BAB 9
Maya yang duduk
bersebelahan dengan Sofiah tidak berhenti bercakap. Ada saja cerita yang dihebahkan. Sofiah yang sudah tahu akan perangai Maya
cuma membatukan diri. Sekali-sekala dia
menyampuk juga. Di sebelah tempat duduk
mereka kelihatan Daniel dan Lim asyik dengan melayani perasaan
masing-masing. Perjalanan ke Langkawi
mengambil masa yang panjang membuatkan ramai penumpang lebih suka
bersendiri. Manakala Hafiz pula duduk di
belakang dengan siapa lagi kalau bukan buah hatinya si Rozita. Bukan main lagi mereka. Dari naik bas tak henti-henti dengan senda
gurauan. Sehinggakan Maya yang berada di
hadapannya sudah mula meluat dengan gelak tawa mereka.
“Orang lain pun bercinta
juga. Tapi tak adalah sampai macam ni
teruk. Mereka ingat dia orang je yang bercinta.
Ala …
setakat dating dalam bas bukannya
bagus sangat pun. Benci pulak aku tengok
mereka berdua tu. Macamlah dunia ni dia
yang punya. E… meluat betul.” Adu Maya.
Sofiah yang merenung ke luar jendela bas segera berpaling.
“Biarlah mereka. Apa yang kau susah sangat. Aku tahu kau tu sebenarnya cemburu sebab
tunang kau tak nak ikut sama.” Usik Sofiah dalam nada gurauan. Maya senyap.
Entah kenapa, bila Sofiah menyebut tentang Bakhtiar, dia merasa sebak
tiba-tiba. Adakah kerana keengganan Bakhtiar mengikuti rombongannya atau
layanan yang diberikan sejak akhir-kahir ini.
“Nak air?” Maya tersentak. Segera dia berpaling ke arah Daniel. Daniel yang memegang dua tin air berperisa
Coca-cola tersenyum. Maya menyambut
senyuman Daniel dengan disulami tangan kanannya menyambut pemberian
Daniel. Maya menghulurkan satu tin
kepada Sofiah. Namun sebaliknya Sofiah
menggeleng.
“Kenapa? Kau pun tak ada mood?” Tanya Maya cuba mengambil berat. Pelik juga dia melihatkan Sofiah yang hari
ini tidak berteman. Mahu juga dia
bertanyakan pada Sofiah, namun mulutnya bagaikan berat untuk berkata-kata.
“Bukanlah, aku tak biasa
dengan air bergas ni.” Terang Sofiah
lemah. Maya kembali berpaling ke arah
Daniel yang sedang enak mengunyah.
“Encik Daniel,
setiausaha Encik Daniel tak minum air ni.
Saya pulangkan balik satu tin ni.”
Maya menghulurkan tin coca-cola
kepada Daniel dengan satu senyuman.
“O… tak minum. Tak apalah.
Ambil air saya ni. Saya pun belum
minum lagi.” Daniel segera menghulurkan air
kotak kepada Maya.
“Tuan Puteri, ini air
awak.” Sofiah menyambut dengan satu
senyuman. Dia kemudiannya melemparkan
satu senyuman kepada Daniel.
“Terima kasih, Encik
Daniel.” Ucap Sofiah.
“Untung kau dapat bos
macam Encik Daniel, Sofiah. Eh, kau tak nak tackle dia ke?” Tanya Maya berbisik. Sesekali dia menjeling ke arah Daniel.
Dia takut kalau perbualannya didengar.
Walau bagaimanapun Daniel yang berada di sebelah khusyuk dengan kertas
kerja yang di bawanya dari pejabat.
“Gila kau. Dia majikan
aku. Aku tak nak terjadi macam
dulu. Eee…. Selisih. Nanti aku juga yang dapat malu. Kalau kau nak tahu, sampai sekarang ni aku
punya badi dah susah nak hilang. Dulu
boleh juga aku ajak Jeffry ke, Fezly ke, sekarang habuk pun tak ada. Semuanya melepas gara-gara aku mengorat abang
dia. Tak naklah aku. Apa? Kau ingat aku ni kempunan sangat ke sampai
tak dapat abang, adik pun aku nak sapu?” Sofiah tidak senang dengan kata-kata
Maya. Dia tahu, bukan senang untuk dia
mendampingi Daniel. Dia takut akan bayang-bayangnya
sendiri. Dia malu orang akan kata bagaikan
hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong.
