Novel: Jodoh Tiga Dara

Teratak pena | 9:17 PM | Be the first to comment!

BAB 2

            Suasana waktu rehat di dalam café begitu membinggitkan.  Sudah keluar satu department.  Memanglah ramai orang.  Macam semut bila masing menghurung tuan punya café nak membeli makanan.  Suraya dan Hani segera mencari tempat duduk dan lantas Suraya mencapai pinggan Hani dan menyuruh Hani membeli air. 
            Setelah membeli air, Hani menuju ke arah Suraya yang sudah pun berjaya mencari tempat duduk.  Hani melemparkan senyuman kepada Suraya.  Surayalah teman baiknya sejak dari kecil lagi.  Suraya juga adalah anak kepada Mak Temah, yang kakaknya selalu sahaja mengelarkan wanita itu Mak Temah vogue.
            “Nah, air kau.  Sarah mana?  Dia kata nak join.”  Ujar Hani.
            “Entah, ala…. Dia tak apa.  Dia nak kejar apa.  Yang kita ni, kena isi perut cepat sikit.  Nanti masa habis lambat masuk singa betina tu bising kat kita. Tak jalan production nanti. Kau nak?” Bebel Suraya.
            “Wei, kau ni.  Lambat lagi kot.  Biasanya dia dah sampai. Ha, tu dia.  Panjang umur.” Tunding Hani ke arah Sarah.  Sarah melambai kepada kedua-dua rakan baiknya. Walau pun di bahagian HR namun dia lebih suka makan bersama-sama dengan Hani dan Suraya.  Sehinggakan mereka menjadi teman baik.
            “Maaflah, lambat sikit.  Banyak kerja  yang aku kena buat.”
            “Aku okey lagi.  Ni….. minah ni yang tak sabar nak makan.”  Hani memandang kepada Suraya sambil menggeleng.  Hai, perangai anak dengan mak sama je. 
            “Sorry lah beb.”
            “Ala… kau jangan layanlah minah sengal ni.  Pergilah beli makanan kau.”  Ujar Hani bila melihatkan wajah kelat Suraya.
            “Oi, mengadap rezeki jangan buat muka macam tu.  Lari rezeki kau tu nanti.”  Hai, geram pulak dia dengan perangai si Suraya ni. 
            “Ada aku kisah?  Kalau kau nak tunggu dia, kau tunggu.  Aku nak makan dulu.  Nak tunggu minah tu, memang tak berisilah perut kita.”  E…. rasa macam nak tarik je rambut karat Suraya tu.  Baru kerja kilang, lagak macam orang kerja pejabat.  Ada masa Hani tak faham dengan sikap Suraya yang sudah memperlekeh orang lain walau pun dengan kawan sendiri.
            “Kau ni kan, cubalah bertimbang rasa sikit.  Aku cucuk kau dengan batang garfu baru kau tau.”  Acah Hani.  Melihatkan wajah selamba Suraya itu membuatkan hati Hani kian geram.  Kalau tak buat orang sakit hati memang tak sah.
            Sarah kembali ke tempatnya dengan menatang sepinggan nasi campur dengan sirap ais yang penuh di tangan.  Dia melemparkan senyuman kepada Hani yang setia menanti.
            “Kenapa kau tak makan lagi Hani?”
            “Aku tunggu kau lah ni.  Tak macam minah senget ni.  Lepaskan anak tekak dia je.”  Sarah ketawa dengan kata-kata Hani. Melihatkan Suraya yang sedang makan tanpa memandangnya, Sarah menggelengkan kepala.  Suraya….Suraya…. 
            “Wei korang, esok korang nak balik kampung kan?”  Tanya Sarah sebelum dia menyuapkan nasi ke mulut.
            “Kenapa?  Kau nak kirim apa-apa ke?”
            “Atau kau nak ikut kita orang balik kampung?” Pantas kepala Sarah memandang kepada Hani.  Ermm…. Macam menarik je bunyinya. 
            “That’s good idea.”
            “Kau ni jangan nak speking London sangat boleh tak?  Aku ni SPM pun cukup makan.”  Ujar Hani.
            “Kau ni Hani, benda simple macam tu takkan kau tak faham?”
            “Sarah ni bukan boleh dipercaya sangat.  Bila dia bagi setempek kat kita, mamai-mamai tau kita dibuatnya.”  Sarah ketawa dengan kata-kata Hani itu. 
            “Kalau aku ikut korang balik kampung boleh tak?”  Serta-merta Hani dan Suraya memandnag kepada Sarah.  Biar betul.  Hani segera mengengkelkan matanya antara percaya atau tidak dengan kata-kata Sarah.         
            “Kau jangan main-main.  Kau biar betul.”
            “Yelah, aku memang nak pergi kampung korang.  Hani, boleh lah.  Aku tidur rumah kau ye.”  Hani mengeluh kecil.  Bukan dia tidak mahu mempelawa Sarah, tetapi dia sedar yang dia bukan dari keluarga yang senang.  Takut pula Sarah tidak selesa nanti.
            “Aku bukan tak nak ajak kau, Sarah.  Aku ni orang miskin.  Rumah aku pun rumah papan. Kau biasa rumah batu.”
            “Sebab itu aku nak pergi rumah kau.  Nak pergi rumah Suraya ada abang dia.  Tak nak aku.”  Suraya mengangguk tanpa suara. 
            “Bolehlah Hani.  Korang naiklah kereta aku.”  Pujuk Sarah.  Dia tidak puas hati selagi Hani tidak setuju dengan angan-angannya.
