Novel: Bisikan Cinta-Bab 1

Teratak pena | 6:49 PM | 4 Comments so far
BAB 1

Maya memerhatikan fail yang berselerakkan di atas meja. Dia terhenyak di atas kerusi empuk miliknya. Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan. Makin dibuat, makin banyak. Itu yang pelik. Kerja pejabat selalunya bermula lapan setengah pagi hingga lima petang. Namun dia bekerja lapan pagi hingga tujuh malam. Itu yang paling awal. Pernah juga kerjanya mencecah ke angka sembilan atau sepuluh malam. Maya menongkat dagu sambil memerhatikan fail yang mula menggunung. Kalau macam ni, boleh kurus aku dibuatnya. Gomel Maya di dalam hati. Hish, tapi aku tengok dah hampir setengah tahun aku di sini masih tidak kurus juga. Tapi… kerja makin lama makin banyak tu adalah. Badan pun makin lama makin berisi. Hish! Ini tak boleh jadi. Nanti tiada siapa yang nak aku juga yang menganga nanti.

Maya yang baru saja kerja di situ sedia menerima jawatan kerani biasa walhal dia mempunyai ijazah di dalam jurusan perakaunan. Dia tahu, pada saat genting mencari rezeki di bumi Malaysia ini, dia tidak boleh memilih kerja pada hari ini. Akhirnya sijil STPM yang diduduki hampir empat tahun menjadi mangsa. Apabila dia melangkah untuk temuduga, dia membawa sijil yang setaraf. Dia takut, sekiranya dia menunjukkan sijil ijazah sudah pasti dia akan gagal dengan temuduga itu. Dia masih ingat apabila dia mengahadiri temuduga untuk jawatan yang dijawatnya kini. Pelbagai soalan dan pertanyaan yang perlu ditempuhi. Bagai lenguh mulutnya untuk menjawab segala pertanyaan yang diluahkan. Kenapa tak sambung belajarlah, kenapa tak cari kerja baiklah, tak sayang pelajaran ke? Hish! Macam artis pula nak jawab semua tu. Namun apa yang penting sekarang ini ialah, dia sudah mendapat kerja. Walaupun gaji tidak setimpal dengan kelulusannya, dia tetap rela untuk mencari rezeki yang halal.

Maya terkejut apabila fail yang berada di atas meja tiba-tiba saja jatuh ke bawah. Alamak… masa inilah dia nak menggelamun. Maya segera mencapai fail yang terjatuh di bawah meja. Sambil itu mulutnya mula mengomel. Dia mengeluh kecil. Maya mendongak. Dia terkejut. Wajah Faiz jelas di ruang matanya.

“Kus semangat. Aku ingat siapa tadi. Engkau ni Faiz, kalau buat aku tak terkejut satu hari tak boleh ke?” Jerkah Maya.

Sudahlah banyak kerja nak buat. Datang pula si Faiz ni senyum kambing dia. Maya melemparkan wajah masam kepada Faiz. Faiz yang berada di hadapan Maya cuma tersenggeh. Fail yang masih lagi dalam genggaman diletakkan di atas meja dan segera membantu Maya mengutip fail yang berselerakan di atas lantai.

“Hah, kau nak apa ni? Nak minta tolong aku lagilah tu. Aku tak tahulah apa yang nak jadi dengan kau ni. Asyik nak buli aku dengan kerja kau. Cubalah buat sendiri tak boleh ke?” Mulut Maya masih lagi membebel. Tangannya pantas mengemas fail yang berselerakkan di atas meja. Dia tahu kedatangan anak muda itu pastinya ada kerja untuk dirinya.

“Kalau bukan nak minta tolong apa lagi?” Senyum Faiz.

“Engkau bukan ke pekerja yang rajin? Kau tolong aku taipkan ni. Aku ada hal sikit. Nak keluar. Nanti aku belanjalah kau makan.”

“Ye ke kau nak belanja aku makan? Selalunya kau cakap je… lepas tu habuk pun tak Nampak.”

