Cerpen: Cheese tart untuk si dia

Teratak pena | 10:01 PM |

Cheese Tart Untuk Mamat Muka Ketat
Hanis menarik tangan Nabilah dengan kasar.  Elok  dia berjalan tadi, langkahnya tiba-tiba terhenti dan tangan Nabilah pula yang  menjadi mangsa.
            “Wei, kau kenapa tarik tangan aku ni?  sakitlah bertuah.”  Nabilah menghentikan langkahnya. Wajah Hanis yang masam ditatap.  Hai, minah ni mambang mana pulak yang dah sampuk dia ni? Tadi bukan main beria-ia nak makan nasi lemak kat kantin.
            “Kau okey tak ni? Kata nak pergi kantin.”  Tegur Nabilah bila pertanyaannya tidak diendahkan.  Minah ni memang nak kena.  Kita tanya dia buat muka selamba macam tu je.  Tapi, bukan setakat Hanis membisu, tetapi pandangannya tidak lepas memandang sesuatu.
            “Oi!  Hanis.  Aku tanya kau ni.  Bukan tanya dengan tiang lampu.”  Nabilah cuba untuk meleraikan tangannya.
            “Kita ikut jalan lain nak?” Hanis tersentak.
            Nabilah menggeleng. “Tak nak!  Jauhlah.  Kita ikut je lah jalan ni.  Rasanya dah beribu kali kot kita ikut jalan ni.  Kenapa pulak nak ikut jalan lain?”
            “Ala…. Jom lah.  Jangan banyak tanya boleh tak?”
            Nabilah menggelengg sekali lagi. 
            “Tak nak!”
            “Jom… aku belanja kau aiskrim.”
            “Aku kata tak nak! Aku nak ikut sini juga.  Kalau kau nak ikut jalan lain aku tak larang.  Yang pasti aku tak nak dengar kau membebel penat nanti.”  Hanis mengeluh.  Bukan dia tidak mahu melalui jalan di hadapan kelas 6 Atas 2 itu, namun ada seseorang yang membuatkan dia merasa tidak senang.
            “Aku malaslah kalau ada mamat muka ketat tu.”  O….. Kini baru Nabilah tahu kenapa Hanis tidak mahu lalu di laluan bangunan itu.  Kelihatan Anas Rizal sedang berdiri di pintu belakang kelas sambil menikmati pemandangan luar. 
            Kali ini Nabilah pula yang menarik tangan Hanis.  Hai, main tarik tangan pulak ke ni?  Ah, malasnya nak bersemuka dengan mamat muka ketat ni.  Nama dah cukup sedap. Anas Rizal Rizal. Tapi…. Huh, nama tak serupa orangnya.  Kalau bercakap memang tidaklah nak menengking, tapi pedas bak menusuk jantung.  Sudah banyak kali dia kena dengan Anas Rizal.  Bukan sekali dua, namun banyak kali.  Tambahan lagi Anas Rizal menjadi Ketua Persatuan Penulis di sekolah itu.  Dia yang menjadi setiausaha seringkali dipandang rendah oleh Anas Rizal.
            “Ala… kau nak takut apa dengan dia tu.  Bukannya dia makan orang pun.”
            “Itu aku tahulah.  Cuma aku tak suka dengan dia.”
            “Baik-baik apa yang kau cakap ni tau.”  Hanis memandang kepada Nabilah yang tersenyum dengan penuh makna.
            “Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan.  Aku piat telinga kau baru kau tahu.”  Meletus tawa Nabilah dengan kata-kata Hanis itu.
            “Jadi, kalau macam tu tak ada alasan untuk kita lalu kawasan ni.”  Ah, malasnya nak melayan minah brutal ni.  Langkahnya kian lama kian berat.  Wajah Anas Rizal kian lama kian jelas dipandangan matanya.  Hanis cuba untuk tidak memandang kepada Anas Rizal.  Namun saat dia melintas di hadapan Anas Rizal, langkahnya tiba-tiba terhenti. 
            “Awak, tunggu dulu.”  Benci! Benci! Benci!  Inilah padahnya tak nak dengar kata hati.  Kan dah kena panggil dengan mamat ni. 
            “Awak panggil kami ke Anas?”
            “Tak, aku panggil dia sorang je.”
            “Siapa?  Hanis?  Awak ni Anas, dia ada namalah.  Nama dia bukan awak, tapi Hanis.”
            “Apa-apa jelah.”
            “Ye saya, nak kena bayar tol ke lalu kat sini?” Entah mana datang keberanian  itu, Hanis mula bersuara. Wajah Anas Rizal dipandang sekilas.  Eleh….. ingat muka handsome ke?  Kalau kacak macam mana pun kalau muka tak pernah senyum tak ada faedah juga.
            “Kenapa?  Awak nak bayar ke?”
            Eh, loyar buruk pulak dia.
            “Maaflah saya nak ke kantin ni.”  Hanis menarik tangan Nabilah. 
            “Awak, saya tak habis cakaplah.”  Langkah Hanis terhenti sekali lagi.  Nak apa lagi ni?
            “Apa benda kertas cadangan yang awak bagi pada saya?”  Kertas cadangan?  Kejap!  Bukan ke dah bagi dengan dia kertas cadangan untuk hari Budaya nanti?  Dia sendiri yang minta dan dah dibagi pun.
            “Oh, lupa.  Saya tak bagi kertas cadangan.  Tapi proposal.”  Hanis melihat Nabilah sudah ketawa.  Bukan ke kertas cadangan dengan prososal tu benda yang sama.  Hanis kemudiannya melirik ke arah Anas Rizal.  Berubah wajah Anas Rizal saat itu.  Mukanya sudah bercantum.  Hai, kenalah dengan namanya Mamat muka ketat.  Memang nak senyum pun payah.  Bukan payah, tapi tak pernah.
            “Awak kalau nak melawak jangan kat sini.  Sini bukan gelanggang maharaja lawak.”
            “Ala… kalau saya melawak pun bukan awak nak ketawa.”
            “Masalah saya ke kalau saya tak ketawa?”  Sombongnya mak ai!  Ini sebabnya malas nak layan mamat muka ketat ni.   Memang tak ada perasaan agaknya.  Tak pun perasaannya dah jadi span kering.
            “Jomlah Nabilah.”  Nabilah masih lagi tersenyum.  Suka pula dia melihat serang balas antara Hanis dan Anas Rizal. 
            “Awak ni memang jenis tak sabar ke?”  O…. ini dah melampau.  Kalau nak ikutkan hati mahu sahaja dia berikan satu das tumbukan di muka mamat muka ketat tu.  Nasib baik kat sekolah.  Sabar Hanis, sabar.
