COPY RIGHT

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Cerpen : Warkah Cinta

Siti Norshimah Md Yasan | 7:12 AM |
Warkah Cinta

Anak teruna seberang titi,
Hendak pergi ke Tanah Jawa,Hidup kini kian bererti,Kehadiran adinda pengubat jiwa.
             Suria melipat surat yang baru diterimanya petang tadi.  Sebelum dia menyelak buku makroekonomi dia terpandangkan sampul surat berwarna ungu yang tertera namanya.  Suria mengerut dahi seribu.  Tanpa pengirim dan dan tanpa kata-kata hanya pantun yang menghiasi isi kandungan surat itu. 
            Pada mulanya dia berkali-kali membaca nama penerima yang tertera di atas sampul surat itu.  Yelah… mana tahu kalau ada orang yang tersalah hantar kepadanya.  Namun akhirnya dia membuka setelah Nama dan binti adalah namanya.  Suria binti Ahmad 6 Atas 2 tertera di sampul surat itu.  Siapa lagi kalau bukan dia.  Suria menggarukan kepala yang tidak gatal.  ‘Siapa pulak yang nak mempermainkan aku ni?’ Mata Suria kemudiannya terus kepada nama pengirim. HANG TUAH? Sudah, siapa pulak Hang Tuah di zaman serba canggih ni? Zaman sains dan teknologi.  Ini mesti Hang Tuah moden.  Kalau tidak takkan dia hanta surat dengan menggunakan komputer?
            Mata Suria masih lagi menantap surat yang baru diterimanya.  Kalau surat ini ditulis dengan tangan boleh juga dia membandingkan dengan tulisan pelajar dikelasnya.  Ini bertaip dengan menggunakan komputer, siap dengan tulisan roman lagi.  Suria mengeluh perlahan.  Berserabut fikirannya dengan kehadiran surat itu. 
            “Wah!  Mengeluh nampak.  Kenapa? Banyak sangat ke kerja sekolah yang kau nak kena buat?”  Tanya Wadina tiba-tiba.  Suria memandan kepada sahabatnya di katil sebelah. Tanpa menjawab pertanyaan dari Wardina, Suria menyerahkan surat yang diterimanya.  Wardina pula tanpa meminta izin terus membaca dan ternyata mengundang rasa terkejut sahabatnya itu. 
            “Bila masa pulak kau ada secret admire ni Su?”
            “Banyakkan kau punya secret admire.  Aku tengah runsing siapa yang bagi surat ni kau pulak yang buat lawak antarabangsa kat sini.”
            “Yelah…. Setahu aku kau ni bukanlah minah cintan.  Minah ulat buku adalah.  Nak kata kau ni pelajar popular sekolah lagilah jauh.  Ni, jantan mana pulak yang dok syok dengan kau ni?”  Surat itu ditilik oleh Wardina berkali-kali. 
            “Itulah yang aku peningkan sekarang ni.  Agak-agaknya kau tahu tak siapa yang bagi surat ni kat aku?” Tanya Suria.
            “Manalah aku tahu.  Kalau aku tahu baik aku beritahu dengan kau.  Sebab kau tak tahu jadi aku pun tak tahu. Entah-entah engka tahu tak? Eh, apa yang aku cakap ni?”
            Suria mencapai surat dari tangan Wardina dan terus menyemadikan di dalam buku.  Dia menongkat dagu dan cuba untuk berfikir.  Namun dia akhirnya kalah.  Malaslah nak ingat semua ni.
            “Dahlah Dina.  Buat apa kita nak pusing kepala dengan semua ni.  Kita buat bodoh jelah.  Nanti kita juga yang pening kepala. Sedangkan Hang Tuah kita ni bertepuk riang.”
            “Yelah kan, dah ada buah hati macam kau ni.”
            “Hish!  Kau ni. Ke situ pulak.”  Suria buntu dan tidak tahu apakah yang perlu dilakukan ketika ini.  Nak buat bodoh?  Buatnya dapat surat kali kedua?  Peninglah!
            “Takkan kau tak nak tahu siapa yang berikan surat tu? Kalau aku, akan aku cari sampai ke lubang cacing.  Tak kiralah apa saja caranya.” Ujar Wardina sambil mencebikkan bibirnya. 
