Cerpen: Sedetik Cinta Lebaran

Teratak pena | 1:35 PM |

Sedetik Cinta Lebaran

Anas memandang ke segenap penjuru bilik mesyuarat. Setiap seorang dipandang untuk mendapatkan jawapan dan pendapat. Segala perancangan telah pun dibentangkan di hadapan semua pekerja. 
            “Baiklah, kalau tak ada apa-apa kita proceed apa yang dah kita bincangkan tadi. Tapi, kalau ada sesiapa yang nak tambah boleh beritahu dengan saya sebelum next Monday.” Pesan Anas.
            Semua memandang sesama sendiri.
            “Rasanya tak ada penambahan lagi, Encik Anas.”
            “Baiklah, kalau tak ada apa-apa mesyuarat ni kita habis di sini.  Baiklah, masing-masing boleh sambung kerja.” 
            Semua yang berada di dalam bilik itu meninggalkannya seorang demi seorang.  Akhirnya yang tinggal cuma Anas dan Balqis sahaja. Balqis merapatkan diri kepada Anas dan memaut lembut leher Anas.  Anas menepis dengan lembut dan kedengaran keluhan dari Anas kerana dia tidak selesa dengan tindakan Balqis itu.
            “Anas…. Jom kita makan.  Kita bincangkan hal kita.”  Anas memandang kepada Balqis. Dahinya mempamerkan kerut seribu.
            “Bincangkan pasal apa?”
            “Pasal kita.  Bila you nak masuk meminang I?” Sekali lagi Anas mengeluh.  Bosan dia dengan pertanyaan Balqis itu.  Macam dah tak ada topik lain yang dikatakan.
            “Boleh tak kalau you sabar? I banyak kerja yang nak diselesaikan. Lagi satu, I pelik kenapa dengan you.  Kenapa you beria-ia sangat nak tengok presentation I?”  Balqis senyum meleret.  Senyuman Balqis itu sedikit pun tidak mengentarkan hati lelaki Anas.
            “You ni take serious sangatlah Anas.  I nak tolong you dapatkan tender tu. I akan tambah mana yang perlu nanti.  I yakin yang you akan dapat tender tu.”
            “I tak nak dapat tender tu disebabkan youPlease Balqis, biar I buat kerja I sendiri dan jangan kacau I.
            “Okey, fine. I tak akan kacau you. Tapi Anas, papa dah banyak kali tanya I. Bila yang you nak meminang I.”  Segera pandangan Anas terus kepada Balqis.  Hish! Minah ni memang tak faham bahasa melayu agaknya. 
            “You faham tak I kata sabar.”
            “You! Papa dah bagi kata putus.  Kalau you tak masuk meminang I  hari raya ni, papa nak jodohkan I dengan orang lain.”
            “So?”
            Wajah Balqis berubah masam.  Sakit hatinya dengan kata-kata Anas tadi.  Hati Balqis kian panas bila melihatkan wajah Anas yang tenang itu.  Dia sendiri tidak tahu akan perjalanan cintanya dengan Anas.  Dia sayangkan Anas.  Dia cintakan Anas.  Namun Anas?  Bagaikan main tarik tali dan nampak sangat ketidak sungguhan Anas dalam hubungan mereka.
            “You sayangkan I ke tidak?”
            “Kalau you sayangkan I, you boleh tunggu I kan?” Keras sahaja nada Anas di situ.  Rimas pula dia dengan desakan Balqis yang tidak sudah.
            “Anas, I ni perempuan tau.  I ni tunggu pinangan orang.  Bila-bila masa sahaja orang akan masuk pinang IYou nak putih mata?”
            “Kalau macam tu you terima sahajalah.”
            “You saja kan nak sakitkan hati I.  Dahlah, malas nak layan you  ni.  Jomlah makan.” Anas mengeluh perlahan dengan renggekan Balqis itu.  Dia menggarukan kepala yang tidak gatal.  Boleh jadi gila kalau dia layan minah ni.  Malas nak bersoal jawab, Anas mula melangkah untuk keluar dari bilik mesyuarat itu.  Namun belum sempat dia dengan Balqis keluar, langkah mereka terhenti apabila terpandangkan Adam abang sulung Anas masuk ke dalam bilik mesyuarat itu.
            “Along, apa yang along buat sini?”  Anas ternyata terkejut dengan kehadiran Adam di pejabatnya apatah lagi dengan Sofea yang berusia enam bulan itu.
            “Sorrylah Anas kalau along kacau kamu.  Along nak minta tolong dengan kamu jagakan Sofea untuk along. Along nak keluar dengan kak long kamu.”
            “Kak long pun pergi sama?”  Adam mengangguk. 
            “Jadi Anaslah yang kena jaga ni?  Manalah Anas tahu, along.” Aduh! Satu bala lagi.  Bala tadi tak selesai lagi, sampai pula bala yang lain.  Pening…. Pening….
            “Along tahu, Anas boleh jaga Sofea.  Along percayakan Anas.” Tubuh Sofea mula bertukar tangan.  Sebaik sahaja di dalam dakapan Anas, suara Sofea mula memetir. 
            “Along, budak ni menangis.”  Berubah wajah Anas ketika itu.  Kelam-kabut dia melihatkan Sofea yang sudah tidak berhenti menangis.
            “Please Anas. Along kena gerak dulu.  Semua keperluan ada dalam beg ni.  Along pergi dulu.  Walau apa pun, jaga dia tau.”
            “Along…”  Belum sempat Anas berkata lagi, Adam lebih pantas meninggalkannya.  Tangisan Sofea kian lantang.  Hish!  Nak buat macam mana ni?
            “Balqis, tadi you kata yang you nak kahwin dengan I kan?  Apa kata you ambik budak ni, you pujuk dia.  Anggap aje latihan dari I.”  Bulat mata Diana melihatkan wajah Anas yang beria-ia itu.
            “What? I tak nak.  Kalau I  kahwin sekali pun I tak nak ada anak.  Buat semak ajelah ada anak ni.  You suruhlah staff you jaga.”
            “You ni ada-ada aje lah.”  Akur dengan rancangan Balqis itu Anas kemudiannya singgah di meja Farah, setiausahanya.
            “Farah, boleh tolong jagakan anak buah saya tak?” Terkebil-kebil Farah memandang kepada Anas.  Hai bos aku ni agak-agaklah pun nak bagi.  Aku bukannya mak orang pun. Mana tahu nak menjaga budak kecil ni.
            “Tapi saya tak pandai nak jaga budak ni bos. Lagi pun saya ni anak tunggal.  Bos bagi kat Hanis, budak akaun.  Dia biasa jaga budak sebab adik-adik beradik dia ramai.”  Ujar Farah yang masih lagi terpinga-pinga.