            “Jadi apa masalah dengan kertas cadangan tu?”  Hati Hanis mula panas.  Ini ada yang kena makan dengan kasut.
            “Sebab ada masalah saya panggil awak.  Kalau tidak, tak ada maknanya.”  E…. rasa macam nak cekik-cekik je.  Pontianak gigi dua!!! Keluar kejap.  Gigit budak tak ada tamadun ni! 
            “Cepatlah cakap.”
            “Sejak bila pulak Persatuan Penulis dah jadi Persatuan Ekonmi Rumahtangga?”
            “Apa dia?  Saya tak faham.”
            “Awak nak suruh kita ni jual cheese tart?  Awak ni betul ke tidak?”
            Nabilah sudah tidak dapat menahan tawa. Akhirnya tewas juga dia dengan kata-kata Anas Rizal itu.  Macam mana pula  idea si minah ni boleh masuk dalam kertas cadangan.
            “Kenapa?  Haram ke nak jual cheese tart?  Lagi pun sekolah di seluruh daerah akan datang kat sekolah kita ni.  Bila masa lagi nak cari untung.” 
            “Awak ni, agak-agaklah nak jual cheese tart.  Siapa nak buat?  saya?”
            “Awak pandai buat cheese tart ke?”
            “Ini bukan masa nak melawaklah.”
            “Saya tak melawak.  Saya boleh buat cheese tart tu.”
            “Cubalah fikir.  Takkan Persatuan Penulis nak jual cheese tart.  Lainlah kalau jual novel terpakai.  Takkan itu pun nak saya fikirkan untuk awak?”
            Nabilah masih lagi ketawa.  Tidak dapat bayangkan bagaikan mana persatuan yang sinonim dengan kertas dan pen boleh berukar dengan mentega dan gula.  Memang tak dapat nak dibayangkan.
            “Rasanya awak ni dah salah masuk kelab.  Macam manalah awak boleh terlepas masuk Persatuan Penulis ni pun saya tak tahu.  Jadi setiausaha pulak tu.”
            Hanis menyiku teman baiknya.  Masa inilah dia nak gelak.  Bukan nak back up kawan.  Dia bantai gelak tak ingat dunia ada lah. Wajah Hanis berubah masam.  Kena dengan kata-kata Anas Rizal yang memang menusuk kalbunya membuatkan dia tidak puas hati.
            “Saya nak awak buat kertas kerja tu semula.  Takkan nak bentangkan pada pengetua dengan idea yang tak masuk akal tu?  Ingat.  Jangan masukkan idea jaul cheese tart dalam kertas cadangan tu.”
            “Okey…. Kalau Cheese tart tak boleh, cheese cake boleh tak?”
            “Tak boleh. Apa sahaja yang tak berkaitan dengan bidang penulisan tak boleh dijual.  Faham?”  Tegas sahaja kata-kata Anas Rizal itu membuatkan Hanis menarik tangan Nabilah. 
            “Kau ni gilalah Hanis.  Patutlah mamat tu bising.  Kau nak jual cheese tart masa Hari Budaya tu nanti.  Hai, kalau betul kau buat jual cheese tart mahu dia kejar kau keliling sekolah.” Tidak dapat dibayangkan oleh Nabilah kalau betul sahabatnya itu berkeras mahu menjual cheese tart.  Tak dapat juga dia bayangkan kalau Anas Rizal mengenakan apron sambil menjual cheese tart.  Serius kelakar.
            “Aku nak tolong cari untung, salah ke?”
            “Salah tu tak salah.  Tapi cara kau tu memang kelakar betul.  Tak dapat aku bayangkan macam mana muka dia kalau kau open table jual cheese tart.  Sungguh kalau kau nak jual cheese tart kau kena bagi dia sebakul cheese tart baru dia terima kot?”
            “Dalam mimpilah Nabilah.  Mamat tu bukannya suka benda-benda macam tu.  Kalau dia makan pun terus masam cheese tart aku.”  Nabilah tertawa.  Dia kemudiannya menggelengkan kepala.
            “Walau macam mana pun aku akan tetap jual cheese tart tu walau apa pun yang jadi.  Aku tak akan masuk dalam kertas cadangan tu, tapi aku akan buat kejutan masa Hari Budaya.  Masa tu dia dah tak boleh nak  kata apa.”
            “Kau dengan cheese tart kau memang tak boleh nak pisah.”  Nabilah menggeleng lagi.
            “Sampai bila-bila tak akan pisah dari aku.”  Ujar Hanis dengan penuh tekad.
HANIS tersenyum apabila melihatkan cheese tart yang tersusun elok di dalam rak pameran.  Bermacam jenis cheese tart yang dijual di Café Hanis Baker’s.  Senyumannya kian mekar bila melihatkan seorang pelanggan yang masuk ke dalam cafenya. 
“Ye, Puan.  Boleh saya bantu?”
“Menariknya cheese tart awak ni.  Berapa harga satu?”
 “Ikut perasa puan.  Yang paling murah seringgit lima puluh sen.  Yang paling laris kat café ni fruity cheese tart dengan nutella cheese tart. Kalau puan tak nak cheese tart, kek dan cupcake pun ada.”  Pelanggan yang berusia lingkungan 60 an itu tersenyum dengan penerangan dari Hanis itu.  Kembang kempis bila dia dipuji oleh pelanggan itu.
            “Kalau puan nak, boleh juga beli combo.  Sekali dengan air.  Lagi satu, kalau puan minat membaca boleh luangkan masa di sini.  Sambil membaca, boleh nikmati cheese tart dengan kopi.”  Ramah sahaja Hanis bercerita. 
            “Bagus. Baiklah, sementara saya nak tunggu anak saya minta saya nutella cheese tart 2 dan one slice carrot cake.  Air minta saya light coffee.”  Hanis mengangguk sambil tersenyum.
            “Puan duduklah dulu.  Nanti saya hantarkan.  Sambil tu puan bolehlah baca novel sambil menanti akan pesanan puan tu.”  Pelanggan wanita itu tersenyum.  Dia kagum dengan Hanis yang sentiasa ceria dan peramah itu. 
            Hanis menatang dulang yang berisi pesanan dari wanita tadi.  Belum sempat dia meletakkan hidangan, dia didatangi dengan seorang lelaki dan melabuhkan punggung di sebelah wanita itu.
            “La… mama kat sini.” 
