COPY RIGHT

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Novel: Bisikan Cinta Bab 8

Siti Norshimah Md Yasan | 5:31 AM |
BAB 8

            Maya setia berada di sisi majikannya.  Begitu juga dengan Sofiah. Dato’ Khalil yang mempengerusikan majlis sempat merenung kedua-dua anak terunanya.  Mesyuarat selama dua jam itu pada kali ini banyak membentangkan tentang rombongan ke Langkawi.  Sudah masanya untuk merehatkan badan. Setelah lama bekerja, inilah masanya untuk gembira.  Kebanyakkan yang hadir pada mesyuarat itu bersetuju dengan pilihan Dato’ Khalil.  Namun suara yang paling kuat didengar adalah suara Maya.  Seronok rasanya apabila Dato’ Khalil mengumumkan tentang keputusan itu.  Mulutnya tidak berhenti-henti bercerita. 
            “Bagus juga dengan cadangan dato’ tu.  Kami semua pun tengah gian nak berjalan.  Saya yakin tempat yang dato’ pilih memang sesuai.  Saya rasakan, tentu ramai yang berminat.  Tapi dato’, kalau orang luar boleh turut serta tak?” Tanya Maya tanpa segan silu.  Hafiz yang duduk bersebelahan dengannya cuma menggelengkan kepala. Sakit kepalanya memikirkan perihal Maya.  Puas difikir bagaimana hendak menutup mulut setiausahanya tetapi gagal.  Lagi banyak kerja yang kita bagi, lagi bersemangat dia bercakap. 
            “Bagus juga dengan pertanyaan awak tu, Maya.  Saya sudah fikirkan hal ini dan pada pendapat saya kita akan benarkan orang luar turut serta tetapi, sesiapa yang nak bawa keluarga atau buah hati kena bayar kos pengangkutan.  Saya buat begini bukannya kita tak mampu, tetapi nanti apa pula kata yang tidak membawa keluarga.  Mungkin ianya tidak adil.  Oleh itu, saya akan menetapkan harga pada kemudian nanti.” 
            Maya tersenyum dan mengangguk.  Dato’ Khalil memandang di segenap sudut bilik mesyuarat itu.
So, ada apa-apa lagi mengenai mesyuarat ini? Saya harap Encik Hafiz sila ambil berat tentang perkara ini sebab Encik Hafiz yang menjaga keluar masuk perbelanjaan syarikat ini.  Kalau ada apa-apa masalah, sila jumpa saya.  Untuk pihak pemasaran, bukan tak ada kerja untuk awak ye.  Saya akan menyerahkan tugas kepada Encik Daniel untuk menyiapkan agenda rombongan kita ke Langkawi.  Senaraikan jadual serta berikan tarikh yang sesuai untuk staff di sini. Untuk harga tambang bas bolehlah berbincang dengan Encik Hafiz.”
Hafiz dan Daniel mengangguk hampir serentak. 
“Saya rasa tak ada lagi yang saya nak beritahu.  Sebelum saya mengakhiri mesyuarat ini, saya berharap program ini akan berjalan dengan lancar dan kita dapat menikmatinya bersama.  Kalau tak ada apa lagi saya tamatkan mesyuarat hari ini sampai di sini. Oleh itu, sekian terima kasih.”  Dato’ Khalil bangkit.  Diikuti dengan beberapa orang lagi staff.  Maya masih lagi termagu di meja.  Pergi Langkawi. Ajak Bakhtiar seronok juga ni.  Bolehlah aku kenalkan dia dengan kawan-kawan aku.  Gomel hati Maya.
            “Cik Maya, awak tak nak keluar ke?” Tanya Hafiz yang mengejutkan Maya dari lamunan.  Kurang asam punya bos.  Baru nak berangan dah kena kejut.
            “Yelah, Encik Hafiz.  Saya nak bangunlah ni.  Encik Hafiz ni bagilah saya duduk sekejap.  Penat tau tangan saya menulis.  Dah naik lenguh.  Ini balik mesti kena sapu dengan minyak angin.”
            “Cik Maya, kalau tak nak menulis banyak jangan jadi setiausaha.  Dulu awak juga yang beria-ia kata yang awak sudah biasa dengan semua ni.  Sekarang, baru nak catat minit mesyuarat pun awak dah tak tahan. Macam manalah awak nak jadi seoarang setiausaha yang baik kalau pekerjaan macam ni awak tak boleh buat.”  Hafiz sudah mula membebel.
