Cerpen: Kebahagiaan Bersama

Teratak pena | 8:32 PM |


Kebahagiaan Bersama
            Maya memandang ke arah jam dinding di ruang tamu rumahnya.  Sudah hampir 2 pagi.  Hati Maya sudah tidak dapat dibendung lagi.  Rasa gelisah, takut dan bimbang silih berganti.  Saat itu matanya amat sukar untuk dilelapkan.  Bermacam yang bermain di fikirannya, dan kebanyakkan hanya yang buruk sahaja.  Langsir di ruang tamu acap kali diselak.  Di dalam hati dia hanya mampu memanjat doa untuk suaminya itu agar selamat sentiasa.
            Akhirnya Maya menghela nafas lega saat terpandangkan lampu kereta yang masuk ke perkarangan rumahnya.  Maya masih menanti di ruang tamu untuk menyambut Iskandar pulang.  Dia kemudiannya mengukir senyuman dan segera bersalam dengan Iskandar bila suaminya  itu melangkah masuk ke dalam rumah.
            Terkejut Iskandar melihatkan Maya yang masih belum tidur dan menantinya pulang.  Maya memandang kepada Iskandar yang seperti tidak terurus.  Terbit rasa kasih di dalam hati Maya.  Nampak penat sangat Iskandar di mata Maya.
            “Kenapa Maya tak tidur lagi?” Tanya Iskandar mendatar.  Wajah Maya ditatap.
            “Maya tunggu abang.”  Sambut Maya.
            “La… tak payahlah tunggu abang.  Dah pukul berapa ni?  esok nak kerja kan?”
            “Maya risau bila abang tak balik.  Abang dah makan?”  Tanya Maya.
            “Abang dah makan kat rumah mama tadi.” Maya terdiam.
            “Kenapa abang tak beritahu dengan Maya yang abang nak pergi rumah mama?”
            “Takkan abang nak ke rumah mama pun abang nak kena beritahu dengan Maya.  Ingat abang pergi mana?  Berjoli?”
            Maya tersentak apabila ada nada keras di situ.  Maya terdiam.  Dia terkejut bila Iskandar dengan tiba-tiba melenting.  Hilang semua rasa gelisah, timbul pula rasa sebak yang amat sangat.  Penantiannya bagaikan tidak dihargai.
            “Abang ada masalah ke?  kalau abang rasa nak kongsi dengan Maya, ceritalah.  Maya sudi dengar.”  Ujar Maya perlahan walaupun hatinya sudah tidak keruan lagi.  Dia bagaikan mahu menangis.
            “Abang tak ada apa-apa masalah.  Tak payah tanya boleh tak?”
            “Abang suami Maya.   Susah senang kita sama-sama, bang.”
            Iskandar merenung tepat ke wajah milik Maya.  Wajahnya masam dan muram.
            “Awak memang tak faham ke apa yang saya cakap ni?  saya kata tak ada apa-apa, tak ada apa-apalah.  Dah, saya nak masuk tidur.”  Iskandar meninggalkan Maya dalam keadaan terpinga-pinga.
            Hati Maya mula rasa debarnya.  Sebak dan sedih kini menyapa hatinya.  Dia tahu, pasti ada sesuatu yang membuatkan suaminya itu bersikap dingin dengannya.  Air mata Maya bagaikan mahu mengalir namun dia cuba untuk menahan.  ‘Ya Allah, kau ampunkan dosa suamiku.’ Hati Maya mula berbisik.  Kemudian dengan langkah yang perlahan Maya terus menuju ke bilik.  Walau apa pun  yang terjadi tadi, dia bersyukur yang suaminya sudah selamat pulang ke rumah.
            Maya masuk ke dalam bilik dan kelibat Iskandar mula dicari.  Mungkin mandi agaknya.  Tanpa fikir panjang, Maya merebahkan badannya sambil memandang ke sisi.  Maya cuba untuk melelapkan mata namun gagal.  Hai mata, tidurlah…. Esok nak kerja.
            Iskandar keluar dari bilik mandi dan kemudiannya terpandangkan Maya yang sudah berada dikatil.  Iskandar mengeluh perlahan.  Ah, apakah yang telah aku lakukan kepadanya?  Maya adalah isteri yang setia dan paling dicintai.  Dia berkahwin dengan Maya bukannya atas dasar cinta, tetapi dari aturan keluarga.  Pada mulanya dia menentang sekeras-kerasnya perkahwinan itu.  Namun bak kata orang tidak kenal maka tidak cinta.  Bila dia berkahwin dengan Maya, hatinya mula jatuh cinta.  Dia sayangkan Maya.  Hanya Maya sahaja dia dambakan kasih sayang.  Sekarang, ibu yang sebelum ini beria-ia supaya dia berkahwin dengan Maya cuba untuk mempermainkan perasaan insan yang dicintainya.
            “Dah tiga tahun, Is.  Takkan tak ada apa-apa?  Susah sangat kamu kahwin je satu lagi.  Bukannya kamu tak mampu.” Masih terngiang-ngiang di cuping telinga Iskandar.
            Iskandar melabuhkan punggung di sisi Maya.  Merasakan kehadiran suaminya itu, Maya kemudiannya membuka mata dengan perlahan.
            “Abang kenapa tak tidur lagi?”
            “Abang minta maaf sebab berkasar dengan Maya tadi.” Maya tersenyum bila Iskandar mengucap maaf kepadanya.  Betapa lega perasaannya saat itu.
            “Maya tahu abang ada masalah.  Tapi serius Maya sedih dengan apa yang abang buat tadi.” Ujar Maya jujur.  Iskandar mencuit lembut pipi Maya dan tersenyum.
            “Dah… abang tahu abang salah.  Abang minta maaf minta maaf okey.  Jom temankan abang makan.”
            “Bukan ke abang kata abang dah makan kat rumah mama?”
