#Cerpen ini adalah berkisar kisah benar.. :)
KALAU DAH JODOH
Aku memandang kepada mee goreng yang
masih lagi belum terusik. Nani yang
berada di hadapan sudah pun separuh pinggan mee dihabiskan. Hesy, tak ada seleralah pulak. Sejak akhir-akhir ini, aku selalu
bermimpi. Mimpinya pula bersambung-sambung. Hati ni melonjak untuk tahu di sebalik mimpi
itu. Mimpi yang pertama, dia melihat
masjid yang baru didirikan dengan dijaga oleh dua orang lelaki yang berbadan
sasa. Masa itu aku hanya memerhatikan
dari jauh. Ketika mimpi pertama itu, aku
dah mula rasa pelik. Kemudiaannya aku bermimpi lagi. Kali ini sudah nampak bentuknya. Sebelum ini aku pernah bermimpi, tapi tak
adalah sampai macam ni aku rasakan.
“Kau kenapa tak makan? Bukan ke kau suka mee goreng abang Senin
ni?”
Aku tak bersuara. Sebaliknya aku menguis sahaja mee goreng di
hadapan. Aku kemudiannya mengeluh. Rasa
malas pula aku nak bercerita dengan Nani
Mesti dia kata ‘Ala…. Mainan mimpi aje tu.’
“Cepatlah makan, Shimah. Dah nak masuk kerja ni.” Bebel Nani dengan mulutnya masih lagi
menguyah.
“Yelah…. Abang Senin, bungkus mee
goreng ni.” Oleh sebab aku tak ada
selera nak makan, aku minta mee goreng itu dibungkus.
Abang Senin yang sedang menggoreng
menjengahkan mukanya. Memandangkan mee
goreng aku yang tidak terusik, dia mula bersuara.
“Eh, kau tak sihat ke? makan pun tak.”
Aku cuma senyum.
“Kenyanglah bang.” Bohong aku.
Sebenarnya, fikiran aku ni dah tak boleh nak masuk lagi. Mimpi tu asyik nak berjoget chacha dalam
kepala ni. Boleh berserabut dibuatnya.
Abang Senin tidak bersoal jawab lagi
dan terus membungkuskan mee goreng buat aku. Selesai membayar harga makan, aku
dan Nani pulang ke pejabat dan mulakan tugas.
Sebaik sahaja aku duduk di meja, Kak Hasnah mula datang merapat.
“Kenapa kak? Nak saya saya tolong akak ke?” Tanya aku apabila melihatkan wajah Kak Hasnah
yang tersenyum makna.
“Kau ni Shimah, macam tahu-tahu
aje. Ala, yang itu kemudian-kemudian pun
boleh. Ini…”
Aku memandang kepada Kak Hasnah dan
aku terus memotong kata-katanya.
“Akak, kalau pasal nak carikan jodoh
untuk saya, taknaklah.” Aku menggeleng
pantas.
Kak Hasnah bercekak pinggang. Dia pandang aku dengan rasa tidak puas
hati. Aku pulak, masa itulah aku tunjukkan gigi aku. Senggeh ajelah aku memandang kepada dia. Aku tahu niat dia baik. Tapi aku segan bercampur dengan takut
sebenarnya. Sebelum ini, bukan main lagi
dia regukan aku dengan budak posmen.
Sampai aku malu nak jumpa dengan budak tu. Selamba saja dia dengan Kak Chen test market
dengan budak posmen. Alih-alih budak tu
dah bertunang. Malu wei! Mesti dia ingat aku ni gatal. Tapi semua tu idea Kak Hasnah dengan Kak
Chen.
“Budak tu baik, Shimah. Berkenalanlah dulu. Mana tahu boleh pergi jauh.” Ujar Kak Hasnah
beria-ia.
“Jauh sampai mana tu kak? Sampai Antartika?”
“Kamu ni, main-main pulak. Akak dah selidik. Dia tak kahwin lagi. Kawan Kak Nor kau. Tapi, itulah.
Dia kerja kapal. Sekarang ni dia
tengah cuti. Kalau Shimah nak jumpa,
akak boleh cakapkan dengan Kak Nor kau.”
