BAB 4
Maya masih setia di hadapan
komputer. Suasana riuh yang menghiasi
ruang pejabatnya tidak dihiraukan. Apa
yang perlu dikejarnya kini adalah kerja-kerja yang masih lagi tertangguh. Bukan senang nak kira gaji orang ni. Kalau silap key-in mahu puas nak
berjawab nanti. Kalau kurang gerenti
ramai-ramai yang datang berjumpa. Tapi….
bila terlebih masing-masing buat bodoh je.
Sungguh pun tangannya berjalan namun mulutnya juga turut berjalan. Kacang yang berada di sisi setia menjadi
teman.
“Eh, kau tak nak tengok si Sofiah
ke?” Tanya Razak tiba-tiba. Tiada reaksi.
Maya masih lagi dengan tugasannya.
“Oi, aku tanya ni kau dengar ke
tidak?” Ulang Razak. Sengaja dia mendekatkan dirinya ke arah Maya.
“Aku dengarlah ni. Kau janganlah ganggu aku. Aku ada banyak kerja ni. Kenapa dengan Sofiah? Dia dapat bunga lagi ke? Ala … kalau setakat dapat bunga ros dah lama
aku tahu dah. Atau pun dia masuk
hospital? Ala …
ramai teman lelaki yang boleh support dia. Sudahlah.
Aku nak buat kerja ni.” Jawab
Maya tanpa memandang sedikit pun ke arah Razak.
“Sofiah dah jadi alim.” Maya terhenti apabila mendengarkan bicara Razak. Alim?
Biar benar. Sofiah jadi alim?
“Kau jangan nak buat lawak kat sini
pulak, Razak. Aku sumbat kau dengan
kacang ni.” Maya masih lagi tidak
percaya.
“Kalau nak tahu aku melawak atau pun
tidak, marilah ikut aku. Aku gerenti kau
mesti terkejut. Aku mula-mula tengok pun
macam tak percaya.” Maya berpaling.
Mencari kejujuran dia riak wajah Razak.
Wajah Razak ditenung. Sofiah jadi
alim. Betul ke tidak ni? Hish! Tak percayalah. Tak mungkin Sofiah boleh jadi alim. Alim yang
macam mana hah? Wah ini sudah kira
cerita bagus. Boleh dapat gossip hangat
minggu ni.
“Sumpah. Aku tak tipu kau. Marilah aku tunjukkan.” Razak menarik tangan Maya. Maya yang berada
di dalam keadaan terpinga-pinga akur.
Dia segera mengikut Razak sehingga kelibat Sofiah berada di ruang
matanya.
Bagaikan tidak percaya Maya apabila
melihatkan pesonaliti baru Sofiah.
Berbaju kurung penuh sopan. Baju
kurung warna unggu lemah itu menyerlahkan lagi keayuan Sofiah. Sejak bila pula Sofiah ni dah insaf?
“Sofiah, betul ke apa yang aku
tengok ni? Atau pun jelmaan Sofiah
Afzan? Kenapa dengan kau ni? Kau kena brain
storming ke? Atau pun pakwe kau sekarang ni ustaz? Tak pernah aku tengok kau pakai baju
kurung. Kalau nak pakai pun kena
paksa. Apa mimpi kau malam tadi?” Tanya Maya yang masih lagi dalam keadaan
terkejut. Dia tidak sangka sahabatnya
itu boleh berubah.
“Apa pulak ni? Tak boleh ke aku nak pakai baju kurung
ni? Ini kan baju tradisional kita. Memang patut pun aku pakai. Yang kau ni pelik sangat kenapa? Bukannya aku tak pakai baju.”
“Yelah, tiba-tiba kau pakai baju
kurung mahu aku tak terkejut. Kenapa
dengan kau ni Sofiah? Kau dah buang
tabiatkah? Kalau kau belum buat wasiat
aku rasa baik kau buat sekarang. Tak
adalah susah nak buat pembahagian harta.”
Sofiah memandang Maya dengan satu jelingan yang tajam.
“Mulut kau tak ada insuran
langsung.” Bentak Sofiah. Terasa dia
dengan kata-kata Maya sebentar tadi.
“Yelah, mana aku tak fikir
bukan-bukan. Tiba-tiba je kau berubah. Risau juga aku tengok kau ni. Cuba kau cerita sikit macam mana
kau boleh jadi macam ni. Gerenti semua
yang ada kat sini nak tahu macam mana kau boleh pakai baju kurung ni.” Maya cuba menekan Sofiah untuk
meceritakan perkara yang sebenar sehinggakan seluruh rakan pejabat terkejut dengan
penampilannya.
“Masakan pantai berubah inikan pula
kita manusia.” Selamba saja Sofiah
menjawab. Maya tidak puas hati. Dia cuba untuk mencungkil segala rahsia
yang membuatkan Sofiah berubah.
“Aku tak percaya yang kau boleh
berubah macam ni cepat.”
“Okeylah, sebenarnya….. aku….. hish, malulah aku nak
cakap.” Ujar Sofiah yang malu-malu.
“Apa kena dengan kau ni,
Sofiah? Nak kata kau gila, aku rasa kau
sudah cukup waras. Cuma kau tu belum
matang lagi. Aku rasa ini mesti sebab
seseorang sampai kau berubah. Cuba
kau beritahu aku, siapa orangnya. Aku
nak tahu juga.” Sofiah mendekatkan
dirinya ke arah Maya. Dia cuba
berbisik sesuatu di telinga Maya. Maya
menahan gelak sambil menekan perut.
Mungkin kelakar baginya. Namun
tidak pada Sofiah. Wajahnya berubah.
