CINTA KAU DI MANA - BAB 1

Teratak pena | 8:24 PM |


Salam Readers semua....

Nak belanja semua Bab 1 dari Novel Cinta Kau Di Mana.

Novel ni dah ada di pasaran Februari 2017 di  bawah naungan KAKI NOVEL.

BAB 1

            Suraya keluar dari biliknya setelah selesai  solat subuh.  Derapan kakinya memenuhi heningan subuh itu.  Walau pun ibu dan adiknya telah pun berjaga namun dengan suasana hening begitu jelas kedengaran kakinya melangkah ke dapur.  Suraya sempat berdiri di ruang pintu sebelum dia menuruni anak tangga untuk ke dapur.  Kelihatan Hamdan, adiknya masih lagi berselubung dengan kain pelikat.  Adiknya yang berumur 16 tahun itu tersenggut di meja makan yang sudah kelihatan usang.  Pandangan Suraya berkalih kepada ibunya, Mak Siah yang sedang leka mengacau sambal di atas dapur.  Aroma nasi lemak jelas menyinggah di rongga hidungnya.  Erm…. Sedapnya bau.
            Suraya menarik kerusi dan melabuhkan punggung di hadapan Hamdan yang masih lagi terpisat-pisat itu.  Suraya mencapai kertas surat khabar yang sudah dikerat dan sehelai daun pisang diletakkan di hadapannya.  Nasi lemak yang masih lagi panas disendukkan dan diletakkan di atas daun pisang.  Sambil menantikan sambal masak, dia meletakkan telur dadar yang telah dikerat 8 di sisi.  Kemudian dia mencapai ikan bilis goreng bersama dengan kacang tanah goreng diletakkan di sebelah telur dadar itu.  Melihatkan Hamdan yang masih berselubung itu, Suraya mula mengambil peluang.  Kaki adiknya ditendang.
            “Aduh!  Kakak ni.  Sakitlah.”  Kedengaran suara serak-serak basah milik adiknya itu berbunyi.
            “La… kakak ingatkan tak sedar tadi.”  Tangan Suraya sempat mencapai timun yang siap dihiris dan di letakkan di disebelah kacang. 
            “Kakak ni,  janganlah kacau.  Hamdan mengantuk ni.”  Hamdan yang masih lagi berselubung dengan kain pelikat itu bersuara.  Mengantuk matanya usah nak diceritakan.  Sudahlah dia lewat tidur kerana mengulang kaji, kini kakaknya itu sudah mula mengusiknya.
            “Bangunlah Hamdan.  Dah sembahyang subuh ke belum ni?”  Tanya Suraya dengan suara yang kian meninggi.
            “Sudahlah kak.  Orang mengantuklah kak.  Bagi Hamdan tidur sekejap.  Sepuluh minit jadilah.”  Ujar Hamdan dengan matanya yang masih lagi tertutup. 
            Suraya tersenyum sambil menggeleng.  Kalau dah kata namanya Hamdan, kalau mana-mana pun dia boleh layan tidurnya.  Atas meja makan pun jadi.  Kalau di bilik, lagilah pula.  Nak mengejutkan punyalah payah.  Suraya menantikan Mak Siah siap memasak sambal.  Dia kemudiannya menyiapkan nasi untuk kali kedua.  Nanti senang cuma nak letak sambal saja di atas nasi. 
            “Kakak, janganlah tarik kain ni. Orang nak tidur ni.  kacau jelah.”  Hamdan menarik semula kain pelikat bila kain ditarik dari badannya. 
            “Kakak….”  Bila kali kedua kain pelikat ditarik, Hamdan mula bangkit.  Namun belum sempat dia bangun, dia tersenyum meleret.
            “Mak,”  Hamdan tersenggeh mempamerkan barisan gigi yang masih belum digosok lagi. Tawa Suraya meledak saat ibunya sudah mencekak pinggang.
            “Bertuah punya anak bujang.  Bukan dia nak menolong kita.”  Mak Siah memperlihatkan wajah bagai ibu tiri saat Hamdan tersenyum bagaikan orang yang tidak bersalah. 
            Mak Siah meletakkan sambal yang sudah siap di atas meja.  Dengan tidak menunggu lama Suraya mencapai sambal dan diletakkan di atas nasi.  Setelah cukup semua bahan, dengan pantas dia membungkus  nasi lemak dengan kemas.  Nasi lemak yag siap dibungkus di letakkan di tepi.  Senang untuk di masukkan ke dalam bakul.