            “Okey, Hanis budak akaun ya.” Anas berlalu meninggalkan Farah.  Sampai sahaja di bahagian akaun dia cuba melihat kelibat Hanis.  Dia bukannya kenal sangat dengan Hanis.  Pekerjanya bukan seorang.  Ramai kut kalau dia nak kenal.  Kalau tengok muka mungkin dia kenal. Tapi kalau nak ingat nama memang tak.
            “Encik Anas nak cari siapa?” Faizal yang kebetulan lalu bertanya.
            “Hanis mana?” Faizal menundingkan jari kepada satu sudut. Hanis yang menangkap suara kecil milik Sofea menjengahkan muka.
            “Awak Hanis?” Hanis mengangguk.
            “Awak boleh boleh tolong saya tak?”
            “Tolong apa Encik Anas?”
            “Awak biasa tak dengan budak?”  Hanis mengangguk lagi.
            “Tolong jagakan anak buah saya.  Saya nak pergi makan sekejap.”
            “Tapi Encik Anas, kerja saya macam mana?”
            “Saya pergi sekejap je.  Lepas makan saya datang ambil balik.  Keperluan Sofea dalam ni.” Tubuh Sofea dicapai.  Dengan perlahan Hanis menepuk lembut belakang Sofea sambil memujuk.
            “Tapi….”
            “Thanks Hanis.  Saya pergi tak lama.”  Terus sahaja Anas meninggalkan Hanis.
            “Amboi, macam tak menyempat.” Sempat juga Hanis berbicara dengan Sofea yang kian reda tangisannya.
            “Kita minun susu dulu ye sayang.” Pujuk Hanis sambil mencium pipi Sofea. 
            Suasana di dalam restoran itu agak bising dengan kehadiran orang ramai yang menikmati hidangan.  Walaupun Anas sudah biasa dengan suasana itu namun tidak bagi Balqis.  Terbantut dia untuk berbincang tentang perhubungan mereka.
            “Anas, please! Bagi tau dengan I, bila yang you nak masuk meminang I?”  Arghhh!!! Rasa macam nak campak je steak yang berada dihadapannya.  Anas mengeluh keras.  Berserabut fikirannya dengan soalan yang sama dari Balqis itu.
            Anas tidak menjawab soalan itu sebaliknya dia meneruskan hidangan tengaharinya.  Entah mengapa hatinya panas tiba-tiba dengan soalan Balqis tadi.  Daripada dia berbalah dengan Balqis, ada baiknya dia diam tidak menjawab.
            “Anas, you dengar tak ni?”  Anas mendongakkan kepala. Namun belum sempat Anas membuka mulut, telefon milik Anas berbunyi. 
            Tubuh Anas kaku saat dia menerima panggilan itu.  Suara Balqis hanya sayup kedengaran.  Serta-merta hatinya dilanda debaran yang amat sangat. Dadanya bagaikan mahu pecah.  Telefon yang dipegang hampir terlepas dari genggamannya.
            “Balqis, I kena balik dulu. Urgent!” 
            “Kita tak habis lagi, Anas!”
            “So sorry, I have to go.” Anas bangkit meninggalkan Balqis di dalam keadaan terpinga-pinga.
            HANIS memandang jam dinding di dalam pejabat.  Kemudian pandangannya bersilih kepada Sofea yang sedang tidur lena.  Dia mengeluh perlahan.
            “Manalah bapa saudara awak ni Sofea.  Ini bukan sekejap.  Dah nak satu hari dia tinggalkan.”  Hanis menyambung semula kerja-kerja yang tertangguh walau pun hatinya dilanda rasa gelisah yang amat sangat. 
            Jam sudah menunjukkan ke angka 6 petang.  Namun kelibat Anas masih belum kelihatan.  Meja Farah acapkali disinggah untuk bertanyakan tentang Anas.  Namun hampa.  Setiap kali dia menghubungi Anas, telefon bimbit telah dimatikan.  Takkan dia nak buangkan anak buah kat sini pulak?  Hish!  Mengarutlah.
            “Hanis, awak tak balik lagi ke?” Tersentak Hanis apabila dia disergah oleh Faizal.
            “Macam mana aku nak balik kalau budak ni tak dituntut oleh tuannya.”  Pandangan Faizal beralih kepada Sofea. 
            “La… Encik Anas tak balik lagi?”
            Hanis menggeleng.
            “Kau dah call dia?”
            “Dah, tapi tak dapat.  Dia off kan telefon.” 
            “Pulak…. Habis macam mana ni?  aku dah nak balik ni.  Nak pergi terawikh.”  Hanis menepuk dahi.  Alamak!  Esok dah start puasa.  Macam mana ni?
            “Aduh!  Matilah aku.”
            “Kalau aku balik kau tinggal sorang pulak.”
            “Aku tak kisah.  Aku ada kunci.  Masalahnya budak ni.”  Faizal menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
            “Macam ni lah Hanis.  Kau bawa budak tu kita pergi rumah Encik Anas.”  Melebar senyuman Hanis.  Hai, macam mana dia boleh tak terfikirkan tentang itu.  Kalau dia tahu, dari tadi dia suruh Faizal menghantarnya ke rumah Anas.  Hanis tidak menunggu lama.  Dia kemudiannya mengemaskan meja dan barang keperluan Sofea.  Lantas dia mengelek Sofea dan meninggalkan pejabat itu.
            Faizal memberhentikan kereta di hadapan rumah banglo tiga tingkat milik Anas.  Namun rumah itu kosong tiada penghuni.  Gelap dan sebarang tanda Anas juga tiada di situ.  Keretanya juga tiada di dalam garaj.
            “Kau yakin ke ni rumah Encik Anas?” Tanya Hanis yang agak gelisah.  Kepalanya mula memikirkan yang buruk sahaja. 
            “Betul.  Aku selalu pergi rumah dia hantarkan dokumen.”
            “Tapi gelap aje rumah dia. Kereta dia pun tak ada.”
            “Dia tak balik lagi agaknya.  Dia cakap tak dia pergi mana?”
            “Dia cakap yang dia nak pergi makan sekejap.  Takkan dari tengahari sampai sekarang tak habis makan lagi?”
            “Pelik.”
            “Takkan dia kena culik kot?”
            “Hish!  Kamu ni Hanis.  Tak baik tau awak cakap macam tu.”
            “Masalahnya sekarang ni, si Farah pun tak tahu dia pergi mana.” Faizal diam.  Dia berfikir.  Takkan dia nak duduk diam di situ bersama-sama dengan Hanis untuk menunggu Anas?  O….. bahaya tu.  Berdua dengan Hanis, ada pulak yang kena ketuk cermin kereta nanti.
            “Macam ni, apa kata untuk malam ni kau bawak balik si Sofea ni dulu.” 
            “Hah?  Kau gila Faizal?  Nanti apa pulak kata housemate aku.  Silap hari bulan dia kata aku bawa lari anak orang.” 
            “Itu okey lagi.  Kalau aku yang bawa balik ada pulak bini aku parangkan aku.  Silap hari bulan dia kata anak ni anak aku dengan perempuan lain.”  Ya tak ya juga.  Hanis menggarukan kepala.