            “Mama nampak cheese tart dari luar macam menarik je. Itu yang mama masuk. Itulah, tunggu Anas lambat sangat.  Baru je mama pesan.  Anas nak makan apa-apa ke?” Anas Rizal menggeleng. 
            Saat itu nafas Hanis bagaikan terhenti.  Dia tidak mahu memandang kepada lelaki itu, namun dia terpaksa.  Setiap yang masuk ke dalam cafenya perlu dilayan.  Namun bila mendengarkan nama Anas Rizal membuatkan dia dilanda dengan tanda tanya.  Ah, adakah Anas Rizal itu adalah Anas Rizal yang dikenalinya dulu?  Lelaki yang sering dia gelarkan mamat muka ketat? Minta-minta bukanlah….
            “Awak!”  Mahu menangis bila dia ditegur.
            “Ye saya,”  Aduh!  Memang tak boleh nak mengelak. 
            “La… Anas kenal ke dia ni?”
            “Kenal mama.  Dia ni junior masa Anas tingkatan 6 dulu.  Nampaknya memang tercapai ye niat nak jual cheese tart.  Awak ni memang tak serik kan.”  Ah, dia memang seperti dulu.  Bercakap mesti nak sentapkan hati orang.  Hish!  Macam mana lah boleh bertembung dengan mamat ni. 
            “Impian boleh jadi cita-cita.  Cita-cita boleh jadi kerjaya.”  Ujar Hanis sambil memandang kepada Anas Rizal.  Saja dia mencuri reaksi Anas Rizal.  Nampaknya mamat ni memang tak ada perasaan.  Selamba badak je dia tayangkan muka ketatnya kat sini.
            “Awak yakin ke yang kerjaya awak tu akan kekal?” Kecil besar mata Hanis mendengarkan kata-kata Anas Rizal itu.  Ingatkan dia boleh menang dengan kata-katanya tadi, tetapi Anas Rizal lebih pandai bermain dengan kata-kata.
            “Anas, mama datang  ni nak makan. Ni, Anas nak makan ke tidak?”  Akhirnya Hanis mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga dengan ibu Anas Rizal yang telah menyelamatkannya.  Kalau tidak, lagi teruk dia dikenakan.
            “Nama siapa ye?”
            “Hanis, puan.”
            “Sedap nama tu. Tak payahlah panggil panggil puan.  Panggil auntie Julia je. Lagi pun Hanis kenal dengan Anas.”  Serba-salah pula dia dengan keramahan wanita yang bernama Julia itu.  Kenapalah Anas Rizal tak macam ibunya.  Murah dengan senyuman dan peramah. 
            “Tak mengapalah puan.  Segan pulak rasanya.  Encik Anas Rizal nak makan atau pun minum apa-apa tak?” Tanya Hanis yang cuba untuk bersikap professional.  Kalau nak diikutkan hatinya malas dia nak melayan Anas Rizal.  Tambahan lagi dengan kata-kata yang Anas Rizal tadi yang membuatkan hatinya sedikit terasa.
            “Awak ada sandwich? Green tea?” Perlahan sahaja Hanis menggeleng.  E… geramnya dia bila memadang kepada Anas Rizal.
            “Macam mana awak nak maju kalau awak tak nak pelbagaikan menu awak.  Patutlah lenggang je.”  Hanis masih lagi tidak menyambut akan kata-kata Anas Rizal itu.  Dah macam punching bag Hanis memandang kepada Anas Rizal.   Bagaikan nak tumbuk berkali-kali di muka kacak Anas Rizal.  Kacak ke?  Tak ada maknanya kalau kacak tapi muka ketat.
            “Anas, janganlah buat dia macam tu.  Serba-salah Hanis dibuatnya.”  Puan Julia cuba untuk memujuk Hanis yang sudah pun mempamerkan wajah yang sedikit muram.
            “Tak apa puan.  Saya tak kisah.  Dah biasa kena sembur dengan dia.  Macam ni Encik Anas, lepas ni saya ambil kursus buat sandwich pula ye.  Itulah, kalau ada orang yang nak ajarkan saya boleh juga saya menutut ilmu.”  Hanis melemparkan senyuman.  Namun di dalam hati hanya dia yang tahu.  Dia tidak mahu berlaku kurang ajar dengan Anas Rizal.  Nanti apa pula pelanggan yang lain berkata.  Nanti dia cop sebagai tak pandai nak ambil hati pelanggan.
            Hanis melihat Puan Julia ketawa kecil.  Mungkin dia tidak menyangka yang Hanis berani berkata-kata. Mengenakan anaknya pula tu.  Lepas ni, Hanis sudah tidak kisah dengan apa yang bakal dilontarkan oleh Anas Rizal.  Dia hanya berdiri tegak sambil menantikan Anas Rizal untuk pesanan.
            “Tak apalah.  Saya kongsi je dengan mama saya.  Benda-benda manis ni tak elok untuk kesihatan.  Boleh buat orang kencing manis.” 
            “Itu kalau diambil berlebihan, encik.  Apa kata encik rasa dulu.  Nanti barulah nampak senyum tu sikit.”  Ujar Hanis dalam nada mengena.  Dia kemudiannya meninggalkan Anas Rizal tanpa menanti.  Lagi lama dia di situ makin mendidih hati dia melihatkan Anas Rizal. 
            Hanis memerhatikan dari jauh akan perilaku kedua-dua beranak itu.  Betapa mereka rancak berborak.  Hanis mengeluh.  Hai, apalah malang harinya bila bertemu dengan Anas Rizal.  Insan yang selalu membuatkan hatinya panas.
            “Anas, mama macam dah biasa makan cheese tart ni.”
            “Kalau mama nak tahu, inilah cheese tart yang selalu Nabilah bawa balik dulu.  Ini, kalau Nabilah tahu yang kawan baik dia ada kat sini mahu menjerit seronok dia.”  Sambut Anas Rizal.
            “O…. patutlah.  Dah lama mama tak merasa cheese tart ni.  Terlerai rindu mama dengan cheese tart ni.  Lagi pun manis juga owner kedai ni.”  Puan Julia memandang kepada Anas Rizal.  Anas Rizal tidak menyahut sebaliknya dia menguis sahaja kek lobak yang berada di dalam piring.
            “Mama, Anas tunggu mama kat kereta lah.” 
            “Malulah tu.  Ala… mama ingat duduk sini baca buku.”
            “Baca buku?  Mama, dah lewat ni.” 
