Novel: Bisikan Cinta Bab 2

Teratak pena | 7:09 PM |

BAB 2

 

Maya menghampiri meja Sofiah.  Sofiah yang sedang membetulkan make-up di hadapan cermin terkejut.  Namun begitu dia kemudiannya berlagak selamba semula.  Maya yang tidak sedap hati merampas cermin kecil dari tangan Sofiah.

“Apa kena dengan kamu ni Maya?  Kalau kau rasa tak kerja lain jangan pulak aku yang kau nak ganggu.  Pergilah.  Aku nak buat kerja aku ni.  Kalau dah tak ada kerja lain, kau kacau saja si Lim tu.”

“Eh, kau dengarlah apa yang aku nak cakap ni.”  Ujar Maya separuh berbisik. Matanya meliar memerhatikan kesegenap ruang pejabat. Sofiah merampas kembali cermin muka miliknya.  Kali ini dia membelek rambut yang sudah disikat kemas.  Sesekali dia memandang ke arah Maya yang kelihatan seperti orang yang dilanda kegelisahan.

            “Apa dia?  Kau kena sampuk dengan hantu ke?  Aku tengok muka kau pucat je.  Kenapa?” Tanya Sofiah sambil matanya merenung ke arah Maya.  Maya mendekatkan bibirnya di telinga Sofiah.
            “Aku berjumpa dengan pengurus baru kita.”  Mendengar saja kata-kata Maya itu, Sofiah terus ketawa.  La….. aku bukannya buat lawak.  Dia gelak pulak.
            “Oi!  Aku serius ni.”  Marah Maya.  Apa! dia ingat aku ni kaki lawak ke?  Perkara ni bukannya boleh buat main.
            “Siapa pula yang kata kau tak serius.  Engkau ni lain kali jangan tidur siang lagi.  Entah-entah engkau ni mimpi tak?  Hari tu dato’ kata yang pengurus baru tu datang hari esok.  Takkan hari ni dia dah sampai.”  Mimpi?  Maya mencubit pipi kanannya. Sakit!  Pipi kiri?  Juga sakit.  Dah sah aku tak bermimpi.
            “Aku cakap betul ni.  Takkan aku nak mempermainkan kau.  Dia bertanyakan kau tadi.  Kalau boleh dia nak jumpa kau.  Dan yang paling penting dia nak jumpa kita semua jam tiga petang nanti.”  Maya cuba memberikan amanah yang telah disampaikan oleh Hafiz tadi.  Sofiah melopongkan mulutnya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Maya tadi.
            “Kau tak tipu aku ke?”
            “Betul… aku tak tipu kau.  Buat apa aku nak tipu kau.  Aku pun mula-mula tadi tak percaya.  Siap aku gelakkan dia. Tapi bila dia telefon dato’ terus aku minta maaf.  Mula-mula dia masuk aku dah halau dia.  Mahu dia tak mengamuk.  Engkau pun tahu yang aku tengah banyak kerja.  Siapa suruh ganggu aku?  Dia punya naik angin sampai dia kutuk aku tukang sapu.  Nasib baik aku ni penyabar orangnya.  Kalau tidak sebab dia anak dato’ dah lama aku lontarkan dia dari tingkat bangunan ni.”  Cerita Maya yang cuba menceritakan flash back tentang apa yang telah berlaku tadi.  Masih teringat lagi bagaimana raut wajah Hafiz yang sedang menahan marah kerana telatahnya yang cuba mengahalaunya.  Kalau nak diingatkan sumpah tak nak buat lagi.  E…. taubat aku.
            “Eh, macam mana dengan bos baru kita?  Handsome tak? Siapa nama dia?”  Tanya Sofiah bertalu-talu seperti tidak sabar.
            “Kau tak ada kerja lain.  Itu saja yang kau tanya dulu.  Ala… harap je muka dia handsome.  Tapi lambat tangkap.  Aku cakap bagai nak gila bukannya dia faham.  Dia buat kes dia je.  Naya aku tersasul tadi. Nama dia kalau kau nak tahu, Encik Hafiz Iskandar.”
            “Bestlah nama dia. Eh, ada kau cakap apa-apa pasal kita semua?”  Tanya Sofiah kebimbangan.  Takut juga kalau majikan barunya tahu yang dia memberikan separuh kerjanya kepada Maya.  Kalau kena tangkap ada pulak yang kena cari kerja minggu depan.  Selisih.
            “Itu janganlah kau risau.  Aku bukannya bodoh macam dia.  Sampai dua kali nak ulang bercakap.  Aku sempat cover sebelum dia umumkan sebagai pengurus baru kat sini.”