            “Orang tengah tolonglah ni mak.”  Hamdan menggosok matanya sambil menguap.
            “Dia tolong apa mak?  Tolong buat tahi mata adalah.”  Hamdan menjelirkan lidah bila kakaknya itu mula bersuara. 
            “Kakak cemburulah tu.  Tak boleh nak buat tahi mata.”
            “Sekurang-kurangnya kakak dah dapat bungkus nasi lemak, tau.”
            “Ala… setakat lima bungkus apa ada.  Nanti, sekejap lagi hero datang lebih dari tu Hamdan boleh buat.”  Hamdan mendabik dada.  Sengaja untuk mengusik Suraya.
            “Cakap dengan air liur bolehlah.  Cepatlah.  Pukul berapa nak siap kalau tercegat lagi kat situ.  Nanti nak hantar kat kedai Pak Usop lambat pulak.”  Bebel Suraya sambil tangannya berjalan menyiapkan bungkusan nasi lemak.
            Hamdan menggarukan kepala.  Susah betullah kena bebel pagi-pagi buta ni. Buat rezeki lari je.   Hamdan tidak tunggu lama.  Dia segera masuk semula ke bilik dan mengambil tuala untuk mandi.  Tinggallah Suraya dan Mak Siah yang menyiapkan bungkusan nasi lemak.
            “Hari ni kamu nak keluar juga ke Suraya?”  Tanya Mak Siah memecah keheningan pagi itu.
            “Entahlah mak.  Macam dah putus asa rasanya nak minta kerja.  Puas dah Su tanya kerja kosong.  Temuduga dah banyak pergi. Satu pun tak sangkut, mak.”  Keluh Suraya perlahan.
            Semenjak Suraya berhenti kerja ekoran dari gara-gara kegawatan ekonomi kini dia menjadi penganggur.  Puas sudah dia menadah muka untuk mencari kerja, namun semuanya sia-sia sahaja.  Banyak tempat yang dia sudah jalani temuduga namun satu pun yang tidak dipanggail untuk lapor diri.  Akhirnya dia membantu ibunya menjual nasi lemak.  Namun, sampai bila dia boleh bertahan.  Keluarganya perlukan kewangan yang kukuh memandangkan Hamdan akan menghadapi peperiksaan penting tahun depan.  Sekiranya ada rezeki, jika Hamdan dapat melanjutkan pelajaran sudah tentu dia perlukan wang.  Suraya tekad.  Sekiranya tiada rezeki di tempat kelahirannya, dia ingin keluar dari kampung untuk mencari rezeki yang tetap.
            “Kamu tak tanya dengan Zulaika kalau-kalau tempat dia nak pakai orang.”  Suraya menggeleng.
            “Sudah, mak.  Dia kata tak ada.  Su pergi pun dia kata dia dah tak ambil orang lagi.”  Zulaika yang menjadi kerani di kilang electronic turut menjadi mangsa kaunter pertanyaan oleh Suraya.  Namun jawapan yang diberikan oleh Zulaika itu benar-benar mengecewakan hatinya. 
            “Dengan Zahid?  Sudah kamu bertanya dengan dia?” Kali ini nama Zahid pula dikaitkan. 
            “Agak-agaklah mak.  Bengkel motor tu.  Takkan Su nak kerja kat sana.  Mak nak tengok Su ni macam orang jantan ke? Silap hari bulan tayar ke mana, ekzos ke mana.”
            “Hish!  Ke situ pulak kamu ni.  Manalah tahu kalau dia orang nak pakai kerani.  Takkanlah mak nak kamu repair  motor tu.”  Suraya tertawa dengan kata-kata ibunya itu.  Betapa jauh fikiran orang tua itu.
            “Mak ni kan, macamlah dia tu buka syarikat besar.  Kalau ada dah lama Su minta.  Sekarang ni susah nak cari kerja mak.  Itulah, Su ingatkan….” Kata-kata Suraya mati dengan tiba-tiba.
            Mak Siah yang sedang membungkus nasi lemak juga terhenti dengan tiba-tiba.  Matanya melekat memandang kepada Suraya yang sudah tunduk memandang meja.  Ah, sudah.  Jangan pulak dia minta buat kerja yang bukan-bukan.  Siaplah kalau dia minta kerja yang bukan-bukan.  Satu Malaysia dia akan kejar anak daranya itu.