            “Aku takut kau tak biasa nanti.”  Sarah senyum dengan alasan Hani. 
            “Belum cuba belum tahu.”
            “Okey juga.  Jimat sikit duit tambang kita, Hani.”
            “Amboi, kau ni Su…. Kalau bab duit, bukan main lagi celik semuanya.”  Suraya mencebikkan bibirnya.  Dia buat tidak tahu dengan kata-kata Hani itu.
            “Betul ke kau nak tidur rumah aku?”  Tanya Hani selagi lagi.  Boleh percaya ke ni?
            “Betullah.  Aku tidur rumah kau.  Kan aku dah kata rumah Suraya ada lelaki.  Aku tak nak.”
            “Eh, nanti kejap.  Kau kata nak naik kereta kau.  Bila masa pulak kau boleh bawa kereta? Bukan ke kau datang kerja abah kau yang hantar?”  Sarah senggeh.  He…he…he… memang dia fobia bila dia pegang stereng semenjak dia kemalangan 3 tahun lepas.  Selepas kemalangan abahnya pula bagaikan pemandu kepada Sarah.
            “Sarah, janganlah kau susahkan ayah kau pulak.  Tak payahlah wei.”  Hani masih lagi berat untuk mempelawa Sarah bertandang ke rumahnya.
            “Itu kau jangan bimbang.  Tahulah aku nak buat apa.”
            “Sarah, kau jangan kata yang kau nak bawak kereta tu.  Aku tak nak.  Nanti kau terbabas, aku tak nak tidur hospital.  Baik mak aku tak ada sakit jantung terus gol pulak dia tu nanti.” 
            “Kau ni pun satu Hani.  Tak ada fikiran lain.  Cubalah kau fikir yang baik-baik.”  Hani memandang kepada Suraya.
            “Su, ini melibatkan nyawa tau tak?  Kau bukan tak tahu yang Sarah ni dah lama tak pegang stereng.”
            “Kejap, korang ni janganlah gaduh.  Bukan aku yang bawak kereta tu.”
            “Habis siapa?  Abah kau?”
            “Pun bukan.”
            “Habis siapa?”
            “Abang akulah.  Dia nak ke Melaka sebab nak jumpa dengan kawan dia.  Itu yang aku kata nak tumpang dia.  Bolehlah Hani.  Aku nak sangat pergi kampung.”  Renggek Sarah.  Hai, serba-salah pulak rasanya bila Sarah buat muka mengharap.  Siap kelipkan mata bagai.  Aduh!  Ini yang buat rasa tak senang.
            “Habis balik?” 
            “Balik kita naiklah bas.”
            “Pulak!  Habis abang kau?”  Tanya Suraya.
            “Entah.  Dia kata nak balik hari.”
            “Ala…. Kalau macam tu, tak ada gunanya juga.  Ingat nak jimat duit tambang tadi.”  Sekali lagi Hani tidak senang dengan kata-kata Suraya itu.
            “Kau ni kan, kalau bab duit berkira sangat.”
            “Yelah, kau ingat yang kita ni kaya sangat.”
            “Yang si Sarah ni pun bukannya bodoh sangat sampai tambang dia nak kita taja.  Tambang dia, dia bayarlah sendiri. Hai, kau ni….”  Keluh Hani.  Suraya tersenggeh.
            “Kira jadilah ye.” 
            “Seganlah kalau satu kereta dengan abang kau.”
            “Dah, tak ada alasan lagi.  Aku dah cakap dengan abah dan umi aku yang aku nak pergi kat kampung korang.  Lagi pun abang aku tak tak kisah.” 
            “Susahlah dengan kau ni Sarah.  Kau jangan menyesal nanti.”
            “Sekali pun tak.”  Ujar Sarah bangga.
            “Rumah aku tak ada aircond.”  Sedaya upaya Hani cuba untuk memberi alasan.

            “Alasan ditolak.  Okeylah, masa rehat nak habis.  Nanti aku ambil korang kat rumah.  Esok jangan lupa pukul 8 pagi. Lagi cepat bertolak lagi cepat sampai.  E…. tak sabarnya rasa.”  Senyuman Sarah terukir sehingga ke telinga.  Sedangkan Hani?  Dia menelan air liur sambil berfikir bagai mana untuk dia memberitahu kepada ibunya.  

Novel: Cinta Kau Di Mana - Bab 2

Teratak pena | 8:39 PM | Be the first to comment!

BAB 2

            Ikhsan mencapai kemeja merah  yang sudah siap digosok dan kemudian dia mengenakan di tubuhnya.  Setelah dikancing semua butang, dia mencapai sikat dan mengemaskan rambutnya yang hitam dan ikal itu.  Semburan minyak wangi menerawang memenuhi ruang bilik yang serba mewah dan elegan itu.  Ikhsan kemudiannya menutup radio yang menemaninya dari tadi.  Sebelum keluar dari bilik sempat dia mencapai tali leher berwarna merah yang terletak di atas katil. 
            Keluar sahaja dari bilik dia segera menuju ke dapur dan membuka peti sejuk.  Dia mencapai fresh orange dan menuang ke dalam gelas.  Roti di atas meja dicapai dan dimasukkan ke dalam pembakar roti.  Dia kemudiannya membuka Ipad yang menjadi teman setia.  Segala e-mail yang diterima dijawab dengan sepantas yang boleh.  Mana e-mail yang tidak penting dibiarkan dan ditag untuk dijawab  kemudian.