            “Buat masa sekarang ni aku nak tumpukan perhatian pada STPM yang bakal aku duduki.  Aku tak nak gagal sebab makhluk yang bernama Hang Tuah ni.”
            “Takkan sikit pun kau tak nak ambil tahu?” Pujuk Wardina seakan memberikan ruang kepada Suria untuk menyiasat. 
            “Dah, jangan nak pujuk aku pulak.  Ni, kalau aku siasat siapa Hang Tuah di zaman mellinium sudah pasti aku akan gagal STPM nanti.  Silap haribulan impian aku nak jadi cikgu terkubur macam tu je.”
            “Baiklah…. Kita tunggu dan lihat. Aku takut kau yang tidak tidur malam sebab terkenangkan Hang Tuah.” Sindir Wardina sambil tersenyum.  Suria tidak mengiakan sebaliknya dia terus kembali ke katil dan menyimpan kembali buku mikroekonomi itu. 
            Hari-hari berlalu seperti biasa.  Walau pun dia tidak mahu mengetahui siapakah Hang Tuah yang telah memberikannya surat namun di dalam kelas dia menjadi pemerhati.  Pelajar lelaki di dalam kelas bukannya ramai sangat.  Cuma empat orang sahaja.  Tetapi dengan empat orang itu sudah cukup membuatkan dia pening kepala.  Kehadiran surat dari ‘Laksamana Hang Tuah’  itu benar-benar membuatkan dia keliru. 
            Siapakah Hang Tuah? Adakah datang dari kelasnya sediri atau pun dari kelas lain? Suria mula bermain dengan teka-teki.  Firdaus?  Tidak mungkin.  Dia budak geografi.  Tak mungkin dia yang tulis pantun tu.  Syahrin?  Lagilah terkeluar dari senarai.  Dia dah ada affair dengan si Halina.  Takkan dia nak main kayu tiga pulak.  Nasir?  Budak rock tu?  Mana ada dia suka dengan jiwang-jiwang ni.  Nazli?  Ustaz 6 Atas 2?  Tak mungkin.  Mana dia nak campakkan si Dayang  adik angkatnya tu? Ah…. Pening kepala.  Baru 4 orang.  Kalau 40 orang mahu botak kepala nak fikirkan.
            “Eh, Su. Kenapa dengan kau sejak tadi aku tengok bukan main lagi kau tenung anak muda dalam kelas ni.  Kenapa?  Kau nak tahu siapa yang berikan kau surat tu?  Kau punya Hang Tuah?”
            Suria senyap.  Dia tidak bersuara.  Kemudian dia seperti malu sendiri.  Kalaulah budak lelaki tahu yang dia menjadi pemerhati mahu sahaja dia melompat dari tingkap sekolah.  Sebab memang dia bukan jenis seperti itu.
            “Bukan ke kau kata yang kau tak nak tahu siapa Hang Tuah tu? Sekarang ni nampaknya kau dah pandai nak pandang anak teruna orang.”  Usik Wardina,
            “Hish! Kau ni janganlah cakap kuat sangat.  Kalau dia orang tahu malu aku.”  Suria tidak senang dengan usikan Wardina itu.  Dia mencubit lengan Wardina.  Seolah-olah tidak mahu orang lain tahu yang dia sedang mencari siapakah sebenarnya Hang Tuah.
            “Susah sangat kau pergi tanyalah dengan dia orang tu.”  Berbular biji mata Suria mendengarnya.  Oh!  Tidak!  Dia bukan sampai terdesak sangat untuk membuat semua itu. 
            “Gila kau?”
            “Lebih baik kau gila sekarang ni dari kau gila esok hari.”
            “Aku binggung betullah. Sampai sekarang aku masih belum tahu siapa Hang Tuah yang berani kacau hidup aku.  Agak-agak kaulah…. Mungkin datang dari kelas lain tak?” Tanya Suria yang cuba mendapatkan pendapat dari sahabatnya itu. 
            “Entah-entah ada orang yang nak mempermainkan kau tak? Manalah tahu kan?  Kau kan best student.  Mesti ada yang dengki dengan kau.”