            “Kita tunggu sampai dia baliklah.”
            “Kau nak kita kena cekup Hanis?”  Pantas Hanis menggelengkan kepala.
            “Kau bawa balik Sofea ni.  Aku yakin yang Encik Anas tak kemana tu.  Mesti dia telefon kau nanti.” Hanis diam.  Mungkin ada benarnya kata-kata Faizal itu.
            “Hai, memang kerja gilalah.”
            Hanis akhirnya akur untuk membawa pulang Sofea ke rumah.  Puas jugalah Hanis bercerita tentang Sofea.  Nasib baik jugalah susu yang ditinggalkan masih bersisa.  Namun dia perlu mendapatkan keperluan Sofea.  Buatnya tengah malam semuanya  habis, tak ke haru dibuatnya.  Susu yang ditinggalkan cukup hanya sekali bancuhan sahaja.  Di dalam kepekatan malam Hanis membeli akan keperluan Sofea.  Puas juga dia membelek satu persatu susu yang berada di atas rak.  Akhirnya dia tawakal membeli susu kerana takut susu yang dibeli tidak sama dengan susu yang biasa digunakan oleh Sofea sekarang ini.
            Memang benar sangkaan Hanis apabila Sofea menangis tidak berhenti malam itu.  Puas juga Hanis memujuk namun Sofea merajuk panjang.  Betapa Hanis merasa serba-salah dengan rakan serumah.  Namun dia berterima kasih dengan Suraya dan Reisya yang turut membantunya.  Hati Hanis berdetik.  Mungkin Sofea merindui ibunya.  Kasihan pula dia melihatkan Sofea yang dari tadi tidak henti menangis.  Puas juga dia memujuk.
            “Kemanalah agaknya mama Sofea kan?  Yang Encik Anas ni pun satu,  takkan dia tak ingat anak buah dia?”  Bebel Hanis sorang-sorang.  Dia mengeluh perlahan.
            Setelah puas memujuk akhirnya Sofea tidur juga.  Mungkin sebab dia sudah lapar, susu yang diberikan oleh Hanis habis diminum.  Akhirnya dapat juga Hanis melelapkan matanya.  Itupun ketika jam sudah pun menginjak ke angka 2 pagi. 
            Hanis terjaga apabila telefonya berbunyi.  Segera dia mencapai telefon bimbit dan menjawab.
            “Assalamualaikum Hanis,” Dalam keadaan terpisat-pisat itu sempat juga Hanis memandang kepada skrin telefon.  Tertera nombor yang tidak dikenalinya.  Siapa ni?
            “Hanis, ini saya.  Anas.”  Terus bangkit saat Hanis mendengarkan nama itu.
            “La…. Encik Anas? Encik Anas tak ada apa-apa ke? Encik Anas pergi mana?  Risau tau saya.  Sofea  ni…. kesian dia.”  Bagaikan ada nada rajuk di situ.  Yelah, mahu dia tak merajuk.  Hilang tanpa berita. 
            “Maafkan saya, Hanis.  Saya betul-betul lupakan dia.  Masa saya tengah makan tadi, saya terima khabar tentang abang dan kakak ipar saya.  Mereka kemalangan, Hanis.” 
            Terkejut Hanis dia dengan cerita Anas itu.  Perasaan marah dan merajuk bertukar menjadi sedih dan kasihan.
            “Kedua-dua mereka meninggal dunia.  Saya sibuk uruskan jenazah mereka sampai saya lupakan Sofea.  Kalau jiran abang saya tak tanya tadi, mungkin sampai sekarang saya terlupakan dia.”
            “Maafkan saya, Encik Anas.  Takziah dari saya.”
            “Terima kasih, Hanis.  Kalau tak ada kamu tak tahulah saya.  Nasib baik awak balik Sofea.”
            “Itulah, tadi saya ke rumah Encik Anas tapi Encik Anas tak ada.  Jadi saya bawalah balik Sofea ni.”
            “Terima kasih sekali lagi, Hanis.” 
            “Sekarang ni saya dah tahu hal yang sebenarnya.  Legalah hati saya ni.  Risau tau bila call Encik Anas tak dapat tadi.”
            “Maaf sangat-sangat ye Hanis.  Sofea macam mana?”
            “Merajuk jugalah dia Encik Anas.  Mungkin susu yang saya beli tak kena dengan susu yang dia biasa minum. Lama juga saya pujuk dia. Tak kena gaya dia minum juga sebab dah lapar.  Sekarang ni dia tengah tidur.”
            “Macam ni lah Hanis.  Saya nak minta tolong dengan awak jagakan Sofea untuk sementara waktu.”
            “La… Habis kerja saya macam mana Encik Anas?”
            “Saya akan arrangekan orang lain buat kerja awak.  Saya kena selesaikan beberapa dokumen abang saya.  Esok, saya akan hantarkan keperluan Sofea.  Saya minta tolong sangat-sangat dengan awak, Hanis.”  Rayu Anas perlahan.  Sebenarnya jauh di sudut hati, Anas merasa amat bersalah.  Tak pasal Hanis menjadi mangsa menjaga Sofea.  Yelah, mana tahu ianya akan membebani Hanis.
            Lama juga Hanis berdiam diri.  Dia cuba untuk mempertimbangkan segala permintaan Anas.  Hai, nasib baik lah bos.  Nak tak nak kenalah juga menjaga budak kecik ni.
            “Yelah, Encik Anas.  Tapi jangan lama-lama.”
            “Habis urusan saya akan inform awak.”
            “Baiklah.”
            “Terima kasih, Hanis. Awak banyak dah tolong saya.  Bangunlah, dah pukul 4.30 dah ni.  Bangun sahur.” Terbuntang mata Hanis mendengarkan perkataan sahur itu.  Yelah, hari ini dah mula berpuasa.  Terus sahaja Hanis bangkit dan menuju ke dapur.  Hai, nasib baiklah ada orang kacau pagi-pagi ni.  Kalau tidak, dah sah-sah dia terlajak tidur.
            Pagi itu, seperti yang dijanjikan Anas datang ke rumah sewa milik Hanis.  Berpisahkan pintu pagar Anas melemparkan senyuman dari jauh.
            “La… Encik Anas, kata nak bawa barang keperluan Sofea.  Ini kosong je tangan tu.”
            Anas senyum.  Melihatkan muka pelik milik Hanis, dia ketawa kecil.  Comel pulak Hanis buat muka pelik macam tu.
            “Saya nak minta tolong awak temankan saya belikan keperluan Sofea.  Kat rumah abang saya tu banyak yang dah habis. Lagi pun saya mana tahu nak beli semua tu.” 
            Aduh!  Malasnya nak keluar, dengan bos pulak tu.  Dia ni kan, suka sangat nak bagi terkejut orang.  Nak tak nak terpaksa jugalah Hanis terima ajakan Anas.  Ini, kalau buah hati dia nampak sah-sah dia kena libas muay tai. Hish!  Cari nahas betullah kau Hanis.