            “Dia kat mana sekarang ni?”  Maya menundingkan jari ke arah pintu yang mempunyai papan tanda yang bertulis ‘PENGURUS’. 
            “Eh, aku nak masuklah.  Nak jumpa dengan bos baru.”  Sofiah bangkit dan terus berlalu untuk ke bilik Hafiz.  Namum belum sempat dia melangkah lebih jauh, Maya sudah pun menarik tangannya.
            “Kenapa?” Tanya Sofiah sambil mengerutkan keningnya.
            “Dia tengah angin.  Baik kau jangan masuk.  Aku takut kalau tak pintu tu, muka kau yang kopak nanti.  Aku tengok tadi muka dia masa marah macam singa nak terkam mangsa.  Seram…. Memang tak ada tokoh langsung dia tu menjadi pengurus.  Tapi kalau macam itulah gaya seorang pengurus, aku gerenti ramai yang tak nak kerja lama dengan dia.  Macam tadi, ada ke patut dia kata aku ni tak profesional.”  Berbular biji mata Sofiah mendengarkan hujah Maya itu.  Kalau macam tu, nampaknya teruklah aku nanti.  Sofiah kembali ke tempat asalnya.  Sambil itu, matanya tidak lepas dari memandang ke arah bilik Hafiz.
            “Habislah aku macam ni, Maya.  Mesti teruk dia kerjakan aku.”  Sofiah mula rasa tidak selesa.  Risau bila mendengarkan cerita dari Maya tadi.  Teruk sangat ke bos baru aku ni?
            Maya tersenyum sambil memandang ke arah Sofiah.  “Itu aku tak tahu.  Apa yang pasti, dia tu garanglah. Cepat naik angin.” 
            “Kau jangan buat cerita pulak.  Kau baru jumpa dia setengah jam kau dah kata dia garang.  Entah-entah dia baik.  Macam Dato’ Khalil.”  Bisik Sofiah ke telinga Maya apabila dia tidak mempercayai akan kata-kata Maya.  Mustahil dia garang orangnya.  Dato’ Khalil seorang yang baik.  Penyabar orangnya.  Susah nak jumpa dia marah orang tak bertempat.  Tapi… tak boleh cakap juga.  Kalau dia ikut perangai mak dia mana kita tahu.
“Dahlah. Aku nak buat kerja ni.  Kau pergilah buat kerja kau.”  Maya meninggalkan Sofiah dengan menghadiahkan sekelumit hujah ketakutan buat bos barunya itu.
Tepat jam tiga petang, Hafiz keluar dari biliknya dan menuju ke arah Maya yang ketika itu sedang khusyuk membuat pengiraan bagi gaji bulan itu.
“Mana janji saya?” Tanya Hafiz dengan wajahnya yang serius. 
“Sekejap lagi saya panggil, Encik Hafiz.  Saya siapkan dulu kerja saya boleh tak?” Maya cuba meminta pelepasan beberapa minit untuk menyiapkan kerjanya.
“Saya tak suka orang yang mungkir dan tidak menepati janji.  Itu memang pantang saya.  Baiklah!! Dengar sini semua, saya nak jumpa semua sekali di bilik mesyuarat.” Suara tegas milik Hafiz itu sudah cukup membuatkan pejabat itu senyap.  Semua mata memandang ke arah Hafiz yang masih lagi setia dengan kot hitam.  Sofiah yang setia di meja bangkit.  Fulamak…. Kacaknya bos aku.  Ini ada peluang aku nak mengorat dia.  Mudah-mudahan dapatlah aku suami anak orang kaya.
“Encik Hafiz,  saya Sofiah.  Selaku setiausaha di sini.”  Sofiah menghulurkan tangannya.  Namun Hafiz tidak mengendahkan sebaliknya menyindirnya.
“Saya tak tanya pun awak.  Baiklah semua, saya tak mahu nak buang masa. 
Sila ke bilik mesyuarat sekarang.”
            Di dalam bilik mesyuarat, Sofiah melabuhkan punggung dia sebelah Maya.  Sesekali matanya nakal untuk memandang ke arah Hafiz.  Handsomenya dia…..
            “Baiklah, sebelum saya mulakan mesyuarat pada petang ini saya nak memperkenalkan diri saya.  Saya Hafiz Iskandar.  Pengurus syarikat yang baru.  Kamu semua boleh panggil saya Encik Hafiz.”