“Kau cakap je apa yang kau nak makan. Nanti aku belikan. Nasi Ayam, nasi paprika, nasi goreng pattaya, tomyam…. Semuanya aku boleh beli. Aku janji” Pujuk Faiz. Fail yang berada di tangannya diserahkan kepada Maya. Maya mengeluh. Sebagai orang baru dia sentiasa saja menjadi buli di pejabat itu.

“Banyak sangat ni Faiz. Aku pun belum makan tengahari lagi. Perut aku dah laparlah. Esok boleh tak?” Maya menolak.

Bukan dia tidak mahu membantu, tetapi kerja yang sedia ada pun dia tidak mampu untuk melakukannya. Apa lagi dengan kerja yang bakal diterimanya dari Faiz. Tangan Maya menolak lembut fail yang berada di tangan Faiz. Dia harap Faiz akan faham akan kedudukannya sekarang ini. Dia benar-benar sibuk. Mana dia nak kejar kerja Aisyah, Lokman, Sulaiman dan yang penting, kerjanya juga perlu diselesaikan.

“Tolonglah aku, Maya. Ala…. Kau tak payahlah makan dulu. Aku gerenti, kalau kau tak makan cukup bulan kau mesti kurus.” Kata Faiz yang sudah pun melabuhkan punggung di atas meja Maya.

“Masuk ni dah banyak kali kau cakap dengan aku. Aku rasa aku ni bukan makin lama makin kurus, tapi hari tu aku timbang makin lama makin naik badan aku. Lepas ni kalau timbang dah tentu jarum timbang tu patah. Engkau cari sajalah orang lain. Tak payahlah nak pujuk dan ampu aku.” Rungut Maya dengan mempamerkan muncungnya yang sedepa. Faiz tertawa dengan kata-kata Maya itu.

“Tolonglah Maya. Kau saja yang boleh tolong aku. Nanti kalau Dato’ Khalil datang, kau pandai-pandailah cover.” Bisik Faiz ke telinga Maya. Maya yang merasa tidak sampai hati menyambut fail dari tangan Faiz. Faiz tersenyum lebar. Hah, macam itulah namanya kawan.

“Terima kasih, Maya. Kau sajalah sahabat dunia dan akhirat.” Hah, pandai. Bila nak minta tolong masa itulah sahabat dunia akhiratlah, sahabat sehidup sematilah, tapi… kalau nak makan semuanya tinggalkan aku. Mana aci. Maya tersenyum dalam paksa. Em… kerja lagi. Kerja yang sedia ada pun tak terhabis nak buat. Ini, ditambah pula dengan kerja orang lain. Nasib kamulah Maya. Nak buat macam mana. Itulah, baik hati sangat. Orang lain makan masi, kau makan jelah roti dalam pejabat. Itu pun kalau sempat.

Maya meletakkan fail Faiz di sisi kirinya. Dia mencapai secebis kertas memo di atas meja. Nama Faiz dicatit dan diclip bersama-sama dengan fail tadi. Bukan apa, takut tersalah beri nanti. Manalah tahu kalau tertukar. Mana lagi nak berikan pada Aisyah, Lokman, Sulaiman, Fara, Lim, dan pastinya kesemua fail ini akan kembali kepada tuannya. Kerja aku? Nampaknya kerja lebih masa lagi aku hari ini. Lepas ni siapa pulak yang nak minta tolong dengan aku.

“Maya….” Sudah… baru saja cakap bala dah sampai. Maya memandang ke atas. Sofiah. Aik! Kerja setiasusaha pun aku kena buat juga ke? Maya melemparkan sebuah senyuman kepada Sofiah. Senyuman dengan penuh dengan sindiran. Aduh! Katakan, Sofiah yang kau datang untuk ajak aku makan. Janganlah bebankan aku dengan kerja-kerja setiausaha. Aku bukannya pandai sangat.

“Hah, kamu pula nak suruh aku buat apa?” Tanya Maya sambil mata tidak berkelip-kelip memandang ke arah Sofiah.

