RAMADHAN TERINDAH
Rayyan melangkah kemas sambil
membuka butang lengan baju kemejanya.
Sesekali dia menganggukkan kepala apabila dia ditegur. Walau bagaimana pun, tiada secebis senyuman
yang diukirkan oleh Rayyan. Langkahnya
kian laju untuk sampai ke tingkat bawah.
Great! Dia menepuk dahi. Beg dan note booknya masih lagi di dalam
bilik. Haish! Macam mana boleh
lupa. Akhirnya naik semula ke atas dan
mengambil segala barang. Sesekali dia
memandang kepada jam di tangan kiri.
Nampaknya sudah terlewat untuk pulang ke rumah. Perkara yang paling dia benci, menghadap
kesesakan lalu lintas.
Sebaik sahaja kakinya melangkah
keluar dari bangunan itu, dia ditahan oleh seorang wanita yang sudah berusia
lebih lingkungan 60 an. Langkah Rayyan
terhenti. Wajah yang dipamerkan begitu
masam. Aduh! Orang lagi nak cepat, ada
saja halangannya.
“Tolonglah makcik, nak. Belilah
keropok makcik ni. Dari jauh makcik
datang. Belilah nak.” Rayu wanita tu itu.
“Saya nak cepatlah makcik. Jangan nak ganggu saya. Tak ada tempat lain ke nak mengemis?” serta merta wajah wanita tua itu
berubah. Mungkin dia tidak menyangka
yang Rayyan sanggup berkata demikian.
Namun itulah Rayyan. Dia begitu
sombong dan bongkak.
Melihatkan wajah wanita tua yang
sudah mula berubah, Rayyan tersenyum sinis.
Dia menjeling tajam kepada wanita tua itu tanpa sedikit pun rasa kasih
dan kasihan. Baginya, wanita itu
bagaikan kuman untuk dirinya. Betapa dia
jijik dan benci.
“Tolonglah nak. Beli barang sebungkus.”
“Hesy, orang tua ni memang tak faham
bahasa agaknya. Makcik, dah saya
kata. Jangan ganggu saya. Makcik carilah orang lain.” Nada Rayya kian tegang.
“Anak,” Perasaan sayu kemudiannya bertandang di hati
wanita tua itu. Dia tidak meyangka akan
Rayyan yang tiada adab itu.
“Arghh!”
Kaki Rayyan melangkah tanpa
memandang kepada wanita tua yang hampa itu.
Pak Mat yang berada tidak jauh dari situ sudah pun membuka pintu untuk
majikannya. Rayyan terus masuk ke dalam
perut kereta dan meminta Pak Mat segera beredar dari situ. Pak mat hanya memandang Rayyan melalui cermin
pandang belakang. Wajah tenang milik
Rayyan dipandang sekilas. Pak Mat
mengeluh kecil. Di dalam hatinya, sering
kali berdoa agar majikannya itu berubah.
Pak Mat tahu, kalaulah mama Rayyan masih hidup sudah tentu Rayyan tidak
seperti ini. Pak Mat sebenarnya merasa
kasihan dengan Rayyan yang kurang dengan kasih sayang. Kehilangan papa dan mama. Dia yakin, satu
hari nanti Rayyan akan berubah.
Tiba-tiba pemanduan Pak Mat hilang
kawalan. Pak Mat memberikan signal dan berhenti di bahu jalan. Kedengaran sayup di telinga Pak Mat dengan
keluhan dari Rayyan. Pak Mat membuka
pintu dan meninjau tayar belakang. Dia
menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Aduh,
bala ni! Rayyan kemudiannya menurunkan cermin tingkap.
“Kenapa Pak Mat?”
“Tayar buat hal, Encik Rayyan.” Ujar
Pak Mat sambil memandang kepada tayar yang sudah kempis.
“Kenapa tak check sebelum bawa?
Macam-macam hallah.” Rengus
Rayyan.
Pak Mat diam dan tidak
menjawab. Dia kemudiannya membuka bonet kereta
dan mengambil keperluan untuk membuka tayar.
Rayyan memandang keluar. Pasaraya
yang berada di seberang menarik perhatiannya.
Dia memandang ke belakang. Walau
pun jarak pejabat tidak berapa jauh, namun untuk berjalan kaki ke pejabat,
memang tidaklah. Melihatkan Pak Mat yang
sedang menukar tayar, Rayyan segera turun dari kereta.
“Lambat lagi ke Pak Mat? Kalau lambat lagi, saya nak pergi ke Mall
sana. Nak cari barang sikit. Kalau dah
siap, Pak Mat call saya. Lagi pun panas sangat kat sini.”
“Yalah,” Sambut Pak Mat ringkas. Pak Mat menyambung semula membuka nat tayar
dan membiarkan Rayyan sendirian.
Saat Rayyan ingin melintas, dia
dapat merasakan tangannya direntap kasar.
Tersirap darah Rayyan apabila sebuah kereta yang melintas dekat dengannya. Kalaulah dia tidak ditarik, sudah tentu dia
menjadi arwah di situ. Terus berdetak
kencang hati Rayyan. Rayyan berpaling
cuba melihat empunya tangan yang telah menyelamatkannya. Kelihatan seorang lelaki tua di dalam
lingkungan enam puluh-an tersenyum memandang.
“Anak, bahaya kalau ikut jalan
ini. Itu, ada jejantas. Kalau ikut sana mesti selamat.”
Rayyan terus memandang lelaki
itu. Nampak sangat lelaki tua itu tidak
terurus. Pakaian yang dipakai oleh
lelaki itu kelihatan lusuh. Beberapa
plastik setia ditangan kirinya. Lelaki
tua itu masih lagi tersenyum memandang kepada Rayyan. Lelaki tua itu kemudiannya meninggalkan
Rayyan dan berlalu menuju ke arah jejantas.
Rayyan mengekori lelaki tua itu dan langkahnya kemudiannya mengikut
jejak dengan menaiki anak tangga.
Langkah Rayyan kemudiannya
terhenti. Pandangan Rayyan ralit
memandang kepada lelaki tua itu yang sedang membentangkan kotak di
tengah-tengah laluan jejantas. Lelaki
tua itu segera duduk dan plastik yang dibawanya tadi dibuka. Sapu tangan kecil yang berada di dalam
plastik itu dicapai dan peluh yang menghiasi wajah tua itu dilap kemas.
Rayyan melangkah perlahan. Dia ralit memandang lelaki tua yang baru
dikenalinya. Sehingga tiba kepada lelaki itu, segera lelaki itu meleretkan
bibirnya. Rayyan menyambut senyuman
lelaki itu. Sekilas, Rayyan menjadi
pemerhati. Mungkin sini tempat tinggal lelaki ini, telahan hati Rayyan. Rayyan mencangkung.
“Pakcik saya lupa nak ucapkan terima
kasih tadi.”
Lelaki itu senyum lagi.
“Sama-sama.”
Rayyan mencapai wallet di celahan
kocek belakang. Beberapa helai note ungu
ditarik. Kemudiannya dia menghulurkan
wang berjumlah 200 ringgit kepda lelaki yang baru sahaja dia kenal. Lelaki itu menolak.
“Ada baiknya anak sedekah wang ini
pada yang memerlukan.”
“Saya tahu pakcik perlukannya.”
“Pakcik tolong anak ikhlas. Ambillah balik duit ni.” Rayyan memandang pelik. Tidak pernah dia melihat orang yang menolak
rezeki. Bukan seringgit dua dia
hulurkan, bahkan dua ratus ringgit.
“Tapi pakcik…”
“Panggil saja pakcik Ismail.” Pak Ismail memperkenalkan dirinya.
“Nama saya, Rayyan pakcik. Pakcik, tolonglah terima.” Tangan Rayyan masih lagi menghulurkan wang
tersebut.
“Tak perlu. Anak sedekahkan pada yang lain. Pakcik tolong tak harapkan apa-apa. Bahaya
kalau pakcik pegang duit banyak-banyak ni.”