            “Saya Sofiah.” Ujar Sofiah memperkenalkan diri tanpa disoal.  Hafiz menjeling tajam ke arah Sofiah.  Sofiah yang mengerti mengigit jari.  Itulah!  Gelojoh sangat. 
            “Baiklah, tadi semasa saya datang ke sini entah kenapa saya berjumpa dengan seorang staff yang mulutnya macam burung kakak tua.  Melayan saya macam nak tak nak saja.  Sudah pulak tu, dia halaunya saya tanpa bertanya apa yang saya nak.  Saya pun tak tahu ke mana komitmen awak sebagai pekerja di syarikat ini.  Sepatah saya tanya dia, macam syarahan dia menjawab.  Sampai mendidih darah saya mendengarkan celoteh dia.”  Semua mata memandang ke arah Maya.  Maya tahu, perihal dirinya dia sebut-sebut.  Malunya bukan kepalang.  Rasanya badannya kian menggecil.  Kerdil antara semua walhal dialah yang mempunyai saiz badan yang besar di kalangan pekerja di situ.
            “Lagi satu, saya pelik kenapa pukul sebelas setengah saya masuk ke pejabat ni semuanya hilang entah ke mana.  Bila saya tanya Maya, dia kata semuanya pergi keluar makan.  Takkan pukul sebelas dah keluar makan?  Bukankah waktu makan pukul satu?  Saya tahu, mesti ada yang tak kena dengan syarikat ini.  Jangan awak ingat saya baru di sini saya tak tahu latar belakang awak semua.  Saya akan pastikan waktu kerja dipatuhi.  Peraturan syarikat dituruti.  Saya nak awak semua bekerja sungguh-sungguh.  Bolehkan?”  Tegas sekali suara Hafiz.
            “Boleh…” Lemah saja jawapan yang diterima oleh anak-anak buahnya.
            “Saya rasa sudah cukup saya beri rehat tiga jam hari ini.  Takkan nak sebut satu perkataan itu pun dah tak larat!”  suara itu terus bergema memecah ruang sunyi bilik mesyuarat.
            “Boleh!”  Hafiz tersenyum puas mendengarkan suara-suara pekerjanya.  Apa yang nyata suara Maya yang paling nyaring. 
            “Saya yakin Encik Hafiz.  Kalau kita ikut peraturan syarikat kita boleh berjaya.  Bukan saja berjaya di dalam negeri ini malahan juga di Malaysia.  Kalau kita menjadi salah satu syarikat yang paling berjaya, Encik Hafiz juga yang bangga.  Tapi… yang paling senang hati kita semualah.  Sebab masa itulah kita dapat bonus dua bulan.  Tak macam sekarang, nak dapat satu pun dah kira nasib baik.  Kalau kita tak ada…”
            “Maya!  Cukuplah tu.  Saya rasa semua yang berada di sini faham dengan apa yang saya maksudkan.  Tak perlulah awak nak terangkan lagi.” Bantah Hafiz yang tidak senang dengan telatah Maya yang banyak cakap.  Hish, teruk betul perempuan ni.  Nak bercakap tak pernah nak sekat.  Agaknya macam manalah suami nak tahan kalau perangai macam ni.  Buat sakit telinga.
            “Maafkan saya, Encik Hafiz.  Saya bukan apa, kalau bercakap memang susah nak berhenti.” Ujar Maya dengan selamba.  Hafiz menggeleng.  Pening dia melihat perangai Maya. 
            “Baiklah, kalau tak ada apa lagi saya tamatkan saja perjumpaan untuk hari ini.  Saya harap jangan ada saya dengar yang curi tulang atau pun malas datang bekerja.  Kalau saya dapat tangkap, saya tak teragak-agak memberi amaran kepadanya. Ingat tu!  Baik, awak semua boleh teruskan kerja masing-masing.  Sofiah, saya nak jumpa awak.”  Semua yang berada di dalam bilik mesyuarat bangkit menuju ke tempat masing-masing.  Yang tinggal cumalah Hafiz dan Sofiah.  Maya yang tidak senang hati melangkah dengan perlahan.  Seolah-olah ingin mengetahui apa yang bakal dihadapi oleh sahabatnya.