Memang patutlah dia menjawat jawatan setiausaha. Cantik dan bergaya. Kalaulah aku solid macam Sofiah ni alangkah bahagianya. Tak adalah aku mendapat gelaran ‘Maya Tembam’. Lagi satu orang cantik ni selalu ada pakwe. Betul ke? Yelah, orang cantik ni mesti ramai lelaki yang tergila-gilakannya. Macam Sofiah ni, hari-hari dapat bunga. E…. cemburunya aku. Kalaulah aku macam dia, alangkah bahagianya aku. Sudah tentu aku tidak tidur malam.

“Oi Maya! Yang kau pandang aku macam tu kenapa? Apa yang tak kena dengan aku? Aku tahulah aku ni cantik. Tapi janganlah pandang macam nak makan aku. Kenapa? Kau nak bentuk badan macam aku ke?” Maya mengangguk tanpa banyak soal. Sejak dulu lagi dia ingin bertubuh langsing. Agar dapat memikat sang jejaka. Namun setiap kali dia cuab berdiet, dia akan gagal. Itu pun dia boleh kekal sebulan. Kemudian dia akan makan tidak mengikut jadual. Emm… Pedulilah apa orang nak kata. Tembam pun tembamlah. Tembam tu comel.

“Jangan nak mimpilah Maya. Badan macam kau ni dah memang tak boleh kurus. Tapi tengok kau ni bukannya gemuk sangat. Tapi tembam kau tu melebihi pau kacang.” Maya mengetap gigi menahan geram. Sakit hatinya mendengarkan biji butir bicara dari Sofiah. Macamlah dia cantik sangat. Kalau nak diikutkan, cantik lagi nenek aku masa muda. Rungut Maya.

“Hah, kau nak apa?” Tanya Maya sambil memerhatikan wajah Sofiah yang disaluti bahan komestik yang tebal. Anak mata Maya masih lagi menatap wajah Sofiah. Dia mula mengira. Berapa lama agaknya si Sofiah ni bersolek ye? Mungkin sampai cermin tu berterabur? Atau pun sehingga kaki naik lenguh?

“Aku ada buat transfer call kat phone kau. Nanti segala temujanji kau tolong catitkan ye. Aku nak keluar makan ni.” Maya memandang ke arah jam dinding yang berada betul-betul di hadapannya. Baru pukul sebelas. Nak makan sarapan ke makan tengahari?

“Ala… tak lama. Sekejap je. Tolonglah.” Lagak Sofiah yang sengaja dimanjakan membuatkan Maya meluat melihatnya. E…. geli tekak aku. Perempuan ni bukannya boleh dipercayai. Sekejap dia mesti jejak sampai tiga jam. Bukan sehari dia mengenali Sofiah. Bila Dato’ Khalil tiada di pejabat, semuanya keluar ikut suka. Kadang-kala jam tiga petang pun masih ada yang tidak Nampak batang hidung. E… bilalah agaknya mereka ni nak berubah?

“Kau tu, janganlah lama sangat. Kalau Dato’ datang, puas aku nak jawab dengan dia.” Maya cuba memberikan peringatan. Susah juga untuk dia menjawab dengan Dato’ Khalil setiap kali majikannya itu bertanya.

“Kau janganlah bimbang. Aku pergi sekejap je.” Jamin Sofiah memaksa Maya mengangguk perlahan. Kalau tak tolong nanti lagi susah. Kalau ada complaint mesti kena gegar dengan Dato’ Khalil. Walau pun Dato’ Khalil seorang yang baik namun kadang-kala dia juga tegas orangnya.

“Hah…. Macam itulah. Aku nak pergi sekarang. Kau nak kirim apa-apa ke?” Tanya Sofiah sebelum melangkah meninggalkan Maya.

“Tak payahlah Sofiah. Aku kenyang lagi. Tapi kalau boleh aku nak kirim air. Aku nak fresh orange. Nanti aku beri kau duit.”

“Okey. Aku belanja kau. Nanti nak kirim makanan jangan lupa telefon aku. Nanti aku belikan. Kalau macam tu aku pergi dulu. Thanks a lot.” Maya memerhatikan Sofiah sehingga gadis itu hilang dari pandangan matanya. Kerja lagi. Maya mengeluh.

