Salam Readers semua....
Nak belanja semua Bab 1 dari Novel Cinta Kau Di Mana.
Novel ni dah ada di pasaran Februari 2017 di bawah naungan KAKI NOVEL.
BAB 1
Suraya
keluar dari biliknya setelah selesai
solat subuh. Derapan kakinya
memenuhi heningan subuh itu. Walau pun
ibu dan adiknya telah pun berjaga namun dengan suasana hening begitu jelas
kedengaran kakinya melangkah ke dapur.
Suraya sempat berdiri di ruang pintu sebelum dia menuruni anak tangga
untuk ke dapur. Kelihatan Hamdan,
adiknya masih lagi berselubung dengan kain pelikat. Adiknya yang berumur 16 tahun itu tersenggut
di meja makan yang sudah kelihatan usang.
Pandangan Suraya berkalih kepada ibunya, Mak Siah yang sedang leka
mengacau sambal di atas dapur. Aroma
nasi lemak jelas menyinggah di rongga hidungnya. Erm…. Sedapnya bau.
Suraya menarik kerusi dan melabuhkan
punggung di hadapan Hamdan yang masih lagi terpisat-pisat itu. Suraya mencapai kertas surat khabar yang
sudah dikerat dan sehelai daun pisang diletakkan di hadapannya. Nasi lemak yang masih lagi panas disendukkan
dan diletakkan di atas daun pisang.
Sambil menantikan sambal masak, dia meletakkan telur dadar yang telah
dikerat 8 di sisi. Kemudian dia mencapai
ikan bilis goreng bersama dengan kacang tanah goreng diletakkan di sebelah
telur dadar itu. Melihatkan Hamdan yang
masih berselubung itu, Suraya mula mengambil peluang. Kaki adiknya ditendang.
“Aduh! Kakak ni.
Sakitlah.” Kedengaran suara
serak-serak basah milik adiknya itu berbunyi.
“La… kakak ingatkan tak sedar
tadi.” Tangan Suraya sempat mencapai
timun yang siap dihiris dan di letakkan di disebelah kacang.
“Kakak ni, janganlah kacau. Hamdan mengantuk ni.” Hamdan yang masih lagi berselubung dengan
kain pelikat itu bersuara. Mengantuk
matanya usah nak diceritakan. Sudahlah
dia lewat tidur kerana mengulang kaji, kini kakaknya itu sudah mula
mengusiknya.
“Bangunlah Hamdan. Dah sembahyang subuh ke belum ni?” Tanya Suraya dengan suara yang kian meninggi.
“Sudahlah kak. Orang mengantuklah kak. Bagi Hamdan tidur sekejap. Sepuluh minit jadilah.” Ujar Hamdan dengan matanya yang masih lagi
tertutup.
Suraya tersenyum sambil
menggeleng. Kalau dah kata namanya
Hamdan, kalau mana-mana pun dia boleh layan tidurnya. Atas meja makan pun jadi. Kalau di bilik, lagilah pula. Nak mengejutkan punyalah payah. Suraya menantikan Mak Siah siap memasak
sambal. Dia kemudiannya menyiapkan nasi
untuk kali kedua. Nanti senang cuma nak
letak sambal saja di atas nasi.
“Kakak, janganlah tarik kain ni.
Orang nak tidur ni. kacau jelah.” Hamdan menarik semula kain pelikat bila kain
ditarik dari badannya.
“Kakak….” Bila kali kedua kain pelikat ditarik, Hamdan
mula bangkit. Namun belum sempat dia
bangun, dia tersenyum meleret.
“Mak,” Hamdan tersenggeh mempamerkan barisan gigi
yang masih belum digosok lagi. Tawa Suraya meledak saat ibunya sudah mencekak
pinggang.
“Bertuah punya anak bujang. Bukan dia nak menolong kita.” Mak Siah memperlihatkan wajah bagai ibu tiri
saat Hamdan tersenyum bagaikan orang yang tidak bersalah.
Mak Siah meletakkan sambal yang
sudah siap di atas meja. Dengan tidak
menunggu lama Suraya mencapai sambal dan diletakkan di atas nasi. Setelah cukup semua bahan, dengan pantas dia
membungkus nasi lemak dengan kemas. Nasi lemak yag siap dibungkus di letakkan di
tepi. Senang untuk di masukkan ke dalam
bakul.