Aku tidak bersuara. Sebaliknya aku mengoyakkan kertas telegram
yang panjang berjela itu. Lama juga aku biarkan Kak Hasnah berdiri. Alahai, kesianlah pulak. Kali ini aku menggarukan kepala yang tidak
gatal. Aduh! Susah betul nak bagi kata putus.
“Akak, saya tak naklah. Akak lupa ke apa yang dah jadi hari tu. Malulah saya kak.”
“Akak gerenti, dia ni belum
bertunang. Nama dia Arshad Bin
Hambali. Dia memang sesuai dengan
kamu. Badan dia pun cuby macam kamu juga. Memang
ngamlah.”
Aku ketawa apabila dia
memperkenalkan lelaki itu. Nampaknya
beria-ia benar Kak Hasnah nak cari jodoh untuk aku.
“Sejak bila akak jadi ajen cari jodoh ni?” Aku mendongak dan bertanya.
“Aku bukan apa, akak kesian dengan
kau. Orang semua ada mata air. Kamu aje yang tak ada. Kau tengok Nani, satu pejabat lagi. Takkan kau tak nak ada pakwe, Shimah?”
“Akak, saya ni dahlah gemuk. Harta tak ada. Muka tak cantik. Nani tu selim melim. Mana nak lawan dengan saya.”
Kedengaran Kak Hasnah mengeluh. Mungkin dia rasa yang aku ni merendahkan diri
sangat. Tapi, memang betul apa yang aku
cakap. Aku tak ada harta, tak ada rupa
dan ketinggian aku pun tak cukup! Kak
Hasnah mula mengalah dan berlalu meninggalkan aku. Aku senyum sendiri. Kak Hasnah… Kak Hasnah…. Risau betul dia
dengan jodoh aku.
Ketika sedang aku uruskan telegram,
terbuntang aku dengan nama penerima yang tertera di atas telegram itu. Terus aku memberitahu kepada Kak Hasnah dan
Kak Nor. Berubah juga muka mereka ketika
itu. Berita apa, biarlah aku sahaja yang
tahu. Nampak gayanya memang bukan jodoh
aku. Lebar senyuman aku apabila hajat
Kak Hasnah tidak kesampaian. Itulah… nak
sangat carikan jodoh untuk aku. Dua-dua
kantoi.
Ah, lupakan soal jodoh. Aku tak kisah kalau mana-mana rakan aku yang
akan bertemu jodoh walau pun mereka lebih muda dari aku. Kalau itu sudah jodoh dia, takkan aku nak
halang pulak, kan. Takkan aku nak cakap
‘oi! Korang
tunggu aku ada mata air, baru korang
boleh bercinta.’ Nanti tak pasal-pasal
putus sahabat pulak.
Tak lama kemudian, aku mengalami
mimpi yang kurang sama. Masjid yang baru
nak dibina sekarang sudah separuh siap.
Dua orang lelaki yang menjaga kiri kanan masjid itu masih ada lagi. Kali ini aku lebih dekat lagi dengan masjid
itu. Aku cuba untuk masuk, tapi tak
boleh. Maklumlah belum siap lagi. Akhirnya apabila aku sedar dari tidur, aku
termenung panjang. Rasa seram satu badan
apabila aku dapat mimpi itu.
Pada suatu pagi ahad yang indah, aku
pergi kerja seperti biasa. Walau pun
agak berat, tapi aku tetapkan juga untuk pergi kerja. Kali ini aku pergi bersama-sama dengan adik aku
yang bongsu. Maklumlah dia ada kelas
tambahan di bandar. Dalam perjalanan
untuk menunggu bas, aku melalui akan rumah nenek saudara. Maklumlah, kami ni kalau nak ikutkan satu
kampung ada bau-bau bacang. Kebanyakkannya
saudara. Bila aku berjalan, aku
terpandangkan sepupu mak yang aku panggil dengan panggilan makngah.
Aku terus mendapatkannya dan
bersalam. Aku memandang kepada pakngah
yang sedang mencuci kereta. Namun aku
pelik, aku pandang abang Aris yang duduk di atas tembok yang ketika itu
memandang aku sekilas. Lepas pandang
aku, boleh pulak dia tunduk macam nak pecah lantai rumah nenek dia. Ah, malas aku nak fikir, aku teruskan juga
berjalan. Di hadapan berandar rumah, aku
lihat abang Aziz pula yang duduk termenung sambil merokok.
