TIGA JODOH : Teaser 1 - Eisya dan Farhan

Teratak pena | 7:26 PM |


WAKTU sudah pun menginjak ke pukul 5.00 petang apabila Eisya mula rasa tidak tenang. Dari tadi dia menantikan Farhan untuk masuk semula ke pejabat. Masih banyak kerja yang perlu dilunaskan untuk mesyuarat esok pagi. Hati Eisya sudah tidak tentu arah. Dia merasakan yang dia perlu melakukan sesuatu.
Tanpa membuang masa, Eisya masuk ke dalam bilik Farhan dan melihat sejauh mana presentation yang telah dibuat oleh Farhan. Hah? Baru suku? Nampaknya banyak lagi yang perlu dibuat. Draf yang telah dilakar dicapai dan dibawa ke mejanya.

“Aduh! Sempat ke tidak ni nak siapkan? Okey Eisya! Tenang. Jangan kalut. Nanti tak siap. Mula-mula buat softcopy dulu, baru hardcopy.” Sempat lagi Eisya memujuk hatinya.

Eisya cuba untuk menghubungi Farhan berkenaan dengan presentation yang akan dibentangkan esok pagi, namun gagal. Farhan telah mematikan telefon bimbitnya. Rasanya mahu menangis Eisya dengan tindakan Farhan itu. Namun dia terpaksa juga membuat presentation Farhan demi majikannya itu. Kalau dia tidak buat, jangankan Farhan, dengan dia sekali yang akan kena. Segala draf dikumpul dan semua data disemak dengan teliti. Dia tidak mahu data yang diberi adalah data yang main hentam sahaja. Fail kewangan yang diberikan oleh Nizam juga disemak.

Sepanjang malam Eisya bersengkang mata untuk menyiapkan presentation Farhan. Namun dia masih tidak berputus asa untuk terus menghubungi Farhan. Sekali lagi dia gagal. Air mata Eisya sudah tidak boleh ditahan lagi. Ya Allah, dugaan apakah ini? Jam di ruang pejabat itu sudah pun menunjukkan ke angka 12 tengah malam. Masih ada suku lagi yang perlu dia selesaikan. Walaupun dalam keadaan letih, Eisya tetap meneruskan tugasnya.

Eisya menghela nafas lega apabila segalanya telah selesai. Segala typo juga disemak beberapa kali. Softcopy sudah siap disavekan di dalam pendrive. Kemudian data-data tersebut dicetak pada beberapa naskah untuk dijadikan presentation handout para pengarah dalam board meeting itu nanti.
Sekali lagi dia memandang ke arah jam di dinding. Sudah hampir tiga pagi. Selesai sahaja dia menyiapkan presentation itu, terus sahaja dia masuk ke dalam bilik Farhan dan meletakkannya di atas meja. Eisya tersenyum senang. Akhirnya berjaya juga dia siapkan presentation itu. Matanya sudah tidak tertanggung dengan rasa mengantuk. Sampai sahaja di meja kerjanya, dia segera merebahkan kepalanya dan terus tertidur.

KEESOKAN harinya, Farhan masuk ke dalam pejabat sambil menyanyi kecil. Teringat dia bagaimana seronoknya dia menyambut akan majlis hari jadi Karina. Walaupun dibuat last minute, ia memang tidak mengecewakan. Sebaik sahaja dia sampai di pejabat, matanya menangkap susuk tubuh Eisya yang sedang tertidur di meja. Panjang langkahnya menuju ke arah meja Eisya dan mengetuk kuat meja itu. Terpisat-pisat Eisya terbangun apabila mendengar mejanya diketuk. Dalam kesamaran, dia dapat melihat akan wajah Farhan di hadapannya.

“Bos…”

“Saya menggajikan awak bukan untuk awak buat tahi mata. Bangun! Dah pukul berapa ni?” Tegang sahaja suara Farhan.

“Bos… pre…” Belum sempat Eisya menghabiskan kata, Farhan mula meninggalkannya.

Farhan masuk ke dalam pejabat sambil meletakkan beg dan telefon bimbit di atas meja. Sepanjang hari dia offkan telefon bimbit kerana tidak mahu diganggu ketika majlis Karina. Apabila dia onkan sahaja telefonnya, berduyun-duyun mesej dan missed call diterima. Terbuntang matanya apabila melihat mesej dan missed call yang banyak datangnya dari Eisya. Yang terakhir dia terima mesej dari Eisya adalah pukul 3 pagi.

Bos… presentation saya dah siapkan. Ada atas meja.

Serta-merta pandangan Farhan terus pada pendrive dan presentation handout yang terletak elok di atas meja. Dia menyelak sehelai demi sehelai dan di muka surat terakhir, dia melihat ‘prepared by’ adalah namanya sendiri. Bergetar seluruh tubuh Farhan dengan apa yang telah berlaku.


Farhan tidak menunggu lama. Dia terus berlari keluar dari biliknya. Saat dia melangkah keluar, terkejut dia apabila melihat Eisya yang sudah tidak sedarkan diri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page