            “Encik Anas tak ajak Cik Balqis ke?” Entah mengapa mulut Hanis gatal bertanya. Anas tersenyum kelat.
            “Takkan dia nak punya.  Cepatlah siap.”
            Hanis akur.  Dia masuk ke dalam rumah dan segera menukar baju.  Terasa kekok pula dia berjalan dengan Anas, majikan yang selama ini tidak pernah dia bertegur sapa.  Hanis memandang sekilas kepada Sofea.
            “Kesian Sofea.  Kecil lagi dia dah jadi anak yatim piatu.” Sekali lagi Anas tersenyum kelat.  Masih teringat saat dia mendapat berita tentang kemalangan yang meragut insan yang tersayang. Hanya Adamlah anggota keluarga yang ada dan tempat dia menumpang manja.
            “Macam saya juga.”  Hanis tersenyum memandang kepada Anas. 
            “Encik Anas dah besar panjang.  Sofea ni kecil lagi.  Dia perlukan kasih sayang seorang ayah dan ibu.” Anas diam.  Tidak dapat dia bayangkan bagaimana kehidupan Sofea selepas ini.
            “Buntu saya nak fikirkan hal ini, Hanis.”
            “Encik Anas, walau macam mana pun, Sofea sekarang sudah menjadi tanggungjawab Encik Anas.  Yang penting Encik Anas kena jaga dia.”
            Anas diam.  Dia memandang kepada Hanis, pekerja bawahan yang tidak begitu dikenalinya.  Namun dia kagum dengan Hanis yang begitu matang dan yakin.
            “Sampai bila saya boleh jagakan Sofea untuk Encik Anas.  Susah sangat Encik Anas kahwin je lah cepat-cepat dengan Cik Balqis.  Senang. Ada juga yang boleh menjaga Sofea ni.”
            Bila Hanis menyebut akan nama Balqis, wajah kekasihnya mula terbayang di ruang matanya.  Hai, macam manalah nak jaga Sofea kalau awal-awal dah beritahu tak nak ada anak!  Anas menyambut idea Hanis dengan sebuah senyuman yang dipaksa.  Entah mengapa, hatinya begitu tawar dengan Balqis sekarang ini.
            “Susah tu, Hanis.  Hai, entahlah.  Dia bukan suka sangat dengan budak ni.”
            “Mula-mula tu memanglah kekok Encik Anas.  Tapi percayalah, bila kita dah biasa nak berenggang dengan dia pun kita tak nak.”
            “Boleh caya ke?”
            “Tak percaya? Okey, saya jaga Sofea minggu sepanjang ni.  Minggu depan Encik Anas ambil Sofea dan jaga dia.  Nanti senang nak jaga anak sendiri.” Ujar Hanis.
            “Saya tak tahulah Hanis.”
            “Tak tahu belajar Encik Anas.  Tak apa, saya boleh tolong ajarkan.” Mata Anas melirik kepada Hanis.
            “Awak nak tidur rumah saya ke?” Terbuntang mata Hanis mendengar kata-kata itu.
            “Hei, Mana boleh!” Anas ketawa.  Gelihati dia apabila melihatkan perubahan wajah Hanis yang merona merah itu. Nampak sangat menahan malu.
            “Kalau macam tu biar saya je yang jaga.  Nak tak nak Encik Anas kena ambil dia minggu depan.  Kalau Encik Anas ada masalah, telefon je saya.”
            “Kena juga ke?”
            “Yelah, kalau tak siapa lagi yang nak jaga dia.  Saya yakin yang Encik Anas boleh buat. Encik Anas sajalah waris yang dia ada.”
            “Betul ni?”
            “Betul…. Percayalah cakap saya.  Silap hari bulan, Encik Anas nak pisah dengan dia pun tak nak. Sampaikan nanti kalau dia tak ada, Encik Anas yang akan tercari-cari dia pulak.  Lagi pun si Sofea ni cerdik tau.” Anas tersenyum.  Fikirannya jauh melayang.  Tidak dapat dia bayangkan bagaimana untuk dia menjaga si Sofea.
            SEMINGGU berlalu dengan cepatnya.  Seperti yang dijanjikan, Anas datang ke rumah Hanis untuk mengambil Sofea.  Sudah seminggu jugalah Hanis tidak menjejaki kaki ke pejabat.  Nampaknya bertimbunlah kerja yang menanti lepas ni.
            Malam itu, Anas buntu apabila Sofea tidak berhenti menangis.  Puas juga Anas memujuk namun satu pun tidak berhasil.  Jam sudah menunjukkan ke angka 1 pagi ketika itu.  Anas mengeluh perlahan.
            “Tidurlah Sofea.  Pak su mengantuk ni. Janganlah menangis.” Lemah sahaja kata-kata yang terbit dari bibir Anas.  Dia memandang kepada telefon bimbitnya.  Takkan nak ganggu Hanis tengah malam buta ni?
            Apabila tangisan Sofea masih belum reda, akhirnya Anas mula mengalah.  Telefon bimbit dicapai dan nombor Hanis mula didail.
            “Hanis…”
            “Encik Anas, ada masalah ke?  Itu bukan ke suara Sofea?”  Tanya Hanis apabila mendengaran suara Sofea yang nyaring itu.
            “Tolong saya, Hanis. Sofea tak nak berhenti menangis.”
            “Susu dah bagi?”
            “Dah, tapi dia campakkan botol.”
            “Encik Anas buat susu macam mana?”
            “Macam yang Hanis ajar.  Masukkan susu lepas tu masukkan air.”
            “Air panas dah masukkan ke?”
            “Nak kena letak juga ke?”
            Hanis menepuk dahi.  Aduh!  Bos aku ni.  Dia tak dengarlah tadi.  Orang suruh masukkan air panas sikit bukannya dia nak buat.
            “Mesti Encik Anas bagi dia susu sejuk.  Mestilah dia mengamuk.  Itu dah sah perut masuk angin.  Tak apa, macam ni Encik Anas. Encik Anas ambil minyak panas letakkan sikit kat perut dengan betis dia.  Berikan dia susu yang baru, jangan panas sangat dan jangan sejuk sangat. Biar suam-suam aje.  In Sha Allah…. Okeylah dia tu.” 
            “Betul ni?”  Anas bagaikan tidak percaya. 
            “Selawat banyak-banyak, Encik Anas.  Saya yakin yang dia mesti nyeyak tidur.  Ada apa-apa lagi tak?” 
            “Buat setakat ni, tak ada apa-apa.  Nanti kalau ada, saya telefon awak balik.” Anas kemudiannya meletakkan telefon bimbit setelah dia memberi salam.
