COPY RIGHT

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Novel : Jalinan Cinta - Bab 1

Siti Norshimah Md Yasan | 5:21 AM |
BAB 1

            Fatimah bersimpuh sambil menuangkan teh untuk  suaminya, Borhan.  Suasana petang yang damai dengan hembusan angin lembut membuatkan Fatimah terleka sejenak.  Kuih seri muka yang dibuatnya tadi dihidangkan bersama.  Fatimah memandang ke arah baruh.  Padi yang menguning minta dituai.  Tidak lama lagi dia harus ke bendang. Ini membuatkan perniagaan nasi lemaknya akan dihentikan buat sementara waktu.  Awal pagi semalam Tijah sudah mula bersuara untuk bersama-sama ke bendang. Cuma dia saja yang tidak memberikan kata putus.  Takut untuk bersetuju dengan tiada pesetujuan dari suaminya. 
Fatimah mengeluh kecil.  Kuih seri muka yang dibuatnya pagi tadi dijamah.  Sesekali Fatimah memandang ke arah suaminya.  Terasa takut untuk menyatakan apa yang terbuku di hati. Namun seandainya tidak diberitahu dia juga yang akan terjerat nanti. Masakan dia perlu untuk melakukan dua kerja dalam masa yang sama.  Dia tekad. Dia tidak mahu Borhan selamanya menerima makan dan minum hasil titik peluhnya.  Biarlah rezeki sesuap nasi itu datangnya dari tulang empat kerat suaminya itu. 
Semenjak dia mendirikan rumahtangga dengan Borhan, suaminya itu tidak pernah bekerja.  Segala makan dan pakai ditanggung olehnya.  Namun dia bersyukur kerana Hasan memberikannya peluang untuk dia menjual nasi lemak.  Jika tidak, di manakah harus untuk dia mencari sesuap nasi? Ingin mengharapkan suaminya sehingga sekarang nafkah zahir tidak pernah dilaksanakan.
            “Kenapa dengan kau ni?  Macam ada yang tak kena je.  Kau ada masalah ke?”  Borhan mula bersuara memecah keheningan petang itu apabila terpandangkan Fatimah yang sentiasa merenung ke arahnya. 
Fatimah tidak segera menjawab malah pandangannya dilepaskan ke arah bendang.  Seolah-olah inginkan pengertian dari suaminya. Borhan yang tidak mengerti mencapai kuih seri muka yang sedia terhidang dan menjamahnya sedikit.  Anak matanya kemudian memandang ke arah Fatimah. Hati Fatimah masih lagi berdebar-debar dari tadi.  Perasaan takut masih bersarang di dalam dinding hatinya.
            “Kau ada duit?” 
Pertanyaan dari mulut Borhan membuatkan Fatimah tersentak.  Dia memandang ke arah Borhan.  Cuba mencari kepastian.  Borhan memandang tepat ke anak mata Fatimah. Fatimah kelu dengann kata-kata. Tidak cukupkah wang diberikannya semalam?  Wang yang diberikan memang cukup untuk mengenyangkan perut untuk sebulan.  Setakat menjual nasi lemak berapa sangatlah untung yang dia dapat.  Setakat untuk lepaskan rasa lapar pun sudah dikira beruntung. Ingin bermewah memang jauh sekali.  Setiap kali dia mendapat wang dari Hassan suaminya itu lebih dulu menuntut.
            “Semalam bukankah Timah dah berikan pada abang.  Takkan dah habis.  Abang buat apa dengan duit tu?” Borhan diam.  Dia masih lagi memandang keras ke  arah Fatimah.
            “Masih tak cukup lagikah?  Lima puluh ringgit bang.  Nilainya bukan sedikit.  Kenapa abang nak duit lagi?” Fatimah mula bersuara.
            “Kita bukannya berharta, bang.  Nak makan seharian pun kita tak mampu.  Abang nak buat apa dengan duit tu?”   Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Fatimah.  Walau bagaimana pun nada suaranya masih lagi dengan nada yang perlahan. 
            “Itu semalam.  Hari ni kau belum bagi lagi.  Kau jangan nak kedekut sangat.  Kalau cukup tak ada aku nak minta dengan kau.  Apalah bodoh sangat kau ni.  Berkahwin dengan kau bukan nak bagi senang aku.”
            “Abang, apa yang abang cakapkan ni? Timah tidak pernah berkira dengan abang.” 