Rayyan merasa serba salah untuk
masukkan kembali wang berkenaan. Namun
atas desakan Pak Ismail, dia akur. Entah
mengapa, satu perasaan yang menyelinap di dalam hati Rayyan. Perasaan yang dia sendiri tidak boleh
gambarkan. Masakan tiada tempat tinggal
pakcik ni? Di mana anak-anaknya? Dia dihalau keluar rumahkah? Bertalu-talu persoalan yang bermain di dalam
fikiran Rayyan.
Tiba-tiba telefon bimbit Rayyan
berbunyi. Tertera nama Pak Mat di skrin
telefon bimbitnya. Mungkin sudah siap
agaknya. Telahan Rayyan. Selesai sahaja dia menjawab panggilan Pak Mat, dengan
berat hati Rayyan memandang kepada Pak Ismail untuk meninggalkan lelaki itu.
“Pakcik, saya kena gerak dulu. Insha Allah…. Ada masa kita jumpa lagi. Pakcik ada kat sini sentiasa ke?”
“Mana lagi pakcik nak pergi. Sini sajalah tempat pakcik.” Rayyan tersenyum. Namun jauh di sudut hati, perasaan Rayyan
melonjak untuk mengetahui akan lelaki yang dia kenali dengan pakcik
Ismail.
Berat kaki Rayyan untuk melangkah
pergi. Perlahan sahaja dia mengatur langkah
sambil dia berpaling ke belakang. Saat
dia berpaling, ada seorang gadis yang singgah di tempat Pak Ismail sambil
membawa beg plastik. Beg plastik itu
kemudiannya bertukar tangan. Siapa pula gadis itu? Apa kena mengena pula gadis itu dengan pakcik
Ismail? Rayyan ingin kembali kepada Pak
Ismail namun dia matikan sahaja niat itu.
Rayyan menuruni anak tangga dengan perasaan yang berbaur. Wajah Pak Ismail kian jelas di ruang
matanya. Redup mata Pak Ismail bagaikan
menceritakan satu penderitaan.
“Dah siap Pak Mat?” Tanya Rayyan
sebaik sahaja sampai di kereta.
Pak Mat berpaling. Saat dia memandang kepada Rayyan, dia pasti
ada sesuatu yang telah terjadi. Wajah
Rayyan tidak seperti tadi. Malah, tiada
satu barang pun yang dibeli oleh Rayyan.
Pak Mat melihat Rayyan seperti terpinga-pinga. Hajat hati dia cuba untuk tahu apa yang telah
terjadi, namun lidahnya kelu untuk bersuara.
Akhirnya dia matikan hajat untuk bertanya.
“Kalau dah siap kita balik.” Ujar Rayyan yang segera membuka pintu
kereta.
Pak Mat tidak menyambut sebaliknya
dia membuka pintu kereta dan terus berlalu meninggalkan tempat itu. Pak Mat masih lagi memandang kepada
Rayyan. Dia melihat anak muda itu
kelihatan sedikit binggung. Rayyan
banyak termenung seolah memikirkan sesuatu.
“Encik Rayyan tak ada apa-apa
ke? Pak Mat tengok Encik Rayyan macam
risau aje.” Melihatkan wajah Rayyan itu,
Pak Mat seolah tidak senang hati.
Akhirnya bersuara dan bertanya.
“Tak ada apa, Pak Mat. Saya okey.”
Ada segaris senyuman di bibir Rayyan.
Hati Pak Mat menjadi pelik. Sebelum ini dia susah untuk mendengar suara
Rayyan yang mendatar. Malah, untuk
melihatkan Rayyan tersenyum bagaikan terseksa dibuatnya. Pak Mat tidak bertanya lagi, sebaliknya
membiarkan Rayyan melayani perasaan sendiri.
Semenjak dari itu, Rayyan sering
kali teringatkan Pak Ismail. Wajah
lelaki itu tidak pernah padam dari ingatan dan fikirannya. Sihatkah dia? Makankah dia? Rayyan mengeluh perlahan dan entah mengapa, hatinya
melonjak untuk bertemu sekali lagi dengan Pak Ismail. Beg kertas yang mengandungi pakaian dipandang
dengan penuh makna. Renungan kasih
sayang dari Pak Ismail membuatkan dia tidur tak lena. Apa yang pasti, dia akan berjumpa lagi dengan
lelaki itu.
Petang itu, sebaik sahaja pulang
dari kerja, Rayyan meminta Pak Mat memberhentikan kereta di jejantas tempat dia
bertemu dengan Pak Ismail. Beg kertas
yang berada di sisi dicapai dan terus keluar dari perut kereta. Pak Mat sekadar memerhati. Hati Pak Mat terdetik dengan perubahan sikap
Rayyan yang tiba-tiba berubah. Hari ini
boleh nak berhenti di sini. Nak pergi
mana pula bos aku ni? Hati Pak Mat mula
dilanda perasaan ingin tahu. Dia pun
risau juga kalau ada orang mengapa-apakan Rayyan.
“Pak Mat, saya mungkin lewat
sikit. Pak Mat pergilah jalan dulu.
Nanti saya telefon Pak Mat.” Pesan Rayyan.
“Tapi Encik Rayyan nak pergi
mana? Nak Pak Mat temankan ke?” Tanya Pak Mat yang mula rasa tidak sedap
hati.
“Saya okeylah Pak Mat. Saya ada kat sini aje. Pak Mat janganlah risau.” Senyum Rayyan.
Melihatkan senyuman Rayyan itu.
makin pelik pula Pak Mat dengan kelakuan Rayyan. Perubahan itu sebenarnya menggembirakan hati
Pak Mat. Tidak pernah dia melihat Rayyan
yang sentiasa tersenyum itu. Hurm….
Mungkin nak berjumpa dengan buah hati kut?
Telahan hati Pak Mat. Kali ini
senyuman Pak Mat pula yang bertamu.
Kalau betullah Rayyan sudah ada buah hati dan menyebabkan Rayyan berubah
seperti ini, dia mahu berjumpa dengan gadis itu dan mengucapkan terima
kasih.
“Kalau macam tu, Pak Mat tunggu sini
ajelah. Lagi pun Pak Mat tak tahu nak
pergi mana. Kalau Encik Rayyan perlukan apa-apa beritahu dengan Pak Mat.” Ujar Pak Mat.
Rayyan mengangguk sambil melemparkan
senyuman. Berkali-kali Pak Mat memandang
kepada Rayyan seolah tidak percaya lelaki Rayyan adalah sama yang dia kenal
sebelum ini. Rayyan menaiki anak tangga
jejantas dengan perasaan gembira yang tidak terkata. Sebaik sahaja tiba di anak tangga terakhir,
dia melihat gadis yang sama ada bersama-sama dengan pakcik Ismail.
Rayyan menghampiri pakcik Ismail dengan beg kertas di
tangan. Ketika menyedari akan kedatangan
Rayyan, Pak Ismail berpaling dan tersenyum.
Rayyan menyambut senyuman dan senyumannya kemudian beralih kepada gadis
di sebelah Pak Ismail. Namun senyuman
Rayyan tidak bersambut. Malah, gadis itu
memandangnya dengan perasaan takut.
“Pakcik sihat?” Tegur Rayyan sambil bersalam dengan Pak
Ismail.
“Sihat, al-hamdulillah. Ini pakcik kenalkan, Qaseh.”
Qaseh tidak memandang kepada Rayyan
sebaliknya dia hanya tunduk. Bukan dia tidak mahu membalas senyuman Rayyan,
namun dia takut kalau Rayyan perasaan
akan dirinya. Rayyan adalah CEO dan
majikannya. Sedangkan dia hanya tukang
cuci di bangunan milik Rayyan.
“Ini ada buah tangan untuk pakcik.”
“Apa ni Rayyan, tak payah nak
susah-susah. Pacik tak nak semua ni.”