            “Susah aku nak cakap, Dina.  Semalam dia berikan aku surat lagi.  E…. kalau aku tahu siapa Hang Tuah tu nahas aku berikan dia penumbuk sulung.  Dia lebam biji mata dia.”
            “Itu kata kau.  Entah-entah bila kau dah bertentang mata dengan dia lidah kelu tak terkata.  Silap haribulan engkau pula yang dah jatuh cinta.” Usik Wardina dalam tawa.
            Suria turut ketawa.  Walau pun dia tidak menyenangi akan kedatangan warkah ungu itu, namun dia tetap ingin taku siapakah milik disebalik pengirim surat itu.
            “Betul ke kau nak siasat” Pertanyaan dari Wardina itu membuatkan Suria tersentak.  Siasat?  Perkataan itu terus meluncur dari bibir Wardina.
            “Entahlah.  Bila nak kenangkan sekarang ni memang aku nak tahu siapa orangnya. Tapi bila aku kenangkan masa depan aku malas pulak aku nak ambil kes.  Nanti Hang Tuah kemana, STPM pun kemana.”
            “Aku rasa esok lusa mesti dia penat berikan surat untuk kau.  Kau lupakan jelah.  Memang aku mula-mula ingat nak siasat juga, tetapi bila kenangkan bebudak lelaki dalam kelas ni ‘ramai’ sangat aku rasa tak ada  adventure langsung.  Dahlah tu, jangan fikirkan sangat.  Nanti kau juga yang sakit.”
            Memang ada benarnya kata-kata Wardina itu. Mana tahu esok lusa dia tidak akan dapat warkah itu lagi.  Sudah tentu dia akan kering idea untuk mencipta pantun.  Namun persoalanya, adakah Hang Tuah itu adalah benar-benar seorang lelaki?
            Suria memandang ke belakang di saat dia mendengarkan bebelan dari Nazli. 
            “Kenapa dengan kau ni, Nazli?  Aku tengok muka kau dari tadi macam tempoyak basi je.  Masam betul.” Tegur Nasir.  Nazli melepaskan keluhan perlahan.  Suria masih lagi menjadi pemerhati. 
            “Tu… si Dayang.  Dia punya berani ada ke patut dia cakap dengan mak aku yang dia nak kahwin dengan aku.  Buat malu aku je.”  Luah Nazli.
            “Habis mak kau cakap apa?”
            “Dia gelakkan akulah. Budak tu siang malam suka buat aku susah.  Nak makan ubat pun nak tanya aku dulu.  Dia bukannya budak umur 4 tahun sampai aku nak suapkan dia.” 
            “Kau terus-terang jelah dengan dia.”
            “Puas aku cakap dengan dia.   Aku anggap dia macam adik aku sendiri. Tapi dia tak dengar.”
            “Itulah….  Dari dulu aku dah cakap.  Buat susah je ambik anak angkat ni.  Tapi kau tak nak dengar.  Sekarang siapa yang susah?  Jangan kata aku tak beritahu dengan kau. Itulah… adik angkat…. Adik angkat sekarang dah terangkat.”  Nazli menggelengkan kepala.  Dia sudah buntu untuk melepaskan diri dari Dayang yang sering kali mengekorinya.  Menyesal pula dia berjanji untuk menjadikan Dayang sebagai adik angkatnya.
            Suria mendengarkan perbualan Nazli dan Nasir sambil dia berfikir. Dia mula menyusul kemungkinan. Nazli?  Mungkinkah dia?  Tapi…. Ah! Tapi lagi.  Suria kemudiannya memandang ke arah Syahrin yang wajahnya kelihatan sugul. Mungkinkah dia bergaduh dengan Halina?  Hish!  Kenapa pulak?  Buat andaian yang bukan-bukan. Arhg!!! Tolong!!!!
            Suria menggarukan kepala yang tidak gatal.  Dia menghempaskan badan di atas katil sambil mencapai buku Sejarah 2. Dalam erti kata dia ingin menyelak untuk mengulangkaji tiba-tiba sepucuk surat jatuh ke badannya.  Warkah ungu lagi.  Suria hanyar sekadar memandang.  Hatinya mula berbelah bagi.  Nak baca ke tidak ni?
            Akhirnya Suria tekad.  Dia membuka surat itu dan seperti biasa hanya ada serangkap pantun.
