Cepen: RAMADHAN TERINDAH

Teratak pena | 10:40 AM |

RAMADHAN TERINDAH

            Rayyan melangkah kemas sambil membuka butang lengan baju kemejanya.  Sesekali dia menganggukkan kepala apabila dia ditegur.  Walau bagaimana pun, tiada secebis senyuman yang diukirkan oleh Rayyan.  Langkahnya kian laju untuk sampai ke tingkat bawah.  Great!  Dia menepuk dahi.  Beg dan note booknya masih lagi di dalam bilik. Haish!  Macam mana boleh lupa.  Akhirnya naik semula ke atas dan mengambil segala barang.  Sesekali dia memandang kepada jam di tangan kiri.  Nampaknya sudah terlewat untuk pulang ke rumah.  Perkara yang paling dia benci, menghadap kesesakan lalu lintas. 
            Sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari bangunan itu, dia ditahan oleh seorang wanita yang sudah berusia lebih lingkungan 60 an.  Langkah Rayyan terhenti.  Wajah yang dipamerkan begitu masam.  Aduh! Orang lagi nak cepat, ada saja halangannya. 
            “Tolonglah makcik, nak. Belilah keropok makcik ni.  Dari jauh makcik datang.  Belilah nak.”  Rayu wanita tu itu. 
            “Saya nak cepatlah makcik.  Jangan nak ganggu saya.  Tak ada tempat lain ke nak mengemis?”  serta merta wajah wanita tua itu berubah.  Mungkin dia tidak menyangka yang Rayyan sanggup berkata demikian.  Namun itulah Rayyan.  Dia begitu sombong dan bongkak. 
            Melihatkan wajah wanita tua yang sudah mula berubah, Rayyan tersenyum sinis.  Dia menjeling tajam kepada wanita tua itu tanpa sedikit pun rasa kasih dan kasihan.  Baginya, wanita itu bagaikan kuman untuk dirinya.  Betapa dia jijik dan benci.
            “Tolonglah nak.  Beli barang sebungkus.” 
            “Hesy, orang tua ni memang tak faham bahasa agaknya.  Makcik, dah saya kata.  Jangan ganggu saya.  Makcik carilah orang lain.”  Nada Rayya kian tegang. 
            “Anak,”  Perasaan sayu kemudiannya bertandang di hati wanita tua itu.  Dia tidak meyangka akan Rayyan yang tiada adab itu.
            “Arghh!” 
            Kaki Rayyan melangkah tanpa memandang kepada wanita tua yang hampa itu.  Pak Mat yang berada tidak jauh dari situ sudah pun membuka pintu untuk majikannya.  Rayyan terus masuk ke dalam perut kereta dan meminta Pak Mat segera beredar dari situ.  Pak mat hanya memandang Rayyan melalui cermin pandang belakang.  Wajah tenang milik Rayyan dipandang sekilas.  Pak Mat mengeluh kecil.  Di dalam hatinya, sering kali berdoa agar majikannya itu berubah.  Pak Mat tahu, kalaulah mama Rayyan masih hidup sudah tentu Rayyan tidak seperti ini.  Pak Mat sebenarnya merasa kasihan dengan Rayyan yang kurang dengan kasih sayang.  Kehilangan papa dan mama. Dia yakin, satu hari nanti Rayyan akan berubah.
            Tiba-tiba pemanduan Pak Mat hilang kawalan. Pak Mat memberikan signal dan berhenti di bahu jalan.  Kedengaran sayup di telinga Pak Mat dengan keluhan dari Rayyan.  Pak Mat membuka pintu dan meninjau tayar belakang.  Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal.  Aduh, bala ni! Rayyan kemudiannya menurunkan cermin tingkap.
            “Kenapa Pak Mat?”
            “Tayar buat hal, Encik Rayyan.” Ujar Pak Mat sambil memandang kepada tayar yang sudah kempis.
            “Kenapa tak check sebelum bawa?  Macam-macam hallah.”  Rengus Rayyan. 
            Pak Mat diam dan tidak menjawab.  Dia kemudiannya membuka bonet kereta dan mengambil keperluan untuk membuka tayar.  Rayyan memandang keluar.  Pasaraya yang berada di seberang menarik perhatiannya.  Dia memandang ke belakang.  Walau pun jarak pejabat tidak berapa jauh, namun untuk berjalan kaki ke pejabat, memang tidaklah.   Melihatkan Pak Mat yang sedang menukar tayar, Rayyan segera turun dari kereta. 
            “Lambat lagi ke Pak Mat?  Kalau lambat lagi, saya nak pergi ke Mall sana.  Nak cari barang sikit. Kalau dah siap, Pak Mat call saya.  Lagi pun panas sangat kat sini.”  
            “Yalah,”  Sambut Pak Mat ringkas.  Pak Mat menyambung semula membuka nat tayar dan membiarkan Rayyan sendirian.
            Saat Rayyan ingin melintas, dia dapat merasakan tangannya direntap kasar.  Tersirap darah Rayyan apabila sebuah kereta yang melintas dekat dengannya.  Kalaulah dia tidak ditarik, sudah tentu dia menjadi arwah di situ.  Terus berdetak kencang hati Rayyan.  Rayyan berpaling cuba melihat empunya tangan yang telah menyelamatkannya.  Kelihatan seorang lelaki tua di dalam lingkungan enam puluh-an tersenyum memandang.
            “Anak, bahaya kalau ikut jalan ini.  Itu, ada jejantas.  Kalau ikut sana mesti selamat.” 
            Rayyan terus memandang lelaki itu.  Nampak sangat lelaki tua itu tidak terurus.  Pakaian yang dipakai oleh lelaki itu kelihatan lusuh.  Beberapa plastik setia ditangan kirinya.  Lelaki tua itu masih lagi tersenyum memandang kepada Rayyan.  Lelaki tua itu kemudiannya meninggalkan Rayyan dan berlalu menuju ke arah jejantas.  Rayyan mengekori lelaki tua itu dan langkahnya kemudiannya mengikut jejak dengan menaiki anak tangga.
            Langkah Rayyan kemudiannya terhenti.  Pandangan Rayyan ralit memandang kepada lelaki tua itu yang sedang membentangkan kotak di tengah-tengah laluan jejantas.  Lelaki tua itu segera duduk dan plastik yang dibawanya tadi dibuka.  Sapu tangan kecil yang berada di dalam plastik itu dicapai dan peluh yang menghiasi wajah tua itu dilap kemas. 
            Rayyan melangkah perlahan.  Dia ralit memandang lelaki tua yang baru dikenalinya. Sehingga tiba kepada lelaki itu, segera lelaki itu meleretkan bibirnya.  Rayyan menyambut senyuman lelaki itu.  Sekilas, Rayyan menjadi pemerhati. Mungkin sini tempat tinggal lelaki ini, telahan hati Rayyan.  Rayyan mencangkung. 
            “Pakcik saya lupa nak ucapkan terima kasih tadi.”
            Lelaki itu senyum lagi.
            “Sama-sama.” 
            Rayyan mencapai wallet di celahan kocek belakang.  Beberapa helai note ungu ditarik.  Kemudiannya dia menghulurkan wang berjumlah 200 ringgit kepda lelaki yang baru sahaja dia kenal.  Lelaki itu menolak.
            “Ada baiknya anak sedekah wang ini pada yang memerlukan.” 
            “Saya tahu pakcik perlukannya.”
            “Pakcik tolong anak ikhlas.  Ambillah balik duit ni.”  Rayyan memandang pelik.  Tidak pernah dia melihat orang yang menolak rezeki.  Bukan seringgit dua dia hulurkan, bahkan dua ratus ringgit.
            “Tapi pakcik…”
            “Panggil saja pakcik Ismail.”  Pak Ismail memperkenalkan dirinya. 
            “Nama saya, Rayyan pakcik.  Pakcik, tolonglah terima.”  Tangan Rayyan masih lagi menghulurkan wang tersebut.
