COPY RIGHT

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

novel : Bisikan Cinta Bab 3

Siti Norshimah Md Yasan | 5:39 AM |

BAB 3



            Maya menonton rancangan ‘Dark Angel’ dengan penuh khuyuk.  Setiap minggu cerita itu sering dinantikan.  Kalau ada perancangan untuk ke mana-mana dia sanggup membatalkannya.  Menonton rancangan kegemaran bersendirian membuatkan Maya semakin seronok.  Teman serumah semuanya sudah keluar.  Maria dan Shikin keluar membeli-belah.  Sampai sekarang masih lagi tak nampak batang hidung.  Rozita pula katanya ada temujanji. 

Sejak akhir-akhir ini temannya itu wajahnya sering berseri-seri. Al-maklumlah, sudah dapat gading bertuah tanduk dilupakan.  Siapa yang tak kenal dengan Rozita?  Selalu saja bertukar-tukar pasangan.  Tapi yang peliknya semuanya taste dia kalau bukan kekasih orang, tunang orang juga yang dia minat.  Kalau sudah terdesak, suami orang pun boleh jadi teman lelaki.  Bekas teman serumahnya yang lepas keluar dari rumah itu pun sebab Rozita.  Rozita perampas kekasih orang.

            Maya terkejut apabila terdengarkan bunyi loceng pintu.  Dengan rasa malas Maya bangkit dengan perlahan tanpa melepaskan pandangan ke arah kaca televisyen. Siapalah yang kacau orang malam-malam buta ni?  Tak boleh tengok orang senang.  Ada saja yang nak mengganggu.  Sebaik saja pintu di buka, wajah Maria dan Shikin silih berganti.

            “La…. kamu berdua rupanya.  Kenapa tak buka je pintu ni?”

            “Kami lupa nak bawa kunci.  Ini semuanya pasal si Marialah.  Nak cepat sangat sampai terlupa nak bawa kunci.”  Bebel Shikin.

            “Apa pulak aku.  Aku dah beritahu kau sebelum kau bersiap lagi.  Bawak kunci tu.  Kau juga yang kata yelah.  Aku mana tahu yang kau tak bawa.” Jawab Mariah sambil menunjukkan mukanya yang mencuka.

            “Sudah.  Kau orang berdua ni, janganlah bergaduh depan pintu ni.  Kalau nak bergaduh, pergi sana.  Kat padang tu, kau nak bertekak ke, nak bertumbuk ke, orang tak kisah.  Kalau kau memekak kat sini, silap hari bulan orang sebelah pamerkan penyapu buruk baru kau tahu.  Sudah, masuk.  Berjalan dahlah tak ingat dunia, balik je nak gaduh.”  Bebel Maya sambil tangannya menunding ke arah rumah sebelah.  Shikin dan Maria yang tidak berkata apa, terus masuk ke rumah.  Ada benarnya kata-kata Maya itu.  Buatnya orang sebelah bawa penyapu, tak ke jadi kes haru.

            Shikin dan Maria menghempaskan badannya di atas sofa bersebelahan dengan Maya.  Maya meneruskan pemerhatiannya kepada rancangan kegemaran yang tadinya tertangguh.

            “Eh, Ita belum balik lagi ke?” Tanya Shikin.  Matanya meliar melihat kelibat Rozita.  Walau pun dia tahu yang Rozita sering balik lambat namun dia sebagai seorang teman cuba mengambil berat.
            “Bukan kau tak kenal dengan budak Ita tu, kalau jam dinding belum capai jam dua belas tengah malam, jangan haraplah nak nampakkan batang hidung. Mana dia pergi aku pun tak tahu.  Telefon aku pun tidak.  Aku tengok dia dah tak ada dalam bilik.” Jawab Maya tanpa memandang ke arah Shikin yang masih lagi beria-ia mencari sahabatnya itu.

            “Macam Cinderella pulak si Ita tu.  Aku rasalah agaknya siapalah yang jadi ibu tiri dia sampai dia susah nak balik rumah ye.”  Sampuk Maria.  Maya senyap.

            “Ala… dia  keluar pun  bukannya nak beritahu ke mana nak pergi.  Kalau apa-apa yang berlaku bukan ke susah.  Dia sorang ni memang nak menyusahkan kita je.  Bila dapat bala masa itulah nak cari kita.  Kita di sini risau bagai nak gila dia senang-lenang dengan pakwe dia.” Bebel Shikin.   Pening kepalanya memikirkan perihal sahabatnya yang seorang itu. Suka sangat balik lambat.

