untuk pengetahuan, aku banyak berurusan dengan pejabat pos melalui telefon untuk pesanan Telegram.  Pada ketika ini, aku rasa macam nak pengsan bila salah seorang kerani pejabat pos ajak aku berdating
            Masa tu nak marah ada, segan ada takut pun ada.  Bukannya aku kenal dia sehari dua.  Malah dah setahun kut.  Kenapa sebelum ini tak nak berkenalan?  Kenapa mesti selepas aku bertunang?! 
            “Shimah, jom kita keluar minggu ni nak?”  Aku masih ingat lagi dia mengajak aku keluar.  Masa tu, bulat mata aku bila dia berani ajak aku keluar. 
            “Tak naklah awak.  Kita dah tunang.  Nanti tunang kita marah.”  Aku cuba cari alasan.
            “Okey, kalau macam tu raya nanti saya datang rumah awak.  Bolehlah saya berkenalan dengan family awak.” 
            “Eh, raya tunang saya datang rumah.  Dia bukan orang lain.  Saudara saya juga.”  Aku cari alasan lagi.
            Aku dengar dia ketawa. 
            “Ala, tunang aje.  Belum kahwin lagi pun.  Lainlah awak tu isteri dia.” 
            Okey!  Ini memang tidak kelakar.  Terus kaku badan aku kat situ.  Aku menelan air liur yang aku rasakan begitu besar tersekat di anak tekak aku.  Why now!
            Mulai saat itu, kalau aku nak telefon satu pejabat pos ni aku minta bantuan orang lain.  Aku takut kalau dia yang angkat telefon mesti dia nak ‘ayat’ aku.  Aku tak nak.  Nak ajak keluarlah, nak ajak jumpa dengan mak ayah dialah.  Puas juga aku kata tak nak, tapi tetap nak pujuk aku. 
            Satu demi satu dugaan mendatang.  Saat bersetuju untuk berkahwin pada bulan Februari 2002, aku terpaksa tangguh kerana nenek dengan tok ayah pula nak pergi ke Mekah.  Aku sabarkan diri sambil orang kiri kanan tidak percaya dengan jodoh aku.  Kemudian, nak anjak ke bulan Mei 2002 tetapi ditangguh lagi.  Ah, betapa rasa macam nak mengalah aje.  Masa tu sebab sepupu aku kahwin.  Nak atau tidak, kena aku bagi laluan pada dia.
            Namun begitu, setelah hampir setahun aku bertunang aku terima mimpi yang pernah aku alami.  Kali ini masjid sudah pun siap di bina.  Dua penjaga itu masih ada di situ dan kali ini wajah mereka tersenyum.  Aku pula kini benar-benar dihadapan pintu masjid, tapi aku lihat ianya berkunci.  Kali ini aku mengelilingi masjid untuk mencari kunci.  Tetapi hampa.  Aku hanya memandang masjid itu dengan begitu kagum dan hati aku melonjak untuk masuk ke dalam.
            Bukan mimpi itu sahaja yang aku alami.  Tetapi, ada lagi mimpi yang menjadikan aku mengiakan kata-kata orang tua.  Aku bermimpi aku dibelit ular di kaki.  Aku cuba menghalau, tetapi ular itu tetap tidak berganjak.  Menangis sakan aku masa tu.  Takut bukan main.  Siapa yang takut ular tu memang aku tabik spring kat dia.
            Dugaan demi dugaan aku tempuh dengan hati yang bercampur baur.  Memang menguji kesabaran aku.  Setiap kali aku diuji, setiap kali itulah aku berdoa.  Namun jauh di sudut hati aku, keyakinan jodoh aku amat tinggi.  Ini disebabkan dengan restu orang tua.  Aku tahu, bercinta selepas nikah ada manisnya. 
            Bila ada orang ragu-ragu dengan hubungan aku dengan abang Aris, ada masa aku menjadi goyah.  Bila aku bertanya dengan abang Aris, dia kata ‘dah tunang, nak buat macam mana.’  Wah,  masa tu aku rasa memang nak menangis.  Sudahlah aku dengan dia memang jarang berbual.  Tapi, aku cekalkan juga hati aku.  Ya, macam mana kita nak cari kebahagiaan kalau kita tak berusaha untuknya.  Akhirnya, aku telan juga apa yang telah terjadi.  Aku tahu, Allah itu ada bersama-sama dengan aku.  DIA tahu apa yang terbaik untuk aku.
            Penghujung tahun 2002, kedua-dua pihak dah sepakat yang kami akan bernikah pada bulan Mei 2003.  Perasaan masa tu, teruja bercampur dengan takut.  Aku terus membuat persiapan dan kebanyakkannya aku mencari barang-barang perkahwinan bersendiri.  Maklumlah, aku di Melaka, sedangkan abang Aris di Kuala Lumpur.  Memang payah nak cari barang bersama.
            Seminggu sebelum pernikahan, aku sering kali termenung.  Bukan apa, aku takut sebenarnya.  Lagi pun kami bakal melangsungkan perkahwinan atas dasar keluarga.  Selalu sahaja hati aku bertanya. Adakah dia benar-benar sedia menjadikan aku suri hidup dia dan ada benar dia sayangkan aku.  Peristiwa yang telah diterjadi 12 tahun sering kali buat aku teringat sehingga kini.
            Peristiwa itu terjadi semasa perkahwinan ibu saudara aku.  Maklumlah, masa anak dara dulu aku suka mengenakan inai kalau tiba masa kenduri kahwin.  Masa itu abang Aris ada tegur aku.  Masa tu aku memang anti dengan dia. Ada ke patut dia kata: “Kecik-kecik dah gatal nak pakai inai.  Tak malu.  Siapa agaknya nak kahwin dengan dia.”  Wah, masa tu memang aku rasa marah sangat.  Aku pandang kecik besar aje.  Aku tak tahu apa masalah dia dengan aku.  Lagi pun aku pakai inai bukan kat tangan.
            “Yang kau sakit hati tu kenapa?  Kaki aku, kan.  Bukan kaki kau.”  Aku selamba menjawab.  Aku jeling tak puas hati sampaikan abang dia masuk campur.
            Sekarang, aku pula akan mengenakan inai khas buatnya.  Macam tidak percaya saja.  Sehari sebelum hari pernikahan, aku bermimpi lagi.  Kali ini aku bermimpi yang aku sudah pun terima kunci untuk aku masuk ke dalam masjid itu.  Penjaga yang berada di kiri kanan masjid tersenyum sahaja pada aku.  Aku membalas senyuman mereka dan aku memerhatikan kunci yang berada di tangan. 

            Antara percaya atau tidak, aku merasakan mimpi itu ada kaitan dengan jodoh aku.  Walau pun masa kecil dia selalu nak buli aku sampai aku menangis, suka nak kacau aku, tapi aku yakin dengan jodoh Allah.  Mungkin ada hikmahnya apa yang terjadi semasa aku kecil.  Suka sangat nak membuli orang, kan.  Sekarang sudah jadi isteri. Hai, nak gelak pun ada juga.  Siapa sangka kan, jodoh itu adalah sesuatu yang kita sendiri tidak tahu.    Pejam pelik tanggal 31 Mei ini genap sudah 14 tahun kami bernikah.  Sesungguhnya, doa aku cuma satu, agar jodoh ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.  Amin….

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page