            “Tak perlu.  Anak sedekahkan pada yang lain.  Pakcik tolong tak harapkan apa-apa. Bahaya kalau pakcik pegang duit banyak-banyak ni.”
            Rayyan merasa serba salah untuk masukkan kembali wang berkenaan.  Namun atas desakan Pak Ismail, dia akur.  Entah mengapa, satu perasaan yang menyelinap di dalam hati Rayyan.  Perasaan yang dia sendiri tidak boleh gambarkan.  Masakan tiada tempat tinggal pakcik ni?  Di mana anak-anaknya?  Dia dihalau keluar rumahkah?  Bertalu-talu persoalan yang bermain di dalam fikiran Rayyan. 
            Tiba-tiba telefon bimbit Rayyan berbunyi.  Tertera nama Pak Mat di skrin telefon bimbitnya.  Mungkin sudah siap agaknya. Telahan Rayyan. Selesai sahaja dia menjawab panggilan Pak Mat, dengan berat hati Rayyan memandang kepada Pak Ismail untuk meninggalkan lelaki itu.
            “Pakcik, saya kena gerak dulu.  Insha Allah…. Ada masa kita jumpa lagi.  Pakcik ada kat sini sentiasa ke?”
            “Mana lagi pakcik nak pergi.  Sini sajalah tempat pakcik.”  Rayyan tersenyum.  Namun jauh di sudut hati, perasaan Rayyan melonjak untuk mengetahui akan lelaki yang dia kenali dengan pakcik Ismail. 
            Berat kaki Rayyan untuk melangkah pergi.  Perlahan sahaja dia mengatur langkah sambil dia berpaling ke belakang.  Saat dia berpaling, ada seorang gadis yang singgah di tempat Pak Ismail sambil membawa beg plastik.  Beg plastik itu kemudiannya bertukar tangan. Siapa pula gadis itu?  Apa kena mengena pula gadis itu dengan pakcik Ismail?  Rayyan ingin kembali kepada Pak Ismail namun dia matikan sahaja niat itu.  Rayyan menuruni anak tangga dengan perasaan yang berbaur.  Wajah Pak Ismail kian jelas di ruang matanya.  Redup mata Pak Ismail bagaikan menceritakan satu penderitaan. 
            “Dah siap Pak Mat?” Tanya Rayyan sebaik sahaja sampai di kereta. 
            Pak Mat berpaling.  Saat dia memandang kepada Rayyan, dia pasti ada sesuatu yang telah terjadi.  Wajah Rayyan tidak seperti tadi.  Malah, tiada satu barang pun yang dibeli oleh Rayyan.  Pak Mat melihat Rayyan seperti terpinga-pinga.  Hajat hati dia cuba untuk tahu apa yang telah terjadi, namun lidahnya kelu untuk bersuara.  Akhirnya dia matikan hajat untuk bertanya.
            “Kalau dah siap kita balik.”  Ujar Rayyan yang segera membuka pintu kereta. 
            Pak Mat tidak menyambut sebaliknya dia membuka pintu kereta dan terus berlalu meninggalkan tempat itu.  Pak Mat masih lagi memandang kepada Rayyan.  Dia melihat anak muda itu kelihatan sedikit binggung.  Rayyan banyak termenung seolah memikirkan sesuatu.
            “Encik Rayyan tak ada apa-apa ke?  Pak Mat tengok Encik Rayyan macam risau aje.”  Melihatkan wajah Rayyan itu, Pak Mat seolah tidak senang hati.  Akhirnya bersuara dan bertanya.
            “Tak ada apa, Pak Mat.  Saya okey.”  Ada segaris senyuman di bibir Rayyan.
            Hati Pak Mat menjadi pelik.  Sebelum ini dia susah untuk mendengar suara Rayyan yang mendatar.  Malah, untuk melihatkan Rayyan tersenyum bagaikan terseksa dibuatnya.  Pak Mat tidak bertanya lagi, sebaliknya membiarkan Rayyan melayani perasaan sendiri. 
            Semenjak dari itu, Rayyan sering kali teringatkan Pak Ismail.  Wajah lelaki itu tidak pernah padam dari ingatan dan fikirannya.  Sihatkah dia? Makankah dia?  Rayyan mengeluh perlahan dan entah mengapa, hatinya melonjak untuk bertemu sekali lagi dengan Pak Ismail.  Beg kertas yang mengandungi pakaian dipandang dengan penuh makna.  Renungan kasih sayang dari Pak Ismail membuatkan dia tidur tak lena.  Apa yang pasti, dia akan berjumpa lagi dengan lelaki itu.
            Petang itu, sebaik sahaja pulang dari kerja, Rayyan meminta Pak Mat memberhentikan kereta di jejantas tempat dia bertemu dengan Pak Ismail.  Beg kertas yang berada di sisi dicapai dan terus keluar dari perut kereta.  Pak Mat sekadar memerhati.  Hati Pak Mat terdetik dengan perubahan sikap Rayyan yang tiba-tiba berubah.  Hari ini boleh nak berhenti di sini.  Nak pergi mana pula bos aku ni?  Hati Pak Mat mula dilanda perasaan ingin tahu.  Dia pun risau juga kalau ada orang mengapa-apakan Rayyan.
            “Pak Mat, saya mungkin lewat sikit.  Pak Mat pergilah jalan dulu. Nanti saya telefon Pak Mat.”  Pesan  Rayyan.
            “Tapi Encik Rayyan nak pergi mana?  Nak Pak Mat temankan ke?”  Tanya Pak Mat yang mula rasa tidak sedap hati.
            “Saya okeylah Pak Mat.  Saya ada kat sini aje.  Pak Mat janganlah risau.” Senyum Rayyan.
            Melihatkan senyuman Rayyan itu. makin pelik pula Pak Mat dengan kelakuan Rayyan.  Perubahan itu sebenarnya menggembirakan hati Pak Mat.  Tidak pernah dia melihat Rayyan yang sentiasa tersenyum itu.  Hurm…. Mungkin nak berjumpa dengan buah hati kut?  Telahan hati Pak Mat.  Kali ini senyuman Pak Mat pula yang bertamu.  Kalau betullah Rayyan sudah ada buah hati dan menyebabkan Rayyan berubah seperti ini, dia mahu berjumpa dengan gadis itu dan mengucapkan terima kasih. 
            “Kalau macam tu, Pak Mat tunggu sini ajelah.  Lagi pun Pak Mat tak tahu nak pergi mana. Kalau Encik Rayyan perlukan apa-apa beritahu dengan Pak Mat.”  Ujar Pak Mat.
            Rayyan mengangguk sambil melemparkan senyuman.  Berkali-kali Pak Mat memandang kepada Rayyan seolah tidak percaya lelaki Rayyan adalah sama yang dia kenal sebelum ini.  Rayyan menaiki anak tangga jejantas dengan perasaan gembira yang tidak terkata.  Sebaik sahaja tiba di anak tangga terakhir, dia melihat gadis yang sama ada bersama-sama dengan pakcik Ismail.
            Rayyan menghampiri  pakcik Ismail dengan beg kertas di tangan.  Ketika menyedari akan kedatangan Rayyan, Pak Ismail berpaling dan tersenyum.  Rayyan menyambut senyuman dan senyumannya kemudian beralih kepada gadis di sebelah Pak Ismail.  Namun senyuman Rayyan tidak bersambut.  Malah, gadis itu memandangnya dengan perasaan takut. 
            “Pakcik sihat?”  Tegur Rayyan sambil bersalam dengan Pak Ismail.
            “Sihat, al-hamdulillah.  Ini pakcik kenalkan, Qaseh.” 
            Qaseh tidak memandang kepada Rayyan sebaliknya dia hanya tunduk. Bukan dia tidak mahu membalas senyuman Rayyan, namun dia takut kalau  Rayyan perasaan akan dirinya.  Rayyan adalah CEO dan majikannya.  Sedangkan dia hanya tukang cuci di bangunan milik Rayyan. 
            “Ini ada buah tangan untuk pakcik.”
            “Apa ni Rayyan, tak payah nak susah-susah. Pacik tak nak semua ni.”