            “Makan sambil dengar mama membebel buatkan abang lapar pulak.” Renggek Iskandar.  Maya tergelak kecil.
            “Tapi Maya kena panaskan lauk dulu.  Tak apa ke?”
            “Tak apa.  Abang boleh tunggu.  Abang temankan sayang, dan sebagai tanda terima kasih esok abang akan hantar dan ambil sayang kerja.”
            “Tak payah susahlah bang.  Maya boleh pergi sendiri.”
            “Sh…..”  Iskandar meletakkan jari telunjuknya di bibir Maya.
            “Cakap suami jangan nak bantah.”  Maya tersenyum dan mengangguk.
            Iskandar kemudiannya menarik lembut tangan Maya untuk turun ke dapur.  Lebar senyuman Iskandar apabila melihatkan Maya yang sedang memanaskan lauk untuknya.  Betapa dia berterima kasih kepada isterinya itu.  Setelah selesai memanaskan lauk untuk Iskandar, Maya turut melabuhkan punggung dan menemani suaminya itu makan.
            “Abang minta maaf sebab dah menyusahkan Maya tadi.  sebenarnya abang tengah buntu.” 
            “Dahlah bang.  Salah Maya juga yang paksa abang tadi.” 
            Iskandar tersenyum dan lantas mencuit lembut hidung milik Maya. 
            “Tapi Maya berhak tahu.” Ujar Iskandar di penghujung suapannya.  Hati Maya terus dilanda debaran yang amat kencang sekali.  Dia tahu, pasti ada sesuatu yang melibatkan dirinya juga.  Terus sahaja wajah Maya berubah.
            “Apa maksud abang?”
            Sebenarnya Maya bagaikan tidak mahu tahu apa yang telah berlaku atau pun bakal terjadi.  Namun suaminya bagaikan sahabat.  Ada masa dia akan menjadi seorang pendengar.  Maya menantikan cerita dari Iskandar dengan penuh sabar.
            “Mama,”  Hanya perkataan itulah yang menjadi permulaan ayat bagi Iskandar.  Dia cuba untuk menyusun ayat agar hati Maya tidak terluka.  Kalau ditanya setiap isteri, walau sedikit pasti akan terluka dengan apa yang bakal dikatakan nanti.
            “Kenapa dengan mama, bang?  Dia tak sihat ke?”
            Iskandar menggeleng.
            “Habis tu?”  Iskandar mengeluh  perlahan.  Hatinya benar-benar berat untuk menyampaikan berita sedangkan hatinya masih lagi berbelah bagi. 
            “Abang, cakaplah.”
            “Entahlah, abang pun tak faham dengan mama tu.  Dulu dia juga yang beria-ia suruh abang kahwin dengan Maya.”  Iskandar memandang wajah milik isterinya.  Ternyata wajah milik Maya serta-merta berubah.
            “Abang tak suka dengan Maya ke? Kalau Maya ada buat salah dengan abang, bagi tahu dengan Maya.” 
            “Hish!  Isteri abang ni.  Abang tak habis cakap lagi.”
            Maya diam.  Dia kemudiannya memberi peluang kepada Iskandar untuk menerangkan segalanya.
            “Dulu dia nak sangat abang kahwin dengan Maya.  Masa tu abang tak kenal dengan Maya.  Bila abang dah kahwin dengan Maya baru abang kenal dengan Maya.  Maya seorang isteri yang sempurna buat abang.  Abang tak nak minta apa-apa lagi melainkan Maya di sisi abang.”
            Maya tertunduk malu.  Dia juga tidak menyangka perkahwinan di atas aturan keluarga  dan bercinta selepas nikah begitu indah.  Dia juga bahagia mendapat seorang suami yang sebaik Iskandar. 
            “Habis tu, apa masalahnya bang?”
            “Mama terus terang nak abang nikah yang lain.”  Tersentak Maya mendengarkan kata-kata Iskandar itu.  Kahwin lain? 
            Saat itu hati Maya bagaikan hancur dan luluh.  Air matanya pantas mengalir.  Sebak hatinya tidak boleh digambarkan.  Dadanya bagaikan dilontar dengan batu yang amat besar dan terus menghimpit perasaannya.
            “Maya bukan menantu yang baik ke bang?”  Ada getar pada suara Maya.  Betapa dia sedih dengan berita yang baru sahaja diterimanya.
            “Abang faham perasaan Maya.  Abang pun tak sanggup nak menduakan Maya.”
            “Kalau itu sudah keputusan mama, takkan abang nak biarkan?”
            “Abang tak sanggup, Maya.  Kalau boleh abang tak nak.” 
            “Mesti ada sebab kenapa mama ambil keputusan untuk abang kahwin lain.”
            Iskandar diam.
            “Cakap, bang.  Apa salah Maya?  Kalau Maya ada buat salah bagilah Maya peluang, bang. Maya akan betulkan.”
            “Maya tak ada salah apa-apa.  Maya seorang isteri dan menantu yang baik.  Cuma….”
            “Cuma apa bang?”
            “Sesuatu perkara yang bukan kuasa kita.” Maya diam.  Dia tahu apa yang tersirat di dalam kata-kata Iskandar itu.  Air mata Maya kian deras.
            “Maya tahu, bang.  Mesti mama nak timang cucu, kan?”
            Pertanyaan Maya itu tidak disambut oleh Iskandar.  Jadi memang benar dengan apa yang disangkakan.  Dulu semasa dia baru berkahwin dengan Iskandar, ibu mertuanya benar-benar menyayanginya.  Namun sejak akhir-akhir ini dia bagaikan terpinggir.  Pada mulanya dia cuba untuk menepis sebarang buruk sangka terhadap ibu mertuanya.  Kini, segalanya sudah terjawab.  Iskandar memandang sayu kepada Maya.  Betapa dia tersentuh dengan reaksi Maya itu.  Rasa kasihan mula menjalar hati lelakinya.