“Hai, nak pergi kerja ke?” Abang Aziz bertanya.
“A’ah. Pergi dulu abang Aziz.”
“Baik-baik jalan.” Pesan dia.
Dalam perjalan, aku masih lagi
tertanya-tanya. Pelik pula aku dengan
abang Aris yang tiba-tiba balik kampung.
Dia tu, kalau tak beria, memang susah nak balik kampung. Kalau bukan raya, tak ada kenduri, jangan
harap muka dia nak tayang kat kampung.
Lagi satu, biasanya kalau dia balik kampung mesti dia bawa motor besar
TZM dia. Tadi, tak nampaklah pulak.
Hurm….
“Dik, tadi kau perasan kan abang
Aris?” Aku bertanya pada Nurul.
“Ada. Kenapa long?”
“Along peliklah. Apa pasal dia balik kampung? Nenek long nak buat kenduri ke?”
“Apa yang nak pelik, long. Kan raya haji dah dekat. Lagi dua hari lagi kut.”
“Kata tak balik.”
“Mana tahu ada cuti.”
Ya tak ya juga. Ala… lagi pun dah kampung dia. Takkan tak boleh nak balik pula. Ah, malas pula nak layan soal jawab pasal
abang Aris. Aku matikan sahaja peristiwa
itu dan membuat kerja seperti biasa.
Tepat jam satu, aku balik kerja sendirian memandangkan Nurul sudah
pulang lebih awal lagi. Seperti biasa,
aku balik aku akan melalui rumah nek long aku.
Sekali lagi aku nampak abang Aris di tembok rumah. Masa ni aku tengok dia sedang termenung. Apabila dia perasan ada orang melalui di
hadapannya, kemudian dia berpaling. Tak
lama kemudian, dengan tiada senyum atau teguran dia tunduk semula. Haish!
Dia ni dah kenapa? Macam takut
tengok aku pulak. Bukan ke sebelum ni dia banyak buli aku. Tambahan lagi masa aku hingusan lagi.
Walau pun aku tertanya-tanya pasal
abang Aris, aku buat tak kisah aje. Lagi
pun aku tak ada masalah pun dengan dia.
Walau pun kami ni bersaudara, tapi aku jarang sekali nak berborak dengan
dia. Yalah, dia duduk Kuala Lumpur
sedangkan aku kat Melaka. Tapi, nampak
pelik perangai dia hari ni.
Petang itu, mak ajak aku dan adik-adik
ke bandar. Saja jalan nak cuci
mata. Apa lagi, pucuk dicita ulam
mendatang, kami pun bergerak ke Melaka jam 2.30 petang. Balik sahaja dari bandar, masa itu jam dah
menunjukkan ke angka 5.30 petang. Aku
tengok rumah nenek sudah ramai orang.
Hesy, dah kenapa pulak ni. Nek
long pun ada sama. Aku terus mendapatkan
mak saudara aku yang berada diberandar.
“Mak Ita, kenapa ramai-ramai
ni?” Tanya aku pelik.
Aku tengok Mak Ita bukan main lebar
dia tersenyum. Aku mula rasa tak sedap
hati. Kenapa hari ini aku jumpa semua
orang perangainya pelik-pelik. Aku
pandang nek long bukan main lagi berborak. Tok ayah dengan nenek pun sama. Siap gelak lagi. Aku tak puas hati aku tanya lagi dengan Mak
Ita.
“Mak Ita, ada apa-apa yang menarik
ke?” Tanya aku sekali lagi.
“Tak lama lagi ada orang nak makan
nasi minyak.” Terus lebar aku
tersenyum.
Masih terbayang lagi wajah mak saudara
aku yang masih belum berkahwin lagi. Aku
dengan Mak Lah beza lebih kurang 5 tahun.
Dia pun baru putus tunang. Kalau
sudah jodoh dia, al-hamdulillah….
“Untuk Mak Lah ke Mak Ita?”
Aku tengok Mak Ita tersenyum lagi. Bukan dia nak jawab, boleh pulak dia tinggalkan aku terpinga-pinga.
Hesy, Mak Ita ni. Tak menjawab soalan langsung. Oleh sebab aku malas nak fikir dan malas nak
masuk campur dalam urusan orang tua, aku terus masuk ke rumah. Uh!
Pergi mandi lagi best!
