BAB 1
Fatimah bersimpuh sambil menuangkan
teh untuk suaminya, Borhan. Suasana petang yang damai dengan hembusan
angin lembut membuatkan Fatimah terleka sejenak. Kuih seri muka yang dibuatnya tadi
dihidangkan bersama. Fatimah memandang
ke arah baruh. Padi yang menguning minta
dituai. Tidak lama lagi dia harus ke
bendang. Ini membuatkan perniagaan nasi lemaknya akan dihentikan buat sementara
waktu. Awal pagi semalam Tijah sudah
mula bersuara untuk bersama-sama ke bendang. Cuma dia saja yang tidak memberikan
kata putus. Takut untuk bersetuju dengan
tiada pesetujuan dari suaminya.
Fatimah
mengeluh kecil. Kuih seri muka yang
dibuatnya pagi tadi dijamah. Sesekali
Fatimah memandang ke arah suaminya.
Terasa takut untuk menyatakan apa yang terbuku di hati. Namun seandainya
tidak diberitahu dia juga yang akan terjerat nanti. Masakan dia perlu untuk
melakukan dua kerja dalam masa yang sama.
Dia tekad. Dia tidak mahu Borhan selamanya menerima makan dan minum
hasil titik peluhnya. Biarlah rezeki
sesuap nasi itu datangnya dari tulang empat kerat suaminya itu.
Semenjak
dia mendirikan rumahtangga dengan Borhan, suaminya itu tidak pernah
bekerja. Segala makan dan pakai
ditanggung olehnya. Namun dia bersyukur
kerana Hasan memberikannya peluang untuk dia menjual nasi lemak. Jika tidak, di manakah harus untuk dia
mencari sesuap nasi? Ingin mengharapkan suaminya sehingga sekarang nafkah zahir
tidak pernah dilaksanakan.
“Kenapa dengan kau ni? Macam ada yang tak kena je. Kau ada masalah ke?” Borhan mula bersuara memecah keheningan
petang itu apabila terpandangkan Fatimah yang sentiasa merenung ke arahnya.
Fatimah
tidak segera menjawab malah pandangannya dilepaskan ke arah bendang. Seolah-olah inginkan pengertian dari
suaminya. Borhan yang tidak mengerti mencapai kuih seri muka yang sedia terhidang
dan menjamahnya sedikit. Anak matanya
kemudian memandang ke arah Fatimah. Hati Fatimah masih lagi berdebar-debar dari
tadi. Perasaan takut masih bersarang di
dalam dinding hatinya.
“Kau ada duit?”
Pertanyaan
dari mulut Borhan membuatkan Fatimah tersentak.
Dia memandang ke arah Borhan.
Cuba mencari kepastian. Borhan
memandang tepat ke anak mata Fatimah. Fatimah kelu dengann kata-kata. Tidak
cukupkah wang diberikannya semalam? Wang
yang diberikan memang cukup untuk mengenyangkan perut untuk sebulan. Setakat menjual nasi lemak berapa sangatlah
untung yang dia dapat. Setakat untuk
lepaskan rasa lapar pun sudah dikira beruntung. Ingin bermewah memang jauh
sekali. Setiap kali dia mendapat wang
dari Hassan suaminya itu lebih dulu menuntut.
“Semalam bukankah Timah dah berikan
pada abang. Takkan dah habis. Abang buat apa dengan duit tu?” Borhan
diam. Dia masih lagi memandang keras
ke arah Fatimah.
“Masih
tak cukup lagikah? Lima puluh ringgit
bang. Nilainya bukan sedikit. Kenapa abang nak duit lagi?” Fatimah mula
bersuara.
“Kita
bukannya berharta, bang. Nak makan
seharian pun kita tak mampu. Abang nak
buat apa dengan duit tu?” Bertubi-tubi
soalan yang keluar dari mulut Fatimah.
Walau bagaimana pun nada suaranya masih lagi dengan nada yang
perlahan.
“Itu semalam. Hari ni kau belum bagi lagi. Kau jangan nak kedekut sangat. Kalau cukup tak ada aku nak minta dengan kau. Apalah bodoh sangat kau ni. Berkahwin dengan kau bukan nak bagi senang
aku.”
“Abang, apa yang abang cakapkan ni?
Timah tidak pernah berkira dengan abang.”
“Dari
dulu sampai sekarang selalu menyusahkan aku.