            “Maya…”
            “Maya tahu semua ni salah Maya, kan.  Sebab Maya tak mampu berikan cucu untuk mama.” Kata-kata Maya itu mula menjerut tangkai hati Iskandar. 
            “Mungkin Allah nak menguji kesabaran insannya, Maya.  Allah menjadikan sesuatu itu dengan bersebab.” Senyuman nipis dilemparkan oleh Maya.
            “Dan Allah juga memberikan jalan, bang.”  Sesak nafas Maya bila dia mengungkapkan kata-kata itu.
            “Dan Allah juga menyuruh umatnya berusaha.  Abang belum habis berusaha, Maya.  Abang belum nak angkat bendera putih lagi.  Abang yakin kalau Maya bersama-sama dengan abang, kita boleh laluinya bersama.”  Betapa Maya terharu dengan kata-kata Iskandar itu.
            “Abang jangan lupa yang syurga terletak di bawah kaki ibu.  Maya tak nak menjadi penghalang kepada hubungan abang dengan mama dan Maya tak nak abang jadi anak yang derhaka.” 
            “Habis Maya nak abang ikut cakap mama?  Maya rela kalau abang kahwin lain?”  Pantas kepala Maya menggeleng.  Ah, dia di dalam  delima kini.
            “Cukup jawapan yang Maya berikan pada abang.  Abang dah kata, selagi abang belum menyerah kalah abang akan sentiasa bersama-sama dengan Maya.”
            Maya memandang kepada anak mata Iskandar.  Ah, apakah benar apa yang dikatakan oleh suaminya itu?  Dia buntu. 
            Semalaman Maya tidur bertemankan air mata.  Betapa sedih dengan apa yang telah dilaluinya kini.  Namun dia perlu pasrah sekiranya dia menyintai lelaki itu.  Maya bangkit dari tidur dengan kesan bengkak di mata.  Dia kemudiannya mandi untuk menyegarkan badan dengan fikiran yang masih lagi melayang.  Dia tidak mahu apakah yang bakal terjadi nanti. 
            Maya memandang di segenap penjuru bilik bila melihatkan Iskandar sudah tiada di atas katil.  Pulak dah, ke mana pulak dia pergi ni? 
            “Maya!”  Maya berpusing.  Eh, itu suara suami aku!
            “Kenapa bang? Tikus nak beranak ke?” Sempat juga Maya berseloroh.
            “Kalau tikus beranak abang gerenti buat kenduri kesyukuran.”  Tawa Iskandar.  Kemudiannya dia memandang kepada raut wajah Maya yang tidak bermaya itu.
            “ Maya menangis?”  Pertanyaan Iskandar itu membuatkan lidah Maya menjadi kelu.
            “Mana ada.  Abang ni ada-ada je.” 
            “Jangan nak tipu abanglah sayang.  Abang tahu.”
            Maya diam.
            “Abang baru je telefon ayah nak minta izin beri cuti pada Maya.”
            “Hah?”
            “Cuti untuk Maya.  Abang dah applykan cuti sayang untuk seminggu.”
            “Seminggu?  Abang ni biar betul.  mana ayah nak setuju.”
            “Dah, dia dah approvedkan cuti Maya.”  Iskandar mengangkat kening.
            “Macam mana….”
            “Luahan lelaki ke lelaki.  Dah, jangan banyak cerita.  Kemas barang semua.  Ala… kita pergi cuti dekat-dekat je.  Dah lah…. Tak payah nak fikirkan apa-apa lagi pasal mama tu.  Yang penting, kita enjoy.”
            “Kita nak pergi mana bang?”
            “Ala… ikut jelah.  Yang pasti bukan bulan dan bintang. Sebab yang itu abang tak mampu nak taja.”  Maya ketawa.
            “Ha, kan manis kalau isteri abang ni ketawa.  Pergilah bersiap.  Flight kita lagi tiga jam.  Nanti lewat pulak.”  Tegur Iskandar.  Meleret senyuman Maya bila Iskandar sudah pun menarik tangannya.
            Bandar Langkawi menyaksikan cinta mereka berdua.  Maya betapa gembira berada di sisi Iskandar, insan yang selama ini tidak pernah terlintas di fikirannya menjadi suaminya.  Memang benar kata orang, bercinta selepas nikah punya kisah cinta yang indah.  Iskandar juga merasa bahagia kini kerana punyai seorang isteri yang sebaik dan selembut Maya.  Di tanah Langkawi juga Maya dan Iskandar melupakan apa yang telah terjadi kepada perhubungan mereka kini.  Mereka menikmati setiap detik dengan kata-kata bahagia dan cinta.
            “Terima kasih, bang sebab sudi bawa Maya bercuti.”  Ucap Maya lembut sambil sambil memeluk erat lengan Iskandar sewaktu mereka ingin mengambil bagasi.
            Iskandar tersenyum.
            “Tak jauh mana pun sayang.  Semua ni tak dirancang.  Kalau abang rancang betul-betul lagi jauh abang boleh bawa Maya.” 
            “Maya tak kisah ke mana sahaja yang abang nak bawa Maya asalkan Maya bersama-sama dengan abang.  Abang, jangan tinggalkan Maya.  Maya sayangkan abang.”  Iskandar memandang kepada Maya.  Wajah isterinya kelihatan muram.  
            “Tak percayakan abang ke?”
            “Maya percayakan abang, tapi Maya takut.”
            “Dah, kita cerita pasal lain pulak boleh tak?  Kenapa perlu ceritakan tentang tu bila kita jejak tanah KL ni?  abang tak suka tau.”  Maya senyap.  Bukan niatnya untuk membuatkan Iskandar marah.  Entah mengapa hatinya dilanda gelisah.
            Tiba-tiba telefon bimbit Iskandar berbunyi.
            “Mama,” Sepatah sahaja perkataan yang keluar dari bibir Iskandar.  Debaran Maya mula bertandang apabila melihatkan wajah Iskandar yang tiba-tiba berubah.
