BAB 8
Maya setia berada di sisi majikannya. Begitu juga dengan Sofiah. Dato’ Khalil yang
mempengerusikan majlis sempat merenung kedua-dua anak terunanya. Mesyuarat selama dua jam itu pada kali ini
banyak membentangkan tentang rombongan ke Langkawi. Sudah masanya untuk merehatkan badan. Setelah
lama bekerja, inilah masanya untuk gembira.
Kebanyakkan yang hadir pada mesyuarat itu bersetuju dengan pilihan Dato’
Khalil. Namun suara yang paling kuat
didengar adalah suara Maya. Seronok
rasanya apabila Dato’ Khalil mengumumkan tentang keputusan itu. Mulutnya tidak berhenti-henti bercerita.
“Bagus juga dengan
cadangan dato’ tu. Kami semua pun tengah
gian nak berjalan. Saya yakin tempat
yang dato’ pilih memang sesuai. Saya
rasakan, tentu ramai yang berminat. Tapi
dato’, kalau orang luar boleh turut serta tak?” Tanya Maya tanpa segan
silu. Hafiz yang duduk bersebelahan
dengannya cuma menggelengkan kepala. Sakit kepalanya memikirkan perihal
Maya. Puas difikir bagaimana hendak
menutup mulut setiausahanya tetapi gagal.
Lagi banyak kerja yang kita bagi, lagi bersemangat dia bercakap.
“Bagus juga dengan
pertanyaan awak tu, Maya. Saya sudah
fikirkan hal ini dan pada pendapat saya kita akan benarkan orang luar turut
serta tetapi, sesiapa yang nak bawa keluarga atau buah hati kena bayar kos
pengangkutan. Saya buat begini bukannya
kita tak mampu, tetapi nanti apa pula kata yang tidak membawa keluarga. Mungkin ianya tidak adil. Oleh itu, saya akan menetapkan harga pada
kemudian nanti.”
Maya tersenyum dan
mengangguk. Dato’ Khalil memandang di
segenap sudut bilik mesyuarat itu.
“So, ada
apa-apa lagi mengenai mesyuarat ini? Saya harap Encik Hafiz sila ambil berat
tentang perkara ini sebab Encik Hafiz yang menjaga keluar masuk perbelanjaan
syarikat ini. Kalau ada apa-apa masalah,
sila jumpa saya. Untuk pihak pemasaran,
bukan tak ada kerja untuk awak ye. Saya
akan menyerahkan tugas kepada Encik Daniel untuk menyiapkan agenda rombongan
kita ke Langkawi. Senaraikan jadual
serta berikan tarikh yang sesuai untuk staff di sini. Untuk harga tambang bas
bolehlah berbincang dengan Encik Hafiz.”
Hafiz dan Daniel mengangguk hampir serentak.
“Saya rasa tak ada lagi yang saya nak beritahu. Sebelum saya mengakhiri mesyuarat ini, saya
berharap program ini akan berjalan dengan lancar dan kita dapat menikmatinya
bersama. Kalau tak ada apa lagi saya
tamatkan mesyuarat hari ini sampai di sini. Oleh itu, sekian terima
kasih.” Dato’ Khalil bangkit. Diikuti dengan beberapa orang lagi
staff. Maya masih lagi termagu di meja. Pergi Langkawi. Ajak Bakhtiar seronok juga
ni. Bolehlah aku kenalkan dia dengan
kawan-kawan aku. Gomel hati Maya.
“Cik Maya, awak tak nak
keluar ke?” Tanya Hafiz yang mengejutkan Maya dari lamunan. Kurang asam punya bos. Baru nak berangan dah kena kejut.
“Yelah, Encik
Hafiz. Saya nak bangunlah ni. Encik Hafiz ni bagilah saya duduk
sekejap. Penat tau tangan saya
menulis. Dah naik lenguh. Ini balik mesti kena sapu dengan minyak
angin.”
“Cik Maya, kalau tak nak
menulis banyak jangan jadi setiausaha.
Dulu awak juga yang beria-ia kata yang awak sudah biasa dengan semua
ni. Sekarang, baru nak catat minit mesyuarat
pun awak dah tak tahan. Macam manalah awak nak jadi seoarang setiausaha yang
baik kalau pekerjaan macam ni awak tak boleh buat.” Hafiz sudah mula membebel.
“Encik Hafiz tahu
tak? Puas saya kejar apa yang Dato’
Khalil beritahu tadi. Sampaikan saya
tertinggal. Encik Hafiz tengok, empat
muka surat saya
catatkan.” Maya menyerahkan notebook kepada Hafiz. Hafiz menyambut dengan penuh kehairanan. Minit mesyuarat sampai bermuka-muka? Apa yang
ditulis?