Maya tidak tunggu lama. Fail yang berada di mata mula dicapai. Dia mesti segera menyiapkan kesemuanya. Kalau tidak, dia pasti akan balik lambat hari ini. Sesekali Maya menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Cuba menyelesaikan masalah kerja rakannya yang lain. Tanpa disedari, Maya cuma keseorangan di dalam pejabat itu.

“Selamat tengahari, Cik.” Tiba-tiba Maya dikejutkan dengan satu suara. La…. orang tengah sibuk ni ada saja yang nak kacau. Maya memandang ke atas. Siapa pulak ni? Seraya itu Maya memandang sekeliling. Kosong. Patutlah dia datang ke sini.

“Maaflah encik. Bos tak ada. Encik balik dululah. Lagi pun semua orang tak ada sekarang ni. Saya pun ni banyak kerja. Kalau tidak pun encik tinggalkan mesej nanti saya serahkan kepada yang berkenaan. Sekarang encik dating tak kena masa. Lagi pun saya tengah sibuk ni.” Ujar Maya acuh tak acuh. Dia kemudiannya meneruskan kerja yang masih lagi tertangguh.

“Cik…” La…. tak faham bahasa rupanya. Maya mengeluh. Dia mengetap gigi menahan geram. Mamat manalah yang terlepas dari penjara ni?

“Maaflah ye. Saya tak ada masa sekarang ni. Kalau saya tak siapkan kerja ni, saya yang kena nanti. Encik baliklah dulu. Kalau tak senang datang esok, minggu depan pun boleh. Tidak pun tahun depan.” Ujar Maya tanpa memandang ke arah lelaki tersebut. Apa yang penting sekarang ini adalah kerja yang perlu diselesaikan.

“Tapi cik…” Hish! Harap je muka tu kacak. Tapi telinga di lutut agaknya.

“Kalau encik tak senang juga minggu depan, bulan depan ke atau tahun depan ke bolehlah datang. Sekarang ni saya tak ada masa nak layan encik.” Maya tidak memandang ke arah lelaki itu sebaliknya dia meneruskan kerja.

“Tapi…”

“Maaf sajalah. Nak saya beritahu berapa kali baru encik nak faham? Nak saya tunjukkan pintu keluar pada encik ke? Saya rasa encik ni tiada kena-mengena denga syarikat ni bukan?” Ujar Maya dengan tangan kanannya pantas menulis. Sedikit pun tidak dipandangnya wajah lelaki itu.

“Berapa lama cik kerja di sini?” Lelaki itu bertanya. Maya berhenti menulis. Beraninya lelaki ni bertanya.

Maya mengetap gigi menahan marah. Nampaknya lelaki asing ini cuba nak buat hal. Alamak… Maya mula rasa takut. Buatnya dia buat apa-apa, siapa yang nak tolong? Maya tekad. Dia tidak akan berlembut. Hanya ketegasan yang boleh melawannya. Tapi lelaki ni tak ada pula macam perogol bersiri. Tidak boleh cakap juga. Zaman sekarang ni orang yang nampak macam baik itulah yang balik kenakan kita. Muka pun boleh tahan. Hish! Muka yang boleh tahan inilah yang nak kena jaga. Sekali dia ngap! Habis aku.

“Apa pulak kena-mengena saya dengan encik? Encik ni wartawan ke? Atau inspektor polis. Maaf sajalah encik. Saya ni tak sukakan publisiti. Kalau nak temuramah tu, encik tunggu sajalah kawan saya. Nama dia Sofiah. Tapi nak tunggu dia pun entah bila dia balik saya pun tak tahu.” Ujar Maya dengan nada geram. Sakit jiwanya apabila penerangannya tadi tidak diterima. Aku bungkus mamat ni buat nasi lemak baru tahu. Sudahlah banyak kerja, datang pula hamba Allah ni nak buat kacau.

“Cik ni setiusaha di sini ke?” Lelaki asing itu berlagak selamba walaupun Maya agak dingin.

Maya tergelak dengan kenyataan lelaki itu.