            “Ambillah pakcik.  Tanda terima kasih saya pada pakcik.  Saya ikhlas.”  Pak Ismail menurut.  Akhirnya beg kertas itu mula bertukar tangan.
            “Ini anak pakcik ke?”  Tanya Rayyan yang lirikannya masih lagi kepada Qaseh.  Gadis itu benar-benar tidak berani memandang ke arahnya.  Senyuman Rayyan bertamu.   Tidak lama kemudian, kedengaran Pak Ismail tertawa kecil.
            “Bukan, ini Qaseh.  Setiap hari dia mesti jumpa dengan pakcik. Berikan bekalan untuk pakcik. Pagi dengan tengahari biasanya dia singgah saja.  Petang balik kerja barulah boleh nak berborak panjang.”  Cerita Pak Ismail. 
            Rayyan sekadar melirik kepada Qaseh sekali lagi.  Qaseh masih lagi tidak memandang kepada Rayyan sebaliknya terus tunduk. Entah mengapa, melihat kepada Qaseh hatinya bagaikan dipalu.  Debarannya bagaikan tiada henti. Haish!  Kenapa ni? 
            “Awak selalu datang jumpa dengan pakcik Ismail ke?”  Tanya Rayyan perlahan.
            Kali ini barulah Qaseh berani memandang.  Itu pun tidak terus kepada Rayyan.
            “Hari-hari saya berjumpa dengan pakcik Ismail.  Saya dah anggap macam ayah saya sendiri.”
            Rayyan terdiam.  Seraya itu dia memandang kepada Pak Ismail.
            “Qaseh ni budak baik.”  Melebar senyuman Qaseh apabila dia dipuji.
“Saya tak sampai hati tengok pakcik Ismail.  Kalaulah saya boleh bawa dia balik rumah, tapi itulah.  Saya pun duduk rumah sewa.  Ramai pula tu.”
Pandangan Qaseh kemudiannya kepada Pak Ismail yang sudah pun dia anggap lelaki itu seperti ayah.  Kerana dia pun adalah anak yatim piatu. Betapa dia merasa gembira saat bersama-sama dengan Pak Ismail, kerana lelaki itu banyak memberikan panduan dan nasihat kepadanya.  Tambahan lagi dengan kehidupan di metropolitan yang kian mencabar.  Rayyan tersentak apabila dia disapa oleh Pak Ismail.  Wajah Pak Ismail ditatap.  Lama. 
Rayyan bersila di sebelah Pak Ismail.  Dia memandang ke hadapan.  Sayup angin menampar pipinya membuatkan dia terleka sejenak.  Walau pun ramai orang yang lalu lalang namun hati Rayyan bagaikan tenang dan damai.  Tidak lama kemudian, Rayyan melihat Qaseh sudah pun bangun.  Rayyan mendongak dan memandang.  La…. Dah nak balik ke?  Baru nak beramah mesra.
“Saya balik dulu, pakcik.  Encik Rayyan saya balik dulu.”  Izin Qaseh dengan senyuman di bibir. 
Rayyan hanya memerhatikan sahaja Qaseh sehingga hilang dari pandangan matanya.  Pak Ismail tersenyum melihatkan gelagat Rayyan yang tidak lepas memandang kepada Qaseh.  Perlahan dia menepuk lembut bahu Rayyan.  Terus terkejut Rayyan ketika itu.  
“Lama pandang.”  Tegur Pak Ismail tersenyum.  Rayyan malu sendiri.  Hai, mesti pakcik ni fikirkan yang bukan-bukan tentang dirinya. 
“Dia budak yang baik, Rayyan.”
“Apa maksud pakcik?” 
“Dari Rayyan pandang dia.  Jangan nak malu, Rayyan.  Pakcik pun pernah muda dulu.” 
Rayyan tersenyum dengan usikan itu dan wajahnya mula merona merah.  Walau pun kelibat Qaseh sudah hilang dari pandangan mata, namun dia masih lagi memandang ke arah ruang jejantas saat dia melihat Qaseh buat kali terakhir.  Rayyan kemudiannya menoleh kepada Pak Ismail.  Semenjak dia bertemu dengan Pak Ismail, hatinya sering kali tertanya.  Rayyan cuba untuk membuka mulut, namun dia sebenarnya takut.  Takut sekiranya ayat yang meniti di bibirnya akan membuat hati lelaki tua itu tersentuh.
“Pakcik, kalau Rayyan tanya pakcik harap jangan marah.” 
Rayyan merapatkan silanya.
“Tanyalah Rayyan.  Pakcik takkan marah.”  Seraya itu Rayyan memandang.
“Pakcik tak ada keluarga?” 
Pertanyaan Rayyan itu kemudiannya disambut dengan keluhan kecil dari Pak Ismail.  Senyuman terukir di bibir Pak Ismail walau pun ianya kelat.  Buat sekali dua dia mendapat soalan seperti itu.  Malah, hampir semua yang dia jumpa bertanyakan soalan yang sama.  Dulu, semasa Qaseh mula mengenali dirinya, soalan yang sama dituju.  Bukan dia tidak mahu bercerita, namun itu membuatkan hatinya mula merintih.
Pak Ismail sekadar menggelengkan kepala.  Sudah tiga tahun dia menghuni laluan jejantas itu.  Ada yang simpati dengan nasib dirinya, malah ada juga yang memandang serong kepadanya.  Walau pun dia di situ, dia tidak pernah meminta sedekah kepada mana-mana orang yang lalu lalang.  Saban hari dia mengumpul tin kosong, kertas, kaca dan barang terbuang untuk dia teruskan hidup.  Dengan umurnya yang kian senja, siapalah yang mahu mengambilnya bekerja.  Walau pun dia sentiasa merasa perit dengan kehidupannya kini, namun dia tahu pasti ada sinar buat dirinya.  Mungkin tidak di dunia tetapi di akhirat kelak.
“Pakcik,”
Pak Ismail tersentak.
“Maafkan Rayyan kalau buat pakcik berkecil hati.”
“Rayyan tak buat salah.  Kalau pakcik ada di tempat Rayyan pun akan tanya perkara yang sama.”
“Kalau pakcik tak nak bercerita Rayyan tak nak paksa.”
“Biarlah pakcik tanggung sendiri, Rayyan.” 
“Kalau sendiri nanti makan diri.  Macam saya.”  Wajah Rayyan berubah.  Dia melepaskan keluhan berat.  Terus sahaja Pak Ismail memandang. Dia tidak faham dengan apa yang telah dikatakan oleh Rayyan sebentar tadi.
“Saya sebatang kara, pakcik.  Saya sendirian dalam hidup ini. Walau pun pakcik nampak saya seperti ini, tapi sebenarnya saya kosong.  Perasaan sunyi dan kosong itu saya lepaskan kepada semua orang.” 
Luahan hati Rayyan itu menyentak hati Pak Ismail.  Namun apa yang dia lihat tidak seperti yang digambarkan.  Rayyan yang dikenali tidak pernah pula memandangnya dengan perasaan hina.  Mustahil bagi Pak Ismail mengiakan kata-kata Rayyan itu. 
“Siapa kata kita ni bersendiri?  Rayyan jangan lupa yang kita ada Allah.  Allah ada sentiasa dengan kita untuk mendengar.  Apa yang tersirat di dalam hati Rayyan luahkan sahaja kepada Allah yang maha Esa.  Insha Allah… pakcik yakin hati Rayyan akan menjadi tenang.” 
Rayyan agak terpukul dengan kata-kata Pak Ismail itu.  Ah, saat itu dia merasakan yang dia begitu keji sekali.  Sering kali dia menolak takdir dengan apa yang telah terjadi.  Dia merasakan Allah tidak adil menarik semua insan yang dia sayang.  Namun sebenarnya dia lupa, dia mempunyai kemewahan yang sebenarnya boleh membawa dia kepada jalan yang diredhai.  Perasaan sebak mula melingkar di lubuk hati Rayyan.  Dia sepatutnya bersyukur kerana dikurnai dengan ayah tiri dan ibu yang begitu menyayanginya.  Namun semua itu sudah menjadi sejarah dalam hidupnya saat dia ditinggalkan sendirian.