Dia sedar dia hanya seorang pekerja bawahan.
“Apa yang kau nak
takutkan? Belum cuba belum
tahu. Hari tu dia ada cakap yang dia tak
ada teman wanita. Hah, apa lagi? Kau masuklah jarum kau. Manalah tahu dia tangkap lentok dengan
kau. Kau juga yang untung. Dia baik, peramah, dan yang paling penting
dia pandai ambil hati.” Ampu Maya. Walaupun Daniel bukanlah majiikannya namun
dia tahu Daniel adalah seorang yang baik dan sesuai dengan Sofiah.
“Tak naklah aku. Lagi pun aku dah lama tinggalkan ilmu
mengorat aku tu. Kalau boleh, biarlah
dia datang sendiri Maya. Aku dah tak
larat lagi. Biar masa yang akan
menentukan siapa yang bakal menjadi suami aku.
Kalau dah jodoh ia tidak akan ke mana.
Sampai masa kita akan tahu siapa pasangan kita. Andai kata jodoh aku dengan dia aku tak boleh
buat apa. Tapi apa yang penting sekarang
ni aku nak tumpukan dengan kerjaya aku yang ada sekarang ni.”
“Kau demam ke
Sofiah?” Maya meletakkan telapak tangan
di dahi Sofiah. Sofiah segera
menepisnya.
“Apa pulak? Tak adalah.
Aku bukan demam atau mengigau.
Aku sedar, kalau kita bercinta bagai nak rak pun kalau tak kahwin buat
apa? Mulai saat ini, aku nak belajar
biarlah cinta itu datang dengan sendiri bukannya aku mencipta untuknya.” Sofiah nampak bersemangat. Maya yang mendengarnya tidak percaya apa yang
dikatakan oleh Sofiah itu datangnya dari naluri Sofiah yang sebelum ini
dikatakan sebagai wanita penggoda. Namun begitu Maya merasa bersukur yang
sahabatnya ini sudah mulai sedar dengan apa yang telah dilakukan pada hari-hari
semalam.
“Tapi Sofiah, tidak
salah kalau kita yang mencipta cinta.
Cinta datangnya dari hati. Aku
yakin, satu hari kau akan jatuh hati dan pada ketika itu kau akan mengenali apa
itu erti sebenarnya cinta. Cinta yang
dikenali sebagai cinta sejati.
Sesungguhnya apa yang aku harapkan pada kau, janganlah kau yang memusnahkan cinta itu sendiri seperti
mana yang kau lakukan sebelum ini.”
Nasihat Maya. Walau bagaimanapun
dia akur dia juga kini berada di ambang kegagalan bercinta.
“Aku tahu, Maya. Aku banyak melukakan hati seorang
lelaki. Sebab itu aku diduga apabila aku
dapat merasai bagaimana hati ini terluka.
Oleh sebab aku menyimpan harapan yang tinggi, aku tersungkur. Kadang-kala aku teringat akan kata orang,
jangan terlalu mengharap kerana satu hari nanti kau akan pasti kecewa.”
“Sofiah.” Sofiah tersentak. Raut wajah Daniel direnung.
“Kenapa Encik Daniel? Ada apa-apa yang boleh
saya bantu?”
“Sofiah, mana jadual
kita?” Sofiah yang mengerti akan
permintaan Daniel akur. Dicapainya beg
hitam yang menjadi teman setianya di pejabat.
Kesemua jadual dan segala yang berkaitan dengan rombongan itu memang
disimpannya di dalam beg tersebut.
“Ini yang aku malas
ni. Sudah tentu aku yang akan jadi orang
tengah. Suruh hulur itu, suruh bagi
ini. Sudah, aku nak tukar tempat. Begini sajalah. Sofiah, kau bangun sekejap.” Arah Maya.
Maya mengemaskan barang-barangnya.
Semuanya disatukan dan bersedia untuk bangun.
