Kebahagiaan Terindah
Aleya menatang teh o dan lantas
menuju ke meja Farah. Kemudiannya dia
tersenyum. Namun senyuman Aleya tidak
berbalas. Aleya meletakkan teh o itu di
atas meja Farah. Sempat juga Aleya
meninjau akan kerja yang penuh di atas
meja Farah. Farah mula rasa tidak senang
dengan kehadiran Aleya. Dia mengeluh
dengan kedatangan Aleya yang dianggap tidak diundang itu.
“Apa yang kakak buat kat sini?”
Tanya Farah separuh berbisik.
Matanya liar memandang ke
sekeliling. Dia segan kalau kakaknya
Aleya sering kali bertandang di mejanya.
Dia juga segan bila orang mula memandang kepadanya. Seolah-oleh dia menjadi medan perbualan. Farah malu dengan kakaknya Aleya yang cuma
seorang pembancuh air di tempat kerjanya.
Kalau nak disedapkan halwa telinga, disebut juga sebagai tea lady. Menyesal pula rasa hatinya kerana terjebak di
dalam jawatan di syarikat itu. Nak atau
tidak dia terpaksa menanggung segalanya.
“Kakak nak tengok Farah buat
kerja. Dari tadi kakak tengok Farah tak
rehat pun. Banyak sangat kerja ke yang
Farah kena buat?” Tanya Aleya yang cuba mengambil berat.
“Kerja Farah bukan macam kakak. Kerja kakak senang.” Aleya diam.
“Nah, minum ni. Akak tahu yang Farah suka teh o.” Aleya meletakkan teh o di atas meja Farah.
“Farah tak naklah kak. Nanti kalau Farah nak, Farah panggillah
kakak. Kakak nampak tak yang Farah
tengah sibuk ni. kalau orang nampak
malulah kak.” Aleya terdiam.
“Dahlah kak. Jangan ganggu Farah. Farah banyak kerja yang nak kena buat
ni. Akak ni menyibuklah.” Aleya masih lagi menatang teh o yang pada
mulanya dibuat untuk Farah masih belum bertukar tangan.
“Habis air ni? Takkan tak nak minum?”
“Akak je lah yang minum. Setakat teh o yang akak buat tak merasa pun
tak apa.” Keras sahaja kata-kata Farah. Aleya tunduk merenung air yang masih di
tangan.
“Akak cuma nak tengok adik akak aje.”
Ujar Aleya perlahan.
“Tak payah susah-susah nak tengok
Farah, kak. Farah bukan budak kecil yang
nak tengok saya sentiasa. Saya boleh
jaga diri sendiri. Kakak tu jaga diri
akak sendiri.” Farah sedikit pun tidak
memandang kepada Aleya.
Aleya tersentak. Tidak sangka kata-kata yang terbit dari bibir
Farah. Aleya kelihatan tidak selesa
dengan Farah ketika itu. Salahkah dia ingin
mengambil berat akan adiknya sendiri?
“Akak minta maaf kalau akak ganggu
Farah kerja. Mesti akak dah susahkan
Farah, kan.”
“Memang pun. Akak datang sini buat semak mata aje
tau. Kalau apa-apa jadi dengan kerja
saya ni akak ke yang nak buat? Akak
ingat, akak tu cuma tukang buat air aje.”
Ah, betapa pedas akan kata-kata itu.
Berubah wajah Aleya saat itu.
Tidak sangka apa yang baru didengarnya sebentar tadi.
“Maafkan akak.” Aleya tunduk.
“Memang eloklah tu. Akak tahu tak yang akak dah buat malu
Farah. Sikit-sikit datang jenguk Farah. Farah tak sukalah.” Aleya sempat memandang sayu kepada
Farah. Betapa dia terasa dengan
kata-kata adiknya itu.
“Apa lagi korang ni?” Aleya dan Farah tersentak. Mereka berpaling. Wajah Haris, pemandu peribadi Tan Sri Hamdan
jelas dipandangan mata mereka.
“Ha, ni sorang lagi. Dah kenapa kau datang sini?” Tegang sahaja suara Farah. Kelat wajah Haris
bila dia disergah begitu.
“Farah, tak baik cakap macam
tu.” Tegur Aleya.
“Dah tak kerja lain nak buat ke?”
“Mak ai! Garangnya minah ni. Ini anak dara ke mak tiri?” Suara Haris pula yang tegang. Aleya yang melihat adegan dilanda rasa serba
salah.
“Engkau ni dah tak ada tempat lain
nak menempel ke? tempat kau buat kat
sini.”
“Engkau ni…. aku cuma nak tegur
sapa, takkan salah kot?” Haris
mencebikkan bibirnya. Geram pula dia
melihat Farah yang wajahnya sedikit pun tidak menunjukkan rasa salah.
“Yelah, mula-mula tu bertegur
sapa. Lama-lama niat tu mulalah nak
menyimpang. Eh, Haris! Setakat kau yang
hanya driver syarikat ni, tepi jalan
pun melambaklah. Tak ada masa aku nak
layan lelaki macam kau ni. Yang lebih
baik aku boleh dapat.” Angkuh sahaja
kata-kata Farah membuatkan Haris menjadi panas.
Haris memeluk tubuh. Wajah Farah dipandang. Geram pula dia dengan Farah ketika itu.
“Amboi, cantiknya bahasa cik kak.”
“Ha, korang berdua ni memang layak
bergandingan. Kata orang tu dah macam
pinang dibelah dua.” Terbuntang Aleya
mendengarkan kata-kata Farah itu. Hai,
dia pun terlibat sama ke?
“Eleh, cik Farah oi! Darah awak
dengan Aleya sama tau tak. Binti pun
sama. Jangan nak tunjuk lagak sangatlah.”
Farah menjeling tajam kepada Haris.
Entah mengapa, hati Farah bagaikan tidak senang dengan kehadiran Haris
di situ.
“Dahlah Haris, aku malas nak layan kau. Kalau ku tak ada kerja lain, baik kau layan
ke perempuan ni.” ho….ho….ho…. ini dah melampau. Hati Haris kian panas. Merah padam mukanya menahan marah yang amat
sangat.
Aleya mula rasa serba salah. Dia sudah sebati dengan sikap Farah. Farah memang seorang yang suka berterus
terang. Farah juga sering kali
mementingkan diri sendiri tanpa berfikir akan perasaan orang lain. Dia sebagai kakak pun ada masa tersinggung
dengan sikap Farah.
“Dahlah, jangan nak gaduh kat
sini. Malulah orang lain tengok. Jom Haris, saya buatkan awak air. Saya tahu yang awak penat.” Aleya tidak mahu memanjangkan pergaduhan itu
lantas mengajak Haris berlalu dari
situ.
“Nasib baiklah kakak awak ni pandai
pujuk. Kalau tidak dah lama aku bagi
sedas kat muka plastik tu.”
“Ha, eloklah tu. Tunggu apa lagi? Nak bentangkan permaidani merah dengan
kompang sekali ke?”
“E…..”
“Dahlah tu. Jom.” Aleya mengajak
Haris sambil meninggalkan Farah sendirian.
