BAB
7
Seperti yang dijanjikan,
akhirnya Daniel memulakan tugas sebagai pengurus di bahagian pemasaran. Sofiah yang menjadi setiausaha merasa kekok
buat kali pertama. Mahu tidak, tiba-tiba
bertukar majikan mesti hati rasa tak senang.
Maya pula memulakan tugas baru di bawah pengawasan Hafiz. Sejak pagi mulut Maya tidak pernah berhenti. Ada
saja yang nak dirungutnya. Apa yang pasti semuanya datang dari majikannya
sendiri. Itu tak kena, ini tak kena
semuanya serba tak kena pada Maya. Namun
Hafiz hanya menjalankan tugas seperti biasa.
Apa saja yang dikehendaki akan diperolehinya dari Maya.
“Maya, tolong ambilkan
saya fail bagi pembayaran gaji staf.
Saya nak sekarang juga.” Ujar
Hafiz melalui telefon. Maya mengeluh.
“Maya, tolong ambilkan
saya fail bagi pembayaran gaji staf.
Saya nak sekarang juga.” Ejek
Maya.
“E… dari tadi asyik nak
buli aku. Masa Sofiah jadi setiausaha
tak ada pulak dia suruh buat semua kerja ni.
Bila masa aku ada saja yang dia nak kenakan. Nak itulah, ambil inilah. Macamlah aku tukang jaga fail pejabat
ni. Macam manalah aku boleh dapat bos
macam Encik Hafiz ni. Cerewet
sungguh. Tadi disuruh ambil fail
perbelanjaan barangan, sekarang dia nak fail gaji. Cakap sekali bukankah senang. Tak payahlah aku nak mencari sampai dua tiga
kali. Fail ni lagi satu. Mana pula dia hilang. Hari itu aku simpan dalam kabinet ni. Nak kata orang ambil, mustahil. Yang ada kunci kabinet ni cuma tiga orang.
Aku, Encik Hafiz dengan budak baru tu.
Siapa nama budak tu? Hah, Emma.
Entah-entah fail tu ada pada dia tak?”
Maya berpusing.
“Mak!” Tidak semena-mena Maya menjerit. Entah bila Hafiz sudah berada di
belakangnya. Dia ni pun satu. Bila datang tak pernah nak bagi salam. Sudahlah pulak tu, masa aku mengumpat dia nak
muncul. Mahu tak terkejut.
“Saya suruh awak cari
fail, bukan suruh awak membebel. Kalau
mencari dengan mulut memang tak jumpa. Cuba cari
dengan tangan tanpa bercakap boleh tak?”
“Er….” Maya memandang ke arah tangan Hafiz yang
sudah pun memegang fail yang dimintanya tadi.
“Encik Hafiz dah jumpa
fail?”
“Atas meja awak,
Maya. Yang awak cari dalam kabinet tu
siapa suruh?” Alamak, ye ke? Itulah, tangan tak mencari lagi atas meja. Sekarang siapa yang malu? Aku juga yang malu.
“Sorry Encik
Hafiz. Saya tak perasan. Al-maklumlah,
fail tu bukannya besar macam badan saya ni.
Kalau dia besar, boleh juga saya jumpa dia. Lagi pun, dia menyorok tempat sempit tu, mana
nak jumpa.”
“Sudah, jangan nak bagi
alasan. Lepas ni awak boleh rehat. Kalau Rozita telefon beritahu yang saya akan
jumpa dia malam nanti. Dan jangan lupa
tempahan untuk dua orang makan malam di Dynasty Hotel untuk malam ini. Saya nak masuk dulu. Kalau ada apa-apa, saya akan panggil
awak. Dan jangan pula mulut awak yang
sampai dulu. Kalau boleh bagai nak
runtuh bangunan ni dengan suara kamu.
Radio yang ada ni pun tak sama dengan radio asli awak tu. Kurang sikit bercakap. Lebihkan bekerja. Baru berjaya.” Kata Hafiz sebelum dia kembali ke biliknya.
“Kurang sikit
bercakap. Lebihkan bekerja. Baru berjaya.” Ejek Maya sekali lagi.
“Apa dia?” Hafiz yang baru keluar menjengahkan muka.
“Tak, sekejap lagi saya
nak makan pau kaya.” Sambut Maya acuh
tak acuh.
“Oh, ye ke? Belikan saya satu. Dah lama saya tak makan pau kaya.” Pesan
Hafiz.
“A… yelah.” Maya melemparkan satu senyuman sinis kepada
Hafiz. Walau bagaimanapun Hafiz tetap bersahaja. Hish! Geramnya. Telinga dia ni telinga lintah ke? Apa yang aku cakap semua yang dia dengar.
“Pergi jumpa Sofiah lagi
seronok. Boleh ajak dia makan
sekali.” Maya mula meninggalkan meja dan
berlalu ke arah Sofiah yang duduk agak
jauh.
“Hai Sofiah, banyak lagi
ke kerja kau?” Tanya Maya seraya sampai di meja Sofiah.
“Adalah sikit. Kenapa kau datang sini? Tak marah ke bos kau tu?”
“Dia sendiri suruh aku
rehat dulu. Kau nak keluar makan ke?”
“A… er… aku kena
beritahu dengan Encik Daniel dulu. Nanti
dia tercari-cari pulak. Sekejap
ye.” Sofiah bangkit. Belum sempat dia
melangkah ke bilik Daniel, pintu dibuka.
Daniel yang masih lagi setia memakai tie kelihatan segak dengan
mengenakan kemeja biru laut.
“Awak nak ke mana
Sofiah?” Tanya Daniel.