“Muka saya ni ada rupa macam setiausaha ke? Encik ni mata kayu agaknya. Saya ni kalau nak tahu, nak katakan CEO tu macam enggang dengan pipit. Nak dikatakan pengurus di sini, macam langit dan bumi. Kalau nak katakan setiausaha tu, macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Saya ni kerani je.” Seloroh Maya sambil tersenyum. Hilang pula rasa takut dan seronok pula mengenakan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“Saya ingatkan cik ni tukang sapu pejabat ni.” Bicara lelaki itu membuatkan Maya meletakkan pen. Geram dia dengan kata-kata yang baru diluahkan oleh lelaki itu. Ini ada nak cili mulut. Aku cakap yang baik-baik, dia pulak yang buat hal kat sini. Ini tak boleh jadi.

“Encik ni dahlah datang tidak diundang, tapi buat pejabat encik macam pejabat encik sendiri. Saya dah kata, bos tak ada. Tak faham-faham ke? Atau saya nak terjemahkan dalam bahasa Inggeris? My boss not in. Atau saya nak translitkan dalam bahasa cina? Bahasa cina? Hah, itu encik kena tunggu kawan saya lagi satu Lim Ah Lek. Dia boleh beritahu.” Ujar Maya dengan nada geram. Dia memandang sekilas ke arah lelaki itu.

“Awak ni banyak cakaplah.”

“Suka hati sayalah. Mulut saya yang nak cakap. Bukannya kena bayar.” Wah! Lawan tauke nampaknya.

“Tapi… bila saya tanya, banyak sangat awak nak huraikan.” Kali ini lelaki itu sudah hilang sedikit rasa hormatnya kepada Maya. Kalau tadi ‘bercik’ sekarang sudah ‘berawak’.

“Encik, saya ni tengah banyak kerja. Takkan saya nak ulang sampai sepuluh kali baru encik nak balik? Encik datanglah lain kali.”

“Er…..”

“Kalau kerja-kerja ni saya tak dapat siapkan takkan encik nak tolong siapkan? Saya ni makan gaji kat sini. Kalau prestasi kerja saya tak bagus, saya juga yang kena buang kerja. Lainlah pejabat ni ayah saya punya. Saya tak kisah nak buat apa pun. Saya nak buat kerja ke nak ponteng ke saya boleh buat sesuka hati.”

“A…..”

“Tapi sayang… syarikat ini bukan saya punya dan juga bukan ayah saya yang punya. Kalau saya tak ada kerja kat mana lagi saya nak kerja? Al- maklumlah kat Malaysia ni. Payah nak dapat kerja. Nak dapat kerja ni pun dah cukup susah encik. Banyak lagi yang saya nak kena tanggung….”

“Enough.” Kali ini suara lelaki itu sedikit meninggi. Maya tersentak. Alamak, lelaki ni dah marahlah. Aku ni banyak sangat cakap ke?

“Saya merayu dengan encik. Tolonglah…. Tak pun encik telefon dulu sebelum datang. Buat temujanji. Tak adalah encik penat nak datang.” Maya cuba memberi cadangan. Dicapainya pen dan kertas yang sedia ada di atas meja.

“Cubalah awak dengar apa yang saya nak cakapkan ni.”

Maya senyap. Seolah-olah memberikan lelaki itu meluahkan apa yang terpendam. Lelaki segak yang berada di hadapannya sudah mula bercekak pinggang. Raut wajahnya berubah.

“Saya sebenarnya Hafiz Iskandar. Anak Dato’ Khalil yang juga pengurus di sini.”

Maya memandang dari atas ke bawah. Mencari segaris kejujuran dari lelaki itu. Maya menelan air liur. Bagaikan tersekat dikerongkong.

Wajah Maya berubah. Pucat. Dia memandang tepat ke arah raut wajah Hafiz. Ini pengurus baru ke? Yelah… muka dia ada iras-iras Dato’ Khalil. Tapi….

“Dato’ Khalil kata Encik Iskandar datang esok.” Maya cuba berdalih. Takut juga andainya lelaki itu hanya menyamar.

“Just call me Hafiz.” Hafiz membetulkan. Wajah Maya ditatap. Tepat. Renungan tajam dari Hafiz membuatkan Maya kecut perut memandangnya.

