Zalikha berada di kaunter saat
melihatkan Hariz yang sedang memunggah ikan untuk di masukkan ke dalam
bekas. Senyuman Zalikha bertamu. Wajah Hariz yang tenang itu ditatap. Hai, kenapalah jantung ini tidak berhenti
mengepam laju saat dia melihat Hariz.
Kalau bertentang mata, nafasnya bagaikan terhenti. Tapi itulah, Hariz susah nak tersenyum. Kalau dia senyum, lesung pipit di pipi Hariz
sering kali membuatkannya terleka.
Masalahnya senyuman Hariz bukan untuknya. Tapi pada Mak Konah, Pak Mail, Mak Temah atau
Pak Karim yang selalu berbelanja di kedai itu.
Alahai, kalaulah senyuman Hariz dihadiahkan buat dirinya, sah dia tidak
tidur malam.
“Abang tak nak berhenti makan
ke?” Jerit Zalikha kuat.
Hariz tidak mengendahkan suara
Zalikha sebaliknya dia meneruskan kerja.
Hai, muka kacak. Tapi pekak. Zalikha mengeluh. Nasib badan kalau betul, dapat suami
pekak. Ah, pekak pun pekaklah. Janji sayang!
“Abang,” Makin jelas Zalikha menguatkan suaranya.
“Hish, suara sumbang mana
ni. Sibuk aje orang nak buat kerja.”
Zalikha mencebik. Geram pula dia dengan Hariz. Okey, kali ini Zalikha tekad. Dia membuka bekal yang dibawa dan dia
melangkah menuju ke Hariz.
“Abang!”
Hariz terkejut. Habis semua ikan melompat tinggi. Wajah Zalikha berubah apabila dia bermandikan
ikan. Busuknya! Macam mana ni? Habis
bekal yang dibawa dihiasi cantik seekor ikan kembung yang masih segar.
“Salah awak. Siapa suruh awak sergah.”
Zalika melirik kepada Hariz
hanya dengan ekoran matanya. Sudahlah
kena siram dengan ikan, kena marah pula tu.
Malang sungguh nasib diri hari ini.
Zalikha kemudiannya memandang kepada bekal di tangan. Entah mengapa hatinya menjadi sebak dengan
tiba-tiba. Air matanya hampir mahu mengalir
tetapi dia cuba untuk menahan. Sayang,
nasi di dalam bekal itu tidak boleh nak dimakan. Zalikha tidak menyambut kata-kata Hariz
sebaliknya dia berpaling dan berlalu dari situ.
Zalikha menyambung kerja yang terhenti sambil dia cuba menahan bau busuk
yang mencucuk rongga hidungnya. Hariz
memandang kepada Zalikha. Wajah suram
Zalikha tidak sedikit pun membuatkan hati lelaki Hariz kalah. Dia membiarkan Zalikha di situ dan dia
meneruskan kerjanya yang tertangguh.
Hariz tersenyum. Gelihati dia dengan Zalikha yang bermandikan
ikan tadi. Itulah, siapa suruh kacau orang
tengah bekerja. Dah terkena, mulalah nak
berlinang air mata. Tangan Hariz
tiba-tiba berhenti. Dia berpaling dan
kelihatan Zalikha sedang membersihkan bajunya.
Namun dia dapat melihat baju Zalikha yang sudah basah terkena air
ikan.
Hariz menapak kepada
Zalikha. Wajah muram gadis itu dipandang
seketika. Dia menggarukan kepala. Kalau berhadapan dengan Zalikha lidahnya menjadi
kelu. Dia berat untuk bersuara. Bagaikan ada sebongkah emas yang nak
dikeluarkan. Melihatkan kehadiran Hariz
itu, Zalikha menarik muka masam. Memang
bukan salah Hariz pun. Salah dia yang
volume suaranya terus meninggi. Masalahnya,
tadi bukannya nak memujuk. Elok saja
buat tak tahu. Bukan nak tanya kita ni
okey ke tidak.
“Awak pergilah balik dulu.
Busuklah.” Tegur Hariz.
“Abang yang buat Ika macam
ni. Siapa suruh abang siram ikan pada
Ika?”
“Awak nak balik ke tidak?
Kalau tak nak balik, membusuklah kau kat situ.”
“Hai, kena marah lagi?”
“Saya cakap sekali aje. Nak balik boleh balik. Kalau tak nak balik duduk situ jangan pergi
mana-mana. Kalau pelanggan lari,
tanggunglah rugi nanti.”
Zalikha mencebikkan
bibirnya. Sedih tau asyik kena marah
saja. Apa yang paling menyedihkan kalau
kena marah dengan orang yang kita sayang.