“Dari dulu sampai sekarang selalu menyusahkan aku.  Bukan banyak yang aku nak.  Berapa yang kau ada kau bagi saja.  Esok lusa aku gantilah balik.”  Nada Borhan sedikit meninggi. Fatimah tunduk. Ada rasa sesal yang bertandang di hatinya.  Mengapakah suaminya itu tergamak berkata demikian.
Fatimah merenung ke arah suaminya.  Tidak tahu apakah yang perlu dia katakan. Ingin dituruti badan menjadi mangsa.  Meninggi suara pula ibarat menderhaka kepada suami.  Walaubagaimanapun sudah sekian lama dia berkahwin dengan Borhan selama itulah dia sering makan hati dengan perangai suaminya yang suka berjudi.  Keluar pagi, malam barulah pulang.  Itu pun dengan maki hamun dan cacian.  Kadang-kala air mata Fatimah bagaikan sudah kering bila mengenangkan untung nasibnya.  Gerbang perkahwinannya penuh dengan cabaran buat dirinya.  Kenangan manis tidak pernah singgah di ruang kehidupannya sekarang ini.
            “Maafkan Timah, bang.  Timah tak ada duit nak bagi pada abang sekarang.  Duit simpanan Timah semuanya dah berikan pada abang.  Yang ada pun tinggal untuk beli barang dapur.  Beras, gula, garam untuk nasi lemak nak juga dibeli.  Nanti kalau ada Timah bagilah pada abang.” Fatimah sedaya untuk memujuk suaminya itu.
            “Bukankah semalam Timah dah bagi abang lima puluh ringgit.  Takkan tak cukup lagi?  Berjimatlah sikit bang. Kita pun bukannya orang yang senang.”  Perlahan saja suara yang dilontarkan oleh Fatimah.  Cuba untuk menasihati suaminya itu.  Dia tunduk memerhatikan tikar mengkuang yang separuh abad itu. Tidak berani untuk dia bertentang mata dengan suaminya.
            “Siapa kau nak nasihatkan aku?  Suka hati akulah nak buat apa dengan duit tu. Yang kau bising-bising kenapa?  Nak merasa lagi pelempang aku?” 
Fatimah menggeleng.
“Sudah aku cakap tadi, nanti aku gantilah balik.  Yang kau takut sangat kenapa?  Mana duit untung jual nasi lemak semalam?  Mana kau letak?  Cakap!”  Merah mata Borhan membuatkan Fatimah takut untuk bertentang mata dengan suaminya. 
Hati Fatimah berbelah bagi.  Antara hidupnya dan juga kerakusan judi suaminya.  Di dalam genggamannya cuma ada tiga puluh sahaja.  Itu pun untuk membeli keperluan dapur.  Tapi andai kata duit itu tidak diberikan ke tangan suaminya sudah pasti dia akan ditampar atau diherdik. 
            “Maaf  bang, Timah tak dapat nak berikan apa abang.  Begini sajalah.  Semalam Tijah sudah beritahu dengan saya tentang bendang kita tu.  Dia ajak kita sama untuk menuai.”
            “Jadi maksud kau?”
“Timah rasa lebih baik abang menuai dulu.  Kalau ada rezeki lebih, bolehlah abang gunakan duit tu.  Timah boleh teruskan jual nasi lemak.  Macam mana fikiran abang?  Timah rasa sudah masanya abang bekerja.  Selama ini pun Timah yang menanggung makan pakai abang. Timah harap abang faham.”  Borhan mendengus keras mendengarkan cadangan dari Timah.  Pada Borhan, kerja tiada dalam kamus hidupnya.  Sebelum kahwin pun dia  hanya sekadar untuk mencuri perhatian dari Fatimah agar gadis pujaannya sanggup sehidup dan semati dengannya.
            “Malaslah aku.  Bukankah kau ada.  Apa yang susah sangat?  Pagi kau boleh jual nasi lemak, petang kau boleh turun ke bendang.” Ujar Borhan tegas. Kali ini dia pula yang member cadangan. 
“Pasal aku jangan kau bimbang.  Banyak lagi urusan yang aku nak buat di pekan sana.  Kau apa tahu?  Kalau setakat nak nasihatkan aku, lebih baik jangan nak berkahwin dengan aku.” Pandangan Borhan dilepaskan ke arah Fatimah.