            “Encik Hafiz tahu tak?  Puas saya kejar apa yang Dato’ Khalil beritahu tadi.  Sampaikan saya tertinggal.  Encik Hafiz tengok, empat muka surat saya catatkan.” Maya menyerahkan notebook kepada Hafiz.  Hafiz menyambut dengan penuh kehairanan.  Minit mesyuarat sampai bermuka-muka? Apa yang ditulis?
            “Apa yang awak buat ni?”  Tanya Hafiz.  Terbeliak matanya memandang kertas yang dipenuhi dengan tulisan Maya.
            “Saya ambil minit mesyuaratlah Encik Hafiz.  Takkan saya nak buat karangan.”
            “Tapi… cara awak tulis memang macam karangan.” Tegur Hafiz sambil matanya memandang ke arah buku nota Maya.
            “Saya ikut apa yang dia cakap.  Tapi saya minta maaf sebab tulisan saya teruk sikit.  Al-maklumlah.  Dato’ Khalil bercakap macam motor bot.  Susah saya nak tangkap.”
            “Saya tak suruh awak tulis semua yang dia cakap.  Cuma ambil isi penting saja.  Awak faham ke dengan tulisan awak ni?”
            “Tulisan saya, saya fahamlah Encik Hafiz.  Saya minta maaf.  Bab buat minit mesyuarat memang saya lemah.  Saya lebih rela buat kira-kira dari buat kerja ni.”  Ujar Maya jujur.
            “Sudah, saya nak keluar.  Awak jangan lupa dengan tugasan yang saya berikan pada awak.”        
            “Baiklah Encik Hafiz.  Tapi… Encik Hafiz!” Suara Maya sedikit meninggi.
            Hafiz terhenti.  Dia berpaling semula ke arah Maya. “Hah, ada apa?”
            “Ini bacanya apa ye?”  Soal Maya sambil menunjukkan buku notebooknya tadi.”
            “Itu tulisan awak.  Awak punya pasal. Saya tak akan ambil tahu.  Tapi apa yang saya tahu, sampai masa minit mesyuarat ini akan berada di atas meja saya esok dengan siap ditaip.  Faham?”
            Maya mengangguk.  Wajahnya sedikit sugul.  Yelah.  Aku buat semuanya. Biarkan.  Akan aku buat karangan enam muka surat.  Biar dia tak larat nak baca.
Maya melangkah keluar dengan seribu rasa kemarahan yang amat sangat.  Walhal Hafiz hanya mempamerkan wajah yang bersahaja.  Tanpa berlengah lagi Maya melabuhkan punggung di atas kerusi menghadap komputer.  Dia kemudiannya mula bermain dengan keyboard.  Kerja ini mesti disiapkan.  Kalau lambat, mesti aku yang kena lagi.  Encik Hafiz ni bukannya boleh salah sikit, ada saja dia melenting.  Tak sporting langsung.
            Maya terhenti apabila ingatannya singgah kepada wajah yang amat dirinduinya.  Ya, wajah Bakhtiar.  Maya mendail nombor telefon bimbit Bakhtiar.  Hampa.  Hanya yang kedengaran hanyalah mesin suara.  Maya tekad, balik kerja dia akan pergi ke pejabat Bakhtiar.  Walau pun Bakhtiar melarang, kali ini Maya benar-benar ingin ke sana.  Ah, biarlah apa kata pekerja-pekerjanya.  Apa yang pasti, aku adalah tunangnya.  Tiada siapa yang boleh menyangkal.
            Maya mengeliat sebentar.  Jam di tangan sudah menunjukkan ke angka 4.15 petang.  Dia teringat akan perancangannya hari ini.  Ya, kerja sudah ku selesaikan.  Sekarang sampailah masanya untuk aku berkemas dan pergi ke pejabat Bakhtiar.  Setelah meletakkan minit mesyuarat di atas meja Hafiz, Maya penuh semangat melangkah keluar untuk pulang.  Namun agenda seterusnya adalah ke pejabat Bakhtiar.
            Maya sampai di pejabat Bakhtiar agak lewat.  Jam sudah menunjukkan ke angka 5.30 petang.  Hati Maya tidak putus-putus berdoa supaya Bakhtiar ada di pejabat.  Mata Maya meliar mencari kelibat Bakhtiar. Hampa.  Wajah yang dicari masih belum ditemui.  Maya menuju ke arah penyambut tetamu yang pada ketika itu mahu pulang.
            “Maaf cik, boleh saya berjumpa dengan Encik Bakhtiar?  Dia ada di dalam ke?” Tanya Maya berbudi.  Belum sempat penyambut tetamu itu menjawab, Bakhtiar muncul dari biliknya.  Maya tersenyum girang.  Tidak pada Bakhtiar.  Bakhtiar terkejut dengan kedatangan Maya yang tiba-tiba itu.