            Lama juga Anas memujuk Sofea untuk tidur.  Namun setelah dia meletakkan minyak dan membuat susu seperti diajar oleh Hanis terus sahaja anak kecil itu tidur.  Setelah Sofea nyeyak tidur, Anas bangkit untuk bersahur.  Alang-alang berjaga malas pula dia untuk tidur semula.  Apabila dia selesai bersahur jam sudah menunjukkan ke angka 3 pagi.  Sambil membelek wajah anak kecil itu, Anas tersenyum sendiri.  Alahai, comelnya anak buah aku ni.  Dalam erti kata dia melayan Sofea yang sedang tidur, dengan dia juga  sudah terlelap. 
            Anas terkejut apabila telefon bimbitnya berbunyi.  Dia segera mencapai telefon bimbit dengan segera untuk tidak mengejutkan Sofea.  Melihatkan Sofea yang lena di atas lengannya membuatkan Anas tersenyum sendiri.  Terbutang mata Anas apabila melihatkan jam sudah menunjukkan ke angka 6.30 pagi dan sebanyak 10 missed call tertera di skrin telefon bimbitnya.  Hanis!  Sah dia kejutkan aku tadi. 
            Anas meletakkan kepala Sofea dengan perlahan.  Dia bangkit dan menunaikan solat subuh.  Nasib baik juga dia sudah sahur tadi.  Selesai sahaja menunaikan solat subuh, dia mencapai telefon bimbit dicapai dan nama Hanis dipilih. 
            ‘Terima kasih kerana mengejutkan saya solat subuh.’ Butang send dihantar dan senyuman Anas mula terukir.  Dia memerhatikan Sofea yang masih lagi lena.  Entah mengapa hatinya mula tersentuh saat memandang wajah milik Sofea.  Dalam usia yang begitu muda dan baru mengenali dunia, dia sudah kehilangan kasih sayang ibu dan ayah.  Anas mengusap lembut pipi Sofea.
            “Pak su janji sayang, pak su akan menjadi ayah yang terbaik buat Sofea.  Tapi….” Entah mengapa tiba-tiba wajah Balqis pula yang singgah di ruang matanya.  Anas mengeluh perlahan.  Kata-kata Balqis yang tidak mahu anak mula menyesakkan perasaannya. Ah, masalah betul!
            ANAS masuk ke pejabat setelah tiga hari bercuti.  Dia melangkah kemas ke dalam bilik bersama-sama dengan Sofea.  Dia masih belum kelapangan untuk mencari pengasuh bagi Sofea dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk bawa bersama ke pejabat.  Sibuk menjaga Sofea, sampai terlupa untuk dia mencari pengasuh.  Kalau ada pun mesti tak nak. Kena pulak bulan puasa begini. 
            “Encik Anas,”  Langkah Anas terhenti bila namanya dipanggil.
            “Farah, kenapa?”
            “Cik Balqis cari Encik Anas berkali-kali.  Marah betul dia bila Encik Anas tak call dia balik.”  Arghhh!!! Balqis.  Kenapalah nama itu disebut pula.
            “Dia ada cakap apa-apa tak?”
            “Tak ada pulak.  Tapi…. Kalau nak diikutkan hari-hari dia singgah sini bertanyakan tentang Encik Anas. Sekejap lagi sampailah tu.”  Adu Farah sambil bermain dengan pipi Sofea yang bulat itu.  E…. geram!
            “Anas!”  Tersentak Anas dan Farah apabila mereka disergah.  Erm…. Panjang pulak umur perempuan ni.
            “Balqis,”
            “Susah betul I nak jumpa dengan nak jumpa dengan you sekarang ni.”
            “So?” Malas Anas nak melayan Balqis yang bagaikan datang tidak diundang.  Sudahlah masuk ke pejabat orang, lepas tu boleh pulak sesuka hati sergah orang.  Macamlah pejabat ni dia yang punya.
            “Ini anak buah you kan?  Apa dia buat kat sini?”
            “Ini anak buah I tak ada kena mengena dengan you.”
            “Kan I dah kata yang I tak nak you jaga budak ni.” 
            “Look here, Balqis.  Sofea adalah tanggungjawab I.”
            “Habis I ni apa?”
            “You tak ada kena mengena pun dengan I.” Keras sahaja nada yang lontarkan oleh Anas.
            “I sebenarnya malas nak gaduh dengan youI nak you temankan belikan barang untuk raya nanti.”  Hah?  Kali ini pandangan Anas tajam memandang kepada balqis.  Farah awal lagi telah meninggalkan bilik itu.  Malas dia nak tonton drama swasta di dalam bilik Anas.
            “I baru je masuk kerja, Balqis. I ada banyak kerja yang nak kena buat.” 
            “Please…. Temankan.  Lagi pun …. You  banyak hutang dengan I. Kita dah lama tak keluar sama.”
            “Kan I dah kata yang I banyak kerja yang nak kena buat.  You pergilah seorang.  Habis Sofea ni nak campak mana?”    Balqis mula mencebik.  Sofea! Sofea! Sofea! Geram sungguh Balqis bila Anas lebih mementingkan Sofea daripada dirinya. 
            “You mintaklah staff  you jaga sekejap.” Staff?
            Anas senyap.
            “Jomlah Anas.”
            “Boleh, dengan satu syarat.”
            “Apa dia?”
            “Sofea akan ikut.  I akan bawa Hanis sekali untuk jaga Sofea.” Berubah wajah Balqis mendengarkan cadangan Ana situ. 
            “Kalau tak nak, you boleh pergi sendiri.” Kali ini Balqis mati dengan kata.  Ah, janji dapat keluar dengan Anas pun dah cukup baik.  Akhirnya Balqis setuju dengan cadangan Anas untuk membawa Sofea dan juga Hanis. Walau pun dia setuju namun wajah Balqis kelat semacam.  Tambahan lagi bila Anas menelefon Hanis untuk diajak keluar bersama.  Sakit hatinya tidak boleh dicerita. 
            Hati Balqis bertambah sakit bila Anas banyak memberikan perhatian kepada Sofea berbanding dengan dirinya.  Dia merasakan yang dia tidak wujud di situ.  Hanis yang menyedari perubahan wajah Balqis turut merasa serba salah.  Bukan dia mengharap sangat untuk mengekor Anas.  Kalau bukan sebab Sofea, baik dia duduk pejabat buat kerja sendiri.  Boslah ni.  Sesuka hati aje nak ajak kita sekali.  Takut juga Hanis dengan wajah Balqis yang masam mencuka.
            “Balqis, I nak cari baju Sofea.  Boleh temankan I pilihkan tak?” Terus Balqis berpaling. 
            “What?  Kenapa I pulak?”
            “Ala…. Tolonglah.”
            “I tak nak. You sajalah yang cari.” Balqis meletakkan beg kertas di atas meja.  Merah padam dia bila disuruh menemani Anas untuk mencari baju Sofea.
            “Tadi I dah temankan you.  Sekarag ni you temankanlah I pulak.” Balqis memeluk tubuh tanda tidak puas hati.