            Setelah selesai bersarapan dia kemudiannya menguncikan rumah dan sedia untuk memanaskan enjin kereta.  Ikhsan, lebih gemar melakukan segala-galanya dengan sendiri. Semenjak kecil dia sudah berdikari.  Kini, setelah kehilangan kedua-dua orang tuanya Ikhsan mampu melakukannya sendirian walaupun dia adalah CEO kepada syarikat Gemilang Takluk.
            Kereta BMW 6 series milik Ikhsan kemudiannya keluar dari perkarangan rumah dan meluncur menuju ke pejabatnya yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.  Ikhsan segera memakirkan kereta dan bergegas keluar dari kereta setelah jam di tangan kanannya menunjukkan ke angka 9.30 pagi. 
            Masuk sahaja di dalam pejabat semua pekerja sudah berada di meja masing-masing.  Tiada salam dan senyuman dia kemudiannya masuk ke dalam bilik.  Desas-desus dari meja kakitangan tidak dihiraukan.  Note book di atas meja di on.  Segala  kertas cadangan disemak semula.  Tanpa menghiraukan apa-apa dia meneruskan kerja. 
            Kerjanya terhenti apabila pintu biliknya diketuk.  Kelihatan wajah Kak Chom, tukang cuci pejabat itu singgah di pejabat. 
            “Kak Chom, ingatkan siapa.” Sambut Ikhsan dengan senyuman.  Dia kemudianya bangkit dan melabuhkan punggung di sofa untuk memberi peluang kepada Kak Chom menjalankan tugasnya. 
            Kak Chom dengan pantas mengelap bersih meja milik Ihsan sambil tangan kirinya menyusun kertas dan fail yang berselerakan.  Sambil membersihkan meja sempat juga Kak Chom memandang kepada anak muda yang sudah dianggap seperti anak itu.  Sudah lama Kak Chom bekerja dengan syarikat itu.  Semenjak Iksan kecil lagi.  Ketika itu Ikhsan sudah pun kehilangan ibu.  Dengan Kak Chomlah ada masa tempat dia menumpang manja.
            “Kak Chom ingat dah lupa nak senyum tadi.”  Tegur Kak Chom menyindir tatkala melihatkan Ikhsan yang leka dengan Ipadnya. 
            “Perli saya nampaknya Kak Chom.  Bukan ke saya dah senyum dengan Kak Chom tadi.” Ujar Ikhsan tanpa memandang sedikit pun kepada Kak Chom. 
            “Yelah… dengan Kak Chom bolehlah nak senyum.  Tapi… kat luar tu, dah kempunan nak tengok Encik Ikhsan ni tersenyum tau.” 
            Ikhsan tersenyum dengan usikan Kak Chom itu.  Dengan segera dia meletakkan Ipad di atas meja.  Dia menggelengkan kepala.  Memang benar akan kata-kata Kak Chom itu.  Memang sudah tidak boleh diubah sikapnya yang terlalu tegas itu.  Baginya sekiranya dia terlalu baik hati sampai masa ada sahaja pekerjanya akan memijak kepala.  Kerana itu juga dia tidak mahu memasang setiausaha atau PA kerana dia tahu akan sikapnya sendiri.
            “Senyum lagi.  Kalaulah senyum tu sedekahkan sikit kat luar tu bukan ke elok Encik Ikhsan.” 
            “Tak naklah saya.  Nanti orang kata saya hilang ingatan pulak.  Tak pernah senyum nak senyum.  Kak Chom jelah senyumkan untuk saya buat bagi pihak.”   Sambut Ikhsan. 
            “Hish!  Ke situ pulak. Encik Ikhsan, senyum tu bukan ke satu sedekah.”  Kak Chom meneruskan kerja yang masih berbaki sedangkan Ikhsan hanya menjadi pemerhati.
            “Kak Chom masak apa hari ni?”  Pertanyaan itu membuatkan Kak Chom terhenti.  Kak Chom tersenyum dan menghampiri Ikhsan sambil membawa perkakas mencuci di tangan. 
            “Ini yang Kak Chom nak cakap.  Pagi ni Kak Chom ada buat nasi lemak lebih.  Kalau Encik Ihsan nak makan nanti boleh Kak Chom bawa masuk bilik.” 
            “Tengahari?”
            Kak Chom tersenyum lagi.  Saban hari memang dia memasak untuk Ikhsan memandangkan Ikhsan tidak gemar untuk makan di luar.  Namun hakikat yang sebenarnya dia tidak sempat untuk keluar kerana timbunan kerja yang terpaksa dia lakukan.  Akhirnya Kak Chom yang menjadi mangsa menyediakan makanan saban hari.  Seandainya Kak Chom cuti dia rela mengikat perut untuk keluar mencari makan.  Namun rakannya Shah Adam pula yang menjadi mangsa membeli makanan.
            “Kak Chom buat ikan keli masak lemak cili api dengan sayur bendi goreng je.”  Mendengarkan menu kegemarannya membuatkan dia menelan air liur.  Laparlah pulak.
            “Sedapnya Kak Chom.  Ini yang tak sabar nak makan.  Kalau Kak Chom masak memang tak ada siapa yang boleh lawan.” 
            “Pandailah Encik Ikhsan cakap.  Itulah…. Dah berbuih mulut Kak Chom ni cakap.  Kahwin, Encik Ikhsan.  Sekurang-kurangnya ada yang jaga makan dan minum.  Ini tidak, nak juga membujang.  Nanti kalau jadi bujang terlajak rugi tu Encik Ikhsan.”  Bebelan dari Kak Chom itu bagaikan nyayian di telinga  Ikhsan.  Bukan sekali dua dia mendengarkan kata-kata itu, malahan boleh setiap hari Kak Chom akan bercerita tentang perkara yang sama.  JODOH! Sudah menjadi seperti alergi pada dirinya.