Hati Farah juga panas dengan kata-kata Haris tadi. Kerja driver
aje kot. Berlagak nak mampus.
Haris menghempaskan punggung dengan
kasar. Mak Limah yang berada
dihadapannya terkulat-kulat melihatkan wajah Haris yang mencuka itu.
“Dah kenapa dengan kamu ni
Haris? Dah macam muka cuka masam aje Mak
Limah tengok. Penat sangat ke?”
Haris memandang kepada Mak Limah
sekilas.
“E…. kalau nak diikutkan hati panas
saya ni Mak Limah, nak je saya cop sebesar bapak gajah kat dahi minah tu dengan
cop ‘REJECTED’ biar penuh satu
muka. Harap je muka tu cantik. Tapi perangai hancur.” Mak Limah ketawa dengan luahan perasaan Haris
itu.
“Kamu gaduh, Haris? Dengan siapa?
Dengan mata air ye.”
“Hai! macamlah muka tembok ni ada
mata air, Mak Limah.”
“Habis tu? Perempuan mana pulak yang kamu dah gaduh ni?”
“Dengan adik saya, Mak Limah.” Sampuk Aleya perlahan.
“Siapa? Farah?
Hish! Yang kamu ambil hati tu
kenapa?”
Haris memandang kepada Aleya. Melihatkan wajah Aleya perasaan kasihan mula
singgah di hatinya. Boleh dikatakan
saban hari Farah memarahi Aleya. Depan
semua pekerja pulak tu. Mula-mula dia
boleh terima lagi. Bila dah melampau hati dia pula yang panas.
“Saya okey lagi, Mak Limah. Ni hah, dengan Aleya langsung dia tak
hormat.”
Mak Limah sudah mengagak. Kali ini Mak Limah pula yang memandang kepada
Aleya. Melihatkan dia menjadi perhatian,
dia mula rasa tidak senang. Bagai besar
sangat masalah yang dibawa ketika itu.
Mak Limah sering kali juga melihatkan Farah yang sering memarahi Aleya. Semua yang dibuat Aleya semuanya tak
kena. Bila dia ingin mempertahankan
Aleya kakaknya itu masuk campur supaya jangan
dipanjangkan cerita. Jadi, macam
manalah adik tu tak naik lemak.
“Yang kakak ni pun satu. Berlembut sangat dengan adik tu.” Ujar Mak Limah sambil pandangannya masih
tidak lepas ke raut wajah Aleya. Aleya
tunduk bila dia pula yang dipersalahkan.
“Itu le pasal Mak Limah. Lepas tu boleh pulak dia sindir saya. Apa? Teruk sangat ke kerja saya sebagai driver ni Mak Limah? Orang pandang saya sebelah mata pun
tidak.” Mak Limah menggelengkan kepala.
“Amboi, merajuk sakan nampak.”
“Tidaklah Mak Limah. Sedih tau tak ada siapa yang nak kawan dengan
saya.”
“Siapa kata? Habis Mak Limah dengan Aleya ni bukan kawan
kamu?”
Haris mengeluh. Dia kemudiannya
memandang sekilas kepada Aleya dan Mak Limah.
Haris masih lagi memandang kepada Aleya yang ketika itu sedang
membuatkan air untuk Haris. Aleya tahu
akan air kegemaran Haris. Buat nescafe
panas, senyaplah mulut Haris membebel.
“Kalau Haris tak nak kawan dengan
Mak Limah pun tak apa.” Ujar Mak Limah
apabila melihatkan Haris yang ralit memandang kepada Aleya.
“Mak Limah, Encik Haris kita ni
sebenarnya nak cari mata air. Dengan
kita mana nak sama.” Ujar Aleya yang
sudah pun berpusing sambil membawakan air kepada Haris.
“O…. cakaplah dari tadi. Nak cari mata air rupanya. Kalau Mak Limah ni memang terkeluar dari
senarai. Ha, apa kata dengan Aleya. Aleya kan ada. Buat apa susah-susah cari yang jauh-jauh yang
dekat mata ni okey juga.” Aleya menyiku
Mak Limah perlahan. Malu dia dengan
kata-kata Mak Limah itu. Yelah, tadi
Farah yang beria-ia melagakan dia dengan Haris.
Sekarang ni pulak? Mak Limah pun nak tumpang sekaki nampaknya.
“Mak Limah ni, ke situ pulak.” Bisik
Aleya. Wajah Aleya sudah pun merona merah.
“Tadi, si Farah cakap benda yang
sama. Sekarang Mak Limah pulak?”
“Eloklah tu, Haris. Kalau dah ramai sangat mendoakan, memang ada
harapanlah jodoh korang berdua ni.”
Makin galak Mak Limah mengusik.
Gelihati dia melihatkan wajah Aleya dan Haris yang bagaikan ayam berak
kapur.
“Mak Limah!” Hampir serentak Aleya dan Haris
bersuara. Kali ini terhambur tawa Mak
Limah dengan wajah muran milik Aleya dan Haris.
“Renjis-renjis
dipilis, ditepungilah tawar. Hai beras
kunyit ditabur….” Mak Limah
meninggalkan pasangan itu dengan senyuman yang masih lagi terukir.
“Mak Limah nak pergi mana tu?”
“Nak cari beras kunyit.” Hati Aleya tidak tenteram bila dia
ditinggalkan sendirian dengan Haris.
Dadanya berdegup kencang. Bagai
nak tercabut jantungnya saat itu. Mak
Limah ni memang jahat! Saja nak
tinggalkan kita dengan seram satu badan.
Suasana sunyi seketika. Kelu rasa lidah Aleya untuk bercerita. Haris hanya bertindak dengan lebih
tenang. Dia menghirup nescafe yang
dibuat oleh Aleya tadi. Betapa dia
ketagih dengan air yang dibuat oleh Aleya.
Bukan sahaja air, malahan juga ada masa bekalan yang dibawa oleh Aleya
sering kali dicuri olehnya. Suka dia
mengambil bekal yang dibawa oleh Aleya itu.
“Awak kawan dengan saya tak?” Aleya terkejut bila Haris mula bertanya
kepadanya.
“Kawan. Kalau orang tu baik, saya akan kawan. Janganlah mengeluh sangat. Lagi pun banyak masa awak boleh cari insan
teristimewa awak tu.”
“Awak rasa saya boleh ke?”
“Boleh. Yakin boleh.
Haris, bukankah Allah dah menetapkan setiap insan itu ada
pasangannya. Awak tu, jangan pulak jemu nak berusaha.”
Haris mengamati setiap baris ayat
yang keluar dari bibir Aleya. Ada
benarnya kata-kata itu. Haris
kemudiannya menghirup sekali lagi air dan menyelami dengan apa yang telah dikatakan
oleh Aleya. Ya, dia perlu berusaha. Tapi…. Ah, perkataan itulah yang sering kali terlontar
dari hatinya.
Pintu bilik pantry diketuk
berkali-kali. Muncul Farhan di muka
pintu. Farhan adalah penolong pengurus
di syarikat itu.
