BAB 13
Setelah dua hari berada di Langkawi
hati mula terpaut. Maya dan Sofiah ibarat
belangkas. Ke mana-mana sentiasa
berdua. Di sini, Maya dan Sofiah lebih
mengenali antara satu sama lain. Di sini
juga kasih Daniel mula berputik. Daniel
yang mula mencari jalan untuk memenangi hati Sofiah terpaksa menempuhi banyak
dugaan memandangkan Maya yang senantiasa berada di sisi Sofiah. Bukan tak kenal dengan Maya si mulut
becok. Buatnya dia tahu hal sebenar,
susah nak tutup mulut dia. Kalau macam
tu, lebih baik bergerak dalam senyap.
Bak kata orang tua, ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak.
Maya mengangkat beg yang sarat ke
dalam bas. Ini yang malas. Bila sudah seronok di sini, rasanya macam nak
tinggal di sini. Kalau nak balik memang
payah. Kebanyakkan penumpang sudah pun
berada di dalam perut bas. Maya yang
masih lagi tercari-cari tempat duduk merungut apabila terpaksa memikul barang
yang banyak.
“Setahu aku, masa aku datang kat
sini tak adalah banyak sangat barang aku.
Masa nak balik pulak macam nak patah pinggang aku memikulnya. Oi! Sofiah!
Marilah tolong aku angkat beg ni.”
Sofiah yang berada di tempatnya segera bangkit.
“Itulah, membeli tak ingat
dunia. Aku dah beritahu kau awal-awal
lagi. Jangan beli banyak sangat. Kalau jadi macam ni, aku juga yang jadi
mangsa.” Ngomel Sofiah sambil membantu Maya mengangkat barang.
“Engkau ni Sofiah nak membebel ke
atau nak tolong aku? Cepatlah
sikit. Berat ni. Kalau nak jadi anak
murid aku pun tunggulah sampai KL nanti.
Masa inilah kau nak berleter.
Cepat!” Laung Maya. Sofiah segera
mencapai beg di tangan kanan Maya.
“Oi!
Ini bukan tempat duduk aku. Hari
tu aku duduk sana .”
“Cik Maya, kerja dah habis. Sekarang boleh duduk bersama.”
“Sudah, jangan nak mengada. Kau duduk sebelah Encik Daniel. Macam mana pergi, begitulah juga balik. Aku nak duduk dengan Lim. Hah, si Lim mana pulak dia pergi? Apek!”
“Oi! Aku di sini.” Sambut Lim.
Maya yang melihat kelibat Lim segera melabuhkan punggung. Barang-barang tadi diletakkan di bawah kaki.
“Inilah yang aku benci. Orang perempuan kalau belanja macam nak beli
satu kedai. Nasib baik kau duduk sebelah
aku. Kalau tidak, aku rasa dua-dua duduk
atas barang.”
“Sudah, jangan nak bising. Ambil ni.
Aku bagi rasuah pada kau.” Maya menghulurkan buah limau kepada Lim. Lim sambut dengan muka yang agak
mencuka. Geram dia melihat perangai
Maya.
Sofiah yang berada disamping Daniel
cuma mendiamkan diri. Dia masih lagi
terkenangkan peristiwa malam semalam di mana Daniel cuba mencurahkan perasaannya. Pada ketika ini, dia tidak betah untuk bertentang
mata dengan Daniel kerana masih lagi disaluti perasaan malu.
“Macam mana Sofiah? Sudah fikirkan
apa yang saya katakan tempoh hari? Atau pun masih lagi meminta izin menambahkan
waktu untuk berfikir? Saya bukan
memaksa. Cuma saya berharap yang Sofiah sudi menerima saya. Saya tidak pernah bercinta selama ini. Saya minta maaf sekiranya apa yang saya
lakukan ini tidak begitu menyenangi Sofiah.
Apa yang saya harapkan akan datang, tiada lagi berencik dengan saya
kecuali di pejabat. Saya benar-benar iklas,
Sofiah.” Bisikan Daniel itu membuatkan
Sofiah menambahkan lagi keyakinan kepada apa yang sedang difikirkan kini. Ya, dia tahu Daniel kini sudah jatuh cinta.
“Kenapa? Kenapa Sofiah senyap? Saya bukan nak makan awak sampai awak membisu
seribu kata. Saya kata yang benar. Bukan cerita bohong.” Sofiah memandang ke
arah luar jendela. Dia tidak tahu untuk
berkata apa lagi. Sememangnya dia malu untuk menyatakan hasratnya. Nanti apa pula kata Daniel. Tidak dapat abang, adik pun dia hendak.
