Novel: Cinta Kau Di Mana - Bab 2

Teratak pena | 8:39 PM |

BAB 2

            Ikhsan mencapai kemeja merah  yang sudah siap digosok dan kemudian dia mengenakan di tubuhnya.  Setelah dikancing semua butang, dia mencapai sikat dan mengemaskan rambutnya yang hitam dan ikal itu.  Semburan minyak wangi menerawang memenuhi ruang bilik yang serba mewah dan elegan itu.  Ikhsan kemudiannya menutup radio yang menemaninya dari tadi.  Sebelum keluar dari bilik sempat dia mencapai tali leher berwarna merah yang terletak di atas katil. 
            Keluar sahaja dari bilik dia segera menuju ke dapur dan membuka peti sejuk.  Dia mencapai fresh orange dan menuang ke dalam gelas.  Roti di atas meja dicapai dan dimasukkan ke dalam pembakar roti.  Dia kemudiannya membuka Ipad yang menjadi teman setia.  Segala e-mail yang diterima dijawab dengan sepantas yang boleh.  Mana e-mail yang tidak penting dibiarkan dan ditag untuk dijawab  kemudian.
            Setelah selesai bersarapan dia kemudiannya menguncikan rumah dan sedia untuk memanaskan enjin kereta.  Ikhsan, lebih gemar melakukan segala-galanya dengan sendiri. Semenjak kecil dia sudah berdikari.  Kini, setelah kehilangan kedua-dua orang tuanya Ikhsan mampu melakukannya sendirian walaupun dia adalah CEO kepada syarikat Gemilang Takluk.
            Kereta BMW 6 series milik Ikhsan kemudiannya keluar dari perkarangan rumah dan meluncur menuju ke pejabatnya yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.  Ikhsan segera memakirkan kereta dan bergegas keluar dari kereta setelah jam di tangan kanannya menunjukkan ke angka 9.30 pagi. 
            Masuk sahaja di dalam pejabat semua pekerja sudah berada di meja masing-masing.  Tiada salam dan senyuman dia kemudiannya masuk ke dalam bilik.  Desas-desus dari meja kakitangan tidak dihiraukan.  Note book di atas meja di on.  Segala  kertas cadangan disemak semula.  Tanpa menghiraukan apa-apa dia meneruskan kerja. 
            Kerjanya terhenti apabila pintu biliknya diketuk.  Kelihatan wajah Kak Chom, tukang cuci pejabat itu singgah di pejabat. 
            “Kak Chom, ingatkan siapa.” Sambut Ikhsan dengan senyuman.  Dia kemudianya bangkit dan melabuhkan punggung di sofa untuk memberi peluang kepada Kak Chom menjalankan tugasnya. 
            Kak Chom dengan pantas mengelap bersih meja milik Ihsan sambil tangan kirinya menyusun kertas dan fail yang berselerakan.  Sambil membersihkan meja sempat juga Kak Chom memandang kepada anak muda yang sudah dianggap seperti anak itu.  Sudah lama Kak Chom bekerja dengan syarikat itu.  Semenjak Iksan kecil lagi.  Ketika itu Ikhsan sudah pun kehilangan ibu.  Dengan Kak Chomlah ada masa tempat dia menumpang manja.
            “Kak Chom ingat dah lupa nak senyum tadi.”  Tegur Kak Chom menyindir tatkala melihatkan Ikhsan yang leka dengan Ipadnya. 
            “Perli saya nampaknya Kak Chom.  Bukan ke saya dah senyum dengan Kak Chom tadi.” Ujar Ikhsan tanpa memandang sedikit pun kepada Kak Chom. 
            “Yelah… dengan Kak Chom bolehlah nak senyum.  Tapi… kat luar tu, dah kempunan nak tengok Encik Ikhsan ni tersenyum tau.” 
            Ikhsan tersenyum dengan usikan Kak Chom itu.  Dengan segera dia meletakkan Ipad di atas meja.  Dia menggelengkan kepala.  Memang benar akan kata-kata Kak Chom itu.  Memang sudah tidak boleh diubah sikapnya yang terlalu tegas itu.  Baginya sekiranya dia terlalu baik hati sampai masa ada sahaja pekerjanya akan memijak kepala.  Kerana itu juga dia tidak mahu memasang setiausaha atau PA kerana dia tahu akan sikapnya sendiri.
            “Senyum lagi.  Kalaulah senyum tu sedekahkan sikit kat luar tu bukan ke elok Encik Ikhsan.” 
            “Tak naklah saya.  Nanti orang kata saya hilang ingatan pulak.  Tak pernah senyum nak senyum.  Kak Chom jelah senyumkan untuk saya buat bagi pihak.”   Sambut Ikhsan. 