“Encik Farhan, ada apa ye? Nak saya buatkan air ke? Kalau nak saya
buatkan.” Ujar Aleya.
“Tak apalah Aleya. Saya sebenarnya nak jumpa dengan Haris. Puas saya cari dia. Kat sini rupanya. Haris, tan sri dah nak gerak. Dia tengah tunggu.”
Aleya menyambut kata-kata Farhan
dengan sebuah seyuman.
“Amboi, Haris. Sampai sini Encik Farhan cari awak.”
“Apa boleh buat, Aleya. Saya kan orang penting dalam syarikat
ni.” Sambut Haris sambil ketawa.
Aleya turut tertawa. Haris kemudiannya menghabiskan sisa air yang
dibuat oleh Aleya.
“Okeylah, saya gerak dulu. Wish me
luck. Semoga saya berjumpa dengan
bidadari langit nanti. Lagi satu, terima kasih dengan air awak yang sedap tu.”
Ujar Haris separuh berbisik kepada Aleya.
Aleya mengangguk dan senyum lagi.
Saat kelibat Haris hilang dari
pandangan matanya, Aleya menggelengkan kepala.
Dia tersenyum dengan gelagat Haris yang beria-ia mencari buah hati. Dah macam kena paksa kahwin je lagaknya. Di dalam hati Aleya, dia berdoa agar Haris
dapat mencapai impian dan harapannya.
Aleya kemudiannya menyambung tugasnya apabila memandangkan beberapa biji
cawan yang sudah pun berpenghuni di dalam sinki.
Aleya memerhatikan jam di dalam
bilik pantry. Sudah hampir 5.30 petang
dan sudah hampir waktu pulang. Sementara
menantikan waktu pulang, Aleya mengemaskan apa yang patut. Saja dia lakukan untuk membantu Mak Limah
mengurangkan beban wanita itu.
Sekurang-kurangnya tak adalah Mak Limah nak kemaskan bilik pantry
itu. Belum sempat dia menutup bilik
pantry, kelihatan Haris berlalu menuju ke arahnya.
“Awak dah nak balik ke Aleya?”
“Dah pukul 5.30 Haris, takkan saya
nak tidur sini.” Sambut Aleya.
Haris menggeluh.
“Kenapa?”
“Ingatkan nak suruh awak buatkan air
untuk saya.”
“Ye ke? Erm….. okeylah.” Aleya masuk semula ke dalam pantry.
“Nak panas ke sejuk?” Tanya Aleya.
“Kordial sirap ada kan? Buat sirap
ais jelah. Nak buat air panas nak kena
tunggu pulak.”
Aleya akur. Kasihan pula dia melihatkan Haris yang
kelihatan kepenatan. Dia kemudiannya
mengeluarkan biskut dari kabinet.
Melebar senyuman Haris bila tersedia di hadapannya sepiring biskut
dan segelas air sirap.
“Kalau awak nak balik,
baliklah. Nanti lepas saya minum saya
basuh.” Ujar Haris yang tidak mahu
menyusahkan Aleya.
“Tak apa. Saya boleh tunggu. Lagi pun Farah balik lambat.” Haris tersenyum.
“Saya tahu, kalau awak balik pun tak
pernah dengan adik awak, kan? Dia selalu
keluar dengan kawan-kawannya sehingga dia lupakan awak.”
“Dia masih muda, Haris.”
“Tapi dia kena ingat yang dia ada
kakak.”
Aleya ternyata tersentak dengan
kata-kata Haris itu. Ah, ada benarnya
kata Haris itu. Kalau keluar bandar pun
dia hanya keluar dengan rakan-rakannya.
Dia tidak pernah mengajak Aleya untuk keluar bersama. Namun bagi Aleya, dia tidak kisah semua
itu. Sebab dia sudah biasa. Arwah ayah dan ibunya memang telah memanjakan
Farah dari kecil lagi. Dan Aleya sudah
tentu banyak yang mengalah. Farah anak
yang bijak. Farah belajar pandai
sehingga ke universiti. Keluar
universiti dapat peluang kerja yang tinggi.
Walau bagaimana pun ada masa jauh di sudut hati ada masa Aleya merasakan
dirinya tersisih, tetapi sering kali dia menepis akan perasaan itu untuk tidak cemburu
kepada adiknya sendiri.
“Macam mana pencarian mata air
awak?” Malas untuk bercerita tentang
Farah, dia mula mengubah tajuk.
“Ah, malaslah nak cerita. Buat sakit hati je.”
Aleya ketawa.
“Bukan main lagi saya possing kat kereta, tapi bila nampak tan
sri masuk dalam terus jeling saya tak puas hati.” Luah Haris.
“Nak dapat insan yang baik dan
terima kita seadanya memang kena banyak bersabar. In Sha Allah, sampai masanya ada juga.”
“Tapi sampai bila?”
“Itu pun saya tak tahu nak jawab.
Apa yang penting awak tak boleh nak mengalah macam tu aje.” Haris memandang kepada Aleya. Ah, betapa jujur insan yang berada di
hadapannya itu.
“Okeylah, memandangkan awak dah
buatkan saya air dan dengar luahan perasaan saya ni saya hantar awak baliklah
ye.”
Aleya menggelengkan kepala.
“Eh, tak payah. Lagi pun memang dah tugas saya.” Tolak Aleya.
“Tapi. Masa kerja awak dah lebih.”
“Bukannya lama sangat pun. Tak apa, saya boleh balik sendiri.”
“Saya ikhlas ni.” pujuk Haris.
“Tak apa lah Haris. Saya boleh balik sendiri.”
“Saya tak kira. Saya hantar awak balik. Nak saya dukung awak ke?” Usik Haris.
Pantas sahaja kepala Aleya menggeleng.
“Awak ni suka sangat main-main tau.”
Gelihati Haris apabila melihatkan wajah Aleya yang sudah merona merah.
“Atau awak nak saya paksa?”
“Yelah…. Yelah…. Tapi adik saya
boleh tumpang tak?”
“Adik awak? Percayalah takkan dia nak ikut kita.”
“Saya kena tanya dengan dia
dulu. Nanti kesian pula dia balik sorang.”
“Terpulanglah pada awak. Tak kisahlah awak nak bawa siapa pun, janji
saya hantar awak balik.”
Aleya keluar dari pantry sambil
diekori oleh Haris dari belakang. Hati
Aleya mula berbelah bagi saat menyambut pelawaan Haris. Haris pun satu! Nak juga paksa orang! Aleya mengeluh. Hai, buatnya Farah tak nak balik sama, takkan
nak balik berdua dengan Haris? Tak nak!
Aleya kemudiannya singgah di meja
Farah. Namun hampa. Meja Farah sudah pun kosong. Aleya memerhatikan disekeliling untuk mencari
kelibat Farah. Namun hampa. Cuma tinggal beberapa orang sahaja yang
tinggal untuk menghabiskan kerja masing-masing.
“Cik Lina, Farah mana?”
“Dia dah balik kak.” Dah balik?
Pelik. Biasanya dia balik lewat.
“Dia ada cakap apa-apa tak?”
