Cerpen: Pengantin Nombor Satu

Teratak pena | 10:20 PM |



PENGANTIN NOMBOR SATU

Amanda masih lagi menantikan Hamidah di bus stop. Tidak lama kemudian, bibirnya menguntum senyum apabila melihat Hamidah mula menghampiri ke arahnya. Hamidah nampak bergaya dengan mengenakan skinny jeans dengan blouse berwarna merah jambu. Itulah dia, Hamidah. Nama sahaja duduk kampung. Pakaian mengalahkan duduk di bandar. Ada masa Amanda merasa kerdil saat bersama-sama dengan Hamidah. Dia dengan Hamidah bagaikan langit dan bumi, walau pun mereka bersahabat baik dari kecil lagi.
"Lama kau tunggu aku?" Tanya Hamidah sebaik sahaja tiba. Dia menyambut senyuman Amanda sambil menahan nafas penat.
"Lama tak lama, tapi macam biasa aku yang sampai dulu. Engkau tu. Kalau nak bersiap, ayam jantan bertelur pun tak siap lagi."
Hamidah mencebik. Matanya sengaja menjeling ke arah Amanda. Amanda tidak menghiraukan jelingan itu sebaliknya dia memandang ke arah jalan raya untuk menantikan bas mereka.
"Aku dengar Iskandar masuk meminang kau."
Amanda tersentak. Dia tidak segera menjawab. Hai, cepat benar berita itu tersebar. Baru semalam Iskandar datang dengan keluarganya untuk meminang. Dia sendiri terkejut dengan peminangan Iskandar. Lagi pun, dia hanya beberapa kali bertegur sapa dengan lelaki itu. Dia sedar siapa dirinya. Mana mungkin dia berdiri sama tinggi dengan Iskandar yang bekerja sebagai seorang guru. Sedangkan dia? Hanya gadis kilang sahaja.
"Macam mana kau tahu? Cepat betul ya cerita ni tersebar."
"Memang betullah. Kau...  Sampai hati tak beritahu dengan aku yang dia masuk pinang kau."
"Aku sendiri pun terkejut dia datang rumah aku semalam."
"Macam mana dia boleh masuk meminang kau. Kau ada bercinta dengan dia ke? Tak ada kan..."
Amanda menggeleng perlahan. Hatinya sedikit terasa. Masalahnya, bukan dia meminta Iskandar datang untuk meminang. Lagi pun, dia perempuan yang menantikan insan lelaki untuk menyunting. Dia sendiri pun tidak percaya dengan kehadiran Iskandar untuk berhajat menjadikan dia sebagai isteri.
"Habis kau terima? Wei, berapa kau mintak dengan mamat tu?"
  Amanda tidak segera menjawab. Baginya soalan berapa hantaran membuatkan dia rasa tidak selesa. Berat juga dia mahu menjawab teka-teki Hamidah itu.
"Oi, aku tanya dengan kau ni." Hamidah menepuk bahu Amanda. Suaranya mula meninggi.
"Aku dengarlah. Tapi jangan menjerit. Pekak telinga aku ni."
"Dah kau tak nak cakap. Aku jeritlah. Cakaplah, berapa kau mintak dengan mamat tu.
"Family aku tak tetapkan hantaran. Terpulang kepada Iskandar dia nak beri berapa."
Saat mendengarkan penjelasan Amanda, terbuntang mata Hamidah.
"Engkau ni, dah kenapa? Buatnya si Is tu bagi kau tiga atau empat ribu macam mana?"
"Aku terima aje. Aku buat mana yang mampu. Apa yang penting, akad tu nanti. Rukun nikah aku cukup. Ada pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, saksi dan akad. Nak risau apa?" Amanda mula tidak senang dengan perbualannya dengan Hamidah. Hai, manalah bas ni lambat pula sampainya. Dia malas untuk memanjangkan perbualan dengan Hamidah.
"E... Kau ni. Kita kahwin bukannya selalu. Ada pulak kau buat macam tu. Kau nak ke kenduri kau tu orang datang makan nasi kosong dengan kicap? Sah, nanti kenduri kau kena kecam."
Amanda mengeluh perlahan. Terasa dengan kata-kata Hamidah. Geram pun ada.
"Aku bukannya sebodoh tu. Takkan aku nak meletakkan seluruh belanja atas bahu Iskandar tu. Dia masuk meminang aku dah cukup baik. Asalkan dia boleh nak menjaga aku nanti. Aku tak nak dia berhutang sebab nak dapatkan aku. Lagi pun aku bukan nak menjual diri, sampai nak letak berpuluh ribu." Amanda sudah tidak tahan lagi.
"Sekarang ni, barang semua dah mahal. Untunglah si Is tu dapat kau dengan harga murah."
Okey, ini dah melampau. Amanda merasakan Hamidah tidak berhak mempertikaikan peminangan Iskandar. Lagi pun dia mahu menerima Iskandar sebagai seorang suami. Sesekali dia tidak mahu Iskandar merasa terseksa untuk memperisterikannya.
"Tak kiralah apa pun yang kau nak cakap. Sekurang-kurangnya aku ada yang nak masuk meminang. Kalau letak hantaran tinggi pun, sampai bila-bila aku ni bujang tak sudah."
Kali ini, kata-kata Amanda telah membuatkan Hamidah terdiam. Dia dapat melihat perubahan pada wajah Hamidah. Kelat dan masam. Malah, Amanda menyedari Hamidah mula menjelingnya tajam.