“Ambillah pakcik. Tanda terima kasih saya pada pakcik. Saya ikhlas.”
Pak Ismail menurut. Akhirnya beg
kertas itu mula bertukar tangan.
“Ini anak pakcik ke?” Tanya Rayyan yang lirikannya masih lagi
kepada Qaseh. Gadis itu benar-benar
tidak berani memandang ke arahnya.
Senyuman Rayyan bertamu. Tidak lama kemudian, kedengaran Pak Ismail
tertawa kecil.
“Bukan, ini Qaseh. Setiap hari dia mesti jumpa dengan pakcik.
Berikan bekalan untuk pakcik. Pagi dengan tengahari biasanya dia singgah
saja. Petang balik kerja barulah boleh
nak berborak panjang.” Cerita Pak
Ismail.
Rayyan sekadar melirik kepada Qaseh
sekali lagi. Qaseh masih lagi tidak
memandang kepada Rayyan sebaliknya terus tunduk. Entah mengapa, melihat kepada
Qaseh hatinya bagaikan dipalu.
Debarannya bagaikan tiada henti. Haish!
Kenapa ni?
“Awak selalu datang jumpa dengan
pakcik Ismail ke?” Tanya Rayyan
perlahan.
Kali ini barulah Qaseh berani memandang. Itu pun tidak terus kepada Rayyan.
“Hari-hari saya berjumpa dengan
pakcik Ismail. Saya dah anggap macam
ayah saya sendiri.”
Rayyan terdiam. Seraya itu dia memandang kepada Pak Ismail.
“Qaseh ni budak baik.” Melebar senyuman Qaseh apabila dia dipuji.
“Saya tak sampai hati tengok pakcik
Ismail. Kalaulah saya boleh bawa dia
balik rumah, tapi itulah. Saya pun duduk
rumah sewa. Ramai pula tu.”
Pandangan Qaseh kemudiannya kepada Pak
Ismail yang sudah pun dia anggap lelaki itu seperti ayah. Kerana dia pun adalah anak yatim piatu.
Betapa dia merasa gembira saat bersama-sama dengan Pak Ismail, kerana lelaki
itu banyak memberikan panduan dan nasihat kepadanya. Tambahan lagi dengan kehidupan di
metropolitan yang kian mencabar. Rayyan
tersentak apabila dia disapa oleh Pak Ismail.
Wajah Pak Ismail ditatap.
Lama.
Rayyan bersila di sebelah Pak
Ismail. Dia memandang ke hadapan. Sayup angin menampar pipinya membuatkan dia
terleka sejenak. Walau pun ramai orang
yang lalu lalang namun hati Rayyan bagaikan tenang dan damai. Tidak lama kemudian, Rayyan melihat Qaseh
sudah pun bangun. Rayyan mendongak dan
memandang. La…. Dah nak balik ke? Baru nak beramah mesra.
“Saya balik dulu, pakcik. Encik Rayyan saya balik dulu.” Izin Qaseh dengan senyuman di bibir.
Rayyan hanya memerhatikan sahaja Qaseh
sehingga hilang dari pandangan matanya. Pak
Ismail tersenyum melihatkan gelagat Rayyan yang tidak lepas memandang kepada
Qaseh. Perlahan dia menepuk lembut bahu
Rayyan. Terus terkejut Rayyan ketika
itu.
“Lama pandang.” Tegur Pak Ismail tersenyum. Rayyan malu sendiri. Hai, mesti pakcik ni fikirkan yang
bukan-bukan tentang dirinya.
“Dia budak yang baik, Rayyan.”
“Apa maksud pakcik?”
“Dari Rayyan pandang dia. Jangan nak malu, Rayyan. Pakcik pun pernah muda dulu.”
Rayyan tersenyum dengan usikan itu dan
wajahnya mula merona merah. Walau pun
kelibat Qaseh sudah hilang dari pandangan mata, namun dia masih lagi memandang
ke arah ruang jejantas saat dia melihat Qaseh buat kali terakhir. Rayyan kemudiannya menoleh kepada Pak
Ismail. Semenjak dia bertemu dengan Pak
Ismail, hatinya sering kali tertanya.
Rayyan cuba untuk membuka mulut, namun dia sebenarnya takut. Takut sekiranya ayat yang meniti di bibirnya
akan membuat hati lelaki tua itu tersentuh.
“Pakcik, kalau Rayyan tanya pakcik harap
jangan marah.”
Rayyan merapatkan silanya.
“Tanyalah Rayyan. Pakcik takkan marah.” Seraya itu Rayyan memandang.
“Pakcik tak ada keluarga?”
Pertanyaan Rayyan itu kemudiannya
disambut dengan keluhan kecil dari Pak Ismail.
Senyuman terukir di bibir Pak Ismail walau pun ianya kelat. Buat sekali dua dia mendapat soalan seperti
itu. Malah, hampir semua yang dia jumpa
bertanyakan soalan yang sama. Dulu,
semasa Qaseh mula mengenali dirinya, soalan yang sama dituju. Bukan dia tidak mahu bercerita, namun itu
membuatkan hatinya mula merintih.
Pak Ismail sekadar menggelengkan
kepala. Sudah tiga tahun dia menghuni
laluan jejantas itu. Ada yang simpati
dengan nasib dirinya, malah ada juga yang memandang serong kepadanya. Walau pun dia di situ, dia tidak pernah
meminta sedekah kepada mana-mana orang yang lalu lalang. Saban hari dia mengumpul tin kosong, kertas,
kaca dan barang terbuang untuk dia teruskan hidup. Dengan umurnya yang kian senja, siapalah yang
mahu mengambilnya bekerja. Walau pun dia
sentiasa merasa perit dengan kehidupannya kini, namun dia tahu pasti ada sinar
buat dirinya. Mungkin tidak di dunia
tetapi di akhirat kelak.
“Pakcik,”
Pak Ismail tersentak.
“Maafkan Rayyan kalau buat pakcik
berkecil hati.”
“Rayyan tak buat salah. Kalau pakcik ada di tempat Rayyan pun akan
tanya perkara yang sama.”
“Kalau pakcik tak nak bercerita Rayyan
tak nak paksa.”
“Biarlah pakcik tanggung sendiri,
Rayyan.”
“Kalau sendiri nanti makan diri. Macam saya.”
Wajah Rayyan berubah. Dia
melepaskan keluhan berat. Terus sahaja
Pak Ismail memandang. Dia tidak faham dengan apa yang telah dikatakan oleh
Rayyan sebentar tadi.
“Saya sebatang kara, pakcik. Saya sendirian dalam hidup ini. Walau pun
pakcik nampak saya seperti ini, tapi sebenarnya saya kosong. Perasaan sunyi dan kosong itu saya lepaskan
kepada semua orang.”
Luahan hati Rayyan itu menyentak hati
Pak Ismail. Namun apa yang dia lihat
tidak seperti yang digambarkan. Rayyan
yang dikenali tidak pernah pula memandangnya dengan perasaan hina. Mustahil bagi Pak Ismail mengiakan kata-kata
Rayyan itu.
“Siapa kata kita ni bersendiri? Rayyan jangan lupa yang kita ada Allah. Allah ada sentiasa dengan kita untuk
mendengar. Apa yang tersirat di dalam
hati Rayyan luahkan sahaja kepada Allah yang maha Esa. Insha Allah… pakcik yakin hati Rayyan akan
menjadi tenang.”
Rayyan agak terpukul dengan kata-kata
Pak Ismail itu. Ah, saat itu dia
merasakan yang dia begitu keji sekali.
Sering kali dia menolak takdir dengan apa yang telah terjadi. Dia merasakan Allah tidak adil menarik semua
insan yang dia sayang. Namun sebenarnya
dia lupa, dia mempunyai kemewahan yang sebenarnya boleh membawa dia kepada jalan
yang diredhai. Perasaan sebak mula
melingkar di lubuk hati Rayyan. Dia sepatutnya
bersyukur kerana dikurnai dengan ayah tiri dan ibu yang begitu
menyayanginya. Namun semua itu sudah
menjadi sejarah dalam hidupnya saat dia ditinggalkan sendirian.