“Dia pesan kalau jumpa akak,
beritahu yang dia balik lewat malam ni.
Katanya nak berjumpa dengan kawan.”
“Dia ada cakap nak jumpa siapa?”
Lina mengangkat bahu. Aleya mengeluh perlahan. Puas sudah dia menasihati Farah supaya tidak
pulang lewat malam. Namun sejak
akhir-akhir ini makin kerap adiknya itu pulang lewat. Hatinya sering dilanda rasa gelisah yang amat
sangat. Dia risau akan keselamatan
adiknya itu. Kalau terjadi apa-apa, dia
juga yang susah nanti. Yang pasti dia tidak dapat memaafkan dirinya buat
selama-lamanya.
“Dia dah baliklah Haris. Tak apalah, awak balik sajalah ye. Nanti saya balik sendiri.”
“Eh, mana boleh. Saya dah janji nak hantar awak balik. Kita naik kereta saya.”
Aleya menggeleng.
“Kenapa pulak?”
“Kalau awak bawa kereta syarikat
saya tak naklah.”
“Kereta tan sri. Dia percayakan saya.”
“Habis, takkan awak tak nak hantar
tan sri?”
“Dia dah balik dah. Dia suruh saya bawa balik kereta.”
“Hish! Bahayalah awak.”
“Awak ni kan, takut sangatlah. Tak adanya saya nak bawak awak lari. Lagi pun saya kena hatar barang ke rumah tan
sri. Lagi pun laluan kita sama. Dah alang-alang satu jalan, saya hantarlah
awak balik. Ke awak memang tak sudi nak
tumpang saya.” Aduh! Serba-salah pula dibuatnya.
Aleya menggarukan kepalanya yang
tidak gatal. Kalau tidak mahu diikut
nanti dikatakkan dia jual mahal pula.
Yang pasti dia tidak mahu Haris mendapat susah gara-gara menghantarnya
pulang. Macam mana ni? dia memandang sekilas kepada Haris. Nampak sangat wajah Haris yang begitu
mengharap.
“Saya tak maksud macam tu. Lagi pun saya tak pernah naik kereta dengan
mana-mana lelaki.”
Haris ketawa.
“Awak ni kan, sebab saya naik
keretalah saya sanggup nak hantar awak.
Kalau saya naik motor, sah-sah awak tak nak. Sebab itu saya tak kisah kalau Farah nak
tumpang sekali.
“Saya tak biasalah keluar dengan
mana-mana lelaki.”
“Aleya…”
“Maafkan saya, Haris.”
“Awak janganlah bimbang. Saya akan jaga awak.” Ujar Haris yang beria-ia.
“Tapi…”
“Tapi apa?”
“Saya segan.”
Haris
memandang kepada Aleya. Kemudiannya dia
tersenyum. Dia tidak menyalahkan Aleya
sekiranya dia berkeras tidak mahu menumpang.
Dia tahu, Aleya seorang yang pemalu.
“Okey, saya tak nak paksa awak. Tapi… saya kesiankan awak yang balik
sorang-sorang. Kalau apa-apa
terjadi, hish! Risau saya.”
“Tak payahlah risau. Saya boleh jaga
diri. Lain kali saja ya Haris. Kalau ada Farah, saya tak kisah.” Tolak
Aleya.
“Yalah, nak buat macam mana kalau
orang tu tak sudi.” Makin serba-salah
dibuatnya. Makin tak tenang juga bila
Aleya melihat wajah Haris yang sedikit terkilan itu.
“Awak jangalah merajuk. Saya ni bukannya pandai sangat nak pujuk.”
“Tak ada lah. Saya gurau aje. Esok saya akan hantar awak dengan Farah
balik.”
“Kalau ada Farah, saya tak
kisah. Kalau berdua dengan awak saya tak
nak.” Hai, macam comel pulak si Aleya ni
buat muka. Wajah Aleya ditatap. Dia kemudiannya tersenyum. Aleya pula tunduk malu bila Haris terus
memandang ke arahnya. Tidak senang dia
dengan perlakukan Haris itu. Namun bagi
Haris, makin malu si Aleya kian tajam pandangan matanya.
“Okeylah Haris, saya balik
dulu.” Tanpa menantikan kata-kata Haris
Aleya terus berlalu meninggalkan Haris
sendirian. Malu pula bila Haris terus
menerus memandang ke arahnya. Haris
menghantar Aleya dengan pandangan matanya.
Seronok pula hatinya bila melihatkan wajah Aleya yang sudah merona merah
saat dia memandang gadis itu.
Pagi itu, seperti biasa Aleya
menghantar minuman kepada Tan Sri Hamdan.
Secawan kopi kurang manis sudah cukup untuk majikannya. Tan Sri Hamdan seorang majikan yang
baik. Tan Sri Hamdan tidak pernah
memandang dirinya seperti orang bawahan.
Setiap pagi majikannya itu sering bertanyakan khabar dan senyuman sering
terukir di bibirnya.
Selepas ke bilik Tan Sri Hamdan, dia
bergegas ke bilik Farhan. Setelah
selesai menghantar minuman kepada Farhan, meja Farah pula menjadi tempat
persinggahnnya. Kali ini dia membawa air
milo panas kepada Farah.
“Nah, air untuk Farah.” Farah senyap. Tidak sedikit pun dia memandang
kepada Aleya apa lagi mengucapkan tanda terima kasih.
“Semalam Farah balik pukul berapa?”
Tanya Aleya perlahan. Air muka Farah
perlu dijaga juga. pagi tadi dia tidak
sempat bertanya apabila Farah keluar dari rumah dengan tergesa-gesa. Pertanyaa Aleya tidak disambut, sebaliknya
Farah sempat menjeling kepada Aleya.
“Farah, akak tanya ni.” Farah masih
lagi diam. Dia memandang ke sekeliling
pejabat. Dia mengeluh.
“Farah,”
“Kak, tolong jangan kacau hidup
Farah boleh tak? Farah rimaslah kak.”
“Farah tu adik akak. Dadi tanggung
jawab akak untuk tahu mana Farah pergi. Lagi pun Farah tu anak dara. Tak elok keluar malam-malam.”
“Hidup Farah, adalah urusan
Farah. Akak jadi hidup akak sendiri.
Farah dah besar, kak. Farah tahu apa
yang Farah buat.” Keras sahaja kata-kata
Farah itu. Aleya tersentak dengan
kata-kata Farah itu.
“Tapi Farah,”
“Sudah-sudahlah akak kacau hidup
Farah. Farah nakkan kebebasan. Akak tak berhak nak kongkong hidup Farah.”
“Farah, ingat sikit. Kita sekarang tinggal berdua.”
“Macam ni lah kak. Kalau akak rasa tak boleh nak terima cara
hidup Farah, Fine! Farah boleh keluar dari rumah. Kalau hidup dalam rumah tu dah macam neraka,
baik Farah cari rumah lain.”
“Farah,” Kali ini Aleya bagaikan sudah hilang
sabar.
“Farah bolehlah hidup tanpa kakak
yang kolot dan miskin ni.”