            “Okeylah, next time mama nak datang balik ke café ni.  Makan cheese tart dan baca buku puas-puas.  Nanti mama suruh Pak Malik kamu je yang hantar.  Kalau dengan kamu, tak panas  punggung dah ajak mama balik.  Cuti je terperuk kat rumah.  Mama suruh kamu kahwin kamu tak nak.”  Anas Rizal berdehem.  Dah melalut pula ceritanya.
            “Anas pergi dulu ye  mama.  Kalau mama dah siap, mama telefon Anas.”  Anas Rizal berlalu sambil di temani dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir Puan Julia. 
            Puan Julia menghampiri kaunter pembayaran setelah lama dia berada di dalam café itu.  Dia melemparkan senyuman kepada Hanis yang dari tadi setia di situ. 
            “Dah nak balik ke puan?”
            “Dah berapa kali nak cakap. Tak payah nak panggil puan.  Segan pulak auntie dengar.”  Hanis senyum.
            “Nanti senang datanglah lagi.” Puan Julia mengangguk sambil tersenyum.
            “Sebelum tu, saya nak bungkus Nutella cheese tart  sedozen.  Kalau Anas makan ni memang tak ingat dunia.” Berkerut Hanis mendengarkan kata-kata Puan Julia itu.  Anas makan cheese tartnya?  Hai, macam tak percaya je.  Biasanya kalau dia sebut pasal cheese tart mahu melenting mamat tu. 
            “Tak percaya?”
            Hanis menggeleng perlahan.  Dia memang tidak percaya.  Sama sekali tidak percaya.  Masakan Anas Rizal suka dengan cheese tartnya.  Atau Puan Julia hanya cuba untuk memujuknya kerana sikap Anas Rizal yang dingin tadi. Tangan Hanis pantas membungkuskan cheese tart seperti yang dikehendaki oleh Puan Julia. 
            “Depan Hanis je nak tak nak mengaku. Biasalah lelaki, Hanis.  Kalau kat rumah tu, boleh tengok macam mana dia boleh habiskan cheese tart ni dalam sekelip mata je.”
            “Saya tak yakin dia suka dengan cheese tart saya.  Bukannya sedap sangat pun auntie.” 
            “Jangan cakap macam tu, Hanis.  Kalau tak sedap, takkan boleh buka café ni.”  Kembang hati Hanis mendengarkan pujian dari Puan Julia itu.  Café inilah nyawanya sejak 5 tahun lalu.  Namun dia perlu akur cafénya tidak akan kekal lama.  Kedai yang disewa bakal dijual tidak lama lagi.  Kini dia perlu mencari tempat yang lain untuk dia meneruskan impian. Saban hari dia termenung menghitung untung rugi nasibnya.  Hanya berbaki dua bulan untuk dia mencari tempat baru.
            “Terima kasih auntie sebab sudi datang ke café saya.  Ini name card  saya.  Café saya ni mungkin akan berpindah.  Tuan kedai dah nak jual dengan orang lain.”  Ternyata Puan Julia terkejut dengan kata-kata Hanis itu.  Namun tidak lama kemudian dia senyum.
            “Tak apalah Hanis.  Auntie yakin, rezeki tu ada di mana-mana.  Nanti kalau dah pindah auntie call ye.”  Hanis mengangguk.  Betapa dia gembira punyai pelanggan sebaik Puan Julia. 
            Hanis menghantar Puan Julia dengan senyuman.  Bertambah seorang lagi pelanggan setianya.  Di dalam fikiran dia sudah pun berkira.  Sekirannya dia tidak dapat mencari kedai di dalam masa yang terdekat, dia tekad untuk meneruskan perniagaannya dari rumah.  Hai, Hanis mengeluh perlahan.
            Hari demi hari, Hanis mula merasakan waktunya kian singkat.  Dia lebih banyak termenung memikirkan apa yang bakal ditempuhi kemudian nanti.  Hanis tersentak bila seorang pelanggan masuk ke dalam café.  Kecil besar dia memandang kepada pelanggan itu.  Nabilah?  Terus sahaja dia mendapatkan sahabatnya yang telah lama tidak berjumpa.
            “Nabilah…. Lamanya tak jumpa dengan kau.  Eh, kau sihat ke?  kau datang dengan siapa?”  Bertalu-talu soalan yang meluncur dari bibir Hanis.  Tubuh Nabilah dipeluk erat.  Namun dia terkejut apabila melihatkan Anas Rizal pula yang melangkah masuk ke dalam café itu.  Nabilah memeluk erat lengan Anas Rizal. 
            “Aku datang dengan dialah.” Hanis melihat Nabilah begitu mesra dan gembira di samping Anas Rizal.  Anas Rizal dan Nabilah?  Mushatil….. takkanlah…. Tak mungkin…. Tapi…. Cinta tu kan tak kenal siapa.  Sesiapa pun boleh jatuh cinta.  Tapi….
            “Oi, Hanis!”  Sergah Nabilah.  Hanis tersentak.  Matanya masih tidak lepas kepada pasangan itu. 
            “Eh, kau nak tutup café kan?  Kita sembang nak?  Lama aku tak dengar khabar kau.” 
            “Kau tunggu aku tau.  Lagi setengah jam je.  Kau nak apa-apa tak?  Nanti aku ambilkan.  Aku tahu kau kan suka dengan cheese tart aku.”
            “Okey.  Aku tunggu kau.”  Hanis tersenyum.  Riang hatinya bila dapat bertemu dengan sahabat lama.  Hanis tahu, mesti Anas Rizal yang memberitahu kepada Nabila di mana boleh mencarinya. 
            Hanis menukarkan papan tanda kepada ‘CLOSED’.  Melihatkan Nabilah yang sedang menikmati cheese tart sambil membaca novel, membuatkan senyumannya bertandang.  Namun yang peliknya Nabilah tidak duduk semeja dengan Anas Rizal.  Ah, mungkin dia ingin memberi peluang untuk dia dan Nabilah berbual panjang.  Jangan letih menunggu sudahlah.  Perempuan ni kalau becerita memang tak ingat dunia.
            Hanis meletakkan teh o di hadapan Anas Rizal.  Anas Rizal mendongak. 
            “Saya tak order apa-apa.” 
            “Tak apa.  Anggap je awak tetamu saya.”  Ujar Hanis tersenyum.  Kemudiannya dia menghulurkan sebuah novel kepada Anas Rizal. Anas Rizal menyambut dengan tertanya-tanya.
            “Mana tahu awak bosan nanti.”
            Hanis kemudiannya melangkah ke arah Nabilah.  Dia melabuhkan punggung di hadapan Nabilah dengan senyuman masih terukir.
