Cerpen: Cinta Pandang Pertama

Teratak pena | 9:38 PM |



Cinta Pandang Pertama
JARI-JEMARI Zafran masih lagi menari di papan kekunci laptop saat pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Dia masih tidak mengendahkan, sebaliknya meneruskan kerja. Ketukan yang tadinya perlahan bertukar menjadi kuat. Dia mengeluh perlahan. Masa orang tengah  banyak kerja, ada saja yang datang ganggu. Tanpa memandang ke arah pintu, Zafran bersuara.
“Masuk!”
Hairi memulas tombol pintu bilik Zafran dan melangkah perlahan ke dalam bilik itu. Dia menggeleng apabila melihat Zafran sedikit pun tidak mempedulikannya.  Masih lagi dengan kerjanya. Tanpa ajakan dan pelawaan, Hairi kemudiannya melabuhkan punggung di hadapan Zafran. Matanya masih lagi melekat kepada Zafran.
“Zaf,”
Zafran langsung tidak mempedulikan Hairi. Dia masih lagi mengadap skin laptop sambil fikiranya cuba menyusun perkataan. Risau juga jika dia tertangguh kerja. Boleh lupa semua ayat yang sedang menari di fikiran.
“Orang lain pun gila kerja juga, tapi tak ada macam kau ni. Sudah-sudahlah tu.”
“Aku kena siapkan juga. Nanti kalau datuk mintak, tak adalah aku kelam-kabut.”
“Sampai kau ignore call daripada ibu kau?”
Kali ini kerja Zafran terhenti. Perlahan dia memandang kepada Hairi. Kemudian dia melirik kepada telefon pintarnya di sebelah. Telefon itu dicapai. Terbuntang matanya saat melihat 10 missed call daripada orang tuanya.
“Kau tahu tak yang ibu kau risaukan kau bila kau tak jawab call dia. Nasib baik dia ada nombor telefon aku. Kalau tidak, sah polis datang jumpa kau gara-gara ibu kau lapor kehilangan anak.” bebel Hairi.
Zafran mengeluh. Dia memicit dahinya. Aduh! Masalah ni.
“Aku tahu apa yang dia nak, Hairi.”
“Macam mana kau tahu sedangkan kau tak jawab panggilan dia? Kau ni keturunan bomoh siam ke? Semua kau boleh tahu. Baik kau telefon ibu kau sekarang. Mana tahu ada perkara penting yang dia nak beritahu dengan kau.”
“Nantilah aku telefon dia.” Zafran meletakkan telefon bimbit di sisi. Dia kemudiannya meneruskan kerja.
“Aku nak kau telefon ibu kau sekarang juga. Depan aku! Engkau, kalau kata nanti, memang taklah kau nak telefon dia.”
“Kan aku dah cakap yang aku call dia nanti.”
Hairi bertindak menarik laptop yang berada di hadapan Zafran. Riak wajah Zafran mula berubah. Dia tidak senang dengan tindakan Hairi itu. Ada yang makan bubur tengah hari ni. Panas hati Zafran apabila melihatkan Hairi yang sudah pun tersengih.
Wei, kau dah kenapa? Kacau aku?”
“Aku nak kau telefon ibu kau sekarang juga! Kalau tidak, aku delete semua kerja kau. Biar kau buat semula.” ugut Hairi.
Hairi perlu tegas dengan Zafran. Jika tidak, sampai ke sudah dia Zafran tidak menghubungi keluarganya. Bukan dia kenal Zafran sehari dua. Zafran memang gila kerja. Ada masa lupa segalanya. Dia tahu mengapa Zafran selalu sahaja mengelak daripada berbual dengan ibunya. Alasan yang selalu sahaja diberi adalah Zafran sudah jelak dengan pertanyaan ‘kahwin’ dan ‘jodoh’. Malah, Zafran akan pulang ke kampung hanya ketika di hari raya semata-mata mahu mengelak daripada bercerita tentang jodoh. Itu pun dia akan buat-buat sibuk agar soalan tentang jodoh tidak diungkit.
Apabila diugut sedemikian, akhirnya Zafran akur. Dia mencapai semula telefon bimbit dan segera menghubungi ibunya. Tidak lama kemudian, kedengaran suara insan yang amat dihormatinya.
“Zaf, puas ibu telefon tadi. Zaf pergi mana? Zaf okey ke?”
Terbit segaris senyuman di bibir Zafran. Itulah dia, ibu. Sentiasa risau akan anaknya.
“Zaf okeylah ibu. Ada apa ibu call Zaf? Zaf kan tengah kerja ni.”
“Ibu ada hal nak cakap dengan Zaf ni.”
“Kalau ibu nak cerita pasal jodoh, malam nantilah kita borak.”
“Tengok tu, belum apa-apa lagi dan nak mengalah. Memanglah ibu nak beritahu pasal jodoh. Ibu nak sangat kalau Zaf boleh balik kampung bulan tiga cuti sekolah nanti.”
Zafran mengeluh. Matanya dilirikan ke arah Hairi.
Bulat mata Hairi saat mendengarkan Zafran mengeluh. Hai, dengan ibu sendiri pun nak mengeluh. Rasa nak cepuk penumbuk sulung ke muka Zafran. Sepatutnya, anak yang telefon ibunya. Sekarang, ibu pula yang tercari-cari ke mana anaknya tidak mahu dihubungi.
"Zaf dah agak dah. Ibu, berapa kali Zaf kata yang Zaf tak sedia lagi nak kahwin. Buat semak tau kalau kahwin ni."
Zafran dapat merasakan tiada jawapan di hujung talian. Dia hanya mendengarkan suara tangisan milik ibunya. Zafran tersentak. Tiada niatnya untuk melukakan hati seorang ibu. Wajah Hairi dipandang sekali lagi. Jelas dia melihat Hairi menggeleng sambil membalas pandang.
"Ibu tak habis cakap lagi, Zaf. Ibu nak sangat Zaf balik sebab Dina nak nikah. Zaf kena walikan adik. Zaf lupa? Kalau arwah abah ada, ibu takkan minta tolong dengan Zaf." Suara Puan Rokiah jelas kedengaran bergetar menahan sedih.