“Saya tahu apa yang Sofiah
fikirkan.” Sofiah berpaling ke arah
Daniel. Hai, takkan Daniel pun ada
simpan bomoh juga? Macam nujum pak
belalang. Belum cakap sudah tahu cerita.
“Saya tahu apa yang berlaku kepada
Sofiah dengan abang saya. Saya tahu
Sofiah sukakan abang saya. Tapi…
semuanya sudah berakhir apabila Sofiah mendapat tahu yang abang saya sudah ada
teman wanita. Saya tak kisah semua itu. Saya sukakan Sofiah. Tak salahkan, kita memulakan cinta yang
baru? Adat orang bercinta, Sofiah. Ada
yang merana dan ada yang bahagia. Apa
salahnya Sofiah mencipta kembali cinta di hati Sofiah untuk orang lain. Peristiwa yang lama usah dikenang lagi. Kelak
Sofiah juga yang merana.”
“Saya hanya menyukai Encik
Hafiz. Tidak lebih dari itu. Kerana saya tidak sampat untuk menaburkan
rasa cinta saya padanya. Nasib baik saya
sedar, saya mula berpijak di bumi yang nyata.
Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi, Encik Daniel. Sesungguhnya saya bernasib baik. Kalaulah saya meluahkan hati pada Encik
Hafiz, sudah tentu saya juga yang malu.”
Daniel tersenyum dengan kata-kata Sofiah itu. Ah, ada peluang nampaknya. Bisik hati Daniel.
“Tolong simpankan rasa cinta dan
sayang Sofiah untuk saya. Manalah tahu
Sofiah sudi untuk menerima saya. Saya
akan senantiasa bersedia memenuhi ruang hati Sofiah. Saya tahu, Sofiah sudah mula menyimpan
perasaan suka terhadap saya.”
“Satu saya nak tahu tentang Encik
Daniel. Tapi kalau saya tanya jangan
pulak marah. Saya cuma sekadar
bertanya.”
“Ye ke? Apa dia?
Saya tak kisah. Berapa banyak
Sofiah nak tanya? Persilakan. Mana yang boleh saya jawab, saya akan jawab.”
“Encik Daniel ni keturunan nujum Pak
Belalang ke?”
Daniel mengerutkan dahi. “Kenapa?”
“Sebab Daniel tahu apa yang saya
fikirkan. Encik Daniel dan Encik Hafiz
sama saja.”
“Saya ni Sofiah kalau awak nak tahu,
bukan saja expert dalam bidang marketing tetapi juga dalam bidang
psikologi. Lagi pun Hafiz abang
saya. Darah yang mengalir di dalam tubuh
saya adalah sama. Tak salah kalau kami
mempunyai perwatakan yang sama.”
“Tapi Encik Daniel dan Encik Hafiz
berbeza. Encik Daniel lebih banyak
berlembut. Tidak Encik Hafiz.”
Daniel tersenyum.
“Sofiah, Hafiz adalah abang saya.
Seorang abang mempunyai tanggungjawab yang besar. Apa lagi dia adalah anak
sulung di dalam keluarga kami. Sebab
itulah dia bersikap dingin di pejabat. Sungguh pun dia seorang yang tegas,
tetapi dia juga seorang yang penyayang. Dia adalah seorang insan yang paling
saya sayang. Dia seorang abang yang
hebat.” Pujian itu membuatkan Sofiah terkedu.
“Encik Daniel, emm… semalam..”
“Sudah saya katakan jangan panggil encik dengan saya. Kalau Sofiah nak panggil abang pun tak seronok sikit.” Usik Daniel membuatkan Sofiah malu.
“Ini…. Baju… Daniel… Daniel lupa nak ambil balik. Nasib baik saya buat bodoh je bila Maya tanya
baju sejuk ni. Kalau tidak sudah tentu
hari ini semua yang ada dalam bas ceritakan perihal kita.
“Anggap saja ini hadiah pertama dari Daniel. Ambillah.
Daniel ikhlas.” Sofiah diam. Dia
tidak mahu berkata apa lagi. Dia kemudiannya melemparkan pandanganya kembali ke
luar. Dalam diam, Sofiah mula menganyam
rasa cintanya kepada Daniel. Sofiah
memandang ke arah Maya yang sedang rancak berbual dengan Lim. Dalam diam dia mengucapkan ribuan terima
kasih kepada sahabatnya itu. Kalau bukan kerana Maya mungkin dia tidak
bersama-sama dengan Daniel sekarang ini.
Ah, Maya kau tahu apa yang tersirat di hati ini. Kemudiannya Sofiah memandang ke arah Daniel. Terima kasih atas kesudianmu untuk menyambut
cinta ini. Aku akan cuba memberikan apa
yang termampu dan membina tugu cinta kita berdua.
No comments:
Post a Comment