            “Apa yang Maya buat di sini?  Bukan ke abang dah beritahu dengan Maya jangan datang sini. Kenapa degil sangat ni?” Keras suara Bakhtiar.  Walau pun Bakhtiar separuh berbisik, namun memberi kesan kepada Maya.  Maya terkejut dengan kata-kata Bakhtiar.
            “Salah ke Maya nak berjumpa dengan tunang sendiri?  Yang abang marah sangat ni kenapa?  Bukannya Maya datang ni nak buat kecoh.  Maya cuma nak menjenguk abang.  Itu saja.  Lagi pun dah lama kita tak berjumpa.  Nama saja duduk satu bandar.  Tapi nak jumpa dengan abang pun susah.”
            “Bukan abang tak nak jumpa dengan Maya.  Cuma abang tengah sibuk sekarang ni.”
            “Maya tahu, abang segan dengan kawan-kawan abang yang abang mempunyai tunang yang abang anggap seperti budak kampung.  Sudahlah budak kampung, gemuk pula tu.”
            “Susahlah dengan Maya ni.  Hah, yang Maya datang sini ada apa hal?  Penting sangat ke sampai cari abang kat pejabat?”
            “Begini, tempat kerja Maya ada buat travelling ke Langkawi.  Abang nak ikut ke?  Kalau abang nak ikut boleh Maya letakkan nama abang.”
            “Bila?”  Tanya Bakhtiar dengan acuh tak acuh.  Pandangannya sedikit pun tidak kepada Maya yang beria-ia bercerita.  Dia memandang ke arah pintu keluar, memerhatikan pekerja-pekerja yang lalu-lalang. 
            “Bulan depan.”
            “Maaflah.  Abang tak boleh pergi.  Abang kena terbang ke Sarawak.”  Maya hampa dengan jawapan yang diberikan oleh Bakhtiar.  Dia merenung ke arah Bakhtiar untuk mencari segaris kejujuran.
            “Eh, Encik Bakhtiar tak balik lagi ke?”  Tiba-tiba suara itu mematikan perbualan Bakhtiar dan Maya.  Maya berpaling.
            “Ita?  Apa yang kau buat kat sini?”  Tanya Maya separuh menjerit.
            “Engkau lupa ke yang aku kerja di sini?  Itulah, nama saja satu rumah.  Tapi kawan kerja kat mana pun tak tahu.”  Maya menggarukan kepalanya yang tidak gatal.  Hish!  Malunya.
            “O… Encik Bakhtiar ada perjumpaan dengan tunang ye.”  Usik Rozita.  Bakhtiar tersenyum.  Namun senyuman yang dilemparkan itu adalah satu senyuman paksa.
            “Cik Rozita tak balik ke?” 
            “Nak baliklah ni Encik Bakhtiar.  Saya balik dulu.” 
            “Ita, kau nak balik saing dengan aku ke?”  Maya mencelah.
            “Tak apalah Maya.  Aku tak tahu bila kau nak balik.  Manalah tahu kau nak keluar dating lepas ni.”  Maya mengangguk tanda setuju.
            “Saya balik dulu.”  Izin Rozita.  Setelah kelibat Rozita hilang dari pandangan mata mereka, Maya mula menyambung kembali bicaranya.
            “Abang, hari tu mak ada beritahu dengan Maya yang dia nak buat majlis perkahwinan kita bulan lima nanti.  Apa pendapat abang.”
            “Maya, bukan di sini untuk kita bincang hal itu.  Bukan ini masanya.  Sudahlah, Maya balik dulu. Kalau ada apa-apa abang telefon Maya dulu.  Lagi sekali abang ingatkan Maya jangan datang pejabat abang lagi.  Abang tak suka.  Kalau Maya nak berbual atau nak bercakap dengan abang telefon saja.  Jangan datang main terjah saja.” Maya tunduk mendengarkan penjelasan Bakhtiar itu.  Entah kenapa hatinya sebak tiba-tiba.
            “Maya minta maaf kalau Maya menganggu abang.  Bukan niat Maya.  Cuma Maya nak bertanya khabar.  Maya janji lain kali Maya tak buat lagi.”

            “Sudah, Maya balik dulu.  Abang ada kerja yang nak dibuat lagi.”  Bakhtiar meninggalkan Maya keseorangan dengan satu lagi teka-teki yang semakin utuh mewarnai fikirannya.  Kemanakah hilangnya keprihatinan dan bicara manisnya?  Salahkah aku di dalam hal ini?  Tanpa disedari, setitis air mata mula menjamah kelopak matanya.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2016 JIAKREATIFELT. All rights reserved. | Sign in|Top of page