            Maya masih lagi dengan kerjanya.  Namun begitu matanya tidak lepas dari memandang ke arah bilik Hafiz.  Mereka ni buat apa lama-lama dalam bilik tu?  Maya tidak sedap hati.  Bukannya dia tidak kenal dengan watak penggoda Sofiah.  Si Sofiah, bila dah jumpa dengan lelaki kacak habis semua yang dia nak goda.  Lelaki, bila perempuan dah bergesel sikit mulalah nak naik daun.  La…. yang aku ni risau sangat ni kenapa?  Bukannya aku ni isteri si Hafiz tu. Sudahlah.  Tak payah risau.  Eh, tak boleh.  Kalau Encik Hafiz dan Sofiah buat kerja tak senonoh, aku juga yang bertanggungjawab.  Tak nak orang kata bersubahat.  Maya tak senang duduk.  Dah setengah jam Sofiah tu di dalam dengan Encik Hafiz.  Apalah agaknya mereka buat di dalam tu. 
            Tiba-tiba pintu bilik Hafiz terbuka.  Muncullah muka Sofiah yang pada ketika itu bagaikan cuka basi.  La…. kenapa pulak ni?  Ini sudah tentu kena marah dengan bos baru. Teka Maya.
            “Kenapa dengan kau ni Sofiah?”  Tanya Maya sejurus Sofiah sampai di mejanya.    
            “Dia marah aku sebab aku masuk lambat tadi.  Macam mana dia tahu yang aku masuk lambat makan tengahari tadi?  Itu yang pelik.  Dia pasang kamera ke?”  Ujar Sofiah dalam nada sedikit keliru.  Sofiah memandang ke arah wajah Maya.  Renungannya tepat.  Maya menggarukan kepala yang tidak gatal.  Turut memikirkan masalah yang sama.  Sofiah menjeling ke arah Maya.  Maya menggelengkan kepalanya.
            “Hah, bukan aku.  Akukan dari tadi ada kat meja aku.  Mana ada aku beritahu dia?  Entah-entah dia ni adik-beradik dengan nujum pak belalang tak?  Engkau pun satu, kalau pergi makan tengahari tu bukannya nak beringat.  Hah, sekarang kau juga yang susah.  Aku tahulah kau makan dengan buah hati kau.  Tapi kerja kau pun kena jaga juga.  Cuba kau tengok macam aku ni.  Buat tak tahu je. Pada hal aku ada seorang tunang yang sayangkan aku.”  Kata Maya dengan bangga.  Sofiah yang mendengarnya menjuihkan bibirnya.  Meluat dia mendengarkan cerita Maya itu.
            “Ala… kau bolehlah cakap besar.  Tapi kau mesti ingat.  Bertunang tak semestinya berkahwin.  Manalah tahu, tunang yang kau sayang-sayangkan tu….”  Belum sempat Sofiah menghabiskan kata-kata, Maya sudah mula mencelah.
            “Hah, mulut tu jaga sikit.  Jangan nak doakan yang bukan-bukan.  Kau sepatutnya mendoakan agar aku dengan  dia berkekalan.  Bukannya nak pisahkan.”  Nada Maya berubah.  Tegas dan keras. Juga berbaur nada sedih.  Dia tahu orang yang seperti dirinya bukan mudah untuk mendapat kasih sayang seorang lelaki yang bergelar kekasih.
            “Tapi yang peliknya kau ni, bila masa kau jumpa dengan si dia hah?  Kalau akulah, sehari tak jumpa mahu nak separuh gila aku.” Bicara Sofiah seolah-olah cuba mencungkil rahsia Maya.
            “Itulah kau.  Lain kali, dengar cakap mak dan ayah.  Walau pun bertunang atas pilihan keluarga, aku amat bahagia sekali.  Biarpun berjumpa seminggu sekali, sudah cukup bagi aku.  Ala…. Kalau jumpa hari-hari pun nanti bila dah kahwin rasa jemu pulak.  Apa salahnya kita berjauhan buat masa sekarang menyulam rindu buat yang tersayang.” Maya menggayakan dengan penuh perasaan sehinggakan dia tidak perasan yang Hafiz sudah pun berada di belakangnya.  Sofiah yang menyedari berubah wajah.  Dia cuba memberi isyarat kepada Maya tetapi mulut itu kian lancang berkata-kata.
            “Kau tahu, tunang aku memang berbeza dengan lelaki lain.  Okey, aku cuba bandingkan dia dengan bos kita tu, Encik Hafiz.  Tunang aku walaupun seorang yang pendiam, tapi dia murah dengan senyuman.  Romantik, pandai ambil hati, dan yang paling penting kami mempunyai minat yang sama.  Kalau nak kita bandingkan dengan bos baru kita tu, aku rasa kalau aku jadi bini dia, mahu sawan aku datang balik.  Sudahlah banyak mulut, lepas tu asyik nak marah je.  Sudahlah pulak tu, nak senyum punyalah payah.  Kalau nak ikutkan hati aku, mahu saja aku sepit mulut dia biar dia menyeringai.”  Sofiah yang mendengarkan keterangan Maya itu mula tidak sedap hati.  Dia cuba mengenyit mata untuk memberikan amaran. 