Zafran terdiam. Hatinya mula diulit dengan perasaan bersalah yang amat sangat. Ah! Apakah yang telah aku lakukan?
"Zaf minta maaf, ibu."
"Ibu tahu yang Zaf tak nak kahwin. Takkan Zaf tak boleh balik demi adik? Ibu berharap sangat yang Zaf boleh balik untuk walikan adik nanti. Itu saja yang ibu harapkan."
"Ya, ibu. Zaf akan balik. Ibu janganlah risau." janji Zafran. Hatinya terus bergolak dengan perasaan bersalah yang amat sangat. Aduh! memang tidak boleh cerita perasaannya sekarang ini.
"Terima kasih, nak. Sebenarnya, itu sahaja yang ibu dan cakap. Ibu tahu yang anak ibu sibuk. Ibu minta maaf kalau ibu kacau anak ibu. Malam tadi ibu telefon pun Zaf
tak nak jawab. Sebab itu ibu telefon Zaf siang hari. Ibu telefon Hairi pun sebab terpaksa. Zaf balik, ya."
Dia terkena lagi. Kian kuat rasa bersalah terhadap ibunya.
"Ya... Zaf akan pastikan yang Zaf balik nanti untuk walikan Dina. Ibu jangan risau."
Talian diputuskan sebaik sahaja Zafran menyambut salam daripada ibunya. Hati Zafran diselubungi dengan pelbagai rasa. Walau pun perasaan gembira baru sahaja menyapa hatinya, namun perasaan bersalah terhadap ibunya masih belum surut lagi. Itulah dia, tidak mahu menunggu cerita yang sebenar, akhirnya malu sendiri. Wajah Hairi dipandang sekali lagi. Namun kali ini Zafran tersentak apabila Hairi tersenyum memandang kepadanya sambil menghulurkan tangan.
"Tahniah, Zaf. Kau bakal dapat adik ipar. Abang tak kahwin lagi, adik yang ‘jalan’ dulu." senyum Hairi.
Tangan yang bertaut akhirnya dilepaskan. Ternyata Zafran terkejut.
"Macam mana kau tahu?"
"Ibu kau yang beritahu. Itulah, tak nak sangat balik kampung, sampai adik sendiri kena pinang pun tak tahu."
Zafran mengeluh perlahan. Ternyata ada sedikit sesalan yang singgah di ruang hatinya.
"Takkan bertunang pun ibu aku tak nak beritahu?"
Meledak ketawa Hairi. Dia menggeleng.
"Itulah... Dah berapa kali aku kata. Bila ibu kau telefon, jawab. Jadi tak adalah berita macam ni kau tak tahu. Ibu kau kata hari bertunang dengan nikah akan buat hari yang sama."
Sekali lagi Zafran tersentak. Aduh! Kali ini dia benar-benar dapat rasakan yang dia adalah anak yang paling teruk.
"Sampai hati kau tak nak cakap dengan aku."
"Aku nak kau tahu dari mulut ibu kau sendiri. Engkau tu, sampai hati buat dia macam tu."

"Ya, aku tahu. Salah aku. Kau datang nanti, Hairi. Dah alang-alang ni. Aku jemput kau."
"Sorrylah, bro. Aku aku kena balik kampung. Tak apa, nanti kalau kau kahwin, aku akan ada dengan kau. Tapi, aku tak tahu bila kau tu nak kahwin." seloroh Hairi.
"Pergh! Kau cakap memang nak kena makan meja. Dah, tunggu apa lagi? Dah tak jumpa jalan keluar bilik ni?"
Hairi senyum sambil bangkit dari tempat duduknya. Pandangannya kepada Zafran penuh makna.
“Kau jangan nak senyum sangat, Hairi.”
“Aku doakan berkat jodoh adik kau lepas ni boleh berpindah dekat kau pulak. Amin…” usik Hairi. Dia ketawa sambil meninggalkan Zafran.
Zafran terpinga-pinga. Dia terkedu dan kelu. Majlis kahwin! Zafran mengeluh. Sudah tentu dia akan bertemu dengan sanak-saudara. Satu yang paling menyeramkan adalah apabila ada yang bertanya. ‘Bila nak kahwin?’ Argh! Scary!
WAKTU DINANTI TELAH TIBA
Zafran memakirkan kereta kira-kira tiga puluh meter dari rumah. Dari jauh kelihatan khemah sudah pun didirikan. Entah mengapa, hatinya pula yang berdebar. Hai, siapa pula yang nak kahwin ni? Orang lain yang kahwin kita pula yang terasa debarnya. Namun debarannya terus berdetak kencang apabila dia bakal menjadi wali kepada adiknya sendiri.
Zafran dapat melihat beberapa orang kampung sudah pun memenuhi ruang balai dengan kerja masing-masing. Ada yang melapah daging, ada yang mengupas bawang dan ada juga yang sibuk memasak di khemah hujung. Namun apa yang paling menarik, kanak-kanak yang berkejaran dengan penuh kegembiraan. Tiada riak masalah di sebalik wajah mereka. Di dalam diam, Zafran tersenyum.
“Ibu,”
Puan Rokiah berpaling. Senyumannya dari tadi masih lagi berbaki. Makin manis dan meleret. Zafran mendapatkan Puan Rokiah dan mengucup lembut tangan wanita itu.
Tubuhnya dirangkul. Puan Rokiah memeluk erat anak terunanya dengan perasaan penuh syukur.
“Balik juga anak ibu ni.”
“Mestilah Zaf balik, ibu.”
Puan Rokiah melepaskan pelukan dan dia tersenyum manis. Dia melepaskan pandangan kepada semua yang berada di dalam ruang dapur.
“Zaf jangan bimbang. Ibu dah pesan dengan saudara kita…”
“Tak apalah, ibu. Nanti pandai-pandailah Zaf nak cakap apa. Tak pun Zaf akan cuba pekak kan telinga.” Zafran cuba memujuk. Risau juga kalau ibunya itu terasa hati denganya sekali lagi.
“Ibu dah pesan dengan dia orang jangan tanya yang bukan-bukan.” senyum Puan Rokiah.