            ‘Salam diutus di hari lebaran,
             Budi tersemai di bawa mati,
             Hati teruna penuh debaran,
             Melihat adinda pujaan hati.
            Ah! Hang Tuah ni memang sudah gila barangkali.  Makin lama makin menjadi pula.  Suria hampir mengalirkan air mata.  Siapakah yang cuba untuk mempermainkan hidupnya? Mahu sahaja dia menjerit.  Geram, marah semuanya bercampur.  Kalau ingin diikutkan hati mahu sahaja dia mengetuk setiap meja sahabatnya di dalam kelas siapakah yang memberikan surat itu.  Tidak!  Sudah pasti tiada siapa yang mengaku.
            Wardina masuk ke dalam dorm sambil memerhatikan Suria yang sedang jauh mengelamun.  Dia menggelengkan kepala. Apalah nak jadi dengan kawan aku sorang ni. Asyik termenung je sejak akhir-akhir ni. 
            “Oi!  Teringatkan hero Hang Tuah ke?” Sergah Wardina.
            “Engkau ni Dina, kalau bercakap tu berlapiklah sikit.  Boleh tak?” Suria sedikit terasa akan pertanyaan Wardina itu tadi. 
            “Aku tengok kau sekarang ni dah lainlah Su.  Asyik termenung panjang ke aku tengok.  Nampak gayanya kau dah jatuh hati dengan Hang Tuah tu.”  Serkap Wardina lagi.
            “Gila kau.  Kenal tidak, jumpa tidak mana boleh aku jatuh cinta dengan dia? kau tu jangan nak buat cerita lain pulak ye.”
            “Yelah…. Dari pantun yang dia beri kau terpaut hati dengan dia.  Apa yang dia kata pada kau hari tu? ‘Engkau sinar dalam hidupku?’ Syahdu tu.  Kalau aku pun cair dengarnya.” Ujar Wardina.
            “Tapi aku tak puas hatilah.  Selagi aku tidak tahu siapakah Hang Tuah yang sebenarnya.  Budak lelaki di dalam kelas kita bukannya ramai sangat.  Cuma ada 4 orang saja. Itu pun aku tak boleh nak agak.  Bijak betul Hang Tuah ni simpan rahsia.”
            “Ala dia pun takut nak buka pekung di dada.   Mungkin dia segan akan dikata atau pun dia takut kau marah dia.  Bukan ke hari tu kalau nak jumpa dengan dia nak bagi penumbuk sulung kat dia.  Tapi… best juga ada secret admire ni.” Usik Wardina.  Serta-merta wajah Suria bertukar mendung.
            “Best apa? Tak tidur malam adalah.  Dok tanya siapa Hang Tuah di zaman moden ni.”
            “Aku takut bukan menumpuk sulung yang kau nak bagi kat dia, silap haribulan kau berikan dia flying kiss kat Hang Tuah kau tu.”  Kian galak Wardina mengusik sahabatnya.
            “Agaknya sampai bilalah dia nak tulis surat kat kau, kan.  Aku tengok dia tak jemu nak berikan kau sampul ungu tu.  Makin lama makin kerap pulak aku tengok.  Aku rasalah dia pun memang betul-betul suka kat kau.”
            Suria mengangguk perlahan. Dalam diam dia mengiakan kata-kata Wardina itu.  Apa?  Jatuh hati?  Hello pleaselah…. Tapi….. Suria sedar sejak akhir-akhir ini dia sering menantikan surat itu.
            “Entalah Dina.  Biarlah dia.  Aku yakin lama-kelamaan berhentilah dia tu.”
“ Aku bukan apa, aku takut silap haribulan dia hantar surat peminangan kat pulak nanti.”  Mendengarkan kata-kata Wardina itu Suria menghinggapkan satu cubitan bisa di lengan Wardina.
            “Agak-agaklah kau ni.”
            “Agak-agak engkaulah… siapa agaknya Hang Tuah tu ye?”  Nah! Soalan maut Wardina tujukan kepada Suria.
            “Entahlah aku.  Lagi aku fikirkan lagi buntu otak kepala aku.  Kau ada idea tak?” Tanya Suria pula kepada Wardina.  Saja untuk dia bertanyakan jika tahu siapakah yang menghantarkan surat kepadanya.