            Nasib baik hanya Kak Chom yang rajin membebel tentang jodohnya.  Kalaulah ada orang tuanya pasti di rumah dia akan diterjah dengan cerita yang sama.  Jodoh?  Macam mana nak kahwin kalau ‘mambang’ pun tak ada. Kalau ada pun selalu sahaja dia menolak.  Sampaikan Shah Adam pening dengan sikapnya. Sampaikan Shah Adam menggelarkan dirinya sebagai ‘Mamat Mata Kayu Hati Batu’. Ah, lantaklah orang nak kata apa pun.  Yang pasti tak kacau hidup orang.
            “Kak Chom jelah kahwin dengan saya.”  Usik Ikhsan dalam tawa.
            “Dah mulalah tu nak buat lawak antarabangsa kat sini.  Layan Encik Ikhsan ni memang satu kerja tak jalan.”  Kak Chom pun mengambil barang-barang yang lain di sisi meja Ikhsan.  Ikhsan masih lagi tersenyum gelihati.
            “Nanti Kak Chom cari calon baru padan muka.”
            “Carilah kalau berani.”  Sahut Ikhsan dengan berani.
            Pintu bilik diketuk kuat.  Ikhsan dan Kak Chom sama-sama memandang kepada pintu bilik itu. 
            “Ha, itu mungkin calon isteri nak masuk.” 
            Belum sempat Ikhsan berkata apa, pintu biliknya dikuak.  Lantas wajah Shah Adam memecah pandangan Ikhsan dan Kak Chom.  Ikhsan menepuk dahi dan Kak Chom cuma tergelak kecil.
            “Kak Chom ni agak-agaklah nak lagakan saya dengan si jejaka perasan ni. E…. selisih.”
            “Sekurang-kurangnya jejaka perasan ni dah kahwin dan ada anak satu tau.”  Kak Chom mengangguk pantas.  Sengaja memberi panas hati Ikhsan. 
            “Encik Adam, dah macam tanah liat kak Chom cakap dengan Encik Ikhsan. Tak serap air langsung.  Kali ni Encik Adam sajalah yang bebelkan dia.”  Shah Adam tersenyum.  Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Kak Chom itu.  Ini mesti pasal jodoh.  Nampaknya sahabatnya itu perlukan bantuan hati.  Kalau berlarutan sudah pasti hidup sendirilah nampaknya.
            “Dia ni memang macam tu, Kak Chom.  Kalau orang dah mata kayu hati batu ni susah dah nak lentur.  Tak tahulah apa nak jadi dengan kawan saya ni Kak Chom.  Kalaulah dia kahwin Kak Chom, saya tak tahulah macam mana agaknya.”  Shah Adam menggelengkan kepala saat dia memandang kepada Ikhsan yang berlagak seperti tiada apa.
            “Kak Chom tahu yang Encik Ikhsan ni baik.  Beruntung siapa dapat kahwin dengan dia.  Kalaulah Kak Chom ada anak perempuan awal-awal Kak Chom dah booking Encik Ikhsan ni.”  Meledak tawa Shah Adam dan Ikhsan.
            “Amboi Kak Chom, cakap mengalahkan apa.  Siap nak booking lagi.”  Sampuk Ikhsan.
            “Dahlah, Kak Chom keluar dulu.  Nanti Kak Chom bawa masuk nasi lemak untuk Encik Ikhsan.” 
            “Ikhsan saja ke Kak Chom?  Saya punya ada tak?” Sengaja Shah Adam mengusik.  Sedangkan dia sudah pun bersarapan dengan isteri tercinta di rumah.  Memang itu rutin hariannya. Bagi Shah Adam menikmati hidangan bersama-sama adalah masa untuk mengeratkan lagi hubungan.
            “Nak juga?  Boleh, lagi pun Kak Chom bawa lebih tadi.  Nanti Kak Chom bawa.” 
            “Eh, tak payah. Saya gurau je.  Dah kenyang makan dengan isteri saya tadi.”  Sengaja Shah Adam meninggikan suara pada perkataan ‘isteri’ untuk melihatkan reaksi Ikhsan.  Namun Ikhsan bagaikan tiada apa perasaan. 
            “Erm… dia buat bodoh je.”  Ikhsan! Ikhsan! 
            “Okey, jumpa lagi.  Sekejap lagi Kak Chom datang balik bawah nasi lemak Encik Ikhsan.” Kak Chom lantas meninggalkan Ikhsan dan Shah Adam sambil tangannya penuh dengan perkakasan mencuci.
            Shah Adam membantu membukakan pintu untuk Kak Chom.  Kemudiannya dia menutup semula pintu dan duduk di kerusi tanpa kebenaran dari Ikhsan.  Ikhsan memeluk tubuh dan memandang kepada Shah Adam.  Shah Adam menyambut pandangan Ikhsan dengan senyuman sinis.
            “Yang kau tersenyum macam nak tercabut bibir tu dah kenapa?” Ikhsan melabuhkan punggung di hadapan Shah Adam sambil mengangkat kening.  Dia menantikan kata-kata Shah Adam yang memandangnya bagaikan mahu menelan.
            “Kau ni memang tak suka dengan perempuan ke?” Amboi, sesedap rasa dia dikatakan sebegitu.  Nampaknya kena makan kasut tengahari ni ni. 
            “Fitnah tu, Adam. Kau tak baik tau fitnah aku.  Kau fitnah aku bagaikan kau tikam jiwa aku ni.”  Shah Adam tersenyum lagi. 