“Rayyan, setiap apa yang Allah utuskan
ada sebabnya. Allah menghadiahkan dugaan
untuk kita beriman kepada DIA. Mungkin
ada hikmahnya yang kita sendiri tidak tahu.
Ada masa Allah memberikan kita ujian kerana Allah nak berikan kita
hadiah yang lebih bermakna. Cuma kita
sendiri tidak tahu bila dan bagaimana kerana itu adalah rahsia ALLAH.”
Ya!
Kali ini Rayyan mula mengalah.
Air mata yang hampir jatuh disapu dengan perlahan. Kata-kata Pak Ismail benar-benar membuatkan
hati lelakinya tersentuh. Ya Allah! Betapa aku kerdil disampingMU. Rayyan melihat Pak Ismail tersenyum.
“Rayyan sepatutnya bersyukur dengan apa
yang Rayyan ada sekarang ini. Ada masa
kita tak boleh memandang dengan mata kasar, kita kena melihat dengan mata
hati. Pandang sekeliling dan pasti ada
yang lebih susah dari kita.”
Rayyan masih lagi membisu. Dia tidak tahu apakah yang perlu dia katakan
ketika ini. Dia membiarkan sahaja Pak
Ismail sahaja yang berkata-kata. Rayyan
tunduk. Nasihat dari Pak Ismail itu
membuatkan dia tersedar.
“Rayyan boleh cari kebahagiaan Rayyan
sendiri. Tapi, kena dengan landasan yang
Allah tetapkan. Pakcik yakin, orang
sebaik Rayyan pasti ada yang sedang menanti.
Pakcik doakan kebahagiaan Rayyan.”
Rayyan tersenyum pendek.
“Ada ke kebahagiaan buat saya,
pakcik. Saya pun tak pernah nak
menghargai orang. Apa lagi nak suruh
orang sayangkan saya.” Keluh Rayyan.
“Jangan terlalu cepat kita pertikaikan
percaturan yang telah ditetapkan. Pakcik
yakin, kalau Rayyan beri ruang pada hati untuk terima orang, pasti orang akan
sayangkan kita. Sekarang ni pakcik
nampak yang Rayyan sudah terima pakcik.
Pakcik yakin selepas ini, Rayyan akan terima yang lain pula.”
Rayyan terdiam. Dia kemudiannya tersenyum.
“Eh, hari dah nak malam ni. Pakcik nak ke masjid. Lagi pun malam ni sudah masuk satu
ramadhan. Tak sabar pakcik nak kenakan
baju baru yang Rayyan bagi. Nanti ada
masa kita borak lagi ye. Itu pun kalau
Rayyan sudi datang jumpa dengan pakcik.”
Rayyan menepuk dahinya. Alamak!
Macam mana dia boleh lupa malam ini sudah bermula solat terawikh. Dia kemudiannya membantu mengemas barang-barang
Pak Ismail. Segalanya dikutip dan
dimasukkan di dalam beg plastik. Rayyan
melihat senyuman di bibir Pak Ismail tidak pernah padam. Ah, mengapa dia dengan Pak Ismail jauh
berbeza. Lelaki itu tiada apa pun untuk
dibanggakan, namun mempunyai hati yang bersih.
Sedangkan dia? Dia mempunyai
kehidupan yang mewah, tetapi dia miskin dengan iman dan ilmu akhirat.
“Marilah saya bawakan pakcik.” Pelawa Rayyan.
“Tak perlulah Rayyan. Bukan jauh sangat pun. Pakcik dah biasa jalan kaki. Lagi pun saja pakcik nak kumpul pahala. Rayyan pergilah balik. Sayang kalau kita lepaskan malam yang penuh
berkat ni.”
Rayyan membantu Pak Ismail untuk
bangun. Dia senyum dan menyerahkan beg
plastik dan beg kertas kepada Pak Ismail.
Dia memerhatikan sahaja Pak Ismail berlalu dari situ sehingga hilang
dari pandangan matanya. Mendengarkan
nasihat dari Pak Ismail, mendorong Rayyan memikirkan semula tentang
dirinya. Dia merasakan dirinya begitu
hina sekali. Rayyan melangkah perlahan dan dia melihat Pak Mat masih lagi setia
menantikannya.
Pak Mat menyedari akan wajah Rayyan yang
begitu redup sekali. Seolah ada sesuatu
yang telah terjadi kepada majikannya.
Pak Mat cuma membiarkan Rayyan membuka pintu kereta. Pelik dengan apa yang berlaku, Pak Mat terus
masuk ke dalam perut kereta. Biasanya,
dia yang akan membuka pintu kereta untuk Rayyan. Tadi, tidak sangka pula Rayyan membuka pintu
kereta sendiri. Namun apa yang
memeranjatkan hati Pak Mat, boleh pula si Rayyan tu duduk depan. Kebiasaan majikannya itu akan duduk di belakang.
“Pak Mat,”
Pak Mat berpaling.
“Malam ni dah masuk satu Ramadhan kan.”
“Kenapa Encik Rayyan? Encik Rayyan ada nak pergi mana-mana ke?”
“Itulah, saya rasa nak pergi satu
tempat. Biasanya Pak Mat ikut saya,
kan. Kali ini saya nak ikut Pak Mat pulak.”
Pak Mat tersentak. Memang dia tidak faham apa yang dimaksudkan
oleh Rayyan itu. Sudah! Kenapa pulak dengan majikan aku sorang ni. Tak pernah nak ikut orang. Hari ni mimpi apa pula sampai nak ikut orang.
“Maafkan Pak Mat. Pak Mat tak faham.”
“Nanti ajak Mak Kiah sekali ya.” Ujar Rayyan yang membuatkan hati Pak Mat
terus pelik.
“Kemana pula Encik Rayyan nak ikut Pak
Mat? Cuma malam ni Pak Mat nak pergi
masjid. Ada terawikh.”
“Saya nak ikut. Pak Mat bawa balik kereta ni, lepas maghrib
Pak Mat ambil saya.”
“Encik Rayyan jangan main-main. Takkan nak ikut Pak Mat pulak. Tak pernah nak
ikut. Encik Rayyan okey tak ni?”
“Untuk pertama kali, saya rasa
tenang sekali Pak Mat.”
Pak Mat melirik kepada Rayyan. Senyuman yang terukir di bibir Rayyan
membuatkan Pak Mat masih lagi tertanya-tanya.
Sebenarnya, apa yang dah jadi? Rayyan memandang kepada Pak Mat. Pemandu peribadi yang sudah lama berkhidmat
dengannya tetapi jarang sekali dia bertanya khabar apa lagi untuk dia
berbual. Apa yang dia tahu, Pak Mat
punyai isteri yang bernama Mak Kiah. Itu
sahaja yang dia tahu. Yang lain? Haram satu pun tak pernah dia nak bertanya.
“Pak Mat ada anak?” Pertanyaan itu membuatkan Pak Mat berpaling.
“Encik Rayyan, kalau ada masalah
beritahu aje dengan Pak Mat. Kenapa pulak hari ni macam pelik perangai Encik
Rayyan?” Meledak tawa Rayyan.
“Nampak sangat ke Pak Mat? Ala… saja nak tahu. Saya tak pernah nak ambil tahu hal
orang. Nak lagi orang macam Pak Mat,
orang yang bekerja dengan saya.”
“Rasanya mesti ada yang membuatkan
Encik Rayyan jadi macam ni. Nak kogsi
dengan Pak Mat?”
“Semenjak kecil, saya kehilangan
orang yang saya sayang. Saya tak tahu
bagaimana untuk saya luahkan kasih sayang saya.
Pada saya, seorang itu adalah lebih baik. Tapi itu membuatkan saya lebih sunyi. Saya merasa kosong, Pak Mat.” Ada nada kesal di situ.