            “Kalau aku tahu tak adalah aku tanya dengan kau.”
            “Nak kata Syahrin aku rasa tak mungkin.  Bukankah dia dah ada buah hati? Si Halina tu mana nak letak?”
            “Aku rasa itu hanya sementara.  Sebab gossip yang aku dengar dia dengan Halina tengah perang besar.  Aku tengok si Syahrin tu asyik termenung je.”  Ujar Wardina. 
            “Atau pun Nazli?”  Serkap Suria meminta pendapat dari Wardina. 
            “Mungkin.”
            “Tapi rasa tak mungkin.  Sebab apa, si Dayang tu bukan main lagi control dia.  Ada ke patut nak makan ubat pun dia sanggup jumpa dengan Nazli?”
            “Itu ada potensi nak berikan kau surat.”  Fikir Wardina.
            “Macam mana pulak dengan Nasir budak kepala rock tu?”  Perbincangan mereka bertambah hangat.  Suria dengan penuh harapan dapat mengetahui siapakah Hang Tuah sebelum dia mengakhiri persekolahan di sini.  Sudah pasti bila rahsia tidak dapat dirungkai rahsia akan kekal menjadi rahsia.
            “Dia aku tengok sekarang ni dah tak ada nyanyi lagu XPDC atau Search, tapi dah pandai layan lagu Anuar Zain.  Itu yang aku sikit keliru.  Macam mana dia boleh berubah sekarang ni aku pun tak tahu.  Yang pasti kepala gila-gila dia dah hilang entah ke mana.”
            Suria setia mendengarnya.
            “Susah tau nak dengar dia menyanyi lagu yang terkeluar anak tekak.  Entah-entah dia tak?” Teka Wardina.
            “Takkan sampai macam tu sekali? Ini yang buat aku pening kepala. Mereka semua ni nak sabotaj supaya aku gagal dalam peperiksaan ke?” Suria sudah mula putus asa. 
            “Tinggal seorang lagi.  Si Firdaus.  Aku tengok dia bukan main ceria lagi sekarang ni.  Bila aku tanya dia tak menjawab.  Dia kata dia dah ada jumpa mata air.  Sebab itu aku syak dengan dia.”  berbular biji mata Suria mendengar kata-kata Wardina itu.
            “Kau jangan nak buat cerita pulak.  Si Firdaus tu tengah bercinta dengan si Gayah budak 6 Atas 1.”
            “Ye ke?  Macam mana aku boleh tak tahu.  Wah!  Aku ingat aku yang ekspress, tapi kau lagi advanced dari aku.  Kau boleh tahu sebelum dari aku.”
            “Ala… aku malas nak hebohkan.  Nanti dia kata aku yang bawa mulut pulak.  Sebab itu aku tak kisah yang dia berubah.  Sebab aku pasti bukan dia yang hantar.” Ujar Suria penuh yakin.
            “Hish!  Pelik juga dengan kes kau ni Suria.  Apa kata kita report je kat balai polis.  Biar dia siasat siapa yang punya angkara.” Cadang Wardina sambil menganggukkan kepala.
            “Dah!  Kau jangan nak mengada-ada.  Banyak lagi kes yang dia orang nak fikirkan.  Setakat surat sekeping tu buat dia orang gelak je tau.”
            Meladak tawa Wardina bila Suria berkata begitu. 
            “Aku dah surrender nak tahu siapa Hang Tuah ni.  Tapi…”
            “Tapi apa?” Wardina merapatkan dirinya seolah ingin tahu.
            “Aku dah jatuh hatilah.”  Sebenarnya dia merasa malu untuk meluahkan namun dia tidak boleh menipu dirinya. 
            “Dengan Hang Tuah? Kau biar betul.  Entah-entah dia saja nak kenakan kau tak? Kau pula yang terhegeh-hegeh kat dia.  Aku rasa kau ni kena bawa berubat. Mana tahu nanti kau jawab STPM kau tulis nama Hang Tuah sampai 10 muka surat.  Suria, aku rasa kau lupakan saja Hang Tuah tu.  Kalau dah jodoh tu tak kemana.”