            “Pukul berapa kau balik semalam?”  Tanya Shah Adan tegas. 
            “Pukul sebelas.  Kenapa?” 
            Shah Adam mengeluh perlahan.  Susah untuk dia berceritakan tentang sahabatnya itu.  Susah betul untuk dia melihat Ikhsan keluar malam.  Hujung minggu pula dia banyak menghabiskan masa di rumah.  Sudah puas dia ‘melagakan’ wanita untuk dijadikan teman, namun semuanya hampa.  Ikhsan lebih banyak menolak dari menerima.  Namun Shah Adam  masih belum mahu berputus asa.  Selagi dia ada, dia mahu melihat akan sahabatnya itu bahagia.  Bukan apa, Ikhsan sudah lama bersendirian.  Sampai masa untuk dia punya teman istimewa yang mungkin akan menjadi isteri.
            “Tidaklah, kalau ada setiausaha atau PA sekurang-kurangnya kurang sikit beban kau.  Ini tidak, pergi pagi balik malam.  Memang kau tak ada social life ke Ikhsan?  E… kau tak bosan ke hidup sendiri ni?” 
            Ikhsan terhenti menaip di papan kekunci milik note booknya.  Tajam pandangan Ikhsan dengan menerima kata-kata Shah Adam itu.  Nampak sangat dah lama tak makan kasut budak ni.  Kali ini Ikhsan pula yang tersenyum sinis. 
            “Kau macam tak kenal dengan aku.  Dah sepuluh tahun aku hidup sendiri tau.  Aku selesa macam ni.  Aku bebas untuk pulang pukul berapa, dan aku memang tak mahu komitmen yang boleh merosakkan kerjaya aku.  Kau tahu kan macam mana aku merangkak masa aku kehilangan papa.”
            Shah Adam memandang kepada Ikhsan.  Dia sedar, Ikhsan sudah kehilangan ibu semasa kecil. Dan sepuluh tahun yang lalu papanya pula yang meninggal dunia.  Semua itu memberikan tamparan hebat bagi Ikhsan.  Dia juga tidak menyalahkan Ikhsan sekiranya Ikhsan gemar bersendirian kerana sejak kecil lagi dia didedahkan dengan sikap berdikari.  Namun itu bukan halangan untuk melihat Ikhsan berpasangan.
            “Aku tahu,”
            “So?”
            “Tidaklah, sekurang-kurangnya kerja kau teratur.  Ini, nak makan tengahari dengan kau pun aku kena buat temujanji?  Aku dah iklankan kerja PA untuk kau.”  Tenang sahaja Shah Adam membuat pengakuan.
            “What?!” 
            “Jangan nak buat muka terkejut sangat.  Aku buat ni pun untuk kebaikan kau.  Biar kau boleh rehatkan badan.  Balik awal dan cari kawan.  Tak pun cari buah hati.  Mana tahu tersangkut boleh jadikan isteri.  Ini tidak, semua kerja kau nak buat.”
            Shah Adam melihatkan wajah Ikhsan yang sudah berubah itu.  Di dalam hatinya takut juga sekiranya Ikhsan tidak puas hati dengan tindakannya.  Buatnya Ikhsan campak dari dari bangunan 30 tingkat melayang nyawa dibuatnya.  Ikhsan memandang kepada Shah Adam dengan pandangan yang agak dalam.  Memang nak kena dia ni. 
            “Kau ingat syarikat ni kau yang punya ye.” Tegas sahaja suara Ikhsan.  Shah Adam tersenggeh.
            “Semua ni untuk kebaikan kau juga, Ikhsan.  Sekurang-kurangnya kerja kau taklah tanggung seorang.  Tak adalah kau nak balik sampai lewat malam.” Shah Adam cuba untuk mencucuk jarum pujukan.  Ikhsan masih lagi tidak puas hati. 
            Ikhsan mengaku yang dia tiada masa untuk keluar apa lagi bertemu janji.  Hidupnya adalah kerja dan syarikat.  Kalau hari cuti rumah sahajalah tempat dia melepak sambil menyiapkan kerja.  Shah Adam sudah banyak kali bising tentang kehidupannya.  Namun itu memang sudah menjadi rutin hariannya.
            “Aku nak kau tarik balik jawatan kosong tu dalam website.”
            “Dah kenapa pulak. Aku nak tolong kau ni.”  Shah Adam kecewa dengan tindakan Ikhsan itu.
            “Aku kata tarik balik buat sajalah.  Kalau kau nak tolong aku cari PA aku nak kau tarik balik jawatan tu.  Kalau tidak, kau saja yang bayar gaji dia.” 
            “Yelah!  Hish!  Susahlah kau ni.  Aku nak tolong kau pun kena marah.”  Ada nada merajuk dalam kata-kata Shah Adam itu.
            “Okey, kalau kau nak aku ambil PA kau kena dengar cakap aku.” Bersinar mata Shah Adam mendengarkan butir-butir kata Ikhsan. 
            “Apa dia?”
            “Aku nak kau umumkan jawatan tu dalam suratkhabar tempatan. Utusan Malaysia atau Berita Harian.  Lepas tu aku cuma nak yang berkelulusan SPM atau STPM sahaja. Yang lain biar aku yang fikirkan.”
            “Apa?  Kau ni nak cari PA ke atau nak cari cleaner?” Terkejut Shah Adam dengan permintaan  Ikhsan itu.  Kalau dulu bolehlah nak buat pengumunan dalam surat khabar.  Sekarang ni dah zaman IT kot.  Semuanya cepat dan pantas.  Shah Adam menggelengkan kepala tanda kurang setuju.