“Farah janganlah marah akak,
dik. Akak tak ada niat nak menyusahkan
Farah. Cuma akak tak nak tengok Farah
susah nanti.” Pujuk Aleya.
“Sekarang ni Farah dah rasa
susahnya, kak.”
“Farah, dengarlah cakap akak ni.”
“Keputusan Farah muktamad. Tinggalah akak kat rumah yang sempit dan
busuk tu.”
“Farah, jangan tinggalkan akak.”
“Biarkan dia pergi!” Aleya dan Farah berpaling.
Haris! Serius sahaja wajah Haris ketika itu. Haris berlalu perlahan menuju ke arah Aleya
dan Farah. Farah mengeluh keras. Kenapalah mamat perasan ni ada kat sini.
“Haris.”
“Biarlah dia keluar kalau itu yang
dia nak.”
“Awak, tolong jangan campur urusan
keluar orang boleh tak? Awak ni siapa
yang nak masuk campur?”
“Amboi Cik kak! Budi bahasa budaya kita tau.”
“Ini urusan saya dengan kakak
saya. Awak tu tak ada hak untuk masuk
campur.”
“Tak mengapalah Haris. Biar saya yang selesaikan masalah ni.”
“Dengan apa yang dia dah buat pada
awak?” Ujar Haris tidak puas hati.
Ya, kalau nak diikutkan hati nak saja
dia berikan penampar muka perempuan yang tidak sedar diri tu. Turun naik nafas Haris bila melihatkan Farah
yang ketawa kecil. Amboi! Memang tak hormat orang langsung.
“Amboi akak, dah ada back up nampaknya. Memang sepadanlah akak dengan mamat ‘dreba’
perasan ni.”
“Awak ni mulut tu jaga sikit. Kakak awak ni tegur sebab dia sayangkan
awak. Dia kongkong awak sebab awak tu
anak dara. Kalau dia tak sayangkan awak,
baik dia tak payah ambil tahu hal awak.
Awak nak mati ke, nak tergolek ke ada dia kisah?”
“Saya rasa saya tak ada kena mengena
dengan awak. Walau apa pun yang terjadi
saya tetap dengan keputusan saya. Kak,
malam nanti saya kemaskan barang Farah dan dengan senang hati Farah akan keluar
dari rumah tu.” Aleya terkejut dengan
keputusan Farah itu.
“Farah tak sayangkan kakak?” Ada getar pada suara Aleya. Haris diam hanya menjadi pemerhati.
“Kalau kakak sayangkan Farah, tak
ada lah akak kongkong Farah. Semua apa
yang Farah buat semua tak kena. Itu
salah, ini salah. Farah bosan, tau! Bosan!”
“Farah….”
“Sudahlah tu, Aleya. Kalau dia sayangkan awak, sudah lama dia
dengar cakap awak.”
“Dah, akak tolong pergi dari
sini. Farah tak nak tengok akak kat sini.”
Air mata Aleya tumpah saat itu. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali
tindakan Farah. Membelakangi nasihat dan
tegurannya kerana seorang lelaki. Dia
cuma ada Farah sahaja di dunia ini.
Hanya Farah sahaja tempat dia menumpang kasih dan manja.
Aleya berlalu dengan perasaan yang
sebak dan sayu. Betapa dia menyayangi
adiknya itu. Pada saat itu kehadiran
Haris bagaikan tidak wujud dihadapannya.
Kaki Aleya bagaikan berat untuk meninggalkan Farah. Berkali-kali dia menoleh kepada Farah agar adiknya
itu menarik balik keputusannya. Namun
hampa. Farah sedikit pun tidak
memperdulikan Aleya. Betapa kecewa hati
Aleya apabila Farah sedikit pun tidak memandangnya.
“Aleya….” Terbit rasa salah dan kasihan di dalam hati
Haris. Melihatkan Aleya yang menangis
sedih, hatinya pula yang merasa geram yang amat sangat.
“Farah adik saya. Hanya dia sahaja yang saya ada. Saya tak punya sesiapa di dunia ni melainkan
dia. Kenapa dia buat macam ni dengan
saya?” Aleya menyeka air mata yang
mengalir.
“Awak tak keseorangan, Aleya.” Tutur Haris perlahan.
“Sekarang dia dah tinggalkan saya.”
“Percayalah cakap saya yang dia akan
pulang kepangkuan awak. Di satu hari
nanti dia akan sedar akan kesilapannya sendiri.
Masa tu dia akan tahu betapa awak sayang dengan dia.”
Aleya memandang kepada Haris. Dicuba untuk memahami dengan maksud yang
dilontarkan oleh Haris.
“Apa yang penting sekarang ni, awak
kena banyak sabar dan berdoa ye.”
Aleya termenung panjang. Kemudiannya dia memandang kepada Haris. Ada
segaris kejururan di wajah lelaki itu.
“Awak fahamkan yang awak tidak
keseorangan?”
Aleya mengangguk.
“Allah ada bersama-sama dengan
awak. Awak kena yakin itu.”
Aleya tersenyum dengan kata-kata
itu. Ah, bagaimana aku boleh lupa?
“Lagi pun saya ada.” Terus berubah wajah Aleya saat itu. Ah, apakah maksud ayat itu?
“Saya tahu, Haris. Awak banyak ambil berat tentang saya. Saya berterima kasih semua tu.”
“Er…. Er….”
“Dah kenapa dengan awak ni
Haris? Gagap pula tiba-tiba.”
“Saya nak ambil berat tentang awak
untuk selama-lamanya.” Haris berlalu
meninggalkan Aleya terpinga-pinga. Haris
menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak berani untuk menyatakan hasrat
hatinya. Boleh pulak dia tinggalkan
Aleya macam tu je. Tak boleh jadi, nak kena minta tolong ni.
Mak Limah masuk ke dalam pantry
sambil membawa barang cucian. Mak Limah
melabuhkan punggung di hadapan Aleya yang dari tadi banyak termenung. Mak Limah melemparkan senyuman dan wajah
Aleya ditatap.
“Aleya…”
“Mak Limah…” Aleya membalas senyuman
walau pun seyuman yang diberikan adalah hanya senyuman kelat dan pahit.
“Sudah-sudahlah tu. Jangan difikirkan sangat.”
“Aleya keseorangan, Mak Limah.”
“Mak Limah bukan ke ada. Lagi pun Haris pun ada.”
“Mak Limah, apa pula kena mengena
saya dengan Haris pulak.”
Mak Limah tersenyum. Bila Aleya sendiri yang sudah membuka cerita,
inilah masanya untuk dia meluahkan apa yang telah dihajati dan harapan Haris.
“Aleya…..”
“Ha, macam ada sesuatu je Mak Limah
nak beritahu dengan saya nampaknya.”
“Gamaknya begitulah.”
“Apa dia Mak Limah? Cakaplah.”
“Mak Limah ni rasa macam serba salah
pulak. Kalau tak disampaikan lagilah
serba salah. Kiri kanan Mak Limah dah
anggap macam anak Mak Limah sendiri.”
“Saya tak faham, Mak Limah.”
“Haris ada beritahu dengan Mak
Limah.”
