TIPS MENULIS NOVEL: Bagaimana menjana Idea

Teratak pena | 12:47 AM | 2 Comments so far


Bertemu kembali semua....

Harap semuanya sihat dan berbahagia

Okey, kali ini saya nak share tips menulis novel : Bagaimana menjana idea

Idea... ianya adalah sesuatu yang subjektif. Idea boleh kita perolehi daripada pembacaan kita, pengalaman, atau pun apa yang berlaku di sekeliling kita. 

Tahu atau tidak, daripada sumber-sumber di atas, kita boleh menulis senaskah novel. Ya, mungkin kita perlukan sedikit imaginasi untuk kita kembangkan jalan cerita.

Walau bagaimana pun. sesebuah novel yang kita nak hasilkan, perlu kita timbang-tara dengan genre yang akan kita tulis nanti. Kalau saya, mestilah genre cinta. Sebab cinta itu sesuatu yang luas. Tidak semestinya cinta antara adam dan hawa. Malah cinta kita dengan Allah, keluarga, dan  juga cinta kita terhadap masyarakat. Namun, idea itu kena selari dengan genre yang kita mahu tulis. 

Sebagai penulis, kita perlu banyak memerhati. Pemerhatian itulah akan timbul idea. Walau pun kita rasa ianya sekecil peristiwa, namun siapa sangka akan menjadi satu cerita. 

Untuk diri saya sediri, pemerhatian itu penting. Dengan pemerhatian, kita boleh mengulas sesuatu idea. Okey, saya bagi contoh. 

Contoh yang saya nak bagi ini adalah contoh untuk 2 novel saya yang saya dapat idea dengan pemerhatian saya. 

1. CEO TAK DIJANGKA
- Novel ini mengisahkan seorang anak muda yang berniaga burger tiba-tiba menerima satu wasiat untuk menjadi seorang CEO. Oleh sebab dia tidak mahu memegang jawatan seorang CEO dia ingkar wasiat dengan berkahwin dengan pembantunya. Sedangkan sepatutnya dia berkahwin dengan anak CEO tersebut. Walau bagaimana pun, apabila wasiat kedua dibaca, Dia tetap menjadi CEO dan ini membuatkan anak CEO itu marah. Di penghujung cerita, baru kita tahu siapa sebenarnya Hadif (HERO)

Okey... idea yang saya dapat ni, masa saya tunggu beli burger. Saya hanya memerhati dari jauh. Saya tengok anak muka yang jual burger tu, nampak bersungguh-sungguh. Ketika itu, ada seorang kanak-kanak yang sedang menunggu. 

- Apa idea yang saya dapat:
a. Kalaulah budak burger  ni tida-tiba dapat durian runtuh. Macam mana agaknya.
b. Dia belanja kanak-kanak itu sebab kanak-kanak itu tidak cukup duit. - Idea yang saya dapat: Di dalam cerita Ceo Tak Dijangka, Hadif mempertahankan rumah anak yatim yang diusahakan oleh Reisya sehinggakan dia sanggup berkahwin dengan Reisya demi mahu menyelamatkan rumah anak yatim itu dijual.

2. KESUMA JIWA
- Novel ni kisah seorang anak muda yang pemalas yang amat. Namanya Jiwa. Kerja dia makan tidur dan ukur jalan. Abah dia pengusaha kebun pisang. Omak dia, jual  pisang goreng. Hingga pada satu peristiwa, dia berusaha untuk memperbaiki dirinya apabila isterinya curang dan sering kali menghina dirinya. Daripada seorang pemuda yang pemalas, akhirnya dia menjadi seorang yang berjaya. 

Okey... idea cerita ni saya dapat semasa saya balik kampung. Rumah mak saya berhadapan dengan kebun pisang. Tidaklah besar mana. Tapi, banyak juga pokok pisang yang ditanam. Kemudian, datang tuan tanah (sepasang suami isteri) mengerjakan tanah itu. 

apa idea yang saya dapat: 
a. Ke mana anaknya pergi? Kenapa dia tak nak tolong mak dengan abah dia kat kebun? - kat sini saya dapat idea. Hurm... anak dia pemalas. (sebenarnya... anak dia tengah belajar... hahaha... dan ada yang bekerja di bandar)

Jadi, bila dah dapat idea, barulah kita wujudkan konflik-konflik yang lain. 

Biasakan dengan pertanyaan ini:

Bagaimana
Apa
Siapa
Macam mana

Kita melihat, kita bertanya. Kita bertanya, kita menjawab. 

Insya Allah.... akan terjadi satu cerita.


Anekdot Uncle : Kisah 1

Teratak pena | 10:57 AM | 2 Comments so far


Uncle mengangkat tangan sambil tersenyum riang. Ketika itu, kakinya sudah pun melangkah masuk ke dalam premis untuk membuat urusan. Staf kaunter yang berada di kaunter pertanyaan, turut tersenyum.

"Selamat pagi, uncle. Sudah lama tak datang sini. Uncle sihat?"

"Uncle banyak sihat. Amoi, uncle mahu buat internet yang baru punya. Boleh ka?"

"Boleh... Tak ada masalah. Uncle isi borang dulu, ya." Staf kaunter bermanis mulut sambil menyerahkan borang kepada uncle.

"Wah! Banyak soalan yang uncle kena jawab. Macam SPM."

"Jangan risau, uncle. Semua soalan senang saja."

Uncle membaca setiap perkataan dan ayat di atas borang.

"Nombor rumah kena isi, nombor jalan, nombor poskod, contact nombor, pilih nombor, tapi... Ada satu nombor amoi tak nak ke?"