Sakitnya tidak boleh nak cerita.
Sungguh menusuk kalbu.
“Okey,”
Zalikha mengalah. Sebenarnya dia sendiri tidak selesa. Sudahlah kena siram air ikan, busuk pulak tu. Perlahan kakinya
melangkah. Saat dia lalu di hadapan
Hariz, matanya sempat menjeling kepada Hariz.
Hariz bertindak tenang. Walhal
dengan jelingan Zalikha itu telah memanah terus ke lubuk hati Hariz. Dup dap
dup dap terus berlagu disco.
“Abang, tak jadi balik.” Zalikha berpusing.
Hariz melihat Zalikha berlari
menuju semula ke kaunter. Sudah, apa hal
pulak ni? Hariz terpinga-pinga. Terus dia meliarkan pandangan matanya. Dia sudah beri kebenaran untuk balik. Takkan tak nak balik pulak.
“Orang dah bagi balik tak nak
pulak.”
Hariz melihat wajah Zalikha
yang pucat. Dia berdiri tegak. Hariz tidak segera berpaling. Kali ini Zalikha berdiri disampingnya.
Kemudian Zalikha segera menyorok di belakang Hariz. Hariz memanjangkan lehernya. Ingin tahu apa yang ditakutkan oleh Zalikha
sekarang ini.
“Tolong Ika, bang.”
Hariz berpaling. Patutlah muka Zalikha memutih. Rupa-rupanya Masri datang bersama-sama dengan
rakannya. Hariz membiarkan Masri masuk
ke dalam kedai. Wajah Hariz
berkerut. Bukan sebab Masri, tetapi bau
Zalikha yang begitu menyegat. Busuknya
tidak boleh nak cerita. Saat Masri mendekat,
dia dapat melihat hidung Masri yang bergerak-gerak. Masri memandang kepada Zalikha yang menyorok
di belakang Hariz.
“Ya Masri, nak beli apa?” Tanya Hariz ramah.
Masri tidak menyambut
pertanyaan Hariz sebaliknya mata Masri ralit memandang kepada Zalikha. Setiap kali Masri memandang kepada Zalikha,
kepala Hariz turut bergerak. Dia terus
memandang ke anak mata Masri. Hariz
mengangkat keningnya sebelah.
“Ada apa-apa nak beli ke?”
Masri tersenyum.
“Yang ini kau jual berapa
harganya?” Tunding Masri kepada Zalikha.
“Yang ini not for sale.”
“O… aku tahu. Sebab kau bukan tuan badan. Wahai tuan badan, berapa harga diri tu?” Tanya Masri kepada
Zalikha.
Tersirap darah Zalikha
mendengarkan usikan Masri itu. Dia
benar-benar merasa tidak selesa dengan Masri yang suka menggatal dengannya. Hanya Hariz yang menjadi sandarannya sekarang
ini. Masri mendekatkan dirinya kepada
Zalikha sehingga mengundang Zalikha terus melarikan diri dari Masri.
“Busuknya, Ika. Tapi tak apa lah, busuk pun abang sanggup. Marilah,
ikut abang. Kalau kahwin dengan
abang Ika tak payah nak kerja kat sini.
Ikut kerja dengan abang.”
Zalikha menggeleng.
“Marilah,” Ajak Masri lantas tangannya menggenggam
lengan Zalikha.
Zalikha menarik kasar
tangannya.
“Wah, kasarnya. Abang suka.”
Masri terus merenug kepada Zalikha.
“Kau nak apa sebenarnya,
Masri?”
Kali ini Hariz bersuara.
“Aku nak beli dia ni.”
“Sudahlah Masri. Kalau kau tak
nak beli apa-apa aku nasihatkan baik kau balik.”
“Aku takkan balik.” Pap!
Meja kaunter menjadi mangsa tangan Masri.
Hariz dan Zalikha terkejut. Hish, mamat ni memang nak kena.
“Ika ikut abang balik. Apa yang Ika dapat kerja kat sini? Dapat
busuk adalah.”
Sekali lagi Masri mencekak
lengan Zalikha. Kali ini lebih
pejap. Zalikha cuba meronta untuk
dilepaskan. Namun kudrat Masri melebihi
tenaganya. Masri ketawa besar mengundang
rasa takut Zalikha. Hariz menahan marah
dan geram dalam masa yang sama. Sudahlah
datang kedai orang sesuka hati, tak beli barang dan paling win kacau pekerja orang.
Memang nak kena ni. Kali ini
tangan Hariz pejap mencekak tangan Masri.
Masri terkejut dengan tindakan Hariz itu.
Saya minat dengan penulisan awak.
ReplyDeleteAlhamdulillah... Terima kasih
Delete