Bukan banyak yang aku nak. Berapa
yang kau ada kau bagi saja. Esok lusa
aku gantilah balik.” Nada Borhan sedikit
meninggi. Fatimah tunduk. Ada rasa sesal yang bertandang di hatinya. Mengapakah suaminya itu tergamak berkata
demikian.
Fatimah
merenung ke arah suaminya. Tidak tahu
apakah yang perlu dia katakan. Ingin dituruti badan menjadi mangsa. Meninggi suara pula ibarat menderhaka kepada
suami. Walaubagaimanapun sudah sekian
lama dia berkahwin dengan Borhan selama itulah dia sering makan hati dengan perangai
suaminya yang suka berjudi. Keluar pagi,
malam barulah pulang. Itu pun dengan
maki hamun dan cacian. Kadang-kala air
mata Fatimah bagaikan sudah kering bila mengenangkan untung nasibnya. Gerbang perkahwinannya penuh dengan cabaran
buat dirinya. Kenangan manis tidak
pernah singgah di ruang kehidupannya sekarang ini.
“Maafkan
Timah, bang. Timah tak ada duit nak bagi
pada abang sekarang. Duit simpanan Timah
semuanya dah berikan pada abang. Yang
ada pun tinggal untuk beli barang dapur.
Beras, gula, garam untuk nasi lemak nak juga dibeli. Nanti kalau ada Timah bagilah pada abang.”
Fatimah sedaya untuk memujuk suaminya itu.
“Bukankah
semalam Timah dah bagi abang lima puluh ringgit. Takkan tak cukup lagi? Berjimatlah sikit bang. Kita pun bukannya
orang yang senang.” Perlahan saja suara
yang dilontarkan oleh Fatimah. Cuba
untuk menasihati suaminya itu. Dia
tunduk memerhatikan tikar mengkuang yang separuh abad itu. Tidak berani untuk
dia bertentang mata dengan suaminya.
“Siapa kau nak nasihatkan aku? Suka hati akulah nak buat apa dengan duit tu.
Yang kau bising-bising kenapa? Nak
merasa lagi pelempang aku?”
Fatimah
menggeleng.
“Sudah
aku cakap tadi, nanti aku gantilah balik.
Yang kau takut sangat kenapa?
Mana duit untung jual nasi lemak semalam? Mana kau letak? Cakap!”
Merah mata Borhan membuatkan Fatimah takut untuk bertentang mata dengan
suaminya.
Hati
Fatimah berbelah bagi. Antara hidupnya
dan juga kerakusan judi suaminya. Di
dalam genggamannya cuma ada tiga puluh sahaja.
Itu pun untuk membeli keperluan dapur.
Tapi andai kata duit itu tidak diberikan ke tangan suaminya sudah pasti
dia akan ditampar atau diherdik.
“Maaf bang, Timah tak dapat nak berikan apa
abang. Begini sajalah. Semalam Tijah sudah beritahu dengan saya
tentang bendang kita tu. Dia ajak kita
sama untuk menuai.”
“Jadi maksud kau?”
“Timah
rasa lebih baik abang menuai dulu. Kalau
ada rezeki lebih, bolehlah abang gunakan duit tu. Timah boleh teruskan jual nasi lemak. Macam mana fikiran abang? Timah rasa sudah masanya abang bekerja. Selama ini pun Timah yang menanggung makan
pakai abang. Timah harap abang faham.”
Borhan mendengus keras mendengarkan cadangan dari Timah. Pada Borhan, kerja tiada dalam kamus
hidupnya. Sebelum kahwin pun dia hanya sekadar untuk mencuri perhatian dari
Fatimah agar gadis pujaannya sanggup sehidup dan semati dengannya.
“Malaslah aku. Bukankah kau ada. Apa yang susah sangat? Pagi kau boleh jual nasi lemak, petang kau
boleh turun ke bendang.” Ujar Borhan tegas. Kali ini dia pula yang member
cadangan.
“Pasal
aku jangan kau bimbang. Banyak lagi
urusan yang aku nak buat di pekan sana. Kau
apa tahu? Kalau setakat nak nasihatkan
aku, lebih baik jangan nak berkahwin dengan aku.” Pandangan Borhan dilepaskan
ke arah Fatimah.