            “Bukan main lagi kau dengan Anas.”
            “Cemburu?”
            “Mana ada!  Kau macam mana sekarang?”
            “Aku macam ni juga.  Aku sekarang kerja dengan Telekom Malaysia.  Tapi kan aku tak sangka akhirnya tercapai juga kau nak buka café.”  Senyuman Hanis kemudiannya kendur. Melihatkan perubahan Hanis itu membuatkan Nabilah rasa serba salah.
            “Aku ada salah cakap ke?” Hanis menggeleng.
            “Habis tu? Kau tak suka jumpa aku ke?”  Hanis menggeleng lagi.
            “Kalau kau ada masalah cubalah cerita.  Mana tahu aku boleh tolong.” Hanis memandang kepada Nabilah dengan rasa salah.  Berat hatinya untuk bercerita kerana dia baru sahaja berjumpa dengan Nabilah setelah sekian lama terpisah. 
            “Tak apalah Nabilah.  Perkara kecil je pun.”
            “Tak, aku tak percaya.  Aku kenal dengan kau.   Dari riak wajah kau, aku tahu kau ada masalah.” Hanis mengeluh perlahan. 
            “Café aku mungkin tak lama lagi akan tutup, Nabilah.” 
            “Tutup?  Tapi kenapa?”
            “Tuan kedai yang aku sewa ni dia nak jual dengan orang lain. Sekarang ni aku masih lagi nak cari tempat.” 
            Tangan Hanis diraih.  Nabilah mula rasa simpati.  Wajah Hanis tampak sedih dan tiada semangat.
            “Kau dah tanya dengan tuan punya yang baru?”  Hanis menggeleng.
            “Cubalah kau tanya dengan owner baru.  Mana tahu kau boleh sewa dengan dia.”  Cadang Nabilah.
            “Tuan kedai aku beritahu yang dia nak aku kosongkan café ni dalam masa dua bulan lagi sebab owner baru akan masuk.”
            “Takkan tak ada jalan lain?”  Hanis menggeleng.
            Nabilah bangkit.  sudah, nak ke mana pulak minah ni nak pergi?  Hanis melihat Nabilah menarik tangan Anas Rizal.  Ala…. Dah kenapa pulak dia tarik tangan mamat muka ketat tu pulak?  Ini yang tak suka.  Malas betul kalau cerita masalah kita kat minah ni. 
            “Kau cerita dengan dia.” 
            “Hah?  Dia?  Apa kena mengena aku dengan dia?”  Hanis tidak puas hati apabila melibatkan Anas Rizal dalam masalahnya.
            “Hanis, aku tumpang washroom kau kejap.  Kejap ye.  Baby nak gi toilet.”  Baby?  E… bila masa pula budak brutal ni dah boleh layan tangkap jiwang.  Baby?  Dah tua bangka pun nak panggil baby lagi.
            Maka tinggal lah Hanis dan Anas Rizal yang masing-masing hanya berdiam diri.  Hish!  Tak nak lah cerita masalah kat mamat muka ketat ni.  Dulu nak jual cheese tart pun kena reject takkan nak layan masalah yang bukan masalahnya. 
            “Awak ada masalah ke?”  Hanis senyap.
            “Besar sangat ke masalah awak sampai Nabilah suruh saya tolong awak?” Ah, angkuhnya kata-kata mamat ni.
            “Saya pun tak kisah kalau awak tak nak tolong saya.  Periuk nasi saya, biar saya yang selesaikan.”  Memang berbaur angkuh juga namun itulah mungkin jawapan untuk Anas Rizal yang seolah merendahkan dirinya. 
            “Awak ni memang jenis degil kan?”
            “Degil dan tidak mudah putus asa dua perkara yang berbeza.”
            “Tak nak cerita dengan saya?”
            “Untuk apa? Nak kenakan saya ke?”
            “Orang nak tolong jual mahal.”
            Anas Rizal memandang kepada Hanis yang wajahnya sudah mula mencuka.  Entah mengapa, wajah inilah sering dia rindu.  Wajah ini jugalah yang selalu ingin dia bertemu.  Dia sendiri tidak tahu bagai mana untuk dia meluahkan apa yang tersirat di dalam di hatinya.  Hanis sering kali bersikap dingin dengannya.  Namun dia tahu, Hanis sering memperkatakan tentang dirinya. 
            Hanis masih lagi menantikan Nabilah.  Hatinya mula tidak tenang dengan pandangan yang telah dilemparkan oleh Anas Rizal.  Seolah dirinya pula yang bersalah.  Namun dengan pandangan itu juga membuatkan hati Hanis berdebar kencang. 
            “Awak sayangkan café ni ke?”
            “Bodohlah kalau saya kata saya tak sayang, tapi nak buat macam mana café ni bakal dilupakan.” 
            “Awak boleh kekalkan kalau awak pelbagaikan menu.”
            Hanis mengerutkan dahinya.  Mamat ni faham ke tidak apa masalah sekarang ni?  macam mana pula menu jadi halangan dalam masalahnya. 
            “Macam mana nak pelbagaikan menu kalau café dia nak tutup?”
            “Kenapa?  Rugi ke?”  Kecil besar Hanis memandang kepada Anas Rizal.  Hish mamat ni memang nak kena. 
            “Kalau nak rugi, tak adalah saya boleh bertahan selama lima tahun.”  Geram pula dia dengan Anas Rizal.  Sudahlah muka tak nak senyum.  Lepas tu boleh pulak cakap main lepas je.  Selamba badak dia nak kenakan kita.
            “Kalau macam tu, awak ni tak ada masalah sebenarnya.”  E….. memang rasa nak cekik-cekik dia ni.  Mana pulak si Nabilah tak keluar-keluar dari washroom ni.  Letihlah layan orang yang tak ada perasaan ni.
            “Dan kalau macam tu, tak ada lah cheese tart saya jadi pujaan orang.  Cuma saya pelik, masih ada yang suka dengan cheese tart saya tapi masih tak nak mengaku.”  Hanis menjeling.  Reaksi Anas Rizal cuba dilirik.  Sah!  Anas Rizal berubah wajah. 
            “Sekarang ni, bukan masalah saya yang kita tengah bincang.”
            Yes! Akhirnya dia mengaku.  Hanis tersenyum bila dia berjaya mengenakan Anas Rizal. Bila melihatkan Hanis yang tersenyum itu, dia mula rasa tidak senang.  Sekali lagi wajah Hanis dipandang. 