Zafran menyambut senyuman itu sambil mengangguk. Zafran memerhatikan seluruh ruang dapur yang ramai dengan sanak-saudara. Saudaranya yang lain sudah tersenyum kepadanya. Sempat juga dia mengangkat tangan. Namun pandangan matanya melekat kepada seorang gadis. Zafran cuba mengingatkan jika gadis itu ada kena-mengena dengan dirinya. Setahu dia, tiada pula sepupu-sepapat perempuan yang seusia dengannya. Takkan rakan sekampung. Kalau tidak, sudah tentu dia akan kenal. Gadis manis yang sedang leka dengan kerjanya langsung tidak memandang.
“Zaf rasa, baik Zaf masuk bilik salin baju. Lepas ni, bolehlah Zaf tolong apa yang patut.” izin Zafran.
“Yalah, nanti ibu suruh Aisyah bawakan air ke balai. Zaf boleh minum sana.” tutur Puan Rokiah. Matanya memandang kepada gadis yang dipandang oleh Zafran tadi.
Zafran sempat melirik ke arah gadis yang bernama Aisyah itu. Dak! Duk! Dak! Duk! Terus sahaja dia mendakapkan tangan di dada. Ah! Kenapa pula dia merasa berdebar dengan tiba-tiba ni? Jantungnya pula sudah pun bekerja dengan lebih masa.
“Baiklah, ibu. Zaf masuk dulu.” Zafran sudah tidak betah untuk lebih lama lagi di situ. Semakin lama dia di situ, semakin hatinya tidak tenteram. Baik! Dia kena masuk bilik. Zafran melangkah meninggalkan ruang dapur. Sebelum itu, sempat dia melirik sekali lagi kepada Aisyah. Zafran yakin, Aisyah bukanlah di kalangan saudara atau pun rakan-rakan sebaya. Hati Zafran mula berdetik. Siapakah Aisyah ini sebenarnya? Setiap langkah, dia hanya memikirkan Aisyah. Aisyah! Nama semanis orangnya. Dia cuba untuk mengingati jika dia kenal akan gadis itu. Ternyata lenggok gaya Aisyah membuatkan dia acap kali memandang kepada gadis itu. Kecil molek orangnya, lemah lembut dan mempunyai raut wajah yang manis. Ah!  Apa dah jadi ni?
Sebaik sahaja dia siap menyalin pakaian, Zafran terus berlalu menuju ke balai untuk membantu orang lelaki untuk melapah daging. Saat tiba di balai, kelihatan pak uda dan pak langnya sedang tersenyum memandang. Sempat juga dia bersalam dengan bapa saudaranya itu sebelum memulakan kerja.
“Amboi, Zaf. Bukan main lagi pak uda tengok kamu ni. Berseri-seri wajah tu.” Encik Nasir mula mengusik.
Serta-merta wajah Zafran berubah. Ingat boleh lepas daripada ibu saudara, tapi lain pula yang jadi. Baru dia tahu, orang lelaki pun sama pandai nak mem’bawang’.
“Betul tu, bang. Ingat si Zafran ni yang nak naik pelamin.” Kali ini pak langnya, Encik Zamani pula yang mengusik.
Aduh! Terasa bahang pula dirasakan. Serta-merta wajah Zafran berubah. Dirasakan bagaikan tertanggal jantung apabila dia diusik dengan pak uda dan pak langnya. Sebab itu dia malas nak balik kampung, Inilah dia. Dia malas nak bersoal jawab tentang jodoh.
“Lepas ni, kak long dapatlah menantu perempuan pulak. Rasa aura tu dah dekat sangat.” Encik Zamani mengusik lagi.
Ala… dia buat lagi!
“Pak lang ni, Zaf lambat lagi nak kahwin. Belum ada buah hati, macam mana nak kahwin?”
“Jodoh ni tak boleh nak cakap, Zaf. Kalau Allah dah bukakan hati untuk kita, sekelip mata pun boleh jadi. Tapi, kalau dah ada pilihan hati, jangan pula buat tak tahu. Kena masuk pinang cepat.” celah Encik Nasir pula.
Zafran terpaku dengan kata-kata Encik Nasir. Terus mencengkam jiwa dan raganya. Memang makan dalam.
“Kami ni, teringin nak makan nasi minyak kamu.”
“Pak lang, apa kata esok kita makan nasi minyak.” sengih Zafran.
Encik Zamani dan Encik Nasir ketawa serentak.
“Esok nasi minyak Wardina. Kami nak makan nasi minyak Zaf.”
“Pak lang dengan pak uda doa-doakan, ya.”
“Hai, kalau sudah perkara yang baik mestilah kami sentiasa doakan. Rasa macam dah tak lama lagi.” Kian galak Encik Zamani mengusik.
Semua yang mendengarkan perbualan itu menyambut kata-kata Encik Zamani dengan senyuman dan pandangan penuh bermakna. Merona pipi Zafran menahan malu yang amat sangat. Sehinggakan dia mati untuk berkata apa-apa. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk berdiam diri. Risau juga kalau dia banyak cakap, kian kencang dia diusik.
Zafran tersentak apabila melihat seorang gadis yang datang ke khemah itu. Ya, gadis yang sama dilihatnya ketika berada di dapur tadi. Aisyah, gadis misteri yang sering kali bermain di minda. Susun atur yang lemah lembut membuatkan Zafran leka memandang. Tanpa disedari, bibirnya terukir dengan senyuman. Senyuman itu dilemparkan kepada Aisyah.
Aisyah meletakkan dulang berisi kuih di atas meja.
“Jemput makan, semua.”
Aduh! Aduh! Aduh! Lembutnya suara dia. Terus bergetar jantung Zafran. Entah mengapa, tubuh Zafran pula yang membahang. Dia pula yang menahan malu. Sekarang ini, dia tidak boleh nak bayangkan perasaan sendiri. Tambahan pula Aisyah berada di hadapan. Ternyata, matanya nakal. Sibuk mahu memandang kepada Aisyah. Makin dipandang, jantungnya mula dipam laju. Rasa macam pelik pula perasaannya apabila bertentang mata dengan Aisyah.
“Letak saja, Aisyah. Kamu dah makan?” tanya Encik Nasir ramah.
“Dah, pak uda. Kat dapur tadi. Sekejap lagi, Aisyah bawakan air.”