            “Mama sakit.  Jom kita jenguk mama.”  Pinta Iskandar.  Mendengarkan berita itu Maya akur dan segera mengekori Iskandar. 
            Iskandar mula rasa gelisah.  Seram sejuk badannya bila mendengarkan suara serak basah milik mamanya.  Maya menggsok lembut di belakang suaminya agar bersabar.  Iskandar merasa lega dengan tindakan Maya yang cuba menenangkan dirinya.
            “Banyakkan sabar ye bang.  Kita doakan mama tak ada-apa.”
            Iskandar tersenyum.
            “Terima kasih, sayang.”  Maya membalas senyuman Iskandar sambil merenung lembut kepada lelaki itu. 
            Iskandar dan Maya melangkah masuk ke dalam rumah banglo tiga tingkat itu.  Kedatangan mereka kemudiannya disambut oleh Mak Lijah, pembantu rumah itu.
            “Eh, encik Iskdandar dengan puan Maya datang. Jemputlah masuk.”  Ramah sahaja Mak Lijah menyambut pasangan itu.
            “Mama mana Mak Lijah?”
            “Dia ada kat atas tu.  Tengah rehat.”
            Iskandar dan Maya terus sahaja menaiki tangga menuju ke  bilik puan Julia.  Hati Maya mula berdegup kencang.  Dengan perlahan, mereka melangkah masuk ke dalam bilik yang serba mewah itu.  Iskandar dan Maya terus mendapatkan puan Julia dan bersalam dengan wanita itu.  Namun Maya agak terasa apabila puan Julia segera menarik tangan apabila mereka bersalam.
            “Mama sihat?”
            “Kau tak nampak ke aku dah terbaring atas katil ni?” Maya terkedu.  Aduh!  Mungkin salah soalan yang telah ditanya. 
            “Mama….” Iskandar turut terasa apabila melihatkan isterinya diperlaku seperti orang luar. 
            “Mama sakit, Is.”  Renggek puan Julia.  Maya masih lagi setia di sisi puan Julia.
            “Kita pergi klinik nak mama?” Kali ini Maya memujuk.  Sebolehnya dia menolak ketepi dengan apa yang telah diperlakukan oleh ibu mertuanya tadi. 
            Puan Julia menggelengkan kepala.
            “Jomlah mama.  Is bawakan.”  Pujuk Iskandar pula.
            “Mama tak nak.  Biar mama kat sini.  Biar je mama mati.”  Iskandar dan Maya tersentak. 
            “Mama janganlah cakap macam tu.  Kami sayangkan mama.” 
            “Tak, korang tak sayangkan mama.  Kalau korang sayangkan mama tak ada lah Is ingkar cakap mama.  Tak ada lah Maya tak nak lepaskan Is.”  Sekali lagi Maya tersentak.  Dia tidak sangka ibu mertuanya sanggup berkata begitu.
            “Mama, bukan ke mama sayangkan Maya?”
            “Tapi Maya tak sayangkan mama, kan?” 
            “Mama, Maya sayangkan mama.” 
            “Kalau Maya sayangkan mama, mama mohon sangat dengan Maya izinkan Is kahwin lain.”  Maya memandang kepada Iskandar.  Iskandar menggelengkan kepala. Mungkin dia tidak sangka dengan apa yang dikatakan oleh mamanya.
            “Mama, sebagai seorang wanita mama kena fikir apa yang sedang mama katakan.  Mama tak kesiankan Maya ke?”
            “Dan Is tak kesiankan mama ke?  dah bertahun mama tunggu nak timang cucu.”
            “Mama, kami baru je kahwin tiga tahun.  Bagilah kami masa.  Bukan kami yang tak nak, mama.  Cuma rezeki kami  je yang belum sampai lagi.”
            “Nak tunggu sampai bila lagi?  Tiga puluh tahun lagi?  Atau nak tunggu mama tak bernyawa?  Semua kawan-kawan mama dah timang cucu, Is.”  Air mata puan Julia mula mengalir.  Melihatkan air mata puan Julia, hati Maya pula yang bagaikan terseksa.
            Iskandar mengeluh perlahan.  Dia mati dengan kata-kata.  Hati Iskandar mula dilanda delima.  Ditelan mati emak, dia luah mati bapak.  Suasana sunyi seketika.  Maya dapat merasakan betapa ibu mertuanya ingin sangat menimang cahaya mata.  Puan Julia kemudiannya memandang kepada Maya. 
            “Tak apalah, tinggalkan mama sorang.  Ada anak dengan menantu pun tak boleh nak harap.”  Maya sudah pun mengalirkan air mata. 
            “Mama, janganlah buat kami macam ni. Kami sayangkan mama.”  Tutur Maya sayu.
            “Tinggalkan mama.”  Tegas puan Julia.
            Hati Maya dijerut rasa bersalah yang amat sangat.  Wajah ibu mertua dan suami dipandang silih berganti.  Kedua-duanya adalah insan yang paling disayangi.  Namun di dalam hati sering kali bertanya adakah dia sudah bersedia           untuk berkongsi kasih.  Dia tidak mahu kehilangan suami dan ibu mertuanya juga sudah dianggap sebagai ibunya sendiri memandangkan dia sudah lama kehilagan ibu yang tersayang.  Walai bagaimana pun demi orang yang tersayang dia perlu berkorban.
            “Mama… abang…”  Getaran suara Maya membuatkan Iskandar memadang sayu kepada Maya.
            “Jangan sayang.”  Iskandar bagai sudah tahu apa yang bakal dikatakan. 
            “Demi insan yang Maya sayang, Maya sanggup berkorban.”  Akhirnya Maya melepaskan satu keputusan yang dirasakan amat berat sekali.
            “Maya!”  Suara Iskandar meninggi.