Amanda menghela nafas lega saat melihat bas yang sudah pun tiba. Nampaknya, perbualan mereka akan tamat di situ. Dia tidak mahu berbual tentang hantaran dan jodohnya. Biar dia teguh dengan pendirian sendiri untuk membantu Iskandar bagi melancarkan majlis yang bakal menjelma.
BALIK daripada kerja, Hamidah mula mengajak Amanda untuk singgah di kedai runcit milik Adib, buah hati Hamidah. Amanda hanya menurut. Sudah tentu Hamidah mahu membeli barang dapur untuk rumahnya.
"Abang Adib!" Hamidah menjerit. Matanya meliar mencari kelibat Adib. Sampai ke dalam stor dia mencari. Itu dia! Adib sedang menyusun barang di dalam stor.
Sebelum Hamidah berkata apa-apa, Amanda sudah pun menarik tangan Hamidah.
"Yang kau tarik tangan aku dah kenapa?"
"Sekarang ni, aku nak tanya kau. Kau datang sini nak buat apa? Kalau setakat nak tengok muka buah hati kau, baik tak payah ajak aku." Bisik Amanda.
Hamidah merentap tangannya supaya terlerai daripada genggaman Amanda.
"Engkau ni, bisinglah. Aku ajak kau sebab nak suruh kau jadi saksi."
"Saksi apa? Kau jangan macam-macam, Midah."
"Ala... Kau tak payah nak cakap apa-apa. Kau diam aje." tingkah Hamidah.
"Ha, Kenapa Midah cari abang sampai ke stor?"
Tersentak Amanda dan Hamidah dengan kedatangan Adib secara tiba-tiba. Mereka berpaling. Segaris senyuman kemudian mereka ukirkan. Senyuman mereka bersambut.
"Abang..."
Mata Amanda bulat. E...  Meremang bulu romanya apabila mendengarkan renggekan manja Hamidah. Sudah! Apa pula yang si Hamidah ni nak buat?
"Eh, Midah. Kau ni dah sampuk jin mana? Cuba bawa mengucap." Bisik Amanda di telinga Hamidah sekali lagi. Bisikan Amanda tidak dihiraukan oleh Hamidah. Hamidah perlahan mendapatkan Adib.
"Datang cari abang ni, Midah ada masalah ke? Cara panggil tu abang dah tahu."
"Abang... Abang sayang Midah, kan?" Jari telunjuk Hamidah meleret di lengan Adib.
"Datang sini semata-mata tanya sayang Midah ke tidak? Dah banyak kali abang cakap yang abang sayang Midah. Tak percaya ke?" Mata Adib tajam memandang kepada Hamidah. Masa orang tengah sibuk dia datang tanya sayang ke tidak. Memang nak kena maki. Hai, nasib baik buah hati. Kalau orang lain memang dia tidak layan.
Amanda mencuit bahu Hamidah. Hamidah berpaling.
"Kau duduk diam."
Amanda merapatkan tubuhnya kepada Hamidah.
"Engkau, kalau setakat nak tanya pasal kasih sayang kau, baik tak payah ajak aku datang sini. Aku nak baliklah, Midah." Bisik Amanda. Ternyata dia kurang selesa dengan isi perbualan Hamidah dengan Adib.
"Aku ajak kau ni sebab nak jadi saksi aku. Apa? Engkau ingat kau sorang aje yang nak kahwin?"
"Kau dah kenapa? Aku nak kahwin tak ada kena-mengena dengan kau, tau."
Hamidah bercekak pinggang.
"Mana boleh kau sorang aje yang nak kahwin. Aku pun nak kahwin juga. Yang penting aku kahwin dulu sebelum kau."
Hish! Dia ni dah gila ke apa? Amanda mengeluh perlahan. Hai, dari dulu perangai Hamidah memang tidak berubah. Selalu sahaja nak menang. Semuanya dia nak dulu. Semuanya nak nombor satu.
Saat mendengarkan perkataan kahwin dari mulut Hamidah, terbuntang mata Adib. Terlopong mulutnya.
"Abang, mulut tu tutup. Nanti burung masuk." sengih Hamidah.
Pantas Adib menutup mulut.
"Kah... Kah... Kahwin? Midah nak kahwin? Kahwin dengan siapa?" Adib gelisah. Dia menggaru kepala. Ah, masalah!
"Kahwin dengan abanglah."
Fuh, selamat.
"Midah ni, buat abang terkejut."
"Dia memang macam ni. Dari tadi tak puas hati dengan Manda." Amanda mencelah.
"Sah! Abang tahu. Mesti sebab Manda nak kahwin, kan. Sebab itu kawan Manda ni macam cacing kepanasan."
"Itulah pasal. Sanggup heret Manda datang sini." Amanda melirik kepada Hamidah. Wajah sahabatnya masam dan kelat.
"Ala...  Midah janganlah risau. Abang mesti kahwin dengan Midah. Tak payahlah Midah risau."
"Itu Midah tahu. Tapi..." Hamidah berpaling kepada Amanda.
"Kenapa kau pandang aku macam tu?"
"Hantaran kau berapa?"
"Eh, kau dah kenapa tanya hantaran aku pulak?"
"Hish! Kau ni, banyak sangat bunyi. Cakap ajelah."
Amanda mula serba-salah. Berat hati dia mahu menceritakan hal yang sebenarnya. Kasihan juga dia melihat Adib yang mula terpinga-pinga. Tanpa sebarang kata, Amanda mengangkat tangan menunjukkan kesemua jarinya.