“Encik Rayyan janganlah cakap macam
tu. Satu hari nanti ada yang penuhkan
kekosongan Encik Rayyan tu. Pak Mat
yakin semua tu. Macam inilah, raya nanti
Pak Mat kenalkan keluarga Pak Mat dengan Encik Rayyan. Itu pun kalau…”
“Saya seribu kali sudi, Pak
Mat.” Belum sempat Pak Mat meyambung
kata-kata Rayyan sudah terlebih dahulu memotong.
Pak Mat tersenyum. Dia terus berdoa agar majikannya itu akan
terus berubah.
QASEH terkejut apabila dia disergah
oleh rakannya, Sapiah. Mahu gugur
jantungnya apabila mendengarkan suara Sapiah yang begitu memetir. Sudahlah masuk tak diberinya salam, boleh pulak
dia menjerit macam nak runtuh bangunan.
“Kenapa Sapiah?” Tanya Qaseh yang terkulat-kulat memandang
kepada Sapiah.
“Beb, kau kemaskan bilik Encik
Rayyan kan pagi tadi?”
Qaseh mengangguk perlahan. Hari ini, dia ditugaskan membersihkan bilik
Rayyan memandangkan Kak Munah tidak sihat hari ini. Kalau bukan Kak Munah, yang menggantikan Kak
Munah tu biasanya si Milah. Hari ni
boleh pulak si Milah tu cuti kecemasan.
Nak atau tidak terpaksalah dia mengemas bilik CEO apabila diarahkan oleh
setiausaha Rayyan. Bukan dia tak nak
buat, inilah masalah kalau dia
mengemas. Mesti encik CEO tu tengah naik
tocang kat atas.
“Kau ada usik barang-barang dia
tak?”
“Er…”
“Aku tanya dengan kau ni. Kau ada usik barang dia tak?”
“Aku tak usik. Tapi aku ada kemas fail dia yang berselerak
tadi. Kenapa? Salah ke aku kemas fail dia?”
“Eh, kan kau tahu yang dia tak suka
kalau barang dia diusik. Tugas kau cuci
aje. Kau tahu tak dia dah naik hantu kat
atas tu. Dia nak jumpa dengan orang yang
kemas bilik dia. Habis kau Qaseh.”
Aduh! Bala!
Qaseh sudah tidak senang duduk.
Menyesal pula dia mengemaskan fail di bilik Rayyan. Tapi nak buat macam mana? Dia dah mengamuk kat atas tu. Qaseh menggarukan kepala yang tidak gatal. Paling tak best, nak jumpa pula tu. Sah!
Kena maki jawabnya.
“Kau tunggu apa lagi? Pergilah cepat. Lagi lambat kau jumpa dia, naik hantu pulak
dia.” Sapiah menarik tangan Qaseh.
Langkah Qaseh merasakan begitu berat
sekali. Nafasnya bagaikan terhenti saat
dia berada di hadapan pintu bilik Rayyan.
Jantungnya dari tadi tidak berhenti berdetak kencang. Banyak betul doa yang dia baca semata-mata
untuk lembutkan hati majikannya itu.
Pintu bilik diketuk perlahan.
Suara Rayyan yang sayup kedengaran membuatkan Qaseh memulaskan pintu bilik
Rayyan. Qaseh tunduk saat dia melangkah
masuk ke dalam bilik itu.
“Awak yang kemaskan bilik
saya?” Pertanyaan keras dari Rayyan itu
disambut dengan anggukkan kecik milik Qaseh.
Sumpah! Dia tidak berani untuk
memandang kepada Rayyan ketika ini.
Namun hanya itu sahaja suara yang didengari
oleh Qaseh. Kemudian, keadaan menjadi
sunyi seketika. Pulak! Apa dah jadi?
Kenapa senyap? Qaseh cuba untuk
mendongak namun dia tidak berani. Dia
masih lagi menunggu kata-kata dari Rayyan.
Namun hampa. Lama juga dia
berdiri di situ dengan merenung lantai.
“Qaseh,”
Qaseh terus mendongak. Kali ini dia bertentang mata dengan
Rayyan. Saat itu, jantungnya bagaikan
terhenti apabila dia melihat Rayyan tersenyum kepadanya. Qaseh meliarkan pandangan. Yalah, mana tahu yang dia tu senyum dengan
orang lain. Tapi tak mungkin sebab dia
panggil nama aku.
“Saya tak sangka yang awak kerja
dengan saya.” Lontaran suara yang lunak
itu membuatkan Qaseh menunduk
kembali.
“Saya minta maaf, Encik Rayyan sebab
dah susahkan Encik Rayyan. Saya janji
saya takkan usik lagi barang-barang Encik Rayyan lagi.” Ujar Qaseh dengan penuh getaran. Dia merasakan air matanya hampir mahu
mengalir.
Melihatkan wajah Qaseh yang berubah
itu membuatkan Rayyan menjadi serba-salah.
Nampaknya ada pula yang banjir kilat dalam bilik ni. Entah mengapa, hati Rayyan pula menjadi tidak
tenang. Wajah gadis yang berada
dihadapannya mula dipandang.
“Awak janganlah nak menangis. Saya dah jumpa dengan fail tu.” Pujuk Rayyan.
“Kalau tak ada apa-apa saya balik
tempat saya. Saya minta maaf banyak
Encik Rayyan dengan apa yang terjadi.”
Saat kali Qaseh mahu melangkah,
namanya diseru sekali lagi. Langkah
Qaseh mati. Dia berpaling, dan sekali
lagi dia melihat Rayyan tersenyum lagi.
Hati Qaseh mula rasa gundah gulana.
Wahai hati, tenanglah dikau.
“Hari ni awak nak jumpa dengan
pakcik Ismail ke?”
Tanpa suara Qaseh mengangguk.
“Saya nak ikut.” Kali ini terbuntang mata Qaseh mendengarkan
rayuan Rayyan. Betul ke tidak dia
ni? Nak ikut orang pulak.
“Saya nak pergi beli makanan untuk
dia. Lagi pun saya jalan aje kaki Encik Rayyan.
Tak perlulah ikut saya.”
“Saya betul-betul nak ikut
awak. Tolonglah. Kita pergi bazar Ramadhan belikan makanan dia
nak?” Qaseh melihat Rayyan begitu
beria-ia mengikutnya.
“Saya tak nak Encik Rayyan susah
nanti. Tak apa, saya boleh belikan
makanan untuk dia.” Qaseh sebenarnya
malu diajak oleh Rayyan. Nanti kalau
orang lain nampak apa pula kata orang.
Dia sedar siapa dirinya. Namun
ajakan dari Rayyan itu begitu jujur.
“Please….
Qaseh. Saya nak sangat tahu tentang pakcik
Ismail.”
Qaseh memandang kepada Rayyan. Rasa kasihan pula dia melihatkan wajah Rayyan
yang begitu mengharap. Melebar senyuman
Rayyan apabila Qaseh mengangguk perlahan.
Riang hati Rayyan apabila Qaseh sudi terima pelawaannya. Tidak sabar untuk dia berbual tentang Pak
Ismail bahkan dia ingin juga mengenali akan gadis itu. Gadis yang sedikit sebanyak telah menambat
hati lelakinya.
Jam sudah menunjukkan ke angka 4.30
petang. Rayyan lantas mencapai telefon
bimbit dan kot yang tersangkut di kerusi. Tidak lupa juga dia mencapai beg bimbit di
atas meja. Dia perlu sampai dulu di
bawah sebelum Qaseh. Yalah, mana tahu
kalau Qaseh sudah pulang awal. Pasti dia
akan menggigit jari nanti.
Sebaik sahaja kakinya melangkah
keluar, dia melihat Pak Mat sudah pun menunggu.