            Mendengarkan keputusan dari Maya itu membuatkan senyuman puan Julia melebar.  Betapa gembira pun Julia mendengar kata-kata Maya itu.
            “Sampai hati mama, kan.  Sanggup melukakan hati yang selama ini insan yang mama sayang.  Bukan ke mama sayangkan Maya?”
            “Dah, bulan depan kamu menikah.”
            Bagaikan sesak nafas Maya bila mendengarkan cadangan puan Julia itu.  Ah, mengapakah begitu cepat?
            “Mama,”
            “Ini keputusan mama.  Mama sudah pun carikan calon untuk Is.”  Hati Iskandar bagaikan perit.  Menerima keputusan dari Maya dan mamanya membuatkan dia merasakan sebagai mangsa yang akhirnya menghimpit perasaannya sendiri.
            “Mama,”  Iskandar mengeluh.
            “Mulai esok mama akan buat persiapan untuk Is.  Esok juga Is boleh tempah baju pengantin.”  Bagaikan berderai hati Maya mendengarkannya.  Dia sudah tidak sanggup lagi mendengarkan perbualan itu.  Sudah tentu kehadirannya di situ pasti tidak akan dihiraukan.  Akhirnya dia bangkit dan berlalu meninggalkan kedua-dua beranak itu.
            “Puas hati mama?”  Iskandar mula mengorak langkah.
            “Dia sendiri yang setuju, Is.”
            “Dan mama sedikit pun tidak ucap terima kasih dengan dia.” Iskandar terus berlalu meninggalkan puan Julia untuk mendapatkan Maya. 
            “Kenapa Maya buat abang macam ni?”
            “Maafkan Maya, bang.  Maya tak nak abang jadi anak yang derhaka.  Maya tak sanggup mama menderita macam tu. Maya tak sanggup, bang.”  Terus sahaja Iskandar merangkul tubuh isterinya dan memeluknya erat.
            “Macam mana dengan kehendak abang yang tak nak menduakan Maya?”  Maya meleraikan pelukan.  Hati Maya sebak dan sedih.  Dia tidak dapat berkata apa dan terus tunduk.  Perlahan Iskandar memaut dagu Maya dan menyeka air mata yang mengalir di pipi milik isterinya.  Iskandar sudah tidak sanggup melihatkan isterinya sedih begitu.  Melihatkan Maya sedih, hatinya juga bagaikan dilanda pilu.
            “Maafkan Maya, bang.” 
            “Shh… abang tahu nak buat macam mana.”
            “Abang jangan nak buat pekara yang bukan-bukan pulak.”
            “Abang nak bawa lari sayang boleh?”
            “Ingatkan mama, bang.  Isteri boleh dicari ganti.  Tapi mama?  Dia cuma seorang je. Maya tahu yang mama buat semua ini adalah untuk berikan yang terbaik untuk abang.  Dia nak sangat tengok zuriat abang sendiri.  Sedangkan Maya tak boleh beri semua tu.” 
            “Bukan ke kita dah buat ujian dan doktor sendiri kata yang kita ni okey.  Cuma belum ada rezeki untuk kita je.” 
            “Kita mungkin faham, bang. Tapi mama?  Hidup kita tak panjang, bang.  Apa lagi mama.” 
            “Okey, kita jangan bincang hal ni kat sini.  Kita balik, sayang.  Abang tengah berserabut sekarang ni.”  Iskandar menarik tangan Maya lembut. 
            “Kita jumpa mama dulu, bang.” 
            “Okey, lepas kita jumpa mama kita balik.” Maya akur.  Dia mengekori Iskandar sehingga ke bilik puan Julia.
            Semenjak dari peristiwa itu, Maya kerap bersedih.  Kalau berjumpa dengan ibu mertuanya perancangan  perkahwin yang menjadi tajuk perbualan.  Betapa gembira puan Julia membuat persediaan menyambut menantu.  Namun tidak kepada Iskandar. Sebenarnya dia berat hati untuk berkahwin lain.
            “Mama, kalau Is kahwin dan ditakdirkan tiada rezeki juga mama nak buat apa?  Nak cari calon ketiga pula ke?”  Pertanyaan Iskandar itu membuatkan puan Julia tersentak.
            “Mama yakin, Is.”
            “Macam mana mama boleh tahu yang Is akan menjadi ayah kalau Is kahwin lain?”
            Puan Julia senyap.
            “Mama ingat anak ni macam buat kek?  Bancuh semua, masuk dalam oven kemudian keluar siap!  Mama, kalau Allah dah kata belum ada rezeki lagi kita tak boleh nak buat apa-apa.”
            “Sebab itu kita kena berusaha, Is.”
            “Mama ingat kami tak berusaha?  Kami pun nak anak juga.  Mama, please… fikirkan balik keputusan mama.”  Pujuk Iskandar.
            “Keputusan mama muktamad.”  Iskandar kalah dengan suara puan Julia yang agak tinggi itu.  Pandangan Iskandar kemudiannya dilepaskan kepada Maya yang dari tadi hanya menyendiri.  Betapa dia kasihankan isterinya itu. 
            “Baiklah mama.  Kalau macam tu, Is ada permintaan.”  Pandangan Iskandar dibalas oleh Maya.  Maya sebolehnya tidak mahu mencampuri urusan kedua beranak itu.  Lagi pun kini dia bagaikan tidak wujud di situ.
            “Is nak berjumpa dengan perempuan tu sekali.” 
            Bersinar mata puan Julia bila mendengarkan kata-kata Iskandar itu. 
            “Nama dia Dania.  Ini nombor telefon dia.  Telefonlah dia.  Boleh kenal-kenal.”  Ah, tidak boleh digambarkan perasaan Maya ketika itu.  Dengan senyuman yang terukir di bibir mertua sambil menyebut nama bakal madunya bagaikan hatinya di hiris pilu.