            “Kau buat je apa yang aku suruh.  Dan pastikan calon tu aku yang pilih.”  Terang Ikhsan tegas. 
            Shah Adam bangkit dengan sedikit kecewa.  Namun dia terpaksa menerima keputusan Ikhsan itu.  Mungkin ada sebab mengapa Ikhsan berbuat demikian.  Walau pun begitu ada sinar gembira di hati Shah Adam bila Ikhsan menerima pendapatnya untuk menerima seorang PA untuk membantu kerja-kerja Ikhsan.

            “Okey,  aku buat hari ni juga.”  Shah Adam berlalu menuju ke arah pinti bilik Ikhsan.  Dia memulas tombol pintu dan dia sedikit terkejut bila Kak Chom sudah terpacul di depan pintu bilik Ikhsan.  Kemudiannya berpaling kepada Ikhsan dan kemudiannya menggelengkan kepala.  Ikhsan… Ikhsan….

JODOH TIGA DARA - BAB 1

Teratak pena | 8:51 PM | 1 Comment so far


BAB 1

            Mak Senah membuka selak pintu dapur apabila salamnya tidak disambut.  Peluh yang menitik di wajahnya yang melepasi separuh abad itu dilap dengan lengan bajunya.  Cuaca panas hari itu usah dicerita.  Sempat juga dia menikmati teh o ais sebelum dia balik dari kedai Mak Lijah tadi.  Amboi, nikmatnya tak boleh nak dicerita.  Sampaikan Mak Temah, janda vogue pun boleh tumpang sekaki.  Alasannya nak singgah saja, tapi singgah ada maksud si Temah vogue tu.  Apa lagi kalau bukan nak cerita hal orang lain. Mak Senah dengan Mak Lijah dengarkan je.  Bukan dia tak tahu dengan Mak Temah tu.  Semua kisah orang habis nak dicerita. 
            “Kasih!!!”  Laung Mak Senah yang masih lagi mencari kelibat anaknya. Hish!  Mana pulak perginya anak dara ni.  Takkan kena culik dengan alien pulak.  Habis segenap rumah Mak Senah teroka mencari Kasih. Pelik!  Tadi masa tinggalkan dia okey je.  Elok pulak anak dara tu tengah memasak. 
            “Kasih!!”  Mak Senah cuba tinggikan volume suaranya.  Dalam bilik?  Tak ada.  Ruang tamu?  Kosong.  Hai, mana pulak perginya dia ni.
            “Ka…”
            “Kasih sini mak!”  Mak Senah mengurut dada perlahan.  Nasib baik anak aku ni ada lagi. 
            “Mana kau pergi Kasih?  Puas mak panggil kau.  Bukannya kau nak nyahut.  Kau buat apa kat belakang tu?” 
            “Ambil daun pisanglah mak.  Bukan ke mak yang beria-ia nak makan ikan bakar.  Takut betul mak Kasih tak ada ye.”  Usik Kasih tersenyum.
            “Hish!  Kau tu anak dara.  Rumah ni tak ada orang jantan.  Kau ingat mak tak risau?”  Kasih tersenyum lagi bila mendengarkan bebelan Mak Senah itu.
            Ada masa Mak Senah risau juga dengan kesemua anak daranya.  Kasih yang sulung umurnya sudah menginjak ke angka 32 tahun.  Masih tak ada calon untuk jadikan suami.  Begitu juga dengan Hani, anaknya yang kedua.  Umur dah sampai ke angka 28 masih lagi menunggu pinangan orang.  Yang ketiga, Eisya.  Walau pun dia paling muda, namun usianya sudah pun mencapai ke angka 26 tahun.  Ada masa Mak Senah terfikir siapalah jodoh anak-anaknya.  Anaknya semuanya perempuan dan menantikan pinangan orang.  Namun dia sedar, anaknya tiada istimewanya.  Walau bagaimanapun, sebagai ibu setiap kali selepas solat dia seringkali memanjatkan doa untuk anak-anaknya itu. 
            “Mak…. Mak…. Sampai kat luar Kasih dengar mak menjerit.  Kasih menyahut mak tak dengar.”  Ulas Kasih.
            “Lambat lagi kamu nak habis masak?”
            “Tinggal ikan bakar je mak.  Sambil masak, Kasih siapkan kuih untuk tok penghulu.  Kalau buat lepas masak nanti takut tak sempat pulak.”  Mak Senah menepuk dahi.  Terlupa sekejap dia dengan tempahan kuih tok penghulu.  Itulah dia, leka sangat berborak dengan Mak Lijah tadi masa nak ambil kuih.  Nasib baik Kasih yang sudah pun tahu tugasnya.
            “Ye tak ye juga.  Tok penghulu nak kuih dia bila?”
            “Petang mak.  Talam keladi Kasih dah kukus dah.  Cuma yang tinggal kuih koci aje.”  Mak Senah mengangguk.  Kembang hatinya bila Kasih sudah pun meletakkan kuih talam dalam tempat kukus.  Ha, kurang sikit kerjanya.  Tapi, kasihan pula dengan Kasih yang dari tadi masih belum berehat.
            “Tak apalah, biar mak sambung.  Kamu tu, dah mandi ke belum?”  Kasih menggelengkan kepala.  Dari pagi dia sibuk didapur dan bilik air.  Habis sahaja menjemur kain terus dia memasak untuk tengahari.
            “Patutlah masam.  Dah, pergi mandi.”
            “Sikit je lagi mak.”
            “Eh, budak ni.  Aku kata pergi mandi!” 