“Rayyan, setiap apa yang Allah utuskan ada sebabnya.  Allah menghadiahkan dugaan untuk kita beriman kepada DIA.  Mungkin ada hikmahnya yang kita sendiri tidak tahu.  Ada masa Allah memberikan kita ujian kerana Allah nak berikan kita hadiah yang lebih bermakna.  Cuma kita sendiri tidak tahu bila dan bagaimana kerana itu adalah rahsia ALLAH.” 
Ya!  Kali ini Rayyan mula mengalah.  Air mata yang hampir jatuh disapu dengan perlahan.  Kata-kata Pak Ismail benar-benar membuatkan hati lelakinya tersentuh.  Ya Allah!  Betapa aku kerdil disampingMU.  Rayyan melihat Pak Ismail tersenyum. 
“Rayyan sepatutnya bersyukur dengan apa yang Rayyan ada sekarang ini.  Ada masa kita tak boleh memandang dengan mata kasar, kita kena melihat dengan mata hati.  Pandang sekeliling dan pasti ada yang lebih susah dari kita.” 
Rayyan masih lagi membisu.  Dia tidak tahu apakah yang perlu dia katakan ketika ini.  Dia membiarkan sahaja Pak Ismail sahaja yang berkata-kata.  Rayyan tunduk.  Nasihat dari Pak Ismail itu membuatkan dia tersedar.
“Rayyan boleh cari kebahagiaan Rayyan sendiri.  Tapi, kena dengan landasan yang Allah tetapkan.  Pakcik yakin, orang sebaik Rayyan pasti ada yang sedang menanti.  Pakcik doakan kebahagiaan Rayyan.”
Rayyan tersenyum pendek.
“Ada ke kebahagiaan buat saya, pakcik.  Saya pun tak pernah nak menghargai orang.  Apa lagi nak suruh orang sayangkan saya.”  Keluh Rayyan.
“Jangan terlalu cepat kita pertikaikan percaturan yang telah ditetapkan.  Pakcik yakin, kalau Rayyan beri ruang pada hati untuk terima orang, pasti orang akan sayangkan kita.  Sekarang ni pakcik nampak yang Rayyan sudah terima pakcik.  Pakcik yakin selepas ini, Rayyan akan terima yang lain pula.” 
Rayyan terdiam.  Dia kemudiannya tersenyum. 
“Eh, hari dah nak malam ni.  Pakcik nak ke masjid.  Lagi pun malam ni sudah masuk satu ramadhan.  Tak sabar pakcik nak kenakan baju baru yang Rayyan bagi.  Nanti ada masa kita borak lagi ye.  Itu pun kalau Rayyan sudi datang jumpa dengan pakcik.”
Rayyan menepuk dahinya.  Alamak!  Macam mana dia boleh lupa malam ini sudah bermula solat terawikh.  Dia kemudiannya membantu mengemas barang-barang Pak Ismail.  Segalanya dikutip dan dimasukkan di dalam beg plastik.  Rayyan melihat senyuman di bibir Pak Ismail tidak pernah padam.  Ah, mengapa dia dengan Pak Ismail jauh berbeza.  Lelaki itu tiada apa pun untuk dibanggakan, namun mempunyai hati yang bersih.  Sedangkan dia?  Dia mempunyai kehidupan yang mewah, tetapi dia miskin dengan iman dan ilmu akhirat.
“Marilah saya bawakan pakcik.”  Pelawa Rayyan.
“Tak perlulah Rayyan.  Bukan jauh sangat pun.  Pakcik dah biasa jalan kaki.  Lagi pun saja pakcik nak kumpul pahala.  Rayyan pergilah balik.  Sayang kalau kita lepaskan malam yang penuh berkat ni.”
Rayyan membantu Pak Ismail untuk bangun.  Dia senyum dan menyerahkan beg plastik dan beg kertas kepada Pak Ismail.  Dia memerhatikan sahaja Pak Ismail berlalu dari situ sehingga hilang dari pandangan matanya.  Mendengarkan nasihat dari Pak Ismail, mendorong Rayyan memikirkan semula tentang dirinya.  Dia merasakan dirinya begitu hina sekali. Rayyan melangkah perlahan dan dia melihat Pak Mat masih lagi setia menantikannya. 
Pak Mat menyedari akan wajah Rayyan yang begitu redup sekali.  Seolah ada sesuatu yang telah terjadi kepada majikannya.  Pak Mat cuma membiarkan Rayyan membuka pintu kereta.  Pelik dengan apa yang berlaku, Pak Mat terus masuk ke dalam perut kereta.  Biasanya, dia yang akan membuka pintu kereta untuk Rayyan.  Tadi, tidak sangka pula Rayyan membuka pintu kereta sendiri.  Namun apa yang memeranjatkan hati Pak Mat, boleh pula si Rayyan tu duduk depan.  Kebiasaan majikannya itu akan duduk di belakang. 
“Pak Mat,”
Pak Mat berpaling.
“Malam ni dah masuk satu Ramadhan kan.”
“Kenapa Encik Rayyan?  Encik Rayyan ada nak pergi mana-mana ke?”
“Itulah, saya rasa nak pergi satu tempat.  Biasanya Pak Mat ikut saya, kan.  Kali ini saya nak ikut Pak Mat pulak.”
Pak Mat tersentak.  Memang dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Rayyan itu.  Sudah!  Kenapa pulak dengan majikan aku sorang ni.  Tak pernah nak ikut orang.  Hari ni mimpi apa pula sampai nak ikut orang.
“Maafkan Pak Mat.  Pak Mat tak faham.”
“Nanti ajak Mak Kiah sekali ya.”  Ujar Rayyan yang membuatkan hati Pak Mat terus pelik.
“Kemana pula Encik Rayyan nak ikut Pak Mat?  Cuma malam ni Pak Mat nak pergi masjid.  Ada terawikh.”
            “Saya nak ikut.  Pak Mat bawa balik kereta ni, lepas maghrib Pak Mat ambil saya.” 
            “Encik Rayyan jangan main-main.  Takkan nak ikut Pak Mat pulak.  Tak pernah nak ikut.  Encik Rayyan okey tak ni?”
            “Untuk pertama kali, saya rasa tenang sekali Pak Mat.” 
            Pak Mat melirik kepada Rayyan.  Senyuman yang terukir di bibir Rayyan membuatkan Pak Mat masih lagi tertanya-tanya.  Sebenarnya, apa yang dah jadi? Rayyan memandang kepada Pak Mat.  Pemandu peribadi yang sudah lama berkhidmat dengannya tetapi jarang sekali dia bertanya khabar apa lagi untuk dia berbual.  Apa yang dia tahu, Pak Mat punyai isteri yang bernama Mak Kiah.  Itu sahaja yang dia tahu.  Yang lain?  Haram satu pun tak pernah dia nak bertanya. 
            “Pak Mat ada anak?”  Pertanyaan itu membuatkan Pak Mat berpaling.
            “Encik Rayyan, kalau ada masalah beritahu aje dengan Pak Mat.  Kenapa pulak hari ni macam pelik perangai Encik Rayyan?” Meledak tawa Rayyan.
            “Nampak sangat ke Pak Mat?  Ala… saja nak tahu.  Saya tak pernah nak ambil tahu hal orang.  Nak lagi orang macam Pak Mat, orang yang bekerja dengan saya.”
            “Rasanya mesti ada yang membuatkan Encik Rayyan jadi macam ni.  Nak kogsi dengan Pak Mat?”
            “Semenjak kecil, saya kehilangan orang yang saya sayang.  Saya tak tahu bagaimana untuk saya luahkan kasih sayang saya.  Pada saya, seorang itu adalah lebih baik.  Tapi itu membuatkan saya lebih sunyi.  Saya merasa kosong, Pak Mat.”  Ada nada kesal di situ. 