Malam itu, aku duduk di ruang tamu
sambil tangan ligat mengayam ketupat.
Maklumlah, dua hari lagi nak sambut hari raya Aidiladha. Bersama-sama dengan aku masa tu, mak yang
sedang melipat kain. Tiba-tiba mak
bersuara.
“Long, kau tak ada pakwe tak?”
Aku tersentak. Terus mati tangan aku mengayam ketupat. Mak memang tak teragak-agak bagi aku soalan
maut macam tu. Mahu aku tak keras kejung
dengan soalan mak tu.
“Ala mak, siapa yang nakkan saya
ni. Dahlah gemuk. Rupa pun tak ada.” Hurm… ayat merendah diri aku dah keluar.
“Mak tanya, kau ada pakwe tak?” Aku pandang mak. Amboi, mak memang straight to the point.
“Tak ada.” Perlahan aje aku
menjawab.
“Mak bukan apa, makngah tanyakan
kau.”
Aku terus terkedu. Makngah tanyakan aku?
“Kenapa pulak makngah tanyakan saya? Apa kena-mengena pulak saya dengan
dia?” Aku pula pelik.
Lama juga mak diam. Aku pun diam.
Aku masih lagi tertanya-tanya maksud mak tadi.
“Bukan apa, makngah tanyakan
kamu.” Okey, baru aku faham. Kali ini, bergetar semua tubuh aku sekali
dengan tulang-temulang. Katakan ini
bukan mimpi.
Aku pandang lama pada mak. Kalau makngah tanyakan aku, tapi untuk
siapa? Anak dia ada tiga orang. Semuanya lelaki dan belum berkahwin. Tapi aku syak bukan yang bongsu sebab yang
bongsu tu dah bertunang. Lagi pun aku
dengan si Rizal tu kawan baik masa kecik kut.
Sebab dia sebaya dengan aku dan sekelas pula tu. Persoalannya antara dua. Abang Aziz atau abang Aris.
“Semua ni, nek long yang buka
cerita. Tok yah dengan nenek dah
setuju. Adik-adik mak pun semua dah
setuju. Mak, lagi mak suka. Bukan orang lain. Lagi pun kita kenal latar-belakang dia.”
Aku masih lagi tidak memberikan
jawapan. Sebaliknya aku menantikan apa
yang mak nak katakan.
“Lagi pun mak ngah kamu yang
beria-ia. Macam mana?”
“Mak pulak?”
“Mak tak kisah. Mak pun suka.
Semua setuju dengan jodoh ni.
Cuma tunggu kamu aje.”
Aku terdiam. Terus terkunci mulut aku nak
berkata-kata. Aku memandang pada mak
sekilas. Memang dah lama mak nak sangat
aku berkahwin. Aku pun dari dulu memang
tak ada buah hati. Macam mana mak tak risaukan
jodoh aku. Bila pandang muka mak, aku
rasa kasihan pula. Bila mengenangkan
kata-kata mak dan restu semua orang, aku mula tekad.
“Ikutlah, kalau mak rasa baik saya
terima aje.” Boleh pula aku jawab macam
tu. Mak apa lagi? Bukan main senyum sampai telinga aku tengok.
“Al-hamdulillah…. Nanti makngah kamu kata bulan empat dia
datang merisik.” Gulp! Terus tertelan air liur aku. Terus bergetar tubuh aku.
Terus terbayang peristiwa-peristiwa
yang aku selalu kena buli dengan abang Aris.
Wa…. Tak dapat bayangkan yang aku kena kahwin dengan dia. Peristiwa yang buat aku takut dengan dia masa
kecil dulu adalah kenakalan dia membaling mercun katak pada aku. Dia baling mercun tu sambil dia gelak
besar. Mahu aku tak melompat kalau dia
baling mercun tu kat aku. Sampai
menangislah aku dibuatnya.
Selain itu juga, aku pernah kena
buli dengan dia kalau main polis sentry atau main galah panjang. Asyik aku aje yang kena. Tahulah dia kuat lari sebab tinggi dan aku ni
langkah pendek sebab rendang. Semua tu
buatkan aku nak sangat jadi anak keladi dalam semua permaianan yang dia
main. Bila aku kata nak jadi anak
keladi, bukan main lagi dia gelak nak terguling. Habis kalau kahwin kena buli lagi macam
mana?