            “Perempuan ni lagi satu.  Kalau tidak mulut dia yang paling bising.  Bila dah dapat cerita favorite, mulut macam berkunci.  Engkau dah makan ke belum?”  Maya mengangguk tanpa menjawab soalan Maria. 

            “Sudahlah.  Malas aku nak layan kau ni, Maya.  Shikin, aku nak naik dululah.  Letih badan ni. Aku nak mandi sekali.  Engkau kalau masuk blik air memang lambat nak keluar.  So, aku masuk dululah ye.” Maria mencapai beg kertas yang dipenuhi dengan baju-baju yang baru dibelinya dan dengan pantas kakinya mula melangkah pergi meninggalkan Maya dan Shikin di ruang tamu.

            Maya mengeliat sebentar.  Matanya kini kian mengantuk.  Rozita masih lagi belum pulang.  Maya segera menutup televisyen dan semua suis di ruang tamu.  Hanya lampu ruang makan sahaja dibiarkan terang.   Manalah tahu kalau rakannya itu balik, tak adalah teraba-raba dalam gelap.  Maya terkejut apabila pintu ruang tamu diketuk.  Segera ditinjau melalui jendela ruang tamu.  Kelibat Rozita mula bermain di ruang matanya.  Maya memerhatikan kereta yang baru sahaja meninggalkan ruang kawasan rumahnya.  Macam aku kenal.  Tapi dia mana ye.  Maya mengerutkan keningnya.  Ah, peduli apa aku.

            “Lambat kau balik, Ita.  Dah dekat pukul satu baru nak muncul.  Kau pergi mana?  Kenapa tak beritahu kami?  Kalau ada apa-apa yang terjadi siapa yang susah?  Kita juga yang susah.  Kau ni, janganlah buat macam ni selalu.  Kalau mak kau tanya  puas aku nak jawab.  Eh, siapa yang hantar kau tadi?”  Maya sempat mencungkil rahsia kawannya itu.

            “Engkau ni Maya banyak sangat cakap.  Aku bukannya budak kecil nak kau kongkong aku.  Umur aku sudah pun dua puluh empat tahun.  Bukan empat tahun untuk kau tahu ke mana aku pergi.  Sebelum kau nak jaga urusan orang, lebih baik kau jaga tepi kain kau sendiri.  Aku rimaslah kau ni.  Asyik nak membebel je.” Ujar Rozita tanpa memandang ke arah Maya. 

            “Aku bukan apa, aku risau kalau apa-apa terjadi pada kau.  Kau tu perempuan.  Aku takut kau juga yang terkena nanti.  Aku nak tanya kau sekali lagi, siapa yang hantar kau tadi?”

            “Yang kau peduli?  Aku bukannya adik aku atau kakak aku nak kau ambil tahu.  Kau tak perlu risau apa-apa tentang aku.  I can handle my life, okey.  Buat apa kau nak pening kepala pasal aku?   Ini hal aku.  Jangan nak ganggu. Oh ya, buat pengetahuan kau teman lelaki yang hantar aku tadi akan aku kenalkan pada kau dan juga yang lain.  Namun apa yang aku harapkan kau janganlah terkejut nanti.”

            “Apa maksud kau dengan perkataan ‘terkejut’ tu?  Cuba kau beritahu aku.  Aku nak tahu.”  Maya cuba merayu meminta simpati.  Dia mula rasa tidak senang hati.  Dari tawa dan kata-kata Rozita membuatkan dia tertanya-tanya.

            Rozita menggeleng. 

            “Bukan sekarang.”  Ujar Rozita dengan senyuman sinis.  Dia kemudiannya meninggalkan Maya keseorangan dengan melayani persoalan yang kini sarat mengundang fikirannya.

            “Ita, kau nak makan ke?”  Laung Maya apabila melihatkan Rozita sudah pun memanjat tangga untuk ke atas.


            “Tak payah. Aku dah kenyang dengan temujanji tadi.  Aku harap kau doakan supaya aku mimpi yang indah malam ini ye.”  Sambut Rozita dalam nada riang.  Namun, Maya yang masih setia di bawah terkedu.  Ah, seperti ada rahsia yang disimpan oleh Rozita. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2016 JIAKREATIFELT. All rights reserved. | Sign in|Top of page