Encik Nasir senyum. Kemudian, matanya memandang kepada Zafran. Senyuman Encik Nasir kian melebar apabila melihat Zafran ralit memandang kepada Aisyah.
“Aisyah, ini pak uda kenalkan. Ini Zafran. Abang si Wardina. Zafran ni, kalau tidak kena jadi wali jangan harap muka nak nampak kat kampung ni. Allergic sungguh dia dengan kami. Takut sangat kalau kami ni bertanyakan bila giliran dia nak naik pelamin.” seloroh Encik Nasir.
Aisyah tersenyum.
Zafran pula yang terasa dengan kata-kata itu. “Amboi pak uda, sakan nak kenakan Zaf.” Zafran mula rasa tidak puas hati. Kalau macam inilah, sudah tentu dia akan kalah. Mana aci. Siapa pula yang nak jadi tukang soraknya sekarang ini? Masalah betul.
“Memang betul, Aisyah. Kami ni tak putus doa yang dia akan kahwin juga nanti. Pening ibu dia tengok perangai anak teruna yang seorang ni sebab tak nak kahwin.”
Usikan demi usikan membuatkan Zafran mula rasa tidak senang.
“Awak jangan salah faham. Pak lang dengan pak uda saya ni memang suka menyakat.”
Aisyah senyum mendengarkan kata-kata Zafran. Dia tidak menyambut kata-kata Zafran, sebaliknya dia mengatur langkah meninggalkan balai itu. Dia turut malu dengan Zafran. Malah usikan yang diterima oleh Zafran, tempiasnya bagaikan terkena kepadanya.
Zafran hanya memerhatikan Aisyah berlalu dari itu. Alahai, rasa tidak puas hati pula dia dapat memandang kepada Aisyah yang seketika cuma. Tanpa disedari, senyumannya kembali bertandang. Hanya kerana dia memikirkan Aisyah.
Perilaku Zafran disedari oleh Encik Nasir dan Encik Zamani. Mereka tersenyum melihatkan gelagat Zafran. Apabila menyedari akan perilakunya diperhatikan, Zafran cepat-cepat menyambung kembali kerjanya tertangguh tadi. Ini semua Aisyah pasal. Kalau bukan sebab Aisyah tidak datang ke balai itu, sah dia tidak akan diusik. Malah, gelagatnya sudah pasti tidak diperhatikan oleh saudara-mara.
“Hai, bukan main lagi Zaf pandang anak dara orang.”
“Mana ada, pak lang.” tingkah Zafran.  Dia mula menggelabah.
“Jangan nak tipu pak lang, Tapi, cara kamu tengok dia tu macam ada makna.”
“Pak lang…”
Encik Zamani tersenyum. “Aisyah tu budak baik.”
“Pak lang ni, macam tahu aje.”
“Pak lang tahulah dia tu macam mana. Baik pekerti dia. Hormatkan orang tua. Lemah-lembut. Bak kata orang, sesuailah kalau nak jadikan dia isteri. Apa yang pak lang tahu, dia tu tak ada lagi yang empunya.”
“Mustahillah pak lang. Takkan orang macam tu tak ada yang nak?”
“Apa kata Zaf tanya dengan dia sendiri.”
Zafran terdiam. Perlahan dia memandang kepada Encik Zamani. Tertawan dengan kata-kata pak langnya, hati Zafran mula tertanya-tanya. Mustahil gadis seperti Aisyah masih belum ada teman lagi. Zafran dapat merasakan bagaimana hatinya melonjak untuk mengenali gadis itu.
Selesai sahaja membantu di balai, Zafran kemudiannya berlalu ke dapur untuk mencuci tangan. Sebaik sahaja selesai membasuh tangan, dia mula tercari-cari kain untuk dia mengelap tangan. Tanpa diduga, dia dapat merasakan ada tangan yang menghulurkan kain buatnya. Zafran berpaling. Sekali lagi dia bertemu dengan gadis itu.
Aisyah tersenyum memandang kepadanya.
“Terima kasih,”
“Abang nak minum? Kalau nak, Aisyah boleh tolong buatkan.”
Abang? Okey! Kali ini debaran Zafran terus bertaburan dan tidak tersusun lagunya. Lembut sahaja perkataan ‘abang’ menyentuh halwa telinganya. Hatinya terus menjadi cair.
“Eh, tak payah. Menyusahkan aje. Tak apa, kalau saya nak nanti saya ambil sendiri.”
“Tak susah pun. Kat atas meja tu ada banya kuih.  Abang pergilah duduk dulu. Nanti Aisyah bawakan air untuk abang.”
Bagaikan terpukau, Zafran hanya menurut. Kakinya diatur ke arah meja makan dan melabuhkan punggung dengan perlahan. Tudung saji yang berada di hadapannya kemudian dibuka. Bibir Zafran kemudiannya menguntum senyum saat melihat beraneka jenis kuih yang sudah sedia terhidang. Ada kuih koci, bingka dan karipap. Senyuman Zafran kian meleret apabila ada sepasang tangan meletakkan air nescafe panas di atas meja. Hai, macam tahu kita ni suka minum air nescafe. Bibir yang sedang mekar dengan senyuman kemudiannya dihadiahkan kepada Aisyah.
"Aisyah tak nak minum?"
"Tak apa, abang minum dulu. Aisyah nak tengok Dina kat bilik. Takut dia pengsan pulak kat dalam tu."
Zafran ketawa. Alahai... pandai pula nak bergurau tu.
"Jangankan Dina, saya ni pun rasa macam nak pitam. Bukan senang nak jadi wali ni."
"Abang minum, ya. Aisyah gerak dulu." izin Aisyah.
Maka tinggallah Zafran di meja makan sambil melayani perasaan sendiri. Perasaannya bagaikan berbunga riang apabila terbayangkan wajah Aisyah. Lenggang-lenggok gadis itu benar-benar membuatkan debaran hatinya masih belum surut lagi. Semenjak dari tadi, dia hatinya asyik bertanya. Siapakah Aisyah yang sebenarnya. Namun apabila Aisyah memberitahu yang dia mahu menjenguk, Zafran tahu Aisyah adalah rakan baik adiknya.