            “Hish!  Ke situ pulak. Encik Ikhsan, senyum tu bukan ke satu sedekah.”  Kak Chom meneruskan kerja yang masih berbaki sedangkan Ikhsan hanya menjadi pemerhati.
            “Kak Chom masak apa hari ni?”  Pertanyaan itu membuatkan Kak Chom terhenti.  Kak Chom tersenyum dan menghampiri Ikhsan sambil membawa perkakas mencuci di tangan. 
            “Ini yang Kak Chom nak cakap.  Pagi ni Kak Chom ada buat nasi lemak lebih.  Kalau Encik Ihsan nak makan nanti boleh Kak Chom bawa masuk bilik.” 
            “Tengahari?”
            Kak Chom tersenyum lagi.  Saban hari memang dia memasak untuk Ikhsan memandangkan Ikhsan tidak gemar untuk makan di luar.  Namun hakikat yang sebenarnya dia tidak sempat untuk keluar kerana timbunan kerja yang terpaksa dia lakukan.  Akhirnya Kak Chom yang menjadi mangsa menyediakan makanan saban hari.  Seandainya Kak Chom cuti dia rela mengikat perut untuk keluar mencari makan.  Namun rakannya Shah Adam pula yang menjadi mangsa membeli makanan.
            “Kak Chom buat ikan keli masak lemak cili api dengan sayur bendi goreng je.”  Mendengarkan menu kegemarannya membuatkan dia menelan air liur.  Laparlah pulak.
            “Sedapnya Kak Chom.  Ini yang tak sabar nak makan.  Kalau Kak Chom masak memang tak ada siapa yang boleh lawan.” 
            “Pandailah Encik Ikhsan cakap.  Itulah…. Dah berbuih mulut Kak Chom ni cakap.  Kahwin, Encik Ikhsan.  Sekurang-kurangnya ada yang jaga makan dan minum.  Ini tidak, nak juga membujang.  Nanti kalau jadi bujang terlajak rugi tu Encik Ikhsan.”  Bebelan dari Kak Chom itu bagaikan nyayian di telinga  Ikhsan.  Bukan sekali dua dia mendengarkan kata-kata itu, malahan boleh setiap hari Kak Chom akan bercerita tentang perkara yang sama.  JODOH! Sudah menjadi seperti alergi pada dirinya.
            Nasib baik hanya Kak Chom yang rajin membebel tentang jodohnya.  Kalaulah ada orang tuanya pasti di rumah dia akan diterjah dengan cerita yang sama.  Jodoh?  Macam mana nak kahwin kalau ‘mambang’ pun tak ada. Kalau ada pun selalu sahaja dia menolak.  Sampaikan Shah Adam pening dengan sikapnya. Sampaikan Shah Adam menggelarkan dirinya sebagai ‘Mamat Mata Kayu Hati Batu’. Ah, lantaklah orang nak kata apa pun.  Yang pasti tak kacau hidup orang.
            “Kak Chom jelah kahwin dengan saya.”  Usik Ikhsan dalam tawa.
            “Dah mulalah tu nak buat lawak antarabangsa kat sini.  Layan Encik Ikhsan ni memang satu kerja tak jalan.”  Kak Chom pun mengambil barang-barang yang lain di sisi meja Ikhsan.  Ikhsan masih lagi tersenyum gelihati.
            “Nanti Kak Chom cari calon baru padan muka.”
            “Carilah kalau berani.”  Sahut Ikhsan dengan berani.
            Pintu bilik diketuk kuat.  Ikhsan dan Kak Chom sama-sama memandang kepada pintu bilik itu. 
            “Ha, itu mungkin calon isteri nak masuk.” 
            Belum sempat Ikhsan berkata apa, pintu biliknya dikuak.  Lantas wajah Shah Adam memecah pandangan Ikhsan dan Kak Chom.  Ikhsan menepuk dahi dan Kak Chom cuma tergelak kecil.
            “Kak Chom ni agak-agaklah nak lagakan saya dengan si jejaka perasan ni. E…. selisih.”
            “Sekurang-kurangnya jejaka perasan ni dah kahwin dan ada anak satu tau.”  Kak Chom mengangguk pantas.  Sengaja memberi panas hati Ikhsan. 
            “Encik Adam, dah macam tanah liat kak Chom cakap dengan Encik Ikhsan. Tak serap air langsung.  Kali ni Encik Adam sajalah yang bebelkan dia.”  Shah Adam tersenyum.  Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Kak Chom itu.  Ini mesti pasal jodoh.  Nampaknya sahabatnya itu perlukan bantuan hati.  Kalau berlarutan sudah pasti hidup sendirilah nampaknya.