            “Maya ikut abang ye.”  Maya menggelengkan kepala.  Dia tidak mahu menambahkan lagi derita yang sedia ada di hati dengan berjumpa dengan bakal insan yang akan berkongsi kasih sayang suaminya.
            “Maya betul tak nak jumpa?”
            “Tak apalah, bang.  Abang pergi soranglah.  Maya izinkan.”  Bergetar juga suara Maya bila mengungkapkan perkataan ‘izin’. 
            Iskandar mengeluh perlahan. Dia menjadi serba salah.  Semenjak dia bersetuju untuk berkahwin, hubungannya dengan Maya agak dingin.  Walau bagaimana pun Maya tetap menjalankan tugas sebagai seorang isteri.  Namun keceriaan di wajah Maya dirasakan kian pudar.
            “Maya ikutlah….”  Pujuk Iskandar kepada Maya. 
            “Tak perlulah bang.  Biar Maya kat rumah je.”
            “Kalau macam tu abang hantar Maya balik dulu.”  Maya mengangguk perlahan.  Dia bangkit dan bersalam dengan ibu mertuanya.
            “Kalau Is jumpa dengan dia, kirim salam sayang mama kat dia.”  Pesan puan Julia.  Iskandar mengangguk perlahan.
            Setelah menghantar Maya pulang, Iskandar terus menghubungi Dania. Dia perlu bertemu dengan wanita itu.  Dia bernasib baik bila Dania sudi untuk bertemu dengannya. 
            Iskandar melabuhkan punggung di hadapan Dania.  Persepsinya terhadap Dania dia dapat merasakan Dania seorang yang cantik dan bergaya.  Bagaikan seorang seorang yang agak sosial.
            “Terima kasih sebab sudi berjumpa dengan saya.”  Ujar Iskandar.
            “Have to.  Kita kan dah nak kahwin.”
            “Kenapa awak nak kahwin dengan saya?”  Soalan pertama muka ditanya oleh Iskandar.
            “Dan kenapa pulak awak sanggup nak kahwin dengan saya?”
            “Saya nak jawapan dari awak dulu.” Dania menyambut dengan senyuman yang penuh dengan kemegahan.
            “Saya ni perempuan.  Saya cuma tunggu pinangan orang. Saya akan setuju siapa sahaja pinangan yang mama saya terima.” 
            “Tanpa awak tahu yang pinang awak  adalah suami orang?”
            “So?  Apa masalahnya?  Bukan saya yang masuk meminang, tapi awak.  Sebelum awak tanya saya tanya diri awak tu dulu.”  Iskandar  terdiam.  Dia terpukul dengan kata-kata Dania itu. 
            “See… belum kahwin kita mula tak bersependapat.  Tak pernah terfikir kalau kita kahwin?”
            “Encik Iskandar, isi cerita di sini mama awak suruh kita kahwin sebab anak.  Sebab anak!  Dia tak kisah kita gaduh ke tidak.  But one thing, saya tak rela jadi isteri nombor dua.” 
            Iskandar tersentak.  Hampir bergenang air mata lelaki Iskandar bila mendengarkan kata-kata itu.  Serta-merta wajah Maya menghiasi di ruang matanya.
            “Awak cantik, Dania.  Tapi sayang hati awak bukan hati seorang perempuan. Saya di sini pun sebab dia.”
            “Terpulanglah awak nak cakap saya apa.  Saya dah tak kisah.  Yang pasti saya tak nak jadi isteri nombor dua.  Terpulanglah awak nak buat apa, tapi saya nak awak ceraikan dia.”
            “Walau apa pun terjadi saya takkan ceraikan dia.”
            “Aku tak kira walau pun apa pun, yang penting kau ceraikan dia.”  Kali ini berubah bahasa Dania kepada Iskandar.
            “Kau jangan lupa, kuasa talak adalah pada aku.  Kau ingat aku nak sangat ke kahwin dengan kau?” 
            “Kalau dia baik, tak ada lah mama kau suruh kahwin lain.” Iskandar senyum dengan penuh makna.
            “Bak kata kau, isinya adalah anak.  Kau jangan lupa.  Kalau perkara yang sama terjadi dengan kau akan datang, sudah tentu mama aku akan carikan calon isteri yang lain pulak. Masa tu kau akan merasa bagaimana perasaan isteri aku sekarang ni.”
            Dania terdiam. 
            “Aku tak kira.  Kau kena ceraikan isteri kau.”
            “Tidak!  Aku tak akan.”
            “Sekarang, awak pilih.  Aku atau dia?”
            “Aku tetap akan pilih dia.  Jadi?  Kau nak buat apa?”
            “Biar aku sahaja yang fikir macam mana nak selesaikan masalah ni.  Kau jangan menyesal!”  Dania meninggalkan Iskandar dengan keadaan terpinga-pinga.  Sakit hatinya bila dia mendengarkan apa yang melucur dari bibir Dania. 
            Balik dari pertemuan dengan Dania, Iskandar pulang dengan wajah yang muram.   Kata-kata Dania supaya menceraikan Maya masih lagi terngiang-ngiang di telinga. 
            “Abang,” Iskandar memandang kepada  Maya.  
            “Abang okey tak ni?”  Iskandar tersenyum kelat.  Kalaulah Maya ada masa pertemuannya dengan Dania, sudah pasti isterinya itu terasa hati. 
            “Abang okey.”  Bohong Iskandar.  Sedangkan di dalam hatinya penuh dengan persoalan dan debaran.
            “Macam mana dengan bakal isteri abang?”
            Iskandar mengeluh.  Sebolehnya dia tidak mahu menceritakan tentang Dania.  Alih-alih Maya pula yang membuka cerita.
            “Mesti dia cantik kan bang.” 
            “Cantik pun tak guna juga sayang.  Buat apa kalau muka cantik kalau hati tak cantik.  Kalau nak diikutkan, Maya lagi baik dari dia.  Abang pun tak faham kenapa mama boleh berkenan dengan dia.  Abang takut mama tu main tangkap muat je.” 