            “Jadi awak suka dengan cheese tart sayalah ye.”  Hanis menantikan jawapan dari Anas Rizal, namun penantiannya digagalkan oleh Nabilah yang tiba-tiba mencelah.
            “Macam mana?  Dah settle?”
            “Kalau macam ni gayanya Nabilah, nampaknya aku kena cari kedai lain.  Tak pun aku akan kerja dari rumah je.”  Ujar Hanis sambil menjeling kepada Anas Rizal.  Seperti biasa, Anas Rizal dengan wajahnya yang tenang. 
            “Dah baby. Kita balik.”  Ajak Anas Rizal.  Tangan Nabilah dicapai. 
            “Tapi…”
            “Dah, jom.”
            “Beb…. Nanti jumpa lagi!” Laung Nabilah di muka pintu.
            Air mata Hanis serta-merta tumpah.  Dia merasakan keseorangan kini.  Tiada siapa di sisi untuk memberinya semangat. Ibu… ayah…. Tolonglah Hanis… Hanis merasakan usaha yang dicapai selama ini adalah sia-sia.  Bukan setahun dua dia membuka café itu, namun apa boleh dia lakukan kalau kedai itu bakal dijual.  Puas juga dia menyimpan untuk membeli kedai itu, namun masih ada yang kurang untuk dia merealisasikan impiannya itu. 
            Hanis melabuhkan punggung di hadapan Puan Julia.  Suasana kian lenggang saat dia mahu menutup cafenya.  Melebar senyuman Puan Julia bila menatap wajah Hanis yang manis itu.  Di dalam hati, niatnya ingin sekali menjadikan Hanis sebagai menantu bongsunya.  Namun dia tahu, betapa dingin hubungan Hanis dan Anas Rizal.  Puan Julia yakin, jodoh anaknya itu kuat.  Dia sendiri melihat akan perubahan Anas Rizal yang banyak termenung bila mereka berjumpa tempoh hari.  Puan Julia mengaku yang Anas Rizal seorang yang pendiam, tetapi di dalam sudut hati Anas Rizal seorang yang baik dan seorang anak yang mendengar kata. 
            “Hanis macam mana sekarang?  Sihat?”  Ujar Puan Julia bila memandang wajah Hanis yang sedikit muram itu.
            “Macam ni jugalah auntie.  Lagi sebulan setengah saya kena kosongkan café ni.”
            “Dah dapat cari tempat?”  Hanis menggeleng.  Dia sibuk sebenarnya.  Dia tidak tahu dengan siapa yang perlu diharapkan.  Nak jaga café lagi, nak cari tempat lagi.  Kini dia berserah sahaja kepada yang Esa.  Jika ada rezeki, ada lah tempat untuk dia meneruskan mencari rezeki.  Jika tidak, dia perlu mencari ikhtiar yang lain. 
            “Hanis tak nak beri peluang pada Anas?”  Hanis mengerut seribu?  Sekali lagi dia diterjah untuk berurusan dengan Anas Rizal.
            “Apa maksud auntie?”
            “Auntie tahu Hanis dengan Anas selalu nak ehem ehem…”
            “Apa tu auntie?” 
            “Selalu nak gaduh.  Tapi auntie tahu yang kamu ni gaduh-gaduh sayang.  Tak gitu?”  Alamak, apa pulak kes ni? 
            “Anas suka dengan Hanis.” Ya!  Hanis memang terkejut dengan kata-kata Puan Julia itu.  Dia tidak percaya sekiranya Anas Rizal suka dengannya. 
            “Auntie salah anggap ni.  Anas suka dengan saya?  Habis tu?  Nabilah tu dia nak campak mana?”  Meledak tawa Puan Julia bila mendengarkan nama Nabilah. 
            “Auntie rasa Hanis yang salah anggap ni.”  Pulak! Mana satu yang betul ni?  Saat ini hati Hanis mula dilanda tanda tanya.  Matanya bukan buta melihatkan kemesraan antara Nabilah dan Anas Rizal.  Takkan Anas Rizal tidak beritahu yang dia sedang bercinta dengan Nabilah?
            Hanis terkejut bila melihatkan seseorang yang baru melangkah masuk ke dalam café itu.  Wajah Nabilah jelas di ruang matanya. 
            “Nabilah!”
            “Hanis!”  Tubuh Hanis dirangkul kemas.  Dia turut melabuhkan di sebelah Puan Julia. 
            “Nabilah datang dengan siapa?”
            “Pak usu.  Dia tengah cari parking.”  Ujar Nabilah sambil tersenyum.
            “Nabilah, kau kenal dengan Puan Julia ni ke?”  Nabilah memandang sekilas kepada Puan Julia.  Kemudiannya dia ketawa.  Hanis mula terpinga-pinga.  Drama swata mana pulak budak ni bawa dalam café ni?
            “Bukan setakat kenal je. kalau kau nak tahu, inilah nenek aku.  Nenek aku yang paling aku sayang.”  Tersirap darah Hanis mendengarkan Nabilah menggelarkan Puan Julia sebagai ‘nenek’. Nafas Hanis bagaikan terhenti.  Debarannya kian kencang.  Jadi….. Nabilah dan Anas Rizal?
            “Pak usu!” Jerit Nabilah riang. 
            Hanis memandang ke muka pintu cafenya.  Pucat mukanya bila melihatkan Anas Rizal melangkah masuk ke dalam café.  Nabilah anak buah Anas Rizal?  Jadi selama ini… dia berkawan dengan anak buah Anas Rizal?  Lelaki yang sering dilabelkan mamat muka ketat! Saat itu ingin saja dia menyalahkan dirinya sendiri bila berkawan dengan Nabilah.  Sudahlah masa sekolah dulu hari-hari dia mengata Anas Rizal dihadapan Nabilah. Patutlah Nabilah buat tak tahu bila berceritakan pasal Anas Rizal.  Rupa-rupanya ada rahsia yang kemas tersimpan antara mereka.  Pandai kau berlakon Nabilah!  Kecil besar mata Hanis memandang kepada Nabilah.  Nabilah cuma tersenggeh seperti kerang busuk.  Geram pula dia melihatkan wajah Nabilah seperti tidak bersalah. 
            “Sanggup kau buat aku macam ni, kan Nabilah.” 
            “La…. Aku minta maaf.  Aku tahu, kalau aku beritahu dengan kau yang aku ni anak buah pada Anas mesti kau tak nak kawan dengan aku.  Aku memang minta maaf.  Bukan niat aku, Hanis.”  Melihatkan air mata Hanis yang hampir mengalir membuatkan Nabilah mula rasa serba-salah. 