Peristiwa itu aku tak cerita pun
pada teman pejabat. Yalah, nanti
macam-macam pula dia orang tanya. Apa
yang bestnya, Kak Hasnah bukan main lagi test market kat orang lain. Suruh berkenalan dengan budak teknikallah,
budak posmenlah, tapi aku senyum aje.
Tak dapat aku bayangkan macam mana kalau dia orang tahu dah ada orang
yang nak merisik aku
01
April 2001
Aku masih ingat, tarikh itulah
makngah datang merisik aku. Masa tu
abang Aris tak ada. Dia akan datang
kemudian, selepas majlis selesai. Masa
tu, penuh jugalah rumah mak. Saudara
mara aku dengan saudara mara dia bukan orang lain pun. Masing-masing semua saudara. Kalau raya pun muka yang sama datang
rumah. Nak kata tak berkembang, aku
yakin itu bukan landasan untuk aku tidak boleh perolehi kebahagiaan. Ianya ada pro dan kontra.
Sebaik selesai majlis menyarung
cincin merisik, saat semua saudara mara sebelah abang Aris balik maka jantung
aku ni dah tak henti bergedang. Ha, itu
dia. Bukan main lagi dia datang dengan
bapa saudara dia yang aku panggil pak uda.
Bila dia masuk ke rumah, mak suruh aku hidangkan makanan untuk dia. Semua badan aku dah keras kejung. Aku menggeleng.
“Kau nak malu apa? Bukannya kau tak biasa dengan dia.”
Yalah… memang dah biasa. Sekarang ni nak jadi luar biasa. Macam mana aku tak seram satu badan. Akhirnya apabila dia desak dengan mak, aku
akur juga hidangkan makanan pada dia.
Itupun aku letak dulang, tak pandang dia dan terus pergi. Langsung aku tak ajak dia makan. Bukan aku marah, tapi aku segan! Dia
pulak? Tengok pun macam malu-malu. Nasib baik ada pak uda. Kalau tidak, sah dia makan nasi tak ikut
mulut.
DUA hari berikutnya, aku pergi kerja
macam biasa. Tapi aku yakin, pasti orang
akan tanya pasal cincin kat jari manis aku ni.
Yalah, aku ni jenis yang jarang pakai barang kemas. Masa raya atau kenduri kahwin aje aku pakai
semua tu. Aku dah agak, Kak Hasnah
nampak jari aku ada emas.
“Amboi, cantik cincin.”
Aku terkedu. Aku tak tahu nak cakap apa. Aku senyum aje.
“Mana dapat cincin ni?” Dia bertanya.
“Er… er…” Sindrom gagap terus menyusup dalam badan
aku. Aduh! Nak cakap macam mana ni?
“Nor, kau sini kejap.”
Ah, bala. Dengan Kak Nor memang aku tak boleh nak
tipu. Sebab dia ni mahir dalam bab
emas. Sah, lepas ni gerenti meja aku
penuh dengan orang. Tidak lama kemudian, betul apa yang aku katakan tadi. Meja aku penuh dengan rakan sepejabat
aku. Bukan sebab aku jual baju atau
tudung, sebab nak tengok cincin kat jari aku.
“Eh, Shimah. Mana dapat cincin ni? kau beli ke ada orang bagi?” Tanya Kak Nor yang sibuk membelek cincin di
jari aku. Nak atau tidak, aku kena
beritahu. Esok lusa dia orang pasti akan
tahu.
“Er… orang bagi.” Aku jawab perlahan dan takut.
Aku tengok Kak Hasnah bukan main
terkejut lagi.
“Ada orang masuk meminang ke
Shimah?”
Aku senggeh.
“Siapa Shimah? Cakaplah. Kali ini Kak Nor pula yang beria-ia. Aku menggarukan kepala. Susah nak jawab soalan tu. Yalah, dia orang tu bukan main lagi melagakan
aku dengan orang lain, tiba-tiba aje aku dah ada orang merisik. Mahu mereka tu tak terkejut.
“Bukan orang lain, kak. Saudara juga.
Mak dengan mak sepupu.”
“Kau biar betul.”
“Kak, saya jalan guna kaki lagi
kak. Ala, mak dah suka. Semua pun suka. Jadi, saya terimalah.”
“Wah… tahniah. Dalam diam, kau jalan dulu. Bila nak bertunang?” Kak Chen bertanya.