"Sepuluh ribu? Ciputnya. Memang sesuai kenduri kau makan kicap dengan telur."
"Kau tak baik tau cakap macam tu. Tapi, tak kisahlah makan kicap dengan telur. Janji sedap." Tingkah Amanda yang terasa hati dengan Hamidah. Hati Amanda mula tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang ingin dilakukan oleh Hamidah.
"Abang, esok abang masuk meminang Midah."
"Hah? Meminang? Tapi agak-agaklah. Esok mana sempat nak buat preparation. Nak tempah tanjak, nak tempah bunga telur, nak tempah cincin sepuluh bentuk." Dalam gurau, sempat Adib menyindir.
"Ala, tak kisah semua tu. Janji abang masuk meminang Midah. Jangan lupa abang bagi tahu dengan keluarga Midah yang abang nak bagi hantaran lima belas ribu ringgit. Baru best!"
Terbuntang mata Adib.
Pap! Amanda memukul lengan Hamidah.
"Wei, kau. Tak baik kau buat Adib macam tu."
Amanda memandang sekilas kepada Adib. Dia benar-benar kasihan kepada lelaki itu. Si Hamidah ni pun satu. Kalau ya pun, jangan sampai buat si Adib ni terkejut. Lagi pun, mungkin Adib masih lagi mahu mencari rezeki sebelum nak masuk meminang. Tambahan lagi, Hamidah dengan bangga diri menetap sendiri wang hantaran. Berdouble terkejut mamat tu.
"E... Kalau dia sayang aku, dia kena masuk meminang."
"Kan dia cakap yang dia sayang dengan kau. Kau tunggu lah si adib ni masuk meminang. Bukannya dia tidak tahu nak buat apa." Amanda cuba untuk mempertahankan Adib.
"Tak boleh! Aku nak dia pinang aku esok juga. Kalau nak tunggu dia, silap hari bulan kau juga yang kahwin dulu."
Amanda terdiam. Sekarang dia tahu apa yang diinginkan Hamidah. Sah! Hamidah cemburu dengannya. Hati Amanda mula dilanda dengan perasaan serba-salah. Tidak sanggup rasanya dia mahu melihat wajah Adib yang tiba-tiba suram. Mesti Adib tengah berserabut dengan permintaan tidak semenggah Hamidah itu. Sudahlah disuruhnya masuk meminang esok, minta hantaran lima belas ribu pula tu. Macam mana Adib tidak jadi tugu di hadapan Hamidah kalau dah minta macam nak kahwin dengan anak orang VVIP. Lagi pun, apa yang ada dengan si Hamidah. SPM pun lingkup. Haish! perangai kalau tengok pun lingkup juga.
"Kau pun, tak payahlah nak mendesak si Adib ni."
"Abang, dengar ya. Kalau abang tak nak masuk meminang Midah esok, jangan sampai Midah cari lain. Pastinya, lagi kaya daripada abang."
Amanda merenung tajam dengan keberanian kata-kata Hamidah.
"Kau ni dah kenapa?" tegang sahaja suara Hamidah. Dia menyambut renungan Amanda dengan wajah yang masam.
"Er... Er..." Adib mati kata. Dia melirik kepada Hamidah dan Amanda silih berganti. Tiba-tiba Adib melebarkan senyuman. Matanya tertumpu ke arah pintu masuk kedai.
Amanda memandang. Debaran hatinya pula yang datang menyinggah. Dia melarikan lirikan mata dan tunduk. Iskandar masuk ke dalam kedai sambil memandang kepadanya.
"Iskandar!" Adib meninggalkan Hamidah tanpa sebarang jawapan. Panas hati juga Hamidah dengan tindakan Adib.
Iskandar melangkah masuk ke dalam kedai dengan tidak lepas memandang kepada Amanda. Dia tersenyum saat Amanda tunduk saat dia merenung ke arah gadis itu. Semenjak pinangannya diterima, hatinya sentiasa memanjat rasa syukur. Sebelum meminang, dia risau juga jika hati gadis itu sudah dimiliki. Memang sudah rezeki, bukan sahaja Amanda tiada teman lelaki, malah hantaran yang diminta oleh gadis itu benar-benar membuatkan dia merasakan itu adalah jodohnya. Masih terbayang mesej yang diberikan oleh Amanda.
'Saya nak berkahwin demi akad. Cukup andai saya diterima seadanya.'
Malah, voice mesej yang dia terima membuatkan dia tidak lena tidur. Saat kesunyian, voice mesej itu dimainkan berulang kali. Sehingga membuatkan hidupnya berwarna-warni.
"Manda nak beli barang ke?"
Teguran daripada Iskandar terus membuatkan hati Amanda terus tidak tentu arah. Dia malu dengan lelaki itu. Tambahan lagi Iskandar bakal menjadi raja hatinya. Berat pula dia mahu membuka mulut bila bertentang mata.
"Kalau nak beli, ambiklah. Abang bayar. Nanti abang hantar Manda balik."
Kali ini Amanda berani untuk bertentang mata.
"Eh, tak apa. Manda datang sini sebab temankan Midah aje." Amanda masih lagi malu-malu dengan Iskandar. Sesekali dia melarikan pandangan mata kerana risaukan hatinya kian berdebar.
"Oh, ya ke. Tapi kalau Midah nak tumpang balik pun boleh juga." Ajak Iskandar.
Bulat mata Hamidah.