“Pasal Farah ke Mak Limah.”
Mak Limah menggeleng kepala.
“Haris ada beritahu dengan Mak Limah
yang dia minta tan sri masuk meminang
Aleya. Memandangkan dia tak ada ibu, dia
minta tolong Mak Limah bertanyakan dengan kamu.” Tubuh Aleya kaku. Tidak percaya dengan apa yang terbit dari
bibir Mak Limah.
“Aleye,” Aleya tersentak. Wajah Mak Limah dipandang.
Mak Limah tersenyum bila melihatkan
wajah Aleya yang sudah mula berubah.
Badan Aleya tegak tidak bergerak.
Bibir Aleya terkunci.
“Mak Limah, jangan nak mainkan
saya.”
Mak Limah menggeleng.
“Sekarang bukan masa untuk bergurau,
Mak Limah.”
“Tak ada masa Mak Limah nak bergurau
dengan kamu, Aleya. Banyak lagi kerja
yang boleh Mak Limah buat kalau nak bergurau dengan kamu.”
Aleya mati dengan kata-kata. Air mata Aleya mula bergenang. Tempoh hari dia dihimpit maslaah Farah,
sekarang Haris pula yang menambah sedia ada masalah yang bersarang difikirannya. Ya Allah!
Apakah yang perlu aku lakukan?
“Aleya, Mak Limah percaya Haris
adalah budak yang baik. Aleya pun
baik. Mak Limah suka sangat kalau ada
yang menjaga kamu. Berilah Haris
peluang, Aleya. Sementara ada orang
sayang, terima saja.”
Wajah Mak Limah sekali lagi
ditatap. Sesungguhnya dia tidak tahu
apakah yang perlu untuk dia katakan. Sesungguhnya
dia tidak menyangka bahawa Haris telah menyimpan perasaan terhadapnya di dalam
diam. Dia tidak tahu apakah yang dilihat
dari mata Haris dengan apa yang ada pada dirinya. Dia sedar yang dia hanya seorang anak yatim
piatu.
“Kenapa perlu saya, Mak Limah? Haris berhak mendapatkan yang lebih baik dari
saya. Saya hanya sebatang kara. Tiada ibu dan ayah, Mak Limah.”
“Mungkin di mata Haris Aleya adalah
istimewa. Harapan orang jangan nak
hampakan, Aleya.”
Aleya diam. Dia cuba untuk menimbang dengan apa yang
telah dikatakan oleh Mak Limah.
“Dalam jodoh ni Aleya, kita tak
boleh nak menolak takdir. Mungkin sudah
sampai jodoh Aleya dengan Haris. Lagi
pun Mak Limah dah penatlah.”
“Sudah…. Kenapa pulak?”
“Hari-hari dia tanyakan tentang
kamu. Rimas pulak Mak Limah
dibuatnya. Balik pukul berapalah, Aleya
sihat ke tidak, Aleya makan ke tidak,
hai! Dah macam angau
dibuatnya.”
Aleya mula rasa tidak senang. Takkan sampai macam tu sekali? Apakah yang dipandang oleh Haris sehingga
menjadi suri dalam hidup lelaki itu?
“Mak Limah, saya tak sempurna.”
“Jadi Haris adalah pelengkap hidup
Aleya. Kita ni manusia tak semua yang
sempurna. Sebab itulah Allah jadikan
kita ni berpasang-pasangan. Mak Limah
yakin yang Haris boleh bahagiakan Aleya.
Percayalah dengan Mak Limah.”
Air mata Aleya mengalir
perlahan. Dia tidak tahu apakah jawapan
yang perlu diberi. Namun jawapannya
hanya dua. ‘Ya’ atau ‘tidak’.
“Aleya, terimalah Haris. Dia beria-ia nak jadikan Aleya isteri dia.”
Mak Limah bangkit. Dia meninggalkan Aleya sendirian. Di dalam hati dia berdoa agar Aleya menerima
akan pinangan Haris kerana dia kasihan kan Aleya yang hidup sendirian. Aleya menoleh memandang kepada Mak
Limah. Dia memandang jauh mengenangkan
hasrat Haris. Saat itu wajah Haris
menghiasi ruang matanya. Ah, apakah yang
perlu aku lakukan?
AKHIRNYA Aleya mengambil keputusan
untuk menerima lamaran Haris dengan hati terbuka. Betapa gembira hati Haris dengan jawapan yang
diterima dari Aleya. Haris menetapkan
untuk tidak menunggu lama. Dalam tempoh
tiga bulan Aleya sudah menjadi isterinya yang sah. Betapa hati Aleya terharu dan sedih. Saat dia bergelar isteri kepada Haris, ibu
dan ayah tidak dapat melihat hari bahagia itu.
Malah, Farah juga bagaikan orang luar saat dia diijab kabulkan. Betapa hatinya sedih, namun Haris lebih
pandai memujuk dan menenangkan hatinya yang lara itu.
Haris memandang kepada Aleya dengan
pandangan manja sehingga membuatkan Aleya tertunduk malu. Walau pun dia sudah sah menjadi isteri Haris
namun perasaan malunya masih lagi menebal.
Apa lagi saat di dalam bilik pantry itu.
Hai, kalaulah orang lain yang masuk tak tahu mana dia nak sorokkan muka. Sedangkan Haris ralit memandangnya.
“Jangan pandang saya macam tu boleh
tak?”
Haris tersenyum melihatkan wajah
Aleya yang sudah merona merah.
“Suka tengok Aleya malu macam
tu.” Usik Haris.
“Dahlah, saya nak buat kerja. Abang nak minum tak?”
“Boleh juga. Lagi pun lepas ni abang nak bawa tan sri
pergi tapak.”
Aleya bangkit sambil diperhatikan
oleh Haris sambil tersenyum. Namun di
dalam hati Haris dia diterpa dengan rasa bersalah yang amat sangat. Banyak perkara yang telah disembunyikan tanpa
pengetahuan Aleya. Dia cuba untuk
menerangkan segalanya namun belum sampai masanya untuk dia menceritakan
segalanya.
Selesai sahaja menyediakan air
nescafe buat Haris, dia terkejut dengan kehadiran Farah di dalam bilik pantry
itu. Melihatkan wajah Farah yang tidak
bermaya dan seperti ada masalah itu, dia segera mendapatkan adiknya itu.
“Farah…” Farah tidak menyambut
panggilan Aleya, sebaliknya dia terus memeluk tubuh Aleya. Berderai air mata Farah saat pelukannya
disambut oleh Aleya.
“Farah…. Kenapa ni dik?”
“Maafkan Farah, kak. Farah sudah banyak menyusahkan kakak.”
“Farah, cuba cakap dengan kakak. Apa
yang dah jadi?”
Haris hanya menjadi pemerhati. Kali ini dia tidak sedikit pun mencampuri
urusan kedua beradik itu.
“Maafkan Farah, kak. Farah tak pernah nak dengar cakap kakak. Farah ingkar nasihat kakak. Farah buta kasih sayang kakak. Abang, maafkan Farah.” Pandangan Farah beralih kepada Haris.