            “I penat.” Bentak Balqis dengan nada yang tinggi.
            “Okey, kalau macan tu you rehat dulu.  Hanis, jom temankan saya cari baju Sofea.” Hanis tersentak.  Ha?  Aduh, dia ni memang nak kena makan jeling Cik Balqis agaknya. Hanis sempat memandang kepada Balqis yang sudah pun menjeling tidak rasa puas hati.
            “Tapi….”
            “Awak tak dengar ke yang Anas ajak awak tu.  Pergi jelah.”  Hanis bangkit di dalam keadaan serba-salah.  Hish!  Susah betullah jadi orang tengah ni.  Selalu sahaja terkena.
            Lama juga Anas dan Hanis mencari baju untuk Sofea.  Hati Hanis bagaikan tidak tenteram.  Bersama-sama dengan Anas hatinya tidak pernah untuk lepas dari debaran yang amat sangat.  Walau pun majikannya bertindak dengan tenang namun gelora hatinya sebaliknya.  Hai, hati… tenteramlah kau. 
            “Kalau Encik Anas nak Sofea pakai baju kurung, seeloknya Encik Anas belikan yang kain cotton.  Sejuk sikit.”  Cadang Hanis apabila melihatkan Anas yang dari tadi tidak henti membelek.  Anas mengangguk sambil matanya tidak lepas dari melihat baju kurung yang comel.
            “Alang-alang kita keluar ni, saya belikan untuk awak sepasang.” Hanis terkedu. Nafasnya bagaikan terhenti. Ah, apakah yang aku dengar ni?  tak mimpi kan?
            “Eh, tak payahlah Encik Anas.  Sepatutnya Encik Anas beli baju Sofea, bukan saya.  Saya ni bila-bila masa pun boleh beli.  Nanti kalau Encik Anas beli, hai perang dunia ketigalah jawabnya Encik Anas dengan Cik Balqis.”  Anas ketawa.
            “Ala… anggap je saya belikan sebab upah jagakan Sofea untuk saya.” 
            “Saya jaga dia ikhlas, Encik Anas.”
            “Dan saya juga ikhlas nak belanja awak ni.  Saya pilihkan baju untuk awak ye, ke awak nak pilih sendiri?”
            “Tapi…”
            “No! awak kena terima.  Tidak boleh tidak.” Hanis mengeluh.  Aduh, matilah aku macam ni.  Kalaulah minah tu tahu yang Anas belikan baju untuknya mahu kena kerate ala komando silap hari bulan.
            Hanis akur sahaja bila Anas mengajak pulang.  Sampai sahaja di tempat Balqis, hati Hanis mula tidak keruan.  Tambahan lagi dengan wajah masam milik Balqis yang merah dek menahan marah.
            “You ni pergi beli baju ke atau mereban ke tempat lain?” Pandangan tidak puas hati dilontarkan oleh Anas kepada Balqis.
            “Hai, tadi you juga yang tak nak ikut I kan?  Sekarang ni yang you nak marah-marah dah kenapa?” Kali ini Hanis melihat pula wajah Anas yang sudah masam mencuka.  Kasihan pula Hanis kepada Anas ketika itu.  Sudahlah baru kehilangan orang yang tersayang, kemudian terpaksa memikul tanggungjawab baru dan kekasih hati pula buat hal.  Hanis menggelengkan kepala apabila melihatkan Balqis yang tidak berhenti membebel.
            “Encik Anas, saya minta maaf.”  Anas memandang kepada Hanis sekilas. 
            “Tak ada apa yang perlu awak minta maaf.  Awak tak salah, Hanis.” Hanis tunduk.  Dia merasa amat bersalah sekali apabila Anas dan Balqis bermasam muka. 
            Anas menurunkan Hanis di rumah sewanya.  Wajah Balqis masih lagi masam.  Tambahan lagi bila dipaksa memangku Sofea.  Jelingan Balqis kian tajam bila melihatkan beg kertas di tangan Hanis.  Kembang kuncup Balqis menahan marah.  Kemudiannya Anas memecutkan kereta untuk menghantar pulang Balqis.  Nasib baiklah Sofea terlena ketika itu.  Kalau tidak, bertambah masamlah minah sebelah ni.
            “Anas, raya ni I nak you jumpa family I.”  Keras sahaja nada Balqis berkata-kata.
            “I tahu, Balqis.”
            “Tapi, I nak sangat you datang seorang.” Pantas Anas berpaling kepada Balqis.
            “Apa salah Sofea?”
            “I minta tolong kali ni je.” Anas mengeluh.  Bibirnya terus terkunci tiada bersuara.
            FIKIRAN Anas jauh melayang.  Dia tidak tahu apakah yang perlu dikatakan kepada Hanis.  Bagaikan sudah banyak dia menyusahkan gadis itu.  Susah untuk dia menyusun ayat menceritakan apa yang terpendam di dalam hatinya.  Masakan Hanis nak bawa pulang Sofea ke kampung? Anas buntu memikirkan permintaan Balqis itu.  Hatinya mula berbelah bagi.  Masa cuma ada tiga hari sahaja Hari Raya bakal menjelma.  Namun dia masih belum memberitahu apa-apa kepada Hanis. 
            “Masuk,”  Arah Anas apabila mendengarkan pintu biliknya diketuk. Sofea masih di dalam baby court sambil diperhatikan oleh Anas.  Melihatkan Hanis yang melangkah masuk ke dalam biliknya, senyuman Anas kemudiannya melebar.
            “Ye Encik Anas?  Apa apa yan boleh saya bantu?”
            Anas senyum lagi.  Yes!  Inilah masanya.  Dia perlu beritahu apa yang ingin dia sampaikan.
            “Nak minta jaga Sofealah ni.”  Serkap Hanis.  Melihatkan wajah Anas, dia sudah tahu apa yang ingin disampaikan oleh majikannya itu. 
            “Awak ni macam tahu aje Hanis.” 
            “Boleh… bak sini Sofea tu.” 
            “Tapi bukan sekarang.” Hanis mengerutkan dahi.
            “Raya nanti.”  Bulat mata Hanis mendengarnya.  Betul ke tidak bos aku ni?  Aduh!  Matilah macam ni. 
            “Tapi Encik Anas, raya ni saya balik kampung. Takkan saya nak bawa dia sekali naik bas? Lagi pun….”
            “Saya minta tolong kali ni aje.” Dah banyak kali aje ni.  Lepas ni buat lagi.  Hanis menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
            “Encik Anas ni, apa pulak kata mak saya nanti?”
            Anas mengeluh.
            “Sebenarnya saya serba salah dengan awak.  Balqis ajak datang rumah dia raya nanti. Tapi dia tak nak saya bawa Sofea ni.”
            Hai….. bos….bos…. kesian pulak bila kena buli macam tu.