“Orang tengah tolonglah ni
mak.” Hamdan menggosok matanya sambil
menguap.
“Dia tolong apa mak? Tolong buat tahi mata adalah.” Hamdan menjelirkan lidah bila kakaknya itu
mula bersuara.
“Kakak cemburulah tu. Tak boleh nak buat tahi mata.”
“Sekurang-kurangnya kakak dah dapat
bungkus nasi lemak, tau.”
“Ala… setakat lima bungkus apa ada. Nanti, sekejap lagi hero datang lebih dari tu
Hamdan boleh buat.” Hamdan mendabik
dada. Sengaja untuk mengusik Suraya.
“Cakap dengan air liur
bolehlah. Cepatlah. Pukul berapa nak siap kalau tercegat lagi kat
situ. Nanti nak hantar kat kedai Pak
Usop lambat pulak.” Bebel Suraya sambil
tangannya berjalan menyiapkan bungkusan nasi lemak.
Hamdan menggarukan kepala. Susah betullah kena bebel pagi-pagi buta ni.
Buat rezeki lari je. Hamdan tidak
tunggu lama. Dia segera masuk semula ke
bilik dan mengambil tuala untuk mandi.
Tinggallah Suraya dan Mak Siah yang menyiapkan bungkusan nasi lemak.
“Hari ni kamu nak keluar juga ke
Suraya?” Tanya Mak Siah memecah
keheningan pagi itu.
“Entahlah mak. Macam dah putus asa rasanya nak minta
kerja. Puas dah Su tanya kerja
kosong. Temuduga dah banyak pergi. Satu
pun tak sangkut, mak.” Keluh Suraya
perlahan.
Semenjak Suraya berhenti kerja
ekoran dari gara-gara kegawatan ekonomi kini dia menjadi penganggur. Puas sudah dia menadah muka untuk mencari
kerja, namun semuanya sia-sia sahaja.
Banyak tempat yang dia sudah jalani temuduga namun satu pun yang tidak
dipanggail untuk lapor diri. Akhirnya
dia membantu ibunya menjual nasi lemak.
Namun, sampai bila dia boleh bertahan.
Keluarganya perlukan kewangan yang kukuh memandangkan Hamdan akan
menghadapi peperiksaan penting tahun depan.
Sekiranya ada rezeki, jika Hamdan dapat melanjutkan pelajaran sudah
tentu dia perlukan wang. Suraya
tekad. Sekiranya tiada rezeki di tempat
kelahirannya, dia ingin keluar dari kampung untuk mencari rezeki yang tetap.
“Kamu tak tanya dengan Zulaika
kalau-kalau tempat dia nak pakai orang.”
Suraya menggeleng.
“Sudah, mak. Dia kata tak ada. Su pergi pun dia kata dia dah tak ambil orang
lagi.” Zulaika yang menjadi kerani di
kilang electronic turut menjadi mangsa kaunter pertanyaan oleh Suraya. Namun jawapan yang diberikan oleh Zulaika itu
benar-benar mengecewakan hatinya.
“Dengan Zahid? Sudah kamu bertanya dengan dia?” Kali ini
nama Zahid pula dikaitkan.
“Agak-agaklah mak. Bengkel motor tu. Takkan Su nak kerja kat sana. Mak nak tengok Su ni macam orang jantan ke?
Silap hari bulan tayar ke mana, ekzos ke mana.”
“Hish! Ke situ pulak kamu ni. Manalah tahu kalau dia orang nak pakai
kerani. Takkanlah mak nak kamu repair motor tu.”
Suraya tertawa dengan kata-kata ibunya itu. Betapa jauh fikiran orang tua itu.
“Mak ni kan, macamlah dia tu buka
syarikat besar. Kalau ada dah lama Su
minta. Sekarang ni susah nak cari kerja
mak. Itulah, Su ingatkan….” Kata-kata
Suraya mati dengan tiba-tiba.
Mak Siah yang sedang membungkus nasi
lemak juga terhenti dengan tiba-tiba.