            “Abang, perempuan mana yang suka bermadu.  Dia akan menjadi isteri kedua, bang.  Mungkin dia rasa tak selesa.  Abang berilah dia peluang.”
            “Abang tak naklah sayang.”  Maya hanya memandang kepada Iskandar.
            “Ingatkan mama, bang.”
            Ya, kali ini hati Iskandar mula bergolak.  Dia tidak tahu apakah yang bersarang di dalam hatinya kini.
            “Abang tak nak kehilangan Maya.” 
            “Abang, walau apa pun terjadi Maya tetap bersama dengan abang.  Tak kiralah waktu senang atau pun susah.  Maya sayang dan cintakan abang sampai bila-bila.” Iskandar menghinggapkan satu kucupan di pipi Maya.  Betapa dia merasa bahagia di saat itu.
            “Sayang tak nak makan?”
            “Abang makanlah dulu.  Maya nak kemas dapur dulu.” 
            “Dapur tu nanti abang buat.  Sekarang ni Maya temankan abang makan.”  Maya akur dan segera mencapai pinggan kosong dan menikmati hidangan bersama-sama dengan Iskandar.  Betapa luruh hatinya kerana tidak lama lagi dia akan menikmati hidangan seorang diri.
            Sebulan Berlalu….
            Maya menekan remote control televisyen sambil matanya memandang ke arah jam dinding di ruang tamu.  Maya sedaya upaya untuk tidak mengalirkan air mata namun akhirnya tumpah juga.  Air mataya laju menghiasi wajahnya.  Maya yakin, pada saat ini wajah ibu mertuanya pasti berseri-seri.  Pada ketika itu juga sudah pasti Iskandar berada di hadapan kadi untuk melafazkan akad. 
            Tak sanggup rasanya Maya untuk menghadiri perkahwinan Iskandar.  Akhirnya dia mengambil keputusan untuk duduk sahaja di rumah.  Dada Maya bagaikan sesak bila fikirannya tidak dapat ditepis dengan perasaan sedih yang amat sangat. 
            Maya tersentak apabila pintu rumahnya diketuk orang.  Dia segera menyeka air mata dan melangkah perlahan di tingkap ruang tamu.  Langsir diselak kecil.  Yelah, takut juga kalau dah tinggal seorang ni.
            Dania?  Maya membuka pintu rumah dan terkejut dengan kedatangan Dania ke rumahnya. 
            “Dania?”
            “Kenapa akak tak datang ke majlis saya?”
            “Maaflah, akak tak berapa sihat.”  Maya memandang kepada Dania yang masih lagi cantik dengan baju kurung moden putih gading itu.  Tapi, apa dia buat kat sini?
            “Tak nak ajak saya masuk?”
            “Eh, masuklah.” Ajak Maya dengan senyuman.
            Dania melabuhkan punggung di sofa milik Maya.  Maya  melabuhkan punggung di hadapan Dania dan pandangan mereka bertaut.  Ternyata Maya mula rasa tidak senang. 
            “Kenapa akak relakan abang Iskandar kahwin lain?”
            “Akak sayangkan abang Is.  Akak sayangkan mama.  Akak tiada ibu untuk menumpang kasih, Dania.  Hanya mama lah yang akak ada.” 
            “Demi kasih sayang tu akak sanggup berkorban?  Tapi apa yang akak dapat?”
            “Akak akan buat apa sahaja asalkan abang Is dan mama ada di sisi akak.  Walau pun akak tahu yang akak tak boleh berikan apa yang mama nak, tapi akak nak sangat di sisi mama.  Cukuplah kalau itu yang boleh membahagiakan dia, akak rela.” 
            “Walaupun akak yang terseksa?”
            Air mata Maya mengalir perlahan.  Ya, demi membahagiakan insan yang tersayang dia saggup buat apa sahaja walau pun dia sendiri yang menjadi korban.
            “Biarlah akak yang terseksa asalkan abang Is dan mama dapat apa yang mereka hajati.  Walau bagaimana pun akak yakin yang Dania boleh membahagiakan abang Is dan mama.  Tahniah akak ucapkan.”
            “Tahniah untuk apa kak?”
            “Pernikahan Dania dengan abang Is.  Abang Is mana?”
            “Abang Is?”
            “Assalamualaikum!”  Maya berpaling.  Wajah Iskandar dan ibu mertuanya silih berganti. 
            “Abang.”  Maya mendapatkan Iskandar dan terus bersalam dengan Iskandar.  Kemudiannya dia mendapatkan ibu mertuanya dan lantas memeluk erat wanita itu.
            “Tahniah, bang.”  Iskandar senyum. Namun tiada riak gembira di wajah puan Julia. 
            “Mama, kenapa ni?” 
            Iskandar bertindak melingkari tangannya di pinggang Maya.  Maya sedikit tidak selesa apabila Dania masih ada di situ.  Nanti apa pula kata Dania. 
            “Auntie dengar kan?”  Puan Julia mengangguk.  Dia meyalahkan dirinya sendiri kerana terlalu mementingkan diri.  Dia tidak menyangka betapa menatunya itu begitu menyayanginya.
            “Maafkan mama, Maya.”
            “Mama, apa yang mama cakapkan ni?”
            “Mama tak pandang kasih sayang Maya.”
            “Mama, sudahlah tu.”
            “Mama janji yang mama tak akan ungkit lagi soal anak dengan Maya.  Apa yang penting mama nak Maya bahagia dengan Is.”  Maya mengerutkan dahinya.  Berubah sungguh ibu mertuanya itu.  Dia memandang kepada Iskandar dan Dania. 
            “Apa maksud semua ni bang?” 
            “Kami tak jadi kahwin.”
            “Hah?”
