Tutorial photoshop : Banner Assalamualaikum / Selamat Datang

Teratak pena | 9:46 PM | 4 Comments so far
Bertemu Kembali...

Hari tu saya dah berjanji kan nak buat tutorial photoshop berkenaan banner Assalamualaikum/ Selamat datang di setiap post.  Hari tu tutorial nak selitkan, dan sekarang nak buat sendiri banner tu.  

Okey,  yang sebenarnya nak menaip terasa malas pulak.  Layan jelah step by step dia yek













Diharap boleh membantu.  Lagi pun seperti apa yang Cik Siti nak kata Cik Siti tak ada pembelajaran formal dalam adobe photoshop ni.  Cuma belajar sendiri.  Try and error.  

Kalau ada salah minta maaf sesangat ye...

Sampai bertemu lagi.  

Jalan beriring bersama teman,
Di dalam kota ingin jelajah,
Ilmu yang ada cuma sekuman,
Untuk dikumpul menjadi gajah.

Karya dan aku

Teratak pena | 7:18 PM | Be the first to comment!
Pada tanggal (30 julai 2009) aku pergi jenguk dalam post box kalau ada surat. bila tengok envelope dari Dewan Bahasa dan Pustaka aku dok pikir balik. bila rasa cam keras je aku dah agak mesti majalah. bila aku buka buku Tunas Cipta yang aku pegang macam pernah aku dengar. bila aku selak, aku tengok macam aku pernah tengok sajak ni. Weiiiii..... sajak aku masuk dalam majalah DBP. Bayu Kenangan, PJ selangor. berkali-kali aku baca sajak tu. yang pasti aku bangga sebab DBP tu...... salah satu pusat bahasa yang terkenal kat Malaysia. yang pasti apa yang aku dapat semalam adalah salah satu kepuasan dan ini membuatkan aku rasa cam nak terus berkarya.

aku memang minat dengan bidang penulisan ni. sesungguhnya dia memberikan aku kepuasan.

yang pasti nanti aku akan ceritakan tentang novel pertama aku lak ye. dah published tapi royalti la ni masih tak dapat lagi..... sedih, kan.
Jom layan sajak yang aku antar ari tu......

KEMENANGAN

Kemenangan
Bukannya terletak dari kekuatan
Namun terletaknya dari akal fikiran
Kebijaksanaan
Bukannya terletak dari akal fikiran
Namun terletaknya dari minda yang sempurna
Kesungguhan
Bukannya terletak dari minda yang sempurna
Namun terletak dari hati dan naluri
Kesabaran
Bukannya terletak dari hati dan naluri
Namun terletaknya dari keimanan yang hakiki

Dan untuk mencapai hanya sebutir kemenangan
Keimanan walau seluas lautan
Belum tentu akan dapat digapai
Walau pun hanya bias kemenangan yang dicapai
Bersyukurlah kerana ianya umpama kemenangan
Yang datang dari keikhlasan yang tiada tandingnya



*inilah sajak yang keluar dalam majalah tu*

isk isk bangga lak......

novel : Bisikan Cinta Bab 3

Teratak pena | 8:39 PM | Be the first to comment!

BAB 3



            Maya menonton rancangan ‘Dark Angel’ dengan penuh khuyuk.  Setiap minggu cerita itu sering dinantikan.  Kalau ada perancangan untuk ke mana-mana dia sanggup membatalkannya.  Menonton rancangan kegemaran bersendirian membuatkan Maya semakin seronok.  Teman serumah semuanya sudah keluar.  Maria dan Shikin keluar membeli-belah.  Sampai sekarang masih lagi tak nampak batang hidung.  Rozita pula katanya ada temujanji. 