Seperti biasa, Pak Mat akan membukakan pintu untuknya. Pandangan Rayya kemudiannya kepada wanita
yang pernah dia herdik dulu. Kelihatan
wanita itu mula meninggalkan bangunan itu apabila menyedari akan kehadiran
Rayyan.
“Makcik,” Wanita itu berhenti.
“Maaf nak, makcik pergi dari sini
sekarang juga.” Takut pula wanita itu dengan Rayyan. Peristiwa saat diherdik oleh Rayyan masih
jelas dalam ingatan. Sebelum dia dimarah
lagi, baik dia larikan diri.
“Makcik, maafkan saya.” Ucapan itu membuatkan wanita itu
terpinga-pinga.
“Saya dah berkasar dengan
makcik. Siapa ya nama makcik?”
“Er…. Limah. Panggil saja Mak Limah.” Mak Limah mula berpaling dan mahu
meninggalkan tempat itu.
“Mak Limah, saya nak beli semua
keropok Mak Limah tu.” Langkah Mak Limah
terus mati. Dia seperti tidak percaya
dengan apa yang baru dia dengar.
“Anak tak main-main?” Rayyan tersenyum menggeleng.
“Saya beli semua sekali. Ini duitnya.”
Rayyan mencapai beg duit dan menyerahkan beberapa note kepada Mak Limah.
“Banyak sangat ni, nak. Mak Limah tak ada duit nak tukar.”
“Tak apa Mak Limah. Mak Limah ambil aje semua ni. Saya belanja.” Hampir bergenang air mata Mak Limah. Dia menyerahkan plastik yang penuh dengan
keropok kepada Rayyan. Rayyan menyambut
dengan penuh gembira.
“Mak Limah doakan anak dapat
kebahagiaan dan dimurahkan rezeki.”
Saat itu, bergetar seluruh tubuh
Rayyan. Pak Mat yang berada tidak jauh
dari situ tersenyum gembira. Mak Limah
berlalu dengan perasaan terharu dan gembira.
Dia telah meninggalkan satu perasaan sebak yang tidak boleh digambarkan
oleh Rayyan. Ah, betapa dia tenang dan
gembira dengan kata-kata yang berbau doa
itu. Plastik yang penuh dengan
keropok itu diserahkan di meja pertanyaan.
“Awak berikan sahaja keropok ni pada
semua.” Pesan Rayyan. Terkejut juga pekerja ni kaunter pertanyaan
itu. Sebelum ini, dia tidak pernah
melihat Rayyan bertegur dengannya. Hari
ini, boleh pula dia berikan keropok dua plastik besar sambil tersenyum
manis. Pelik!
“Jom Encik Rayyan, kita balik.” Ajak Pak Mat.
“Kejap Pak Mat. Saya kena tunggu seseorang. Mungkin sekejap lagi dia keluar.”
Pak Mat mengerutkan dahi. Rasanya Rayyan tiada temu janji hari
ini. Tambahan pula bulan puasa
begini. Rayyan selalunya akan menghadkan
temujanjinya. Tidak lama kemudian,
melebar senyuman Rayyan apabila melihatkan Qaseh mula melangkah keluar dari
bangunan.
“Marilah masuk.” Pelawa Rayyan.
“Tak apalah Encik Rayyan saya duduk
di depan dengan Pak Mat.” Pinta
Qaseh.
“Awak duduk sajalah belakang. Saya duduk depan.”
“Tak nak. Nanti macam pelik pulak. Encik Rayyan kan bos.”
“Bos tak bos. Ke awak nak jemaah sekali dengan saya duduk
belakang?” Sepantas kilat Qaseh sudah
pun masuk ke dalam perut kereta. Merona
pipi Qaseh apabila dia disergah begitu.
Rayyan kemudiannya duduk di hadapan
bersebelahan dengan Pak Mat. Dari tadi
senyuman dari bibir Pak Mat tidak pernah putus.
Tambahan lagi saat melihatkan wajah Rayyan yang berseri-seri itu.
“Pak Mat, nanti kita singgah kat
bazar Ramadhan.”
“Encik Rayyan nak beli juadah ke?”
“Kita pergi sekali.” Pak Mat mengangguk.
Pak Mat memandang kepada Qaseh yang
duduknya tidak senang. Mahukan tidak,
majikan duduk di depan sedangkan pekerja duduk dibelakan. Tak ke pelik nampaknya. Tetapi persoalannya sekarang, bila masa pula
Rayyan bersama-sama dengan Qaseh. Itu
yang membuatkan hati tuanya pelik. Dia
bukannya tidak kenal dengan Qaseh. Boleh
dikatakan setiap hari dia akan berbual dengan Qaseh. Tak ada pula Qaseh bercerita tentang Rayyan.
“Nanti lepas beli makanan, Pak Mat
singgah kat jejantas yang selalu kita singgah tu ya.” Pinta Rayyan dengan gembira.
“Hari-hari Pak Mat tengok Encik
Rayyan pergi ke sana. Ada apa-apa
ke? Maaflah kalau Pak Mat ni
bertanya.”
“Nak jumpa dengan kawan Pak Mat. Lepas tu kita hantar Qaseh ni balik.” Pak Mat mengangguk.
“Eh, tak apalah Encik Rayyan. Lagi pun saya biasa nak tren. Laluan kita pun
tak sama.” Tolak Qaseh.
“Kan saya dah kata nak hantar. Lagi pun bukan jauh sangat pun rumah awak.”
Qaseh diam. Takut pula dia nak bersuara. Buatnya bos mengamuk, tak pasal-pasal kena
humban dari tingkap kereta. Saat tiba di
Bazar Ramadhan, debaran Qaseh singgah sekali lagi apabila dia jalan beriringan
dengan Rayyan. Sesekali dia berpaling ke
belakang. Hai, Pak Mat ni boleh pulak dia senyum mengena. Kelincahan mulut Rayyan yang bercerita
membuatkan Qaseh diam seribu bahasa. Dia
hanya mengangguk atau menggeleng sahaja apabila ditanya.
“Qaseh nak beli apa, belilah. Saya belanja.”
“Eh, tak apa. Saya boleh beli sendiri.” Tolak Qaseh.
“Pakcik Ismail suka makan apa ya?”
“Kalau tiba bulan puasa dia suka
makan murtabak. Biasanya tak sah kalau
saya tak belikan untuk dia.” Terang
Qaseh.
“Kalau Qaseh?” Qaseh memandang. Ah, nak menjeratlah tu. Qaseh tidak menjawab sebaliknya meninggalkan
Rayyan sendirian dalam keadaan terpinga-pinga.
Rayyan tersenyum. Dia membiarkan Qaseh di hadapan. Rayyan mendapatkan Pak Mat dan bertanyakan
sesuatu. Pada mulanya Pak Mat agak
keberatan untuk berterus-terang kerana risau juga apa yang akan dikatakan oleh
Qaseh nanti. Namun apabila dipaksa oleh
Rayyan Pak Mat terpaksa juga memberitahu akan kuih kegemaran Qaseh.
“Nah, kuih tepung pelita untuk
awak.” Qaseh tersentak. Hesy, macam mana dia ni boleh tahu kuih
kegemaran aku? Ini mesti Pak Mat yang
beritahu. Qaseh berpaling memandang kepada Pak Mat. Pat Mat tersenggeh. Memang sah Pak Mat yang beritahu makanan
kegemarannya.
“Tak payah nak susah, Encik
Rayyan. Saya boleh beli sendiri.”
“Tak ada susahnya. Jom, kita dah
lambat nak jumpa dengan pakcik.” Ajak
Rayyan. Qaseh akur dan terus mengekori langkah Rayyan.
SAAT terpandangkan Rayyan yang
bergandingan dengan Qaseh mengundang senyuman di bibir Pak Ismail. Qaseh masih lagi kekok bersama-sama dengan
Rayyan. Rayyan merasa tidak sabar untuk berjumpa
dengan Pak Ismail. Kali ini Rayyan
bertekad untuk mengajak Pak Ismail tinggal dengannya. Dia merasa kasihan akan lelaki itu. Semenjak dia bertemu dengan Pak Ismail,
hidupnya sudah banyak berubah. Jika dia
tidak bertemu dengan Pak Ismail, sudah tentu dia tidak tenang seperti hari
ini. Dia sudah mula sayang dengan lelaki
itu.