“Kau kena ingat. Aku adalah suami kau. Kau tak boleh ingkar dengan setiap apa yang
aku arahkan. Sekali lagi aku tanya
mana duit yang kau dapat semalam? Sebelum tangan aku naik, bagi kau berikan.”
Borhan sudah pun meninggikan suaranya. Panas baran Borhan memang sukar untuk
dibendung. Fatimah faham benar dengan
perangai buruk suaminya itu. Fatimah terdiam.
Perlahan di bangkit menuju ke bilik.
Fatimah menggenggam erat not sepuluh
ringgit dua keping yang diperolehi dari Pak Hasan. Hatinya sayu.
Dia buntu. Ya Allah, apakah yang
perlu kulakukan? Dalam diam Fatimah
menyorokkan sepuluh ringgit di bawah bantal.
Dia tidak mahu untuk berhutang lagi dengan Leha. Dia malu, setiap kali dia ke kedai, dia akan
berhutang. Dia tidak mahu setiap hutangnya dihitung dikemudian hari. Fatimah kemudiannya keluar menuju ke arah Borhan. Dihulurkan dua puluh ringgit. Namun Borhan kelihatan tidak puas hati. Dia memandang tepat ke anak mata Fatimah
untuk mencari kejujuran.
“Takkan ini saja yang kau
dapat? Kau jangan nak tipu aku. Mana lagi kau simpan duit hah? Sudah aku beritahu dengan kau jangan nak tipu
aku. Kau nak merasa lagi penampar aku
ni?” Borhan bangkit. Matanya bertentang
dengan Fatimah. Fatimah tunduk. Dia tidak tahan untuk bertentang mata dengan
Borhan. Setiap kali dia bertentang mata
dengan Borhan hatinya sering kali berdebar kerana dia tahu, setiap renungan suaminya
pasti akan berakhir dengan makian atau penampar di pipi.
“Maaf bang, ini saja yang boleh saya
berikan pada abang. Semua simpanan Timah
sudah pun Timah berikan pada abang. Yang
tinggal cuma dua puluh ringgit saja.
Abang ambillah. Nanti kalau ada
wang lebih Timah akan berikan pada abang.”
Fatimah cuba memujuk suaminya.
Borhan masih lagi tidak puas hati.
Dia tahu Fatimah cuba untuk berbohong.
Dari riak wajah Fatimah ianya telah mengambarkan segalanya. Fatimah tidak pandai menipu.
“Aku tahu, kau tipu aku. Aku sudah cakap tadikan, jangan nak tipu
aku. Aku tahu kau ada simpan wang di
dalam. Cepat! Bagi aku semuanya!” Herdik Borhan. Fatimah tersentak. Fatimah kaget bila Borhan mula bertindak
kasar. Ditariknya tangan Fatimah keras
menuju ke bilik.
“Timah cakap yang betul, bang. Ini saja yang Timah ada. Tolonglah bang. Janganlah buat Timah macam ni. Abang…
nanti kalau ada Timah berikanlah pada abang. Timah merayu pada abang. Tolonglah bang. Sakit bang.” Fatimah mula merayu. Namun Borhan tidak mengendahkan rayuan
tersebut sebaliknya menghempaskan tubuh Fatimah ke atas katil.
“Tahu pula kau sakit. Kalau tak nak sakit, cepat beritahu aku mana
kau simpan duit hah?!” Tanya Borhan
sambil menyelongkar almari baju. Borhan
hampa. Tiada sesen pun di dalam almari
tersebut.
Sekali
lagi soalan yang sama ditanyakan kepada Fatimah. Fatimah menggeleng. Borhan kemudiannya menuju ke katil. Sarung bantal di buka dan dicampakkan ke
bawah. Ternyata Fatimah terkejut apabila
wang yang disimpannya terjatuh di atas lantai.
Borhan tersenyum apabila terlihatkan not sepuluh ringgit di kakinya.
“Dari tadi aku tahu kau tipu
aku. Sekarang ni aku tanya, ada lagi tak
kau sorokkan duit? Cepat! Cari!”
Jerkah Borhan. Dia masih belum
berpuas hati dengan apa yang diperolehinya.
Tabiat berjudi kian beratapak di hati hitamnya. Fatimah menangis dengan rintihan yang tiada
kesudahan. Hatinya remuk dan hancur
mengenangkan perangai suaminya.
“Sudah tak ada lagi, bang. Ini saja yang Timah ada. Timah minta maaf bang.