"Kereta kancil lama tu? Memang tak! Kalau nak, bawalah si Manda ni. Tapi, kalau setakat selang satu rumah, memang kelakar sebab nak hantar naik kereta."
Kali ini meledak ketawa Iskandar.
"Ada ke saya kata nak hantar naik kereta? Lagi pun saya ajak-ajak ayam saja tadi dengan awak. Dengan Manda saya serius nak hantar balik. Tapi, nak jalan sama sampai ke rumah." sengih Adib.
Hamidah panas hati lagi. Dalam diam, dikenakan oleh Adib. Malah, tambah geram apabila Amanda mula tersenyum mengena.
"Abang, jangan lupa janji kita. Setakat hantaran sepuluh ribu, pelamin pakai kotak pun belum tentu cukup bajet." Sempat Hamidah menjeling kepada Amanda sambil tersenyum sinis.
Amanda tunduk. Dia agak terasa dengan kata-kata Hamidah yang ternyata tiada insuran mulut. Malah, dia merasa kasihan dengan Iskandar. Tunangnya itu disindir tanpa isyarat. Amanda melirik kepada Iskandar. Wajah Iskandar masih lagi tenang. Bagaikan tidak terasa dengan Hamidah.
"Tak kisahlah Midah. Kotak pun kotak. Mana tahu kreativiti kita orang nanti yang jadi viral. Untung juga." Amanda cuba mempertahankan. Di saat itu, dia dapat melihat Iskandar melukiskan sebuah senyuman.
"Jangan letak hantaran tinggi, cik Hamidah.  Nanti tak laku. Jadi anak dara tua." Bicara Iskandar dengan senyuman. Lega hatinya dapat mengenakan Hamidah. Sehinggakan wajah Hamidah berubah masam.
"Nak takut apa? Abang Adib ni, orang kaya kampung ni. Anak dara semua beratur nakkan dia. Itulah... Cuma aku yang beruntung dapat dia."
Iskandar melambaikan tangan di hadapan Hamidah.
"Angan-angan tu simpan sikit."
Makin mendidih hati Hamidah. Amanda hanya berdiam diri dan menjadi pemerhati. Kalau dia jadi Iskandar pun dia mahu berbalas pantun dengan Hamidah.
"Kau tengok! Aku dengan abang Adib akan kahwin. Apa yang penting, kita orang akan kahwin dulu."
Iskandar mencebik. Kelakar dengan statement Hamidah. Kemudian, dia berpaling kepada Adib yang dari tadi tidak bersuara. Adib masih lagi tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku.
"Abang! Takkan bisu aje." sergah Hamidah.
Adib tersentak. Dia masih kelu untuk berkata-kata ugutan Hamidah terus membuatkan jiwanya terseksa. Dia melirik kepada Iskandar dengan rasa bersalah yang menggunung. Debaran hatinya terus berdetak kencang. Renungan mata Iskandar dan Hamidah terus menggoncang hati lelakinya.
"Er... Er..." Ah, gagap lagi. Tergeliat lidah Adib untuk bersuara.
"Abang! Jangan nak mainkan Midah, ya. Abang kan banyak duit. Tauke kedai runcit takkan sengkek kot. Abang kena masuk meminang Midah esok. Takkan orang yang tak ada duit macam dia orang ni kahwin dulu. Abang tak malu ke?"
Sekali lagi tangkai hati Amanda direntap kasar. Semenjak dari tadi, Hamidah tidak habis-habis memperlekehkan dia dengan Iskandar. Mungkin cemburu barang kali. Namun, sungguh dia tidak berkenan dengan Hamidah. Seolah memaksa Adib untuk berkahwin. Hai, nasib baik kawan. Walau pun ada masa dia agak terasa dengan Hamidah, namun dalam masa yang sama dia kasihan dengan gadis itu. Ramai rakan-rakannya tidak mahu berkahwin kerana mulutnya yang mahu minta disumpah. Cuma dia sahaja yang malas mahu fikirkan masalah gadis itu.
"Dahlah tu, Midah. Kita balik dulu." Amanda sudah pun menarik tangan Hamidah agar berlalu dari kedai itu. Dia tidak mahu Adib terus gelisah dan dia juga segan dengan Iskandar sebenarnya.
"Aku takkan balik selagi abang Adib tak cakap yang dia nak pinang aku esok."
"Hish, masalah betul kau ni. Jomlah balik!" desak Amanda.
Hamidah masih lagi tidak berganjak. Dia masih menantikan jawapan daripada Adib. Makin lama, makin bulat mata Hamidah memandang kepada Adib. Sehingga mendorong Adib mengangguk pantas. Risau juga kalau Hamidah buat yang bukan-bukan di dalam kedainya. Namun begitu, matanya tidak lepas memandang kepada Iskandar.
"Ingat janji kita." Pesan Hamidah sambil jari telunjuk digoyangkan.
Amanda pantas mengekori Hamidah dari belakang. Belum sempat kakinya melangkah keluar dari kedai, namanya diseru.
"Abang nak jumpa dengan Manda sekejap." Tutur Iskandar yang terus membuatkan hati Amanda kembali berdebar.
"Aku balik dululah." Hamidah bersuara.
"Wei, jangan tinggalkan aku."
"Ala... Rumah kau bukannya jauh pun. Lagi pun mamat tu nak cakap dengan kau."
Amanda menggigit jari. Dia terus gelisah saat Iskandar mahu berjumpa dengannya. Dia masih lagi setia menantikan Iskandar di luar kedai Adib. Hatinya penuh dengan teka-teki. Untuk apa Iskandar mahu berjumpa dengannnya? Segalanya telah dia terangkan kepada lelaki itu di dalam Whatapps dan voice mesej. Tiba-tiba tubuh Amanda mula menggeletar.