            “Encik Rayyan janganlah cakap macam tu.  Satu hari nanti ada yang penuhkan kekosongan Encik Rayyan tu.  Pak Mat yakin semua tu.  Macam inilah, raya nanti Pak Mat kenalkan keluarga Pak Mat dengan Encik Rayyan.  Itu pun kalau…”
            “Saya seribu kali sudi, Pak Mat.”  Belum sempat Pak Mat meyambung kata-kata Rayyan sudah terlebih dahulu memotong.
            Pak Mat tersenyum.  Dia terus berdoa agar majikannya itu akan terus berubah.
            QASEH terkejut apabila dia disergah oleh rakannya, Sapiah.  Mahu gugur jantungnya apabila mendengarkan suara Sapiah yang begitu memetir.  Sudahlah masuk tak diberinya salam, boleh pulak dia menjerit macam nak runtuh bangunan. 
            “Kenapa Sapiah?”  Tanya Qaseh yang terkulat-kulat memandang kepada Sapiah.
            “Beb, kau kemaskan bilik Encik Rayyan kan pagi tadi?”
            Qaseh mengangguk perlahan.  Hari ini, dia ditugaskan membersihkan bilik Rayyan memandangkan Kak Munah tidak sihat hari ini.  Kalau bukan Kak Munah, yang menggantikan Kak Munah tu biasanya si Milah.  Hari ni boleh pulak si Milah tu cuti kecemasan.  Nak atau tidak terpaksalah dia mengemas bilik CEO apabila diarahkan oleh setiausaha Rayyan.  Bukan dia tak nak buat,  inilah masalah kalau dia mengemas.  Mesti encik CEO tu tengah naik tocang kat atas.
            “Kau ada usik barang-barang dia tak?”
            “Er…”
            “Aku tanya dengan kau ni.  Kau ada usik barang dia tak?”
            “Aku tak usik.  Tapi aku ada kemas fail dia yang berselerak tadi.  Kenapa?  Salah ke aku kemas fail dia?”
            “Eh, kan kau tahu yang dia tak suka kalau barang dia diusik.  Tugas kau cuci aje.  Kau tahu tak dia dah naik hantu kat atas tu.  Dia nak jumpa dengan orang yang kemas bilik dia.  Habis kau Qaseh.” 
            Aduh!  Bala!  Qaseh sudah tidak senang duduk.  Menyesal pula dia mengemaskan fail di bilik Rayyan.  Tapi nak buat macam mana?  Dia dah mengamuk kat atas tu.  Qaseh menggarukan kepala yang tidak gatal.  Paling tak best, nak jumpa pula tu.  Sah!  Kena maki jawabnya. 
            “Kau tunggu apa lagi?  Pergilah cepat.  Lagi lambat kau jumpa dia, naik hantu pulak dia.”  Sapiah menarik tangan Qaseh. 
            Langkah Qaseh merasakan begitu berat sekali.  Nafasnya bagaikan terhenti saat dia berada di hadapan pintu bilik Rayyan.  Jantungnya dari tadi tidak berhenti berdetak kencang.  Banyak betul doa yang dia baca semata-mata untuk lembutkan hati majikannya itu.  Pintu bilik diketuk perlahan.  Suara Rayyan yang sayup kedengaran membuatkan Qaseh memulaskan pintu bilik Rayyan.  Qaseh tunduk saat dia melangkah masuk ke dalam bilik itu. 
            “Awak yang kemaskan bilik saya?”  Pertanyaan keras dari Rayyan itu disambut dengan anggukkan kecik milik Qaseh.  Sumpah!  Dia tidak berani untuk memandang kepada Rayyan ketika ini.
            Namun hanya itu sahaja suara yang didengari oleh Qaseh.  Kemudian, keadaan menjadi sunyi seketika.  Pulak!  Apa dah jadi?  Kenapa senyap?  Qaseh cuba untuk mendongak namun dia tidak berani.  Dia masih lagi menunggu kata-kata dari Rayyan.  Namun hampa.  Lama juga dia berdiri di situ dengan merenung lantai. 
            “Qaseh,” 
            Qaseh terus mendongak.  Kali ini dia bertentang mata dengan Rayyan.  Saat itu, jantungnya bagaikan terhenti apabila dia melihat Rayyan tersenyum kepadanya.  Qaseh meliarkan pandangan.  Yalah, mana tahu yang dia tu senyum dengan orang lain.  Tapi tak mungkin sebab dia panggil nama aku. 
            “Saya tak sangka yang awak kerja dengan saya.”  Lontaran suara yang lunak itu  membuatkan Qaseh menunduk kembali. 
            “Saya minta maaf, Encik Rayyan sebab dah susahkan Encik Rayyan.  Saya janji saya takkan usik lagi barang-barang Encik Rayyan lagi.”  Ujar Qaseh dengan penuh getaran.  Dia merasakan air matanya hampir mahu mengalir. 
            Melihatkan wajah Qaseh yang berubah itu membuatkan Rayyan menjadi serba-salah.  Nampaknya ada pula yang banjir kilat dalam bilik ni.  Entah mengapa, hati Rayyan pula menjadi tidak tenang.  Wajah gadis yang berada dihadapannya mula dipandang.
            “Awak janganlah nak menangis.  Saya dah jumpa dengan fail tu.”  Pujuk Rayyan. 
            “Kalau tak ada apa-apa saya balik tempat saya.  Saya minta maaf banyak Encik Rayyan dengan apa yang terjadi.” 
            Saat kali Qaseh mahu melangkah, namanya diseru sekali lagi.  Langkah Qaseh mati.  Dia berpaling, dan sekali lagi dia melihat Rayyan tersenyum lagi.  Hati Qaseh mula rasa gundah gulana.  Wahai hati, tenanglah dikau. 
            “Hari ni awak nak jumpa dengan pakcik Ismail ke?”
            Tanpa suara Qaseh mengangguk. 
            “Saya nak ikut.”  Kali ini terbuntang mata Qaseh mendengarkan rayuan Rayyan.  Betul ke tidak dia ni?  Nak ikut orang pulak.
            “Saya nak pergi beli makanan untuk dia. Lagi pun saya jalan aje kaki Encik Rayyan.  Tak perlulah ikut saya.” 
            “Saya betul-betul nak ikut awak.  Tolonglah.  Kita pergi bazar Ramadhan belikan makanan dia nak?”  Qaseh melihat Rayyan begitu beria-ia mengikutnya.
            “Saya tak nak Encik Rayyan susah nanti.  Tak apa, saya boleh belikan makanan untuk dia.”  Qaseh sebenarnya malu diajak oleh Rayyan.  Nanti kalau orang lain nampak apa pula kata orang.  Dia sedar siapa dirinya.  Namun ajakan dari Rayyan itu begitu jujur. 
            “Please…. Qaseh.  Saya nak sangat tahu tentang pakcik Ismail.” 
            Qaseh memandang kepada Rayyan.  Rasa kasihan pula dia melihatkan wajah Rayyan yang begitu mengharap.  Melebar senyuman Rayyan apabila Qaseh mengangguk perlahan.  Riang hati Rayyan apabila Qaseh sudi terima pelawaannya.  Tidak sabar untuk dia berbual tentang Pak Ismail bahkan dia ingin juga mengenali akan gadis itu.  Gadis yang sedikit sebanyak telah menambat hati lelakinya.
            Jam sudah menunjukkan ke angka 4.30 petang.  Rayyan lantas mencapai telefon bimbit dan kot yang tersangkut di kerusi.  Tidak lupa juga dia mencapai beg bimbit di atas meja.  Dia perlu sampai dulu di bawah sebelum Qaseh.  Yalah, mana tahu kalau Qaseh sudah pulang awal.  Pasti dia akan menggigit jari nanti. 
            Sebaik sahaja kakinya melangkah keluar, dia melihat Pak Mat sudah pun menunggu.  Seperti biasa, Pak Mat akan membukakan pintu untuknya.  Pandangan Rayya kemudiannya kepada wanita yang pernah dia herdik dulu.  Kelihatan wanita itu mula meninggalkan bangunan itu apabila menyedari akan kehadiran Rayyan.
