COPY RIGHT

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Novel: Bisikan Cinta Bab 7

Siti Norshimah Md Yasan | 6:18 AM |

BAB 7


            Seperti yang dijanjikan, akhirnya Daniel memulakan tugas sebagai pengurus di bahagian pemasaran.  Sofiah yang menjadi setiausaha merasa kekok buat kali pertama.  Mahu tidak, tiba-tiba bertukar majikan mesti hati rasa tak senang.  Maya pula memulakan tugas baru di bawah pengawasan Hafiz.  Sejak pagi mulut Maya tidak pernah berhenti.  Ada saja yang nak dirungutnya. Apa yang pasti semuanya datang dari majikannya sendiri.  Itu tak kena, ini tak kena semuanya serba tak kena pada Maya.  Namun Hafiz hanya menjalankan tugas seperti biasa.  Apa saja yang dikehendaki akan diperolehinya dari Maya.
            “Maya, tolong ambilkan saya fail bagi pembayaran gaji staf.  Saya nak sekarang juga.”  Ujar Hafiz melalui telefon.  Maya mengeluh.
            “Maya, tolong ambilkan saya fail bagi pembayaran gaji staf.  Saya nak sekarang juga.”  Ejek Maya. 
            “E… dari tadi asyik nak buli aku.  Masa Sofiah jadi setiausaha tak ada pulak dia suruh buat semua kerja ni.  Bila masa aku ada saja yang dia nak kenakan.  Nak itulah, ambil inilah.  Macamlah aku tukang jaga fail pejabat ni.  Macam manalah aku boleh dapat bos macam Encik Hafiz ni.  Cerewet sungguh.  Tadi disuruh ambil fail perbelanjaan barangan, sekarang dia nak fail gaji.  Cakap sekali bukankah senang.  Tak payahlah aku nak mencari sampai dua tiga kali.  Fail ni lagi satu.  Mana pula dia hilang.  Hari itu aku simpan dalam kabinet ni.  Nak kata orang ambil, mustahil.  Yang ada kunci kabinet ni cuma tiga orang. Aku, Encik Hafiz dengan budak baru tu.  Siapa nama budak tu? Hah, Emma.  Entah-entah fail tu ada pada dia tak?”  Maya berpusing.
            “Mak!”  Tidak semena-mena Maya menjerit.  Entah bila Hafiz sudah berada di belakangnya.  Dia ni pun satu.  Bila datang tak pernah nak bagi salam.  Sudahlah pulak tu, masa aku mengumpat dia nak muncul.  Mahu tak terkejut.
            “Saya suruh awak cari fail, bukan suruh awak membebel.  Kalau mencari dengan mulut memang tak jumpa.  Cuba cari dengan tangan tanpa bercakap boleh tak?”           
            “Er….”  Maya memandang ke arah tangan Hafiz yang sudah pun memegang fail yang dimintanya tadi.
            “Encik Hafiz dah jumpa fail?”
            “Atas meja awak, Maya.  Yang awak cari dalam kabinet tu siapa suruh?”  Alamak, ye ke?  Itulah, tangan tak mencari lagi atas meja.  Sekarang siapa yang malu? Aku juga yang malu.
            “Sorry Encik Hafiz. Saya tak perasan.  Al-maklumlah, fail tu bukannya besar macam badan saya ni.  Kalau dia besar, boleh juga saya jumpa dia.  Lagi pun, dia menyorok tempat sempit tu, mana nak jumpa.”
            “Sudah, jangan nak bagi alasan.  Lepas ni awak boleh rehat.  Kalau Rozita telefon beritahu yang saya akan jumpa dia malam nanti.  Dan jangan lupa tempahan untuk dua orang makan malam di Dynasty Hotel untuk malam ini.  Saya nak masuk dulu.  Kalau ada apa-apa, saya akan panggil awak.  Dan jangan pula mulut awak yang sampai dulu.  Kalau boleh bagai nak runtuh bangunan ni dengan suara kamu.  Radio yang ada ni pun tak sama dengan radio asli awak tu.  Kurang sikit bercakap.  Lebihkan bekerja.  Baru berjaya.”  Kata Hafiz sebelum dia kembali ke biliknya.