Iskandar menghampiri Adib. Dia melebarkan senyuman dan bahu Adib ditepuk lembut. Sebagai seorang lelaki, dia faham apa yang tersarang di dalam hati lelaki itu. Sudah tentu Adib risau dengan permintaan Hamidah tadi.
"Aku faham perasaan kau, Adib. Tapi dia pun tak boleh nak mendesak sangat. Kau ada ke duit nak masuk meminang dia?"
Soalan itu membuatkan Adib tersentak. Perlahan dia mencari wajah Iskandar. Iskandar telah banyak membantunya. Banyak juga wang yang telah dipinjam dengan Iskandar. Semuanya demi kedai. Semenjak akhir-akhir ini, perniagaannya tidak segagah dulu. Orang sudah selesa membeli barang keperluan di pasar raya besar. Malah, mana yang berhutang liat sangat mahu lunaskan. Akhirnya, dia sendiri yang menanggung.
"Aku tak tahu nak cakap apa, Is."
"Ada baiknya kau berterus-terang dengan dia. Aku tak ada masalah nak tolong kau. Tapi, sampai bila? Ni melibatkan hidup kau yang akan datang. Takkan kahwin pun kau nak berhutang. Nanti anak dah berderet hutang tak selesai lagi."
Adib terdiam. Dia tahu apa yang ingin disampaikan oleh Iskandar. Ya, dia bersetuju dengan Iskandar. Namun, mana mungkin dia mahu melepaskan Hamidah. Hamidah sahaja yang diidamkan untuk menjadi isteri. Sudah tentu dia tidak sanggup kalau Hamidah berkahwin dengan orang lain.
"Tapi aku sayangkan dia."
"Ya, aku tahu. Kalau dia sayangkan kau dia boleh bersabar. Dia mesti faham apa yang kau tengah tanggung sekarang ni. Jangan sampai makan diri. Yang dikendong tak dapat, yang dikejar berciciran. Aku tak nak dia tinggalkan kau masa hutang kau menggunung."
Sekali lagi Adib terdiam. Nasihat Iskandar terus menusuk ke jantungnya. Kalau dia mengikut kata Hamidah, sudah tentu dia akan menanggung beban hutang yang tinggi. Masalahnya, sudah tentu Hamidah tidak mahu mendengarkan sebarang alasan dari mulutnya. Adib terus buntu.
"Aku bukan nak menakutkan kau, cuma nak beri ingat.  Dia kena terima kau macam mana kau sekarang ni."
"Er... Er..." Adib masih tiada jawapan untuk menepis nasihat daripada Iskandar itu. Akhirnya dia menjadi kaku saat Iskandar mula meninggalkan kedai. Terbang semua soalan kepada Iskandar tujuan datang ke kedai itu.
Sebaik sahaja keluar dari kedai, bibir Iskandar mula mengulum senyum. Sejuk matanya memandang kepada Amanda.
"Eh, tak beli barang ke?" Tanya Amanda pelik. Bukankah Iskandar datang ke kedai Adib untuk membeli barang?
"Ingat nak beli juga. Tapi, bila terpandang orang tu terus jadi lupa ingatan."
Amanda senyum dan terus tunduk. Aduh! Hatinya mula nak berlagu dangdut. Rancak dan terus membuatkan hatinya juga mahu menari. Dia jarang menegur Iskandar apa lagi mahu berborak seperti sekarang ini. Perasaan segan itu masih menjadi tangga pertama carta hatinya. Malah, dia dapat merasakan sepasang mata lelaki itu melirik ke arahnya.
"Abang nak ucapkan terima kasih sebab sudi terima pinangan abang. Terima kasih juga sebab terima hantaran abang yang tak seberapa tu."
Pantas Amanda mendongak memang kepada Iskandar.
"Insya-Allah, kalau niat kita baik, Allah akan memudahkan urusan kita."
Iskandar senyum lagi. Gadis inilah yang telah menambat hati lelakinya. Rata-rata orang kampung memuji akan kebaikan gadis itu. Sebelum ada lelaki lain yang masuk meminang, dia terlebih dahulu mengambil tindakan itu.
"Abang dah cakap dengan mak Manda yang kita kahwin dalam tempoh tiga bulan lagi. Jadi, kita dah boleh buat persiapan."
Hah? Tiga bulan? Kenapa dia tidak tahu semua itu?
"Tiga bulan? Mak tak cakap apa-apa pun dengan Manda." Amanda terus gelisah. Memang tidak pernah terlintas di fikiran yang dia akan berkahwin dalam masa yang terdekat.
"Abang minta mak abang yang beritahu. Takkan abang berani nak cakap sendiri. Nanti dikatakan gelojoh pula."
Meledak ketawa Amanda. Perlahan namun begitu lunak di halwa telinga Iskandar. Kemudian Amanda terkenangkan Hamidah dengan tiba-tiba. Wajahnya manis dan ceria bertukar riak. Sehinggakan Iskandar mula rasa serba-salah. Risau akan kata-katanya tadi menguris perasaan Amanda.
"Abang ada buat salah ke?" Iskandar mula menggelebah.