  “Kau kena ingat.  Aku adalah suami kau.  Kau tak boleh ingkar dengan setiap apa yang aku arahkan.  Sekali lagi aku tanya mana  duit yang kau dapat semalam?  Sebelum tangan aku naik, bagi kau berikan.” Borhan sudah pun meninggikan suaranya. Panas baran Borhan memang sukar untuk dibendung.  Fatimah faham benar dengan perangai buruk suaminya itu. Fatimah terdiam.  Perlahan di bangkit menuju ke bilik.
            Fatimah menggenggam erat not sepuluh ringgit dua keping yang diperolehi dari Pak Hasan.  Hatinya sayu.  Dia buntu.  Ya Allah, apakah yang perlu kulakukan?  Dalam diam Fatimah menyorokkan sepuluh ringgit di bawah bantal.  Dia tidak mahu untuk berhutang lagi dengan Leha.  Dia malu, setiap kali dia ke kedai, dia akan berhutang. Dia tidak mahu setiap hutangnya dihitung dikemudian hari.  Fatimah kemudiannya  keluar menuju ke arah Borhan.  Dihulurkan dua puluh ringgit.  Namun Borhan kelihatan tidak puas hati.  Dia memandang tepat ke anak mata Fatimah untuk mencari kejujuran.
            “Takkan ini saja yang kau dapat?  Kau jangan nak tipu aku.  Mana lagi kau simpan duit hah?  Sudah aku beritahu dengan kau jangan nak tipu aku.  Kau nak merasa lagi penampar aku ni?” Borhan bangkit.  Matanya bertentang dengan Fatimah.   Fatimah tunduk.  Dia tidak tahan untuk bertentang mata dengan Borhan.  Setiap kali dia bertentang mata dengan Borhan hatinya sering kali berdebar kerana dia tahu, setiap renungan suaminya pasti akan berakhir dengan makian atau penampar di pipi.
            “Maaf bang, ini saja yang boleh saya berikan pada abang.  Semua simpanan Timah sudah pun Timah berikan pada abang.  Yang tinggal cuma dua puluh ringgit saja.  Abang ambillah.  Nanti kalau ada wang lebih Timah akan berikan pada abang.”  Fatimah cuba memujuk suaminya.  Borhan masih lagi tidak puas hati.  Dia tahu Fatimah cuba untuk berbohong.  Dari riak wajah Fatimah ianya telah mengambarkan segalanya.  Fatimah tidak pandai menipu. 
            “Aku tahu, kau tipu aku.  Aku sudah cakap tadikan, jangan nak tipu aku.  Aku tahu kau ada simpan wang di dalam.  Cepat!  Bagi aku semuanya!”  Herdik Borhan. Fatimah tersentak.  Fatimah kaget bila Borhan mula bertindak kasar.  Ditariknya tangan Fatimah keras menuju ke bilik. 
            “Timah cakap yang betul, bang.  Ini saja yang Timah ada.  Tolonglah bang.  Janganlah buat Timah macam ni.  Abang…  nanti kalau ada Timah berikanlah pada abang.  Timah merayu pada abang.  Tolonglah bang.  Sakit bang.” Fatimah mula merayu.  Namun Borhan tidak mengendahkan rayuan tersebut sebaliknya menghempaskan tubuh Fatimah ke atas katil.
            “Tahu pula kau sakit.  Kalau tak nak sakit, cepat beritahu aku mana kau simpan duit hah?!”  Tanya Borhan sambil menyelongkar almari baju.  Borhan hampa.  Tiada sesen pun di dalam almari tersebut. 
Sekali lagi soalan yang sama ditanyakan kepada Fatimah.  Fatimah menggeleng.  Borhan kemudiannya menuju ke katil.  Sarung bantal di buka dan dicampakkan ke bawah.  Ternyata Fatimah terkejut apabila wang yang disimpannya terjatuh di atas lantai.  Borhan tersenyum apabila terlihatkan not sepuluh ringgit di kakinya.
            “Dari tadi aku tahu kau tipu aku.  Sekarang ni aku tanya, ada lagi tak kau sorokkan duit?  Cepat!  Cari!”  Jerkah Borhan.  Dia masih belum berpuas hati dengan apa yang diperolehinya.  Tabiat berjudi kian beratapak di hati hitamnya.  Fatimah menangis dengan rintihan yang tiada kesudahan.  Hatinya remuk dan hancur mengenangkan perangai suaminya.
            “Sudah tak ada lagi, bang.  Ini saja yang Timah ada.  Timah minta maaf  bang.  Bukan niat Timah untuk menipu abang.  Duit ini sajalah buat Timah beli barang keperluan dapur.”