            Suria termenung dan memikirkan akan kata-kata Wardina itu tadi.  Memang dia ingin melupakannya.  Namun setiap kali ingin melupakannya setiap kali itulah warkah berwarna ungu ditatap.
            STPM bakal menjelang tidak lama lagi.  Suria mengambil keputusan untuk belajar bersama dengan Wardina demi ingin melupakan pengirim misteri itu.  Namun ia tidak lama berkekalan.  Warkah ungu itu datang lagi.
            ‘Tumpang teduh di tepi perigi,
             Menanti sahabat untuk bersua,             Walau ke mana adinda pergi,             Bawalah hati ini menyusur jua.
            Argh!!!!  Sudah sah!  Tak lama lagi boleh masuk hospital jiwa aku dibuatnya.  Mahu sahaja Suria menjerit.  Tapi tidak terluah.   Sudah berkali dia bertanyakan kepada rakan pelajar lelaki di dalam kelasnya.  Namun tiada siapa yang mengaku.  Ialah siapa yang nak mengaku. Nak control macho konon.  Tak gentleman langsung.  Suria melipat semula surat itu dan segera ingin melupakan warkah itu.  Dia mesti bangkit agar tidak kecundang di medan peperiksaan.
            Peperiksaan STPM berlangsung dengan lancar.  Ingatan kepada Hang Tuah berjaya ditepis.  Suria menghela nafas lega setelah kertas Pengajiam Am 2 yang juga kerta terakhir kini telah selesai.  Dia bersama dengan Wardina meninggalkan dewan peperiksaan sambil bersalaman dengan rakan-rakan yang lain.   Di dalam diam Suria menyimpan harapan agar hari ini segala pertanyaan akan terjawab.  Namun hampa, bukan sahaja jawapan malahan juga warkah yang selalu singgah di halaman bukunya juga tiada.  Dia tahu Hang Tuah yang selama ini menjadi pengirim misteri akan kekal sebagai satu rahsia.
            Akhirnya Suria berlalu dengan harapan dan angan yang kosong yang pastinya dia sendiri tiada jawapannya.  Suria masih lagi berpaling ke arah Sekolah Dato’ Bentara Dalam sebagai lambaian terakhir.  Mungkin ini kali terakhir dia akan menjejaki kaki di sekolah ini.  Perjalanannya masih jauh lagi.  Banyak lagi yang perlu dirterokai.  Sudah pasti warkah ungu itu tidak akan kelihatan lagi.
            Sepuluh tahun sudah berlalu.  Kini, Suria sudah pun menjadi seoarang pendidik.  Dan berita terkini adalah dia sudah disunting orang.  Ya, Suria sudah menjadi tunangan orang dan akan bergelar isteri tidak lama lagi.  Walau pun tidak pernah bercinta, namun Suria sedar bahawa percaturan jodoh dari keluarga memberikan keistimewaan yang tersendiri.  Berkat dan restu dari orang tua Suria tekad untuk belajar dan menyayangi dan menyintai tunangnya itu.  Biar pun dia tidak pernah berjumpa, namun dia yakin akan jodoh yang diaturkan oleh keluarga. 
            Pintu bilik diketuk berkali-kali.  Suria membuka pintu dan ternyata wajah ibunya menghiasi ruang mata. Halimah menghulurkan sepucuk surat yang ternyata membuatkan dia terkejut.
            “Ini ada orang berikan kamu surat.”  Suria menyambut surat tanpa alamat itu.  Getaran hatinya muka bertandang.  Surat yang selama ini hampir dilupakan.  Surat ungu yang pernah membuatkan dia tidak tidur malam.  Suria membuka surat dan sekali lagi dia terkejut akan surat itu dipenuhi dengan tulisan tangan dan bukannya bertaip seperti selalu.
            ‘Duduk berdua di pohon jati,
             Duduk bersama penuh cerita,            Kasih adik disimpul mati,            Seiring bersama dimahligai cinta.

            Kalau cinta berikan tanda,            Untuk pengubat hati yang sedih,            Terima kasih wahai adinda,            Terima kanda mengikat kasih.
Tatapan buat adindaku sayang….