Amanda menggeleng. Sebenarnya bukan dia tidak bersetuju dengan keputusan Iskandar, tetapi dia lebih risaukan Hamidah sebenarnya. Alahai... Kalaulah Hamidah tahu yang dia bakal berkahwin dalam masa tiga bulan, agaknya bila Hamidah akan berkahwin kalau sahabatnya itu mahu melangsungkan perkahwinan terlebih dahulu berbanding dengannya. Bagaimana agaknya Adib mahu mencari lima belas ribu seperti mana yang diminta oleh Hamidah?
"Bukan...  Saya kasihan dengan Midah sebenarnya."
"Kenapa dengan Midah?" Baru Iskandar teringatkan apa yang berlaku di dalam kedai tadi.
Amanda serba-salah mahu menceritakan semuanya. Namun itu yang perlu.
"Midah nak kahwin dulu sebelum kita. Masalahnya, kalau kita kahwin dalam masa tiga bulan, bila masa pula dia orang tu nak kahwin?"
"Kalau Adib tu dah bersedia, esok juga dia orang tu boleh kahwin."
Tiada balas kata daripada Amanda.
"Abang tahu Manda risaukan Midah. Jodoh ni penuh dengan teka-teki. Kalau ada jodoh meraka tu, takkan ke mana."
"Tapi..."
"Abang tahu Midah selalu bersaing dengan Manda. Apa yang Manda ada dia pun nak juga. Yang penting dia nak lebih daripada Manda. Manda, ada masa  kita tak boleh dapat lebih daripada orang lain. Perlu ke Manda nak fikirkan tentang Midah tu. Ada lebih baik Manda tumpukan perhatian dengan majlis kita nanti."
Amanda terdiam dengan bait kata-kata Iskandar. Mungkin ada benarnya kata-kata Iskandar itu. Mungkin dia terlalu memikirkan tentang Hamidah. Kehidupan Hamidah, biarlah empunya diri yang fikirkan. Sekarang ini ada perkara lebih penting yang perlu dia ambil kira.
"Dah la tu...  Tak payah kita fikirkan pasal Hamidah. Abang hantar Manda balik."
"Eh, tak payahlah. Manda boleh balik sendiri. Bukan jauh sangat pun." Amanda memberikan senyuman buat Iskandar.
Iskandar menyambut senyuman Amanda dan mengangguk perlahan. Tidak cukup rasanya dia berbual dengan Amanda. Rasa sekejap sahaja. Tak apa, Iskandar. Tidak lama lagi kau akan menikahi gadis ini. Selepas dia menjadi milik kau, 24 jam nak berbual pun tak ada masalah.
Amanda tercegang saat Hamidah menceritakan tentang peminangan Adib. Malah, Hamidah dengan megah bercerita tentang hantaran.
"Aku tak sangka hantaran aku 18 ribu. Banyak, kan?"
Amanda terkejut.
"Beb, kau gila? 18 ribu? Kesian Adib."
"Nak kesiankan apa. Dia boleh sediakan bila-bila masa aje."
Amanda menggeleng perlahan.
"Tak baik kau buat Adib macam tu. Kau kata nak minta 15 ribu je. Ini... Kau tambah lagi."
"Nasib baik aku ni dah kira cukup baik. Kalau ikutkan hati, aku nak minta dia 20 ribu. Tapi aku kesiankan kau sebenarnya. Takut kau cemburu."
"Cemburu? Hey, tak ada masa aku nak cemburu."
"Kalau macam tu, baguslah. Nanti kita cari barang kahwin sama-sama tau. Eh, bila tarikh kau kahwin? Aku nak set dengan Adib kahwin sebelum kau."
"Tiga bulan lagi." Perlahan sahaja Amanda menjawab pertanyaan Hamidah.
Seperti yang disangka, Hamidah terkejut dengan berita itu.
"Tiga bulan? Kau jangan main-main, Manda."
"Nak main-main apa? Sekarang bukan zaman kita main pondok-pondok, Midah. Abang Iskandar yang ajak aku kahwin cepat."
Hamidah memandang dengan rasa tidak puas hati. Dia memicingkan matanya.
"Ke... Engkau yang minta kahwin cepat. Yalah, mesti kau nak kahwin dulu dari aku, kan. Eleh... Kata tak cemburu."
"Kalau kau tak percaya, kau tanya sendiri dengan Iskandar. Cuba dengar apa yang dia nak kata."
Hamidah terdiam. Terus mati kata. Sempat juga dia menjeling tajam kepada Amanda. Hatinya terus diulit dengan perasaan tidak puas hati.
"Kau saja nak kenakan aku, Manda."
"Aku tak ada niat nak kenakan kau. Aku tak pernah nak bersaing dengan kau. Aku nak kau kahwin, Midah. Jodoh, ajal tu di tangan Tuhan. Kita ni merancang dan selebihnya dia yang tentukan. Aku tak kisah kalau kau nak kahwin dulu. Kalau kau nak, tak ada masalah pun pada aku. Tapi kau kena ingat. Kahwin ni bukan melibatkan kita seorang."
Terus kata-kata Amanda menyentap tangkai hati Hamidah. Jiwanya bagaikan ditikam berkali-kali.
"Tak pernah terlintas aku nak bersaing dengan kau, Midah. Tak ada faedah pun. Mungkin kau rasa terhina dengan jodoh aku. Tapi apa kau buat ni salah. Niat kau sebenarnya bukan nak kahwin. Tapi lebih kepada nak jadi yang pertama. Kau pentingkan diri kau sendiri, Midah. Takkan kau tak nampak muka Adib masa kau paksa dia masuk meminang?"
"Dia kan sayang aku."