“Apa yang awak buat
ni?” Tanya Hafiz. Terbeliak matanya memandang kertas yang
dipenuhi dengan tulisan Maya.
“Saya ambil minit
mesyuaratlah Encik Hafiz. Takkan saya
nak buat karangan.”
“Tapi… cara awak tulis
memang macam karangan.” Tegur Hafiz sambil matanya memandang ke arah buku nota
Maya.
“Saya ikut apa yang dia
cakap. Tapi saya minta maaf sebab
tulisan saya teruk sikit.
Al-maklumlah. Dato’ Khalil
bercakap macam motor bot. Susah saya nak
tangkap.”
“Saya tak suruh awak
tulis semua yang dia cakap. Cuma ambil
isi penting saja. Awak faham ke dengan
tulisan awak ni?”
“Tulisan saya, saya
fahamlah Encik Hafiz. Saya minta
maaf. Bab buat minit mesyuarat memang
saya lemah. Saya lebih rela buat
kira-kira dari buat kerja ni.” Ujar Maya
jujur.
“Sudah, saya nak
keluar. Awak jangan lupa dengan tugasan
yang saya berikan pada awak.”
“Baiklah Encik
Hafiz. Tapi… Encik Hafiz!” Suara Maya
sedikit meninggi.
Hafiz terhenti. Dia berpaling semula ke arah Maya. “Hah, ada
apa?”
“Ini bacanya apa
ye?” Soal Maya sambil menunjukkan buku
notebooknya tadi.”
“Itu tulisan awak. Awak punya pasal. Saya tak akan ambil
tahu. Tapi apa yang saya tahu, sampai
masa minit mesyuarat ini akan berada di atas meja saya esok dengan siap ditaip. Faham?”
Maya mengangguk. Wajahnya sedikit sugul. Yelah.
Aku buat semuanya. Biarkan. Akan
aku buat karangan enam muka surat. Biar
dia tak larat nak baca.
Maya melangkah keluar dengan seribu rasa kemarahan yang amat sangat. Walhal Hafiz hanya mempamerkan wajah yang
bersahaja. Tanpa berlengah lagi Maya
melabuhkan punggung di atas kerusi menghadap komputer. Dia kemudiannya mula bermain dengan keyboard. Kerja ini mesti disiapkan. Kalau lambat, mesti aku yang kena lagi. Encik Hafiz ni bukannya boleh salah sikit,
ada saja dia melenting. Tak sporting
langsung.
Maya terhenti apabila
ingatannya singgah kepada wajah yang amat dirinduinya. Ya, wajah Bakhtiar. Maya mendail nombor telefon bimbit
Bakhtiar. Hampa. Hanya yang kedengaran hanyalah mesin
suara. Maya tekad, balik kerja dia akan
pergi ke pejabat Bakhtiar. Walau pun
Bakhtiar melarang, kali ini Maya benar-benar ingin ke sana. Ah, biarlah apa kata pekerja-pekerjanya. Apa yang pasti, aku adalah tunangnya. Tiada siapa yang boleh menyangkal.
Maya mengeliat
sebentar. Jam di tangan sudah
menunjukkan ke angka 4.15 petang. Dia
teringat akan perancangannya hari ini.
Ya, kerja sudah ku selesaikan.
Sekarang sampailah masanya untuk aku berkemas dan pergi ke pejabat
Bakhtiar. Setelah meletakkan minit
mesyuarat di atas meja Hafiz, Maya penuh semangat melangkah keluar untuk pulang. Namun agenda seterusnya adalah ke pejabat
Bakhtiar.
Maya sampai di pejabat
Bakhtiar agak lewat. Jam sudah
menunjukkan ke angka 5.30 petang. Hati
Maya tidak putus-putus berdoa supaya Bakhtiar ada di pejabat. Mata Maya meliar mencari kelibat Bakhtiar.
Hampa. Wajah yang dicari masih belum
ditemui. Maya menuju ke arah penyambut
tetamu yang pada ketika itu mahu pulang.
“Maaf cik, boleh saya
berjumpa dengan Encik Bakhtiar? Dia ada
di dalam ke?” Tanya Maya berbudi. Belum
sempat penyambut tetamu itu menjawab, Bakhtiar muncul dari biliknya. Maya tersenyum girang. Tidak pada Bakhtiar. Bakhtiar terkejut dengan kedatangan Maya yang
tiba-tiba itu.