WAKTU yang dinanti sudah tiba. Majlis pertunangan berjalan dengan lancar. Sebentar lagi akan bermulalah majlis pernikahan dan Zafran bakal mewalikan Wardina. Sebelum itu, dia mahu bertemu dengan adiknya. Ada sesuatu yang ingin dia luahkan. Saat dia melangkah masuk ke dalam bilik, hati Zafran bagaikan dipalu. Hatinya sebak dengan tiba-tiba. Sudah lama dia menjaga Wardina. Sejak dari kecil lagi. Malah Wardina adalah adiknya yang paling rapat.
Sekejap sahaja waktu berlalu dengan pantas. Tidak lama lagi, adiknya itu akan melangkah satu lagi fasa. Alam perkahwinan. Dia yakin, adiknya itu akan bahagia. Malah dia yakin, pasangan adiknya itu boleh membahagiakan. Fikirannya ditampar dengan ingatan semasa kecil. Adiknya itu selalu sangat mahu mengambil kesempatan terhadap dirinya. Wardina suka sangat memaksa dia mendukung. Sakit kakilah, sakit kepala la... sakit perutlah... namun semuanya Zafran akur tanpa banyak rungut.
"Hai, adik abang."
Wardina mendongak. Dia melepaskan senyuman manis buat Zafran. Hatinya mula dibalut perasaan sayu yang mula bertapak. Dia cuba untuk menahan air matanya daripada mengalir. Melihat kepada Zafran, Wardina merasakan betapa kacak abangnya itu berbaju melayu warna biru muda.
"Amboi, abang. Nampak macam abang pulak yang nak menikah." usik Wardina. Dia cuba untuk menutup rasa gementar dan sebak pada masa yang sama.
"Nak mengenakan abanglah ni."
"Mana ada. Dina cakap yang betul. Abang memang kacak pakai baju melayu ni."
Aisyah yang hanya menjadi pemerhati, mula rasa kekok dengan tiba-tiba.
"Dina, aku keluar dulu." Aisyah mula meminta izin. Dia pasti, ada sesuatu yang ingin diberitahu oleh Zafran kepada Wardina. Dia tidak mahu oleh sebab kehadirannya di situ, akan mengganggu perbualan kedua beradik itu.
Zafran memandang kepada Aisyah sekilas. Dia tersenyum memandang kepada Aisyah sehinggakan gadis itu mula tunduk malu. Senyuman Zafran terus mekar apabila menyedari baju yang dipakai sama warna dengannya.
"Tak payahlah Aisyah." tolak Wardina. Dia sebenarnya pun mahu kehadiran Aisyah di sisi untuk menguarangkan rasa gementarnya.
"Mungkin kau ada apa-apa nak bualkan dengan abang kau. Tak bestlah kalau aku ada sama."
Aisyah bangkit dan berlalu untuk meninggalkan Zafran dan Wardina. Namun dia telah ditegah oleh Zafran.
"Tak payahlah keluar. Tak ada apa yang nak saya bualkan dengan dia. Awak temankanlah dia. Tengok muka dia pun saya tahu tengah cuak." usik Zafran.
Wardina menjeling manja.
Zafran ketawa riang.
Aisyah akur. Dia melabuhkan punggung di tepi katil. Matanya melirik kepada Wardina dan Zafran. Betapa dia merasa cemburu dengan Wardina. Mempunyai keluarga yang begitu menyayanginya. Walau pun Wardina sudah kelihangan ayah, namun mempunyai seorang abang boleh menjaga dan melindungi. Sedangkan dia? Seorang anak yatim piatu yang tidak mempunyai adik-beradik. Tambahan pula dia baru sahaja kelihangan nenek yang telah menjaganya semenjak dari kecil lagi.
"Sekejap lagi, adik abang akan jadi isteri orang. Abang dah tak boleh nak dukung Dina lagi. Ada orang lain yang dukung pulak lepas ni."
Dada Wardina mula sebak. Terbit terus kenangan semasa kecil. Semua kenangan manis menari di ruang mata. Masih jelas bagaimana dia bermanja dengan Zafran. Abangnya itu selalu sahaja ada disampingnya. Pernah merasa suapan daripada tangan abangnya dan sering kali bermanja untuk didukung sewatu pulang dari sekolah. Ya, kenangan itu membuatkan dada Wardina kian terhimpit. Perasaan sebaknya kian memanjat hatinya.
"Abang minta maaf dengan Dina kalau abang banyak menyusahkan Dina. Abang akan doakan yang adik abang akan bahagia hingga ke jannah, perhubungan Dina akan dirahmati Allah."
Wardina mengangguk perlahan. Ucapan yang melintas dari bibir Zafran benar-benar meruntun hatinya.
"Dina nak minta maaf dengan abang. Dina banyak susahkan abang. Abang jangan nak buli adik ipar abang pulak selepas ni."
Ya, baru dia teringat tentang bakal adik iparnya. Ternyata dia terkejut. Bukan orang lain. Sahabatnya sendiri. Kalau dia tahu awal-awal lagi sudah tentu dia cekik-cekik si Hairi. Pandai betul sahabatnya itu menyembunyikan rahsia. Dia juga yang terkena. Tapi, nak buat macam mana kalau sudah namanya jodoh. Terima juga seadanya rakan baik menjadi adik ipar.
Zafran ketawa. "Tentang adik ipar tu abang kena fikirkan balik. Mungkin sekarang abang tak boleh nak buat apa, mungkin balik pejabat nanti barulah abang nak buli dia. Patutlah ibu selamba aje nak telefon dia. Rupanya bakal menantu."
"Tak baik tau abang buat dia macam tu."
"Ala... abang gurau aje." Sempat Zafran mencubit manja hidung Wardina.
Wardina tersenyum. "Terima kasih, bang."
"Okeylah, abang nak keluar dulu. Abang dah tak sabar nak genggam tangan adik ipar. Nak tengok macam mana reaksi muka dia. Mesti dia menggelabah. Biar dia gagap nak sebut nama Dina."
"Abang!" jerit Wardina.
Makin kuat Zafran ketawa. Dia mula melangkah. Namun sebaik sahaja dia mahu keluar, namanya diseru. Zafran berpaling.