            “Selama ni kalau aku cerita pasal….”
            “Nak buat macam mana?  Pak usu aku ni mesti paksa aku ceritakan apa yang kau ceritakan pasal dia.  Hari-hari kau tahu tak.  Kau ingat aku tak rasa salah ke?”  Kali ini wajah Nabilah pula yang berubah.  Dia hampir menangis bila memberitahu akan perihal yang sebenarnya. 
            “Jadi yang dia panggil kau baby?”
            “Dia memang panggil aku baby sebab aku sorang je anak anak buah dia.  Dialah pak sedara yang paling aku sayang.  Dan dia juga sayangkan kau tahu tak?”  Bang!  Bagaikan tepat mengena jantungnya.  Kali ini datangnya dari bibir Nabilah. 
            “Dah, jom kita keluar sekejap.  Biar dia orang selesaikan masalah ni.”  Ajak Puan Julia sambil menarik tangan Nabilah. Puan Julia dan Nabilah kemudiannya meninggalkan Hanis dan Anas Rizal berdua di dalam café itu.  Anas Rizal bertindak menukarkan papan tanda kepada ‘CLOSED’.  Kali ini dia tekad untuk meluahkan perasaanya kepada Hanis. 
            Debaran Hanis kian kencang apabila Anas Rizal mula menghampiri kepadanya.  Bibir Hanis bagaikan terkunci saat Anas Rizal sudah mula melabuhkan punggung di hadapannya.  Anas Rizal hanya bertindak tenang.  Dia memandang  tepat ke anak mata Hanis.  Hanis terus tunduk bila Anas Rizal mula bermain dengan mata. 
            “Kenapa awak benci sangat dengan saya?”  Itulah soalan pertama yang terlontar dari bibir Anas Rizal saat itu.  Hanis tidak bersuara.  Tidak sanggup dia mendongakkan kepala kalau Anas Rizal masih lagi memandang kepadanya. 
            “Awak tak suka dengan saya ke?”  Anas Rizal masih lagi bertanya. 
            “Kenapa awak buat saya macam ni?”
            “Buat apa?”
            “Selalu buat saya sakit hati.” Akhirnya….. terluah juga apa yang terjeruk di dalam hatinya. 
            “Itu sahaja cara saya nak dekat dengan awak.”  Ujar Anas Rizal jujur. 
            “Tak percaya.  Awak tak pernah nak senyum dengan saya.  Takkan awak nak dekat dengan saya.”  Anas Rizal ketawa.  Hanis terkejut dengan tawa yang lahir dari bibir Anas Rizal.  Terus tegak kepala Hanis memandang kepada Anas Rizal. 
            “Saya tahu yang awak suka dengan saya, Hanis.”
            Hanis menggeleng. 
            “Baiklah, sekarang juga saya akan buat pengakuan.  Lagi lama saya pendamkan, lagi parah jiwa saya ni pendamkan perasaan.”
            “Saya tahu awak nak kata awak bencikan saya, kan.” Anas Rizal menggeleng.
            “Tak….  saya nak kata yang saya sukakan awak, Hanis.  Ya!  Saya cintakan awak.  Saya sukakan cheese tart awak.  Saya suka perang mulut dengan awak, saya sayang awak!”  Hanis terpampan.  Wajah Anas Rizal dipandang. 
            “Saya tak percaya awak suka cheese tart saya.”  Anas Rizal tersenyum.
            “Hanis nak tahu?  Pertama kali Nabilah bawa cheese tart balik rumah, dia letakkan cheese tart tu dalam bilik saya.  Nutella cheese tart yang Nabilah bawa mulanya tak saya hiraukan.  Tapi lama kelamaan, bila saya rasa macam tak cukup.  Setiap hari saya selalu desak Nabilah bawakan cheese tart untuk saya.  Bila saya makan cheese tart Hanis wajah saya terus terukir senyuman dan wajah Hanis tidak pernah padam bila saat saya nikmati cheese tart tu.”
            Hanis memandang terus ke anak mata Anas Rizal. Cuba untuk mencari kebenaran dari Anas Rizal.  Masakan Anas Rizal gilakan cheese tart nutellanya.  Namun Hanis mula fikirkan semula bagaimana setiap hari Nabilah selalu memujuknya membuatkan Nutella cheese tart untuk dibawa balik rumah.  Rupa-rupanya untuk Anas Rizal di rumah.
            “Saya sukakan awak, Hanis.  Saya sayangkan awak.  Saya gilakan awak, Hanis.”
            Hanis mati dengan kata-kata.  Dia sendiri tidak tahu apakah perasaannya saat ini. 
            “Lepas ni, saya dah tak buat cheese tart lagi.  Café ni bakal ditutup.”  Anas Rizal tersenyum.
            “Boleh buatkan untuk  saya di rumah.” 
            “Ini impian saya.” 
            “Saya tahu.  Nabilah selalu ceritakan tentang impian Hanis.  Hanis selalu juga cerita tentang saya,kan?  Benci tapi rindu.  Nabilah selalu kata yang Hanis memang tak nak bertembung dengan saya, tapi kalau tak jumpa tercari-cari.  Betul tak?”  Rasa macam nak pukul diri sendiri saat itu.  Ini mesti kerja Nabilah.  Habis semua nak diceritakannya. 
            Hanis memandang kepada Anas Rizal yang sudah pun bangkit.  Pulak dah, nak kemana pulak mamat ni nak pergi?  Hanis melihat Anas Rizal keluar dari café.  Hai, macam tu je?  Rasa macam tergantung sahaja pertemuannya dengan Anas Rizal.  Namun tidak lama kemudian, Anas Rizal masuk semula ke dalam café bersama-sama dengan Nabilah dan Puan Julia.
            Sebuah kotak diletakkan di hadapan Hanis.  Hanis terpinga-pinga melihatkan kotak dihadapannya. 
            “Bukalah,”  Ujar Anas Rizal tersenyum.  Melihatkan senyuman Anas Rizal itu, Hanis bagaikan terleka sejenak.  Betapa manisnya senyuman Anas Rizal.  Dari tadi dia tidak lepas melihat Anas Rizal tersenyum kepadanya.  
            Hanis membuka kotak dengan perlahan.  Dia melihatkan sekeping kad yang dikeliling oleh Nutella cheese tart dan diselit sebuah kotak baldu warna merah.  Kad itu tertulis: ‘Hanis Suraya, Sudikah sayang menjadi suri hidup sepanjang hayat abang?