            “Kurang sikit bercakap.  Lebihkan bekerja.  Baru berjaya.”  Ejek Maya sekali lagi.
            “Apa dia?”  Hafiz yang baru keluar menjengahkan muka.
            “Tak, sekejap lagi saya nak makan pau kaya.”  Sambut Maya acuh tak acuh.
            “Oh, ye ke?  Belikan saya satu.  Dah lama saya tak makan pau kaya.” Pesan Hafiz.
            “A… yelah.”  Maya melemparkan satu senyuman sinis kepada Hafiz. Walau bagaimanapun Hafiz tetap bersahaja.  Hish! Geramnya.  Telinga dia ni telinga lintah ke?  Apa yang aku cakap semua yang dia dengar.
            “Pergi jumpa Sofiah lagi seronok.  Boleh ajak dia makan sekali.”  Maya mula meninggalkan meja dan berlalu ke arah Sofiah yang  duduk agak jauh.
            “Hai Sofiah, banyak lagi ke kerja kau?” Tanya Maya seraya sampai di meja Sofiah.
            “Adalah sikit.  Kenapa kau datang sini?  Tak marah ke bos kau tu?”
            “Dia sendiri suruh aku rehat dulu.  Kau nak keluar makan ke?”
            “A… er… aku kena beritahu dengan Encik Daniel dulu.  Nanti dia tercari-cari pulak.  Sekejap ye.”  Sofiah bangkit. Belum sempat dia melangkah ke bilik Daniel, pintu dibuka.  Daniel yang masih lagi setia memakai tie kelihatan segak dengan mengenakan kemeja biru laut.
            “Awak nak ke mana Sofiah?” Tanya Daniel.
            “Kalau boleh saya nak keluar makan sekarang dengan Maya. Itu pun kalau Encik Daniel  bagi.  Dah lama saya tak makan dengan dia.”
            “Em… baiklah.  Oh, ini rupanya Maya.”  Ujar Daniel sambil memandang ke arah Maya.  Maya kaget.  Tiba-tiba dia merasa tidak senang hati.  Hai, orang macam aku ni pun ada yang bertanya?
            “Kenapa?  Encik Daniel kenal saya ke?”
            “Bukanlah, saya cuma kenal nama saja.  Bukan orangnya.”
            “Ini mesti Encik Hafiz punya cerita.  Dia tu memang tak ada kerja lain.  Tak habis-habis nak buat marah orang.” Ujar Maya dengan nada separuh meraju. Namun dia juga merasa malu kerana dirinya menjadi bualan dua beradik itu.
            “Memang, abang saya banyak bercerita tentang Maya.  Bukan sekali dua, tapi hari-hari.”
            “Saya dah agak, Encik Daniel.  Dia mesti ceritakan tentang mulut saya yang tak pernah berhenti ni.  Saya tahu saya banyak mulut, tapi saya baik orangnya.  Memang saya suka becakap. Tapi saya bercakap perkara kebaikan.”
            Daniel tersenyum sambil menganggukkan kepala.  Memang benar kata abangnya.  Maya memang banyak mulut.  Sepatah orang kata, mahu berjela dia menjawab.      
            “Maya tinggal di mana?” Tanya Daniel ramah.  Maya terkejut.  Tidak sangka Daniel bersikap lembut dengannya. Ah, begitu jauh bezanya dengan Hafiz.  Macam langit dan bumi.
            “Saya tinggal dengan kawan saya di Cheras.  Tapi saya ni orang Melaka.  Keluarga saya ada di Merlimau.  Encik Daniel tahu sajalah orang Melaka ni, mulutnya bising sikit.  Encik Daniel dah kahwin ke?”  Alamak, soalan apa yang aku tanya ni?  Sofiah yang mendengarnya terkejut.  Beraninya Maya bertanyakan soalan itu.