            “Ye, kak.  Dania sendiri tak sanggup melihat kebahagiaan akak dengan abang Is hancur disebabkan Dania.  Akak beruntung dapat abang Is. Dia seorang yang setia dan seboleh-bolehnya tidak mahu lepaskan akak.  Dia begitu sayangkan akak.”
            Dania tersenyum.  Pertemuannya dengan Iskandar telah mengubah keputusannya.  Dia tidak mahu meruntuhkan kebahagiaan orang lain.  Ianya tidak adil juga kepada Maya yang begitu setia dengan Iskandar. 
            “Saya kagum dengan akak yang sanggup berkorban.  Abang Is bukan hak Dania,  dia hak akak.  Dia lebih sayangkan akak.  Dia tidak sesuai dengan Dania sebab dia begitu sempurna buat akak.”
            “Ye sayang.  Minah ni lah, boleh pulak dia jerit tidak masa nikah tadi.”  Ujar Iskandar.
            “Saya tak sanggup, kak.”  Maya tidak berkata apa, sebaliknya dia memeluk Dania tanda terima kasih.
            “Terima kasih, Dania.”
            “Tak kak.  Dania yang sepatutnya berterima kasih dengan akak.  Akak dengan abang Is telah mengajar Dania erti kasih sayang, kesetiaan dan penghargaan.  Dania yakin yang masih ada jodoh Dania di luar sana.” 
            “Terima kasih, Dania.” Ucap Iskandar.
            “Abang Is jaga kak Maya elok-elok tau.  Lepas ni kita orang akan jadi kawan baik dan kalau abang buat perkara tak elok dengan kak Maya, nahas Dania kerjakan.”
            Iskandar dan Maya ketawa.  Maya kemudiannya mendapatkan puan Julia dan kemudiannya dia tersenyum manis. 
            “Maafkan Maya, mama kalau Maya tak dapat tunaikan impian mama.”
            “Mama yang patut minta maaf.  Mama terlalu ikutkan hati.  Mama janji sayangkan Maya seluruh hidup mama.  Terima kasih, Maya sebab menjadi menantu dan isteri yang baik.”  Maya senyum dan memeluk sekali wanita itu.  Kini Maya yakin, kasih sayang antara mereka kian erat.
            Semenjak dari itu, kasih sayang Iskandar kian mekar bercambah.  Senyuman dan gurauan sering kali menghiasi kehidupan mereka.  Maya begitu gembira mendapat kasih sayang seorang suami yang seperti mana yang selalu diimpikan. 
Maya masih sibuk di dapur saat Iskandar melangkah masuk dan memeluknya dari belakang. 
            “Selamat pagi bidadari cinta.”  Bisik Iskandar di telinga Maya dengan nada romantis.  Maya memusingkan badannya.
            “Selama….”  Belum sempat Maya menghabiskan kata, dia sudah termuntah di atas baju tidur milik Iskandar.
            “La… kenapa ni?”  Tangan Iskandar pantas mencapai tisu yang berhampiran dengannya.  Bibir  Maya dilap kemas.  Wajah isteri tersayang di renung. 
            “Sayang okey tak ni? kenapa pucat je muka tu?”
            “Entahlah bang.  Rasa macam tak sedap badan je.”  Iskandar menutup api dapur.
            “Kita pergi klinik nak tak?”
            “Maya nak rehat je.  Mungkin lepas rehat Maya okey kot?”
            “Okey kot?  Eh, jom lah kita pergi klinik.  Abang risaulah.  Kalau pergi klinik sekurang-kurangnya doktor tahu apa sakit tu.” 
            “Maya tak laratlah bang.”  Iskandar meletakkan tangan pada dahi Maya.  Eh, tak panas pun badan. 
            “Dah, jom kita pergi klinik.  Jangan banyak sangat alasan.  Kita sarapan je kat luar.” Ajak Iskandar.
            Hati Iskandar tidak tenteram saat membawa Maya ke klinik.  Tidak dapat dibayangkan sekiranya terjadi apa-pa kepada isterinya. 
            “Tahniah, encik Iskandar.  Encik Iskandar bakal menjadi ayah tidak lama lagi.”  Terbuntang mata Iskandar dan Maya mendengarkan keputusan doktor itu.
            “Doktor tak salah?” Doktor Hayati menggelengkan kepala.
            “Tapi…”
            “Tapi apa doktor?  Isteri saya tak okey ke?”
            “Dia okey, jangan risau.  Biasalah morning sickness memang terjadi boleh dikatakan kebanyakkan wanita mengandung.  Tapi…. Mungkin encik Iskandar bakal menimang cahaya kembar.”
            “Kembar?  Tapi saya tak ada beradik kembar.”
            “Mungkin dari sebelah isteri encik.”
            “Atok!” Ujar Maya perlahan.  Ya, dia ada ada keturunan kembar.
            “Al-hamdulillah…” Iskandar mengenggam tangan Maya dan kemudiannya mengucup lembut.
            “Lepas ni sayang dah tak boleh buat kerja berat-berat lagi.  Biar abang yang buatkan semuanya.  Ini, kalau mama tahu yang dia bakal mendapat anak kembar lompat sakan dia.” 

            Maya tersenyum malu.  Akhirnya, segala doa dan kesabarannya terbalas.  Setiap yang berlaku ada rahmat dan ganjarannya.  Ganjaran yang berganda membuatkan dia begitu gembira.  Punyai seorang suami yang setia dan punyai ibu mertua yang begitu menyayanginya serta insan yang bakal menjadi pelengkap hidup rumah tangga, tiada lain yang ingin dipinta.  Cukuplah dengan kebahagiaan yang telah diberikan oleh yang Maha Esa.  

3 comments:

  1. hi, saya datang singgah follow sini :)

    ReplyDelete
  2. sebagai lelaki.. saya membaca jugak coretan awak.. kemas dan terbaik

    ReplyDelete
  3. Cerpen ini bagus kepada married couple yang dah lama kahwin tapi tidak dikurniakan cahaya mata...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page