Matanya melekat memandang kepada Suraya yang sudah tunduk memandang
meja. Ah, sudah. Jangan pulak dia minta buat kerja yang
bukan-bukan. Siaplah kalau dia minta
kerja yang bukan-bukan. Satu Malaysia
dia akan kejar anak daranya itu.
“Su jangan nak buat hal ye. Banyak lagi kerja halal yang boleh buat. Nak mak sirakan kamu dengan cili, silakanlah
buat yang bukan-bukan.”
Pulak! Suraya memandang kepada Mak Siah. Merah mata Mak Siah membuatkan Suraya tertawa
buat kali kedua. Entah apa pula fikiran ibunya kini. Dia sendiri tidak menyalahkan ibunya untuk
berfikir yang bukan-bukan. Maklumlah dia
anak dara yang tidak punya ayah. Mesti
ibunya risau dan fikirkan yang bukan-bukan.
“Mak ingat Su nak buat apa?”
“Keldai dadah.” Kali ini benar-benar membuatkan Suraya
ketawa.
“Mak ni banyak sangat tengok
TVlah. Keldai dadah. Tak ada kerja lain ke yang mak nak
fikirkan. Buat Su pecah perutlah.” Ujar Suraya yang masih bersisa tawanya.
“Siapa yang nak jadi keldai
dadah?” Kali ini suara Hamdan mula
menerpa. Hamdan yang sudah siap berbaju
sekolah menarik kerusi untuk membantu menyiapkan nasi lemak. Dia juga handal di dalam membungkus nasi
lemak. Semenjak dia berumur sepuluh
tahun Mak Siah sudah pun mengajarnya membungkus nasi lemak.
“Tak, mak ni….. dia ingat kakak nak
jadi keldai dadah.”
“Siapa? Kakak?
Bila masa pulak dia nak keluar negara mak. KL pun susah dia nak lepas. Inikan pulak nak pergi ke luar negara.”
Mak Siah tidak bersuara. Sebaliknya dia meneruskan membungkus nasi
lemak. Sesekali dia memandang kepada Suraya dan Hamdan. Jauh di sudut hati dia begitu kasihan dengan
kedua-dua anaknya itu. Suraya seorang
yang cerdik. Namun dia hanya mampu
menampung Suraya hanya sehingga STPM.
Setelah Suraya berjaya menerima berita baik akan permohonan Suraya ke
menara gading akhirnya anak itu mematikan angan-angan dan semangat belajar
semata-mata mahu membantunya.
“Er…
Su rasa kalau Su tak dapat kerja kat sini Su rasa Su nak ke Kuala Lumpur.”
Terhenti
kerja-kerja Mak Siah sekali lagi. Mak
Siah memandang kepada Suraya. Cuba untuk
mencari akan kebenaran dari kata-kata anaknya itu. Hamdan juga turut terkejut
dengan kata-kata Suraya itu. Suraya sudah
banyak berfikir semenjak akhir-akhir ini.
Seandainya sudah tiada rezekinya di tanah kelahiran, dia perlu melangkah
untuk mencari rezeki di tempat lain.
“Mak
tak mimpi ke?”
“Tak, mak. Su rasa memang dah tak ada rezeki Su kat
sini.” Ujar Suraya dengan penuh nada pasrah.
Bukan dia tidak mencari kerja, namun semuanya tidak memihak
kepadanya. Kini, dia mula mengalah. Akhirnya ini sajalah jalan yang terlintas di
fikiran.
“Su nak tinggalkan mak ke?” Ada nada
getar dalam suara Mak Siah.
Suraya sudah mengagak akan reaksi
ibunya. Sudah tentu selepas ini air mata ibunya pasti tumpah. Bukan niatnya untuk meninggalkan ibunya,
namun dia sudah membuat timbangan untuk memajukan juga dirinya.
“Su rasa ada rezeki Su di sana. Lagi pun bila Hamdan berjaya SPM nanti
sekurang-kurangnya ada simpanan kita untuk lihat Hamdan berjaya.” Kali ini nama
Hamdan pula dijaja.