            “Encik Anas, Cik Balqis kena terima seadanya si Sofea ni.  Sofea tanggungjawab Encik Anas.  Dia tak boleh nak menolak semua tu.” 
            Anas diam dengan kata-kata Hanis itu.  Menyesal pula Hanis bila dia sudah terlepas cakap.  Mungkin Anas berfikir dia sudah melampaui batas sebagai seorang pekerja bawahan.
            “Maafkan saya, Encik Anas.  Saya tak bermaksud begitu.  Saya sayangkan Sofea.  Saya tak nak Sofea ni jadi macam bola ditendang sana, lepas tu sini.”
            “Kalau macam tu tak apalah Hanis.” 
            Suasana bilik itu sunyi seketika. Masing-masing tidak bersuara.
            “Habis tu macam mana dengan mak saya?”
            Terus berseri wajah Anas saat itu.  Wah, ada can ni.
            “Awak setuju nak jaga Sofea?”
            “Ye….tapi…”
            “Tentang mak awak tu janganlah risau.  Saya akan ceritakan segalanya.  Pasal balik kampung pun awak jangan risau.  Saya akan hantar awak balik kampung. Siap ambil lagi nanti. Terima kasih, Hanis.  Awak adalah peyelamat saya.”
            “Yelah…. Nak buat macam mana.  Kesian Sofea tu.”
            Seperti yang dijanjikan, keesokan hari Anas menghantar Hanis pulang ke kampung. Pemanduan ke Melaka itu memberikan debaran yang amat sangat kepada Anas dan Hanis.Takut juga Anas untuk berdepan dengan ibu Hanis. Tak dapat dibayangkan kalau ibu Hanis menunggunya di muka pintu sambil memegang parang.  Silap hari bulan dia dicop sebagai buntingkan anak orang.
            Sampai sahaja di kampung Hanis, Anas cuba menggumpul kekuatan untuk bercerita tentang apa yang telah berlaku.  Sempat juga Anas melirik kepada Hanis yang dari tadi senyum tak sudah.
            “Anas jangan bimbang.  Tinggal je Sofea kat sini. Ramai yang boleh tengokkan dia.  Hanis selalu cerita pasal Sofea.  Baru sekarang dapat jumpa.  Comel budak ni.” 
            Anas terkedu.
            “Makcik tahu?”
            “Dah lama tahu dah.  Hanis selalu cerita kat makcik.  Dekat sebulan dah Hanis ni kata yang ada masa dia menjaga Sofea ni.”
            “Legalah saya kalau makcik dah tahu.  Saya janji dengan makcik, kalau habis aje saya terus balik sini.” 
            Mak Leha senyum.
            “Yelah, pergilah Anas.  Pasal Sofea janganlah kamu risau.”
            Akhirnya Anas pulang ke Kuala Lumpur dengan hati yang tenang.  Gembira rasanya bila keluarga Hanis dapat menerima Sofea.
            Satu Syawal……
            Anas kacak mengenakan baju melayu cekak musang berwarna biru laut.  Rumah agam milik keluarga Balqis bagaikan sunyi walau pun ramai tetamu yang datang.  Entah mengapa rasa rindu kepada Sofea mula membuak.  Hai, kalau ada Sofea boleh juga dia bermain dengan budak kecik tu. Namun bukan wajah Sofea sahaja yang menari di ruang mata, namun wajah Hanis juga turut menjadi ingatannya. 
            “Anas!”
            Anas tersentak.
            “Balqis,”
            “You ni kan, dari tadi I tengok masam je.  You tak suka datang rumah I ke?”
            Anas menggeleng.
            “Thanks sebab tak bawak budak kecik tu hari ni.”
            Anas memandang kepada Balqis.  Geram pulak bila Balqis berkata begitu.  Hati Anas mula dilanda rasa sunyi yang amat sangat. Terbayang wajah Sofea di ruang matanya.  Dia rindukan senyuman milik Sofea.  Dia rindukan tangisan Sofea.
            “You ni kenapa? Dah, jom kita pergi jumpa papa dengan mama.  Mereka nak bincangkan pasal perkahwinan kita.”
            Anas tersentak.
            “You jangan main-main, Balqis.” Senyuman Balqis meleret.
            “Kalau I tak buat macam ni entah bila you nak datang pinang I.”  Panas hati Anas mendengarnya.
            “Kenapa you tak bincangkan dengan I dulu?”
            “Habis you tu asyik dengan anak buah you tu je.”
            “Hai, Dengan Sofea pun you nak cemburu juga ke? Rasanya dia tak ada kacau hidup you pun.”
            “Tak kacau kata you? Sebab dia hubungan kita renggang.  Sebab dia juga you tak pedulikan I lagi.”
            “You tahu tak Sofea tu dah tak ada sesiapa di dunia ni.  Hanya I saja yang menjadi penjaganya yang sah.  You kena terima semua tu.” Tegang suara Anas. Dia cuba untuk menahan marah, namun wajah selamba Balqis membuatkan hatinya geram. 
            “I nak kalau kita kahwin, I tak nak budak tu dalam hidup kita.”
            “Balqis!” Kali ini suara Anas memetir.  Dia sudah tidak tahan lagi.  Nafasnya turun naik menahan marah yang amat sangat.  Pandangan mata dari tetamu yang lain tidak dihiarukan.  Balqis terkejut bila dia disergah begitu. 
            “I sayangkan dia.  Hanya I saja yang dia ada.  Walau macam mana pun I tetap akan menjaga dia!”  Tegas Anas.
            “Sofea! Sofea! Sofea!  Sekarang ni you pilih.  I atau budak tu!?”
            “I tetap akan pilih dia.  SoYou nak buat apa?”
            Suasana sunyi seketika.
            “YesI dah agak.  You memang jantan tak guna, Anas. Kita putus!  I tak nak ada perhubungan dengan you.”
            “Kalau I memikul tanggungjawab you kata I ni jantan tak guna, lebih baik you jadi lelaki sebab hati you buta dengan perasaan seorang ibu!”
            “Anas!”
            “Terima kasih, Balqis.  I pun tak nak ada perhubungan you lagi.”
            “You keluar dari sini! I tak nak tengok muka you lagi!”  Jerit Balqis.
            “Dengan berbesar hati, Cik Balqis.”
            “And one more thing!” Langkah Anas terhenti. 
            “You jangan harap yang you akan dapat tender tu.”
            Anas berpaling.
            “Dan you bukan tuhan nak tetapkan rezeki orang.  Selamat tinggal, Balqis.” Anas melangkah kaki dengan pantas keluar dari rumah agam milik keluarga Balqis.  Entah mengapa, dadanya bagaikan lapang bila Balqis menamatkan perhubungan dengannya. 
            Anas menghidupkan enjin kereta dan berlalu dari situ.  Hatinya meronta untuk bertemu dengan Sofea.  Dia tidak menunggu lama untuk terus memandu ke Melaka.  Sepanjang perjalanan itu, fikirannya hanya kepada Sofea.  Kemudiannya kata-kata Hanis pada suatu ketika dulu terngiang di cuping telinga. 