“La… kenapa pulak?” Tanya Sofiah acuh tak acuh sambil matanya
tidak lepas memandang ke arah Maya. Dia
tahu ada sesuatu yang ingin dibuat oleh Maya dan apa yang pasti dia sudah dapat
fikirkan.
“Aku cakap kau dengar sajalah.” Sofiah bangkit.
“Hah, Lim. Kau pulak bangun.”
“Apa pulak kena-mengena
dengan aku?” Lim yang tidak tahu apa-apa
mula bising. Hilang konsenterasinya
mendengar lagu kegemaran yang berkumandang di segenap pelusuk bas.
“Ini lagi sorang. Oi apek!
Bangunlah!” Lim yang tidak mahu
bercerita panjang mula mengangkat punggung.
Maya bangkit dari tempat duduknya.
Ditariknya tangan Sofiah supaya keluar.
“Lim, kau keluar. Aku nak masukkan Sofiah kat tempat duduk
kau.”
“O… baru aku tahu. Kau nak suruh aku jadi partner kau
ke?” Usik Lim sambil tersenyum
mengena. Kadang-kala dia seronok
mengenakan Maya yang sememangnya suka bergurau.
“Sudah, jangan nak
mengada. Sebelum nak jadi partner
aku banyak lagi syarat-syarat yang perlu kau penuhi. Kau duduk sini. Aku pulak nak duduk sebelah tingkap. Aku bukan apa, nak bagi Encik Daniel dengan
Sofiah tu buat kerja. Kalau tidak, sudah
tentu dia kacau aku.”
“Apa ni Maya?” Sofiah
yang sedang berdiri merasa serba-salah.
Dia takut Daniel akan tersalah anggap tentang dirinya. Dia tidak mahu Daniel menganggap semua ini rancangan darinya.
“Kau jangan banyak cakap
Sofiah. Ikut saja kata aku. Encik Daniel, boleh bangun sekejap tak? Bagi laluan bagi tuan puteri kita ni.” Daniel akur.
Diberikannya laluan untuk Sofiah.
Sedangkan Maya sudah pun tersenyum puas.
Harapan untuk mendekatkan Sofian dan Daniel kini menjadi cita-citanya.
“Oh ye. Sofiah,
masuklah.” Sofiah dengan berat
hati menurut. Wajahnya berubah. Merah padam menahan malu yang amat
sangat. Tidak pernah dia diperlaku
sedemikian.
“Apa lagi ni Maya,
cubalah duduk.” Hafiz yang berada di
belakang Maya mula bersuara. Lemas dia
dengan kerenah Maya.
“Kejap lagilah Encik Hafiz. Janganlah Encik Hafiz bimbang. Saya dah buat
susun atur yang baru. Okey, lepas
ni saya tak akan ganggu Encik Hafiz lagi. Hah Lim! Yang kau tercegat kenapa? Duduklah.”
“Macam mana aku nak
duduk kalau kau belum duduk.” Maya
senyap. Ye tak ye juga. Aku belum duduk macam mana dia nak duduk?
“Betul juga. Sorry ye.” Maya menghempaskan badannya
di tempat duduk Sofiah. Manakala tempat
duduknya kini dihuni oleh Lim.
“Em… baru betul. Sofiah kau kat sana jaga betul-betul Encik Daniel tu, dan
Encik Daniel tolong tengok sikit si Sofiah.
Si Sofiah ni ada manja sikit.” Ujar Maya dengan nada mengusik. Gelihati dia apabila melihatkan wajah Sofiah
yang sudah merona merah. Sedangkan
Daniel berlagak selamba.
“Maya, kau duduk sebelah
aku aku jangan nak membebel. Aku
campakkan kau kat luar tu nanti.”
“Ala … setakat muka kau ni nak campak aku kat
luar? Suka hati akulah. Aku pelik betullah tengok kau ni. Nama saja orang cina tapi kau cakap macam
orang melayu. Itu yang aku keliru.”
“Maya!!!!” Separuh dari
penumpang bas itu menjerit.
Masing-masing tak tahan dengan suara Maya.
“Opps! Sorry.” Maya senyap.
Dia tahu kesalahannya. Dia
terlalu banyak bercakap.
No comments:
Post a Comment