            “Makcik,”  Wanita itu berhenti.
            “Maaf nak, makcik pergi dari sini sekarang juga.” Takut pula wanita itu dengan Rayyan.  Peristiwa saat diherdik oleh Rayyan masih jelas dalam ingatan.  Sebelum dia dimarah lagi, baik dia larikan diri.
            “Makcik, maafkan saya.”  Ucapan itu membuatkan wanita itu terpinga-pinga.
            “Saya dah berkasar dengan makcik.  Siapa ya nama makcik?”
            “Er…. Limah.  Panggil saja Mak Limah.”  Mak Limah mula berpaling dan mahu meninggalkan tempat itu.
            “Mak Limah, saya nak beli semua keropok Mak Limah tu.”  Langkah Mak Limah terus mati.  Dia seperti tidak percaya dengan apa yang baru dia dengar. 
            “Anak tak main-main?”  Rayyan tersenyum menggeleng. 
            “Saya beli semua sekali.  Ini duitnya.”  Rayyan mencapai beg duit dan menyerahkan beberapa note kepada Mak Limah. 
            “Banyak sangat ni, nak.  Mak Limah tak ada duit nak tukar.”
            “Tak apa Mak Limah.  Mak Limah ambil aje semua ni.  Saya belanja.”  Hampir bergenang air mata Mak Limah.  Dia menyerahkan plastik yang penuh dengan keropok kepada Rayyan.  Rayyan menyambut dengan penuh gembira.
            “Mak Limah doakan anak dapat kebahagiaan dan dimurahkan rezeki.” 
Saat itu, bergetar seluruh tubuh Rayyan.  Pak Mat yang berada tidak jauh dari situ tersenyum gembira.  Mak Limah berlalu dengan perasaan terharu dan gembira.  Dia telah meninggalkan satu perasaan sebak yang tidak boleh digambarkan oleh Rayyan.  Ah, betapa dia tenang dan gembira dengan kata-kata yang berbau doa  itu.  Plastik yang penuh dengan keropok itu diserahkan di meja pertanyaan.
            “Awak berikan sahaja keropok ni pada semua.”  Pesan Rayyan.  Terkejut juga pekerja ni kaunter pertanyaan itu.  Sebelum ini, dia tidak pernah melihat Rayyan bertegur dengannya.  Hari ini, boleh pula dia berikan keropok dua plastik besar sambil tersenyum manis.  Pelik!
            “Jom Encik Rayyan, kita balik.”  Ajak Pak Mat.
            “Kejap Pak Mat.  Saya kena tunggu seseorang.  Mungkin sekejap lagi dia keluar.” 
            Pak Mat mengerutkan dahi.  Rasanya Rayyan tiada temu janji hari ini.  Tambahan pula bulan puasa begini.  Rayyan selalunya akan menghadkan temujanjinya.  Tidak lama kemudian, melebar senyuman Rayyan apabila melihatkan Qaseh mula melangkah keluar dari bangunan.
            “Marilah masuk.” Pelawa Rayyan.
            “Tak apalah Encik Rayyan saya duduk di depan dengan Pak Mat.”  Pinta Qaseh. 
            “Awak duduk sajalah belakang.  Saya duduk depan.”
            “Tak nak.  Nanti macam pelik pulak.  Encik Rayyan kan bos.”
            “Bos tak bos.  Ke awak nak jemaah sekali dengan saya duduk belakang?”  Sepantas kilat Qaseh sudah pun masuk ke dalam perut kereta.  Merona pipi Qaseh apabila dia disergah begitu.
            Rayyan kemudiannya duduk di hadapan bersebelahan dengan Pak Mat.  Dari tadi senyuman dari bibir Pak Mat tidak pernah putus.  Tambahan lagi saat melihatkan wajah Rayyan yang berseri-seri itu. 
            “Pak Mat, nanti kita singgah kat bazar Ramadhan.”
            “Encik Rayyan nak beli juadah ke?”
            “Kita pergi sekali.”  Pak Mat mengangguk. 
            Pak Mat memandang kepada Qaseh yang duduknya tidak senang.  Mahukan tidak, majikan duduk di depan sedangkan pekerja duduk dibelakan.  Tak ke pelik nampaknya.  Tetapi persoalannya sekarang, bila masa pula Rayyan bersama-sama dengan Qaseh.  Itu yang membuatkan hati tuanya pelik.  Dia bukannya tidak kenal dengan Qaseh.  Boleh dikatakan setiap hari dia akan berbual dengan Qaseh.  Tak ada pula Qaseh bercerita tentang Rayyan.
            “Nanti lepas beli makanan, Pak Mat singgah kat jejantas yang selalu kita singgah tu ya.”  Pinta Rayyan dengan gembira. 
            “Hari-hari Pak Mat tengok Encik Rayyan pergi ke sana.  Ada apa-apa ke?  Maaflah kalau Pak Mat ni bertanya.” 
            “Nak jumpa dengan kawan Pak Mat.  Lepas tu kita hantar Qaseh ni balik.”  Pak Mat mengangguk. 
            “Eh, tak apalah Encik Rayyan.  Lagi pun saya biasa nak tren. Laluan kita pun tak sama.”  Tolak Qaseh. 
            “Kan saya dah kata nak hantar.  Lagi pun bukan jauh sangat pun rumah awak.”
            Qaseh diam.  Takut pula dia nak bersuara.  Buatnya bos mengamuk, tak pasal-pasal kena humban dari tingkap kereta.  Saat tiba di Bazar Ramadhan, debaran Qaseh singgah sekali lagi apabila dia jalan beriringan dengan Rayyan.  Sesekali dia berpaling ke belakang.  Hai, Pak Mat ni boleh pulak dia senyum mengena.  Kelincahan mulut Rayyan yang bercerita membuatkan Qaseh diam seribu bahasa.  Dia hanya mengangguk atau menggeleng sahaja apabila ditanya. 
            “Qaseh nak beli apa, belilah.  Saya belanja.” 
            “Eh, tak apa.  Saya boleh beli sendiri.”  Tolak Qaseh.
            “Pakcik Ismail suka makan apa ya?”
            “Kalau tiba bulan puasa dia suka makan murtabak.  Biasanya tak sah kalau saya tak belikan untuk dia.”  Terang Qaseh.
            “Kalau Qaseh?”  Qaseh memandang.  Ah, nak menjeratlah tu.  Qaseh tidak menjawab sebaliknya meninggalkan Rayyan sendirian dalam keadaan terpinga-pinga.
            Rayyan tersenyum.  Dia membiarkan Qaseh di hadapan.  Rayyan mendapatkan Pak Mat dan bertanyakan sesuatu.  Pada mulanya Pak Mat agak keberatan untuk berterus-terang kerana risau juga apa yang akan dikatakan oleh Qaseh nanti.  Namun apabila dipaksa oleh Rayyan Pak Mat terpaksa juga memberitahu akan kuih kegemaran Qaseh.
            “Nah, kuih tepung pelita untuk awak.”  Qaseh tersentak.  Hesy, macam mana dia ni boleh tahu kuih kegemaran aku?  Ini mesti Pak Mat yang beritahu. Qaseh berpaling memandang kepada Pak Mat.  Pat Mat tersenggeh.  Memang sah Pak Mat yang beritahu makanan kegemarannya.
            “Tak payah nak susah, Encik Rayyan.  Saya boleh beli sendiri.”
            “Tak ada susahnya. Jom, kita dah lambat nak jumpa dengan pakcik.”  Ajak Rayyan. Qaseh akur dan terus mengekori langkah Rayyan.
            SAAT terpandangkan Rayyan yang bergandingan dengan Qaseh mengundang senyuman di bibir Pak Ismail.  Qaseh masih lagi kekok bersama-sama dengan Rayyan.  Rayyan merasa tidak sabar untuk berjumpa dengan Pak Ismail.  Kali ini Rayyan bertekad untuk mengajak Pak Ismail tinggal dengannya.  Dia merasa kasihan akan lelaki itu.  Semenjak dia bertemu dengan Pak Ismail, hidupnya sudah banyak berubah.  Jika dia tidak bertemu dengan Pak Ismail, sudah tentu dia tidak tenang seperti hari ini.  Dia sudah mula sayang dengan lelaki itu. 