Buat pertama kali maaf kiranya terlalu lama menantikan warkah yang tidak seberapa ini dan terlalu lama  merahsiakan akan hal yang sebenarnya.  Hati hamba sudah tertawan sejak pertama kali bertemu.  Semakin kerap hamba ingin mengenali adida semakin kerap juga dugaan yang mendatang.  Sesungguhnya setiap dugaan yang datang sudah pasti ada hikmah disebaliknya.  Hamba tahu, segala apa yang berlaku akan menjadi baik keesokkan harinya. 
            Disaat kasih putus di tengah jalan, adinda menjadi penyambungnya walau pun adinda diam seribu bahasa.  Dari jauh hamba tahu yang adinda sering menantikan surat dari hamba.  Hamba tahu yang adinda rindukan hamba.
            Hamba cuba untuk mendiamkan diri, namun dengan sepuluh musim yang kini sudah berlalu dan hamba percaya kepada jodoh yang telah ditentukan.  Dan kini… er… abang mengambil langkah drastic dengan menyunting adinda.  Kalau sudah jodoh tidak kemana.  Abang gembira saat adinda setuju dengan lamaran abang. Er… er… sayang, maaf sekali lagi kalau selama ini membuatkan sayang menanti terlalu lama.  Yang pasti selepas ini abang akan selalu disampingmu…. Dan rahsia kini sudah terakhir.  Yang pasti dan nyata abang mencintaimu setulus hati.
            Yang Benar,
Hang Tuah@abang@Muhammad Syahrin Azhar
            Suria berlalu meninggalkan kamarnya dan lantas mendapatkan ibunya.   Namun langkahnya terhenti apabila melihatkan Syahrin yang sudah berada di ruang tamu.
            “Su… ini ibu kenalkan tunang kamu. Syahrin.  Hari tu ibu nak berikan gambar dia kamu tak nak tengok.  Sekarang ibu bawa tuan badannya. Dah, ibu nak ke dapur nak buat air.  Kamu berboraklah dengan dia.”  Suria memandang ibunya sehingga hilang dari pandangan matanya.  Suria tunduk malu.  Debaran hatinya kian kencang.  Tidak betah untuk dia bertetang mata.
            “Maafkan abang sayang. Abang merahsiakan terlalu lama dengan sayang.  Sampai abang sendiri pun menderita.”  Suria tersenyum.  Menderita?  Dia lebih menderita.
            “Abang bukannya tidak mahu memberitahu akan hal yang sebenarnya, tetapi abang takut.  Di saat hubungan abang menjadi renggang dengan Halina, abang banyak menulis kepada sayang.  Pada mulanya abang berbuat demikian hanya untuk suka-suka sahaja tetapi tidak lama kemudian timbul perasan lain di dalam hati abang. Abang sudah mula jatuh hati saat Halina menolak cinta abang.” 
            Suria memandang kepada Syahrin.  Kemudian dia tunduk kembali.  Malu dengan pandang Syahrin kepadanya.
            “Perpisahan selama sepuluh tahun telah banyak merubah abang.  Abang begitu rindu sehinggalah pada suatu hari abang terjumpa dengan Wardina.  Sudah memang ada jodoh antara kita.  Abang tahu Su  masih belum berpunya dan akhirnya abang beranikan diri untuk berjumpa dengan ibu Su. Tak sangka sebenarnya mereka pernah menjadi sahabat dari kecil.   Kesabaran Su bukan sahaja memberikan abang cinta suci malah kesabaran Su juga telah menemukan sahabat yang  telah lama terpisah.”
            Air mata Suria mula tumpah.  Perasaa bahagia meniti di setiap sudut hatinya. 
            “Kenapa buat saya begini?” Perlahan sahaja suara yang keluar dari mulut Suria.
            “Apa?  Abang tak dengar.”
            “Kenapa abang buat saya macam ni?”

            “Abang…. Erm… perkataan itulah yang abang nak dengar.  Sudah, jangan menangis sayang.  Nanti abang akan tebus balik ye?” Suria melemparkan sebuah senyuman manis untuk tunangnya.  Dia yakin kini dengan kata-kata Wardina.  Kalau ada jodoh sudah pasti tidak akan ke mana.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2016 JIAKREATIFELT. All rights reserved. | Sign in|Top of page