            “Dia ni memang macam tu, Kak Chom.  Kalau orang dah mata kayu hati batu ni susah dah nak lentur.  Tak tahulah apa nak jadi dengan kawan saya ni Kak Chom.  Kalaulah dia kahwin Kak Chom, saya tak tahulah macam mana agaknya.”  Shah Adam menggelengkan kepala saat dia memandang kepada Ikhsan yang berlagak seperti tiada apa.
            “Kak Chom tahu yang Encik Ikhsan ni baik.  Beruntung siapa dapat kahwin dengan dia.  Kalaulah Kak Chom ada anak perempuan awal-awal Kak Chom dah booking Encik Ikhsan ni.”  Meledak tawa Shah Adam dan Ikhsan.
            “Amboi Kak Chom, cakap mengalahkan apa.  Siap nak booking lagi.”  Sampuk Ikhsan.
            “Dahlah, Kak Chom keluar dulu.  Nanti Kak Chom bawa masuk nasi lemak untuk Encik Ikhsan.” 
            “Ikhsan saja ke Kak Chom?  Saya punya ada tak?” Sengaja Shah Adam mengusik.  Sedangkan dia sudah pun bersarapan dengan isteri tercinta di rumah.  Memang itu rutin hariannya. Bagi Shah Adam menikmati hidangan bersama-sama adalah masa untuk mengeratkan lagi hubungan.
            “Nak juga?  Boleh, lagi pun Kak Chom bawa lebih tadi.  Nanti Kak Chom bawa.” 
            “Eh, tak payah. Saya gurau je.  Dah kenyang makan dengan isteri saya tadi.”  Sengaja Shah Adam meninggikan suara pada perkataan ‘isteri’ untuk melihatkan reaksi Ikhsan.  Namun Ikhsan bagaikan tiada apa perasaan. 
            “Erm… dia buat bodoh je.”  Ikhsan! Ikhsan! 
            “Okey, jumpa lagi.  Sekejap lagi Kak Chom datang balik bawah nasi lemak Encik Ikhsan.” Kak Chom lantas meninggalkan Ikhsan dan Shah Adam sambil tangannya penuh dengan perkakasan mencuci.
            Shah Adam membantu membukakan pintu untuk Kak Chom.  Kemudiannya dia menutup semula pintu dan duduk di kerusi tanpa kebenaran dari Ikhsan.  Ikhsan memeluk tubuh dan memandang kepada Shah Adam.  Shah Adam menyambut pandangan Ikhsan dengan senyuman sinis.
            “Yang kau tersenyum macam nak tercabut bibir tu dah kenapa?” Ikhsan melabuhkan punggung di hadapan Shah Adam sambil mengangkat kening.  Dia menantikan kata-kata Shah Adam yang memandangnya bagaikan mahu menelan.
            “Kau ni memang tak suka dengan perempuan ke?” Amboi, sesedap rasa dia dikatakan sebegitu.  Nampaknya kena makan kasut tengahari ni ni. 
            “Fitnah tu, Adam. Kau tak baik tau fitnah aku.  Kau fitnah aku bagaikan kau tikam jiwa aku ni.”  Shah Adam tersenyum lagi. 
            “Pukul berapa kau balik semalam?”  Tanya Shah Adan tegas. 
            “Pukul sebelas.  Kenapa?” 
            Shah Adam mengeluh perlahan.  Susah untuk dia berceritakan tentang sahabatnya itu.  Susah betul untuk dia melihat Ikhsan keluar malam.  Hujung minggu pula dia banyak menghabiskan masa di rumah.  Sudah puas dia ‘melagakan’ wanita untuk dijadikan teman, namun semuanya hampa.  Ikhsan lebih banyak menolak dari menerima.  Namun Shah Adam  masih belum mahu berputus asa.  Selagi dia ada, dia mahu melihat akan sahabatnya itu bahagia.  Bukan apa, Ikhsan sudah lama bersendirian.  Sampai masa untuk dia punya teman istimewa yang mungkin akan menjadi isteri.
            “Tidaklah, kalau ada setiausaha atau PA sekurang-kurangnya kurang sikit beban kau.  Ini tidak, pergi pagi balik malam.  Memang kau tak ada social life ke Ikhsan?  E… kau tak bosan ke hidup sendiri ni?” 
            Ikhsan terhenti menaip di papan kekunci milik note booknya.  Tajam pandangan Ikhsan dengan menerima kata-kata Shah Adam itu.  Nampak sangat dah lama tak makan kasut budak ni.  Kali ini Ikhsan pula yang tersenyum sinis. 
            “Kau macam tak kenal dengan aku.  Dah sepuluh tahun aku hidup sendiri tau.  Aku selesa macam ni.  Aku bebas untuk pulang pukul berapa, dan aku memang tak mahu komitmen yang boleh merosakkan kerjaya aku.  Kau tahu kan macam mana aku merangkak masa aku kehilangan papa.”