“Ye, Encik Hafiz. Dato’ kata encik lapor diri esok. Encik kalau nak tipu pun janganlah sampai nak menyamar anak dato’. Nanti kena saman encik juga yang malu.” Maya masih lagi was-was dengan kedatangan lelaki itu. Dunia sekarang bukannya boleh percayai. Hendak pula di Kuala Lumpur kota metropolitan yang penuh dengan penipuan dan bahayanya.

“Kenapa pula saya nak menyamar anak Dato’ Khalil? Kalau awak tak percaya, telefon ayah saya.” Hafiz sudah pun mencapai ganggang telefon dan menyerahkan kepada Maya.

Maya menyambut dengan penuh rasa takut. Nombor telefon pejabat Dato’ Khalil didail. Tidak lama kemudian, Maya meletakkan kembali ganggang telefon. Riak wajahnya ternyata memperlihatkan rasa salah yang amat sangat. Betullah….. dia anak Dato’ Khalil.

“Maafkan saya Encik Hafiz. Saya tak tahu.”

“Macam ni ke pekerja syarikat ayah saya? Tak profesional langsung.” Maya menggigit jari. Sedikit gementar. Itulah Maya. Lain kali jangan asyik nak naik angin saja. Sekarang siapa yang susah?

“Mana yang lain?” Maya memerhatikan sekeliling. Entah kenapa, mulutnya kini berat untuk bersuara. Itulah, lain kali jangan buat macam ni lagi Maya!

“Hai, tadi bukan main lagi awak bercakap. Sekarang dah bisu? Saya tanya. Mana yang lain?” Bentak Hafiz. Wajah Maya direnungnya.

“Mereka pergi keluar makan, Encik Hafiz.” Jawab Maya dengan sedikit rasa takut.

“Semua sekali? Yang awak ni kenapa tak keluar makan?”

“A…. er…. Diet encik.”

“Diet ke atau pun kerja tak siap lagi? Itulah, cakap bayak lagi. Lain kali control sikit cakap tu. Kalau asyik bercakap sampai kiamat pun kerja tak habis nak buat.”

“Ye encik.” Maya tunduk. Tidak sampai hati rasanya untuk memberitahu perkara yang sebenar. Kalaulah Hafiz tahu yang kesemua fail ini adalah milik pekerja yang lain, dia juga yang kena. Kalau macam tu, lebih baik diam.

“Setiausaha saya mana?” Tanya HaFiz apabila melihatkan meja kerusi di meja Sofiah kosong.

“Dia pun keluar makan.”

“Huh, semuanya tak boleh harap. Macam manalah ayah saya boleh gajikan awak semua. Baiklah, lepas ni tepat pukul tiga petang saya nak jumpa semua sekali. Faham tu!” Maya mengangguk tanpa sebarang jawapan.

Akhirnya Maya kembali keseorangan apabila Hafiz mula melangkah masuk ke dalam bilik pengurus. Alamak…. Matilah aku kali ini. Maya mula merasa tidak senang hati. Kerja yang tertangguh dibuatnya dengan acuh tak acuh. Macam manalah aku tak tahu yang dia tu anak Dato’ Khalil. Nasib baik aku tak terbabas tadi. Kalau tidak buat naya saja.

Sajak: Harapan

Teratak pena | 5:09 PM | Be the first to comment!


Pada bisikan angin harapan
Aku lagukan angan dan kekuatan
Agar capai pada puncak kejayaan
Untukku terus perjalanan kehadapan
tidak akan ku menoleh ketinggalan
Susur tangis kekalahan dan kegagalan
Akan ku kumpul segala kenangan
untuk mencari seraut harapan
Agar terang sinaran
Untuk ku suluh perjalanan
hanya doa yang tulus garapkan
Agar kejayaan perolehi berkat dari tuhan
kugenggam agar terus menjadi kejayaan
Inilah dia tapak yag harus kuturutkan
semoga mendapat kebenaran
Aku yang masih keseorangan
terus memanjat harapan
dan yang pasti ini adalah permulaan...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page