            “Abang saya belum kahwin lagi, Maya.  Takkan saya nak langkah bendul pulak?”  Daniel tersenyum.  Sungguh pun dia tidak sekacak Hafiz, namun dia tetap manis.  Bak kata orang cute.  Lenggok katanya juga sedap telinga ini mendengarnya.  Kenapalah si Hafiz ni tak macam Daniel?
            “Ala… Encik Daniel, sempoilah.  Lagi pun lelaki mana ada kata langkah bendul.  Itu orang perempuan saja.  Saya yakin, kalau Encik Daniel tunggu Encik Hafiz berumahtangga sampai ke tualah Encik Daniel tak kahwin.  Dia tu, siapalah yang berkahwin dengan dia.  Mulut macam murai cabut ekor, muka macam tempoyak basi entah bila agaknya Dato’ Khalil nak bermenantu.  Lupakan saja langkah bedul tu Encik Daniel.  Nanti Encik Daniel juga yang mengigit jari.  Kahwin ni seronok.”
            “Maya dah kahwin ke?”  Daniel sengaja mencungkil rahsia Maya.
            “Belum lagi Encik Daniel.  Tapi mungkin tak lama lagi.  Saya bukan apa, dengar dari cerita-cerita orang.  Kahwin ni seronok.  Tapi tak tahulah betul ke tidak.  Sebab tak pernah tempuh.  Bila dah tempuh gerbang perkahwinan baru kita tahu seronok ke tidak berkahwin ni.  Jangan tunggu lama-lama Encik Daniel.”
            “Saya kalau nak kahwin pun kena tunggu sebab masih belum ada pilihan hati.”
            “Hai, takkan tak ada Encik Daniel?  Mustahil.  Rupa ada, harta berkepuk.  Kena pulak status anak dato’.  Takkan tak ada yang berkenan?”
            “Harta berkepuk pun bukan harta saya.  Harta ayah saya.  Saya tahu, setiap insan di dunia ini diciptakan hidup berpasang-pasangan.  Sampai masa nanti, kahwinlah saya.  Tapi… kalau boleh saya nak tengok abang saya kahwin dulu.”  Ujar Daniel bersungguh-sungguh.
            “Entahlah Encik Daniel.  Susah saya nak cakap.  Kalau perangai macam tu, angin satu badan saya tak tahulah siapalah agaknya yang bakal jadi isteri dia?  Minta-minta bukan yang perangai macam dia.  Mahu angin rumahtangga nanti.”  Bebel Maya.  Sofiah yang masih lagi di meja cuma menjadi pendengar setia. Entah mengapa, bila dia berada di samping majikannnya itu kadang-kala bibirnya bagaikan terkunci untuk berkata-kata.
            “Maya!”  Maya tersentak.  Dia berpaling.  Hafiz.  Apa kena ni?  Apa pulak yang dia nak sekarang ni?  Tadi beria-ia suruh kita rehat.  Sekarang terjerit-jerit panggil kita.  Pantang nampak muka aku.

            “Alamak… apa pulak bos aku tu nak.  Tak boleh tengok orang senang. Ada saja nak kacau orang.  Kau tunggu aku kejap.”  Ujar Maya kepada Sofiah.  Sofiah yang sudah mencapai beg tangan duduk kembali.  Daniel yang melihatkan telatah Maya tersenyum.  Maya terus berlalu menuju ke arah Hafiz dengan mulut yang terkumat-kamit.  Geram dia dengan perangai Hafiz.

1 comment:

  1. Salam kenal. Jemput singgah di blog saya. :)

    ctkhatijahdiana.blogspot.my

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2016 JIAKREATIFELT. All rights reserved. | Sign in|Top of page