            “Arghhh.”
“Timah merayu pada abang.  Tolonglah berikan duit itu semula bang.  Timah dah malu untuk berhutang dengan Leha bang.”  Rayu Fatimah dalam tangisan.  Dia tahu, walau dia mengalir air mata darah sekali pun, duit di dalam genggaman Borhan tidak akan diperolehinya semula.  Pang!  Fatimah tersungkur.  Dia meraba pipi kanannya.  Dia pasrah.  Dia menangis teresak-esak dalam keperitan diri yang masih belum berakhir. 
            Borhan meninggalkan Fatimah seorang diri tanpa pesan.  Dicapainya baju kemeja yang tersangkut di belakang pintu.  Dia segera menghidupkan motor buruk kesayangannya.  Dalam tidak berapa lama dia sudah meninggalkan halaman rumahnya.  Yang pasti hatinya tiada lagi di rumah kecuali di meja judi.  Wajah Ah Meng, Yazid, Maniam dan beberapa orang lagi rakannya menjadi santapan ruangan mata.  Tinggallah Fatimah melayani perasaan pilu yang tidak pernah terucap.
            Malam itu, pukul 12 tengahmalam barulah Borhan menampakkan wajanya yang bengis itu.. Dengan tiada rasa bersalah dalam diri, Borhan terus ke dapur melihatkan hidangan yang ada.  Namun, dalam sekelip mata angin Borhan mula naik.  Yang ada cuma  tudung saji yang kosong!  Perutnya yang lapar sejak tadi menjadi kenyang.  Dengan amarah yang bertapak di hati wajah Fatimah mula dicari.
            “Bertuah punya betina.  Bukan nak siapkan makan minum aku, dia sibuk membuta dalam ni.  Hey!  Perempuan.  Bangun!  Kau tak ada kerja lain ke selain nak membuta.  Dari tadi apa yang kau buat hah!”  Tengking Borhan.  Suara lantang milik suaminya membuatkan Fatimah terjaga. 
            “Mana nasi?  Mana lauk?”  Rambut Fatimah menjadi mangsa.  Sekali lagi, Fatimah merayu.  Minta dilepaskan. 
            “Tolonglah abang.  Jangan buat Timah macam ni.  Beras dan lauk semuanya habis.  Lauk tengahari pun dah tak ada lagi.  Nasi lemak untuk esok pun saya tak boleh sediakan.  Timah minta ampun bang.”  Rayuan Fatimah itu sedikit pun tiada mengundang rasa kasihan di hati Borhan.  Sebaliknya tangan panas Borhan singgah di pipi kanan Fatimah.  Fatimah tersungkur.  Dia meraba pipinya yang sakit.  Dia mengalirkan air mata namun tiada sedikit pun rasa kasihan di hati Borhan. Bagaikan air mata itu tiada erti dalam hati dan naluri lelakinya.
            “Dah tahu  semuanya dah habis, takkan  tak pergi beli.  Habis apa guna kedai tu kalau tak boleh nak membeli.  Takkan nak buat perhiasan je.  Kau dengar sini, sekali kali kau buat macam ni, lagi teruk aku kerjakan kau.  Faham!” Borhan melepaskan Fatimah sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Fatimah yang tidak terurus itu.
            “Timah minta maaf bang.  Bukan Timah tak nak beli, tapi Timah tak ada duit.  Hutang Timah dengan Leha pun dah banyak.  Nanti Timah takut dia tak nak beri hutang lagi.  Hutang lama pun tak habis bayar lagi bang.” Luah Fatimah dalam sendunya.  Borhan seoalah-olah tidak memahami akan kata-kata isterinya.

            “Itu aku tak peduli.  Tugas kau adalah menjaga makan minum aku.  Bukan nak jaga tepi kain aku.  Habis kau nak suruh aku buat apa?  Nak bagi balik duit yang sudah kau berikan tadi?  Sudah aku habiskan.  Jangan kau nak tanya lagi.”  Borhan berlalu.  Dia akhirnya membentang tikar di ruang tamu.  Dan Fatimah hanya menjadi pemerhati dan dihatinya tidak pernah berhenti berdoa agar suaminya berubah.  Walau itu hanyalah satu mimpi yang akan tinggal satu impian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2016 JIAKREATIFELT. All rights reserved. | Sign in|Top of page