            “Su jangan nak buat hal ye.  Banyak lagi kerja halal yang boleh buat.  Nak mak sirakan kamu dengan cili, silakanlah buat yang bukan-bukan.” 
            Pulak!  Suraya memandang kepada Mak Siah.  Merah mata Mak Siah membuatkan Suraya tertawa buat kali kedua. Entah apa pula fikiran ibunya kini.  Dia sendiri tidak menyalahkan ibunya untuk berfikir yang bukan-bukan.  Maklumlah dia anak dara yang tidak punya ayah.  Mesti ibunya risau dan fikirkan yang bukan-bukan.
            “Mak ingat Su nak buat apa?”
            “Keldai dadah.”  Kali ini benar-benar membuatkan Suraya ketawa.
            “Mak ni banyak sangat tengok TVlah.  Keldai dadah.  Tak ada kerja lain ke yang mak nak fikirkan.  Buat Su pecah perutlah.”  Ujar Suraya yang masih bersisa tawanya. 
            “Siapa yang nak jadi keldai dadah?”  Kali ini suara Hamdan mula menerpa.  Hamdan yang sudah siap berbaju sekolah menarik kerusi untuk membantu menyiapkan nasi lemak.  Dia juga handal di dalam membungkus nasi lemak.  Semenjak dia berumur sepuluh tahun Mak Siah sudah pun mengajarnya membungkus nasi lemak.
            “Tak, mak ni….. dia ingat kakak nak jadi keldai dadah.” 
            “Siapa?  Kakak?  Bila masa pulak dia nak keluar negara mak.  KL pun susah dia nak lepas.  Inikan pulak nak pergi ke luar negara.” 
            Mak Siah tidak bersuara.  Sebaliknya dia meneruskan membungkus nasi lemak. Sesekali dia memandang kepada Suraya dan Hamdan.  Jauh di sudut hati dia begitu kasihan dengan kedua-dua anaknya itu.  Suraya seorang yang cerdik.  Namun dia hanya mampu menampung Suraya hanya sehingga STPM.  Setelah Suraya berjaya menerima berita baik akan permohonan Suraya ke menara gading akhirnya anak itu mematikan angan-angan dan semangat belajar semata-mata mahu membantunya.
“Er… Su rasa kalau Su tak dapat kerja kat sini Su rasa Su nak ke Kuala Lumpur.”
Terhenti kerja-kerja Mak Siah sekali lagi.  Mak Siah memandang kepada Suraya.  Cuba untuk mencari akan kebenaran dari kata-kata anaknya itu. Hamdan juga turut terkejut dengan kata-kata Suraya itu.  Suraya sudah banyak berfikir semenjak akhir-akhir ini.  Seandainya sudah tiada rezekinya di tanah kelahiran, dia perlu melangkah untuk mencari rezeki di tempat lain.
“Mak tak mimpi ke?”
            “Tak, mak.  Su rasa memang dah tak ada rezeki Su kat sini.” Ujar Suraya dengan penuh nada pasrah.  Bukan dia tidak mencari kerja, namun semuanya tidak memihak kepadanya.  Kini, dia mula mengalah.  Akhirnya ini sajalah jalan yang terlintas di fikiran.
            “Su nak tinggalkan mak ke?” Ada nada getar dalam suara Mak Siah. 
            Suraya sudah mengagak akan reaksi ibunya. Sudah tentu selepas ini air mata ibunya pasti tumpah.  Bukan niatnya untuk meninggalkan ibunya, namun dia sudah membuat timbangan untuk memajukan juga dirinya.
            “Su rasa ada rezeki Su di sana.  Lagi pun bila Hamdan berjaya SPM nanti sekurang-kurangnya ada simpanan kita untuk lihat Hamdan berjaya.” Kali ini nama Hamdan pula dijaja. 
            Hamdan terhenti dengan tiba-tiba.  Dia memerhatikan Suraya dengan rasa kasih.  Selama ini dia mengakui kakaknya itu banyak membantu keluarga itu.  Namun dia tidak menyangka kakaknya itu ingin melangkah jauh lagi.  Pandangan Hamdan kemudiannya berpaling kepada ibunya, Mak Siah.  Keputusan dari ibunya masih lagi dinanti.