Hamdan terhenti dengan
tiba-tiba. Dia memerhatikan Suraya
dengan rasa kasih. Selama ini dia
mengakui kakaknya itu banyak membantu keluarga itu. Namun dia tidak menyangka kakaknya itu ingin
melangkah jauh lagi. Pandangan Hamdan
kemudiannya berpaling kepada ibunya, Mak Siah.
Keputusan dari ibunya masih lagi dinanti.
“Tapi kenapa KL? Bukan ke banyak kerja kat sini.”
“Mak, apa yang Su perlukan adalah
restu dari mak. Su berharap sangat yang
mak akan doakan Su berjaya. Bukan niat
Su nak tinggalkan mak. Su sayangkan mak.
Sebab itu Su nak sangat kerja yang boleh membahagiakan mak. Kerja yang boleh berikan kejayaan buat
Hamdan.”
Kata-kata Suraya itu bagaikan
mencuit rasa keibuan Mak Siah. Dia
bagaikan belah-bagi dengan keputusan anaknya itu. Namun jawapannya hanya dua. ‘Ya’ atau
‘tidak’. Mak Siah mengakui perjalanan
keluarga itu masih jauh lagi. Suraya
masih belum berkahwin dan Hamdan masih lagi dibangku sekolah.
Mak Siah mengeluh perlahan.
“Hamdan rasa mungkin ada betul
keputusan yang kakak buat, mak. Kakak
perlukan perubahan. Kesian kakak. Bukan maksud Hamdan yang buat nasi lemak ni
tidak berikan kita nafkah, tapi kakak perlukan kerja yang tetap, mak.” Mak Siah memandang kepada Hamdan dengan
melihat wajah anaknya itu.
“Kalau boleh, Su nak tengok mak
senang. Su sedih bila tengok mak bangun
pagi-pagi bungkus nasi lemak semata-mata nak lihat kami berjaya. Kali ini Su perlukan berkat dari mak untuk Su
mencari rezeki di tempat lain.” Suraya
mencapai tangan Mak Siah dan menggenggamnya erat.
Bukan senang untuk Mak Siah
melepaskan Suraya pergi. Bermacam-macam
yang bermain difikirannya. Kuala Lumpur,
sudah bermacam-macam dia dengar. Bukan
cerita yang baik, namun kebanyakkan cerita-cerita buruk yang menjerut tangkai
hatinya. Takkan mahu dia menghulurkan
leher sedia dihukum. Mak Siah tidak
segera menjawab. Sebaliknya dia
termenung sebentar sebelum dia meletakkan nasi lemak di dalam bakul.
“Tentang nasi lemak, janganlah mak
bimbang. Hamdan ada boleh bantu
mak.” Kali ini Hamdan beria-ia untuk
membantu kakaknya itu merealisasikan impian.
“Mak bukan tak nak bagi, cuma mak
takut nak lepaskan Su. KL tu….
Hish! Kecut perut mak dengar macam-macam.”
Terang Mak Siah.
“Apa penting, doa dan restu
mak. Mak, Su perlukan semua tu. Mak doakan yang Su berjaya dan tidak berubah.
Mak, bahaya tu ada kat mana-mana. Yang
penting doakan yang Su seperti Su sekarang ni.”
Suraya cuba memujuk ibunya.
Keluhan Mak Siah kian keras. Apakah patut untuk dia menahan akan cita-cita
anaknya demi melihat anaknya di depan mata?
Selama 25 tahun dia tidak pernah berenggang dengan Suraya. Dan kini?
Dia perlu melepaskan pergi anaknya itu demi mencari sesuap nasi? Mak Siah membisu lagi. Fikirannya melayang. Dia tidak tahu akan apa jawapan yang perlu
diberi. Namun jauh di sudut hati dia
bagaikan merelakan.
“Mak….”
Mak Siah berpaling.
“Baiklah. Mak izinkan.
Tapi….”
“Terima kasih, mak.”
“Tapi…. Mak nak tengok macam mana Su
sekarang ni, macam itulah Su di sana.
Kalau tidak mak tak teragak-agak untuk Su balik semua ke kampung.” Suraya tersenyum dengan keputusan ibunya itu. Suraya merapati Mak Siah dan memeluk ibunya
dengan erat dan padu betapa dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.
No comments:
Post a Comment