            Shah Adam memandang kepada Ikhsan.  Dia sedar, Ikhsan sudah kehilangan ibu semasa kecil. Dan sepuluh tahun yang lalu papanya pula yang meninggal dunia.  Semua itu memberikan tamparan hebat bagi Ikhsan.  Dia juga tidak menyalahkan Ikhsan sekiranya Ikhsan gemar bersendirian kerana sejak kecil lagi dia didedahkan dengan sikap berdikari.  Namun itu bukan halangan untuk melihat Ikhsan berpasangan.
            “Aku tahu,”
            “So?”
            “Tidaklah, sekurang-kurangnya kerja kau teratur.  Ini, nak makan tengahari dengan kau pun aku kena buat temujanji?  Aku dah iklankan kerja PA untuk kau.”  Tenang sahaja Shah Adam membuat pengakuan.
            “What?!” 
            “Jangan nak buat muka terkejut sangat.  Aku buat ni pun untuk kebaikan kau.  Biar kau boleh rehatkan badan.  Balik awal dan cari kawan.  Tak pun cari buah hati.  Mana tahu tersangkut boleh jadikan isteri.  Ini tidak, semua kerja kau nak buat.”
            Shah Adam melihatkan wajah Ikhsan yang sudah berubah itu.  Di dalam hatinya takut juga sekiranya Ikhsan tidak puas hati dengan tindakannya.  Buatnya Ikhsan campak dari dari bangunan 30 tingkat melayang nyawa dibuatnya.  Ikhsan memandang kepada Shah Adam dengan pandangan yang agak dalam.  Memang nak kena dia ni. 
            “Kau ingat syarikat ni kau yang punya ye.” Tegas sahaja suara Ikhsan.  Shah Adam tersenggeh.
            “Semua ni untuk kebaikan kau juga, Ikhsan.  Sekurang-kurangnya kerja kau taklah tanggung seorang.  Tak adalah kau nak balik sampai lewat malam.” Shah Adam cuba untuk mencucuk jarum pujukan.  Ikhsan masih lagi tidak puas hati. 
            Ikhsan mengaku yang dia tiada masa untuk keluar apa lagi bertemu janji.  Hidupnya adalah kerja dan syarikat.  Kalau hari cuti rumah sahajalah tempat dia melepak sambil menyiapkan kerja.  Shah Adam sudah banyak kali bising tentang kehidupannya.  Namun itu memang sudah menjadi rutin hariannya.
            “Aku nak kau tarik balik jawatan kosong tu dalam website.”
            “Dah kenapa pulak. Aku nak tolong kau ni.”  Shah Adam kecewa dengan tindakan Ikhsan itu.
            “Aku kata tarik balik buat sajalah.  Kalau kau nak tolong aku cari PA aku nak kau tarik balik jawatan tu.  Kalau tidak, kau saja yang bayar gaji dia.” 
            “Yelah!  Hish!  Susahlah kau ni.  Aku nak tolong kau pun kena marah.”  Ada nada merajuk dalam kata-kata Shah Adam itu.
            “Okey, kalau kau nak aku ambil PA kau kena dengar cakap aku.” Bersinar mata Shah Adam mendengarkan butir-butir kata Ikhsan. 
            “Apa dia?”
            “Aku nak kau umumkan jawatan tu dalam suratkhabar tempatan. Utusan Malaysia atau Berita Harian.  Lepas tu aku cuma nak yang berkelulusan SPM atau STPM sahaja. Yang lain biar aku yang fikirkan.”
            “Apa?  Kau ni nak cari PA ke atau nak cari cleaner?” Terkejut Shah Adam dengan permintaan  Ikhsan itu.  Kalau dulu bolehlah nak buat pengumunan dalam surat khabar.  Sekarang ni dah zaman IT kot.  Semuanya cepat dan pantas.  Shah Adam menggelengkan kepala tanda kurang setuju.
            “Kau buat je apa yang aku suruh.  Dan pastikan calon tu aku yang pilih.”  Terang Ikhsan tegas. 
            Shah Adam bangkit dengan sedikit kecewa.  Namun dia terpaksa menerima keputusan Ikhsan itu.  Mungkin ada sebab mengapa Ikhsan berbuat demikian.  Walau pun begitu ada sinar gembira di hati Shah Adam bila Ikhsan menerima pendapatnya untuk menerima seorang PA untuk membantu kerja-kerja Ikhsan.

            “Okey,  aku buat hari ni juga.”  Shah Adam berlalu menuju ke arah pinti bilik Ikhsan.  Dia memulas tombol pintu dan dia sedikit terkejut bila Kak Chom sudah terpacul di depan pintu bilik Ikhsan.  Kemudiannya berpaling kepada Ikhsan dan kemudiannya menggelengkan kepala.  Ikhsan… Ikhsan….

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page