            “La… kenapa dengan mata kau?  Masuk habuk ke?   Ini lagi satu aku nak beritahu pasal bos kita.  Dia tu, aku tengok tak sporting langsung. Bengkeng.  Cepat naik angin.  Garang!  E….. Macam manalah dia boleh jadi bos kita.  Entah siapalah perempuan malang yang dapat dia tu.  Agak-agak kaulah, berapa umur bos kita tu ye.”
            “29.”  Riak wajah Maya berubah mendengarkan jawapan itu.  Dia pasti, jawapan itu bukannya datang dari mulut Sofiah.  Maya berpaling.  Hafiz! Dengan perlahan Maya turun dari meja Sofiah.
            “Dah puas awak mengata saya?  Kutuklah lagi, saya memang suka orang mengkritik saya.  Sini pejabat.   Bukannya agensi cari jodoh.  Kalau awak rasa boleh jadi orang tengah untuk cari jodoh, baik buka perniagaan sendiri.  Awak ni sudah tak ada kerja ke?” Maya terkedu dengan kehadiran Hafiz yang tidak diduga itu.  Menyesal pula hatinya membuat perbandingan tadi. 
            “Maafkan saya Encik Hafiz.  Entah kenapa masa saya buat perbandingan tadi, muka tempoyak basi Encik Hafiz juga yang saya terbayang.  Kalau Encik Hafiz masih marahkan saya, saya rela dihukum.” 
            Hafiz senyap.  Sofiah yang masih lagi di meja memandang ke arah Maya tanpa berkelip-kelip.  Berani betul si Maya ni panggil Hafiz muka tempoyak basi.  Buatnya orang tu mengamuk bukan ke kes haru nanti.  Silap hari bulan ada yang dapat cuti tanpa gaji.  Sofiah kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah Hafiz.  Ternyata wajah Hafiz merah.  Marah barangkali.
            “Kalau awak rasa sudah siapkan kerja semuanya, baik awak lap segala peralatan pejabat di dalam ni.  Kalau rasanya sempat nak buat semuanya, saya boleh syorkan awak kira batang pen dalam pejabat dari awak bertenggek atas meja ni.  Badan awak tu macam anak gajah.  Saya rasa kalau awak duduk lebih lama lagi dah tentu meja saya ni awak patahkan.  Awak ada duit ke nak ganti meja ni?”  Kali ini wajah Maya pula yang berubah.  Kurang asam.  Dia panggil aku anak gajah?  Sakit hatinya apabila digelar anak gajah.
            “Ala encik.  Setakat meja yang macam muka encik ni melambak-lambak saya boleh dapatkan di luar sana.  Setakat meja lapuk ni pun nak berkira.”  Maya tidak mahu mengalah.  Dibidasnya kata-kata Hafiz.  Biar dia rasa.
            “Sudahlah malas saya nak layan awak ni.  Pergi tempat awak balik.  Kalau saya nampak awak bertenggek atas meja ni lagi, saya beri surat amaran pada awak.”  Hafiz terus berlalu tanpa bersoal jawab lagi dengan Maya. Dia tahu, kalau dia teruskan juga, sampai esok pagi sudah tentu dia tidak mahu mengalah.
            “Beraninya kau panggil dia muka tempoyak basi.  Tak takut ke kalau dia beritahu pada dato’ nanti?”  Sofiah yang dari tadi sepi tanpa suara bertanya apabila melihatkan kelibat Hafiz hilang dari pandangan.
            “Dia pun manusia macam kita juga,  yang kau nak takut buat apa?”  Selar Maya.  Puas hatinya apabila menggelarkan Hafiz dengan muka tempoyak basi.
            “Yelah, kau tu berani sangat.  Buatnya dia pecat kau, baru kau tahu.”  Perkataan ‘pecat’ yang terkeluar dari bibir Sofiah membuatkan Maya tersedar tiba-tiba.  Kini baru dia tahu, dia banyak berkata-kata. 

            “Ala.. kalau dia nak pecat aku apa yang boleh aku buat?  Bungkus kain baju dan kemudian balik kampung tanam anggurlah.”  Maya berlalu dari situ.  Dia kemudiannya melabuhkan punggung dan kemudiannya meneruskan kerja.  Namun di hatinya masih lagi terasa dengan kata-kata Sofiah sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page