            Hanis tidak dapat membendung perasaanya saat ini.  Wajah Anas Rizal ditatap, kemudiannya beralih kepada Nabilah dan Puan Julia.  Air mata Hanis hampir mengalir.  Ah, apakah ini sebagai mimpi atau Anas Rizal benar-benar melamarnya? 
            “Macam mana ni mama?  Dah bisu ke bakal menantu mama ni?”  Bisik Anas Rizal di telinga Puan Julia.  Puan Julia tersenyum. 
            “Hai, Anas  ni kena banyak belajar hal perempuan nampaknya.  Biar mama selesaikan.”  Puan Julia duduk berhadapan dengan Hanis dan segera mencapai kotak baldu merah di dalam kotak itu. 
            “Hanis setuju?  Jadi menantu mama?”  Hanis senyum perlahan. 
            “Mama…”  Nabilah menyiku Anas Rizal perlahan.
            “Diam tu tandanya setuju.”  Bisik Nabilah ke telinga.
            Puan Julia membuka kotak tersebut dan mencapai sebentuk cincin dan menyarung ke jari manis milik Hanis.  Puan Julia lantas memeluk Hanis dengan linangan air mata.  Betapa dia bersyukur akhirnya dia bakal mendapat seorang lagi menantu.
            “Bulan depan kita bertunang dan menikah.”  Ujar Puan Julia.  Bulan depan?  Habis macam mana dengan cafenya?
            “Tapi… café….”
            “Buat masa ni tak payahlah fikirkan tu.  Nanti abang cuba ikhtiarkan apa yang boleh.”  Abang?  Hanis memandang kepada Anas Rizal.
            “Sekarang Hanis dah jadi tanggung jawab abang.” 
            “Uweekk,”  Nabilah menjelirkan lidahnya. Geli geleman pula dia mendengarkan Anas Rizal membahasakan diri sebagai ‘abang.’
            “Baby,”  Puan Julia memandang tajam kepada Nabilah.  Tak dapat dibayangkan bagaimana untuk dia memanggil Hanis dengan panggilan mak usu.  Sahabatnya pulak tu. 
            “Welcome to our family, mak usu.”  Nabilah mengenyitkan matanya sebelah. 
            Sebulan berlalu….
            Selesai sahaja majlis perkahwinan mereka, Hanis masih lagi memikirkan tentang cafénya.  Dia melangkah masuk ke dalam café dengan hati yang berat.  Hanis memandang disegenap sudut di dalam café itu.  Betapa berat hatinya untuk melepaskan café itu.
            “Sayang,” Hanis memandang kepada Anas Rizal.  Semenjak dia berkahwin dengan Anas Rizal, lelaki itu sering membuatkan dia sering tersenyum dan senyuman Anas Rizal yang sering kali didambakan kini menjadi tatapan setiap saat dalam hidupnya. 
            “Abang,”
            “Kenapa?  Sedih?”
            “Impian Hanis sekejap lagi akan terkubur, bang.” Anas Rizal  memaut lembut dagu Hanis.
            “Selagi belum terjadi, ia takkan menjadi satu kenyataan.  Kita tunggu dulu peguam owner baru.  Kita dengar apa yang dia nak cakap.  Kalau dia kata kita kena keluar, barulah kita keluar.”  Pujuk Anas Rizal.  Hanis mengangguk perlahan.
            Tidak lama kemudian, kelihatan seorang lelaki yang segak berkemeja biru masuk ke dalam café sambil membawa briefcase. Anas Rizal memimpin tangan Hanis menju ke arah lelaki itu.  Hanis kemudiannya mengajak lelaki itu duduk.
            “Saya tak boleh lama sini Encik Anas Rizal, Puan Hanis. Ada beberapa dokumen yang Puan Hanis perlu tandatangan.” Ujar lelaki yang bernama Hamdan itu.
            “Saya?  Kenapa pulak saya yang kena sign?”
            “Puan dikehendaki mengeluarkan semua yang ada di dalam café ni.”  Hanis sudah mengagak.  Ya, ini adalah penghujungnya.  Namun di dalam hati dia bersyukur mempunyai seorang yang bergelar suami yang menjadi pendorong kepadanya. 
            “Baiklah.  Saya faham.”  Hanis kemudiannya menandatangani beberapa dokumen dan diserahkan kepada Hamdan.  Hamdan menghulurkan tangan kepada Anas Rizal dan kemudiannya dia melemparkan senyuman kepada Hanis.
            “Tahniah Puan Hanis.” 
            “Untuk apa diucapkan tahniah?”
            “Café ini sudah menjadi milik Puan Hanis sepenuhnya.” 
            “Saya tak faham.  Kalau milik saya, kenapa pulak nak suruh saya keluarkan barang dalam café ni?”
            “Café puan perlukan renovation.”
            “Saya memang tak faham sekarang ni.”
            “Encik Anas dah tukarkan nama café ni kepada nama puan.  Encik Anas  mahukan café ni berwajah baru.  Kalau dah tak ada apa lagi, saya minta diri dulu. Encik Anas, saya gembira berurusan dengan encik.  Kalau ada jodoh, kita berjumpa lagi.”  Hamdan terus berlalu meninggalkan pasangan itu. 
            “Abang…. Jadi, abanglah owner baru tu?”
            “Ini hadiah perkahwinan  untuk isteri abang yang abang sayang.  Abang tahu, ini impian sayang.  Takkan abang nak matikan impian sayang macam tu je.  Tapi, abang nak sayang tambahkan menu kat café kita ni.”
            “Tahu, mesti nak suruh Hanis jual sandwich kan?”
            “Ala… tok guru ada kat sini.  Bila-bila masa je boleh ajarkan.  Abang akan cari beberapa orang pekerja untuk tolong sayang.  Barulah sayang ada masa dengan abang.”
            Hanis tersenyum. Air matanya mengalir.  Dia terharu dengan apa yang dilakukan oleh Anas Rizal kepadanya.  Anas Rizal dengan segera menyeka air mata Hanis.
            “Shhh…. Dah, jangan menangis.  Ini tak seberapa nak dibandingkan kasih sayang abang pada Hanis.”  Anas Rizal mengucup lembut ubun-ubun isterinya. 

            “Terima kasih, bang. Hanis pun sayangkan abang.” Anas Rizal tersenyum.  Mereka kemudiannya memerhatikan disegenap sudut café itu dengan satu harapan yang baru.  Semoga segala apa yang diimpikan kian mekar mencipta satu kejayaan.
P/S:  Cerpen Ini juga pernah disiarkan di dalam ILHAM KARANGKRAF pada 11 Mei 2016

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page