Sejak akhir-akhir ini temannya itu wajahnya sering berseri-seri. Al-maklumlah, sudah dapat gading bertuah tanduk dilupakan.  Siapa yang tak kenal dengan Rozita?  Selalu saja bertukar-tukar pasangan.  Tapi yang peliknya semuanya taste dia kalau bukan kekasih orang, tunang orang juga yang dia minat.  Kalau sudah terdesak, suami orang pun boleh jadi teman lelaki.  Bekas teman serumahnya yang lepas keluar dari rumah itu pun sebab Rozita.  Rozita perampas kekasih orang.

            Maya terkejut apabila terdengarkan bunyi loceng pintu.  Dengan rasa malas Maya bangkit dengan perlahan tanpa melepaskan pandangan ke arah kaca televisyen. Siapalah yang kacau orang malam-malam buta ni?  Tak boleh tengok orang senang.  Ada saja yang nak mengganggu.  Sebaik saja pintu di buka, wajah Maria dan Shikin silih berganti.

            “La…. kamu berdua rupanya.  Kenapa tak buka je pintu ni?”

            “Kami lupa nak bawa kunci.  Ini semuanya pasal si Marialah.  Nak cepat sangat sampai terlupa nak bawa kunci.”  Bebel Shikin.

            “Apa pulak aku.  Aku dah beritahu kau sebelum kau bersiap lagi.  Bawak kunci tu.  Kau juga yang kata yelah.  Aku mana tahu yang kau tak bawa.” Jawab Mariah sambil menunjukkan mukanya yang mencuka.

            “Sudah.  Kau orang berdua ni, janganlah bergaduh depan pintu ni.  Kalau nak bergaduh, pergi sana.  Kat padang tu, kau nak bertekak ke, nak bertumbuk ke, orang tak kisah.  Kalau kau memekak kat sini, silap hari bulan orang sebelah pamerkan penyapu buruk baru kau tahu.  Sudah, masuk.  Berjalan dahlah tak ingat dunia, balik je nak gaduh.”  Bebel Maya sambil tangannya menunding ke arah rumah sebelah.  Shikin dan Maria yang tidak berkata apa, terus masuk ke rumah.  Ada benarnya kata-kata Maya itu.  Buatnya orang sebelah bawa penyapu, tak ke jadi kes haru.

            Shikin dan Maria menghempaskan badannya di atas sofa bersebelahan dengan Maya.  Maya meneruskan pemerhatiannya kepada rancangan kegemaran yang tadinya tertangguh.

            “Eh, Ita belum balik lagi ke?” Tanya Shikin.  Matanya meliar melihat kelibat Rozita.  Walau pun dia tahu yang Rozita sering balik lambat namun dia sebagai seorang teman cuba mengambil berat.
            “Bukan kau tak kenal dengan budak Ita tu, kalau jam dinding belum capai jam dua belas tengah malam, jangan haraplah nak nampakkan batang hidung. Mana dia pergi aku pun tak tahu.  Telefon aku pun tidak.  Aku tengok dia dah tak ada dalam bilik.” Jawab Maya tanpa memandang ke arah Shikin yang masih lagi beria-ia mencari sahabatnya itu.

            “Macam Cinderella pulak si Ita tu.  Aku rasalah agaknya siapalah yang jadi ibu tiri dia sampai dia susah nak balik rumah ye.”  Sampuk Maria.  Maya senyap.

            “Ala… dia  keluar pun  bukannya nak beritahu ke mana nak pergi.  Kalau apa-apa yang berlaku bukan ke susah.  Dia sorang ni memang nak menyusahkan kita je.  Bila dapat bala masa itulah nak cari kita.  Kita di sini risau bagai nak gila dia senang-lenang dengan pakwe dia.” Bebel Shikin.   Pening kepalanya memikirkan perihal sahabatnya yang seorang itu. Suka sangat balik lambat.

            “Perempuan ni lagi satu.  Kalau tidak mulut dia yang paling bising.  Bila dah dapat cerita favorite, mulut macam berkunci.  Engkau dah makan ke belum?”  Maya mengangguk tanpa menjawab soalan Maria. 