            “Berseri-seri nampaknya hari ni.”  Tegur Pak Ismail kepada Rayyan yang sedang bersalam dengannya.
            “Nak jumpa dengan pakcik.  Mestilah gembira.” 
            “Ya ke, macam tak percaya.  Atau Rayyan gembira dapat jalan sama dengan Qaseh.”  Mendengarkan usikan Pak Ismail itu, membuatkan Qaseh malu sendiri.  Qaseh menjeling kepada Rayyan yang sudah tertawa kecil.
            “Pakcik ada-ada aje.  Janganlah buat Qaseh macam tu.  Kesian dia.” Saat Rayyan memandang kepada Qaseh, dia dapat melihat jelingan dari gadis itu.  Lantaran itu dia tersenyum kepada Qaseh.  Akhirnya Qaseh tunduk dan tidak lagi memandang kepada Rayyan.
            “Ini Rayyan ada bawakan pakcik murtabak.  Qaseh kata pakcik suka dengan murtabak.”  Plastik yang berisi murtabak mula bertukar tangan. 
            “Terima kasihlah Rayyan, Qaseh.  Semoga berbahagia hendaknya.”
            “Amin….” Sambut Rayyan. 
            Hai, rasa tak senang pula hati Qaseh apabila dipandang oleh Rayyan.  Dia hanya mampu melayani perasaannya sendiri.  Ini tak boleh jadi.  Qaseh kemudiannya meminta izin untuk pulang.  Saat itu dia dapat melihat akan perubahan pada wajah Rayyan.
            “Kan tadi saya dah kata yang saya akan hantar Qaseh balik.”
            “Tak apalah Encik Rayyan.  Nanti takut lambat pulak Encik Rayyan sampai rumah. Saya balik dulu.  Pakcik, Qaseh balik dulu.  Nanti kita jumpa lagi.” 
            Betapa hampa hati Rayyan apabila melihatkan Qaseh mula berlalu.  Dia tidak boleh menipu dirinya sendiri apabila dia merasa tenang saat bersama-sama dengan Qaseh.  Pak Ismail memandang kepada Rayyan yang seperti terpinga-pinga.  Memang sah anak muda ini sedang dilamun cinta. 
            “Pakcik rasa Rayyan pun kena balik juga.  Dah nak berbuka. Nanti kita borak lagi.”  Ujar Pak Ismail.
            “Ala… baru nak berborak dengan pakcik.”
            “Nak borak apa dengan pakcik ni.  Bukannya ada cerita apa pun.  Setakat cerita orang tua, siapa yang nak dengar.” 
            Senyum Rayyan mula mekar.
            “Tapi cerita pakcik berisi.  Saya ni banyak yang jahil.  Saya perlukan orang tua dalam hidup saya, pakcik.”  Nada Rayyan kendur.  Perasaan sedih menyelinap di seluruh tubuhnya.  Wajah kesanyangan tiba-tiba menari di ruang matanya.
            “Pakcik pun bukannya baik sangat untuk memberi nasihat kepada kamu.  Rayyan sendiri tengok macam mana keadaan pakcik, kan.”
            “Mungkin pakcik miskin, tapi pakcik kaya dengan iman.  Saya ni, mungkin kaya di mata orang tapi saya ni miskin di sisi Allah.”  Lantas Pak Ismail memandang kepada Rayyan yang wajahnya kelihatan amat sayu.
            “Sebab itu, dari muda lagi Rayyan kena dekatkan diri dengan Allah.  Allah memberi lorong untuk setiap umatnya berubah.  Mungkin Allah sudah beri petunjuk kepada Rayyan untuk Rayyan berubah.”
            “Dah perubahan itu, pendorongnya adalah pakcik.”
            “Apa yang pakcik dah buat, Rayyan.  Tiada apa pun.  Tapi kalau itu yang membuatkan Rayyan berubah, pakcik bersyukur sangat.”
            Rayyan memandang kepada Pak Ismail dengan penuh rasa kasih.  Dia masih lagi kemas dalam silanya.  Entah mengapa, begitu berat untuk dia meninggalkan Pak Ismail.  Namun dia perlu bergerak pergi kerana wang sudah pun menunjukkan ke angka 615 petang.  Terpaksa jugalah dia meminta izin untuk pulang ke rumah.  Sebelum lebih jauh dia meninggalkan Pak Ismail, dia berpaling.  Hatinya mula rasa tidak tenang.  Haish!  Kenapa ni?  Dengan berat hati dia melangkah ke kereta. 
            “Eh, mana Qaseh, Encik Rayyan?”  Tanya Pak Mat apabila melihat Rayyan yang jalan keseorangan. 
            “Dah balik, Pak Mat.  Dah, jom kita balik.”
            Pak Mat melihat riak muka Rayyan yang kelihatan sedih.  Dia tidak bersuara sehingga di dalam kereta. 
            “Encik Rayyan okey tak?  Macam sedih aje.  Kalau ada masalah, kongsilah dengan Pak Mat.  Mana tahu Pak Mat boleh tolong.”  Pujuk Pak Mat. 
            Rayyan menggeluh perlahan.  Mungkin ada baiknya dia berkongsi masalah dengan Pak Mat.  Ada mungkinnya juga hatinya menjadi senang dan tenang.  Raut wajah Pak Mat dipandang Rayyan seolah mencari kekuatan untuk dia bercerita.  Walau pun berat dirasakan, namun itulah yang perlu dia lakukan untuk tidak menanggung deritanya sendiri.
            “Pak Mat, apa pendapat Pak Mat kalau saya ajak seorang pakcik tinggal dengan saya?”  Akhirnya terluah juga apa yang sedang bergolak di dalam hatinya.
            Pantas sahaja Pak Mat berpaling.
            “Ismail ke?” 
            Mendengarkan nama itu, Rayyan terus tersentak.
            “Macam mana Pak Mat tahu?”
            “Qaseh selalu sahaja ceritakan pasal Ismail tu pada Pak Mat.  Qaseh memang kesiankan dia.  Itulah, apa yang boleh Qaseh buat.  Puas juga Qaseh pujuk rujuk ke jabatan kebajikan, tapi Pak Ismail kau tu kata yang dia boleh nak jaga diri sendiri.”
            “Rayyan ingatkan nak jumpa dengan pakcik Ismail lepas terawikh nanti.  Rayyan minta Pak Mat temankan saya, boleh?”  Pak Mat tersenyum.
            “Boleh, Encik Rayyan.  Pak Mat gembira kalau Encik Rayyan nak ajak tinggal sama.  Sekurang-kurangnya ada juga yang tolong tengokkan dia.  Maklumlah, apa yang Pak Mat tahu yang dia tu sebatang kara.”
            “Agak-agak betul tak tindakan saya ni Pak Mat?”
            “Rayyan, mungkin hari ini Rayyan membantu orang yang dalam kesusahan dan mana tahu masa Rayyan nanti pula yang tiba.  Walau macam mana pun Pak Mat sokong apa yang Rayyan buat sekarang nanti.  Nanti lepas terawikh kita jumpa dengan dia.  Mungkin dengan adanya Pak Mat hati Pak Ismail boleh lembut.”  Tutur Pak Mat.
            Terus bertamu senyuman di bibir Rayyan.  Memang itu niatnya, untuk menjaga lelaki yang pernah menyelamatkan nyawanya.  Ah, tidak sabar rasanya untuk dia berjumpa dengan Pak Ismail dan meluahkan hasrat untuk mengajak tinggal bersama.  Namun bukan wajah Pak Ismail sahaja yang bertandang di ruang mata, begitu juga dengan seraut wajah tenang miliik Qaseh.  Perasaan apakah ini?  Jatuh cintakah dia?