"Hari ni abang serahkan akad. Abang tak teringin ke nak terima akad?"
Zafran tersentak. Namun kemudiannya dia senyum. Matanya melirik kepada Aisyah.
"Dina akan doakan abang akan temui jodoh abang. Dina yakin yang abang boleh membahagiakan dia nanti. Abang, perkahwinan itu bukan menyusahkan tetapi pekahwinan itu adalah satu kelengkapan."
Zafran senyum lagi. Dia mengangguk perlahan. Namun sebelum keluar dari bilik, matanya sempat memandang kepada Aisyah sekali lagi. Seperti tidak puas pula mahu memandang seraut wajah yang telah membuatkan dia tidak tentu arah. Saat matanya bertaut dengan gadis itu, pantas Aisyah tunduk memandang lantai. Terus mekar senyuman Zafran. Haish! jangan tersalah sebut nama sudahlah!
Akhirnya, majlis telah berjalan dengan lancar. Wardina Humaira sudah sah menjadi isteri kepada Hairi Khairuddin yang juga sahabat kepada Zafran. Betapa dia merasa gembira kerana menerima ahli keluarga yang baru. Sebaik sahaja majlis pernikahan, sempat juga Zafran bertemu dengan Hairi di balai.
"Kau dengar sini, Hairi. Kalau aku dapat tahu yang kau buli adik aku, nahas aku kerjakan kau."
"Kau boleh percayakan aku. Kau janganlah bimbang."
"Jangan pandai nak cakap aje. Kena buat!" tekan Zafran.
"Tapi kan... seriously! Aku nak sangat kau tu ada teman. Yang boleh buatkan hidup kau lebih bermakna. Tak ada lah kau sunyi nanti. Percayalah cakap aku. Tambah lagi dengan insan yang kau suka dan sayang."
Zafran berpaling memandang kepada Hairi. Ada kejujuran di riak wajah sahabatnya itu.
"Amboi, kau cakap memang nak kena lempar, kan."
Hairi ketawa.
"Kau jangan pulak nak suruh aku kahwin."
"Eh, apa salahnya. Engkau pun aku tengok dah macam pengantin. Dah alang-alang buat kenduri ni, kita jalankan terus." seloroh Hairi.
Terbuntang mata Zafran. Amboi, tidak teragak-agak statement tu. Rasa seperti nak sumbat sirih ke mulut Hairi. Saja, mahu buat dia terus gementar.
"Abang! Abang!"
Zafran dan Hairi terkejut saat mendengarkan suara Wardina yang cemas. Pantas mereka berpaling.
"Kenapa ni Dina?"
"Abang Zaf, tolong Aisyah. Dia jatuh tangga."
Terbutang mata Zafran.
"Hah? Jatuh kat mana?"
"Dia jatuh kat dapur tadi."
Tanpa bersoal jawab, Zafran bergegas menuju ke dapur dan diekori dengan Hairi dan Wardina.  Sebaik sahaja tiba di dapur, Zafran dapat melihat Aisyah sudah pun duduk di atas kerusi sambil menahan sakit. Terkejut juga dia melihatkan air mata Aisyah. Terus sahaja dia mendapatkan Aisyah.
"Awak okey tak? Macam mana awak boleh jatuh ni?" tanya Zafran cemas.
Aisyah memandang kepada Zafran dengan terpinga-pinga. Dia tidak menyangka Zafran mengambil berat tentang dirinya. Dia kemudiannya memandang kepada Wardina. Sudah tentu rakannya itu memberitahu Zafran yang dia jatuh tadi.
"Aisyah tak perasankan anak tangga akhir tadi. Tersalah langkah, itu yang jatuh."
"Nak pergi klinik?" suara Zafran masih lagi cemas.
"Eh, tak payahlah. Aisyah okey." Serba-salah pula dia dengan Zafran sekarang ini. Perasaan malunya terus menebal.
"Aisyah boleh jalan tak?"
Saat Zafran melafazkan nama, Aisya terus menjadi tidak tentu arah. Aisyah mengangguk pantas. Sebenarnya dia tidak selesa dengan Zafran sekarang ini. Matanya meliar. Baru dia sedar, banyak mata yang sedang memandang kepada mereka.
"Abang, Aisyah tak ada apa-apa. Aisyah okey."
"Kalau jatuh, mana yang okeynya? Kita pergi klinik, ya?"
"Tapi... ramai yang pandang kita."
Zafran terkedu. Nafaskan bagaikan terhenti. Lama juga dia mahu berpaling. Takut! Perlahan dia memusingkan badannya. Zafran sengih. Wajah Wardina, Hairi, ibunya dan sanak saudara yang lain bukan main lagi memandang. Sampaikan ada yang sudah bercekak pinggang.
"Zaf, dengan siapa kamu bercakap tu? Dengan anak dara orang, kan?"
"Tak... Aisyah jatuh. Takkan Zaf nak tengok aje."
"Zaf... Dia tu anak dara. Kamu tu bujang terlajak."
Amboi, statement ibu memang mencengkam jantung. Padat dan padu. Zafran bangkit. Terus tidak jadi untuk membantu Aisyah.
Aisyah juga merasa serba-salah kerana telah membuatkan semua yang ada merasa susah hati. Tambahan lagi dengan Zafran yang datang meluru ke arahnya.
"Zaf nak tolong aje. Takkan itu pun salah." Perlahan sahaja lontaran suara Zafran. Takut pula dia mahu memandang kepada Puan Rokiah. Apa lagi dengan saudara-mara yang sama tumpang menonton.
"Kenapa pula Zaf yang risau? Kamu tu bukannya suami dia."
Itu dia! Pertanyaan itu terus membuatkan Zafran mati kata.
"Aisyah minta maaf kalau dah menyusahkan semua." Ada getar kepada suara Aisyah. Perasaan takut pula yang mula menyapa. Dia cuba untuk tidak mahu mengalirkan air mata. Sudahlah dia malu, menahan sakit sekarang ini pun sudah cukup terseksa.
Puan Rokiah datang merapat kepada Aisyah. Dia senyum kepada anak gadis itu.
"Dahlah, Aisyah tak perlu risau. Ramai yang boleh tolong. Aisyah boleh jalan tak?"