“Berseri-seri nampaknya hari
ni.” Tegur Pak Ismail kepada Rayyan yang
sedang bersalam dengannya.
“Nak jumpa dengan pakcik. Mestilah gembira.”
“Ya ke, macam tak percaya. Atau Rayyan gembira dapat jalan sama dengan
Qaseh.” Mendengarkan usikan Pak Ismail
itu, membuatkan Qaseh malu sendiri.
Qaseh menjeling kepada Rayyan yang sudah tertawa kecil.
“Pakcik ada-ada aje. Janganlah buat Qaseh macam tu. Kesian dia.” Saat Rayyan memandang kepada
Qaseh, dia dapat melihat jelingan dari gadis itu. Lantaran itu dia tersenyum kepada Qaseh. Akhirnya Qaseh tunduk dan tidak lagi
memandang kepada Rayyan.
“Ini Rayyan ada bawakan pakcik
murtabak. Qaseh kata pakcik suka dengan
murtabak.” Plastik yang berisi murtabak
mula bertukar tangan.
“Terima kasihlah Rayyan, Qaseh. Semoga berbahagia hendaknya.”
“Amin….” Sambut Rayyan.
Hai, rasa tak senang pula hati Qaseh
apabila dipandang oleh Rayyan. Dia hanya
mampu melayani perasaannya sendiri. Ini
tak boleh jadi. Qaseh kemudiannya
meminta izin untuk pulang. Saat itu dia
dapat melihat akan perubahan pada wajah Rayyan.
“Kan tadi saya dah kata yang saya
akan hantar Qaseh balik.”
“Tak apalah Encik Rayyan. Nanti takut lambat pulak Encik Rayyan sampai
rumah. Saya balik dulu. Pakcik, Qaseh
balik dulu. Nanti kita jumpa lagi.”
Betapa hampa hati Rayyan apabila melihatkan
Qaseh mula berlalu. Dia tidak boleh
menipu dirinya sendiri apabila dia merasa tenang saat bersama-sama dengan
Qaseh. Pak Ismail memandang kepada
Rayyan yang seperti terpinga-pinga.
Memang sah anak muda ini sedang dilamun cinta.
“Pakcik rasa Rayyan pun kena balik
juga. Dah nak berbuka. Nanti kita borak
lagi.” Ujar Pak Ismail.
“Ala… baru nak berborak dengan
pakcik.”
“Nak borak apa dengan pakcik
ni. Bukannya ada cerita apa pun. Setakat cerita orang tua, siapa yang nak
dengar.”
Senyum Rayyan mula mekar.
“Tapi cerita pakcik berisi. Saya ni banyak yang jahil. Saya perlukan orang tua dalam hidup saya,
pakcik.” Nada Rayyan kendur. Perasaan sedih menyelinap di seluruh
tubuhnya. Wajah kesanyangan tiba-tiba
menari di ruang matanya.
“Pakcik pun bukannya baik sangat
untuk memberi nasihat kepada kamu.
Rayyan sendiri tengok macam mana keadaan pakcik, kan.”
“Mungkin pakcik miskin, tapi pakcik
kaya dengan iman. Saya ni, mungkin kaya
di mata orang tapi saya ni miskin di sisi Allah.” Lantas Pak Ismail memandang kepada Rayyan
yang wajahnya kelihatan amat sayu.
“Sebab itu, dari muda lagi Rayyan
kena dekatkan diri dengan Allah. Allah
memberi lorong untuk setiap umatnya berubah.
Mungkin Allah sudah beri petunjuk kepada Rayyan untuk Rayyan berubah.”
“Dah perubahan itu, pendorongnya
adalah pakcik.”
“Apa yang pakcik dah buat,
Rayyan. Tiada apa pun. Tapi kalau itu yang membuatkan Rayyan
berubah, pakcik bersyukur sangat.”
Rayyan memandang kepada Pak Ismail
dengan penuh rasa kasih. Dia masih lagi
kemas dalam silanya. Entah mengapa,
begitu berat untuk dia meninggalkan Pak Ismail.
Namun dia perlu bergerak pergi kerana wang sudah pun menunjukkan ke
angka 615 petang. Terpaksa jugalah dia
meminta izin untuk pulang ke rumah.
Sebelum lebih jauh dia meninggalkan Pak Ismail, dia berpaling. Hatinya mula rasa tidak tenang. Haish!
Kenapa ni? Dengan berat hati dia
melangkah ke kereta.
“Eh, mana Qaseh, Encik Rayyan?” Tanya Pak Mat apabila melihat Rayyan yang
jalan keseorangan.
“Dah balik, Pak Mat. Dah, jom kita balik.”
Pak Mat melihat riak muka Rayyan
yang kelihatan sedih. Dia tidak bersuara
sehingga di dalam kereta.
“Encik Rayyan okey tak? Macam sedih aje. Kalau ada masalah, kongsilah dengan Pak
Mat. Mana tahu Pak Mat boleh tolong.” Pujuk Pak Mat.
Rayyan menggeluh perlahan. Mungkin ada baiknya dia berkongsi masalah
dengan Pak Mat. Ada mungkinnya juga
hatinya menjadi senang dan tenang. Raut
wajah Pak Mat dipandang Rayyan seolah mencari kekuatan untuk dia
bercerita. Walau pun berat dirasakan,
namun itulah yang perlu dia lakukan untuk tidak menanggung deritanya sendiri.
“Pak Mat, apa pendapat Pak Mat kalau
saya ajak seorang pakcik tinggal dengan saya?”
Akhirnya terluah juga apa yang sedang bergolak di dalam hatinya.
Pantas sahaja Pak Mat berpaling.
“Ismail ke?”
Mendengarkan nama itu, Rayyan terus
tersentak.
“Macam mana Pak Mat tahu?”
“Qaseh selalu sahaja ceritakan pasal
Ismail tu pada Pak Mat. Qaseh memang
kesiankan dia. Itulah, apa yang boleh
Qaseh buat. Puas juga Qaseh pujuk rujuk
ke jabatan kebajikan, tapi Pak Ismail kau tu kata yang dia boleh nak jaga diri
sendiri.”
“Rayyan ingatkan nak jumpa dengan
pakcik Ismail lepas terawikh nanti.
Rayyan minta Pak Mat temankan saya, boleh?” Pak Mat tersenyum.
“Boleh, Encik Rayyan. Pak Mat gembira kalau Encik Rayyan nak ajak
tinggal sama. Sekurang-kurangnya ada
juga yang tolong tengokkan dia.
Maklumlah, apa yang Pak Mat tahu yang dia tu sebatang kara.”
“Agak-agak betul tak tindakan saya
ni Pak Mat?”
“Rayyan, mungkin hari ini Rayyan
membantu orang yang dalam kesusahan dan mana tahu masa Rayyan nanti pula yang
tiba. Walau macam mana pun Pak Mat
sokong apa yang Rayyan buat sekarang nanti.
Nanti lepas terawikh kita jumpa dengan dia. Mungkin dengan adanya Pak Mat hati Pak Ismail
boleh lembut.” Tutur Pak Mat.
Terus
bertamu senyuman di bibir Rayyan. Memang
itu niatnya, untuk menjaga lelaki yang pernah menyelamatkan nyawanya. Ah, tidak sabar rasanya untuk dia berjumpa
dengan Pak Ismail dan meluahkan hasrat untuk mengajak tinggal bersama. Namun bukan wajah Pak Ismail sahaja yang
bertandang di ruang mata, begitu juga dengan seraut wajah tenang miliik
Qaseh. Perasaan apakah ini? Jatuh cintakah dia?