"Sebab dia sayang kau, dia masuk meminang. Tapi pernah tak kau tanya dia yang dia dah bersedia? Kau ingat boleh cari 18 ribu dalam sekelip mata aje ke?"
Sekali lagi Amanda berjaya membuatkan Hamidah terdiam. Mungkin berjaya mematahkan ego Hamidah.
"Aku tahu yang kau sayangkan Adib. Macam tu juga dia. Tapi kau kena juga bertolak ansur dengan dia. Tapi, kalau betul Adib tu mampu sediakan apa yang kau minta aku memang suka. Aku nak kau bahagia dengan dia. Jangan sampai dia berhutang sebab nak berkahwin dengan kau."
BAM! Sekali lagi Hamidah kedu. Wajahnya terus berubah. Dia terpukul dengan kata-kata Amanda. Merah padam dia menahan malu dengan sahabatnya sendiri. Kali ini Hamidah terasa dirinya bagaikan terhina. Selama ini dia mengaku cemburu dengan Amanda. Amanda cantik. Sering kali menjadi pujian orang kampung. Amanda baik, hormat orang tua, semuanya Amanda. Namun dengan kata-kata Amanda tadi, benar-benar membuatkan dia hilang kata.
"Aku nak kahwin dengan dia, Manda."
"Aku tahu, Midah. Kau nak hidup sama dengan dia. Tapi, kau kena ingat. Kau kongsi hidup dengan dia, kena terima dia dengan seadanya. Midah, walau pun kau kahwin kemudian pun kau tetap nombor satu dalam hati aku. Kau sahaja sahabat yang aku ada. Hidup ini bukan sebab harta atau pun kemenangan. Hidup ni untuk kita nikmati. Aku tak nak disebabkan ini kita tak bertegur sapa."
Amanda dan Hamidah terkejut saat mendengarkan suara memberi salam. Pantas mereka berpaling. Iskandar melorekkan senyuman buat Amanda. Senyumannya disambut. Namun tidak kepada Hamidah. Wajah Hamidah begitu sugul. Tidak sekali pun dia memandang kepada Iskandar yang kemas melangkah ke arah mereka.
"Midah pun ada sama?" Tanya Iskandar sebaik sahaja tiba kepada mereka.
Pertanyaan itu memaksa Hamidah tersenyum pendek. Dia tidak memandang kepada Iskandar, tetapi sebaliknya dia membuang pandang ke arah pengunjung di dalam restoran itu. Dia juga tidak sangka dapat bertemu dengan Iskandar di situ. Perlahan dia mengeluh pendek. Memang kuat betul jodoh mereka berdua ni.
"Dah alang-alang ni, jomlah Midah keluar sama." Pelawa Iskandar.
"Awak jangan nak buat lawak, Iskandar. Tahu yang awak saja nak ajak-ajak ayam."
"Tak, betul ni. Saya ajak awak. Bolehlah awak telefon Adib. Kita keluar sama."
Hamidah tidak menjawab membalas pelawaan Iskandar. Walau pun hatinya panas dengan pasangan itu, tetapi ada perasaan malu yang sedang mengganggu hatinya. Dia segan dengan Amanda yang sebenarnya. Dia memandang kepada Amanda perlahan. Entah mengapa. dia dapat merasakan yang dia tidak layak berada di situ. Tambahan lagi saat Iskandar tidak lepas memandang kepada Amanda dengan penuh kasih.
"Er... aku rasa aku nak balik dululah, Manda, Nanti saja kita keluar. Aku nak pergi jumpa dengan abang Adib."
Amanda hanya sekadar memerhatikan sahaja Hamidah bangkit dari tempat duduknya. Sekilas dia memandang kepada Iskandar. Risau juga kalau dia telah mengguriskan hati sahabatnya itu. Wajah Hamidah juga dilihat amat redup sekali. Marahkan Hamidah kepadanya? Memang dia tiada niat untuk membuatkan Hamidah terasa hati. Namun, apa yang diluahkan tadi adalah dari hatinya sendiri. Dia tidak mahu Hamidah terleka dengan niat untuk berlumba dengannya dalam melangkah alam perkahwinan sedangkan Adib tidak sepenuh hati. Risau juga kalau baru dua atau tiga bulan berkahwin, rumah tangga mula bergolak angkara hutang keliling pinggang. Perkara yang sama juga dia bertanyakan kepada Iskandar. Lelaki itu dengan tenang memberitahu yang dia sudah lama bersedia untuk melangkah alam baru.
Amanda terpinga-pinga saat Hamidah melangkah keluar dari restoran itu. Tanpa sebarang pelawaan, Iskandar mula melabuhkan punggung di hadapan Amanda. Kali ini wajah Amanda pula yang yang berubah. Dia tampak sedih dan masih lagi memikirkan tentang Hamidah.
"Manda fikirkan pasal Midah lagi?"
Soalan itu membuatkan Amanda tersentak. Dia tunduk dan tidak memandang kepada Iskandar. Terasa malu pula apabila Iskandar dapat membaca fikirannya.
"Tak payahlah Manda fikir semua tu. Abang tahu yang Midah boleh tahu apa yang terbaik buat diri dia. Kalau dia sayangkan Adib tu, dia takkan mendesak. Lagi pun Adib ada beritahu dengan abang yang dia nak berterus-terang dengan Midah."
Terus sahaja Amanda memandang kepada Iskandar.
"Maksud abang?"
