BAB
1
Mak Senah membuka selak pintu dapur
apabila salamnya tidak disambut. Peluh
yang menitik di wajahnya yang melepasi separuh abad itu dilap dengan lengan
bajunya. Cuaca panas hari itu usah
dicerita. Sempat juga dia menikmati teh
o ais sebelum dia balik dari kedai Mak Lijah tadi. Amboi, nikmatnya tak boleh nak dicerita. Sampaikan Mak Temah, janda vogue pun boleh tumpang sekaki. Alasannya nak singgah saja, tapi singgah ada
maksud si Temah vogue tu. Apa lagi kalau bukan nak cerita hal orang
lain. Mak Senah dengan Mak Lijah dengarkan je.
Bukan dia tak tahu dengan Mak Temah tu.
Semua kisah orang habis nak dicerita.
“Kasih!!!” Laung Mak Senah yang masih lagi mencari
kelibat anaknya. Hish! Mana pulak
perginya anak dara ni. Takkan kena culik
dengan alien pulak. Habis segenap rumah
Mak Senah teroka mencari Kasih. Pelik!
Tadi masa tinggalkan dia okey je.
Elok pulak anak dara tu tengah memasak.
“Kasih!!” Mak Senah cuba tinggikan volume suaranya. Dalam
bilik? Tak ada. Ruang tamu?
Kosong. Hai, mana pulak perginya
dia ni.
“Ka…”
“Kasih sini mak!” Mak Senah mengurut dada perlahan. Nasib baik anak aku ni ada lagi.
“Mana kau pergi Kasih? Puas mak panggil kau. Bukannya kau nak nyahut. Kau buat apa kat belakang tu?”
“Ambil daun pisanglah mak. Bukan ke mak yang beria-ia nak makan ikan
bakar. Takut betul mak Kasih tak ada
ye.” Usik Kasih tersenyum.
“Hish! Kau tu anak dara. Rumah ni tak ada orang jantan. Kau ingat mak tak risau?” Kasih tersenyum lagi bila mendengarkan
bebelan Mak Senah itu.
Ada masa Mak Senah risau juga dengan
kesemua anak daranya. Kasih yang sulung
umurnya sudah menginjak ke angka 32 tahun.
Masih tak ada calon untuk jadikan suami.
Begitu juga dengan Hani, anaknya yang kedua. Umur dah sampai ke angka 28 masih lagi
menunggu pinangan orang. Yang ketiga, Eisya. Walau pun dia paling muda, namun usianya
sudah pun mencapai ke angka 26 tahun.
Ada masa Mak Senah terfikir siapalah jodoh anak-anaknya. Anaknya semuanya perempuan dan menantikan
pinangan orang. Namun dia sedar, anaknya
tiada istimewanya. Walau bagaimanapun,
sebagai ibu setiap kali selepas solat dia seringkali memanjatkan doa untuk
anak-anaknya itu.
“Mak…. Mak…. Sampai kat luar Kasih
dengar mak menjerit. Kasih menyahut mak
tak dengar.” Ulas Kasih.
“Lambat lagi kamu nak habis masak?”
“Tinggal ikan bakar je mak. Sambil masak, Kasih siapkan kuih untuk tok
penghulu. Kalau buat lepas masak nanti
takut tak sempat pulak.” Mak Senah
menepuk dahi. Terlupa sekejap dia dengan
tempahan kuih tok penghulu. Itulah dia,
leka sangat berborak dengan Mak Lijah tadi masa nak ambil kuih. Nasib baik Kasih yang sudah pun tahu tugasnya.
“Ye tak ye juga. Tok penghulu nak kuih dia bila?”
“Petang mak. Talam keladi Kasih dah kukus dah. Cuma yang tinggal kuih koci aje.” Mak Senah mengangguk. Kembang hatinya bila Kasih sudah pun
meletakkan kuih talam dalam tempat kukus.
Ha, kurang sikit kerjanya. Tapi,
kasihan pula dengan Kasih yang dari tadi masih belum berehat.
“Tak apalah, biar mak sambung. Kamu tu, dah mandi ke belum?” Kasih menggelengkan kepala. Dari pagi dia sibuk didapur dan bilik
air. Habis sahaja menjemur kain terus
dia memasak untuk tengahari.
“Patutlah masam. Dah, pergi mandi.”
“Sikit je lagi mak.”
“Eh, budak ni. Aku kata pergi mandi!”
“Yelah….” Mencicit Kasih tinggalkan dapur dan terus
menuju ke bilik.
Selesai sahaja dia membersihkan
diri, Kasih kembali semula ke dapur.
Ikan bakar sudah pun siap dimasak.
Kali ini dia membantu ibunya membungkus kuih koci.
“Mak makanlah dulu. Biar Kasih buat semua ni.” Ujar Kasih sambil
menyusun lauk di atas meja makan. Mak
Senah melabuhkan punggung di kerus sambil matanya tidak lepas memandang kepada
lauk di atas meja.
“Ikan bakar mana?” Tanya Mak Senah sambil memandang kepada
Kasih. Kasih menggarukan kepala.
“Hish! Kamu ni Kasih, belum tua dah lupa.” Usik Mak Senah.