            “Mula-mula tu memanglah kekok Encik Anas.  Tapi percayalah, bila kita dah biasa nak berenggang dengan dia pun kita tak nak.”  Ya!  Memang benar katamu Hanis!
            Anas tersenyum bila wajah Sofea mula bermain di ruang matanya.  Kemudian wajah anak kecil itu diganti dengan wajah manis milik Hanis.  Akhirnya senyuman Anas kian meleret.  Sampai sahaja di kampung Hanis, perasaan gembira tidak dapat digambarkan oleh Anas. Kini dia sedar, kedua-dua insan itulah yang kini bertahta di dalam hatinya. Hai, tidak sabar rasanya untuk dia bertemu dengan kedua-dua insan itu.
            “La…. Anas.  Masuklah.” Pelawa Mak Leha ramah.
            Anas membuka kasut dan masuk terus ke rumah itu.
            “Dah habis dah kerja kat kolumpo tu?”
            “Dah, makcik.  Semuanya dah selesai.  Habis semua saya terus ke sini.  Sofea dengan Hanis mana makcik?”  Tanya Anas sambil matanya meliar.
            “Hanis ada dalam bilik tidurkan Sofea.  Seronok betul Sofea tu berjalan raya, sampai letihlah dia.” 
            Anas ketawa.
            “Makcik,”
            “Ye Anas, kenapa?  Anas nak bawa balik Sofea ke?  Ala…. Biarlah dua tiga hari lagi dia kat sini. Makcik pun tak puas nak bermain dengan dia.” 
            “Bukan itu maksud saya, makcik.”
            “Habis tu dah kenapa?”
            “Kerja saya kat sini pula yang belum selesai.”
            “Kerja?  Kerja apa pulak ni?  jangan buat makcik takut boleh tak?  Hanis ada buat salah ke?”
            “Mungkin cara saya ni tak beradat makcik.  Saya ni tiada orang tua dan hidup sebatang kara.  Saya dah fikir masak-masak, makcik.”
            “Ada masalah besar ke Anas?”
            “Makcik, saya nak tambah satu lagi tugas untuk Hanis.”
            Mak Leha mengurut dada lega.  Hish!  Budak ni, buat terkejut orang aje.
            “La… makcik ingatkan apa tadi.”
            “Makcik tolong tanyakan untuk saya boleh tak?”
            “Kenapa pulak makcik?  Anas kan bos dia.  Apa kata Anas yang tanya.  Sekejap, makcik panggilkan dia.” 
            Anas menantikan dengan sabar dan penuh rasa debaran di hati.  Di dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar Hanis dapat menerimanya. Dia tidak mahu melepaskan seseorang yang istimewa di dalam hidupnya.  Dia yakin, hanya Hanis sahaja yang layak untuk menjadi peneman sepanjang hidupnya. 
            “Eh, Encik Anas dah sampai.”  Tegur Hanis tersenyum.  Anas memandang kepada Hanis tanpa lepas.  Anas turut menyambut senyuman Hanis itu.
            “Tanyalah Anas,”
            “Kenapa Encik Anas?”
            “Tak… sebenarnya nak berikan satu lagi tugas untuk awak.”
            “Tugas? Cari orang lain boleh tak Encik Anas?”
            “Tak boleh.  Hanya awak sahaja yang boleh pikul tugas tu.”
            “Kenapa pulak saya?”
            “Sebab Hanislah yang paling layak.”
            “Apalah kelayakan yang saya ada, Encik Anas.”
            “Kelayakan seorang ibu.  Sudi tak Hanis terima tugas seorang isteri? Hanis, kahwin dengan saya.”
            Hanis dan Mak Leha terkejut.  Hanis terus memandang kepada Anas.  Tidak percaya dengan apa yang dia dengar tadi.  Hanis menggeleng.
            “Encik Anas milik Cik Balqis.”
            “Awak silap, Hanis.  Saya bukan milik Balqis.  Saya tak pernah terima akad atas nama dia.  Kami dah putus.  Dia sendiri yang putuskan perhubungan kami. Izinkan saya lafazkan akad atas nama awak, Hanis.”
            “Maafkan saya Encik Anas.  Semua ni salah saya.  Kalau saya tak jaga Sofea….” Hanis tunduk dan hatinya dipaut dengan perasaan serba-salah yang amat sangat. 
            “Sudah, bukan salah awak.  Dia yang tidak boleh terima saya dan Sofea.  Dia sudah mengambil keputusan untuk berpisah. Tapi, saya tak nak berpisah dengan Sofea dan saya pun tak nak berpisah dengan awak.”
            Debaran hati Hanis kencang dan bergelora.  Dah macam nak gugur jantungnya bila Anas cuba untuk melamarnya.  Betul tidak bos aku ni?
            “Saya tak nak buat Sofea macam bola.  Kejap dengan awak, kejap dengan saya.  Kalau satu bumbung kan senang.” 
            “Tapi….”
            “Saya rasa mesti Sofea suka kalau awak jadi isteri saya, jadi mama dia.”  Anas senyum sambil mengenyitkan mata.
            “Saya…. Saya…..” Aduh!  Gagaplah pulak.  Hilang semua yang nak dikatakan bila Anas mengenyitkan mata.  Benci!
            “Dia seganlah tu, Anas.”
            “Makcik tak kisah ke kalau saya berkahwin dengan Hanis?”
            “Makcik tak kisah dia yang menjadi suami Hanis asalkan dia sayangkan anak makcik ni.  Dia diam tu tanda setujulah tu. Kita ada adat nak, datanglah masuk meminang.  Makcik yakin, Hanis pun sayangkan Sofea.  Dia terima Sofea ibarat dia terima Anas juga.”  Yes! Meleret senyuman Anas mendengarkan green light dari Mak Leha.   Hatinya melonjak gembira.  Hanis pula menghadiahkan jelingan kepada Mak Leha.  Mak ni pun satu.  Buat malu orang je. Hanis tertunduk malu.  Sah!  Lidahnya kelu nak berkata.  Nak pandang Anas saat itu pun dia tak berani. 
            “Lepas ni kena belajar panggil abang.”  Hanis menggeleng.
            “Tak nak tak apa.  Lepas kahwin abang paksa juga.  Tengoklah….”  Wa…. Segan wei! Anas senyum.  Melihatkan wajah Hanis yang merona merah  membuatkan dia tidak berhenti mengusik sehingga Hanis memanggilnya…
            “Abang!”
            “Kan manis….”  Senyum Anas.

            Anas tidak menyangka, kasih sayang Sofea telah menemukannya dengan kasih sayang yang lain.  Kasih sayang yang terikat dengan Sofea telah dijalinkan dengan kasih sayang kian bercambah.  Anas yakin dengan kasih sayang kepada Sofea dan Hanis akan melengkapkan hidupnya kini.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page