            Malam itu, sebaik sahaja habis solat terawikh dan menghantar Mak Kiah pulang ke rumah, Rayyan dan Pak Mat berlalu untuk bertemu dengan Pak Ismail.  Perasaan Rayyan ketika ini bagaikan bercampur baur.  Yalah, takut juga kalau pelawaannya ditolak oleh Pak Ismail.  Niatnya baik.  Dia ingin menjadikan Pak Ismail sebagai ayah angkatnya.  Dia ingin sangat merasai kasih sayang seorang ayah.
            Rayyan dan Pak Mat menaiki anak tangga jejantas sambil berbual kosong.  Kini, Pak Mat sudah tidak kekok lagi untuk berbual dengan Rayyan. Kalau tidak, nak memandang kepada Rayyan pun dia rasa takut. 
            “Oi!”  Jerit Rayyan apabila melihatkan beberapa orang sedang memukul Pak Ismail.  Bertempiaran mereka lari apabila menyedari ada orang lain di situ. 
Rayyan dan Pak Mat terus berlari mendapatkan Pak Ismail yang sudah tidak bermaya.  Rayyan memanggku Pak Ismail dengan debaran yang mula kencang.  Tubuhnya mula membahang.  Dada Rayyan mula sebak.  Air matanya hampir mengalir saat melihat tubuh Pak Ismail yang bengkak dan berlumuran dengan darah.  Barang-barang Pak Ismail bertaburan. 
“Kita panggil ambulan.  Lepas tu kita ke hospital.”  Ajak Pak Mat.  Kad pengenalan yang berada berhampiran dengan Pak Ismail dicapai. 
Rayyan kemudiannya pantas menghubungi ambulans dan menantikannya dengan penuh rasa debaran.  Dia masih lagi memangku Pak Ismail.  Air matanya dengan perlahan mula mengalir.  Betapa dia kasihankan Pak Ismail ketika ini.  Tangan Pak Ismail mula digenggam erat.  Saat mendengarkan bunyi siren, Rayyan mula menyeka air matanya.  Betapa dia merasa sedikit lega.
“Pak Mat, saya nak ikut ambulans.  Nanti kita jumpa di hospital.”  Bergetar suara Rayyan berkata. Pak Mat mengangguk lemah. 
Sebaik sahaja Pak Ismail di bawa ke Hospital, Pak Mat dengan segera berlalu ke kereta.  Hati Pak Mat juga mula rasa bimbang.  Dia berdoa tiada apa yang akan terjadi kepada Pak Ismail.  Sebaik sahaja sampai di hospital, Pak Ismail terus dimasukkan ke dalam wad kecemasan. Rayyan  melangkah perlahan ke kaunter untuk pendaftaran.  Namun saat dia melihat kad pengenalan Pak Ismail, tubuh Rayyan bagaikan longlai.  Nama dan nombor kad pengenalan Pak Ismail diamati. 
Kaki Rayyan bagaikan tidak berpijak.  Sekali lagi air mata lelakinya mula kalah.  Dia terduduk dengan sebak yang menggunung.  Pandangan Rayyan beralih apabila melihatkan Pak Mat melangkah ke arahnya bersama-sama dengan Qaseh.  Rayyan terus memeluk Pak Mat dengan air mata yang masih lagi bersisa.
“Sabar, Rayyan.  Doa saja yang baik-baik.”  Pujuk Pak Mat sambil menepuk lembut belakang anak muda itu. 
“Pak Mat…. Saya sudah jumpa dengan ayah kandung saya.”  Pak Mat tersentak.  Wajah Rayyan kemudiannya ditatap sayu.
“Pak Ismail ayah kandung saya, Pak Mat.  Ayah yang selama ini saya cari. Kenapa Pak Mat?  Kenapa saya berjumpa dengan dia dengan cara begini?”  Hati Pak Mat bergetar.  Qaseh menitiskan air mata perlahan.  Tangkai hatinya dijerut dengan perasaan sedih yang tidak terbendung. 
“Banyakkan sabar, Encik Rayyan.”  Pak Mat tidak putus memujuk.  Dia membiarkan sahaja Rayyan bersandar dibahunya dengan rasa sedih. 
“Ayah….”  Rayyan memejamkan mata.
Setahun berlalu….
            Rayyan menuruni anak tangga sambil membetulkan songkok yang sudah pun terlekat di kepala.  Sambil itu dia melemparkan sebuah senyuman manis.
            “Amboi ayah, bukan main handsome lagi.”  Pak Ismail berpaling.  Dia menyambut senyuman Rayyan sambil memandang kasih kepada anaknya.
            Al-hamdulillah…. Segala-galanya menjadi satu hadiah tidak ternilai buat Rayyan pada bulan Ramadhan tahun lepas.  Betapa dia bersyukur kerana bertemu dengan ayah kandung yang selama ini dia nantikan.  Pak Ismail bernasib baik kerana kecederaannya tidak terlalu serius, dan nasib baik Rayyan dan Pak Mat cepat tiba untuk menyelamatkan.  Pak Ismail merasa terlalu gembira kerana dapat ditemukan dengan anak yang sekian lama terpisah.  Kini dia yakin dengan berkat kesabaran, akhirnya kebahagian akan pasti menjelma.
            “Ayah ni nak pergi Rumah Kasih nak jumpa dengan kawan ke nak jumpa dengan Mak Limah?”  Usik Rayyan yang membuatkan Pak Ismail mencebikkan bibirnya.  Rayyan cuba membetulkan butang baju melayu milik ayahnya sambil tersenyum.
            Sudah enam bulan Rayyan mengusahakan Rumah Kasih untuk orang-orang tua.  Ayahnya juga selalu sahaja bertandang di sana.  Kalau ada masa juga, Rayyan akan menghabiskan masa di sana.  Namun Rayyan tahu, ayahnya itu pasti akan berjumpa dengan Mak Limah jika datang ke sana. 
            Rayyan senyum lagi.  “Senyum tu nak mengenakan ayahlah tu.”
            “Mana ada.  Ayah ni, ada-ada aje.  Tapi bagus juga kalau ayah dengan Mak Limah tu.  Dia pun baik orangnya.”  Tidak habis-habis Rayyan mengusik.
            “Ha, tu…. Bidadari Rayyan dah turun.”  Nasib baik Qaseh turun menyelamatkan Pak Ismail.  Kalau tidak, mesti dia diusik lagi.
            Melebar senyuman Rayyan apabila melihat isterinya turun dari tangga.  Ramadhan tahun lalu bukan sahaja dia bertemu dengan keluarga kandung, malah dia juga bertemu dengan insan yang telah memenuhi kasih sayang di hatinya.  Qaseh disunting menjadi isterinya yang sah.  Kini Rayyan tahu apa itu erti kebahagiaan.  Kebahagiaan bukanlah terletak kepada harta semata-mata.  Kasih sayang adalah lebih penting untuk segala-galanya. 
            “Sayang,” 
            “Jom abang.  Nanti lewat pula kita ke sana.”  Ajak Qaseh.  Rayyan meraih tangan Qaseh dan menggenggam erat.  Tangan isterinya dipimpin. 
            “Abang rasa, tahun depan rasanya keluarga kita dah lengkap.  Ada ayah dengan mak.”  Qaseh berpaling. 
            “Ada lagi, bang.  Tahun depan ayah dokong cucu pulak raya nanti.”  Rayyan ketawa dengan disambut oleh Pak Ismail. 

            Senyuman Rayyan terus mekar.  Kini, dia dapat segala-galanya.  Dengan apa yang dia ada, akan cuba untuk dikongsi agar ketenangan hatinya kian berkekalan.  Ketenagan hati adalah dari hati yang bersih.  Membantu, menolong sesama insan memberikan satu kepuasan yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata.  Wajah Pak Ismail dan Qaseh dipandang silih berganti.  Inilah insan yang paling bermakna di dalam hidupnya.  Saban hari dia berdoa agar kebahagiaan ini akan terus dinikmati sehingga nafasnya terhenti.  Amin….

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page