“Raya ketiga nanti.”
“Eh, tak lambat sangat ke?”
“Nak buat macam mana? Lagi pun saya kat sini. Dia kat KL.”
“KL?” Semua terkejut. Pulak dah, kenapa semua muka pucat aje?
“Jadi nanti kau kena pindah KL lah
nanti.”
“Nak buat macam mana Kak
Hasnah. Dah kalau itu jodoh saya.”
Tak lama kemudian, meja yang penuh
tadi mulai kosong. Seorang demi seorang
meninggalkan meja aku dengan ucapan tahniah dari mereka. Sebenarnya aku pun takut juga. Aku kenal dengan abang Aris tu sebagai
seorang saudara, juga dikenali dengan dua pupu aku. Aku pun tak tahu macam manalah dia boleh nak
masuk meminang aku.
Semenjak aku dirisik, aku tidak
pernah pun menghubungi abang Aris.
Begitu juga dia. Semuanya sebab
aku malu dan takut. Aku kan perempuan. Istilah timba mencari pergi masih menebal
dalam hidup aku. Lebih kurang satu bulan
juga aku tidak berjumpa dan menghubungi dia.
Sehinggalah pada satu hari aku dikehendaki menghadiri kursus di Kuala
Lumpur. Masa itu, nak minta tolong
dengan dia memang aku segan. Akhirnya,
aku minta tolong mak aku telefon makngah aku.
Mula-mula aku bercakap dengan
makngah yang bakal menjadi mak mertua aku.
Tidak lama kemudian, dia serahkan telefon kepada abang Aris. Dadaku macam dah kena pukul gong sebesar alam. Tangan aku dah sejuk beku. Nak cakap macam mana ya? Ah, bantai ajelah. Aku cuba bersikap seperti biasa dan mohon
untuk dia survey Kolej Latihan Telekom.
“Tak apa, nanti saya cari.” Itulah ayat yang terakhir aku dengar dari
dia.
Semasa aku pergi ke Kuala Lumpur dia
mengambil dan menghantar aku ke Kolej Latihan Telekom. Masa tu, takutnya ya amat sangat. Yalah, aku bukannya biasa sangat dengan KL
ni. Untuk pengetahuan juga, KL adalah
bandaraya yang paling malas aku nak jejak.
Hurm…. Nampaknya lepas ni aku kena biasakan dengan bandar metropolitan
ini.
Nak tahu pertama kali kami
keluar? Ya, ke KLCC. Bukan buat apa pun, berborak sambil tengok
air pancut. Masa tu, aku sedang menunggu
waktu makngah balik dari tempat kerja untuk bertandang ke rumahnya. Sampai sahaja aku di rumahnya, aku gembira
dengan layanan dari bakal mertuaku dan mereka pun dah anggap aku ni macam anak
dia.
“Dulu, masa adik kau lahir arwah ayah
kamu ada luahkan yang dia dapat anak perempuan lagi.” Bakal mertua aku bercerita. Hurm… Yalah, adik-beradik aku ketiga-tiganya
perempuan. Memang hajat nak dapat anak
lelaki tidak kesampaian.
“Pakngah ada jawab, tak apalah
Mat. Nanti dah besar aku jaga anak kau
seorang.” Ya, kata-kata itulah aku ingat
sampai sekarang. Masa itu aku senyum
aje. Tak berani nak cakap lebih-lebih
sebab aku pun belum sah jadi isteri abang Aris.
Walau macam mana pun, aku terus sahaja berdoa apa yang dirancangkan ini
berjalan dengan lancar.
Cukup masa, aku bertunang dengan
abang Aris. Masa itu pada hari raya
ketiga. Masa itu, rasa terseksa sebab
masing-masing main sorok-sorok barang hantaran.
Bila saudara mara dia datang, kita orang yang sedang membuat hantaran
berterabur lari masuk bilik. Sama juga
dengan saudara mara aku. Mereka sengaja
datang waktu malam beraya semata-mata nak tengok hantaran pihak lelaki. Hai, nak gelak pun ada.
Tempoh pertunangan bukannya seindah
yang disangka. Memang benar kata orang,
bertunang ini banyak dugaannya.
Termasuklah aku. Sudahlah kami ni
berjauhan, malah jarang sekali berhubung.