“Yang sudah tu sudahlah Farah. Janji awak selamat.” Terus sahaja Aleya memandang kepada Haris.
“Selamat? Apa maksud abang?” alamak!
Aduh! Terlepas cakap pulak.
“Er…. Tak.”
“Saya terjumpa dia malam tadi.” Yes! Penyelamatnya sudah sampai. Terima kasih, Farhan.
“Encik Farhan,”
“Tengah malam tadi saya terserempak
dengan dia di tepi jalan sambil menangis.
Baru saya tahu yang teman lelaki dia tinggalkan dia. Kebetulan saya ada kat sana, saya bawa dia
balik.” Terang Farhan.
“Apa yang dah jadi, Farah?”
“Naim hampir nak merogol saya, kak.”
Aleya terkejut.
“Nasib baik Farah berjaya lepaskan
diri. Dia tinggalkan saya macam tu je
kak. Nasib baik ada Encik Farhan yang
sudi tolong Farah.”
“Terim kasih, Encik Farhan. Kalaulah Encik Farhan tak ada, tak tahulah
nasib adik saya. Budi Encik Farhan
takkan saya lupakan.”
“It’s okey, Aleya. Apa yang penting Farah selamat.” Ujar Farhan tersenyum.
“Jom, kakak hantarkan air kat meja
Farah.”
Farah tersenyum sambil mengangguk.
“Akak marah lagi pada Farah?”
“Kakak tak pernah marah Farah. Kakak tahu Farah seorang yang baik.”
“Terima kasih, kak. Farah janji
takkan akan buat lagi dan Farah janji takkan akan buat akak risau lagi. Maafkan
Farah, kak. Farah betul-betul menyesal.”
Aleya tersenyum dan dia memanjat rasa
kesyukuran yang tidak terhingga dengan perubahan Farah. Dia tahu, setiap yang berlaku pasti ada
rahmatnya. Haris menjadi pemerhati saat
isterinya hilang dari pandangan matanya.
“Oi!
Kau, nyaris-nyaris tadi tau.”
“Itulah, nasib baik kau sampai tepat
masanya. Kalau tidak, masak aku nak
bersoal jawab dengan Aleya tu.”
“Kesian pulak aku tengok dia.”
“Aku nak ucapkan terima kasih dengan
kau. Kalau kau tak ada, tak tahulah
macam mana.” Senyum Haris. Semenjak Farah keluar dari rumah Aleya, Haris
sudah pun meminta pertolongan dari Farhan untuk mengekori Farah kemana sahaja
Farah pergi. Ternyata, Farah sudah
tersalah pilih teman.
“Apa gunanya kawan,kan. Yang kau pun sekarang ni aku tengok bukan
main berseri-seri lagi.”
“Al-hamdulillah….. Aleya sudah mula sayang aku. Mula-mula tu malu yang amat sangat.” Cerita Haris.
“Ah, kau tu apa kurangnya. Kau dengan dia sama je. Kalau tidak, takkan kau suruh Mak Lima tu
tanyakan Aleya. Memang tak gentlemen langsung.” Usik Farhan.
“Itu bukan malu, tapi takut. Kau pun sepatutnya dah boleh cari yang
lain. Takkan kau nak menduda je.”
Farhan menerima kata-kata Haris
dengan perit sekali.
“Kau ingat ada ke yang nak duda
macam aku ni?”
“Engkau ni kan, tak elok tau cakap
macam tu. Aku yakin ada jodoh kau. Tapi…. Aku memang berterima kasih sangat
dengan kau sebab kau dah jagakan Farah.”
“Dahlah tu, lagi pun Farah tu pekerja aku. Kalau ada apa-apa jadi dengan dia, aku juga
yang susah. Mesti mutu kerja dia jatuh
merundum.”
“Lepas ni aku yakin dia takkan akan
berani lagi nak keluar malam. So, aku
rasa sampai sini je lah tugas kau.”
Farhan memandang kepada Haris seolah
ada sesuatu yang ingin dikatakan oleh sahabatnya itu. Haris mengerutkan dahinya. Dah kenapa pulak mamat ni? Bukan ke
hari tu bukan main liat nak buat kerja ni.
sekarang? Ya, bagaikan ada
sesuatu yang disembunyikan oleh Farhan.
“Kau kenapa? Muka dah macam ayam berak kapur ?”
“Haris, agak-agak kalau aku nak jaga
dia sepanjang hidup aku boleh tak?”
Pandangan Haris terus kepada
Farhan. Haris tidak percaya dengan apa
yang didengarnya tadi.
“Maksud kau?”
“Ah, kau ni dah tahu buat-buat tanya
pulak.”
“Yelah, aku saja nak kepastian dari
kau. Aku tak mimpi, kan?”
“Mimpi ke bendanya siang-siang buta
ni?”
“Kalau engkaulah, aku rasa kedua
beradik tu mesti suka dengan kau. Aku
lagilah suka. Dapat biras sahabat
baik. Kau jangan risau. Farah mesti setuju. Apa lagi dengan apa yang kau dah lakukan
malam tadi.”
“Tapi aku takut dia orang tak akan
terima aku.”
“Itu kau jangan risau. Serah je pada aku. Pandailah aku nak buat apa nanti.” Farhan tersenyum. Dia yakin dengan Haris. Di dalam hati, bunga-bunga cinta kian bersemi
untuk Farah.
HARIS memerhatikan Aleya yang sedang
bersiap dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya. Baju kurung moden berwarna hijau olive itu
benar-benar membuatkan hati Haris tertawan.
Hai, tengoklah isteri siapa.
Malam ini, mereka akan menghadiri majlis makan malam anjuran syarikat
mereka bekerja. Melihatkan Aleya sedang
membetulkan tudung, Haris mula merenggek.
Dia kemudiannya memeluk Aleya dari belakang.
“Sayang…. Gosokkan baju melayu
abang.” Aleya berpaling memandang kepada
Haris. Tadi bukan main lagi nak pakai
kemeja dan kot bagai. Sekarang ni? nak
pakai baju melayu pulak.
“Bukan ke abang nak pakai baju
kemeja tadi?”
“Tak naklah. Sayang gosokkan baju melayu hijau olive dalam
almari tu. Barulah kita sedondon.”
Aleya tersenyum. Dia kemudiannya menggelengkan kepala. Laki aku ni, macam-macam ragam. Aleya kemudiannya tersenyum dan mengangguk.
Haris menyambut senyuman Aleya sambil mencuit lembut pipi milik isterinya.
“Abang janji, malam ni adalah malam
paling indah buat sayang.”
“Yelah tu, makan kat hotel kan…” Haris senyum meleret. Ya sayang!
Abang akan pastikan!
Sampai sahaja di dalam dewan hotel,
Haris pantas mengenggam tangan milik Aleya sehingga Aleya terasa malu. Merona wajahnya bila Haris cuba memimpinnya.
“Abang, malulah.”
“Nak malu apa? Kita kan dah halal. Isteri abang kut. Abang bukan apa, abang takut orang mengorat
isteri abang yang cantik dan kiut ni.”