            “Sudahlah.  Malas aku nak layan kau ni, Maya.  Shikin, aku nak naik dululah.  Letih badan ni. Aku nak mandi sekali.  Engkau kalau masuk blik air memang lambat nak keluar.  So, aku masuk dululah ye.” Maria mencapai beg kertas yang dipenuhi dengan baju-baju yang baru dibelinya dan dengan pantas kakinya mula melangkah pergi meninggalkan Maya dan Shikin di ruang tamu.

            Maya mengeliat sebentar.  Matanya kini kian mengantuk.  Rozita masih lagi belum pulang.  Maya segera menutup televisyen dan semua suis di ruang tamu.  Hanya lampu ruang makan sahaja dibiarkan terang.   Manalah tahu kalau rakannya itu balik, tak adalah teraba-raba dalam gelap.  Maya terkejut apabila pintu ruang tamu diketuk.  Segera ditinjau melalui jendela ruang tamu.  Kelibat Rozita mula bermain di ruang matanya.  Maya memerhatikan kereta yang baru sahaja meninggalkan ruang kawasan rumahnya.  Macam aku kenal.  Tapi dia mana ye.  Maya mengerutkan keningnya.  Ah, peduli apa aku.

            “Lambat kau balik, Ita.  Dah dekat pukul satu baru nak muncul.  Kau pergi mana?  Kenapa tak beritahu kami?  Kalau ada apa-apa yang terjadi siapa yang susah?  Kita juga yang susah.  Kau ni, janganlah buat macam ni selalu.  Kalau mak kau tanya  puas aku nak jawab.  Eh, siapa yang hantar kau tadi?”  Maya sempat mencungkil rahsia kawannya itu.

            “Engkau ni Maya banyak sangat cakap.  Aku bukannya budak kecil nak kau kongkong aku.  Umur aku sudah pun dua puluh empat tahun.  Bukan empat tahun untuk kau tahu ke mana aku pergi.  Sebelum kau nak jaga urusan orang, lebih baik kau jaga tepi kain kau sendiri.  Aku rimaslah kau ni.  Asyik nak membebel je.” Ujar Rozita tanpa memandang ke arah Maya. 

            “Aku bukan apa, aku risau kalau apa-apa terjadi pada kau.  Kau tu perempuan.  Aku takut kau juga yang terkena nanti.  Aku nak tanya kau sekali lagi, siapa yang hantar kau tadi?”

            “Yang kau peduli?  Aku bukannya adik aku atau kakak aku nak kau ambil tahu.  Kau tak perlu risau apa-apa tentang aku.  I can handle my life, okey.  Buat apa kau nak pening kepala pasal aku?   Ini hal aku.  Jangan nak ganggu. Oh ya, buat pengetahuan kau teman lelaki yang hantar aku tadi akan aku kenalkan pada kau dan juga yang lain.  Namun apa yang aku harapkan kau janganlah terkejut nanti.”

            “Apa maksud kau dengan perkataan ‘terkejut’ tu?  Cuba kau beritahu aku.  Aku nak tahu.”  Maya cuba merayu meminta simpati.  Dia mula rasa tidak senang hati.  Dari tawa dan kata-kata Rozita membuatkan dia tertanya-tanya.

            Rozita menggeleng. 

            “Bukan sekarang.”  Ujar Rozita dengan senyuman sinis.  Dia kemudiannya meninggalkan Maya keseorangan dengan melayani persoalan yang kini sarat mengundang fikirannya.

            “Ita, kau nak makan ke?”  Laung Maya apabila melihatkan Rozita sudah pun memanjat tangga untuk ke atas.


            “Tak payah. Aku dah kenyang dengan temujanji tadi.  Aku harap kau doakan supaya aku mimpi yang indah malam ini ye.”  Sambut Rozita dalam nada riang.  Namun, Maya yang masih setia di bawah terkedu.  Ah, seperti ada rahsia yang disimpan oleh Rozita. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page