“Apa yang Maya buat di
sini? Bukan ke abang dah beritahu dengan
Maya jangan datang sini. Kenapa degil sangat ni?” Keras suara Bakhtiar. Walau pun Bakhtiar separuh berbisik, namun
memberi kesan kepada Maya. Maya terkejut
dengan kata-kata Bakhtiar.
“Salah ke Maya nak
berjumpa dengan tunang sendiri? Yang
abang marah sangat ni kenapa? Bukannya
Maya datang ni nak buat kecoh. Maya cuma
nak menjenguk abang. Itu saja. Lagi pun dah lama kita tak berjumpa. Nama saja duduk satu bandar. Tapi nak jumpa dengan abang pun susah.”
“Bukan abang tak nak
jumpa dengan Maya. Cuma abang tengah
sibuk sekarang ni.”
“Maya tahu, abang segan
dengan kawan-kawan abang yang abang mempunyai tunang yang abang anggap seperti
budak kampung. Sudahlah budak kampung,
gemuk pula tu.”
“Susahlah dengan Maya
ni. Hah, yang Maya datang sini ada apa
hal? Penting sangat ke sampai cari abang
kat pejabat?”
“Begini, tempat kerja
Maya ada buat travelling ke Langkawi.
Abang nak ikut ke? Kalau abang
nak ikut boleh Maya letakkan nama abang.”
“Bila?” Tanya Bakhtiar dengan acuh tak acuh. Pandangannya sedikit pun tidak kepada Maya
yang beria-ia bercerita. Dia memandang
ke arah pintu keluar, memerhatikan pekerja-pekerja yang lalu-lalang.
“Bulan depan.”
“Maaflah. Abang tak boleh pergi. Abang kena terbang ke Sarawak .” Maya hampa dengan jawapan yang diberikan oleh
Bakhtiar. Dia merenung ke arah Bakhtiar
untuk mencari segaris kejujuran.
“Eh, Encik Bakhtiar tak
balik lagi ke?” Tiba-tiba suara itu
mematikan perbualan Bakhtiar dan Maya.
Maya berpaling.
“Ita? Apa yang kau buat kat sini?” Tanya Maya separuh menjerit.
“Engkau lupa ke yang aku
kerja di sini? Itulah, nama saja satu
rumah. Tapi kawan kerja kat mana pun tak
tahu.” Maya menggarukan kepalanya yang
tidak gatal. Hish! Malunya.
“O… Encik Bakhtiar ada
perjumpaan dengan tunang ye.” Usik
Rozita. Bakhtiar tersenyum. Namun senyuman yang dilemparkan itu adalah
satu senyuman paksa.
“Cik Rozita tak balik
ke?”
“Nak baliklah ni Encik
Bakhtiar. Saya balik dulu.”
“Ita, kau nak balik
saing dengan aku ke?” Maya mencelah.
“Tak apalah Maya. Aku tak tahu bila kau nak balik. Manalah tahu kau nak keluar dating
lepas ni.” Maya mengangguk tanda setuju.
“Saya balik dulu.” Izin Rozita.
Setelah kelibat Rozita hilang dari pandangan mata mereka, Maya mula
menyambung kembali bicaranya.
“Abang, hari tu mak ada
beritahu dengan Maya yang dia nak buat majlis perkahwinan kita bulan lima
nanti. Apa pendapat abang.”
“Maya, bukan di sini
untuk kita bincang hal itu. Bukan ini
masanya. Sudahlah, Maya balik dulu.
Kalau ada apa-apa abang telefon Maya dulu.
Lagi sekali abang ingatkan Maya jangan datang pejabat abang lagi. Abang tak suka. Kalau Maya nak berbual atau nak bercakap
dengan abang telefon saja. Jangan datang
main terjah saja.” Maya tunduk mendengarkan penjelasan Bakhtiar itu. Entah kenapa hatinya sebak tiba-tiba.
“Maya minta maaf kalau
Maya menganggu abang. Bukan niat
Maya. Cuma Maya nak bertanya
khabar. Maya janji lain kali Maya tak
buat lagi.”
“Sudah, Maya balik
dulu. Abang ada kerja yang nak dibuat
lagi.” Bakhtiar meninggalkan Maya
keseorangan dengan satu lagi teka-teki yang semakin utuh mewarnai
fikirannya. Kemanakah hilangnya
keprihatinan dan bicara manisnya?
Salahkah aku di dalam hal ini?
Tanpa disedari, setitis air mata mula menjamah kelopak matanya.
No comments:
Post a Comment