“Kalau boleh saya nak
keluar makan sekarang dengan Maya. Itu pun kalau Encik Daniel bagi.
Dah lama saya tak makan dengan dia.”
“Em… baiklah. Oh, ini rupanya Maya.” Ujar Daniel sambil memandang ke arah
Maya. Maya kaget. Tiba-tiba dia merasa tidak senang hati. Hai, orang macam aku ni pun ada yang
bertanya?
“Kenapa? Encik Daniel kenal saya ke?”
“Bukanlah, saya cuma
kenal nama saja. Bukan orangnya.”
“Ini mesti Encik Hafiz
punya cerita. Dia tu memang tak ada
kerja lain. Tak habis-habis nak buat
marah orang.” Ujar Maya dengan nada separuh meraju. Namun dia juga merasa malu
kerana dirinya menjadi bualan dua beradik itu.
“Memang, abang saya
banyak bercerita tentang Maya. Bukan
sekali dua, tapi hari-hari.”
“Saya dah agak, Encik
Daniel. Dia mesti ceritakan tentang
mulut saya yang tak pernah berhenti ni.
Saya tahu saya banyak mulut, tapi saya baik orangnya. Memang saya suka becakap. Tapi saya bercakap
perkara kebaikan.”
Daniel tersenyum sambil
menganggukkan kepala. Memang benar kata
abangnya. Maya memang banyak mulut. Sepatah orang kata, mahu berjela dia menjawab.
“Maya tinggal di mana?”
Tanya Daniel ramah. Maya terkejut. Tidak sangka Daniel bersikap lembut
dengannya. Ah, begitu jauh bezanya dengan Hafiz. Macam langit dan bumi.
“Saya tinggal dengan
kawan saya di Cheras. Tapi saya ni orang
Melaka. Keluarga saya ada di
Merlimau. Encik Daniel tahu sajalah
orang Melaka ni, mulutnya bising sikit.
Encik Daniel dah kahwin ke?”
Alamak, soalan apa yang aku tanya ni?
Sofiah yang mendengarnya terkejut.
Beraninya Maya bertanyakan soalan itu.
“Abang saya belum kahwin
lagi, Maya. Takkan saya nak langkah
bendul pulak?” Daniel tersenyum. Sungguh pun dia tidak sekacak Hafiz, namun
dia tetap manis. Bak kata orang cute. Lenggok katanya juga sedap telinga ini
mendengarnya. Kenapalah si Hafiz ni tak
macam Daniel?
“Ala … Encik Daniel, sempoilah. Lagi pun lelaki mana ada kata langkah
bendul. Itu orang perempuan saja. Saya yakin, kalau Encik Daniel tunggu Encik
Hafiz berumahtangga sampai ke tualah Encik Daniel tak kahwin. Dia tu, siapalah yang berkahwin dengan
dia. Mulut macam murai cabut ekor, muka
macam tempoyak basi entah bila agaknya Dato’ Khalil nak bermenantu. Lupakan saja langkah bedul tu Encik
Daniel. Nanti Encik Daniel juga yang
mengigit jari. Kahwin ni seronok.”
“Maya dah kahwin
ke?” Daniel sengaja mencungkil rahsia
Maya.
“Belum lagi Encik
Daniel. Tapi mungkin tak lama lagi. Saya bukan apa, dengar dari cerita-cerita
orang. Kahwin ni seronok. Tapi tak tahulah betul ke tidak. Sebab tak pernah tempuh. Bila dah tempuh gerbang perkahwinan baru kita
tahu seronok ke tidak berkahwin ni.
Jangan tunggu lama-lama Encik Daniel.”
“Saya kalau nak kahwin
pun kena tunggu sebab masih belum ada pilihan hati.”
“Hai, takkan tak ada
Encik Daniel? Mustahil. Rupa ada, harta berkepuk. Kena pulak status anak dato’. Takkan tak ada yang berkenan?”
“Harta berkepuk pun
bukan harta saya. Harta ayah saya. Saya tahu, setiap insan di dunia ini
diciptakan hidup berpasang-pasangan.
Sampai masa nanti, kahwinlah saya.
Tapi… kalau boleh saya nak tengok abang saya kahwin dulu.” Ujar Daniel bersungguh-sungguh.
“Entahlah Encik
Daniel. Susah
saya nak cakap. Kalau perangai macam tu,
angin satu badan saya tak tahulah siapalah agaknya yang bakal jadi isteri
dia? Minta-minta bukan yang perangai
macam dia. Mahu angin rumahtangga
nanti.” Bebel Maya. Sofiah yang masih lagi di meja cuma menjadi
pendengar setia. Entah mengapa, bila dia berada di samping majikannnya itu
kadang-kala bibirnya bagaikan terkunci untuk berkata-kata.
“Maya!” Maya tersentak. Dia berpaling. Hafiz.
Apa kena ni? Apa pulak yang dia
nak sekarang ni? Tadi beria-ia suruh
kita rehat. Sekarang terjerit-jerit
panggil kita. Pantang nampak muka aku.
“Alamak… apa pulak bos
aku tu nak. Tak boleh tengok orang
senang. Ada saja nak kacau orang. Kau
tunggu aku kejap.” Ujar Maya kepada
Sofiah. Sofiah yang sudah mencapai beg
tangan duduk kembali. Daniel yang
melihatkan telatah Maya tersenyum. Maya
terus berlalu menuju ke arah Hafiz dengan mulut yang terkumat-kamit. Geram dia dengan perangai Hafiz.
Salam kenal. Jemput singgah di blog saya. :)
ReplyDeletectkhatijahdiana.blogspot.my