Kalau telefon atau SMS memang boleh dikira dengan jari. Masa itulah, anasir-ansir yang cuba
membuatkan aku goyang. Tapi, aku
teruskan juga hadapi semua itu dengan doa yang tidak lepas dihati.
“Shimah, betul ke tunang kau tu nak
kahwin dengan kau. Akak tengok kau
dengan dia macam tak ada apa-apa.
Jangan-jangan dia nak mainkan kau tak?”
BAM!
Rasa macam kena pukul jantung aku ni.
Bagaikan luruh menyembah bumi.
Aku rasa nak menangis tapi aku cuba menahan. Jangan kata tak berderai air mata, tapi aku
menangis masa orang tak nampak. Hati aku
sentiasa berdoa. ‘Ya Allah, kalau benar ini adalah jodoh aku, kau tetapkanlah
iman aku. Kau berkatilah dan kau
berikanlah kekuatan untuk aku tempuhi dugaan ini.’
Bukan itu sahaja dugaan yang aku
kena tempuh, malah ada lagi. Dugaan itu datang bertalu-talu. Semasa di dalam alam pertunangan, masa itulah
ramai sangat yang nak berkenalan. Walhal
selalu sahaja bercakap dan berbual.
Untuk pengetahuan, aku banyak berurusan dengan pejabat pos melalui
telefon untuk pesanan Telegram. Pada
ketika ini, aku rasa macam nak pengsan bila salah seorang kerani pejabat pos
ajak aku berdating.
Masa tu nak marah ada, segan ada
takut pun ada. Bukannya aku kenal dia
sehari dua. Malah dah setahun kut. Kenapa sebelum ini tak nak berkenalan? Kenapa mesti selepas aku bertunang?!
“Shimah, jom kita keluar minggu ni
nak?” Aku masih ingat lagi dia mengajak
aku keluar. Masa tu, bulat mata aku bila
dia berani ajak aku keluar.
“Tak naklah awak. Kita dah tunang. Nanti tunang kita marah.” Aku cuba cari alasan.
“Okey, kalau macam tu raya nanti
saya datang rumah awak. Bolehlah saya
berkenalan dengan family awak.”
“Eh, raya tunang saya datang
rumah. Dia bukan orang lain. Saudara saya juga.” Aku cari alasan lagi.
Aku dengar dia ketawa.
“Ala, tunang aje. Belum kahwin lagi pun. Lainlah awak tu isteri dia.”
Okey! Ini memang tidak kelakar. Terus kaku badan aku kat situ. Aku menelan air liur yang aku rasakan begitu
besar tersekat di anak tekak aku. Why now!
Mulai saat itu, kalau aku nak
telefon satu pejabat pos ni aku minta bantuan orang lain. Aku takut kalau dia yang angkat telefon mesti
dia nak ‘ayat’ aku. Aku tak nak. Nak ajak keluarlah, nak ajak jumpa dengan mak
ayah dialah. Puas juga aku kata tak nak,
tapi tetap nak pujuk aku.
Satu demi satu dugaan
mendatang. Saat bersetuju untuk
berkahwin pada bulan Februari 2002, aku terpaksa tangguh kerana nenek dengan
tok ayah pula nak pergi ke Mekah. Aku
sabarkan diri sambil orang kiri kanan tidak percaya dengan jodoh aku. Kemudian, nak anjak ke bulan Mei 2002 tetapi
ditangguh lagi. Ah, betapa rasa macam
nak mengalah aje. Masa tu sebab sepupu
aku kahwin. Nak atau tidak, kena aku
bagi laluan pada dia.
Namun begitu, setelah hampir setahun
aku bertunang aku terima mimpi yang pernah aku alami. Kali ini masjid sudah pun siap di bina. Dua penjaga itu masih ada di situ dan kali
ini wajah mereka tersenyum. Aku pula
kini benar-benar dihadapan pintu masjid, tapi aku lihat ianya berkunci. Kali ini aku mengelilingi masjid untuk
mencari kunci. Tetapi hampa. Aku hanya memandang masjid itu dengan begitu
kagum dan hati aku melonjak untuk masuk ke dalam.
Bukan mimpi itu sahaja yang aku
alami. Tetapi, ada lagi mimpi yang
menjadikan aku mengiakan kata-kata orang tua.