Aisyah mengangguk. Dia cuba untuk bangkit, namun dia duduk semula. Terasa sakit pula dia mahu memijak.  Baru dia tahu, kakinya sudah terseliuh.
Kali ini Wardina pula yang berlalu mendapatkan Aisyah.  Dia cuba membantu Aisyah untuk bangun.  Zafran yang sekadar memerhati rasa geram pula. Kalau nak diikutkan hatinya, ringan sahaja dia mahu membantu Aisyah. Tetapi apakan daya, dia hanya boleh memandang. Nak tolong, sudah tentu dia kena tempik nanti.
Aisyah berdiri dengan bantuan Puan Rokiah dan Wardina. Dia perlahan memandang kepada Wardina.
"Dina, aku minta maaf. Aku tak boleh nak jadi pengapit kau esok."
"Nak buat macam mana? Benda dah nak jadi. Tak apa, lepas ni kita bersiap. Aku suruh abang aku bawa kau ke klinik."
"Ala... tak payahlah."
"Kenapa? Kau segan? Nak suruh Hairi, dia nak balik homestay lepas ni. Kau janganlah risau. Aku temankan kau."
Aisyah senyum. Dia mengangguk perlahan. Kalau ada Wardina bersama, tidaklah dia malu sangat dengan Zafran.
Wardina menghantar Aisyah ke dalam bilik untuk menyalin pakaian. Sebaik sahaja dia menghantar Aisyah, Wardina bertemu dengan Zafran dan menarik tangan abangnya sehingga ke ruang tamu.
"Dina kenapa tarik tangan abang ni? Abang ni bukan Hairi, tau." usik Zafran.
"Dina tahulah. Dina nak cakap sikit dengan abang ni." ujar Wardina separuh berbisik.
"Apa yang Dina nak cakap?"
"Abang nak tahu tak?"
Renungan Wardina yang penuh makna membuatkan Zafran mula tertanya-tanya. Senyuman Wardina yang penuh manis terukir, menjadikan Zafran gelisah.
"Dina jangan pandang abang macam tu. Abang ada buat salah ke?"
Meledak ketawa Wardina apabila melihatkan perubahan wajah abangnya. Pucat! Cuak pun ada.
"Abang kena jujur dengan Dina."
"Apa dia? Abang tak faham."
"Abang sukakan Aisyah?"
Zafran tersentak. Matanya merenung kepada Wardina. Lidahnya kelu untuk mengiakan. Segan dengan pertanyaan dari adiknya sendiri.
Wardina tersenyum. Dia bercekak pinggang.
"Abang jangan malu nak mengaku."
"Apa Dina cakap ni?" Zafran menggelabah.
"Abang jangan nak tipu diri sendiri. Dina tahu yang abang sukakan Aisyah."
Zafran kian gelisah. Dia mula tidak tentu arah. Senyuman Wardina kian melebar.
"Hish! Mana ada." tingkah Zafran. Namun di dalam hati, sudah pun berbunga riang.
"Semua orang sibuk cerita pasal abang. Pak lang, ibu dan yang lain semua kata abang curi pandang dia. Tak malu langsung!" cebik Wardina.
Aduh! Ini yang tak best. Semua dah tahu. Mana nak sorokan muka? Wajah Zafran mula merona merah. Cuba untuk menahan malu.
"Diam tu tandanya betullah, kan?"
"Jangan nak macam-macam, Dina."
"Dina tahu, bang. Dina tengok abang bukan main lagi nak pandang si Aisyah tu."
"Bila masa pulak?" tingkah Zafran sekali lagi. Segan wei!
"Ala... masa abang masuk jumpa Dina pun, abang bukan main lagi jeling manja dengan dia. Ha, abang jangan nak mengelak kata tak. Dina perasan tau!"
Zafran menggaru kepalanya yang tidak gatal. Okey! dia rasa seperti mahu lari dari situ. Dia sudah tidak betah untuk berada lebih lama. Dia mula mengatur langkah. Dia malu!
"Abang tahu tak yang Aisyah dah lama pendamkan hati suka dengan abang?"
Kaki Zafran terhenti. Pantas dia berpusing.
"Apa maksud Dina? Bila masa dia suka dengan abang?"
"Abang ingat tak yang Dina kata ada kawan yang suka dengan abang? Dialah tu. Ramai juga lelaki yang cuba pikat dia. Tapi dia langsung tak ambil peduli. Dia tetap nak tunggu abang walau pun abang tak pernah nak layan dia dulu. Abang buat tak tahu aje bila Dina kata dia kirim salam."
Zafran tersentak. Hatinya mula bergetar. Baru dia teringat semasa di bangku sekolah, Wardina selalu memberitahu akan ada rakannya mengirim salam. Jadi, rakannya itu adalah Aisyah.
"Dia kata, dia akan berhenti sayangkan abang kalau abang kahwin. Abang, dia betul-betul sayangkan abang. Dina yakin yang abang sekarang ni pun dah mula suka dengan dia. Yalah... cinta pandang pertama, kan? Abang tak pernah jumpa dengan dia, tapi bila bertemu kali pertama terus jatuh hati."
Lidah Zafran terus kelu. Dia tidak dapat mematahkan kata-kata Wardina. Hanya matanya sahaja yang berbicara. Dia memandang kepada Wardina seolah mengiakan.
Wardina mengeluh.
"Alahai, tak nak mengaku lagi tu. Tak apalah, bang. Kalau macam tu, senang Dina beritahu dengan dia yang abang dah nak kahwin. Biarlah dia cari cinta yang lain. Daripada tunggu abang, sampai kucing bertanduk pun dia tak kahwin. Dina doakan ada lelaki yang boleh menjaga dia dengan baik. Sebab dia sebatang kara."
Wardina berlalu. Meninggalkan Zafran dengan hati yang terus berdebar. Terasa ada sesuatu menyentuh hati dengan setiap baris ayat yang diungkapkan oleh adiknya sendiri. Mungkin sebelum ini dia begitu angkuh menyangka yang dia boleh hidup sendirian. Namun saat dia terpandangkan wajah Aisyah buat kali pertama, satu perasaan aneh terus sahaja menyusup masuk di segenap uratnya. Matanya sering kali memandang kepada wajah gadis itu. Bagaikan tidak mahu dilepaskan.