            “Yelah….”  Mencicit Kasih tinggalkan dapur dan terus menuju ke bilik.
            Selesai sahaja dia membersihkan diri, Kasih kembali semula ke dapur.  Ikan bakar sudah pun siap dimasak.  Kali ini dia membantu ibunya membungkus kuih koci. 
            “Mak makanlah dulu.  Biar Kasih buat semua ni.” Ujar Kasih sambil menyusun lauk di atas meja makan.  Mak Senah melabuhkan punggung di kerus sambil matanya tidak lepas memandang kepada lauk di atas meja.
            “Ikan bakar mana?”  Tanya Mak Senah sambil memandang kepada Kasih.  Kasih menggarukan kepala.
            “Hish!  Kamu ni Kasih, belum tua dah lupa.”  Usik Mak Senah.
            “Dah tua dah mak.  Umur pun dah 32.”  Sambut Kasih tersenyum.  Hai, menjawab je kerjanya budak bertuah ni.  Mak Senah tidak mahu tunggu lama dan terus menikmati hidangan tengahari itu.
            “Betul kamu nak hantar kuih-kuih tu semua Kasih?”  Tanya Mak Senah dihujung suapannya. 
            “Yelah mak.  Biar Kasih je yang hantar kuih-kuih tu.  Mak rehat je kat rumah.” 
            “Kalau kau nak hantar tu elok-elok sikit.”
            “Menurut perintah, bondaku.”  Senyum Kasih.
            KASIH mengayuh basikal dengan perlahan.  Mana tahu kuih dalam bakul boleh terjatuh kalau dia tidak berhati-hati.  Mana nak buat balik, dah pulak tu nak pergi membeli satu hal.  Bukannya pakai air liur je.  Segala lubang dielak dengan perlahan.
            “Ha…. Nak pergi mana tu…. Nak pergi mana tu…” Hampir terbabas Kasih bila dia disergah dari belakang.  Bunyi motor lagenda dari belakang tidak dihiraukan.  Malas dia nak layan lelaki yang dibelakangnya.  Kasih tidak memandang belakang.  Sebaliknya dia menyorong basikal yang hampir terbabas tadi.
            “Nak pergi mana ni Kasih sorang-sorang.”  Kasih diam. Sepatah pun dia tidak menjawab.  Berpaling pun tidak. 
            “Sombongnya.  Kalau nak pergi mana-mana boleh abang tolong temankan.  Banyak sangat barang yang dibawanya tu.  Bagi abang separuh.”  Borhan tersenggeh sambil memperlahankan motosikalnya sambil bergandingan dengan Kasih.
            Kasih memandang ke sekeliling.  Mana tahu ada insan yang boleh diminta tolong.  Atau pun dia takut orang akan salah faham dengannya.  Dia tidak mahu dicop sebagai perempuan gatal yang suka nak melayan suami orang.  Kasih berdoa agar Borhan cepat berlalu dari situ kalau dia tidak gatal melayannya.
            “Kau ni kan Kasih, makin sombong makin abang suka.  Eh, Kasih.  Kau kahwin dengan abang nak?”  E…. geli geleman bila Kasih mendengarkan perkataan kahwin dari mulut Borhan.  Kalau nak diikutkan hatinya mahu sahaja dia bagi satu smackdown pada Borhan.  Tapi bila mengenangkan yang dia anak dara dan keseorangan pulak tu, dia matikan niat.  Geram dan menyampah pula tengok mamat gatal  melebih ni.
            “Kasih…. Kau dengar tak apa yang abang  cakap ni?  Kau jangan nak sombong sangatlah Kasih.  Kalau kau sombong sangat, sampai bila-bila pun kau jadi anak dara tua tau.”
            Kasih buat tak dengar apa yang dikatakan oleh Borhan.  Dia dah lali semua tu.  Ramai orang kampung bercerita tentang umurnya.  Ah, ada dia kisah?  Bukan dia kacau orang pun.  Tapi apa yang paling dia takut adalah Mak Temah vogue tu.  Kalaulah dia nampak dia berdua-duaan dengan Borhan sekarang ni, naya je mak kena umpat nanti.  Habis satu kampung dia jajakannya.
            “Abang tolong jangan kacau Kasih.  Kasih nak cepat ni.” 
            “Kau nak cepat nak pergi mana Kasih?  Marilah temankan abang.” 
Hati Kasih sudah mula rasa tak senang.  Seram sejuk dia melihatkan Borhan yang seperti hilang pertimbangan itu.  Dari jauh dia terpandangkan rumah tok penghulu.  Kasih mengatur langkah dengan lebih laju lagi.  Makin dia laju, makin laju juga Borhan mengejarnya dari belakang.
“Marilah sayang, kita kahwin.”
“Jangan ganggu oranglah.”  Hati Kasih kian tenang bila dia sudah pun menghampiri perkarangan rumah tok penghulu.  Belum sampai di rumah tok penghulu, Kasih sudah pun menjerit memberi salam.
            “Assalamualaikum!!!! Tok!!! Tolong tok!!!” Jerit Kasih lantang.  Air mata Kasih hampir mengalir bila Borhan masih mengejarnya. 
            “Tok!!!”  Kasih menarik nafas lega bila pintu rumah dibuka.
            “Tolong saya, tok!  Abang Borhan kejar saya.”  Pandangan Kasih masih lagi kepada Borhan. 
            “Hey!”  Ternyata Borhan terkejut.  Dia kemudiannya menghidupkan enjin motor dan berlalu dari situ.  Bila melihatkan Borhan hilang dari pandangan mata, barulah Kasih boleh menghela nafas lega.