“Dah tua dah mak. Umur pun dah 32.” Sambut Kasih tersenyum. Hai, menjawab je kerjanya budak bertuah
ni. Mak Senah tidak mahu tunggu lama dan
terus menikmati hidangan tengahari itu.
“Betul kamu nak hantar kuih-kuih tu
semua Kasih?” Tanya Mak Senah dihujung
suapannya.
“Yelah mak. Biar Kasih je yang hantar kuih-kuih tu. Mak rehat je kat rumah.”
“Kalau kau nak hantar tu elok-elok
sikit.”
“Menurut perintah, bondaku.” Senyum Kasih.
KASIH mengayuh basikal dengan
perlahan. Mana tahu kuih dalam bakul
boleh terjatuh kalau dia tidak berhati-hati.
Mana nak buat balik, dah pulak tu nak pergi membeli satu hal. Bukannya pakai air liur je. Segala lubang dielak dengan perlahan.
“Ha…. Nak pergi mana tu…. Nak pergi
mana tu…” Hampir terbabas Kasih bila dia disergah dari belakang. Bunyi motor lagenda dari belakang tidak
dihiraukan. Malas dia nak layan lelaki
yang dibelakangnya. Kasih tidak
memandang belakang. Sebaliknya dia
menyorong basikal yang hampir terbabas tadi.
“Nak pergi mana ni Kasih
sorang-sorang.” Kasih diam. Sepatah pun
dia tidak menjawab. Berpaling pun
tidak.
“Sombongnya. Kalau nak pergi mana-mana boleh abang tolong
temankan. Banyak sangat barang yang dibawanya
tu. Bagi abang separuh.” Borhan tersenggeh sambil memperlahankan
motosikalnya sambil bergandingan dengan Kasih.
Kasih memandang ke sekeliling. Mana tahu ada insan yang boleh diminta
tolong. Atau pun dia takut orang akan
salah faham dengannya. Dia tidak mahu
dicop sebagai perempuan gatal yang suka nak melayan suami orang. Kasih berdoa agar Borhan cepat berlalu dari
situ kalau dia tidak gatal melayannya.
“Kau ni kan Kasih, makin sombong
makin abang suka. Eh, Kasih. Kau kahwin dengan abang nak?” E…. geli geleman bila Kasih mendengarkan
perkataan kahwin dari mulut Borhan.
Kalau nak diikutkan hatinya mahu sahaja dia bagi satu smackdown pada
Borhan. Tapi bila mengenangkan yang dia
anak dara dan keseorangan pulak tu, dia matikan niat. Geram dan menyampah pula tengok mamat
gatal melebih ni.
“Kasih…. Kau dengar tak apa yang
abang cakap ni? Kau jangan nak sombong sangatlah Kasih. Kalau kau sombong sangat, sampai bila-bila
pun kau jadi anak dara tua tau.”
Kasih buat tak dengar apa yang dikatakan
oleh Borhan. Dia dah lali semua tu. Ramai orang kampung bercerita tentang
umurnya. Ah, ada dia kisah? Bukan dia kacau orang pun. Tapi apa yang paling dia takut adalah Mak
Temah vogue tu. Kalaulah dia nampak dia berdua-duaan dengan
Borhan sekarang ni, naya je mak kena umpat nanti. Habis satu kampung dia jajakannya.
“Abang tolong jangan kacau
Kasih. Kasih nak cepat ni.”
“Kau nak cepat nak pergi mana
Kasih? Marilah temankan abang.”
Hati Kasih sudah mula rasa tak
senang. Seram sejuk dia melihatkan
Borhan yang seperti hilang pertimbangan itu.
Dari jauh dia terpandangkan rumah tok penghulu. Kasih mengatur langkah dengan lebih laju
lagi. Makin dia laju, makin laju juga
Borhan mengejarnya dari belakang.
“Marilah sayang, kita kahwin.”
“Jangan ganggu oranglah.” Hati Kasih kian tenang bila dia sudah pun
menghampiri perkarangan rumah tok penghulu.
Belum sampai di rumah tok penghulu, Kasih sudah pun menjerit memberi salam.
“Assalamualaikum!!!! Tok!!! Tolong
tok!!!” Jerit Kasih lantang. Air mata
Kasih hampir mengalir bila Borhan masih mengejarnya.
“Tok!!!” Kasih menarik nafas lega bila pintu rumah
dibuka.
“Tolong saya, tok! Abang Borhan kejar saya.” Pandangan Kasih masih lagi kepada
Borhan.
“Hey!” Ternyata Borhan terkejut. Dia kemudiannya menghidupkan enjin motor dan
berlalu dari situ. Bila melihatkan
Borhan hilang dari pandangan mata, barulah Kasih boleh menghela nafas lega.
“Terima kasih tok…” Alamak!
Bukan tok penghulu! Siapa pulak mamat ni? Tak pernah nampak pun. Nak kata anak tok penghulu takkan kot. Semua anak tok penghulu dia kenal.
“Maafkan saya.”
“Hai, atok pun atoklah.” Lelaki itu
tersenyum apabila melihatkan Kasih yang masih lagi terpinga-pinga.