Malam itu, sebaik sahaja habis solat
terawikh dan menghantar Mak Kiah pulang ke rumah, Rayyan dan Pak Mat berlalu
untuk bertemu dengan Pak Ismail.
Perasaan Rayyan ketika ini bagaikan bercampur baur. Yalah, takut juga kalau pelawaannya ditolak
oleh Pak Ismail. Niatnya baik. Dia ingin menjadikan Pak Ismail sebagai ayah
angkatnya. Dia ingin sangat merasai
kasih sayang seorang ayah.
Rayyan dan Pak Mat menaiki anak
tangga jejantas sambil berbual kosong.
Kini, Pak Mat sudah tidak kekok lagi untuk berbual dengan Rayyan. Kalau
tidak, nak memandang kepada Rayyan pun dia rasa takut.
“Oi!” Jerit Rayyan apabila melihatkan beberapa
orang sedang memukul Pak Ismail.
Bertempiaran mereka lari apabila menyedari ada orang lain di situ.
Rayyan dan Pak Mat terus berlari
mendapatkan Pak Ismail yang sudah tidak bermaya. Rayyan memanggku Pak Ismail dengan debaran
yang mula kencang. Tubuhnya mula
membahang. Dada Rayyan mula sebak. Air matanya hampir mengalir saat melihat
tubuh Pak Ismail yang bengkak dan berlumuran dengan darah. Barang-barang Pak Ismail bertaburan.
“Kita panggil ambulan. Lepas tu kita ke hospital.” Ajak Pak Mat.
Kad pengenalan yang berada berhampiran dengan Pak Ismail dicapai.
Rayyan kemudiannya pantas menghubungi
ambulans dan menantikannya dengan penuh rasa debaran. Dia masih lagi memangku Pak Ismail. Air matanya dengan perlahan mula mengalir. Betapa dia kasihankan Pak Ismail ketika
ini. Tangan Pak Ismail mula digenggam
erat. Saat mendengarkan bunyi siren,
Rayyan mula menyeka air matanya. Betapa
dia merasa sedikit lega.
“Pak Mat, saya nak ikut ambulans. Nanti kita jumpa di hospital.” Bergetar suara Rayyan berkata. Pak Mat
mengangguk lemah.
Sebaik sahaja Pak Ismail di bawa ke
Hospital, Pak Mat dengan segera berlalu ke kereta. Hati Pak Mat juga mula rasa bimbang. Dia berdoa tiada apa yang akan terjadi kepada
Pak Ismail. Sebaik sahaja sampai di
hospital, Pak Ismail terus dimasukkan ke dalam wad kecemasan. Rayyan melangkah perlahan ke kaunter untuk
pendaftaran. Namun saat dia melihat kad
pengenalan Pak Ismail, tubuh Rayyan bagaikan longlai. Nama dan nombor kad pengenalan Pak Ismail
diamati.
Kaki Rayyan bagaikan tidak
berpijak. Sekali lagi air mata lelakinya
mula kalah. Dia terduduk dengan sebak
yang menggunung. Pandangan Rayyan
beralih apabila melihatkan Pak Mat melangkah ke arahnya bersama-sama dengan
Qaseh. Rayyan terus memeluk Pak Mat
dengan air mata yang masih lagi bersisa.
“Sabar, Rayyan. Doa saja yang baik-baik.” Pujuk Pak Mat sambil menepuk lembut belakang
anak muda itu.
“Pak Mat…. Saya sudah jumpa dengan ayah
kandung saya.” Pak Mat tersentak. Wajah Rayyan kemudiannya ditatap sayu.
“Pak Ismail ayah kandung saya, Pak
Mat. Ayah yang selama ini saya cari.
Kenapa Pak Mat? Kenapa saya berjumpa
dengan dia dengan cara begini?” Hati Pak
Mat bergetar. Qaseh menitiskan air mata
perlahan. Tangkai hatinya dijerut dengan
perasaan sedih yang tidak terbendung.
“Banyakkan sabar, Encik Rayyan.” Pak Mat tidak putus memujuk. Dia membiarkan sahaja Rayyan bersandar
dibahunya dengan rasa sedih.
“Ayah….”
Rayyan memejamkan mata.
Setahun berlalu….
Rayyan menuruni anak tangga sambil
membetulkan songkok yang sudah pun terlekat di kepala. Sambil itu dia melemparkan sebuah senyuman
manis.
“Amboi ayah, bukan main handsome lagi.” Pak Ismail berpaling. Dia menyambut senyuman Rayyan sambil
memandang kasih kepada anaknya.
Al-hamdulillah…. Segala-galanya
menjadi satu hadiah tidak ternilai buat Rayyan pada bulan Ramadhan tahun
lepas. Betapa dia bersyukur kerana
bertemu dengan ayah kandung yang selama ini dia nantikan. Pak Ismail bernasib baik kerana kecederaannya
tidak terlalu serius, dan nasib baik Rayyan dan Pak Mat cepat tiba untuk
menyelamatkan. Pak Ismail merasa terlalu
gembira kerana dapat ditemukan dengan anak yang sekian lama terpisah. Kini dia yakin dengan berkat kesabaran,
akhirnya kebahagian akan pasti menjelma.
“Ayah ni nak pergi Rumah Kasih nak
jumpa dengan kawan ke nak jumpa dengan Mak Limah?” Usik Rayyan yang membuatkan Pak Ismail
mencebikkan bibirnya. Rayyan cuba
membetulkan butang baju melayu milik ayahnya sambil tersenyum.
Sudah enam bulan Rayyan mengusahakan
Rumah Kasih untuk orang-orang tua.
Ayahnya juga selalu sahaja bertandang di sana. Kalau ada masa juga, Rayyan akan menghabiskan
masa di sana. Namun Rayyan tahu, ayahnya
itu pasti akan berjumpa dengan Mak Limah jika datang ke sana.
Rayyan senyum lagi. “Senyum tu nak mengenakan ayahlah tu.”
“Mana ada. Ayah ni, ada-ada aje. Tapi bagus juga kalau ayah dengan Mak Limah
tu. Dia pun baik orangnya.” Tidak habis-habis Rayyan mengusik.
“Ha, tu…. Bidadari Rayyan dah
turun.” Nasib baik Qaseh turun
menyelamatkan Pak Ismail. Kalau tidak,
mesti dia diusik lagi.
Melebar senyuman Rayyan apabila
melihat isterinya turun dari tangga.
Ramadhan tahun lalu bukan sahaja dia bertemu dengan keluarga kandung,
malah dia juga bertemu dengan insan yang telah memenuhi kasih sayang di
hatinya. Qaseh disunting menjadi
isterinya yang sah. Kini Rayyan tahu apa
itu erti kebahagiaan. Kebahagiaan
bukanlah terletak kepada harta semata-mata.
Kasih sayang adalah lebih penting untuk segala-galanya.
“Sayang,”
“Jom abang. Nanti lewat pula kita ke sana.” Ajak Qaseh.
Rayyan meraih tangan Qaseh dan menggenggam erat. Tangan isterinya dipimpin.
“Abang rasa, tahun depan rasanya
keluarga kita dah lengkap. Ada ayah
dengan mak.” Qaseh berpaling.
“Ada lagi, bang. Tahun depan ayah dokong cucu pulak raya
nanti.” Rayyan ketawa dengan disambut
oleh Pak Ismail.
Senyuman Rayyan terus mekar. Kini, dia dapat segala-galanya. Dengan apa yang dia ada, akan cuba untuk
dikongsi agar ketenangan hatinya kian berkekalan. Ketenagan hati adalah dari hati yang
bersih. Membantu, menolong sesama insan
memberikan satu kepuasan yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Wajah Pak Ismail dan Qaseh dipandang silih
berganti. Inilah insan yang paling
bermakna di dalam hidupnya. Saban hari
dia berdoa agar kebahagiaan ini akan terus dinikmati sehingga nafasnya
terhenti. Amin….
No comments:
Post a Comment