            “Terima kasih tok…”  Alamak!  Bukan tok penghulu! Siapa pulak mamat ni?  Tak pernah nampak pun.  Nak kata anak tok penghulu takkan kot.  Semua anak tok penghulu dia kenal.
            “Maafkan saya.”
            “Hai, atok pun atoklah.” Lelaki itu tersenyum apabila melihatkan Kasih yang masih lagi terpinga-pinga. 
            “Tok penghulu ada?”
            “Pakcik, ada orang nak jumpa.”  Jengah lelaki itu ke dalam rumah.  Tidak lama kemudian tok penghulu mula menjegahkan muka.
            “Tok…”
            “La… dah sampai kamu Kasih.  Kuih dah siap ye.  Marilah masuk.  Mastura ada kat dalam tengah tunggu. Dari tadi asyik bertanya bila kamu nak datang.” Ujar tok penghulu dengan mempelawa Kasih masuk.
            “Marilah saya tolong bawakan.”  Pelawa lelaki itu.
            “Tak apa, tak berat sangat.”  Tolak Kasih perlahan.  Dia dia kemudiannya menuju ke dapur apabila mendengarkan Mastura sedang menantikannya.
            “Kasih!!”  Menjerit Mastura apabila melihatkan Kasih yang masuk ke dapur.  Kasih terus meletakkan kuih di atas meja dan memeluk kemas rakan baiknya.
            “Kenapa muka kau pucat semacam je?”
            “Abang Borhan kejar aku.  Seram satu badan dibuatnya.”
            “Hai, bukan ke abang Borhan tu dah kahwin anak tiga.”  Kasih menganggat bahu.  Dia sendiri tidak tahu kenapa Borhan suka sangat nak mengorat.  E…. selisih dapat lelaki buaya darat macam tu.  Kalau kat rumah bukan main lagi.  Pijak semut pun tak mati.  Luar rumah?  Macam cacing kepanasan.
            “Wah, kau.  Bila nak bersalin ni?” Tanya Kasih apabila melihatkan perut Mastura yang kian membesar.  Dia cuba untuk mengubah tajuk.  Malas dia nak layan kisah mamat buaya darat itu.
            “Tiga bulan lagi.” 
            “Untung kau.  Diam-diam je anak kau dah dua.” 
            “Ala… rezeki…. Kau pun boleh.”
            “Nak boleh macam mana?  Kahwin pun tak.”  Rajuk Kasih. 
            “Ala…. Janganlah macam tu.  Ada jodoh kau.  Cuma cepat dan lambat je.”
            Kasih mengeluh.  Bila cerita tentang jodoh, wajah ibunya sering bertandang.  Bukan dia tidak mahu kahwin, tapi…. Mungkin belum sampai jodohnya nak buat macam mana.  Dia perempuan, yang menunggu pinangan orang.  Takkan dia nak jadi perigi pulak.  Ada pulak dikatakan anak dara tak tahu malu.  Kalau boleh dia tak nak menconteng arang dimuka ibunya.  Tak bau syurga nanti.
            “Ehem….” Perbualan mereka terhenti.  Kasih dan Mastura berpaling.
            Pandangan mata Kasih terarah kepada lelaki yang telah menyelamatnya tadi.  Senyumannya mak ia, mungkin ramai yang boleh tergoda.
            “Kasih, ini aku kenalkan kawan baik along aku.  Nama dia Anas Rizal.  Dia ni tengah cari rumah sewa kat kampung ni.  Maklumlah senang ke tempat kerja katanya.”
            “Abang Anas, ini Mas kenalkan kawan baik Mas. Nama dia Kasih.  Dia ni masih single and available.”  Pantas tangan Kasih mencubit lengan Mastura.  Mastura mengaduh kecil.  Malu pula dia dengan seisi perkenalan itu.
            “Kasih…” Anas Rizal senyum.  Kasih tunduk malu. Hish!  Kenapalah dia pandang aku? 
            “Er…. Mas, aku kena balik dulu. Kesian mak tinggal sorang.  Nanti kalau ada masa aku datang.” Yang sebenarnya Kasih tidak mahu lama di situ.  Debaran semasa Anas Rizal berada di situ tak boleh nak diukur.  Wahai hati…. Tenanglah kau.
            “Saya temankan awak balik.”
            “Eh, tak payah.”  Terus tegak kepala Kasih bila mendengarkan pelawaan Anas Rizal itu.  Jangan buat pasal.  Ini kampung, nanti ada saja wartawan yang tak bertauliah sampaikan gossip sensasi.
            “Nanti kalau lelaki tadi kacau awak macam mana?”
            “Tak apa.  Saya okey. Mas, aku balik dulu.”  Kasih memeluk erat sahabatnya itu.  Anas Rizal memandang dengan ekoran mata.  Namun dia dalam hati dia masih lagi diulit rasa bimbang.
            “Mas, Iskandar mana?”
            “Along ada dalam bilik dia.  Kenapa bang?”
            “Nak ajak dia ikut Kasih dari belakang.  Mana tau kalau lelaki tadi kacau dia balik.  Nak abang pergi sorang ada pulak kena cangkul dengan orang kampung.  Abang pergi dulu.” Anas Rizal berlalu meninggalkan Mastura yang tersenyum simpul.  Hai, Kasih…. Nampaknya ada juga lepas ni cinta berputik.
            “Mas….”  Mastura tersentak.  Wajah suaminya di muka pintu dapur dipandang.

            “Kenapa dengan Anas tu?  Macam orang tak tentu arah je.”  Mastura senyum tidak menjawab soalan suaminya itu.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page