Bukan niat Timah untuk menipu abang.
Duit ini sajalah buat Timah beli barang keperluan dapur.”
“Arghhh.”
“Timah
merayu pada abang. Tolonglah berikan
duit itu semula bang. Timah dah malu
untuk berhutang dengan Leha bang.” Rayu
Fatimah dalam tangisan. Dia tahu, walau
dia mengalir air mata darah sekali pun, duit di dalam genggaman Borhan tidak
akan diperolehinya semula. Pang! Fatimah tersungkur. Dia meraba pipi kanannya. Dia pasrah.
Dia menangis teresak-esak dalam keperitan diri yang masih belum
berakhir.
Borhan meninggalkan Fatimah seorang
diri tanpa pesan. Dicapainya baju kemeja
yang tersangkut di belakang pintu. Dia
segera menghidupkan motor buruk kesayangannya.
Dalam tidak berapa lama dia sudah meninggalkan halaman rumahnya. Yang pasti hatinya tiada lagi di rumah kecuali
di meja judi. Wajah Ah Meng, Yazid,
Maniam dan beberapa orang lagi rakannya menjadi santapan ruangan mata. Tinggallah Fatimah melayani perasaan pilu
yang tidak pernah terucap.
Malam itu, pukul 12 tengahmalam barulah
Borhan menampakkan wajanya yang bengis itu.. Dengan tiada rasa bersalah dalam
diri, Borhan terus ke dapur melihatkan hidangan yang ada. Namun, dalam sekelip mata angin Borhan mula
naik. Yang ada cuma tudung saji yang kosong! Perutnya yang lapar sejak tadi menjadi
kenyang. Dengan amarah yang bertapak di
hati wajah Fatimah mula dicari.
“Bertuah punya betina. Bukan nak siapkan makan minum aku, dia sibuk
membuta dalam ni. Hey! Perempuan.
Bangun! Kau tak ada kerja lain ke
selain nak membuta. Dari tadi apa yang
kau buat hah!” Tengking Borhan. Suara lantang milik suaminya membuatkan
Fatimah terjaga.
“Mana nasi? Mana lauk?”
Rambut Fatimah menjadi mangsa.
Sekali lagi, Fatimah merayu.
Minta dilepaskan.
“Tolonglah abang. Jangan buat Timah macam ni. Beras dan lauk semuanya habis. Lauk tengahari pun dah tak ada lagi. Nasi lemak untuk esok pun saya tak boleh
sediakan. Timah minta ampun bang.” Rayuan Fatimah itu sedikit pun tiada
mengundang rasa kasihan di hati Borhan.
Sebaliknya tangan panas Borhan singgah di pipi kanan Fatimah. Fatimah tersungkur. Dia meraba pipinya yang sakit. Dia mengalirkan air mata namun tiada sedikit
pun rasa kasihan di hati Borhan. Bagaikan air mata itu tiada erti dalam hati
dan naluri lelakinya.
“Dah tahu semuanya dah habis, takkan tak pergi beli. Habis apa guna kedai tu kalau tak boleh nak
membeli. Takkan nak buat perhiasan
je. Kau dengar sini, sekali kali kau
buat macam ni, lagi teruk aku kerjakan kau.
Faham!” Borhan melepaskan Fatimah sambil matanya tidak lepas memandang
ke arah Fatimah yang tidak terurus itu.
“Timah minta maaf bang. Bukan Timah tak nak beli, tapi Timah tak ada
duit. Hutang Timah dengan Leha pun dah
banyak. Nanti Timah takut dia tak nak
beri hutang lagi. Hutang lama pun tak habis
bayar lagi bang.” Luah Fatimah dalam sendunya.
Borhan seoalah-olah tidak memahami akan kata-kata isterinya.
“Itu aku tak peduli. Tugas kau adalah menjaga makan minum
aku. Bukan nak jaga tepi kain aku. Habis kau nak suruh aku buat apa? Nak bagi balik duit yang sudah kau berikan
tadi? Sudah aku habiskan. Jangan kau nak tanya lagi.” Borhan berlalu. Dia akhirnya membentang tikar di ruang
tamu. Dan Fatimah hanya menjadi
pemerhati dan dihatinya tidak pernah berhenti berdoa agar suaminya berubah. Walau itu hanyalah satu mimpi yang akan
tinggal satu impian.
No comments:
Post a Comment