Borang bertukar tangan. Staf kaunter menggarukan kepala.

"Uncle mahu letak nombor apa?"

"Nombor plat kereta tak mahu ke?"

"Uncle sudah beli kereta? Bestnya. Itu basikal tinggal rumahlah ya."

"Adoi, amoi. Berapa kali uncle cakap. Uncle bawa basikal. Itu plat kereta jiran sebelah punya. Cakap dengan itu teknikal jangan salah rumah."

Seri Suri Hatiku: Teaser 1

Teratak pena | 10:51 AM | Be the first to comment!


Kali ini Datin Rosiah kalah. Perlahan air matanya menghiasi pipi. Walau pun bibirnya terkunci, namun hatinya terbuka dengan rasa sebak yang terus menginjak perasaannya. Hatinya mula bimbang. Rayqal tidak pernah hidup susah. Dia risau akan Rayqal akan terus tenggelam. Dia akan cuba untuk menghalang, namun Datin Rosiah tahu kedegilan Rayqal untuk terus mengikut perasaan sendiri. Penuh dengan rasa marah dan benci. Walau apa pun keputusan, dia sentiasa berdoa akan kesejahteraan dan anaknya itu sentiasa di lindungi Allah. Datin Rosiah memandang kepada Datuk Zamani ibarat memberi tanda agar suaminya itu menghalang Rayqal agar terus keluar. Namun, hampa. Datuk Zamani membiarkan sahaja dengan wajah yang begitu tenang.

“Biar dia, Siah. Biar dia berdikari. Dia ingat, hidup di Kuala Lumpur tu senang? Biar dia rasa bagaimana seksanya kat sana. Sekarang ini pun kita dah bagi dia senang. Tinggal di kampung yang tak perlu nak fikirkan apa-apa. Cuma fikirkan cara untuk nak menyambung hidup.”

Rayqal tidak mempedulikan Datuk Zamani sebaliknya dia keluar dari rumah itu. Namun sebaik sahaja dia keluar dari rumah, sekali lagi dia terlanggar dengan Seri. Rayqal mengeluh keras. Hai, kenapalah dia boleh bertemu lagi dengan minah ni. Tajam renungan Rayqal kepada Seri.

“Hey, kau lagi… buat apa kat sini?”

Seri tidak menjawab sebaliknya dia memandang sekeliling.

“Apa yang kau cari?”

“Lembu. Encik cari lembu, kan?” Walau pun nada Seri tenang dan perlahan, namun berjaya membuat hati Rayqal mendidih.

Rayqal memicingkan mata kepada Seri dengan perasaan tidak puas hati. Ada yang kena minah ni. Rayqal masih lagi memandang kepada Seri yang masih lagi tercari-cari.

“Saya cakap dengan awak!”

Seri tersentak dan perlahan memandang kepada Rayqal yang seperti tikus mondok! Ek ele… mamat ni. Cubalah cakap baik-baik. Ini mengalahkan petir dengan guruh bunyi serentak. Seri tunduk. Tidak berani dia mahu memandang kepada lelaki di hadapannya.

“Maafkan saya, encik. Nama saya bukan awak.” Seri menggeleng.

Makin berubah wajah Rayqal. Seolah dirinya dipermainkan.

“Melawan, ya!”

“Maaf…”

“Awak ni spesis apa sampai asyik nak langgar orang?”
Rayqal masih tidak puas hati dengan Seri. Matanya tepat merenung kepada Seri. Ternyata gadis yang berada di hadapannya tidak berani mahu bertentang mata. Tahu takut!

Seri pula yang terpinga-pinga. Dia sendiri tidak faham kenapa perlu naikkan suara. Mamat ni terlepas dari pasar borong agaknya. Memanjang nak menengking. Bingit juga Seri mendengarkan suara Rayqal.

“You…”

Pulak dah….

“Saya bukannya ikan yu. Saya ada nama. Nama saya Seri.”

Kejujuran yang meluncur dari bibir Seri membuatkan Rayqal naik darah. Bulat mata dia memandang Seri. Gadis jujur itu telah membuatkan meter marahnya terus mencanak.

“Saya tak tanya nama awak. Awak ni saja nak stalk saya ke?”

Kali ini Seri mendongak memandang Rayqal. Hurm… boleh tahan rupanya. Kacak tetapi sombong. Hidung tinggi. Macam manalah mamat ni boleh datang kat kampung ni. Buat kecoh tak tentu pasal.

“Stalk mak tok. Saya datang bukan nak cari encik. Saya nak jumpa dengan Mak Leha, nak pulangkan bekas ni.”

Seri menunjukkan bekas kepada Rayqal. Rayqal mati kata. Namun wajahnya masih lagi masam dan tidak puas hati. Rayqal memandang kepada Seri yang ternyata nampak lebih tenang berbanding dengan dirinya. Walau pun Seri membidas setiap kata-katanya dengan tenang, namun memberi impak kepada perasaannya. Terus berdesup perasaan marahnya. Dia pun tak faham macam mana Seri boleh bertindak tenang seperti itu.

“Mak Leha! Ada perempuan gila cari Mak Leha.” Jerit Rayqal daripada halaman rumah.

Terbuntang mata Seri apabila Rayqal menggelarnya perempuan gila. Habis dia tu apa? Alim sangat? Mamat torpedo. Asyik nak marah saja. Mesti dia ni ada penyakit darah tinggi. Nak kata ada kencing manis, tak ada pulak tanda-tanda kemanisan pada muka tu. Seri hanya sekadar memandang kepada Rayqal yang berlalu meninggalkannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page