“Tok penghulu ada?”
“Pakcik, ada orang nak jumpa.” Jengah lelaki itu ke dalam rumah. Tidak lama kemudian tok penghulu mula
menjegahkan muka.
“Tok…”
“La… dah sampai kamu Kasih. Kuih dah siap ye. Marilah masuk. Mastura ada kat dalam tengah tunggu. Dari
tadi asyik bertanya bila kamu nak datang.” Ujar tok penghulu dengan mempelawa
Kasih masuk.
“Marilah saya tolong bawakan.” Pelawa lelaki itu.
“Tak apa, tak berat sangat.” Tolak Kasih perlahan. Dia dia kemudiannya menuju ke dapur apabila
mendengarkan Mastura sedang menantikannya.
“Kasih!!” Menjerit Mastura apabila melihatkan Kasih
yang masuk ke dapur. Kasih terus
meletakkan kuih di atas meja dan memeluk kemas rakan baiknya.
“Kenapa muka kau pucat semacam je?”
“Abang Borhan kejar aku. Seram satu badan dibuatnya.”
“Hai, bukan ke abang Borhan tu dah
kahwin anak tiga.” Kasih menganggat
bahu. Dia sendiri tidak tahu kenapa
Borhan suka sangat nak mengorat. E….
selisih dapat lelaki buaya darat macam tu.
Kalau kat rumah bukan main lagi.
Pijak semut pun tak mati. Luar
rumah? Macam cacing kepanasan.
“Wah, kau. Bila nak bersalin ni?” Tanya Kasih apabila
melihatkan perut Mastura yang kian membesar.
Dia cuba untuk mengubah tajuk.
Malas dia nak layan kisah mamat buaya darat itu.
“Tiga bulan lagi.”
“Untung kau. Diam-diam je anak kau dah dua.”
“Ala… rezeki…. Kau pun boleh.”
“Nak boleh macam mana? Kahwin pun tak.” Rajuk Kasih.
“Ala…. Janganlah macam tu. Ada jodoh kau. Cuma cepat dan lambat je.”
Kasih mengeluh. Bila cerita tentang jodoh, wajah ibunya
sering bertandang. Bukan dia tidak mahu
kahwin, tapi…. Mungkin belum sampai jodohnya nak buat macam mana. Dia perempuan, yang menunggu pinangan
orang. Takkan dia nak jadi perigi
pulak. Ada pulak dikatakan anak dara tak
tahu malu. Kalau boleh dia tak nak
menconteng arang dimuka ibunya. Tak bau
syurga nanti.
“Ehem….” Perbualan mereka
terhenti. Kasih dan Mastura berpaling.
Pandangan mata Kasih terarah kepada
lelaki yang telah menyelamatnya tadi.
Senyumannya mak ia, mungkin ramai yang boleh tergoda.
“Kasih, ini aku kenalkan kawan baik
along aku. Nama dia Anas Rizal. Dia ni tengah cari rumah sewa kat kampung
ni. Maklumlah senang ke tempat kerja
katanya.”
“Abang Anas, ini Mas kenalkan kawan
baik Mas. Nama dia Kasih. Dia ni masih single and available.” Pantas tangan Kasih mencubit lengan
Mastura. Mastura mengaduh kecil. Malu pula dia dengan seisi perkenalan itu.
“Kasih…” Anas Rizal senyum. Kasih tunduk malu. Hish! Kenapalah dia pandang aku?
“Er…. Mas, aku kena balik dulu.
Kesian mak tinggal sorang. Nanti kalau
ada masa aku datang.” Yang sebenarnya Kasih tidak mahu lama di situ. Debaran semasa Anas Rizal berada di situ tak
boleh nak diukur. Wahai hati…. Tenanglah
kau.
“Saya temankan awak balik.”
“Eh, tak payah.” Terus tegak kepala Kasih bila mendengarkan
pelawaan Anas Rizal itu. Jangan buat
pasal. Ini kampung, nanti ada saja
wartawan yang tak bertauliah sampaikan gossip sensasi.
“Nanti kalau lelaki tadi kacau awak
macam mana?”
“Tak apa. Saya okey. Mas, aku balik dulu.” Kasih memeluk erat sahabatnya itu. Anas Rizal memandang dengan ekoran mata. Namun dia dalam hati dia masih lagi diulit
rasa bimbang.
“Mas, Iskandar mana?”
“Along ada dalam bilik dia. Kenapa bang?”
“Nak ajak dia ikut Kasih dari
belakang. Mana tau kalau lelaki tadi
kacau dia balik. Nak abang pergi sorang
ada pulak kena cangkul dengan orang kampung.
Abang pergi dulu.” Anas Rizal berlalu meninggalkan Mastura yang
tersenyum simpul. Hai, Kasih…. Nampaknya
ada juga lepas ni cinta berputik.
“Mas….” Mastura tersentak. Wajah suaminya di muka pintu dapur dipandang.
“Kenapa dengan Anas tu? Macam orang tak tentu arah je.” Mastura senyum tidak menjawab soalan suaminya
itu.
sambungan?
ReplyDelete