            “Tapi kenapa KL?  Bukan ke banyak kerja kat sini.” 
            “Mak, apa yang Su perlukan adalah restu dari mak.  Su berharap sangat yang mak akan doakan Su berjaya.  Bukan niat Su nak tinggalkan mak.  Su sayangkan mak. Sebab itu Su nak sangat kerja yang boleh membahagiakan mak.  Kerja yang boleh berikan kejayaan buat Hamdan.”
            Kata-kata Suraya itu bagaikan mencuit rasa keibuan Mak Siah.  Dia bagaikan belah-bagi dengan keputusan anaknya itu.  Namun jawapannya hanya dua. ‘Ya’ atau ‘tidak’.  Mak Siah mengakui perjalanan keluarga itu masih jauh lagi.  Suraya masih belum berkahwin dan Hamdan masih lagi dibangku sekolah. 
            Mak Siah mengeluh perlahan.
            “Hamdan rasa mungkin ada betul keputusan yang kakak buat, mak.  Kakak perlukan perubahan.  Kesian kakak.  Bukan maksud Hamdan yang buat nasi lemak ni tidak berikan kita nafkah, tapi kakak perlukan kerja yang tetap, mak.”  Mak Siah memandang kepada Hamdan dengan melihat wajah anaknya itu. 
            “Kalau boleh, Su nak tengok mak senang.  Su sedih bila tengok mak bangun pagi-pagi bungkus nasi lemak semata-mata nak lihat kami berjaya.  Kali ini Su perlukan berkat dari mak untuk Su mencari rezeki di tempat lain.”  Suraya mencapai tangan Mak Siah dan menggenggamnya erat.
            Bukan senang untuk Mak Siah melepaskan Suraya pergi.  Bermacam-macam yang bermain difikirannya.  Kuala Lumpur, sudah bermacam-macam dia dengar.  Bukan cerita yang baik, namun kebanyakkan cerita-cerita buruk yang menjerut tangkai hatinya.  Takkan mahu dia menghulurkan leher sedia dihukum.  Mak Siah tidak segera menjawab.  Sebaliknya dia termenung sebentar sebelum dia meletakkan nasi lemak di dalam bakul.
            “Tentang nasi lemak, janganlah mak bimbang.  Hamdan ada boleh bantu mak.”  Kali ini Hamdan beria-ia untuk membantu kakaknya itu merealisasikan impian.
            “Mak bukan tak nak bagi, cuma mak takut nak lepaskan Su.  KL tu…. Hish!  Kecut perut mak dengar macam-macam.” Terang Mak Siah.
            “Apa penting, doa dan restu mak.  Mak, Su perlukan semua tu.  Mak doakan yang Su berjaya dan tidak berubah. Mak, bahaya tu ada kat mana-mana.  Yang penting doakan yang Su seperti Su sekarang ni.”  Suraya cuba memujuk ibunya. 
            Keluhan Mak Siah kian keras.  Apakah patut untuk dia menahan akan cita-cita anaknya demi melihat anaknya di depan mata?  Selama 25 tahun dia tidak pernah berenggang dengan Suraya.  Dan kini?  Dia perlu melepaskan pergi anaknya itu demi mencari sesuap nasi?  Mak Siah membisu lagi.  Fikirannya melayang.  Dia tidak tahu akan apa jawapan yang perlu diberi.  Namun jauh di sudut hati dia bagaikan merelakan. 
            “Mak….”
            Mak Siah berpaling.
            “Baiklah.  Mak izinkan.  Tapi….”
            “Terima kasih, mak.”

            “Tapi…. Mak nak tengok macam mana Su sekarang ni, macam itulah Su di sana.  Kalau tidak mak tak teragak-agak untuk Su balik semua ke kampung.”  Suraya tersenyum dengan keputusan ibunya itu.  Suraya merapati Mak Siah dan memeluk ibunya dengan erat dan padu betapa dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Sebarang Hasil Tulisan Di Dalam Blog Ini Adalah Hasil Nukilan Saya Sendiri. Istilah COPY PASTE/CIPLAK/TULIS SEMULA Adalah TIDAK DIBENARKAN SAMA SEKALI. Tindakan Tegas akan Diambil Sekiranya Saya Mendapat Tahu Ada Yang Berbuat Demikian.

Copyright © 2020 NJIAKREATIF. All rights reserved. | Sign in|Top of page