Merah menahan malu. Menyesal pula dia
menceritakan tentang perihalnya kepada Maya.
Sofiah jadi serba-salah. Buatnya
Maya beritahu seluruh pejabat bukankah itu perkara naya.
“Hai, dalam ramai-ramai lelaki yang
kau kenal muka ‘tempoyak basi’ tu juga yang kau berkenan. Aku tak tahulah kenapa dengan kau ni. Mata kayu agaknya.” Maya yang menggelarkan
Hafiz ‘tempoyak basi’ terkejut apabila perubahan yang dibuat oleh Sofiah adalah
gara-gara dia untuk mengambil hati Hafiz.
“Kau ni, kalau ye pun janganlah
cakap kuat sangat. Malu aku nanti.” Wajah Sofiah mula berubah. Merah menahan malu.
“Yang kau nak takut kenapa? Lumrahlah orang jatuh cinta. Apa yang kau nak malukan. Ala ….
kalau setakat muka Encik Hafiz tu, aku rasa banyak lagi aku boleh jumpa kat
kampung aku. Sofiah, aku nak khabarkan
pada kau. Tunang aku tu, kalau aku
letakkan sebelah-menyebelah dengan Encik Hafiz aku gerenti tunang aku lagi
macho dan kacak. Bukan apa, Encik Hafiz
kita tu bukannya tak kacak. Tapi dia tu
kedekut. Nak senyum pun susah. Sebab itulah muka kacak pun tak guna kalau 24
jam mencuka. Sebab itulah aku rasa dia
belum kahwin lagi. Agak-agak kaulah,
siapalah insan malang
yang jadi isteri dia?”
“Maya!” Sekali lagi Maya terkedu dengan suara
itu. Sofiah yang berada di hadapannya
dipandang. Maya tidak segera
berpaling. Sebaliknya dia cuba
mencari kekuatan untuk bersemuka dengan Hafiz.
“Er…. Ye… ye… Encik Hafiz,
kenapa? Boleh saya bantu?”
“Awak ni setiausaha saya ke?”
“Apa? Encik Hafiz ingat saya tak boleh buat ke
kerja-kerja setiausaha? Selama ini pun
semua kerja saya yang buat.” Alamak,
terlepas cakap. Maya segera menekup
mulutnya dengan tangan. Sofiah yang
masih lagi berdiri tak senang hati.
Buatnya Hafiz tahu yang selama ini sebahagian kerjanya pekerja di
pejabat itu sering diberikan kepada Maya mahu dia menangis tak berlagu bila
mendapat surat
amaran.
“Apa maksud awak? Saya tak faham.”
“A.. er… bukan, maksud saya masa
saya sekolah dulu saya saya banyak sertai aktiviti ko-kurikulum. Saya pernah jadi pengerusi, setiausaha,
bendahari dan yang paling banyak sekali ajk kecil. Tapi…. Kalau nak saya senaraikan memang
banyak aktiviti yang saya masuk. Yang
paling saya minat sekali Persatuan Penulis.
Kalau Encik Hafiz nak tahu sayalah juara menulis sajak peringkat
sekolah. Saya pun pandai cipta pantun
dan sajak. Encik Hafiz nak dengar
tak? Hah, saya ada satu pantun.
Orang tua bermain kotak,
Pergi bermain di gunung Belum,
Apa guna berwajah kacak,
Kalau muka asyik bercantum.
Hah, macam mana?
Okey tak?”
“Sudah, saya tak nak dengar semua
tu. Awak tak ada kerja lain ke? Nak saya tambahkan kerja awak?” Tegur Hafiz kepada Maya.
“Er.. baiklah Encik Hafiz. Saya pergi dulu.” Tanpa sebarang bicara lagi Maya berlalu
menuju ke arah mejanya. Kerja yang
tertangguh dari tadi disambung semula.
“Sofiah, saya nak awak buat tempahan
meja di Hotel Grand Seasson untuk dua orang makan tengahari nanti. Saya nak makan di sana nanti.
Dan lagi satu kalau ada perempuan cari saya biarkan dia masuk. Saya akan tunggu dia di dalam.” Pesan Hafiz sebelum dia masuk kembali ke
bilik. Sofiah yang mendengar pesanan itu
merasa cemburu tiba-tiba. Perempuan? Siapakah dia?
Teman wanita diakah atau pun sekadar pelanggan?
Sofiah tersentak apabila melihatkan
seorang wanita muda berdiri di hadapannya.
“Ye cik, ada apa-apa yang boleh saya
bantu?” Tanya Sofiah lembut.
“Saya nak berjumpa dengan Encik
Hafiz. Ada dia
pesan apa-apa? Sebab saya ada temujanji
dengan dia untuk keluar makan.” Jawab
wanita itu dengan penuh manja. Sofiah
terkedu. Dia tahu kini, dia hanya
bertepuk sebelah tangan.
“Oh ya, dia sedang menanti cik di
dalam. Cik boleh masuk sekarang.”
“Terima kasih.” Sofiah menyambut senyuman wanita dengan satu
senyuman paksa. Naluri wanitanya kini
bergolak dengan api cemburu. Tiba-tiba
dirasakan dirinya tergugat kini. Sofiah
memandang ke arah meja Maya. Kosong.
“Lim, Maya mana?”
“Dia keluar. Kenapa?”
“Nothing.” Tidak lama kemudian, Hafiz keluar
bersama-sama dengan wanita muda tadi.
Sofiah hanya dapat memerhatikan pasangan itu dengan mengiggit jari. Pasangan itu sungguh mesra. Kenapa bukan aku? Melepaslah kau, Sofiah...
No comments:
Post a Comment