Aku bermimpi aku dibelit ular di kaki.
Aku cuba menghalau, tetapi ular itu tetap tidak berganjak. Menangis sakan aku masa tu. Takut bukan main. Siapa yang takut ular tu memang aku tabik spring kat dia.
Dugaan demi dugaan aku tempuh dengan
hati yang bercampur baur. Memang menguji
kesabaran aku. Setiap kali aku diuji,
setiap kali itulah aku berdoa. Namun
jauh di sudut hati aku, keyakinan jodoh aku amat tinggi. Ini disebabkan dengan restu orang tua. Aku tahu, bercinta selepas nikah ada
manisnya.
Bila ada orang ragu-ragu dengan
hubungan aku dengan abang Aris, ada masa aku menjadi goyah. Bila aku bertanya dengan abang Aris, dia kata
‘dah tunang, nak buat macam mana.’ Wah, masa tu aku rasa memang nak menangis. Sudahlah aku dengan dia memang jarang
berbual. Tapi, aku cekalkan juga hati
aku. Ya, macam mana kita nak cari
kebahagiaan kalau kita tak berusaha untuknya.
Akhirnya, aku telan juga apa yang telah terjadi. Aku tahu, Allah itu ada bersama-sama dengan
aku. DIA tahu apa yang terbaik untuk
aku.
Penghujung tahun 2002, kedua-dua
pihak dah sepakat yang kami akan bernikah pada bulan Mei 2003. Perasaan masa tu, teruja bercampur dengan
takut. Aku terus membuat persiapan dan kebanyakkannya
aku mencari barang-barang perkahwinan bersendiri. Maklumlah, aku di Melaka, sedangkan abang
Aris di Kuala Lumpur. Memang payah nak
cari barang bersama.
Seminggu sebelum pernikahan, aku
sering kali termenung. Bukan apa, aku
takut sebenarnya. Lagi pun kami bakal
melangsungkan perkahwinan atas dasar keluarga.
Selalu sahaja hati aku bertanya. Adakah dia benar-benar sedia menjadikan
aku suri hidup dia dan ada benar dia sayangkan aku. Peristiwa yang telah diterjadi 12 tahun
sering kali buat aku teringat sehingga kini.
Peristiwa itu terjadi semasa
perkahwinan ibu saudara aku. Maklumlah,
masa anak dara dulu aku suka mengenakan inai kalau tiba masa kenduri
kahwin. Masa itu abang Aris ada tegur
aku. Masa tu aku memang anti dengan dia.
Ada ke patut dia kata: “Kecik-kecik dah gatal nak pakai inai. Tak malu.
Siapa agaknya nak kahwin dengan dia.”
Wah, masa tu memang aku rasa marah sangat. Aku pandang kecik besar aje. Aku tak tahu apa masalah dia dengan aku. Lagi pun aku pakai inai bukan kat tangan.
“Yang kau sakit hati tu kenapa? Kaki aku, kan. Bukan kaki kau.” Aku selamba menjawab. Aku jeling tak puas hati sampaikan abang dia
masuk campur.
Sekarang, aku pula akan mengenakan
inai khas buatnya. Macam tidak percaya
saja. Sehari sebelum hari pernikahan,
aku bermimpi lagi. Kali ini aku bermimpi
yang aku sudah pun terima kunci untuk aku masuk ke dalam masjid itu. Penjaga yang berada di kiri kanan masjid
tersenyum sahaja pada aku. Aku membalas
senyuman mereka dan aku memerhatikan kunci yang berada di tangan.
Antara percaya atau tidak, aku
merasakan mimpi itu ada kaitan dengan jodoh aku. Walau pun masa kecil dia selalu nak buli aku
sampai aku menangis, suka nak kacau aku, tapi aku yakin dengan jodoh
Allah. Mungkin ada hikmahnya apa yang
terjadi semasa aku kecil. Suka sangat
nak membuli orang, kan. Sekarang sudah
jadi isteri. Hai, nak gelak pun ada juga.
Siapa sangka kan, jodoh itu adalah sesuatu yang kita sendiri tidak
tahu. Pejam pelik tanggal 31 Mei ini genap sudah 14
tahun kami bernikah. Sesungguhnya, doa
aku cuma satu, agar jodoh ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Amin….
Cerpen ini too monotonous :)
ReplyDelete