Aleya sambil pandangannya kepada Haris.
Pandangan mereka bertaut. Ya, kini
dia sudah tertawan dengan lelaki itu.
Lelaki itulah menerima dirinya yang sebatang kara. Lelaki itu jugalah yang menemaninya setiap
masa.
Aleya mencari nama di setiap kerusi
namun Haris lebih pantas menariknya ke hadapan.
“Abang, bukan ke tempat kita kat
belakang?”
“Mana ada nama kita kat belakang
tu. Kat depan kut nama kita?” Aleya hanya
menurut sambil memandang kepada Haris.
Lawak apa pulak ni? Dari jauh dia
terpandangkan Farah dan Farhan di meja VVIP bersama-sama dengan Tan Sri Hamdan. Aleya terus meleraikan tangan Haris dan
menuju terus ke arah Farah.
“Farah,” Farah memeluk tubuh adiknya itu.
“Duduklah kak.” Pelawa Farah.
“Tak apa, Farah. Akak tengah cari tempat.” Segan pula Aleya apabila melihatkan Tan Sri
Hamdan sudah pun tersenyum memandang ke arahnya.
“Maafkan saya, tan sri.” Tan Sri Hamdan tersenyum.
“Duduklah Aleya.”
“Eh, tak apa tan sri. Abang, jomlah cari tempat duduk.” Bisik Aleya ke telinga Haris. Farah ketawa dengan kelam kabut kakaknya itu. Aleya terkeju bila Haris dengan selamba duduk
di sebelah Tan Sri Hamdan.
“Nak pergi mana lagi? Duduk sini ajelah.” Ujar Haris.
“Ini tempat oranglah bang.”
“Cuba tengok nama.” Aleya memandang kepada kerusi di sebelah
Haris. Aleya Binti Aman.
“Rasanya nama sayang seorang saja
nama Aleya Binti Aman. Duduklah, acara
dah nak mula tu.”
Aleya akur walau pun dia masih lagi
terpinga-pinga ketika itu. Aleya
memandang sekilas ke arah Tan Sri Hamdan yang masih tersenyum memandang
kepadanya. Serba-salah pula Aleya
rasakan. Sudah pulak tu, bertambah kekok dia duduk semeja dengan Tan Sri Hamdan
sehinggakan makanan yang disediakan dipandang tanpa kelip.
“Kenapa tak makan?” Haris berbisik di telinga Aleya. Eh, eh…. Dah tak nampak agaknya. Makan semeja dengan tan sri memang tidaklah. Cukuplah darah gemuruh yang sedang melanda
sekarang ni.
“Seganlah bang.”
“Nak segan apa?” Aleya senyap.
Malas dia mahu menjawab pertanyaan dari Haris itu. Namun tidak lama kemudian, dia ditanya sekali lagi oleh Haris. Kali ini Haris berani bertanya kepada apabila
Tan Sri Halim sedang memberi ucapan.
“Makanlah sikit. Nanti lapar pulak perut tu. Mari abang suap.”
Haris mencapai sudu dan ingin menyuapkan
nasi kepada Aleya tetapi belum sempat Aleya membuka mulut, lampu terang terus
menghala ke arah mereka. Aleya
membatu. Begitu juga dengan Haris. Terus berubah wajah mereka. Semua yang berada di dalam dewan berdiri
memberikan tepukan gemuruh. Apa kes
pulak ni? Haris tersenyum. ‘Sudah sampai masanya.’ Desis hati Haris. Dia bangkit dan mengambil tempat Tan Sri
Hamdan untuk memberi ucapan. Tan Sri
Hamdan kemudiannya kembali ke kerusi sambil diperhatikan oleh Aleya.
“Dah, jangan buat muka terkejut
sangat. Buat ayah serba-salah pulak.”
Ayah? Tak faham. O…. sungguh dia tak
faham.
“Ayah?”
“Tu… atas tu suami Aleya, anak
ayah.”
“Tapi…”
“Maafkan Haris, Aleya. Bukan salah dia. Ayah yang minta dia jadi driver. Ayah nak dia belajar
dari bawah. Sekarang ayah yakin yang
Haris boleh memikul tanggungjawab menggantikan tempat ayah.”
Aleya terdiam. Dia mati dengan kata-kata.
“Lepas dah tak boleh nak panggil tan
sri lagi. Kena panggil ayah. Penat tau
ayah tunggu saat ni. Ada anak dan
menantu. Ayah nak pencen. Mana tahu tak lama lagi boleh jaga cucu pulak.”
Farah tersenyum melihat gelagat
Aleya. Dia pun sebenarnya baru tahu akan
kebenaran tentang abang iparnya. Itu pun
dari mulut Farhan. Farah bersyukur
sememangnya kakaknya itu berhak mendapat kebahagiaan dan kasih sayang Haris,
lelaki yang sebelum ini dianggap tiada apa-apa.
Selesai sahaja Haris memberikan
ucapan, Haris melabuhkan punggung di sisi Aleya. Lidah Aleya masih lagi kelu. Dia masih lagi tidak percaya dengan apa yang
telah berlaku kini. Perasaannya berbaur.
“Kenapa abang buat Aleya macam ni?”
“Abang nak Aleya sayang abang
seadanya. Bukan kerana harta atau
pangkat. Sayang seorang sahaja yang
sanggup berdamping dengan abang saat abang di bawah. Abang minta maaf dengan sayang. Tapi percaya memang abang terseksa sebab tak
beritahu hal yang sebenarnya.”
“Maafkanlah Haris, Aleya. Dia betul-betul sayangkan kamu.” Aleya
menyeka air mata.
“Dahlah….. jangan buat abang
serba-salah.”
“Abang yang mulakan dulu.”
“Okey, cakap dengan abang. Apa yang sayang nak abang buat sekarang ni?”
Aleya memandang kepada Haris dengan
menguntum sebuah senyuman.
“Tak bestlah makanan kat sini. Lepas
ni teman Aleya makan burger boleh tak?”
“Ala…. Kecik punya hal. Nak makan burger ke? Boleh je.
Tapi…. Kejap. Bukan ke sayang tak
suka makan burger? Sejak bila ni?”
“Entahlah bang. Tekak ni rasa nak makan burger pulak.”
Haris mengerutkan dahi seribu.
“Sayang okey tak ni? ke sayang ada apa-apa nak beritahu dengan
abang?”
Aleya memandang kepada Haris sambil
memandang ke arah Haris. Kali ini Haris
pula yang terpinga-pinga. Di dalam hati
Aleya sudah tidak dapat menahan tawa. Hai, kalaulah Haris tahu yang dia
mengandung, mahu pecah dewan ni dia kerjakan.
Baik tunggu masa yang sesuai.
Nantilah, waktu makan burger kot?
Sesungguhnya, dia tidak menyangka
akan jodoh yang telah diaturkan oleh yang Maha Esa adalah yang terbaik
untuknya. Inilah yang dikatakan
kebahagiaan terindah buat dirinya. Aleya
memandang kepada Haris dengan sebuah senyuman.
Ternyata cintanya hanya untuk Haris seorang.
No comments:
Post a Comment