Zafran kaku. Hatinya terus dipalu. Dia berpaling. Ah! Wajah itu lagi. Kali ini dia dapat melihat Aisyah dipapah oleh Wardina untuk dihantar ke klinik. Zafran menguntum senyum. Jelingan daripada Wardina tidak dihiraukan. Setiap tapak kaki Aisyah yang melangkah, bagaikan tapak untuk menyusun perasaan yang baru sahaja bertunas. Pastinya tunas itu akan terputik dan bercambah. Dia tidak mahu melayankan ego yang bersarang semenjak dulu lagi. Dia tekad untuk melakukan keputusan yang mungkin membuatkan semua ahli keluarga dan sanak-saudaranya tidak percaya.
MAJLIS resepsi keesokan harinya, Aisyah hanya menyaksikan Wardina bersanding dengan Hairi dari balai sahaja. Dia tersenyum riang. Sekarang ini, sahabatnya itu sudah pun bertemu dengan pasangan hidup. Selepas ini, sukar untuknya keluar bersama. Kalau nak pun, kena minta izin dengan suami terlebih dahulu.
Aisyah tersentak apabila selang satu kerusinya ditarik orang. Perlahan dia berpaling. Saat terpandangkan wajah Zafran, terus sahaja dia membuang pandang ke arah Wardina. Berdesup debaran singgah di hati. Nafas Aisyah bagaikan terhimpit. Oksigen please! dia dapat rasakan betapa dia gementar sekarang ini. Nak lari? Nampak sangat pula nanti. Aisyah melirik kepada Zafran. Senyuman Zafran terus membuatkan hati Wardina terus bergolak.
"Dah okey kaki tu?" tegur Zafran. Kepalanya dihalakan kepada Aisyah.
"Dah kurang sakitnya."
Zafran mengangguk. Diam seketika. Zafran cuba mengumpul kekuatan untuk berkata-kata. Sama seperti Aisyah, hatinya turut merasakan debarannya. Zafran kemudiannya memandang kepada Wardina yang berada di atas pelamin. Namun tidak lama. Dia kemudiannya melirik kepada Aisyah.
"Nanti kalau nak jatuh, tunggu saya dulu."
Terbuntang mata Aisyah. Pantas dia memandang kepada Zafran.
"Eh, ada pulak macam tu. Kenapa pulak Aisyah kena tunggu abang pulak"
“Bukan apa, senang saya nak sambut."
Makin pelik Aisyah dengan Zafran. Mamat ni betul ke tidak? Atau...
"Aisyah jatuh tak sama macam saya jatuh. Saya jatuh lagi sakit. Sakit, tapi rasa berbunga pula hati ni."
"Aisyah tak faham maksud abang."
Alahai, geram pula dia dengan Aisyah. Wajah gadis itu membuatkan hatinya terus berkocak. Tambahan lagi dengan Aisyah yang malu-malu dengannya.
"Saya ni tak pandai nak berkata-kata. Ini untuk Aisyah." Zafran menghulurkan sepucuk surat Aisyah.
Surat yang dihulur kemudian bertukar tangan.
"Old school, kan. Saya nak Aisyah baca. Saya nak jawapannya sekarang."
Aisyah akur. Dia membuka surat pemberian Zafran. Matanya sempat memandang kepada Zafran. Debaran Aisyah terus berdetak kencang.
Salam perkenalan Bidadari Hati,
Saya bukan pujangga yang pandai berkata-kata mengumpamakan bulan atau bintang. Malah tidak pandai untuk bermadah indah. Maaf andai terlewat kata suka, atau dengan lebih drastik, ungkapan cinta.
Aisyah, saya akan pastikan awak jatuh saya akan jadi adiwiranya. Aisyah sediakan keperluan saya bagaikan bidadari saya. Izinkan saya menjaga, melindungi, mencintai dan menyayangi Aisyah hingga ke syurga. Jangan bimbang, Aisyah tidak akan keseorangan. Saya akan ada untuk memimpin, menjadi teman di sisi. Penantian Aisyah saya jadikan satu impian. Impian saya juga. Aisyah... akan abang sunting Aisyah menjadi rusuk abang. Menjadi peneman abang sampai bila-bila.'
Tubuh Aisyah membahang. Menggeletar tangannya menatap warkah itu. Ya, sudah lama dia menyukai Zafran. Dari bangku sekolah lagi. Dia begitu sabar menantikan saat ini akan menjadi satu realiti. Kini dia yakin dengan nikmat sebuah kesabaran. Setiap kesabaran itu ada warkah keindahannya.
Zafran memandang ke sisi. Wajah Aisyah direnung. Sabar untuk menantikan jawapan daripada gadis itu. Akhirnya, senyuman manis yang terukir di bibir Aisyah telah memberikan satu tanda. Zafran yakin, senyuman itu memberi seribu makna buat dirinya. Hatinya kini sidah terbuka buat seorang wanita. Aisyah, gadis pandang cinta pertama, tetapi penantian cinta buat Aisyah.
"Abang serius. Next year, kalau Aisyah jatuh abang akan sambut. Biar abang jadi perwiranya. Biarlah abang yang jatuh dulu buat masa ini. Jatuh cinta pada Aisyah. Cinta pandang pertama.
Aisyah tunduk. Dia senyum. Ya, penantian cintanya akhirnya mengukir kebahagiaan. Selepas ini, dia tidak akan keseorangan. Dia sudah ada insan yang menjaga, melindungi dan memimpinnya di kemudian hari. Terima kasih, Ya Allah atas kurniaan yang telah Kau berikan.
TAMAT

4 comments:

  1. Tahniah Nur, akak mmg suka dgn semua cerpen2 Nur. Akak blh berulang berkali2 tk jemu membaca. All the best semuga Nur rajin menulis cerpen n semuga berjaya selalu dlm bidang penulisan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah... Amin... Amin... Terima kasih sudi singgah dan baca karya saya

      Delete
  2. Kena buat cerita perempuan lambat kahwin @ andartu juga lepas ni :)

    ReplyDelete
  3. Nanti tulis cerpen awal perkahwinan mereka pula :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page