"Memanglah si Adib tu sayang dengan Midah, tapi banyak lagi yang dia nak kumpulkan duit nak kahwin. Terpulanglah si Midah tu nak terima atau pun tidak. Kalau si Midah tu sayangkan Adib, mesti boleh tunggu."
"Tapi, kesian dengan Midah."
"Hai, Midah aje yang kesian? Adib tu?"
"Adib pun Manda kesian juga. Tapi, dia nak sangat kahwin dulu."
Iskandar tersenyum. Dia melirik kepada Amanda dengan penuh kasih.
"Manda nak kahwin dengan abang ke tidak sebenarnya ni?" duga Iskandar. Saat dia mengungkapkan pertanyaan itu, serta-merta dia melihat perubahan dari wajah Amanda. Senyuman Iskandar masih lagi terbit dari bibirnya. Berbunga hatinya saat melihat wajah Amanda yang kelihatan gelabah. Dia sahaja mahu mengusik gadis itu. Nampak sangat Amanda tidak keruan.
"Abang tak nak kahwin dengan Manda ke?" Amanda berbalas soalan.
"Tak aci. Abang yang tanya soalan tu dulu. Jadi Manda kena jawab."
Duduk Amanda mula tidak selesa. Sesekali dia melirik kepada Iskandar. Malu pula dia mahu menjawab soalan ikan iti tadi. Lidah Amanda bagaikan kelu untuk berkata-kata.
"Abang sanggup tunggu." ujar Iskandar apabila tidak mendengarkan jawapan Amanda.
"Kalau guna bahasa isyarat, aci tak?"
Meledak ketawa Iskandar. Comel! Bisik hati Iskandar. Kemudian dia menggeleng. Semakin menggelebah dia melihatkan Amanda yang serba tidak kena.
"Wajib ke nak jawab?"
Iskandar mengangguk.
"Kalau tak jawab?"
"Maksudnya, betullah apa yang abang tanya tadi."
Amanda bermain dengan jari-jemarinya. Perasaan gelisah terus membuatkan dia tidak tentu arah. Rasa seperti mahu menangis apabila dia tidak berani untuk berkata 'nak'. Bukan susah sangat pun.
"Manda... Manda... Er...  Nak kahwin dengan abang." tutur Amanda perlahan.
"Ha? Apa dia? Abang tak dengar. Kuat sikit suara tu."
"Ya, Manda nak kahwin dengan abang." Amanda terus tunduk. Tidak berani untuk dia memandang kepada Iskandar. Perasaan malu terus bertalu.
"Abang tahu. Saja abang nak usik Manda. Pasal dia orang tu, biarlah dia orang selesaikan. Kita fikirkan pasal kita. Macam mana nak hidup bahagia untuk masa depan. Apa yang penting dan... perkara pertama yang abang nak buat... Sebut nama Manda dalam akad abang nanti." senyum Iskandar. Lirikannya terus memukau pandangan mata Amanda. Aduh! Amanda tergamam.
MASA yang dinantikan akhirnya tiba juga. Amanda berseri dengan mengenakan baju kurung moden sifon berwarna putih gading. Di sebelahnya Hamidah yang manis berkurung moden baby blue. Senyuman Amanda yang terlukis menggambarkan perasaannya kini. Saat mendengarkan perkataan keramat 'sah' mengundang debaran yang kian berdendang. Ketika Iskandar datang merapat, betapa dia tenang dengan senyuman lelaki itu. Iskandar sudah sah menjadi suaminya.
Hamidah yang menjadi peneman tersenyum riang. Walau pun begitu, jauh di sudut hati, dia terkilan kerana tidak dapat berkahwin terlebih dahulu daripada Amanda. Adib masih belum bersedia untuk berkahwin kerana masalah kewangan. Dia kena bersabar. Nasib baik Adib tidak mahu memutuskan pertunangan. Kalau tidak, lagilah dia menggigit jari. Dia sayangkan Adib sepenuh jiwanya.
"Tahniah, Manda. Kau sekarang dah bergelar isteri. Aku tumpang gembira." luah Hamidah dengan nada sayu.
Amanda tersenyum memandang wajah Hamidah. Walaupun sahabatnya itu gembira dihari persandingannya, namun Amanda tahu yang Hamidah sedang menelan rasa terkilan.
"Midah, kau adalah sahabat aku. Sahabat aku dunia akhirat. Aku bangga dengan kau."
"Tapi aku tak dapat nak kahwin dulu daripada kau."
"Tak kira siapa yang kahwin dulu, dia tetap nombor satu dalan hati. Kau sahabat aku nombor satu dalam hati aku. Iskandar pulak... Lelaki dan juga suami aku yang nombor satu yang aku cinta. Aku harap macam tu kau. Aku adalah sahabat kau nombor satu dalan hati kau dan Adib adalah lelaki nombor satu yang kau cinta."
Hamidah merasakan nafasnya terhenti saat mendengarkan ungkapan Amanda itu. Pantas dia memeluk sahabatnya itu. Air matanya mengalir perlahan.
"Aku janji dengan kau, aku tak nak berlumba dengan kau lagi. Terima kasih, Manda. Kau dah banyak mengajar aku erti sebuah persahabatan. Aku beruntung mendapat sahabat seperti kau."
Amanda membalas pelukan Hamidah dengan erat. Dia dapat melihat Iskandar tersenyum memandang. Lelaki itu mengangguk perlahan. Amanda bersyukur. Dia yakin dengan perubahan Amanda. Perlahan Amanda membalas senyuman Iskandar dengan sebuah kemanisan yang bernama bahagia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page